Wednesday 29 July 2015

SAAT KAU LAFAZKAN EDISI ANNIVERSARY

Assalam.  Ada yang tunggu entry baru "Aku dan 1B3K"?  Maaf ya.  Belum ada.  InsyaAllah dua-tiga hari lagi Isma masukkan bab terbaru.

Sementara tu, apa kata kita enjoy dulu dengan kisah Naim Zakaria dan Izureen?  Isma tulis edisi khas ini sempena genap setahun Saat Kau Lafazkan berada di pasaran.

SKL sangat bermakna kepada Isma Adeliya kerana novel inilah yang membawa Isma ke dunia penulisan novel.  Terima kasih atas sokongan kalian, dan selamat membaca :)

p/s:  Walaupun SKL baru setahun di pasaran, setting edisi khas ni dia orang dah kahwin lebih kurang 3 tahun.


SAAT KAU LAFAZKAN versi anniversary

Izureen

Dia kelihatan sangat penat.  Sampai saja dari Dungun dia terus melabuhkan tubuh yang sudah susut sedikit di atas hammock yang digantung pada pokok yang pernah menyaksikan perbalahan dan lafaz cinta kami. Aku tarik kerusi lipat ke sisi hammock dan duduk di sisinya.  Wajah kacak yang tampak kelihatan letih itu menimbulkan rasa belas dalam hati.  Rambutnya yang kasar aku elus.  Aku suakan tubuhku ke depan agar sebuah kucupan dapat aku hadiahkan di dahinya.

Hmm, penat sangat suamiku ini.  Aku rasa baru saja dia baring, sudah ke mana mimpinya sampai dia tidak sedar aku menciumnya.  Biarlah dia berehat.  Dia memang perlukan rehat secukupnya kerana esok kami akan bertolak ke KL.  Melihat dia lena dengan tenang hati merasa lega.  Rindu yang sudah bertapak dalam hati bagai sudah terlerai. 

Aku tegakkan tubuh sebelum berdiri.  Pinggang yang agak lenguh kerana banyak berdiri untuk menyiapkan tempahan tat cokelat aku gosok dengan tangan kanan sebelum aku berdiri.  Tubuhku palingkan ke arah pondok cinta kami. Baru saja kaki hendak menapak, tangan kiriku ditarik lembut.  Aku berpaling semula dan wajah letih Naim Zakaria yang sudah celik matanya menangkap pandanganku.

"Kenapa nak tinggalkan abang?  Kan Zureen suka tengok muka handsome abang?"

Aku duduk semula di atas kerusi lipat.  Naim segera menarik tangan kananku dan membawa jari jariku ke bibirnya.

"Reen tak nak kacau abang tidur.  Abang nampak letih sangat.  Cukup-cukuplah ulang-alik ke Dungun.  Talib dan Apit kan dah boleh handle?"

"Letih abang hilang bila nampak wajah manis Zureen."

Alahai Naim, bahagianya hati ini saat kau lafazkan kata-kata manismu.  Aku hadiahkan senyuman yang paling manis kepada suamiku.

"Nabil mana?" 

Aku beritahu Naim buah hati pengarang jantung kami ada di rumah emak.

"Kenapa tinggalkan dia dengan emak?  Zureen tau kan abang..."

Aku tekan bibir Naim dengan jari.  "Abah yang suruh tinggalkan."

Aku tahu Naim kurang suka aku meninggalkan Nabil dengan emak kerana Naim tidak mahu emak penat menjaga empat orang cucu dan dia tidak mahu Elida yang agak sensitif itu menganggap aku malas menjaga sendiri anakku.  Tapi sebab yang lebih utama ialah Naim tidak mahu Nabil dibuli kerana pernah beberapa kali ketika Nabil dan Zetty berebut mainan, Hafiz dan Lokman pantas saja memenangkan adik mereka.  Zetty memang manja kerana dia satu-satunya anak perempuan Elida, anak saudara perempuan Naim dan Fina malahan cucu perempuan emak dan abah.  Aku sendiri sangat senang dengan Zetty yang putih gebu itu dan seronok juga melihat Zetty yang pelat mengusik Nabil.  Tapi suamiku yang over protective tak mahu Nabil kalah dengan Zetty.

Wajah Naim masih ada riak kurang senang.  Dia bangkit dari hammock dan menarik tanganku agar mengikutinya. Aku tahu dia hendak mengambil Nabil.  Dia memang tak senang duduk kalau Nabil ditinggalkan di rumah emak dengan anak-anak Elida ada sekali.

"Abang, abah dan emak kan ada.  Takkanlah dia orang biarkan budak-budak tu bergaduh.  Abang sambunglah baring, kan abang penat?"  Aku paut pinggang Naim dengan sebelah tangan dan usap dadanya dengan tangan sebelah lagi.  Tindakan aku menyebabkan Naim tidak dapat bergerak.

"Dah jangan nak goda abang.  Abang nak ambik Nabil."  Naim bertegas.  Matanya tajam merenung.  Renungan tajam itu sangat aku rindukan setelah empat hari dia menghabiskan masa di Villa Mahabbah. 

"Bila masa pulak Reen goda abang?" 

Naim senyum, tangannya naik menjamah pipiku dan dia cubit lembut sebelum berpaling dan berkata "abang nak pergi ambil Nabil."

Aku hanya melihat dia pergi dengan rasa bengang.  Tadi dia kelihatan sangat letih.  Nabil punya pasal, hilang letihnya. Nampaknya aku kalah lagi dengan Nabil.





Naim Zakaria

Dari jauh aku dapat mendengar suara nyaring anak saudaraku mengekek. Seronok bunyinya Zetty ketawa, bagaikan ada sesuatu yang sangat melucukan.  Tidak terdengar pula suara Nabil, mungkin mereka tidak bermain bersama.  Eloklah begitu sebab Zetty tu suka membuli.  Kalau setakat membuli abang-abangnya aku boleh terima, ini Nabil pun jadi mangsa dia.  Mentang-mentanglah Nabil tu muda tujuh bulan dari dia.

Elida tekun bekerja di pejabat.  Aku menyahut sapaannya sebelum terus berlalu ke rumah abah.  Emak tiada di dapur.  Aku pergi ke ruang tamu dan melaungkan nama Nabil.  Aku dengar suara Zetty saja.  Sebaik saja kaki mencecah ruang tamu, aku terpempan dengan apa yang ku lihat.

"Zetty!  Jangan buat Nabil macam tu.  Turun!"  Suara aku yang kuat mengejutkan emak yang terlelap di samping timbunan pakaian yang sedang dilipat.  Zetty tersengeh memandang aku sedangkan Nabil pula monyok wajahnya.

"Pa' Yong, beeeesh tita main tuda. Abil jadi tuda, Ety jadi pinshes."

Sakit hati aku mendengar kata-kata Zetty.  Tak padan dengan pelat, asyik membuli anak aku saja.  Aku tarik Zetty dan turunkan dia dari atas pinggang Nabil yang sedang merangkak.  Walaupun Nabil lebih muda daripada Zetty, tubuhnya lebih besar dan tinggi.  Tapi itulah, harap badan saja besar, tapi lembik dan cengeng.

"Ayah."  Nabil peluk aku erat-erat.  "Bila ayah balik?"  Janggut aku digosok.  Itu tandanya Nabil rindukan aku.

"Tadi.  Nabil buat apa ni?  Kenapa main macam ni?"

"Zetty suruh Nabil jadi kuda, Nabil jadilah."  Dengan selamba Nabil menjawab.  Sebiji macam perangai selamba Fina.

"Kan ayah dah kata jangan benarkan Zetty buli Nabil?  Kenapa main macam tu?  Kan sakit belakang tu?"

Aku usap belakang Nabil, kemudian periksa tapak tangan dan lututnya.  Mujur tidak ada apa-apa calar atau lebam.

"Tak sakit."  Jawapan Nabil melegakan hatiku.  Bagaimana boleh aku buat anak kecil ini faham betapa aku tidak berkenan dengan cara dia berlembut dan beralah dengan Zetty.

"Deme main-main jer Naim. Yang kamu marah benor ni ngape?  Deme tu budak-budak yang sihat, elok ler deme tu lasak sikit, terutamanya Nabil ni.  Bior dia lasak sikit."  Emak bertanya sambil memandang aku dengan riak tidak puas hati terpamer di wajahnya.  Emak pun sama dengan Zureen, ambil ringan saja hal budak-budak ni.  Nanti kalau Nabil tercedera, siapa yang susah?

"Jangan dimanjakan sangat anak tu.  Biorkan dia lasak macam Lokman dan Hafiz.  Barulah dia membesor menjadi budak yang berani, cergas.  Kan Nabil?  Nabil nak jadi hero kan?"  Emak usap kepala Nabil dan dia mengangguk.  Aku tenung emak dan Nabil dengan rasa tidak percaya.  Takkan emak nak Nabil jadi macam Lokman dan Hafiz?  Budak berdua tu bukan lagi dalam kategori lasak, tapi buas.

