Isma Adeliya dah ada cerita baru. Cerita ini dibuat berdasarkan cerpen Jangan Ganggu Buah Hatiku yang pernah tersiar di penulisan2u.my. Di blog ini pun Isma ada siarkan.
Ketika disiarkan di penulisan2u.my, ramai yang komen dan minta kisah ini dijadikan novel. Maka Isma pun memanjang dan mengembangkan cerita ini.
Harap u ols terhibur dengan hasil kedua Isma Adeliya. Tolong beri komen ya.
Terima kasih.
p/s: Naim Zakaria dan Izureen sedang hangat bercinta...ooops.
JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 1
Urusan
imigresen sudah selesai. Bagasi juga
sudah diambil. Sekadar dua bagasi besar
yang memuatkan pakaiannya dan sedikit buku-buku. Barang-barang lain sudah dijual kepada
pelajar junior kerana tidak perlu dibawa balik, di Malaysia pun ada. Samirah mengatur langkah dengan laju, hatinya
penuh dengan keterujaan, matanya meliar mencari wajah-wajah kesayangan yang
amat dirindui. Semakin mendekati balai
ketibaan, langkah diperlahankan sedikit, agar tidak terlepas pandang
wajah-wajah mereka. Tapi pastinya mereka juga menanti dengan penuh
keterujaan, setelah dua tahun tidak berjumpa.
Dua tahun lepas dia pulang sebentar, ketika cuti musim panas. Hari ini dia pulang untuk selamanya, bersama
segulung ijazah yang diperjuangkan selama empat tahun.
“Ira!”
Samirah
menoleh ke kiri. Aidid melambai
kegirangan. Papa turut melambai dengan
senyuman melebar di wajahnya. Pantas
Samirah menolak troli bagasi ke arah kiri.
Sampai di depan Papa, troli dilepaskan.
Terus kedua tangannya mendepa dan kemudian memeluk erat Papa yang
dirindui. Kemudian barulah tangan papa
disalami dan dicium.
Berkalih
pula kepada satu-satunya saudara kandung yang ada. Dialah tempat meluahkan masalah, dia juga
kawan bergaduh. Dua tahun tidak bertemu,
tidak tertanggung rindu kepada abang yang tuanya hanya setahun dari
Samirah. Aidid membalas pelukan dan
merangkul erat adiknya. Kemudian mereka
bersalaman.
“Congratulations Ira. Papa bangga dengan kejayaan kamu.”
“Alhamdulillah. Ira berterima kasih banyak-banyak kepada
Papa. Tanpa doa dan sokongan Papa, Ira
tak akan mencapai kejayaan ini.”
Samirah
memaut lengan papanya. Kegembiraan yang
terpancar di wajah papanya mendamaikan hati.
“Congrats Sis. Macam nilah adik aku, baru best!”
Aidid
pantas mencubit kedua belah pipi Samirah dan digoyang-goyangkannya.
“Adoi! Sakitlah Did.
Macam ni ke sambut orang balik dari oversea?”
Aidid
ketawa. Pipi Samirah dilepaskan. Kegembiraan dan kebanggaan seorang abang
jelas terpancar di wajahnya. Pantas pula
dia menyambar bahu Samirah dan dirangkul erat.
“Empat
tahun tak ada orang bergaduh dengan aku tau!
Aku rindu giler dengan kau!”
“Kau
rindukan aku sampai gila Did! Ha ha ha!”
Samirah
ketawa besar. Seronok mendengar
pengakuan abangnya. Dia juga rindukan
Aidid. Walaupun kecanggihan teknologi
membolehkan mereka berhubung melalui skype, perbezaan masa antara dua benua di
timur dan barat membataskan penggunaan medium komunikasi tersebut. Di kala Samirah sibuk menghadiri kuliah,
Aidid diulit mimpi dan ketika Aidid punya masa senggang di penghujung hari,
Samirah pula harus tidur agar dia cukup rehat untuk menghadiri kuliah esoknya.
Baharin
turut ketawa melihat gelagat kedua-dua anaknya.
Dalam kedukaan dan kegelisahan, hatinya merasa gembira. Kepulangan Samirah amat dinanti-nantikan,
setelah empat tahun anak gadisnya itu bersendirian di tanah asing demi untuk
mengejar cita-cita. Kepulangan seorang
anak dengan segulung ijazah pastinya sesuatu yang amat membanggakan bagi
seorang ayah. Namun di sudut hati Baharin
terselit kerisauan. Bagaimana reaksi
Samirah nanti apabila berita itu disampaikan kepadanya? Bolehkah gadis manis yang masih mentah dalam
ranjau kehidupan itu menerima berita tersebut dengan hati terbuka? Baharin yakin Samirah tidak akan mudah
menelan kepahitan.
“Dah
jom, kau tunggu kat tepi pintu dengan papa.
Aku pergi ambil kereta.”
Aidid
berlalu pergi. Baharin pantas menolak
troli bagasi. Samirah memaut lengan
papanya dan mereka berjalan bersama, sambil senyuman tidak lekang dari
bibirnya.
“Ira
rindu sangat dengan papa,” katanya sambil menoleh ke arah papanya. Baharin membalas senyuman anaknya, sambil di
dalam hati berdoa agar Samirah tabah dengan ujian hidup yang bakal diketahuinya
nanti.
“Papa,
mana mama?”
