Wednesday 24 April 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 9


Bab 9 - Izureen


Butang “end” pada I-phone aku tekan sebaik sahaja mengucapkan salam kepada mama.  Akhirnya, kami berbicara, setelah seminggu aku berada di sini.  Dalam takut-takut aku menelefon mama.  Sangkaanku jauh meleset.  Mama langsung tidak memarahi aku, sebaliknya bercakap denganku dengan nada lembut.  Mama risaukan aku, namun aku yakinkan dia bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan.  Sebelum menghabiskan perbualan, aku minta Mama pertimbangkan untuk mengambil Kak Rina bekerja.  Mama tidak berjanji apa-apa, namun tidak pula melenting seperti selalu bila isu Kak Rina aku timbulkan.


Matahari sudah membiaskan bahangnya walaupun baru sekitar jam sepuluh.  Sungguh selesa berbaring di dalam hammock yang diikat di antara dua batang pokok.  Dedaun pokok yang merimbun memberi teduhan dari limpahan cahaya matahari.  Suasana di tepi sungai sepi dan mendamaikan, tidak seperti semalam ramai orang bermandi manda dan berkelah.  Dua hari lepas, kedua-dua chalet Naim yang telah siap sepenuhnya disewa orang.  Ada juga yang berminat untuk menyewa rumah inap tetapi Fina terpaksa menolak kerana aku masih di sini.


Deruman motorsikal berkuasa tinggi kedengaran sayup-sayup di telingaku.  Mungkin dia sudah pulang.  Sejak hari Rabu, selepas dia membawa aku mendaki bukit kecil di hujung chalet, aku tidak melihat kelibatnya.  Kata Fina dia ke Terengganu.  Semasa ketiadaannya Fina yang menguruskan hal-hal penyewaan chalet dan memandangkan aku punyai masa terluang, aku hulurkan bantuan kepada Fina.


Kedengaran riuh rendah suara anak-anak dari arah rumah Mak Jah.  Pasti Lokman dan Hafiz yang telah berada di sini sejak semalam gembira dengan kepulangan Pak Long mereka.  Aku suka mereka berdua.  Nakal, tetapi sangat comel. Seronok melayan kerenah mereka. Sanggup mereka berendam dalam air sungai, berjam-jam lamanya.  Sampai kecut jari-jari kaki dan tangan.  Ibu mereka, Elida juga ramah orangnya.  Betullah kata orang, orang Perak memang sangat peramah dan mudah mesra.  Kemesraan yang mereka pamerkan membuatkan aku seronok berada di sini.  Lupa seketika lara yang bersarang di hati tatkala bersama mereka.


Deruman motorsikal kedengaran lagi, kali ini bunyinya semakin kuat dan semakin dekat.  Sedetik kemudian motorsikal diparkir berhampiran rumah inap.  Lokman dan Hafiz yang membonceng di belakang mengekek-ngekek ketawa, mungkin seronok dapat menaiki motorsikal. 


Kedua anak comel itu diturunkan dari motorsikal.  Terus mereka belari-lari ke arah air.  Hafiz sempat melambai ke arahku sambil tersengeh, menampakkan giginya yang rongak.


Naim membuka helmet dan memandang ke arahku sambil bersandar di motorsikalnya.  Dia kelihatan macho dalam jaket kulit yang masih membaluti tubuhnya yang tegap.  Mataku turun ke dadanya dan baru aku teringat, dada itulah yang aku langgar semasa di KLIA.  Ya, dialah orangnya.  Kenapa aku tak ingat langsung kejadian di KLIA sebelum ini?


Jaket ditanggalkan dan Naim berjalan ke arahku.  Matanya tidak berkelip memandangku dan senyuman terbit di pinggir bibirnya.  Kacak, detik hatiku.  Ah, Muaz lagi kacak.  Begitulah, setiap kali melihat lelaki kacak pasti aku bandingkan dengan Muaz.  Dan selalunya kau membuat kesimpulan Muaz lebih kacak daripada lelaki-lelaki kacak yang lain. 


“Hai.”  Dia menegurku dahulu.  Aku sekadar membalas dengan senyuman.


“Saya harap hati awak dah tenang sekarang”.


Ya, memang hatiku sudah tenang.  Tidak lagi menangisi nasib malangku.  Tapi sekarang, tiba-tiba jantungku berdegup laju.  Oh jantung, kenapalah laju sangat degupanmu.  Aku larikan mataku dari wajahnya, melihat ke arah Lokman dan Hafiz.  Oh kids, please look at me, save me from this intense moment”, aku berbisik di dalam hati.  Namun mereka berdua leka bermain, langsung tidak melihat ke arah kami.  Aku bangun, duduk di hammock.


“Berapa lami lagi awak di sini?” pelik dengan soalan itu, aku berdiri dan memandang semula ke arahnya. 


