Monday 4 March 2013

CINTA ABANG TEKSI


Balqis berjalan dengan pantas.  Hatinya sakit.  Rasa sedih dan marah bersatu.  Sedih kerana orang yang dicintai selama tiga tahun rupa-rupanya tidak jujur dan setia kepadanya.  Marah kerana selama ini dia tidak sedar dirinya telah dipermainkan, sedangkan banyak tanda-tanda menunjukkan kecurangan Jefri.

“Qis!” laung Jefri namun tidak dipedulikannya.

Terdengar derap kaki Jefri berlari mengejarnya.  Balqis mempercepatkan langkah.  Baju kurung bermanik di dada dan lengan membataskan pergerakannya.  Kononnya dia mahu kelihatan anggun di majlis ulangtahun perkahwinan Auntie Rahimah, sepupu ibunya.  Namun tidak disangka bertemu dengan Jefri.  Dan lebih tidak disangka Jefri ditemani seorang gadis di majlis itu.

“Qis!” kali ini tangan Jefri menyambar lengannya.  Balqis terpaksa berhenti melangkah.

“Lepaslah!” tengkingnya sambil cuba menarik lengannya dari pegangan Jefri.

“Qis, jangan salah faham.  I dengan Merina tak ada apa-apa.  We are just friends” ujar Jefri sambil menatap wajah duka Balqis.

“Berpaut pinggang, merangkul lengan macam tu you kata kawan?  Dengan I pun you tak buat macam tu, jangan ingat I bodohlah.  I tau bezakan orang yang berkawan dengan orang yang bercinta.  Bila I ajak ke majlis tadi semalam, you kata seganlah.  Kononnya kita belum ada ikatan rasmi.  Habis, apa ikatan you dengan that girl?  Bini you?   Cukuplah Jef, jangan tipu I lagi.  Dah banyak kali I dengar you keluar dengan perempuan lain, tapi I tak percaya.  Alhamdulillah, hari ni Allah nak tunjukkan pada I siapa you yang sebenarnya”

Terhambur segala kemarahan yang tersimpan di dalam dada.  Hilang kelembutan bicara yang sinonim dengan diri Balqis.  Jefri diam, sambil akalnya ligat berfikir alasan terbaik yang wajar diberikan.

“Dengar baik-baik Jef, mulai hari ini you dengan I tak ada apa-apa hubungan lagi.  Kita….  putus! “

Bergenang airmata Balqis kala ayat itu dilafazkan.  Namun ditahannya empangan mata yang bakal pecah dari melimpah.  Dia tidak akan menangis di hadapan Jefri.  Cukuplah sebelum ini sudah acap kali dia menangis apabila ada perbalahan di antara mereka.

Sebuah teksi berhenti di hadapannya untuk menurunkan penumpang.  Cepat-cepat Balqis berlari ke arah teksi itu dan terus masuk ke dalamnya setelah penumpang itu keluar. 

Arif terkejut dengan tindakan gadis berbaju kurung hijau yang tiba-tiba meluru masuk ke dalam teksinya.  Beberapa minit telah berlalu, gadis itu hanya mendiamkan diri. 

“Nak ke mana Cik?” soal Arif sambil memandang gadis yang pada anggarannya berusia sekitar 23 atau 24 tahun.

“Cik, nak pergi mana?” soalnya lagi apabila tiada jawapan dari si penumpang.

Balqis tersentak bila si pemandu teksi bertanya lagi dengan suara yang lebih kuat.  Ya, kemana hendak ku tuju, soalnya di dalam hati.  Pulang ke rumah dan mendengar leteran Mama?  Selama ini Mama sering menasihatinya agar berwaspada dengan Jefri.  Dan selama ini juga semua nasihat Mama hanya dipandang sepi. 

“Cik, kalau nak termenung jangan buat dalam teksi saya.  Saya nak cari rezeki, kalau teksi ni tak bergerak, saya tak dapat duit.”

“Jalan sajalah” Balqis memberi arahan.

