Friday 2 August 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 25

Assalaam pembaca semua.  Semoga kalian semua sihat dan dapat menikmati kemanisan ibadah di penghujung Ramadhan.
Kononnya saya akan sambung SKL selepas raya, tapi tangan tak tahan.  Gatal nak menulis juga.  Curi-curi masa lepas terawikh n sambil masak sahur untuk sambung cerita ni.  Bila idea dah mengganas, nak tak nak kena taip juga, kalau tak terlupa terus hilang idea!

Selamat membaca.  Selamat menyambut lebaran.  Saya mohon maaf kalau ada bahagian kisah Izureen dan Naim ini yang menyinggung perasaan kalian.  Fahamilah cerita ini hanya rekaan, tidak kena mengena dengan yang hidup juga yang sudah meninggal.  Fahamilah juga ini pengalaman pertama saya menulis novel, maka pastilah banyak kekurangan dari saya.

Drive carefully for those who are travelling to celebrate Eid.  Jaga makan, jangan sampai paras kolestrol naik, macam saya ni, :(

Kita jumpa lagi lepas raya, take care everyone! 
Bab 25  - Izureen


Minggu ini adalah minggu yang sangat memenatkan.  Kak Rina sudah mula bekerja tiga kali seminggu kerana hendak memberi tumpuan kepada majlis pernikahannya yang akan berlangsung lebih kurang 5 minggu dari sekarang, maka banyak kerja di pejabat yang perlu aku selesaikan.  Namun bukan itu yang memenatkan aku.  Yang memenatkan emosiku adalah Muaz. 


Setiap hari dia menelefon dan menghantar pesanan Whatsapp kepadaku.  Aku tidak kisah jika dia terus berhubungan denganku kerana aku sudah boleh menerima hakikat tiada jodoh antara kami.  Lagipun dia kawan baikku, apa salahnya dia menghubungiku.  Tetapi yang menimbulkan masalah ialah kandungan pesanannya dan kata-kata yang diucapkan bila dia menelefon aku.


Dia sentiasa mengajak aku keluar dengannya.  Aku tetap mengelak, dengan alasan aku terlalu sibuk.  Sebenarnya aku memang benar-benar sibuk dengan ketiadaan Kak Rina.  Apatah lagi syarikat kami baru sahaja mendapat kontrak membekalkan makanan sejuk beku kepada sebuah rangkaian restoran. 


Aku hairan, Muaz juga sepatutnya sibuk sekarang ini kerana pernikahannya akan berlangsung pada hari yang sama dengan Kak Rina.  Tetapi bila ditanya tentang persiapan perkahwinannya, dia seperti tidak berminat bercerita tentang perkara itu.  Sebaliknya dia kerap mengucapkan kata-kata rindu terhadapku.  Kata-kata yang hanya menambahkan calar di hatiku.  Terkadang aku terfikir mungkin dia cuma bergurau.  Namun bila setiap hari dia merayu untuk berjumpa dengan alasan dia terlalu rindu kepadaku, aku mula cuak.


Dalam setiap kerumitan, pasti ada satu titik kesenangan.  Kehadiran Fina sejak dua minggu lepas melegakan sedikit fikiran yang berserabut dengan kerenah Muaz.  Setiap hujung minggu aku berjumpa dengannya.  Aku juga membawanya ke rumah dan memperkenalkan Fina kepada Mama.  Fina mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Kak Rina yang semakin sibuk dengan urusan pernikahannya.  Masa senggang di hujung minggu biasanya kami habiskan dengan bersiar-siar di kompleks membeli belah, menonton wayang atau membuat kek di rumahku.  Aku sangat suka membuat kek.  Kalau aku punya pilihan, tentu aku sudah mengambil kursus bakeri selepas habis SPM. 


Telefon berbunyi menandakan ada pesanan Whatsapp yang masuk.


“Izu dear, boleh tak kita jumpa malam ni?  Please, please, please!”


Aku pandang sepi pesanan tersebut. 


“Kenapa sekarang tak sudi jumpa aku lagi?  Kau tak layan aku macam kawan baik.  I am sad L.”