“Kenapa, tak suka saya duduk sini ke?” oh mulut, kenapa itu pula yang keluar.  Dan mata, kenapa lekat di wajahnya, pandanglah ke arah lain.


“Suka.  Lagi lama lagi bagus.  Saya harap semakin lama awak di sini, semakin awak mempercayai saya.  You don’t trust me enough to tell me about your problem, remember?” dia mengingatkan aku kata-kata yang aku ucapkan.  Senyuman terukir di pinggir bibirnya. 


Apakah yang harus aku ucapkan untuk membalas kata-katanya.  Kami sama-sama diam dan sama-sama memandang ke arah sungai.  Teringat kata-kata nasihatnya.


“Terima kasih nasihatkan saya”.


“Sama-sama”.  Aku memandang I-phone di tangan.


“Terima kasih juga kerana pinjamkan charger.  Sorry, tak sempat pulangkan, awak dah pergi.”


“Sama-sama.  Ambillah charger tu.  Saya tak perlukan charger tu lagi”.


“Izureen, boleh tak kalau saya nak jadi kawan awak?”  soalnya.  Aku naikkan muka untuk melihat wajahnya.  Mencari riak keikhlasan dalam sinar matanya. 


“Pak Long!  Hafiz jatuh”  belum sempat aku memberi jawapan, laungan Lokman bergema.  Kami sama-sama meluru ke arah sungai.  Hafiz menangis memegang lututnya yang tercalar.


“Alah, sikit aje ni.  Hafiz kan hero, dah jangan nangis” katanya memujuk lantas meniup lutut Hafiz.  Didokongnya Hafiz sambil berkata “jom, Pak Long hantar balik”


“Tak nak, Hafiz tak nak balik.  Nak main lagi”.


“OK, Hafiz rehat dulu ya.  Nanti dah hilang sakit main lagi” dia membawa Hafiz ke hammock dan dibaringkannya. 


“Kita nak naik jugak” lalu dia mendokong Lokman dan membaringkan Lokman di sebelah adiknya. 


“Ok, dua-dua rehat dulu”.  Budak dua beradik itu akur dengan perintahnya.


I am waiting for your answer” katanya sebaik mendekati aku yang masih kaku di gigi air.


“OK, kita boleh berkawan, but nothing more than friend.”


Dia senyum.  Kenapalah dia suka buat senyuman senget begitu?


“Alooongggg” Fina datang berlari ke arah kami.   Nampak dia gembira sangat.  Senyumannya lebar hingga ke telinga.


“Apa hal ni?” Naim bertanya kehairanan.  Aku pun hairan dengan gelagat Fina, terlompat-lompat sambil memegang sehelai kertas A4.


“Ni, baca, baca” dia suakan kertas tersebut ke muka Naim.


Naim turut tersenyum selepas habis membaca emel yang disuakan oleh Fina.


Good.  Tapi jangan gembira sangat, ni baru panggil interview.  Belum tentu dapat kerja tu”.


“Along doakan orang ya.  Bukan senang tau nak dapat interview, ramai yang memohon.  Tadi staff HR yang call tu bagi tau lima orang sahaja yang dipanggil, termasuk Fina”.


Oh, rupanya Fina telah dipanggil untuk menghadiri temuduga.


***


Petang itu aku mengikut mereka ke Bandar.  Fina hendak membeli pakaian, katanya pakaian yang ada tidak berapa sesuai untuk temuduga.  Pak Akob dan Mak Jah pun pergi bersama.  Kami pergi menaiki van Pak Akob.  Naim tidak memiliki kereta, hanya motorsikal Kawasaki Ninja ZX-10R sahaja kenderaan yang dimilikinya. 


Sampai di Bandar, kami menuju ke sebuah pusat membeli belah.  Di sana Fina mencari pakaian yang dikehendak,i ditemani ibunya.  Naim dan Pak Akob entah ke mana.  Aku pula mencari salon, dengan niat hendak memotong rambutku.  Mahu ku betulkan rambutku yang  senget benget ini.  Naim meminta semua berjumpa semula di depan eskalator dalam masa 1 jam.


Seorang gadis Cina tersenyum mesra kepadaku sebaik sahaja aku masuk ke dalam salon itu.  Aku maklumkan hasratku untuk memotong rambut.  Setelah aku duduk, dibeleknya rambutku. 


“Mana awak potong rambut ini?”


“Apasal?” soalku, rasanya aku tahu apa yang bermain di fikirannya.


“Banyak teruklah!  Kalau orang bikin rambut saya ini macam, saya sue itu orang!”


Aku diam.  Hati di kala lara, fikiran pun tidak betul.  Akibatnya rambut menjadi mangsa.


“Sekarang ha, mau potong pendek habis oh.  Nanti kasi panjang balik, baru rambut cantik balik.  Ini atas pun rambut hitam sudah keluar.  Kasi pendek semua, sudah hitam semua baru cantik”.