Emak berdiri. "Jom minum," katanya lagi sambil berjalan menghala ke dapur.  Zetty dan Nabil berlari mengikuti emak.  Aku tersenyum melihat mereka berlari terkedek-kedek.  Nabil nampak elok saja, macam budak lelaki yang aktif.  Zetty yang berada di hadapan tiba-tiba berhenti dan mendepakan tangannya, menghalang Nabil dari mara.

"Tepilah!"  Nabil tepis tangan Zetty namun Zetty tidak berganjak.

"Tak boyeh.  Abil tak boyeh pergi dapur."

Aku mendekati mereka.  Nabil berpaling memandangku dengan wajah cemberut.  Aku gerakkan tangan menyuruh Nabil terus mara ke dapur sambil mulutku menyebut “pergi” beberapa kali dengan suara yang perlahan.

"Tepilah!  Kita nak pergi dapur."  Nabil bersuara, kali ini dengan nada suara yang lebih garang.  Bagus, macam itulah anak aku, mana boleh cepat mengalah.

"Tak bo-yeh!"  Kali ini suara Zetty juga semakin tinggi. Aku nampak sifat garang Elida dalam diri Zetty.

"Tepi!"  Nabil semakin garang.

"Tak boyeh!"  Serentak dengan jeritan itu, Zetty menolak Nabil dengan kuat sehingga Nabil terduduk atas lantai.  Nabil menjerit dan kemudian menangis.  Aku tidak pasti adakah kerana punggungnya sakit atau kerana dia bengang dibuli oleh Zetty lagi.  Zetty hanya memandang ke arah Nabil dengan wajah selamba, seolah-olah dia tidak bersalah.

"Ya Allah budak berdua ni macam anjing dengan kucing.  Udah jangan gaduh.  Moh kita makan nugget, opah dah gorengkan untuk kome berdua."  Emak meluru dari dapur, capai tangan Zetty dan pimpin dia ke dapur.  Nabil dibiarkan menangis.  Ini tak adil!  Kenapa emak layan Zetty lebih baik daripada Nabil?

Aku melutut di sisi Nabil dan mengusap rambutnya.  Aku pujuk dia supaya berhenti menangis.  Aku tanya sakitkah, dia menggeleng. Tapi gaya dia menangis macam sakit sangat.  Emak keluar semula dari dapur, usap rambut Nabil dan kesat airmatanya.

"Ala sayang.  Kesian cucu opah ni, kena lagi dengan Zetty ya.  Jom ikut opah."  Emak dokong Nabil dan membawanya ke dapur. Nampaknya aku sudah salah anggap terhadap emak.  

"Mak, biar Naim bawak."  Aku ambil Naim dari dokongan emak.  Tidak patut aku biarkan emak mendokong Nabil yang agak besar badannya berbanding usia.  Di dapur aku dudukkan Nabil bersetentang dengan Zetty agar ada jarak yang besar antara mereka. 

"Nak!"  Jerit Zetty sambil menghulurkan tangan ke arah Nabil ketika Nabil baru hendak menggigit sekeping nugget.  Bulat mata Nabil memandang Zetty yang sudah menjerit untuk kali kedua sambil menggoyangkan tangannya ke arah nuget yang dipegang oleh Nabil.

"Zetty, kan ada dalam pinggan tu untuk Zetty, ngape diambik yang Nabil punya?" Emak bertanya dengan suara yang sedikit keras.  Aku pun sudah mula rimas dengan kerenah Zetty.  Macam mana Elida mendidik anak sampaikan pada usia tiga tahun Zetty sudah tunjuk diva?  Aku harap Izureen akan membesarkan anak-anak kami baik.

Zetty terus menjerit meminta nuget Nabil walaupun emak memujuknya.  Sudahnya Nabil gigit separuh nuget dan berikan separuh lagi kepada Zetty.  Barulah si pelat itu diam.  Nampak sangat Nabil sering mengalah.

Aku dokong Nabil dan bawa piring nugetnya ke wakaf di tepi sungai.  Kebetulan Izureen juga sedang berjalan ke arah kami.

"Sakit hati abang dengan Zetty tu.  Asyik membuli Nabil saja.  Tadi dia suruh Nabil jadi kuda lepas tu dia naik atas belakang Nabil dan suruh anak kita merangkak pusing ruang tamu rumah emak.  Lepas tu nugget Nabil semua dia nak.  Inilah sebab abang tak bagi Zureen tinggalkan Nabil di rumah emak.  Kalau nak tinggalkan Zureen mesti ada sekali.  Faham?" 

Entah kerana penat atau memang kerana hati ini sakit melihat Nabil dibuli oleh Zetty, aku bercakap dengan suara yang sedikit keras. 

Wajah Izureen berubah. 


Izureen

Naim sudah lama lena sedangkan aku masih terkebil-kebil merenung siling dalam kegelapan malam.  Banyak yang ingin aku bicarakan dengannya namun sejak kepulangannya dari Dungun petang tadi aku hanya mampu menyulam rasa kecil hati kepadanya.  Aku faham dia penat.  Aku juga mengerti dia sayangkan Nabil Imran dan seboleh-bolehnya dia mahu melindungi Nabil.  Tapi aku tetap merasakan sejak kebelakangan ini aku dan Naim semakin jauh?  Adakah aku yang terlebih sensitif atau memang perhatian Naim kepadaku sudah semakin berkurangan? 

Aku tolak gebar dan turun dari katil.  Pintu gelangsar yang sedikit renggang aku tolak dan aku keluar ke balkoni.  Angin malam teras sangat mendinginkan, bagai mengiringi kesayuanku.  Dalam kepekatan malam aku tidak mampu melihat sungai di bawah.  Seperti hatiku yang tidak mampu mencerna perasaan yang terbuku dalam hati.

Malam ini sepatutnya dapat aku khabarkan berita gembira kepada Naim namun aku hampa.  Kehampaan yang menjentik hati tiba-tiba memudahkan airmataku jatuh.  Aku melepaskan keluhan kecil.  Satu-satunya cara untuk merungkai kemelut perasaanku adalah dengan berterus terang dengan Naim.  Esok, aku akan meluahkan apa yang terbuku dalam hati kepada Naim.  Mungkin semasa dalam perjalanan ke KL aku boleh bercerita, asalkan dia tidak meminta aku memandu dan dia tidur hingga kami sampai KL, seperti yang terjadi bulan lepas.
           
Angin yang bertiup terasa semakin dingin.  Kesejukan terasa di pipi yang basah dengan airmata.  Aku berpaling dengan niat mahu masuk ke bilik semula.  Namun kaki tidak bergerak kerana mata sudah menangkap wajah Naim yang berdiri di jenang pintu sambil merenung aku.  Dalam kegelapan malam aku mampu melihat dengan jelas renungan tajam matanya yang menusuk jauh ke dasar hati.  Matanya bersinar. Aku nampak kasih sayang dan cinta yang tulus dalam sinaran mata Naim Zakaria.  Aku juga nampak garis-garis keletihan di wajahnya. 

Ya Allah, isteri apakah aku ini, yang pantas berkecil hati bila perhatian sang suami terhadapku mula menyusut, sedangkan mungkin dia tidak sengaja?  Airmataku menderas lagi.  Naim sudah berada betul-betul di hadapanku. 

"Abang punca tangisan ini kan?"  Dia menyoal sambil jarinya menyeka pipiku.  Aku kalihkan mataku dari wajahnya.  Tiada gelengan, tiada anggukan dan tiada kata-kata yang mampu aku suarakan.

"Maafkan abang kalau kata-kata abang petang tadi melukakan hati Zureen."

            Aku pandang semula Naim, mata kami bertaut.  "Abang tau Zureen tak suka abang manjakan sangat Nabil.  Mak pun tegur abang tadi.  Maafkan abang.  Abang hanya mahu jadi ayah yang terbaik untuk Nabil.  Abang tak sedar rupa-rupanya Abang telebih dalam hal ni."

Ujarnya sambil membelai rambutku yang dihembus bayu.  Aku mengangguk, menandakan aku faham dan aku sudah tidak marah akan hal Nabil.  Tapi hati ini masih belum lega.  Perlukah aku luahkan sekarang, atau esok saja ketika kami pulang ke KL?

"I know I have been busy lately.  Sampai tak sempat luangkan masa untuk Zureen."  Suara Naim seakan berbisik, dan tangan kekarnya sudah melingkar di pinggangku.  Perkataan ‘lately’ itu tidak tepat kerana sebenarnya dalam tahun ini Naim sentiasa sibuk.  Kami belum bercuti ke mana-mana.  Bila balik ke KL pun Naim tetap sibuk dengan urusan syarikat hiasan dalamnya.  Semua itu tidak menjadi masalah kepadaku sebelum ini kerana aku faham tanggungjawab Naim menguruskan tiga perniagaan dalam masa serentak.  Tapi hari ini aku sangat terasa dengan sikap Naim. 