“Ke mana?” soal Arif.  Kali ini terpancar riak tidak puas hati di dalam suaranya.  Tugas pemandu teksi membawa penumpang ke destinasi yang dikehendaki.  Bagaimana hendak menjalankan tugas kalau destinasinya tidak diketahui.

“Jalan sajalah.  Bila saya suruh berhenti, awak berhentilah.”

Teksi bergerak seperti yang diarahkan.  Arif merasa pelik dengan penumpang di belakang.  Orangnya cantik namun wajahnya muram.  Mungkin dia sedang bersedih, bisik hati Arif.  Sambil memandu sesekali dia menjeling melalui cermin melihat si penumpang.  Si gadis sedang menangis, ada titisan air jernih di pipinya.  Rasa ingin  tahu mula terbit di hati Arif.  Terngiang di telinga pesanan ayah “tugas pemandu teksi ialah menghantar penumpang ke tempat yang nak dituju.  Jangan terlibat dengan masalah penumpang.  Kalau dia nak bercerita, dengar.  Kalau tidak, jangan ditanya” lantas niat hendak bertanya dibatalkan.

“Cik, di depan ni ada simpang, nak ke kanan, kiri atau terus?”  Arif terpaksa bertanya soalan itu, lantaran si penumpang tidak memberi apa-apa arahan.

“Terus.  Lepas ni kalau jumpa simpang lagi, terus saja.” 

Arif terus memandu, seperti yang diarahkan.  Mata menjeling jam, sudah satu setengah jam dia memandu namun si penumpang masih diam tidak berkutik.  Meter tambang sudah menunjukkan hampir tujuh puluh ringgit.  Hari semakin gelap, Asarnya belum ditunaikan.

“Cik, maaf ya.  Saya bukan nak menyibuk.  Dah satu setengah jam kita berjalan, Cik ni sebenarnya tak ada destinasi kan?”

Si gadis diam.  Airmatanya sudah berhenti mengalir, matanya merah dek tangisan.

“Maaf Cik, saya ada urusan lain.  Di depan ada masjid, saya nak solat. Kemudian saya nak balik.  Cik boleh turun, ambil teksi lain dan sambung makan angin Cik tu.”  Agak kasar bunyi ungkapan Arif namun dia terpaksa.  Tidak mungkin baginya meneruskan perjalanan yang entah ke mana dengan penumpang yang bermasalah.

Teksi diberhentikan di perkarangan masjid.  Si gadis tetap diam tidak berkutik.  Arif bingung.  Dia tak faham ke apa yang aku cakap? soalnya dalam hati.  Arif berpaling, memandang penumpang pelik itu.  Dan si gadis juga memandang ke arahnya.  Pandangan mata mereke bertembung.

“Encik pergilah sembahnyang, saya tunggu.” 

Dari bingung menjadi bengang.  Belum pernah Arif mengalami situasi begini sejak membawa teksi tiga bulan yang lalu.  Yang pernah dialaminya ialah kes penumpang tidak mahu membayar tambang, penumpang meminta diskaun, penumpang memberi arah jalan yang salah dan penumpang wanita cuba menggoda.

“Cik faham tak?  Saya tak boleh bawa Cik jalan-jalan tanpa arah.  Saya ada hal lain yang perlu diuruskan.  Cik bayar tambang dan tolong ambil teksi lain.” 

“Tak mau.  Saya nak naik teksi ni.  Berapa pun awak caj, saya akan bayar.” Wajah si gadis mula berkerut.  Nampak ketegasannya.

“Ke mana?”  kali ini Arif pula mempamerkan ketegasannya dalam nada suaranya.

Si gadis mengeluh.  Perlahan-lahan kepalanya digelengkan.  Arif bertambah bengang.  Waktu Asar tinggal lima belas minit sahaja lagi.  Akhirnya dia bersetuju membiarkan si penumpang menunggu.  Tingkap diturunkan, enjin dimatikan dan kunci dibawa bersama ke dalam masjid.