Setelah selesai urusan di salon, aku terus menuju ke eskalator.  Aku yang terawal tiba di sini.  Memandangkan mereka belum tiba, aku meninjau kedai-kedai yang terletak di tingkat paling bawah itu.  Sebuah kedai menjual peranti menarik minatku lantas aku memasuki kedai tersebut.  Sekadar melihat-lihat berbagai jenis telefon bimbit, telefon pintar, tablet dan peranti lain yang dipamerkan, tiba-tiba aku teringat yang aku memerlukan pengecas I-phone.  Walaupun Naim sudah menawarkan pengecasnya, aku rasa segan hendak menerima.


“Ada jual charger I-phone tak?” aku tanyakan kepada budak lelaki di kaunter.


“Ada, sana” dia menunjukkan ke arah kananku.


Aku berpaling ke kanan dan ketika itu seorang lelaki tiba, tidak sempat mengelak aku terus bertembung dengannya.  Aduh, aku menjerit kecil.  Sakit dahiku.  Dia juga mengaduh, sambil memegang dagu sebelah kiri.  Dahinya berkerut.


“Naim!” oh, rupa-rupanya aku telah terlanggar dia.  Dia memandangku.  Hilang kerutan di dahi, keningnya pula terangkat.  Lama dia memandang aku, bulat matanya dan kemudian, perlahan-lahan, senyuman terukir di pinggir bibir kirinya.

Thursday 11 April 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 8


Bab 8 – Naim Zakaria


Yang sudah berlalu, biarkan ia berlalu. Fail yang lepas sepatutnya ditutup dan disimpan.  Bukannya dibuka dan dipersoalkan.  Redhalah dengan segala yang berlaku, insyaAllah ketenangan milik kamu.


Entah di mana aku jumpa ayat-ayat itu.  Yang pasti aku sukakannya kerana ia memberi motivasi kepadaku untuk menghadapi apa jua dugaan yang Allah berikan.  Ya, aku redha dengan ketentuanMu.  Luka di hati telah kering, tetapi parutnya masih ada. 


Alhamdulillah, Allah memudahkan urusanku.  Atas cadangan rakan kongsiku Haziq, kami memulakan perniagaan resort di Dungun.  Aku serahkan urusan syarikat hiasan dalaman kepada Haziq dan tumpukan perhatian kepada resort ini.  Resort ini sangat unik kerana kami hanya menyediakan percutian berbulan madu.  Setelah dua tahun beroperasi, pentadbiran harian resort ini kami serahkan kepada Talib, pengurus yang telah aku latih dan sememangnya dia sangat boleh diharapkan.  Aku cuma datang dua minggu sekali untuk memeriksa dan menyemak apa yang perlu. 


Tetapi kali ini aku terpaksa berlama di sini untuk memantau persiapan dan menyambut ketibaan sepasang pengantin yang akan berbulan madu di resort ini.  Bukan sebarang pengantin, si suaminya kerabat diRaja daripada sebuah negeri di utara Semenanjung.  Seluruh resort kecilku yang hanya memuatkan empat villa ekslusif dan satu unit spa ditempah oleh kerabat diraja tersebut.  Satu villa akan didiami oleh pasangan pengantin baru selama dua malam, dua lagi untuk didiami oleh pegawai pengiring dan pembantu peribadi manakala satu lagi dibiarkan kosong, tidak dibenarkan sesiapa menyewa kerana pasangan pengantin mahukan privacy.


Petang Jumaat rombongan pengantin tiba.  Alhamdulillah, sang putera ringkas orangnya.  Merendah diri dan tidak banyak kerenah.  Cuma beberapa permintaan yang terpaksa disiapkan seperti pengawal keselamatan yang perlu ditambah bilangannya, menu sarapan pagi, makan tengahari dan malam yang ditukar untuk memenuhi citarasa pasangan pengantin, serta ramuan rawatan spa yang juga ditukar menurut permintaan mereka.  Semua permintaan ini telah disiapkan dan diperiksa oleh pembantu sebelum ketibaan mereka.  Berbaloi menyiapkan semua ini kerana bayaran yang diberikan sangat lumayan.


Seperti yang diminta, malam pertama pasangan pengantin diraja bersantap di pantai di kelilingi limpahan cahaya lilin.  Kami hias indah astaka yang telah terbina menghadap ke laut.  Lilin dinyalakan di sekeliling astaka.  Penggesek biola mengalunkan lagu-lagu cinta yang ditujukan khas oleh sang putera kepada isterinya.  Dari jauh aku melihat suasana indah penuh romantis itu.  Terserlah kegembiraan di wajah si isteri. 


