Semalam baru aku tahu
betapa sakitnya bila cinta tidak dibalas.
Aku sangka dia betul-betul sayangkan aku. Aku fikir dia cintakan aku. Aku yakin dalam hatinya hanya ada aku. Bukan salah aku untuk beranggapan
begitu. Sudah tujuh tahun aku kenali
dia. Daripada tahun pertama di
universiti. hinggalah hari ini, di mana kami sudah tiga tahun melangkah ke alam
pekerjaan.
Kami sebaya. Sama-sama belajar di UM dalam jurusan
perakaunan. Dia yang menegur aku dahulu
selepas seminggu kuliah semester pertama bermula. Kami disuruh pensyarah mencari pasangan untuk
menyiapkan tugasan. Aku yang memang
sejak azali agak pemalu hanya melihat sahaja rakan-rakan sekuliah sibuk
bertanya sesama sendiri.
“Izureen”, panggilnya yang duduk di belakang aku dalam dewan kuliah. Entah dari mana dia tahu nama aku. Bila aku berpaling, dia tersengih.
“Kau dah ada partner?”
“Belum”
“Kita partner berdua nak?”
Sejak itu kami macam
belangkas. Ke mana sahaja berdua. Kalau ada aktiviti yang melibatkan kumpulan, kami
berdua akan masuk kumpulan yang sama.
Dia seorang sahabat
yang baik. Sentiasa ada bila aku
memerlukannya. Dan aku percaya aku juga
seorang kawan yang baik untuknya. Kalau
tidak takkanlah kami kekal bersahabat sehingga
sekarang. Keluarga aku kenal dia dan keluarga dia pun
kenal aku.
Bila balik kampus selepas menghabiskan cuti semester di kampung, dia sentiasa bawa buah tangan untuk aku. Ada sahaja yang mak dia kirimkan. Mula-mula aku segan sebab mama tidak pernah bagi dia apa-apa. Tapi bila dia kata tidak kisah, aku pun jadi tidak kisah dan sentiasa tertunggu-tunggu apa yang mak dia kirimkan.
Setiap tahun dia tidak pernah lupa hari ulangtahun kelahiranku. Masa belajar dulu hadiahnya biasa-biasa sahaja. Bila sudah bekerja, hadiahnya pun naik taraf. Tahun lepas dia belikan aku beg tangan jenama Coach. Tahun ini pula dia belikan aku tiket Universal Studio di Singapura. Siap pergi bersama-sama lagi. Tetapi kami tidak pergi berdua, Fawwaz dan Aida pun ikut. Fawwaz ialah bekas rakan sekuliah kami. Aida bekas pelajar Fakulti Pendidikan yang bercinta dengan Fawwaz sejak di UM. Bulan lepas Fawwaz dan Aida telah pun bernikah.
Setiap kali dia beri
hadiah hari lahirku, akan ada kad kecil yang dicoretkan kata-kata yang mencuit
perasaan. Dan aku masih menyimpan semua
kad-kad tersebut.
“Untuk permata hati aku
yang paling comel”
“Happy birthday, aku
sayang kau dunia dan akhirat”
“Sayangku, I hope you
like this special gift, for a very special person in my life”
“Izu, you are one in a million and therefore will
always be in my heart. Happy birthday
dear!”
“Allah selamatkan my sweet angel”
Perempuan manakah yang
tidak akan terusik hatinya bila membaca kata-kata sedemikian. Itu belum lagi luahan yang keluar dari
bibirnya tatkala berbicara denganku. Dia
memanggil aku Izu. Bunyinya agak
kelelakian tapi katanya nama itu sangat sesuai dengan aku. Dan bila dia memanggil aku, sering ada
gelaran yang mendahului atau mengikuti perkataan Izu.
“Izu sayang,..”
“My darling Izu…”
“Izu my sweetheart…”
Kali pertama dia
memanggil aku sayang, jantung aku berdegup kencang. Terkedu, rasa tidak percaya, suka, semuanya
bercampur baur. Lama kelamaan aku
menyukai gelaran-gelaran manis yang diberikan kepadaku.
Dia juga sering memuji
penampilanku. Asalnya aku gemar
berpakaian kasual. Seluar jeans, t-shirt
dan topi untuk menutupi rambut aku.