Soalan
yang amat ditakuti oleh Baharin akhirnya meletus dari bibir Samirah. Tadi Samirah terlalu gembira bertemu dengan
papa dan abangnya, sekarang baru dia perasan mamanya tidak menjemput dia di
KLIA, sedangkan ketika berbual melalui telefon tiga hari sebelum berangkat
pulang Mama berjanji akan menyambutnya di KLIA.
“Mama…
dia tak dapat datang.”
Baharin
menjawab, sambil cuba berlagak normal.
“Mama
tak sihat ke?”
“Taklah. Mama Ira sihat, dia…”
Haruskah
dikatakan sekarang, atau nanti saja bila mereka sampai di rumah? Dua persoalan ini berlegar di mind Baharin. Wajahnya dimaniskan, cuba menutup galau yang
melanda hati.
“Hah,
ni mesti Mama sibuk dengan aktiviti persatuan dia. Ish mama ni, tak habis-habis dengan kerja
persatuan. Patutnya sekarang ni Mama dah
duduk diam-diam kat rumah, luangkan lebih banyak masa untuk papa. Lepas ni Ira nak suruh Mama kurangkan
aktiviti persatuan tu.”
Ira
menebak. Memang sejak dulu mamanya suka
melibatkan diri dengan aktiviti persatuan pengusaha restoran yang
disertainya. Asalnya mama hanya ahli biasa tetapi selepas beberapa
tahun, mama mula memegang jawatan.
Baharin
menarik nafas kelegaan, tidak perlu dia menerangkan sekarang di mana Latifah
berada dan mengapa Latifah tidak turut serta menjemput Samirah di KLIA.
“Flight tadi ok?” segera Baharin menukar topik perbincangan.
“Ok.” Ira menjawab sambil kepalanya melentok manja
dan matanya bersinar.
“Lain
macam je papa tengok senyuman tu. Hah…
ni mesti dapat duduk sebelah mat salleh handsome
ni… kan?”
Baharin
cuba menyakat anaknya. Samirah mencebik
manja dan mengangguk kepalanya. Matanya
membulat.
“Papa
ni tau je. But you are half right, half wrong.
Memang Ira duduk sebelah lelaki handsome. Handsome
sangat-sangat pa. Tapi bukan mat
salleh.”
“Bukan
mat salleh? Hmm… nanti papa teka.”
Baharin
mengetuk-ngetuk dagunya. Kepalanya
didongakkan sedikit, matanya dijulingkan ke atas, berpura-pura memikirkan
siapakah gerangan lelaki kacak yang duduk di sebelah anaknya dalam penerbangan
tadi.
“Hah! Kalau bukan mat salleh… bangla!”
“Papa!”
Samirah
menyeringai. Lengan papanya ditepuk
lembut. Baharin ketawa, seronok dapat
menyakat anak manja yang sudah berada di depan mata. Samirah memang manja dengan semua ahli
keluarganya. Hubungan mereka akrab,
lantaran saiz keluarga yang kecil.
Hilang seketika resah di hati dengan masalah keluarga yang belum
dimaklumkan kepada Samirah. Bertambah
leganya apabila terdengar bunyi hon.
Aidid sudah sampai. Pantas Baharin
dan Samirah menolak bagasi keluar dari balai ketibaan dan menuju kereta mereka. Sampai di kereta, lekas-lekas Aidi keluar dan
membantu papanya memasukkan bagasi Samirah ke dalam bonet. Mereka harus segera beredar kerana kenderaan
tidak dibenarkan diparkir di situ.
Samirah
mengambil tempat di belakang. Matanya
meliar melihat pemandangan di luar. Dalam
kegelapan awal pagi, Samirah dapat melihat tidak banyak perubahan sejak
kepulangannya dua tahun lepas. Baharin
sudah terlelap. Aidid memandu agak laju,
mungkin kerana tidak banyak kenderaan di atas lebuhraya di pagi-pagi buta begini.
“Ira,” Aidi memanggil.
Samirah
mengalihkan pandangan, dari luar ke arah abangnya yang sedang memandang melalui
cermin.
“Apa
plan kau? Nak kerja dengan papa atau kerja di tempat
lain?”
“Aku
belum ada plan. Tapi kalau boleh aku nak kerja di tempat lain
dulu. After one or two years, baru aku join papa. Aku tak naklah
mentang-mentang aku ni anak papa, senang-senang je masuk company papa.”
“Apa
salahnya kerja terus dengan papa? Papa
akan suruh kau mula dari bawah… macam aku.
Lagi pun sekarang susah nak dapat kerja.”
Aidid
melontarkan pandangan. Samirah diam,
otaknya mula mencerna kata-kata abangnya.
Ada betulnya kata-kata Aidid itu.
Samirah teringat lelaki kacak yang duduk di sebelahnya sepanjang
penerbangan dari lapangan terbang Los Angeles.
Beg sandangnya dicapai. Kocek beg
di bahagian depan diseluk. Sekeping kad
nama dikeluarkan.
“Tadi
dalam flight, orang yang duduk
sebelah aku ada offer kerja. Tengoklah nanti, aku fikirkan dulu.”
Samirah
akhirnya menjawab. Kad nama ditenung
lama. Bayangan wajah lelaki kacak yang
peramah itu terbayang di ruangan matanya.
Senyuman terukir di bibir Samirah.
No comments:
Post a Comment