Untuk malam kedua, Tengku Asyraf mahukan sesuatu yang lebih santai.  Maka kami hamparkan sekeping permaidani berbulu tebal di atas pasir. Kami letakkan bantal-bantal kecil di sekeliling permaidani.   Sebuah meja jepun diletakkan di tengah-tengah permaidani dan di atasnya terhidang makanan Jepun yang diminati isteri Tengku.  Pasangan pengantin menikmati makan malam secara bersila ditemani bunyi ombak menghempas pantai dan disaksikan bintang-bintang di langit yang cerah tidak berawan.  Angin bertiup lembut, membuai-buai cahaya dari pelita yang kami pasang di kiri dan kanan permaidani.


Aku bersyukur kerana segala yang kami sediakan memenuhi kehendak Tengku Asyraf.  Beliau dan isterinya sungguh gembira dan terpancar kegembiraan dan kebahagiaan mereka ketika berbual ringkas denganku sebelum berangkat pulang.


Thank you Zack, we had good time.  My wife and I are very pleased with your arrangement”.


“Terima kasih Tengku.  I hope you share this experience with your friends”.


Of course, I akan cadangkan tempat ini kepada kawan-kawan.  Thank you to all your staff too for this special arrangement” katanya sambil menghulur tangan.  Aku sambut jabatnya dengan bisikan Alhamdulillah di dalam hati.


“Sampaikan salam saya kepada isteri awak” kata isterinya pula.  Aku mengangguk sambil tersenyum, rasanya tidak perlu memaklumkan bahawa aku sebenarnya masih solo.  Kemudian menghantar mereka hingga ke kereta. 


Keletihan mula terasa sebaik sahaja badan ku rebahkan di atas sofa di dalam pejabat.  Sudah empat malam sofa itu menjadi alas tidurku.  Aku bercadang melelapkan mata seketika sebelum pulang.  Talib dan pekerja yang lain meninggalkan aku untuk mengemas villa yang telah dikosongkan.


Entah berapa lama aku tidur.  Tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara Talib.  Katanya ada orang ingin berjumpaku.  Aku bangun menuju ke bilik air dan mencuci muka.  Setelah muka dikeringkan, aku keluar ke kaunter. 


Satu wajah yang sangat aku kenali tersenyum kepadaku. Betulkah apa yang aku lihat?  Jika betul, mengapa dia berada di sini? 


“Zack, how are you?”


Sepi.  Aku masih ragu-ragu.  Ku renung wajahnya.  Masih sama.  Senyumannya tetap menawan.  Badannya kekal langsing  dan rambutnya menari-nari dihembus angin petang yang bertiup manja. 


“Zack, takkan dah tak kenal I kot” ujarnya sambil melentok manja.  Gelagatnya masih tidak berubah, tetap seperti dahulu.


Talib yang sedari tadi hanya memandang sepi akhirnya bersuara, menyuruh aku membawa dia masuk ke pejabat.  Namun aku keluar, tidak mahu bicara kami nanti didengari oleh pekerjaku.


You dah kurus sikit ya,” katanya sebaik sahaja kami duduk di atas lantai astaka.  Aku pastikan jarak antara kami agak jauh, tidak mahu menimbulkan syak wasangka.  Ungkapannya tidak ku jawab.  Sebetulnya aku tidak tahu apa yang hendak diucapkan.  Kehadirannya terlalu mendadak.


I jumpa Fina di airport.  Dia yang bagi tau tentang tempat ni. Kebetulan tadi I dari rumah kawan, so I singgah.  Tak sangka you ada di sini.  Seronok dapat jumpa you.”  Oh begitu, hanya kebetulan.  Satu perasaan lega menyelinap di hati. 


“Bila you balik?”


“Baru sampai dua hari.”


Husband you tak ikut?” aku tahu dia sudah bercerai, tetapi sengaja buat tidak tahu. 


We have separated” ringkas jawapannya.  Wajahnya masih selamba, tiada riak kesedihan langsung.


I am sorry” aku menghulur simpati, namun hati masih tidak pasti apa sebenarnya yang aku rasakan.


It’s ok.  I have no regrets.  Buat apa kahwin kalau tak bahagia” mudah dia meluahkan bicara.  Tangannya menguis rambut yang menyapu pipinya.  Seperti dulu, dia sentiasa yakin.  Dan kini kelihatan semakin matang.


“Berapa lama di sini?”


“Sekejap je.  My cousin kahwin next week.  Ingat tak cousin I, Syafwan?  Dah nak kahwin dah budak tu,” katanya sambil tergelak kecil.  Entah apa yang melucukan baginya, dan aku tidak ingat yang mana satu Safwan.


I nak balik KL.  Next week Khamis balik kampung and then Sabtu malam will fly back to Perth.”  Dia menerangkan tanpa aku meminta.  Dari kejauhan aku melihat seorang lelaki berjalan ke arah kami.  Ratna juga melihat ke arah lelaki itu.  Dia bingkas bangun.