Selesai solat Asar Arif beristighfar, berdoa dan mengalunkan zikir.  “Allahumma yassir wala tu asir” memohon dipermudahkan segala urusan dan “Hasbunallahu ni’mal wakiil” sebagai penenang hati diulang berkali-kali setelah selesai berzikir.  Hati menjadi tenang tatkala kalimah Allah menjadi peneman bibir.  Laungan azan memandakan masuk waktu Maghrib bergema.  Selesai azan Arif bangun menunaikan solat sunat dua rakaat dan kemudian berjemaah Maghrib.


**********

“Encik dah kahwin?” soal Balqis sebaik sahaja Arif memulakan pemanduan.  Arif mengerutkan dahinya.  Hairan, namun dijawab juga soalan itu.

“Belum.”

“Encik tinggal dengan siapa?”  soalan kedua daripada Balqis.

“Keluarga.  Mak, ayah dan tiga orang adik.”

“Boleh saya tumpang bermalam di rumah Encik?” terkejut dengan soalan Balqis, Arif tertekan brek.  Teksi berhenti secara mengejut.  Mujur tiada kenderaan di belakang, kalau tidak mungkin berlaku kemalangan.  Arif panik.  Tali pinggang dibuka dan dia meluru keluar.  Berdiri di bahu jalan, sambil kedua belah tangannya diletakkan di atas kepala. 

Balqis kehairanan melihat Arif yang tiba-tiba panik.  Tingkap diturunkan.  Kepalanya dikeluarkan.

“Encik, kenapa ni?”

“Kenapa awak kata?  Awak tau tak saya tengah bingung ni?  Awak meluru masuk ke dalam teksi saya, menangis, lepas tu tak mau ambil teksi lain dan sekarang awak nak ikut saya balik!  Siapa awak dan apa awak mau dari saya?”

“Encik, janganlah marah” Balqis merayu sambil keluar dari teksi.  Perasaan bersalah menyelubungi diri.  Namun itu saja pilihan yang dia ada. Dia yakin pemandu teksi ini tidak akan mengapa-apakannya dan dia yakin ini keputusan yang lebih baik dari pulang ke rumahnya dan mengadap kemarahan Mama.  Ditambah pula hati sedang lara dengan kecurangan Jefri. 

“Encik, saya minta tolong sangat-sangat.  Satu malam sahaja.”  Balqis merayu. 

Arif mengeluarkan telefon bimbit, menjarakkan dirinya daripada Balqis dan kemudian bercakap dengan seseorang.  Usai perbualannya, Arif masuk semula ke dalam teksi.  Balqis cepat-cepat masuk ke teksi, duduk di kerusi penumpang bahagian depan.  Arif menoleh ke kiri, menjeling Balqis dengan pandangan marah dan melepaskan keluhan.

Dua puluh lima minit kemudian teksi berhenti di hadapan sebuah rumah teres setingkat lot tepi.  Arif terus keluar dan dengan terkocoh-kocoh masuk ke dalam rumah, meninggalkan Balqis sendirian di luar.

“Masuklah” ujar seorang wanita bertelekung.  Senyuman manis terukir di bibirnya.

Balqis menghulur salam lalu masuk.  Seorang lelaki berkopiah duduk di atas kerusi roda tersenyum kepadanya.  Balqis membalas senyum dan tunduk tanda hormat.  Setelah duduk dia berbual dengan wanita itu.  Umi Arif memperkenalkan dirinya serta ayah Arif, dan bertanyakan soalan mengenai diri Balqis.  Lantas Balqis menceritakan segala yang telah terjadi, bermula dari insiden di rumah Auntie Rahimah, ketakutannya untuk pulang ke rumah untuk menghadapi amarah Mama dan serba ringkas tentang dirinya.  Wajah umi dan ayah Arif yang tenang menyebabkan Balqis rasa senang untuk menceritakan segala-galanya.  Dia tidak tahu kenapa namun tiada sekelumit pun rasa takut, curiga mahupun segan terhadap umi dan ayah Arif.  Yang dirasakan satu ketenteraman yang tidak mampu dijelaskan. 