"Tapi sesibuk mana pun, abang tau perkembangan Zureen, cuma tak sempat berbual pasal tu.  Esok, sebelum balik KL kita pergi klinik untuk sahkan."

Kali ini keningku ternaik dengan kata-kata Naim.  Aku merenung tepat ke dalam matanya dan dia melukis senyuman di bibir dengan reaksiku.

"Abang dah tahu?" 

Naim mengangguk.  "Sebelum abang pergi Dungun abang dah tau."

"Mak cakap?"

Naim menggeleng.

"Habis tu, Ida?"

Naim menggeleng lagi. 

"Fina?"

Senyuman Naim melebar.  "Budak tu, sejak ada Irsyad Rifqi dalam hidup dia, dah jarang call Along dia ni."

“Habis macam mana abang tau?”  Aku menyoal sambil dalam hati aku cuba meneka bagaimana Naim mengetahui tentang kehamilanku.  Naim tarik tubuhku agar rapat dengannya dan melepaskan satu ciuman di dahiku.  Hatiku semakin sejuk.

“Reen rindu abang.  Ingatkan petang tadi nak bagi tau abang, tapi abang sibuk dengan Nabil.  Nak bagi tau malam, awal-awal abang dah lelap.”  Akhirnya aku memilih untuk berterus terang, agar Naim faham kenapa aku terkilan. 

"Kali terakhir Zureen suka cium ketiak abang masa mengandungkan Nabil.  Lepas bersalin mana ada Zureen cium ketiak abang lagi.  Tapi lately….”

Aku tekup mulut Naim.  Malulah bila dia ingatkan tentang tabiat pelik aku yang suka mencium ketiaknya sebelum tidur semasa mengandungkan Nabil dulu.  Nampaknya tabiat yang sama berulang.  Naim turunkan tanganku dan genggam erat. 

"Keluarga kita akan bertambah.  Sebelum alahan Zureen start, abang nak siapkan kerja di Dungun supaya boleh jaga Zureen.  Sebab tu abang stay lama sikit kat Dungun.  InsyaAllah lepas renovation selesai, abang akan pergi sana sebulan sekali saja.  Masa tu abang janji, akan luangkan banyak masa dengan Zureen."

Aduhai Naim, betapa berbunganya hatiku saat kau lafazkan janjimu.  Aku tahu suamiku pasti akan mengotakan janjinya kerana dia suami yang bertanggungjawab, anak yang bertanggungjawab dan bapa yang… over protective.

"Abang."

"Hmm." 

"Janganlah manjakan sangat Nabil.  Reen tak nak Nabil tu jadi lembik sebab ayahnya selalu cover.  Biarkan dia handle sendiri situasi.  InsyaAllah dia akan tau macam mana nak bawa diri nanti.  Tapi kalau sikit-sikit abang protect dia, Reen takut dia nanti tak pandai berkawan, lembek, cengeng.  Nanti dia tak pandai berkawan.  Reen dah rasa membesar tanpa kawan.  I grew up as a lonely girl."

"Abang akan cuba.  Bukannya apa, abang kesiankan Nabil.  Dia seorang, sedangkan Zetty tu ada abang-abangnya yang protect dia.  Abang ingat bila abang tolong dia, dia akan jadi lebih confident."

"Nanti Nabil akan ada adik-adik.  Sebagai anak sulung dia kena tough supaya dia boleh protect adik-adiknya.  Macam mana dia nak belajar jadi berani dan cekal kalau abang asyik protect dia?"

            Naim mengangguk.  Tubuhku ditarik dengan lembut ke dalam rangkulannya.  Hatiku terasa damai dan dadaku terasa ringan.  Bunga-bunga bahagia berkembang mekar dalam jiwa.

“Abang harap kali ni kita dapat anak perempuan.  Biar Zetty ada saingan.  Padan muka dia, semua orang tak akan manjakan dia lagi.” 

            Naim!  Saat kau lafazkan ayat itu aku hanya mampu tersenyum. 



Tuesday 21 July 2015

AKU DAN 1B3K BAB 18

Assalam.  Selamat Hari Raya.  Isma mohon maaf kalau dalam sedar atau tidak, secara sengaja atau tidak, Isma ada mengguris hati sesiapa, sama ada melalui karya, melalui kata-kata atau perbuatan.

Maaf juga kerana lambat naikkan bab terbaru.  Sibuk dengan persiapan raya dan kerja-kerja di pejabat yang menimbun.

Jemput baca Bab 18.  Siapa ingat Naim Zakaria, hero #Saat Kau Lafazkan?  Bab 18 ada Naim.

Enjoy!


BAB 18

Emak terkejut melihat aku tetapi tetap memeluk dan mencium aku dengan gembira.  Emak tanya macam mana aku boleh berada di sini.  Aku ceritakan kepada emak yang aku sebenarnya dalam perjalanan balik ke KL, tetapi dek rindu yang tidak tertahan lagi aku memandu ke arah utara untuk singgah sekejap di kampung.  Aku tanyakan emak di mana abah.  Kata emak abah pergi mengambil buah sukun di belakang rumah Pak Amid.  Aku juga ceritakan kepada emak yang aku datang bersama bos. 

            “Lah, kenapa tak diajak bosnya masuk sekali?”  Emak bertanya sambil menuju ke pintu dapur.  Aku cubit tempe goreng yang bersembunyi di bawah tudung saji dan kerling ke emak.
           
            “Dia tengah tidur.”  Aku labuhkan punggung atas kerusi. 

            “Kesian dia.  Ajaklah masuk, suruh dia berehat dalam bilik Along.”  Emak berkata sambil berpatah semula ke meja makan.  Suruh si 1B3K tu berehat dalam bilik Along?  No way.  Tak naklah dia masuk rumah aku. 

Aku belum solat Zuhur jadi aku beredar ke bilikku selepas meneguk air sejuk yang aku ambil dari peti sejuk.  Sampai di bilik katil kesayangan bagai memanggil-manggil.  Apa lagi, aku baring sekejap di atas katil.  Aduh, sedapnya dapat baring di atas katil sendiri.  Lagi sedap bila dapat rangkul bantal peluk merangkap bantal busuk.  Alangkah bagusnya kalau aku dapat melelapkan mata sekejap.  Tapi kalau aku pejamkan mata, aku yakin aku akan terlena.  Silap-silap bos 1B3K yang terjaga dahulu.  Maka aku bangun dan bersolat.

            Usai bersolat aku pergi ke tepi tingkap untuk mengintai keluar.  Kereta comel Bos 1B3K masih di situ.  Tapi dari tempat aku berdiri aku tidak boleh nampak kelibatnya dalam kereta.  Tidak mengapalah, aku yakin dia masih lena.  Sudah alang-alang sampai di rumah, aku menukar pakaian.  Kemeja dan seluar aku gantikan dengan t shirt berlengan panjang dan jeans lusuh.  Hmm, barulah selesa.  Aku kenakan tudung dan berjalan ke dapur.

            Ketika berjalan ke dapur aku dengar suara abah di ruang tamu.  Aku berpatah balik, tidak jadi turun ke dapur sebaliknya berjalan ke ruang tamu dengan hati yang penuh rasa teruja kerana hendak berjumpa abah.  Sebaik saja aku nampak abah, aku terpempan.  Abah sedang berbual dengan dia!  Alamak, bila masa dia bangun?  Macam mana dia boleh dengan santainya duduk berbual dengan abah?  Aku dekati abah dan salam tangannya.  Kemudian aku cium tangan abah dan peluk abah.

            “Abah sihat?  Orang rindu sangat dengan abah.  Tu yang orang drive ke sini.  Kalau kena marah dengan bos pun orang sanggup asalkan dapat jumpa abah.”  Sengaja aku cakap begitu, dengan harapan Bos 1B3K tak marah aku.  Aku kerling ke arahnya.  Dia nampak tenang.

            “Abah sihat.  Kamu ni, ngape tak cakap nak singgah sini?  Lepaih tu ada ke patut dibiorkan bos kamu tidor dalam kereta?  Ngape tak diajak bos ni masuk sekali?”

            Aku tersengeh ke arah abah.   Begitulah yang biasa aku lakukan bila aku buat salah.  Kalau dulu masa kecil abah akan tarik hidung aku.  Sekarang kerja menarik hidung aku sudah diambil alih oleh Along.  Abah sekadar memandang aku tanpa senyuman tergaris di bibirnya.