“I pergi dulu Zack,” katanya sambil mengangkat tangan kepada lelaki tersebut.  Sepantas dia muncul, sepantas itu juga dia pergi.  Aku hanya memandang dia pergi dengan fikiran yang kosong. 


“Wah, cun la makwe tu bos,” tegur Apit, pekerjaku yang berjawatan penyelia.  Apit baru habis memerika villa yang telah dikemas. 


“Budak tengah naik macam ni lah bos, pantang nampak awek cun” si Talib menyampuk.


Aku senyum sumbing.  Tak tau apa nak dikatakan.  Tetapi memang betul, Ratna masih jelita.  Senyumannya tetap menawan dan lenggok tubuhnya tetap menggoda, masih seperti dulu.  Namun hati ini, parut yang masih tinggal belum kering sepenuhnya. 


Aku jeling sekilas jam di tangan.  Sudah jam enam petang.  Aku belum bersolat asar.  Kalau mengikut rancangan awal, aku sepatutnya bertolak jam empat dan akan sampai ke rumah jam sembilan malam. 


“Balik esok ajelah bos, rehat kat sini dulu… boleh belanja kami makan malam ni” Apit berkata, bagaikan dapat membaca fikiranku.









Sunday 7 April 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 7


Bab 7 - Izureen


Sudah tiga hari aku menetap di homestay ini.  Semalam hujan turun sepanjang hari memaksa aku berdiam sahaja di dalam rumah.  Aku hanya makan mi segera, biskut dan roti yang aku beli kelmarin di pekan selepas makan tengahari di rumah Mak Jah.


Hujan yang tidak berhenti semalam memberikan suasana nyaman yang amat sesuai untuk melelapkan mata.  Maka sepanjang hari aku tidur dan bagusnya bila tidur aku langsung tidak teringatkan peristiwa pertunangan Muaz dan Naurah.


Cuaca cerah pagi ini.  Baru pukul lapan pagi tetapi matahari sudah bersinar terang.  Teringatkan Kak Rina dan Mama.  Pasti mereka risaukan aku.  Aku perlu menelefon mereka untuk memaklumkan bahawa aku selamat dan sihat. Pasti aku akan dimarahi oleh Mama nanti.  Tapi biarlah.  Hati yang luka ini perlu diubati dan aku rela dimarahi dari jauh daripada mengadap Mama dan mendengar leterannya secara ‘live’.


Dalam kekalutan meninggalkan rumah, aku terlupa pengecas telefon bimbit.  Aku keluar menuju ke kaunter, kalau-kalau dapat meminjam pengecas telefon daripada Fina.  Aku suka gadis manis itu.  Sama ramahnya dengan Mak Jah.  Tapi abangnya Naim kelihatan agak sombong. 


Tiada orang di kaunter.  Aku berjalan ke pintu pejabat.  Mengetuk beberapa kali namun juga tiada respons dari dalam.  Tombol pintu ku pulas, lantas pintu yang tidak berkunci itu aku buka.  Aku masuk sambil memberi salam.  Pejabat itu kelihatan kosong.  Hanya ada sebuah meja dengan dua kerusi.  Sebiji komputer riba, kalkulator, sebatang pen dan beberapa helai kertas berselerakan di atasnya.  Ada satu bilik air dan di sebelah kanan aku kira mungkin sebuah bilik kecil.


Tiba-tiba pintu bilik itu terbuka dan dia muncul. 


“Hai” aku menegur.  Dia memandang aku tanpa berkelip. 


“Boleh pinjam charger?”


Dia berjalan ke arah meja.  Mengumpul kertas-kertas yang berselerak.


“Pakai apa?”


“I phone.”


“Nasib baik sama” dia terus berlalu masuk ke dalam bilik tadi dan muncul semula bersama pengecas. 


“Nanti saya pulangkan.”


“Apa terjadi pada rambut awak?” 


Aku tidak jadi keluar.  Tak ada benda lain ke dia nak tanya?  


“Saya potong” akhirnya aku memberitahu perkara yang sebenar.


“Kenapa? Kan cantik rambut tu.  Tapi lebih cantik kalau dibiarkan dalam warna asal.  Tak perlu diwarnakan, kita orang Melayu lebih cantik berambut hitam.”


Tiba-tiba ayatnya bagai belati yang menghiris tangkai hatiku.  Membuat aku mengingati Muaz yang sentiasa memuji rambutku.  Aku sebak.  Aku biarkan soalannya tidak berjawab dan terus pergi.


Bertalu-talu pesanan masuk sebaik telefon bimbit dihidupkan.  60 miss call dan 23 pesanan.  Kebanyakannya dari Mama, Kak Rina dan Abang.  Abang kini bertugas di Hospital Taiping.  Sejak Abang ditugaskan di Hospital Taiping, dia selalu sibuk.  Hanya dua minggu sekali dia balik ke rumah Mama. 