Arif keluar dari bilik, diikuti seorang remaja belasan tahun.  Kedua-duanya sudah siap berbaju Melayu dan berkopiah.  Umi Arif memaklumkan bahawa mereka akan ke surau untuk menunaikan solat Isya’ dan mempelawa Balqis menyertai mereka.  Balqis menundukkan wajahnya, muncul rasa segan yang mendalam.  Malu kerana selama ini dia tidak pernah mengambil berat tentang amalan solatnya.  Berbeza dengan Arif yang tergesa-gesa memandu dan sebaik sampai cepat-cepat bersiap untuk ke surau bersama keluarganya.

Balqis berjalan beriringan dengan umi Arif ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah Arif.  Sambil berjalan, Umi Arif menceritakan rutin harian Arif.  Katanya sejak tiga bulan lepas, selepas ayahnya diserang angin ahmar, Arif memandu teksi dari pagi hingga petang.  Dia akan tiba di rumah selewat-lewatnya sebelum Maghrib dan tidak pernah dia culas menolak kerusi roda ayahnya untuk ke surau, sekurang-kurangnya untuk solat Isya’.  Jika dia pulang awal, mereka akan berjemaah Maghrib dan Isya’ di surau.  Terpancar rasa bangga di hati seorang ibu akan kepatuhan anak sulungnya menjalankan tanggungjawab.  Timbul rasa kagum terhadap Arif di sudut hati Balqis. 

Di surau, Balqis merasa sangat hiba.  Entah bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke masjid atau surau, dia sendiri telah lupa.  Petang tadi walaupun singgah di masjid, dia tegar menunggu sahaja di dalam teksi. Menitis airmatanya memohon keampunan Allah.  Dalam doanya yang panjang, Balqis terus-terusan menangis.  Memohon keampunan Illahi dan memohon ketetapan iman.  Memohon juga agar dia tabah menghadapi segala dugaan hidup.

Sebaik pulang dari surau, umi Arif menghidangkan makan malam.  Sambil makan, Balqis mendengar dengan tekun Arif menanyakan tentang hal persekolahan kepada adiknya Amirul yang kini di tingkatan tiga.  Dari perbualan dengan umi Arif tadi, Balqis mengetahui bahawa Arif juga mempunyai dua orang adik perempuan.  Seorang di tingkatan lima tinggal di asrama dan seorang lagi sedang mengikuti pengajian matrikulasi.

Arif yang sejak tiba di rumah tidak bercakap walau sepatah pun dengannya, akhirnya bersuara.

“Malam ni awak boleh tidur di bilik tengah.  Itu bilik Aishah dan Ainon.  Esok pukul lapan saya akan hantar awak balik.” 

Balqis memandang ke arah Arif, matanya merayap ke seluruh wajah yang sedang tunduk sambil tangannya ligat mengelap meja.  Lama dia berdiri di situ, sambil tangannya memegang kerusi.    Namun Arif langsung tidak memandang kepadanya. 

Balqis berjalan ke pintu, menyarung selipar dan berjalan ke arah taman kecil di sebelah kanan.  Terlihat umi Arif duduk di bangku, menemani suaminya yang setia di atas kerusi roda.  Umi Arif perasan akan kehadiran Balqis lalu menggamitnya. 

“Di sinilah makcik dan pakcik setiap malam.  Dah jadi kebiasaan pakcik lepas makan dia nak duduk di sini sekejap.  Ambil angin malam sebelum tidur.”  Dengan mesra umi Arif menerangkan.  Balqis terkenang keluarganya.  Dia tidak ingat bila kali terakhir dia melihat Mama dan Papa duduk berbual.  Kakak dan abang juga jarang pulang ke rumah sejak mendirikan rumah tangga.  Terasa hidupnya sunyi, tiada keakraban di kalangan ahli keluarganya.  Masing-masing sibuk dengan hal mereka sendiri.

“Balqis, sudah telefon emak kamu?”  soal umi Arif.  Balqis sekadar mengangguk.  Sebenarnya dia hanya menghantar pesanan ringkas kepada Mama.  Dan seperti biasa, Mama mengizinkan tanpa banyak soal.

“Tiada ibu yang tidak sayangkan anaknya.  Kalau emak kamu marah, itu kerana dia sayangkan kamu.  Berbincanglah baik-baik dengan emak.  Cuba fahami hatinya.  Ingat, bagi orang perempuan, selagi dia belum bernikah, syurganya di bawah tapak kaki ibu” dengan lembut umi Arif menasihati.