Rambut aku pendek sebab aku tidak suka mengeringkan rambut. Bukankah rambut panjang memerlukan masa yang
lebih lama untuk dikeringkan. Dia kata
aku comel dengan penampilan begitu.
Tetapi dia juga kata aku akan lebih comel kalau berambut panjang. Maka, sejak semester ketiga aku mula
membiarkan rambutku panjang. Kalau
potong pun sekadar ditrim di hujung. Aku
sudah tidak pakai topi lagi kecuali kalau ada aktiviti luar di bawah terik
mentari. Pakaian ke kuliah mula
dipelbagaikan. Ada harinya aku berbaju
kurung, malah pernah juga berkebaya. Aku
juga pakai skirt labuh, skirt kembang, blaus, gaun dan macam-macam lagi. Rakan-rakan sekuliah yang lain juga memuji
penampilan aku. Tetapi itu semua tidak
penting bagi aku. Yang penting dia suka
dengan cara pemakaian aku dan yang penting dia kata imej baru aku membuatkan
aku kelihatan lebih feminin dan manis.
Kami berkongsi cerita,
juga berkongsi rahsia. Hubungan renggang
aku dengan mama diketahuinya. Perihal papa
yang meninggal dunia ketika aku berusia 16 tahun, kisah papa yang beristeri dua
dan rahsia ini hanya terbongkar pada hari papa meninggal, juga aku kongsi
bersamanya. Dan banyak lagi kisah
hidupku yang diketahuinya. Dia juga sentiasa bercerita tentang berbagai
peristiwa dalam hidupnya.
Kelmarin aku ajak dia
keluar. Dia kata dia pun memang hendak
berjumpa dengan aku kerana ada perkara penting yang hendak dimaklumkan kepada
aku. Jadi semalam, seperti yang dipersetujui
dia datang menjemput aku di rumah tepat pukul 9 pagi. Aku lihat wajahnya berseri-seri. Nampak dia gembira sangat-sangat. Tapi aku pula lain jadinya. Entah kenapa bila melihat dia begitu aku jadi
berdebar-debar. Ternanti-nanti apa yang
hendak diceritakannya.
Dia memandu keretanya
dengan tenang sehingga kami sampai di Tasik Putrajaya. Baru pukul 10 pagi jadi orang belum ramai di
situ. Dia mengajak aku menaiki bot
menyusuri tasik Putrajaya. Aku setuju,
lebih-lebih lagi dia yang belanja.
“Semalam kau kata ada
benda penting nak beritahu, apa dia?” tanyaku setelah kami berbual-bual kosong
sambil menikmati pemandangan di sekeliling tasik.
“Ish kau ni, tak sabar
betullah.”
“Aku takut kau lupa, semalam bunyinya macam penting sangat.”
“Mana boleh aku lupa bagitau engkau. You know love, you are the first person to know about this. Even parents aku belum tahu lagi.”
“Apa dia? Cakaplah cepat, kau ni buat aku suspense lah” debaran di dada semakin kuat.
“OK honey, I am going to tell you.. soon. Bila kita habis pusing tasik aku akan
cerita”.
“Alah, cerita ajelah
sekarang. Tak ada bezanya kau cakap
sekarang atau sekejap lagi. Kau tetap
kena bagitau aku kan?” aku mendesak.
“Semalam aku lamar dia
dan dia terima lamaran aku. Dia suruh
aku jumpa orang tuanya dan meminang dia mengikut adat”.
Berderau darahku
mendengarnya. Senyuman dibibirku terus
hilang. Wajahku bertukar kelam. Pastinya orang itu bukan aku. Semalam kami berbual di telefon, mana ada dia
melamar aku. Pesanan ringkas yang
dihantar ke telefon bimbit sekadar mengingatkan tentang pertemuan hari
ini. Juga tidak ada sebarang pesanan
melalui Facebook.
“Izu, kau dengar tak
apa aku cakap?” dia bertanya apabila agak lama aku hanya mendiamkan diri.
Ya, aku dengar. Malahan aku juga faham apa yang
dikatakan. Hancur luluh hatiku saat
ini. Impian untuk menjadi ratu hatinya
berkecai bagai cermin yang dihempas ke lantai.
Ketika ini aku rasa mahu terjun ke dalam Tasik Putrajaya itu. Biarlah aku lemas di dasar tasik ini, bersama
impian dan harapan yang telah lebur, bagai larut di dasar tasik.
No comments:
Post a Comment