Aku hantar pesanan kepada Kak Rina dan Abang memaklumkan aku sihat dan selamat, dan tidak perlu risaukan aku.  Kepada Mama aku hantar pesanan memohon maaf kerana melarikan diri.  Aku maklumkan bahawa aku perlukan masa untuk menenangkan perasaan dan mohon agar Mama memahami situasiku.


Pesanan daripada Muaz ku pandang sepi.  Perlukah aku menjawabnya?  Lapan SMS daripadanya.  Kebanyakannya memohon maaf kerana tidak memaklumkan pertunangannya kepadaku.  Alasannya dia terlalu sibuk dan rancangannya hendak berjumpa denganku ialah untuk memperkenalkan aku kepada bakal tunangnya dan seterusnya menjemput aku ke majlis pertunangan mereka.


Tak mengapalah Muaz.  Aku sudah tidak penting bagimu.  Aku yang kau katakan sahabat dunia dan akhiratmu kini dengan mudah kau lupakan.  Dulu kau teman di kala bersedih, kau penghibur hati yang lara, kau pendengar yang setia.  Kalau dulu aku perlukan kau di saat-saat sedihku tetapi kini aku mahu jauh darimu.  Lebih jauh, lebih baik.    


Tidak mahu melayan kesedihan, aku keluar.  Menyusuri tepian sungai, aku merenung air jernih yang tidak pernah lesu mengalir.  Sunyi kawasan ini, tiada orang bermandi-manda, mungkin kerana hari ini hari bekerja.  Aku duduk di atas batu yang separa terendam di dalam air.  Kaki aku juntaikan ke dalam air, dingin air sungai mengelus kakiku, memberi satu perasaan nyaman.  Aku celup jari-jariku ke dalam air.  Ah, sungguh dingin, sungguh nyaman rasanya.  Aku basuh mukaku dengan air dingin itu, ah terasa sungguh segar.


Lama aku duduk di atas batu itu, sambil berfikir tentang apa yang telah terjadi.  Banyak kenangan lama di antara diriku dan Muaz terimbas semula.  Perasaanku bercampur baur, ada ketikanya aku tersenyum sendirian, ada kalanya rasa sayu mengusik tangkai hatiku.  Air mata jatuh lagi.  Menitis terus ke dalam sungai dan bersatu dengan air sungai. 


Alangkah bagusnya jika aku mampu memutar masa, kembali ke zaman universiti.  Pastinya akan aku lakukan tindakan yang sepatutnya ku ambil sejak dulu.  Aku akan berterus terang kepada Muaz.  Aku akan zahirkan perasaanku kepadanya.  Biar dia tahu dari awal.  Mungkin, kalau dari dulu dia merasakan cintaku, aku tidak akan bertepuk sebelah tangan.


“Jauh termenung” suaranya membawa aku ke realiti.  Dia sudah duduk di batu bersebelahan denganku.


“Menangis lagi?” soalnya bila aku berpaling memandangnya.  Air mata ku seka dengan jari.


“Ada masalah dengan keluarga?” dia meneka dan aku menjawab dengan gelengan kepala.


“Masalah dengan boyfriend?” dia meneka lagi.  Aku diam.  Tidak pasti mahu membenarkan atau menidakkan tekaannya.  Layakkah Muaz digelar boyfriend kalau hanya aku yang mencintainya? 


“Masalah kerja?” soalnya lagi.  Isssh dia ni, rimas pulak dibuatnya.  Kenapa dia terus-terusan ingin tahu?  Aku keluar ke sini untuk bersendirian dan menenangkan fikiran, dia pula datang mengganggu.


“Awak kena tipu ke?  Atau kena….”


“Apasal sibuk nak tau?” aku potong ayatnya dan nada suara aku tinggikan.  Geram sungguh dengan si penyibuk ni.  Tiba-tiba terlebih peramah, banyak soal pulak.  Kelmarin sewaktu makan tengahari di rumahnya, senyap sahaja.


“Kenapa pulak saya tak boleh bertanya?  Saya nampak awak dalam kesedihan.  Nampak awak sedang susah hati, jadi saya tanyalah.  Tak salahkan kalau saya nak tau?”


“Salah!  Saya tak kenal awak dan awak pun tak kenal saya.  Buat apa nak tau hal saya.  Mind your own business!” bentakku.  Bengang!


Dia memberikan satu senyuman sinis kepadaku.  Tajam matanya merenung aku, tidak sanggup membalas renungannya maka aku memandang ke hadapan semula.


“Begitu ya.  Jadi kalau saya tak kenal, maka saya tak perlu ambil tahu.  Very individualistic!”  Aku diam.  Lantaklah kau nak kata apa. 