“Sepatutnya, dalam keadaan kamu sedang bersedih, orang pertama yang kamu jumpa ialah emak kamu.  Dialah sebaik-baik orang untuk kamu berkongsi masalah dan mendapatkan nasihat.”

Dalam diam Balqis terkesan dengan nasihat umi Arif.  Dia sedar ada kebenaran dalam kata-kata itu.  Satu kebenaran yang pahit untuk ditelan. 

Ayah Arif menggapai tangannya, dan bercakap sesuatu yang sukar untuk Balqis fahami.  Serangan angin ahmar telah menyebabkan gangguan pada pertuturannya. 

“Ya bang, ini kawan Arif,” umi Arif menjawab.  Ayah Arif berkata sesuatu dan uminya tergelak kecil.

“Kata pakcik, kamu cantik.  Dia harap Arif akan dapat isteri secantik kamu” ujar umi Arif.  Ungkapan itu membuatkan Balqis tersenyum.  Balqis meminta diri untuk masuk.  Dengan senyuman yang masih bersisa dia berdiri dan berpaling.  Di saat itu matanya bertembung dengan Arif yang sedari tadi memerhatikan dan mendengar perbualan Balqis dan uminya.  Renungan tajam Arif mematikan senyuman di bibir Balqis.  Malam itu Balqis tidur dengan nyenyak.  Dia merasa tenang dan selamat, tiada sekelumit kegusaran walhal dia bermalam di rumah pemandu teksi yang baru dikenali. 


**********

Esoknya seawal jam empat pagi Balqis dikejutkan dengan bunyi dari arah dapur.  Rupa-rupanya umi Arif sedang sibuk membungkus nasi lemak.  Lantas Balqis terus bangun, ke bilik air membersihkan diri dan kemudian ke dapur, menghulurkan bantuan setakat yang mampu.  Dia berharap dengan membantu umi Arif dapatlah dia membalas budi baik keluarga itu yang bukan sahaja membenarkan dia bermalam di rumah mereka, malahan melayannya dengan baik.

Bacaan ayat suci Al Quran jelas kedengaran dari surau, menandakan sebentar lagi akan masuk waktu solat Subuh.  Arif dan Amirul membentang sejadah di ruang tamu.  Umi Arif menghulurkan telekung kepada Balqis.  Sudah menjadi rutin keluarga ini berjemaah Subuh bersama-sama, dulu diimamkan oleh si ayah.  Namun sejak keuzurannya Arif menjadi imam.  Selesai bersolat Balqis terfikir betapa sudah terlalu lama dia tidak berjemaah di waktu Subuh.  Jangankan berjemaah, Subuhnya selalu tertinggal lantaran dia sering bangun lewat.

Selesai bersolat Arif keluar menjinjing dua plastik besar mengandungi nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang, diikuti oleh Amirul yang sudah siap berpakaian seragam sekolah.  Kini dia mengambil alih tugas ayahnya menghantar nasi lemak ke warung dan restoran dan kemudian menghantar Amirul ke sekolah.  Balqis ke dapur, meninjau jika ada apa yang perlu ditolong. 

Umi Arif meminta Balqis menyediakan seteko kopi dan setelah kopi disiapkan, Balqis membantu pula menghidang sarapan.  Sebentar kemudian Arif pulang dan mereka berempat bersarapan bersama. 

“Lain macam kopi umi pagi ni,” ujar Arif selepas menghirup kopi panas.

“Bukan umi yang buat, Balqis yang buat kopi tu.”  Umi menjawab.

“Sedap” ujar Arif ringkas.  Matanya melirik ke arah Balqis di hadapannya.  Kebetulan Balqis juga sedang memandangnya.  Mereka saling merenung buat seketika.  Ada getaran di dada Balqis, juga satu perasaan aneh yang tidak dimengerti.  Tidak betah bertatapan mata, lantas pandangan matanya dialihkan.

**********

“Awak kerja di sini?” soal Arif sebaik sahaja teksinya dihentikan di hadapan Butik Baldu Ungu.