            “Orang minta maaf.  Tadi orang tengok bos tidur lena sangat.  Orang tak sampai hati nak kejutkan bos.  Orang ingat lepas solat nak pergi tengok bos rupa-rupanya abah dah bawa bos masuk.”  Terpaksa aku bohong sunat.  Sebenarnya aku tidak ada niat langsung hendak pergi ke kereta meninjau keadaan bos.

            “Masa abah balik dari rumah Pak Mid tadi, abah terkejut bila nengok bos kamu ni terlentok dalam kereta.  Ingatkan pengsan.  Abah ketuk tingkap.  Kesian dia, terpinga-pinga bila terjaga.  Ish kamu ni, kalau nak bawak bos datang ke rumah, bagi tau le awei-awei.  Boleh mak kamu masakkan something special.

            Sengehan aku semakin lebar.  Alamak, rugilah tadi tak dapat tengok keadaan Bos 1B3K terpinga-pinga.  Aku kerling ke arahnya.  Rupa-rupanya dia sedang pandang aku.  Mata dia macam hendak bagi tahu dia sedang control macho tapi sebenarnya dalam hati dia tersimpan perasaan bengang terhadap aku.  Aku tayang gigi dan kemudian minta diri dan berlalu dari ruang tamu.



Salah satu sebab aku tidak mahu Bos 1B3K masuk ke rumah ialah abah aku terlebih peramah dan mesra.  Baru saja berkenalan dengan Bos 1B3K sudah dibawanya bos aku itu meninjau sekeliling kawasan chalet Teratak Khadijah.  Begitu jugalah yang abah buat kepada Nafiz ketika dia datang ke sini.  Kalau setakat membawa Bos 1B3K melihat sekeliling kawasan rumah, chalet dan homestay yang Along usahakan tidak mengapa.  Yang aku risaukan nanti abah akan bercerita macam-macam perkara tentang aku kepada Bos 1B3K.  Jangan nanti bos kenakan aku dengan maklumat yang abah berikan.

Sementara abah bawa dia, aku berborak di dapur dengan emak.  Kak Ida sudah balik jadi tidak dapatlah aku berjumpa dengan Lokman, Hafiz dan Zeti.  Kak Long ada di rumahnya, Along pula keluar.  Emak masukkan sukun goreng ke dalam bekas plastik. Aku capai sekeping sukun dan sumbat ke dalam mulut. Sedapnya makan sukun goreng, lebih-lebih lagi bila buahnya elok ranum. Kalau buahnya sudah lembik sedikit aku tak suka.

"Bawaklah ke belakang, boleh bagi bos kamu tu rasa." Ujar emak sambil memasukkan sedikit gula ke dalam mangkuk kecil.  Itu mesti untuk abah sebab abah suka makan sukun goreng cicah gula.  Aku masukkan bekas berisi sukun ke dalam bakul sambil dalam hati bertanya retikah Bos 1B3K makan sukun?

Kemudian aku bancuh kopi ‘o’ seperti yang emak suruh.  Abah dan emak memang suka minum kopi ‘o’.  Termos berisi kopi ‘o’ pun aku masukkan ke dalam bakul.  Selepas tu aku capai empat biji mug plastik dan sumbat dalam bakul.  Muat-muat saja semuanya dalam bakul kesayangan emak.

Aku jinjit bakul ke wakaf tepi sungai.  Dari jauh aku nampak kelibat Along, mesti dia baru baliklah tu.  Dia duduk di atas batu besar di gigi air.  Membuak rasa rindu terhadap satu-satunya abang kandungku, diiringi rasa hendak menyakat.  Aku letak bakul atas pangkin dan berjalan perlahan-lahan supaya Along tidak dengar derapan kakiku. Sampai di belakang Along aku paut kedua bahu Along dari belakang dengan sebelah tangan dan tutup matanya dengan sebelah tangan lagi.  Along meronta. Aku lepaskan bahunya dan cucuk pinggang Along. Aku pelik sebab Along tidak gelak. Sebaliknya dia terus meronta.  Tanganku yang menutup matanya berjaya diturunkan dan apabila Along berjaya memusingkan badannya, aku terpempan.

"B...b...bos!"  Akhirnya dengan bersusah payah berjaya juga aku keluarkan perkataan itu.  Dia diam sambil merenung tajam ke arahku. Pinggangku ditarik dan aku jatuh terduduk di atas pehanya.  Mata kami bertaut pandang. Ada debaran yang berdentum dalam dadaku.  Aku pegun melihat matanya. Dia juga kaku. Yang bergerak hanyalah bibirnya tetapi aku tidak mendengar apa-apa pun dituturkan.  Matanya melekat kuat dengan mataku dan tangannya melingkar utuh di pinggangku.   

Aku hendak minta bos lepaskan aku tapi yang keluar dari bibirku hanyalah perkataan ‘bos’.  Seperti yang pernah terjadi sebelum ini Bos 1B3K bagaikan tersedar dari khayalannya. Pinggangku dilepaskan. Hampir saja aku terjatuh maka secara spontan aku cepat-cepat paut lehernya.  Bos 1B3K tangkap lengan aku dan pegang dengan erat, seolah-olah mahu mengelakkan aku dari terjatuh.   Mata kami bertatapan lagi sebelum mata Bos 1B3K menerawang ke sekitar wajahku.  Aku rasa pipi aku panas.  Dada aku berdentam dentum dengan debaran.  Aku ingin tarik tanganku dari lehernya tapi tangan aku kaku.

“Bos… sosorry.  Saya ingat Along tadi.”  Akhirnya dengan seribu kepayahan berjaya juga aku bersuara.  Bos lepaskan lengan aku.    Satu suara melaungkan nama aku dengan keras  dari belakang.  Bila aku berpaling, Along sedang memandang sambil menghampiri kami.  Mukanya kelat sambil matanya bergilir memandang aku dan Bos 1B3K.  Aku cepat-cepat bangun.  Dari riak wajah Along aku tahu aku bakal menghadapi satu situasi yang sukar.

"Astaghfirullahal adzim! Fina! Kamu buat apa ni? Ni jantan mana yang buat tak senonoh dengan kamu ni?"  Along berdiri sambil mencekak pinggang.  Along tayang muka garang dengan dahi berkerut.  Cepat-cepat aku depakan tangan ke arah Along, menghalangnya dari mendekati Bos. 

"A... Along, ni… ni bu… bukan jantan.  Ni bos orang. Bos ni a... abang saya."  Aku gugup dan risau. Janganlah Along fikir yang bukan-bukan. Dari cara Along memandang kami, aku rasa dia tidak percaya dengan apa yang aku katakan.  Aku dekati Along dan bersalam dengannya. Bos 1B3K pun menghulurkan tangannya untuk bersalam.  Along sambut tangan bos sambil memberikan pandangan tajam terhadap Bos 1B3K.

"Bukan kah bos kamu perempuan?"  Along bertanya.

"Yang perempuan tu Ms Tan, bos betul di bahagian akaun. Yang ni... sementara waktu… orang jadi Pembantu Encik Rifqi."

Dari gaya Along memandang aku tahu dia masih belum berpuas hati dengan penjelasanku.  Jadi aku ceritakan dari mula sehingga bagaimana aku boleh terpeluk Bos 1B3K. Aku mengaku aku salah kerana menyangka Bos 1B3K adalah Along. Macam manalah aku tak salah sangka, t-shirt yang tersarung di badan Bos 1B3K dan seluar paras lutut yang dipakainya milik Along.

"Macam mana Bos boleh pakai baju tu?" Aku bertanya sambil memandang ke arahnya.

"Abah yang bagi." Datang satu suara dari belakang.  Aku berpaling dan mataku melekat pada wajah Abah yang sedang meghampiri kami sambil berpegangan tangan dengan emak.

"Tadi Encik Rifqi ni kata dia nak mandi sungai tapi tak bawak baju.  Abah ambik pakaian Naim dari ampaian, bagikan pada Encik Rifqi ni." Abah menjelaskan.  Hmmm...jadi abahlah puncanya aku terpeluk Bos 1B3K. 

"Udah le tu. Moh kita minum.”  Emak pula bersuara.  Terima kasih emak kerana meredakan suasana. 

"Marilah Rifqi.  Naim jom minum sekali.  Fina pergi panggil Kak Long." Abah mempelawa.  Bos 1B3K kelihatan teragak-agak.  Aku rasa dia takut dengan Along.  Along mengalih pandangannya ke arah Bos.  Aku risau, takut kalau Along marah bos kaw-kaw.  Along ni bukan boleh percaya sangat.

"Fina."  Along memanggil ketika aku hendak melangkah.  "Jaga sikit perangai tu. Jangan dibuat macam tadi.  Kamu tau kan apa hukumnya bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim kamu?"  Alahai Along ni, kot ya pun nak bersyarah, buatlah kejap lagi.  Aku segan dekat Bos 1B3K.  Sudahlah terpeluk dia, kena marah pula depan dia.