“Saya tak fikir agama saya mengajar saya untuk tidak mengambil berat akan apa yang berlaku di sekitar saya.  Kerana orang macam awaklah, banyak kejadian buruk, kecelakaan dan kemalangan yang boleh dielakkan tetap terjadi.  Budak umur 14 tahun mati dibelasah dua orang pelajar, di hadapan 30 orang yang hanya menyaksikan pergaduhan mereka.  Tak ada seorang pun yang membantu budak tu, kenapa?  Kerana mereka tak kenal budak tu.  Kerana budak yang dibelasah tu bukan anak mereka, atau adik mereka atau sesiapa kepada orang-orang yang hanya seronok menonton.  Inilah budaya masyarakat sekarang.  Dah tak peduli apa terjadi kepada orang lain, yang penting diri sendiri selamat.  Tapi kalau terkena batang hidung sendiri, pandai pulak marah orang yang tak menolong!”


Tiba-tiba dia beremosi.  Dengan penuh semangat dia memberi leterannya.  Tapi dia salah.  Aku bukan begitu.  Belum sempat aku menjawab, dia berleter lagi.


“Sekarang banyak kes orang kena ragut, kena cabul.  Isteri dan anak-anak didera, sampai dah teruk, dah ada yang mati, baru kes terbongkar.  Kenapa?  Sebab orang sekeliling tak ambil berat.  Kalau orang di sekeliling prihatin dan menolong dari awal, banyak mangsa yang boleh diselamatkan, tau tak?”


Ish dia ni, aku keluar untuk mendamaikan hati, menenangkan fikiran tapi lain pula yang jadi.  Dahlah sibuk nak ambil tau hal aku, berleter panjang dengan penuh beremosi ni kenapa.  Ada aku kisah?


“Kalau saya tahu begini attitude awak, baik saya biarkan sahaja awak tenggelam dalam sungai ni hari tu!  Bila polis datang, saya cakap aje ‘entah, saya tak kenal perempuan rambut senget ni jadi saya tak ambil kisah pasal dia’.  Lagi satu, buat apa susah-susah terima pelawaan saya makan di rumah mak saya, kan awak tak kenal saya?”


Oh, ini sudah melampau.  Aku sudah tidak boleh bersabar dengan bebelannya.  Aku berdiri dan sambil menunding jari kepadanya, aku katakan “Dah habis?  Kalau dah, dengar baik-baik apa saya nak cakap dan lepas ni tolong jangan ganggu saya”.


Dia mendongak memandangku.  Ditepisnya jari aku dan bingkas bangun.  Kami bertatapan.  Dadaku berdetak kencang.  Aku menghela nafas panjang, cuba mengawal hati yang sedang marah.  Jangan sampai aku tumbuk mamat ni karang!


“Yang pertama, saya bukan nak bunuh diri.  Saya masih ada iman dan tak akan buat tindakan bodoh mencabut nyawa saya sendiri.  Dan kalau awak ikhlas membantu, jangan mengungkit!   Yang kedua, saya tak pernah terima pelawaan awak.  Saya datang makan di rumah awak kerana pelawaan emak awak!  Yang ketiga, I do care about my surroundings and I do care about what happen in the society.  But I don’t trust you enough to tell you about my problem!  Yang keempat, awak peduli apa rambut saya senget ke, botak ke, apa ke?  It is none of your business and I don’t need anyone to like my hair!”  aku luahkan segalanya dengan penuh emosi juga.  Geram, marah, bengang semuanya bersatu dalam nada suaraku.  Tetapi bila tiba ayat terakhir, suaraku mula bergetar.   Ada bayangan wajah Muaz bila bercakap tentang rambut.


Aku rasa nak menangis.  Tetapi aku tahan tangisan itu.  Tidak berbaloi menangisi perbalahan dengan mamat penyibuk ini.  Kalau tadi aku cuma marah, kini amarahku bersatu dengan kesedihan.  Aku berlalu meninggalkan dia yang bercekak pinggang memandangku. 


Dalam kekalutan untuk meninggalkan anak sungai, aku terpijak batu licin berlumut lalu tergelincir jatuh ke dalam air.  Habis lencun bajuku. Aku berusaha untuk bangun dan ketika itu menghulurkan tangannya namun tidak aku endahkan.    


Sampai di rumah inap, aku tukar pakaian dan keringkan rambutku.  Terpandang telefon yang sedang dicas, lantas aku mengambil telefon.  Abang membalas pesananku tadi, menyatakan syukur mendapat berita dariku.  Abang memang sentiasa memahami aku.  Katanya “take as much time as you want, as long as you come back a stronger and better person.”  In sya Allah abang, adik hanya perlukan masa untuk berfikir dan menenangkan diri.  Adik akan kuatkan semangat dan kembali meneruskan hidup.  Adik tak akan buat perkara bodoh, aku berkata seolah-olah abang berada di sisiku. 