“Ya.  Ini butik Mama.  Selepas habis belajar enam bulan lepas, saya bekerja di sini.”

Jeda seketika.  Baik Balqis mahupun Arif, kedua-duanya bagai kehilangan kata-kata.

“Terima kasih di atas segala pertolongan awak dan keluarga awak.  Saya akan sentiasa ingat awak sekeluarga.” 

Arif sekadar mengangguk.  Sungguh dia kehilangan bicara.  Bagai ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya.  Satu perasaan aneh menjentik tangkai hatinya. 

Balqis menghulurkan tiga keping not RM50 kepada Arif, namun Arif hanya memandang sepi wang tersebut.

“Kenapa, tak cukup ke?”

“Simpan duit tu” dengan tangan kirinya, Arif menolak lembut duit tersebut.  Menimbulkan kehairanan di hati Balqis.

“Tapi...” ayatnya mati di situ tatkala matanya bertaut dengan pandangan Arif.  Dada mula berdetak laju.  Perasaan yang sama dialaminya ketika bertaut pandangan dengan Arif malam tadi datang lagi.  Sungguh dia tidak mengerti kenapa debaran ini melanda.

**********

Dua minggu berlalu dan Mama Balqis bersyukur dengan perubahan anaknya.  Kini Balqis tidak lagi keluar malam.  Tiada lagi perbalahan di antara mereka.  Dan yang menggembirakan, Balqis sudah bersolat lima waktu setiap hari.  Dalam hatinya tertanya-tanya apakah yang mencetuskan perubahan positif di dalam diri anak bongsunya.

“Qis” panggil Mama dengan lembut sebaik sahaja mereka usai menikmati makan malam di restoran milik Papa Balqis. 

“Dah lama Qis tak keluar dengan Jefri” ujar Mama, sebenarnya dengan niat untuk mengorek maklumat.

“Kami dah break-off.  Dia ada perempuan lain” dengan tenang Balqis menuturkannya.  Tiada riak sedih di wajahnya dan dalam nada suaranya.  Selepas dua minggu, hatinya yang hancur sudah semakin pulih.  Dalam setiap doanya dia sentiasa memohon diberi kekuatan untuk mengharungi kegagalan percintaan ini. 

Don’t worry dear, you deserve a better man dan Papa pasti Allah akan menghantar jodoh yang lebih baik untuk Qis.”  Balqis terharu dengan kata-kata Papanya. 

“Lina kata, dalam dua minggu ni, ada sebuah teksi selalu berhenti di depan butik kita” ujar Mama dengan pandangan yang mengharapkan penjelasan daripada Balqis.  Balqis mengangkat kepala, memandang Mama dengan mata yang bersinar.

“Ya ke Mama?” soalnya.  Tidak pernah pula Lina si pembantu butik menceritakan hal itu kepadanya.  Dan sungguh, dia tidak perasan akan kehadiran teksi di hadapan butik mereka.

“Ya.  Lina kata kalau Qis ada teksi itu berhenti lama.  Bila Qis tak ada, dia berhenti sekejap saja.  Kata Lina lagi pemandu teksi tu muda dan handsome” 

Sebuah senyuman terukir di pinggir bibir Balqis. 


**********

“Terima kasihlah sudi datang menjenguk kami.  Bila-bila ada masa, datanglah lagi ya” ujar umi Arif tatkala melepaskan pelukan Balqis.

“In sya Allah makcik.  Sampaikan salam Qis pada Arif.”

Balqis berjalan ke arah keretanya yang diparkir di hadapan rumah Arif dengan senyuman di bibir.  Gembira dapat bertemu dengan umi dan ayah Arif.  Sedikit kecewa kerana Arif tiada di rumah.  Kata uminya, setiap hari sabtu dan ahad Arif mengajar di kolej.  Rupa-rupanya Arif seorang pensyarah.  Sebelum ini dia bekerja sepenuh masa tetapi selepas ayahnya diserang angin ahmar Arif bekerja separuh masa dengan mengajar di hujung minggu sahaja dan membawa teksi pada hari-hari yang lain.  Ini bagi memudahkannya menguruskan ayahnya kerana dengan membawa teksi dia tidak terikat dengan waktu kerja yang ditetapkan pihak kolej.