"Tau. Orang minta maaf, bukannya orang sengaja.  Kalau orang tau itu bukan along tak adalah orang paut dari belakang."  Aku menjawab dan terus berjalan menghala ke bukit yang di atasnya terbina rumah Along.  Nanti aku nak luahkan perasaan kepada Kak Long.  Macam-macam perasaan yang ada dalam dada aku sekarang.  Malu, geram, bengang dan entah apa-apa lagi.

Aku sekadar dapat berbual dengan Kak Long sekitar setengah jam.  Sempatlah aku bercerita bagaimana aku boleh berada di kampung ketika ni dan apa yang terjadi di tepi sungai tadi.  Sedang rancak berbual, Nabil terjaga.  Terus aku dokong dia dan cium pipi dia puas-puas.  Selepas itu aku bawa dia turun ke sungai.  Kak Long suruh aku turun dulu kerana dia hendak menyarung tudung. 

            Ketika aku melintas batu besar yang diduduki oleh Bos 1B3K, aku nampak dia sedang berendam dalam sungai.  Air sungai yang mengalir deras nampak macam sangat menyegarkan.  Bos 1B3K kelihatan seronok berendam dalam air.  Aku teringat dia batuk.  Kan tak elok kalau main air masa batuk?  Nanti dari batuk boleh merebak ke selsema, sakit tekak dan demam.

“Bos!”  Aku laungkan namanya.  Dia memandang ke arahku.  “Tak elok berendam lama-lama.  Bos tu batuk, nanti dapat selsema pulak.”  Habis melaung aku terus berjalan ke arah wakaf.  Sampai di wakaf Along sambung berleter pasal kejadian aku peluk Bos 1B3K.  Apa lagi pilihan yang ada, tadah telinga sajalah.

“Bos kamu tu pun Along dah warning.  Kalau dia ambil kesempatan, bagi tau Along.”

            Mencerlung mata aku bila dengar Along cakap begitu.  Apalah Bos 1B3K fikir pasal keluarga aku nanti?  Yang si bapa terlebih ramah, yang si abang terlebih garang.  Jadi bahanlah aku di pejabat nanti.  Along jegilkan mata dia kepadaku, menandakan jangan ditegur perbuatannya.  Aku mencebik.

            “Kamu ni Naim, adik tu baru sampei udah kamu leterkan.  Kan dia dah kata tadi dia terpeluk bosnya sebab ingatkan bosnya tu kamu.  Saiz badan kome nampak lebih kurang je.  Fina tu nak menyakat kamu tadi.”  Abah membela aku.  Emak sekadar tersenyum sambil menarik Nabil dari dokonganku.

            Aku ambil sekeping sukun dan berpaling semula ke arah sungai.  Ketika itu juga Bos 1B3K sedang berjalan ke arah kami.  T shirt Along yang agak sendat dan basah melekat di badan bos, menampakkan dadanya yang bidang.  Dada aku berdegup lagi tatkala mata aku melurut ke dadanya.  Ish, apahal jantung ni asyik berdegup laju?  Yang mata ni pula, banyak benda lain boleh dipandang kenapa dadanya yang aku tenung?

            Aku gigit sukun tapi bila aku hendak kunyah sukun itu, otot-otot rahangku bagaikan kaku.  Bos 1B3K semakin menghampiri kami.  Dia membelok ke arah chalet dan menghilang dalam chalet .  Fuh!  Lega.  Tiba-tiba aku sudah boleh kunyah sukun.


            “Abah ajak bos kamu tu makan malam di sini sebelum balik.”  Kata abah.  Sukun yang aku telan terasa tercekik di kerongkong.  Kan dah kata tadi, abah aku terlebih ramah dan terlebih mesra.

Monday 13 July 2015

AKU DAN 1B3K BAB 17

BAB 17

Dalam pesanan whatsapp yang dihantarnya malam tadi, dia minta aku jumpa dia di lobi jam 7.30 pagi.  Itu saja.  Dia tidak kata dia maafkan aku, dan tidak juga ada apa-apa respons terhadap permintaan aku yang mahu dia menjaga batasan.  Maka berdirilah aku di lobi menanti kedatangannya.  Bila aku nampak kereta Mini Cooper S Coupe berhenti depan pintu utama aku cepat-cepat keluar.  Bos 1B3K keluar dari pintu bahagian pemandu.  Kenapa pula dia memandu sendiri dan tidak gunakan BMW X5 berwarna perak?  Satu lagi perkara yang menghairankan aku ialah dia ni kaya raya tapi setakat pakai Mini Cooper saja.  Belilah kereta yang lebih gempak.

            “Ikut aku pergi Ipoh.”  Katanya bila dia nampak aku.

            “Bukankah hari ini bos sepatutnya pergi Kuantan?”  Aku ingat jadual dia jadi aku tanya soalan itu.

“Aku nak pergi Ipoh hari ni.  Kuantan tukar ke Isnin.”  Dia jawab dan kemudian dia batuk.  Batuk kecil saja.

"Kau ada lesen?” 

Aku mengangguk.  Dia datang ke bahagian penumpang belah depan dan berdiri di sisi aku.  "Kau drive."

Biar betul dia ni.  Aku ni pembantu, bukan pemandu.  Aku tidak berganjak.

"Aku tau kau terpikat dengan wajah kacak aku ni.  Tak payah tenung aku lama-lama.  Masuk sekarang dan pastikan dalam masa tiga jam kita dah sampai Ipoh."  Bos 1B3K tersenyum.  Memang dia kacak.  Nampak muka dia lagi kacak bila dia senyum.  Kemeja berwarna kuning cair dengan tali leher berwarna biru gelap yang melekat ditubuhnya membuatkan dia kelihatan segak.  Mimpi apa dia malam tadi, tiba-tiba saja pagi ini murah dengan senyuman?

Tapi si kacak ini sudah buat darah aku naik pagi-pagi.  Kenapa tidak cakap awal-awal dalam pesanan ringkasnya semalam dia mahu aku ikut dia melawat hotel?  Kenapa tidak cakap awal-awal dia mahu aku pandu kereta?  Aku tak sukalah dia buat macam ni!  Tapi suka atau tidak aku tiada pilihan.  Aku masuk ke dalam kereta, baca doa naik kenderaan dan terus memandu.  Sepanjang perjalanan aku diam saja.  Tapi walaupun mulut aku diam, otak aku berfikir.  Apa helah si 1B3K ni?  Kenapa aku dibawa bersama?  Mana Abang Di?  Kenapa ditukar Kuantan dengan Ipoh?  Persoalan-persoalan ini hanya berlegar dalam kepala.  Bos 1B3K juga diam sepanjang perjalanan tapi dia batuk.  Makin lama makin kerap dia batuk.  Aku berpaling ke arahnya.

“Bos tak sihat?”

            “Batuk sikit saja.  Mungkin sebab cuaca panas.”

            “Itulah, saya buatkan jadual tak nak ikut.”  Rasakan.  Asalnya aku atur lawatan ke resort dan hotel milik Duta Holidays secara berselang sehari.  Dia sendiri yang minta aku tukar dan aturkan setiap hari dia melawat satu tempat, kecuali pada hari Jumaat.  Aku agak mungkin dia nak habiskan lawatan dengan cepat supaya dia boleh fokus kepada perkara lain.  Tapi letihlah badan kalau setiap hari keluar daerah.  Lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas sekarang.

            Disebabkan hendak sampai pejabat sebelum jam 7.30 pagi, aku tidak sempat bersarapan.  Irama keroncong dalam perut semakin kuat.  Elok pun kuat, biar si 1B3K ni boleh dengar.  Tapi bos hati kering ni bukannya tanya pun sama ada aku sudah bersarapan atau belum.  Dia bersandar sambil kepalanya dihalakan ke arah tingkap.  Bila sampai di Kawasan Rehat Tapah, aku buat keputusan sendiri.  Aku masuk ke kawasan rehat dan parkir kereta.

            “Saya belum sarapan.”  Bos 1B3K berpaling ke arahku.  Dia kelihatan letih.

            “Pergilah makan.  Tapi jangan lama.” 

Dia sudah bagi kebenaran jadi aku terus keluar.  Elok pun dia tidak ikut, bolehlah aku bersarapan dengan aman.  Aku makan sepinggan nasi lemak dengan segelas teh tarik.  Sambil makan aku hantar whatsapp kepada Kak Razia dan beritahu dia bos minta aku mengikutnya ke Ipoh.  Mesti Kak Razia terkejut nanti.  Aku juga minta Kak Razia periksa apa yang telah terjadi kepada Abang Di. 