Pesanan dari kak Rina mengundang sebak “sorry sayang, kakak tak tau Muaz ialah tunangan Naurah.  Kalau tau, kakak tak ajak adik ke majlis tu.  Maafkan kakak.  Adik ada di mana?  Jangan lama-lama, cepat balik.  Nanti mama marah.  We are worried”. 


Tiga panggilan dari mama.  Mama memang tak suka menghantar sms, katanya buang masa.  Lebih baik bercakap terus, boleh dapat respons serta-merta.  Maaf mama, nanti Reen call mama ya.  Sekarang kalau Reen call, Reen akan menangis lebih daripada bercakap. 


Pintu rumah diketuk.  Aku bergegas ke pintu.  Mak Jah di sebalik pintu tersenyum manis. 


“Nanti datanglah makan di rumah Mak” mesranya wanita ini.  Dengan santai dia membahasakan dirinya sebagai mak, membuatkan aku rasa serba salah untuk menolak pelawaannya. 


“Buat susah Mak Jah je, tak apalah, Reen ada makanan”.  Aku cuba berdalih.  Padahal yang ada hanyalah seketul roti berkrim cokelat dan sebungkus mi segera.  Rasanya tak lalu nak menghadap makanan itu lagi hari ini.


“Apa susahnya, Reen tak ada pun Mak kena masak juga.  Nanti Pak Akob kamu nak makan juga.  Si Naim pun nak makan.  Tak ada susahnya, datang ya?” bersungguh-sungguh dia mengajak.  Aku serba salah.


“Fina mana Mak Jah?” cuba menukar topik.  Lagipun memang aku tak nampak Fina hari ini.


“Ke rumah kakaknya. Tidur sana.”


“Datang ya, Mak masak lauk special hari ni” dan dengan senyuman yang aku nampak penuh keikhlasan, dia berlalu.  Aku melihat dia pergi dan tidak jauh dari arah rumah Mak Jah, satu susuk tubuh berdiri memandangku.  Sengal! bisikku dalam hati dan segera menutup pintu.  Sakit hati terhadapnya belum hilang.  Aku bergerak menuju ke katil.  Merebahkan badan untuk berehat seketika dan entah bila, aku terlelap.


*******

Ketukan di pintu mengejutkan aku.  Cepat-cepat bangun mendapatkan pintu, dan sebaik sahaja pintu dibuka, dia menghulurkan sebiji bekas makanan kepadaku.


“Mak suruh hantar”.  Aku memandang bekas makanan yang disuanya dengan rasa bersalah.  Macam mana aku boleh tertidur. 


“Ambillah, makan” dia suakan bekas makanan itu bila aku hanya kaku memandangnya.  Aku ambil dan letakkan di atas meja.  Dia masih berdiri di luar.  Sebaik sahaja aku sampai di pintu dia bersuara.


“Boleh keluar sekejap?”


“Pergi mana?”


“Dekat sini je,” dan aku menurut.  Mengikutinya dari belakang menuju ke arah sungai.  Dia terus berjalan melewati chalet pertama.  Aku cuak.  Ke manakah dia hendak membawaku.


“Awak”, panggilku.  “Nak pergi mana ni?”


“Sini bising, susah nak bercakap.  Kita pergi atas tu” lalu di menunding ke arah sebuah bukit kecil.  Memang agak bising di kawasan ini kerana pekerja-pekerja kontraktor masih sibuk menyiapkan apa yang patut di chalet.


Akhirnya kami sampai di atas bukit kecil yang tidak tinggi itu.  Ada sebiji pangkin di situ dia menyuruh aku duduk.


“Nampak tak batu yang paling tinggi tu?” soalnya sambil merendahkan badannya dan menunding ke arah batu yang dimaksudkan.  Aku anggukkan kepala.


“Pagi kelmarin air sungai tinggi, cuma lebih kurang suku dari batu tu yang kelihatan, selebihnya ditenggelami air.  Awak berdiri tegak di atasnya, pakai baju kurung warna pink.  Saya duduk di atas bangku ni, dan saya boleh nampak awak dengan jelas.  Perkara pertama yang muncul di kepala saya ialah awak nak bunuh diri”.


Barulah aku faham kini mengapa dia membawa aku ke tempat ini dan menyuruh aku duduk di atas bangku itu.  Dia mendekati aku dan melabuhkan punggungnya di sebelahku.  Bangku yang kami duduki kecil, namun masih ada ruang di antara kami berdua.


“Tengok sungai tu, tak pernah lesu mengalir kan?  Bila hujan airnya naik, tiada hujan airnya susut semula.  Jangan sekadar memandang kosong sungai tu, tapi ambillah pengajaran dari fitrahnya.  Bila ada masalah, kita kuatkan semangat dan jangan putus asa”.


Dia bangun, meninggalkan aku yang masih kaku di bangku kecil.  Aku pandang ke arah sungai di bawah.  Benar katanya, jangan sekadar memandang kosong, tapi ambillah pengajaran dari fitrahnya.