Kali ini ada simbol wajah sedih di hujung pesanan.  Aku mengeluh.  Alangkah bagus jika kau tahu betapa aku tidak sanggup berjumpa kerana aku yang lemah.  Kau tidak bersalah, tetapi aku yang akan tewas dek senyumanmu, usikanmu, gelak tawamu.  Aku akan kelihatan gembira di hadapanmu tetapi sebenarnya memendam perasaan sedih.  Walaupun aku menerima hakikat perhubungan ini akan kekal sebagai persahabatan sahaja, namun sekali sekala perasaan terkilan dan kecewa mengelinap masuk ke lubuk hatiku, membuatkan aku lebih rela agar tidak bertemu dengan Muaz.  Cukuplah aku melayan panggilan dan pesanannya, agar dia tidak terasa aku menjauhkan diri daripadanya. 


Bunyi pesanan whatsapp kedengaran lagi.  Aku jeling telefon bimbitku.  Mujurlah kali ini pesanan datangnya dari Fina.  Dia mengajak aku menemaninya ke Sunway Pyramid selepas waktu bekerja nanti.  Aku membalas pesanannya dan mengatakan aku akan menjemputnya dari pejabat sekitar jam 6 petang. 


**********


“Kak Reen, tiba-tiba orang rasa berdebarlah,” ujar Fina sebaik sahaja keretaku masuk ke kawasan parkir di Sunway Pyramid. 


“Kenapa?”  tanyaku.


“Sebenarnya, orang datang sini nak jumpa…. Pejal.”  Dengan perlahan-lahan Fina menjawab, seolah-olah teragak-agak hendak memberitahuku tentang niatnya datang ke Sunway Pyramid.


“Hai, ada apa-apa ke ni, sampai berdebar-debar pulak.  Kata tak minat Pejal.”  Aku mengusik Fina.  Kulit wajahnya yang putih bersih tiba-tiba menjadi merah bila aku kata begitu.


“Entahlah Kak Reen.  Sejak orang kerja, Pejal selalu call.  Along punya pasallah ni, pandai-pandai bagi nombor orang kat Pejal.  Hari ni first time nak jumpa dia selepas orang balik dari Melbourne. Kenapa ya orang rasa berdebar?” 


Kami keluar daripada kereta yang berjalan masuk ke pusat membeli belah.  Soalan Fina tidak ku jawab kerana aku sendiri tidak pasti.  Satu-satunya lelaki yang aku cintai ialah Muaz, namun tidak pernah pula aku rasa berdebar-debar setiap aku keluar dengannya. 


“Kak Reen tak pastilah Fina.  Mungkin Fina berdebar kerana dah lama tak jumpa dia, mungkin hati tertanya-tanya bagaimana dia sekarang?”


Fina diam.  Kelihatan dia seperti sedang memikirkan sesuatu.  Aku mengerling jam di tangan.  Sudah masuk waktu Maghrib lalu aku mengajak Fina pergi ke surau.  Alhamdulillah, semenjak pulang dari homestay Naim, atau sebetulnya sejak Mak Jah menghadiahkan telekung kepadaku, aku tidak lagi culas dalam menunaikan solat. 


Usai solat kami menuju ke pintu masuk utama Sunway Pyramid.  Kata Fina dia berjanji berjumpa dengan Pejal di situ sekitar jam 7.45 malam.  Matanya meliar mencari orang yang ingin ditemui.  Aku bercadang akan membuat window shopping sementara Fina berjumpa dengan Pejal.  Satu suara memberi salam dan berhadapan dengan kami seorang lelaki yang aku kira sebaya usianya denganku melemparkan senyum kepada Fina.  Segak bergaya orangnya, memakai kemeja kelabu dan seluar hitam.  Rasanya dia juga dari pejabat.


Aku tinggalkan Fina dengan Pejal dan berjanji akan datang semula ke sini selepas satu jam.  Kaki mula melangkah menyusuri kedai-kedai yang terdapat di Sunway Pyramid.  Sudah lama aku tidak ke sini.  Dahulu hampir setiap hujung minggu aku habiskan masa di sini, menemani Muaz bermain luncur ais.  Kenangan bersamanya membawa kakiku melangkah ke arah gelanggang luncur ais.  Sementelah hari ini hari bekerja, tidak ramai yang berada di gelanggang tersebut.