            Masa berjalan balik ke kereta, aku singgah di kedai serbaneka dan belikan Bos 1B3K sebotol air mineral dan sepeket lozenges Fisherman’s Friend.  Bila sampai di kereta Bos 1B3K sudah terlelap.  Kasihan pula aku lihat dia begitu.  Aku masuk dalam kereta dan tutup pintu dengan perlahan-lahan supaya dia tidak terjaga.

            “Dah kenyang?”  Dia bertanya.  Agaknya dia sekadar memejamkan mata untuk berehat dan tidak tidur seperti yang aku sangkakan.

            “Alhamdulillah.  Ni saya belikan bos air dan ubat sakit tekak.”  Aku hulurkan plastik berisi sebotol dan sepeket Fisherman’s Friend kepadanya.  Bos 1B3K tenung aku sekejap sebelum mencapai plastik itu.  Dia sekadar memegang saja beg plastik, seperti tidak berminat dengan usaha aku membelikan dia air dan ubat sakit tekak.

            Dia batuk lagi.  Kali ni lebih kuat.  Aku rasa kasihan jadi aku tarik plastik dari tangannya, buka botol air mineral dan hulur kepadanya.  Dia ambil dan tanpa sebarang kata dia menggogok air dari botol.  Sementara dia minum aku ambil pula Fisherman’s Friend dan buka peketnya.  Aku suakan kepada bos.  Dia tidak ambil peket itu, sebaliknya dia memandang aku.

            “Suapkan.” 
           
Aku tak salah dengar kan?  Aku angkat mata dan pandang wajahnya.  Memang dia nampak letih.  “Tangan aku kotor.  Tolong suapkan.” 

            Ish mengada-ngadanya dia ni.  Setakat jari kotor sikit, takkan tak boleh ambil sendiri ubat tu?

  “Please.”  Katanya dengan lemah.  Matanya masih terarah ke wajahku.  Suap sajalah Fina, bukannya susah.  Hati aku berbisik.  Memang tak susah tapi aku tidak biasa.  Belum pernah aku suapkan ubat ke dalam mulut, melainkan mulut aku sendiri. 

Bos 1B3K batuk lagi.  Kali ni lebih teruk batuknya sampai dia tertunduk dan mukanya merah.  Aku ni walaupun mulut kadang-kadang laser, tapi hati aku baik.  Tak sampai hati pula aku tengok dia mcam tu.  Aku ambil sebiji lozenge dan suakan ke mulut Bos 1B3K.  Dia tidak buka mulut.  Aku angkat mata.  Dada aku berdegup laju sebaik saja pandangan kami bertaut.  Inilah yang paling aku tidak suka.  Aku tidak suka bila dada aku berdegup laju dan aku tidak suka bila dia pandang aku begitu.

Renungan matanya lembut, bagaikan meminta simpati dari aku.  Dia seolah-olah larut dalam khayalan ketika matanya leka menerawangi wajahku.  Ini bukan kali pertama dia berkelakuan begini maka aku yakin sebaik saja dia tersedar dari lamunannya akan ada kata-kata pedas yang meletus dari bibirnya.  Tapi sampai bila hendak terus merenung dan sampai bila tangan aku hendak memegang lozenge?  Maka aku sebut namanya.

            Dia bagaikan tersedar.  Matanya berkedip.  Dia dekatkan mulutnya dengan lozenge yang aku suakan.  Ketika aku suapkan lozenge ke dalam mulutnya, jari aku berlaga dengan bibirnya.  Belum pernah aku menyentuh bibir mana-mana lelaki.  Debaran dalam dadaku semakin kuat.  Pipi aku membahang. 

Rileks Fina, kau tersentuh bukan sengaja nak sentuh dia.  Hatiku berbisik.  Aku kalihkan muka dan terus pegang stering kereta.  Bertenanglah wahai dada, aku bisik dalam hati.  Aku turunkan gear tangan dan mula memandu.  Bos 1B3K masih memandang aku. 

Sweet.”  Kata Bos 1B3K.  Aku kerling ke arahnya.  Dia senyum.  Aku lega.  Nasib baik aku belikan dia Fisherman’s Friend perisa black currant.  Kalau beli yang original extra strong tu rasanya tak manis, berangin saja.




Urusan di Hotel Sri Ipoh selesai.  Hotel ini kecil jadi tidak perlu masa yang lama untuk melawatnya.  Lagi pun Bos 1B3K tidak memeriksa setiap bilik, hanya tiga bilik yang dipilih secara rawak.  Dia juga meninjau bilik mesyuarat, bilik jamuan, dapur dan lobi.  Selepas itu dia berbincang sekejap dengan Pengurus Hotel Sri Ipoh, Encik Adnan.  Bos bertanyakan apa-apa masalah yang ingin dibawa ke pengetahuannya.  Encik Adnan yang asalnya terkejut dengan kedatangan kami kelihatan selesa berbincang dengan bos.

            Aku melihat sisi berbeza Bos 1B3K hari ini.  Sikap bengkeng dan kerek yang aku biasa lihat di pejabat tidak langsung kelihatan hari ini.  Dia bersikap sangat profesional dan mesra dengan semua kakitangan, dari Encik Adnan hinggalah ke kakitangan bawahan.  Ketika menegur kesilapan, dia bercakap dengan nada yang elok.  Tidak sekali pun aku mendengar dia meninggikan suara.  Ketika memberikan nasihat dan pandangan, dia bercakap dengan merendah diri.

Dia juga menegur dengan ramah tetamu yang menginap di hotel.  Dia bertanyakan mereka adakah mereka selesa menginap di Sri Ipoh, adakah apa-apa aduan yang ingin mereka suarakan dan kepada yang check-out dia berpesan agar datang lagi.  Aku yakin mereka tidak menyangka lelaki kacak berkemeja kuning cair yang bercakap dengan mereka adalah sebenarnya pewaris rangkaian hotel dan resort milik Duta Holidays.  Aku hairan kenapa dia tidak berperangai begini bila di pejabat? 

            Selepas makan tengahari, kira-kira jam 1.30 kami bergerak meninggalkan Hotel Sri Ipoh.  Aku nampak riak keletihan semakin ketara di wajah Bos 1B3K.  Batuknya berkurangan sedikit, mungkin kesan dari ubat batuk yang diambil.  Encik Adnan yang prihatin sempat meminta pekerjanya membelikan sebotol ubat batuk dari farmasi yang berdekatan.  Selepas makan tengahari tadi Bos meneguk sesudu besar ubat batuk itu.  Mujur dia tidak suruh aku suapkan.

            Sama ada ianya kesan ubat batuk, atau akibat keletihan, Bos 1B3K terlelap sebaik saja aku mula memandu.  Kesesakan lalu lintas di waktu tengahari memperlahankan perjalanan kami.  Akhirnya setelah berjaya keluar dari bandar Ipoh, aku memandu ke arah lebuhraya. 

            Perkataan ‘Kuala Kangsar’ yang terpampang pada papan tanda membuatkan rindu terhadap emak, abah, dan ahli keluarga yang lain semakin membara. Sudah sebulan tidak berjumpa mereka.  Terbayang-bayang wajah Nabil Imran yang comel dan pipi Nur Zetty Aishah yang gebu.  Senyuman manis emak dan lawak abah bagaikan memanggil.  Aroma kek panas yang baru keluar dari ketuhar Kak Long bagaikan menggamit. 

            Aku kerling ke kiri.  Bos 1B3K tidur dengan lena.  Kepalanya terlentuk di tingkap kereta.  Satu idea melintas dalam benakku.  Bos perlu berehat.  Aku perlu berjumpa keluargaku.  Beranikah aku menanggung risiko akan dimarahi oleh bos nanti?  Aku tarik nafas dalam-dalam, baca Bismillahi rahmanirahim dan memandu ke arah Kuala Kangsar. 


Lebih kurang pada jam tiga petang, kereta comel Bos berhenti betul-betul di hadapan rumah abah.  Aku turunkan tingkap bahagian pemandu dan belakang, matikan enjin, buka pintu kereta perlahan-lahan dan tutup dengan perlahan-lahan juga.  Angin petang yang mendamaikan bertiup kencang.  Aku yakin angin nyaman ini akan menambahkan kelenaan bos.  Tidur lena-lena ya bos.  Saya minta dua jam saja.  Cukuplah untuk saya melepas rindu kepada orang-orang kesayangan saya.  

Thursday 9 July 2015

AKU DAN 1B3K BAB 16

Assalam.  Jemput baca Bab 16.  Maaf kalau ada yang penasaran menunggu entry ni.  Ya ampun, saya busy sangat.


BAB 16

Pagi ini tanpa diduga Datin Nuridah masuk pejabat.  Datin yang sampai jam 9.30 pagi, nampak segar dan bertenaga.  Dia juga kelihatan anggun dalam jubah biru yang Bos 1B3K belikan kelmarin.  Selepas menyerahkan dokumen-dokumen yang sepatutnya kepada Datin, aku bertanyakan khabar Dato'.  Kata Datin demam Dato' sudah kebah sepenuhnya. Aku rasa lega bila mendengar Dato' sudah sihat.  