Balqis memandu dengan berhati-hati.  Telefon pintar di tepi dijelingnya sambil tersenyum.  Gembira kerana nombor telefon Arif kini tersimpan di dalam telefon itu.  Mahu sahaja dia mendail nombor Arif, namun ditahan hasrat itu.  “Sabar Qis, jangan terburu-buru menyukai seseorang.  Jangan ulangi kesilapan ketika bersama Jefri dulu,” Balqis berpesan kepada dirinya sendiri.


**********

Ke mana dia pergi?  Sudah seminggu kelibatnya tidak kelihatan di butik.  Adakah dia keluar daerah, bercuti atau sakit?  Atau mungkin dia dilanda masalah?  Haish, jangan fikir yang bukan-bukan.  Semua itu berlegar di fikiran Arif.  Sejak dia menghantar Balqis ke butik ini tiga minggu yang lepas, boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan singgah di depan Butik Baldu Ungu.  Kalau tidak sempat pagi, di waktu tengahari dia cuba singgah.  Jika tengahari juga tidak berkesempatan, maka dia datang di waktu malam.  Asalkan dapat melihat kelibat Balqis, hatinya cukup gembira.

Arif berpaling ke kiri, matanya masih tidak mahu lelap.  Wajah itu datang lagi.  Dia masih ingat garisan duka di wajah itu.  Dan tetap segar di ingatannya senyuman manis dan pandangan redup dari mata galak itu.  Aneh, asalnya dia tidak suka gadis yang berani menumpang tidur di rumahnya sedangkan mereka tidak saling mengenali.  Namun kuasa Allah membalikkan hatinya, dalam satu malam perasaan itu bertukar.  Terbit rasa cinta dan kini dia rindu. 

Berpaling pula ke kanan, mata tetap tidak mahu pejam.  Akhirnya Arif bangun, mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat.  Dalam doanya dia memohon kepada Illahi bahawa jika Balqis itu jodohnya, tunjukkanlah dan permudahkanlah.  Namun jika Balqis bukan jodohnya, dia memohon agar perasaan yang bersarang di hatinya hilang terus.


**********

Arif memandu perlahan-lahan, sambil matanya mencari rumah bernombor 28 seperti yang diarahkan oleh wanita bernama Lina yang menghubunginya semalam.  Dia diminta mengambil seorang penumpang dari rumah itu dan membawa penumpang tersebut ke Butik Baldu Ungu.  Mendengar nama Butik Baldu Ungu, Arif terus bersetuju.

Teksi diberhentikan dan Arif keluar.  Belum sempat dia menekan loceng, pagar automatik rumah banglo dua tingkat di kawasan perumahan elit itu terbuka.  Seorang wanita berbaju kurung hijau dan bertudung warna sedondon muncul di balik pagar.  Arif terpempan tatkala matanya menangkap wajah di depannya.

“Assalammualaikum” Balqis memberi salam, setelah mereka saling merenung buat seketika. 

“Waalaikumussalam” jawab Arif.  Matanya tidak berkelip melihat wajah manis di depannya.  Benarkah ini Balqis?  Sudah seminggu dia tidak melihat Balqis di butik.  Tidak semena-mena pagi ini, di depan matanya Balqis yang kini manis bertudung sedang tersenyum.

Balqis meninggalkan Arif yang masih terpempan lalu masuk ke dalam teksi.  Melihatkan Arif masih kaku di depan pagar, Balqis akhirnya bersuara.

“Arif, awak nak saya pandu sendiri ke teksi ni?”

Arif tersenyum.  Malu dengan dirinya yang terleka meneliti wajah Balqis.  Cepat-cepat dia masuk ke dalam teksi.

“Apa khabar?” soal Arif sebaik teksinya bergerak meninggalkan rumah Balqis.

“Alhamdulillah.  Awak?” Balqis pula menyoal. 

“Alhamdulillah.”