Aku duduk di sebuah bangku menghadap gelanggang tersebut.  Rasa sebak menguasai hati bila aku terpandang bayanganku bermain luncur ais dengan Muaz.  Ketika kali pertama mencuba, aku sering jatuh dan tangannya sentiasa mencapai setiap kali aku jatuh.  Setelah berkali-kali mencuba aku berjaya meluncur di atas permukaan ais yang sentiasa licin itu.  Dan lama-kelamaan aku semakin mahir.  Kami sering meluncur sambil berpegangan tangan.  Muaz, tidakkah terdetik di hatimu di saat kita berpegangan tangan sambil menyusuri gelanggang ini bahawa ada rasa cinta di hatimu?


Airmata yang bertakung aku seka dengan jari.  Aku bangun dan berjalan dari situ.  Aku tidak mahu bersedih lagi.  Hidup harus diteruskan dan aku akan sentiasa ingat pesanan Mama yang mahukan aku menjadi seorang yang kuat dan tabah.  Aku masih muda, masih banyak waktu untuk bercinta.  Aku sudah bertekad menutup pintu hatiku untuk jatuh cinta lagi.  Sekarang aku hanya mahu menumpukan masa dan tenagaku untuk membantu Mama menguruskan syarikat.  Andai ada cinta yang sudi menjenguk pintu hatiku, biarlah ia datang sendiri.  Aku tidak akan bersusah-susah mencari cinta, seperti yang pernah aku lakukan terhadap Muaz dahulu.  Berbagai tindakan yang aku ambil untuk memenangi hatinya.  Akibatnya aku sendiri yang terluka.


**********


Aku berjalan mengikut ke mana kaki membawaku, tanpa tujuan tertentu.  Mata terpandang butik sukan Al Ikhsan khas untuk wanita.  Mungkin ada yang menarik di dalam, lalu kakiku melangkah memasuki kedai tersebut.  Aku terus pergi ke arah rak yang mempamerkan berbagai jenis kasut sukan.  Tangan mencapai kasut berwarna hijau muda dan mula membeleknya.  Aku sarungkan kasut tersebut tetapi setelah dicuba, hati merasa tidak berkenan lantas aku letakkan semula ke rak.  Beralih pula ke kasut jogging berwarna biru muda.  Sedang aku asyik membelek kasut tersebut, terdengar suara orang lelaki dan perempuan bertengkar. 


Aku pusingkan badan dan melihat ke arah datangnya suara.  Betul-betul di luar kedai seorang gadis bertudung kuning pisang sedang berdiri bercekak pinggang sambil berkata sesuatu kepada lelaki di hadapannya.  Aku tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang diucapkan oleh gadis tersebut, namun dari gerak tubuhnya dia kelihatan sedang marah.  Tiba giliran si lelaki pula bercakap.  Nampaknya dia juga sedang marah.  Dia bercakap sambil menunding jarinya ke arah gadis itu.  Sebaik sahaja lelaki itu selesai bercakap, si gadis berlalu pergi, meninggalkan lelaki itu dengan beberapa beg kertas yang penuh dengan berbagai barang berteraburan di atas lantai.


“Naurah!” dengan jelas aku mendengar jeritan lelaki itu.  Dan sebaik jeritan itu hinggap di telingaku, aku kenal dengan si pemilik suara.  Dia memusingkan badannya ke arah pintu kedai Al Ikhsan dan dari dalam kedai, di mana aku berdiri, dengan jelas aku nampak Muaz.  Wajahnya yang cerah kini kemerahan.  Nafasnya turun naik, mukanya muram.  Aku segera memusingkan badanku, tidak mahu dia nampak aku.


Tumpuanku tidak lagi kepada kasut-kasut di atas rak.  Degupan jantungku tiba-tiba menjadi laju.  Hati juga tertanya-tanya apakah yang berlaku?  Mungkinkah hubungan Muaz dan Naurah dilanda masalah?  Bukankah majlis perkahwinan mereka akan berlangsung sekitar lima minggu dari sekarang, mengapa harus ada perbalahan yang besar di antara mereka?


**********


“Adik ada jumpa Muaz tak baru-baru ni?”  soalan Kak Rina yang masuk bekerja hari ini ketika kami makan tengahari bersama menimbulkan tanda tanya yang besar di benakku.