"Azira macam mana, ada datang jumpa Rifqi?"

Ada Datin.  Siap bersarapan bersama.  Lepas tu saya pulak yang kena orderkan nasi lemak.  Dia ingat saya ni waitress ke apa?  Alangkah bagusnya kalau aku boleh berkata begitu.  Hakikatnya aku sekadar memberitahu Datin yang Azira datang ke pejabat minggu lepas tanpa menceritakan tentang sarapan pagi mereka dan makan tengahari dengan nasi beriani seperti yang diceritakan oleh Kak Razia. 

"Saya rasa Rifqi sedang berkawan dengan Azira sekarang.  Saya pernah terdengar dia berbual dengan Azira di telefon.  Saya tengok dia gembira kebelakangan ni. Sejak kelmarin dia tak lagi moody dan garang.  Dia dah kurang bertelingkah dengan saya dan Dato'.  Hah, hujung minggu lepas dia tak keluar dengan kawan-kawannya.  Dia bawa saya dan Dato' bersiar. Dato’ happy sangat.  Cuma satu, sejak minggu lepas, setiap malam… lepas makan dengan kami, dia mesti keluar."

Aku nampak wajah Datin ceria sedikit bila dia bercerita.  Aku agak dia suka anak bongsunya rapat dengan Azira.

"Entah ke mana dia pergi.  Saya tak tanya sebab Rifqi tu dah besar.  Saya tak mau nampak seperti mengongkong dia.  Lagi pun dia dah tak balik pukul satu, dua pagi macam dulu.  Paling lewat pun pukul sebelas.  Saya bersyukur sangat-sangat.  Saya harap Rifqi terus berubah jadi baik.  Saya dan Dato' rindukan Rifqi yang dulu."

Datin tersenyum.  Melihat Datin gembira, aku rasa seronok.  Terkenang emak di kampung yang sentiasa ceria.  Aku rindu kat emak.  Kemudian Datin bertanyakan tentang perkembangan pelantikan pereka dalaman untuk Resort Sri Selangor.  Aku maklumkan kepadanya Suleyman diberi masa sehingga esok untuk mengemukakan saranannya.

“Kalau Azira dan Rifqi betul-betul berkawan, saya tak mahu dia jadi interior designer Sri Selangor."   Datin Nuridah berkata dengan tegas.  Aku tidak faham kenapa Datin berkata begitu lalu aku bertanya kepada Datin.  Kata Datin Nuridah dia tidak mahu menanggung risiko projek Sri Selangor terbengkalai untuk kali kedua sekiranya perhubungan Bos 1B3K dan Azira tidak menjadi.

“Sekarang sudah tak ada cerita pasal Rifqi dengan pelakon tu kan?”

“Tak ada Datin.  Setiap hari saya periksa suratkhabar, blog dan laman web hiburan. Google.  Masa Datin tak masuk pejabat pun saya buat.  Memang tak ada.”

Datin mengangguk.  Di wajahnya terpamer riak kelegaan.  “Betul agaknya pelakon tu dah tak ada di Malaysia.”  Kata Datin.

“Saya tak tau pasal tu Datin.  Sebenarnya saya jarang membaca pasal hiburan.  Nanti saya tanya Kak Razia.”

“Ada orang beritahu saya pelakon tu dah pergi ke Indonesia, nak cuba nasib di sana.”

 Wah Datin lagi terror daripada aku.  Aku langsung tak tahu pasal itu.

“Rifqi sentiasa kata dia tak ada apa-apa hubungan dengan pelakon tu melainkan kawan biasa.  Tapi bila keluar cerita dari sebelah sana, kononnya ada hubungan istimewa.  Saya tak tau mana satu yang betul, tapi saya terpaksa percaya anak sendiri.  Kalau betul, dia dah pergi Indonesia, eloklah.  Lagi jauh dari Rifqi lagi baik.” 

Aku hanya sekadar menggangguk sebelum keluar dari bilik Datin untuk meneruskan kerja-kerjaku. 

Menjelang pukul dua belas tengahari Datin Nuridah pulang.  Katanya dia mahu makan tengahari bersama dengan Dato’ Ibrahim untuk memastikan Dato’ betul-betul makan dan mengambil ubat selepas makan.  Kata Datin lagi dia risau kalau Dato’ tiba-tiba hilang selera makan.

            Selepas makan tengahari aku masuk ke bilik Bos 1B3K untuk mengambil fail lama Resort Sri Selangor.  Aku hairan kenapa fail yang satu ini disimpan dalam bilik Bos 1B3K dan bukan dalam kabinet fail di belakang tempat duduk Kak Razia seperti fail-fail yang lain.  Fail biru setebal dua inci itu aku semak di meja kerjaku.  Setiap dokumen yang ada dalam fail itu aku teliti satu persatu.

            Ada lima syarikat hiasan dalaman yang berminat dengan projek Sri Selangor.  Bibir aku mengukir senyuman bila melihat ada sebut harga dari Syarikat HaZack Décor.  Itu syarikat Along.  Harga yang syarikat Along sebutkan agak kompetitif berbanding empat syarikat yang lain.  Tidak ada apa-apa mengenai Azira atau syarikatnya yang boleh aku perolehi dari fail lama itu.  Dua kali aku semak, tetap tidak jumpa apa-apa.  Aku nampak Suleyman ketika itu sudah pun berkhidmat di Duta Holidays dan memegang jawatan yang sama seperti sekarang iaitu ketua Bahagian Perolehan.  Tidak ada sebarang kertas cadangan mengenai juruhias dalaman dalam fail itu.  Aku rasa mungkin belum sempat dipilih, Bos 1B3K sudah meninggalkan tanahair.

            Fail itu aku tutup dan aku bawa masuk ke bilik Bos 1B3K.    Aku letakkan semula fail itu di rak yang sama.  Ketika aku hendak menutup pintu kaca kabinet yang terletak di sisi kanan meja Bos 1B3K, satu suara bertanya dengan keras, “kau cari apa di situ?”

            Aku menjerit kecil kerana terkejut.  Ish dia ni, kot ya pun bagilah salam dulu.  Cepat pula dia balik dari Melaka.

“Tadi saya ambil fail lama Resort Sri Selangor.  Saya nak tengok quotation lama, untuk bandingkan berapa peratus peningkatan kos hiasan dalaman.”  Nasib baik otak aku cepat berfikir.  Aku rasa jawapan itu logik.  Tentulah kos sekarang lebih tinggi berbanding kos dua tahun yang lepas, tapi mana tahu mungkin ada kos yang masih sama.

            “Siapa suruh?”  Bos 1B3K bertanya sambil mendekati aku.  Kedua belah lengannya disilangkan di dada.  Dia berdiri betul-betul di hadapan aku, membuatkan aku terkepung di antara dia dan kabinet.

            “Tak ada sesiapa.  Saya cuma nak tau.”  Aku jawab dengan tenang walaupun sebenarnya hati sudah mula tidak senang.  Cara dia memandang dan kedudukannya yang rapat dengan aku membuatkan aku rasa tidak selesa.

            “Listen.  Aku dah tutup fail lama dan buka fail baru.  Jangan nak memandai-mandai buat benda yang aku tak suruh.  Faham?”  Nada suaranya tegas.  Matanya tajam menikam jauh ke dalam dasar mataku.  Aku mengangguk.  Mulut becokku tiba-tiba tidak dapat dibuka.  Dia mara setapak lagi, mendepakan tangannya ke depan dan menekan pintu kabinet.  Bau haruman yang melekat di tubuh Bos 1B3K masuk ke dalam rongga hidungku.  Aku semakin tidak selesa.  Belakang tubuhku sudah melekat dengan dinding kabinet.

            “Satu lagi, don’t ever, ever open this cabinet.  Whatever that are inside here, are not your concern.  In two week’s time you will be back at your place down there so don’t bother checking the old records.  Aku nak ingatkan kau, kau dekat sini sementara saja jadi buat apa yang perlu saja.  Tak payah nak tunjuk rajin… nak tunjuk pandai… nak tunjuk baik.”   

            Kali ini walaupun nadanya tegas, suaranya perlahan dan sangat dekat dengan telinga aku.  Agaknya kalau aku tidak pakai tudung, boleh terasa hembusan nafasnya di telingaku.  Aku tutup mata dan sendengkan sedikit tubuhku ke kanan untuk menjarakkan wajahku dari wajahnya. Dada aku berdegup laju.  Hati aku sakit dengan kata-katanya dan perbuatannya.  Aku rasa dia buat begitu kerana hendak menakutkan aku.