Jeda.  Kedua-duanya kelu.  Di dalam hatinya Balqis menyimpan rasa gembira kerana akhirnya dapat bersemuka dengan Arif.  Bagi Arif pula, bukan setakat gembira bersua dengan Balqis, malah terpegun dengan kecantikan Balqis yang semakin terserlah apabila bertudung.

“Terima kasih sebab menziarah orang tua saya,” akhirnya Arif memecah kebisuan di antara mereka.

You are welcome.  Saya pun nak ucapkan terima kasih kepada awak,” ujar Balqis sambil bibirnya menguntum senyuman.

“Kenapa?” Arif kehairanan.

“Kerana setiap hari menjenguk saya di butik.  Cuma saya hairanlah, kenapa orang tu tak masuk.  Tak aci lah main intai-intai dari luar.”

Ayat yang mengundang senyuman lebar di bibir Arif.  Kesesakan lalu lintas di pagi Jumaat memaksa teksinya bergerak amat perlahan.  Arif berpaling, memandang Balqis sekilas.  Di hatinya mekar bunga-bunga cinta namun dia tidak pasti apakah Balqis berkongsi perasaan yang sama.

“Nak masuk, tapi takut.  Manalah tau orang di dalam tu tak sudi berjumpa dengan saya.”

“Kalau tak sudi, orang ni takkan minta abang teksi datang mengambil dia di rumah.”  Ungkapan yang lahir dari bibir Balqis menggembirakan Arif.  Dalam hatinya dia melafazkan syukur.


**********

“Qis,” panggil Arif dengan lembut, sambil tangannya merangkul pinggang Balqis.  Bintang-bintang yang berkerdipan di langit dan bayu malam yang bertiup lembut menjadi saksi dua insan yang saling mencintai berdakapan di balkoni kamar pengantin. 

“Terima kasih kerana sudi menerima cinta Abang.” Arif merenung ke dalam mata isterinya.  Mencari sinar bahagia yang terpancar di sebalik renungan mata Balqis.

“Qis yang patut berterima kasih kepada Abang, kerana sudi mengambil Qis sebagai isteri.”  Balqis melekapkan pipinya ke dada Arif.  Terasa selamat di dalam rangkulan suaminya.

“Abang tak punya apa-apa untuk Balqis.  Abang ikhlas mencintai Qis dan Abang berjanji akan menjaga cinta ini agar sentiasa mekar sehingga ke akhir hayat.  Jika Abang lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, tolong ingatkan Abang.”

Balqis mengangkat kepalanya, merenung jauh ke dalam mata Arif.  Terharu dengan ikrar cinta yang dilafazkan suaminya.

“Qis hanya perlukan cinta Abang.  Qis yakin Abang seorang suami yang baik kerana Abang seorang anak yang baik.  Abang ingat tak pertemuan pertama kita?”

Arif memandang Balqis dengan penuh kasih sayang, sabar menanti penjelasan isterinya.

“Ketika Abang berhenti solat di masjid, dan melihat cara Abang menjaga umi dan ayah, timbul rasa kagum dalam hati Qis dan dengan izin Allah rasa kagum itu bertukar menjadi cinta.”

Arif senyum, dan kemudian mengucup dahi Balqis.  Tubuh Balqis ditarik lembut ke dalam rangkulannya.  Terkenang peristiwa dia menyaksikan Balqis berbual-bual dengan uminya di taman di luar rumah, pada malam Balqis menumpang tidur di rumahnya.  Ketika mata mereka bertembung, satu perasaan aneh menyelinap di tangkai hatinya.  Perasaan cinta yang Allah utuskan.  Sejak itu timbul keinginan untuk memiliki Balqis sebagai isterinya. 

“Balqis,” ujar Arif sambil tangannya memegang dagu Balqis, mengangkat wajah Balqis agar mata mereka bertatapan.

“Uhibbukifillah.”  Sepatah lafaz cinta untuk isteri yang dianugerahkan oleh Allah.  Isteri yang diciptakan dari tulang rusuk kirinya, untuk dicintai, dibimbing, dilindungi dan dihormati haknya.


No comments:

Post a Comment