            Bukanlah Safinatun Najah namanya kalau berdiam diri saja.  Aku ada dua pilihan sekarang.  Buka langkah taekwando dan bagi Bos 1B3K satu pukulan atau tendangan.  Lebih tepat lagi, beri tendangan di celah kangkangnya.  Tapi kalau aku buat begitu mungkin aku akan didakwa menyerang bos dan dibuang kerja.  Jadi aku ambil pilihan kedua. 

            Aku tarik nafas dalam-dalam dan buka mataku perlahan-lahan.  Segaris senyuman sinis tersungging di pinggir bibirnya.  Agaknya dia seronok melihat aku ketakutan.  Aku tenung matanya.  Mata kami bertembung lagi.  Kalau tadi aku rasa renungannya tajam menikam, sekarang aku cuba beri dia renungan tajam menikam juga.  Biar dia tahu aku pun pandai merenung orang.  Aku cuba berlagak tenang walaupun sebenarnya dada aku penuh dengan irama k-pop yang rancak giler.

            “Encik Irsyad Rifqi.”  Untuk pertama kali selepas dua minggu bekerja dengannya aku memanggil dia dengan namanya.  Matanya berkedip dan renungan tajamnya kendur.

            “Saya minta maaf.  Tak ada sesiapa beritahu saya dalam kabinet ni ada barang berharga atau maklumat sulit atau kenangan silam yang Encik Rifqi cuba usir.  Jangan risau, saya tak akan buka lagi kabinet ni.  Saya tau saya hanya sementara saja di sini dan saya sangat berharap tempoh dua minggu akan datang dengan cepat.  Saya tak sabar nak balik kerja di bahagian Akaun.  Di sana kerja saya dihargai tapi di sini Encik Rifqi anggap saya macam pekerja yang tak ada perasaan.  Kalau Encik ada masalah dengan gadis bertudung, jangan ingat semua gadis bertudung sama seperti gadis bernama Samirah.”

            Muka dia berubah.  Tangan yang mendepa dijatuhkan.  Matanya dikalihkan dari wajahku.  Tubuhnya diinjakkan.  Aku cepat-cepat beredar sambil di dalam hati melafazkan kesyukuran kerana dia tidak melakukan sesuatu yang lebih teruk ke atasku.  Sampai di jenang pintu aku berpaling. Dia sedang bersandar di kabinet, sebelah tangannya disimpan dalam kocek.  Sempat mata aku menangkap wajahnya yang kini muram.  Tiba-tiba ada rasa simpati terhadapnya yang mengetuk hatiku.  Cepat-cepat aku singkirkan rasa itu.  Orang seperti si 1B3K tidak layak mendapat simpati dariku.


Hairan.  Itulah yang aku rasakan apabila Abang Latif memberitahu Nafiz sudah lama tidak datang ke Rumah Warga Emas An Nur di waktu malam.  Kenapa dia tidak datang ke sini sedangkan rumah ini ayahnya sendiri yang asaskan sebelum diserahkan kepada Abang Latif?  Selama dua tahun aku mengenalinya dan mengikuti kerja-kerja amal yang dilakukan oleh Nafiz, aku tahu setiap petang dia pergi ke rumah An Nur.  Di Rumah An Nur inilah dia akan solat Maghrib, makan malam, solat Isya’ dan balik.

            Hampa.  Itu juga yang aku rasakan apabila tidak dapat berjumpa dengan Nafiz.  Aku hendak sangat berjumpa dengan dia.  Kali terakhir kami berjumpa ialah ketika Abi Yusuf memberitahu ada seorang dermawan yang mahu membiayai kos pembinaan bangunan baru untuk Rumah Anak Yatim Umi Sarah.  Selepas itu Nafiz senyap tanpa berita.  Aku meneka mungkin dia sibuk.  Ayah dia tidak berapa sihat jadi mungkin dia sibuk menziarahi ayahnya yang kini menetap di kampung.  Mungkin juga jawatan pegawai pentadbiran di sebuah syarikat penerbitan menuntut lebih perhatian daripada Nafiz. 

            Selepas menegur dan bertanya khabar dengan beberapa orang warga emas yang menginap di Rumah An Nur, aku beredar dari situ.  Abang Latif, pengurus Rumah An Nur mempelawa aku untuk makan malam di situ.  Namun aku tolak pelawaannya.  Aku ke sini untuk berjumpa dengan Nafiz, bukan untuk makan. Dan bila Nafiz tiada, semua mood ceria aku berubah serta merta.  Ish parah ni.

            Dadaku terasa berat dan ketat serta hatiku sakit ketika berjalan ke arah skuter.   Aku cuba singkirkan rasa hampa kerana tidak dapat berjumpa Nafiz.  Bila aku buat begitu, peristiwa di pejabat pula yang menerjah fikiran.  Kejadian di pejabat petang tadi masih menghantui fikiranku.  Aku ingin tahu kenapa kabinet itu adalah kawasan larangan buatku.  Tapi pada masa yang sama aku memujuk hati agar jangan ambil peduli tentang fail lama dan kabinet itu.  Aku harus sedar inisiatif dan komitmen yang tinggi mungkin tidak diperlukan sebagai pembantu sementara Bos 1B3K.

            Wajah Bos 1B3K muncul di ruangan mataku.  Wajah dia ketika merenung tajam ke arahku, wajah dia ketika tersenyum sinis dan wajah muramnya ketika aku hendak keluar dari biliknya.  Wajah muram itu muncul di lama ruangan mataku.  Walaupun separuh hatiku berkata tidak perlu bersimpati kepadanya, hatiku yang separuh lagi pula berkata aku terlalu celupar dan tidak patut menyebut nama Samirah.  Datin yang beritahu aku Bos 1B3K berkelana ke Eropah selepas Samirah yang dicintainya berkahwin dengan orang lain.  Kata Datin Bos sangat cintakan Samirah tapi entah di mana silapnya hubungan mereka tidak berakhir di jinjang pelamin.

            Kesian dia.  Bukan dia minta cintanya putus di tengah jalan.  Yang kau pergi ingatkan dia tentang kisah duka dia buat apa?  Kenapa mulut tu kurang ajar sangat, sampai sebut nama Samirah?  Cuba kalau kau di tempat dia, kau suka tak kalau orang sebut kisah cinta kau yang terkandas?  Kalau pun kau nak menjawab kata-kata dia, tak payahlah sebut nama bekas kekasih dia.  Kau suka kalau orang sebut pasa Pejal?  Atau orang bercerita tentang kisah kau dan Rasydan Miang?

            Hati baik aku berbisik.  Aku sedar aku sudah buat salah.  Macam mana hendak buat dia suka perempuan bertudung kalau aku tidak tunjukkan akhlak yang baik?  Esok aku akan minta maaf dengan Bos 1B3K.  Tapi esok dia tak masuk pejabat.  Baik aku minta maaf sekarang.  Mungkin hati aku akan tenang selepas minta maaf. 

            Aku keluarkan telefon bimbit.  Aku taip ‘bos saya minta maaf pasal petang tadi.  Saya sedar saya tak patut cakap macam tu kat bos.’  Aku tekan butang hantar.  Aku rasa lega.  Sama ada Bos 1B3K maafkan aku atau tidak, itu adalah haknya.  Yang penting aku sudah sedar akan kesilapanku dan sudah meminta maaf. 

Tapi, ketika aku mencapai helmet terasa dada aku masih belum lapang sepenuhnya.  Terasa macam masih ada lagi perkara yang aku perlu nyatakan kepada Bos.  Aku letak semula helmet, seluk kocek dan keluarkan semula telefon bimbit.

            ‘Saya hormatkan bos.  Saya harap bos jaga batasan, jangan sampai rasa hormat saya terhadap bos hilang.  Tolong jangan gatal, berdiri dekat-dekat, bisik-bisik kat telinga saya lagi.  Saya masih belum hilang deria pendengaran.  Tudung saya tak membuatkan saya pekak.  Lagi satu, setahu saya belum ada orang yang jadi pekak sebab pakai tudung.’

            Aku baca semula apa yang aku sudah taip, tekan butang hantar.  Aku simpan telefon bimbit dalam beg silang dan capai helmet.  Sekarang baru betul-betul rasa lega sebab apa yang terbuku di hati sudah aku luahkan.  Enjin skuter aku hidupkan.  Rasa bersalah terhadap Bos 1B3K sudah menyusut tapi rasa hampa kerana tidak dapat berjumpa dengan Nafiz masih bersarang dalam hati.  Di mana Nafiz?  Apa dia buat sekarang?  Di saat aku sangat-sangat ingin bertemu dengannya, adakah dia ingatkan aku?


            Telefon bimbitku berbunyi.  Bos 1B3K balas pesanan whatsapp aku.  Dahi aku berkerut sesudah membaca pesanannya. Apa yang dia hantar tak ada kena mengena langsung dengan kedua-dua pesanan yang aku hantar kepadanya sekejap tadi.