“Tak.” 


“Ada tak dia call, atau hantar pesanan?”  soal Kak Rina lagi.


“Ada.  Tiap-tiap hari dia call, mesej pun empat, lima kali sehari…. naik rimas dibuatnya,”  aku berterus terang dengan Kak Rina. 


“Ada dia cerita apa-apa?”  Kak Rina seolah-olah hendak menyiasat gayanya.


“Tak.  Selalunya dia tanya khabar, ajak keluar.  Tapi lately ni dia selalu cakap rindu kat adik, nak jumpa… sebab ada hal penting nak bincang.  Adik tak layan pun.  Adik kata apa-apa hal dia boleh bagi tau melalui telefon.  Marah agaknya, dah dua hari tak call dan hantar mesej.” 

Dengan sejujur-jujurnya aku bercerita kepada Kak Rina, namun kejadian Muaz bergaduh dengan Naurah di Sunway Pyramid aku rahsiakan kerana tidak mahu menimbulkan kerisauan kepada Kak Rina.


“Sejak kebelakangan ni dia selalu bergaduh dengan Naurah,” kata Kak Rina, menyebabkan aku tidak jadi menyuap spaghetti bolognaise.


“Dia macam tak minat ambil berat tentang hal-hal majlis.  Semuanya dibiarkan Naurah buat sendiri.  Alasannya sibuk.  Kelmarin mereka bergaduh lagi.  Lepas tu dia telefon Naurah dan kata nak tundakan majlis.”


Kak Rina berhenti bercerita untuk meneguk jus lobak merah.


“Naurah pun pernah mengadu sebelum ni, hubungannya dengan Muaz semakin genting, walhal majlis dah semakin dekat.  Kata Naurah dia perasan sikap dan layanan Muaz kepadanya sudah berubah.”


Aku terus menunggu dengan penuh minat sambungan cerita dariapada Kak Rina. 


“Buat masa ni lebih baik Adik jangan layan Muaz.  Takut kalau-kalau Naurah dapat tahu, cemburu pulak dia.”


Kata-kata Kak Rina membawa ingatanku kepada satu perbualan telefon dengan Muaz.  Dalam perbualan itu aku pernah bertanya tidak cemburukah Naurah seandainya dia mengetahui bahawa Muaz setiap hari berbual denganku dan menghantar berbagai pesanan kepadaku.  Dengan selamba Muaz menjawab bahawa Naurah mengetahui aku dan Muaz sudah bersahabat sejak di universiti dan Muaz mengaku kepadanya akulah sahabat yang paling rapat dengannya. 


**********


Sudah pukul lapan malam namun aku masih lagi di pejabat.  Kak Rina sudah pulang seawal jam lima petang.  Yang tinggal hanya aku, Mama dan Pak Mid, pemandu Mama.  Komputer riba sudah aku matikan.  Badan sudah terasa letih bekerja sepanjang hari.  Minda lebih letih lagi.  Aku bersandar di kerusi.  Perbualan dengan Kak Rina tengahari tadi kembali menjengah minda.  Soalan demi soalan bermain di dalam kepala.  Kenapa dia sering bergaduh dengan Naurah?  Benarkah dia betul-betul mencintai Naurah?  Adakah Naurah mengetahui perbuatannya menghubungiku setiap hari?  Apakah aku punca pergaduhan mereka?  Apakah yang akan terjadi kepada perhubungan mereka?


Ish, tidak perlu rasanya aku menyesakkan fikiran dengan masalah Muaz.  Semua itu tidak ada kena mengena dengan diriku.  Tapi, betulkah tidak ada kaitan dengan diriku?  Bagaimana dengan ayat-ayat rindu yang semakin kerap diucapkan melalui pesanan dan ketika dia menelefon?  Sekali-sekala hati terusik juga dengan kata-katanya.  Dan sejak Kak Rina masuk pejabat tiga kali seminggu, sudah ada jambangan bunga yang dihantar kepadaku dan dihantar pula pada hari Kak Rina tidak bekerja.  Gerak hatiku kuat mengatakan jambangan tersebut dihantar oleh Muaz. 


Deringan telefon membawa aku kembali ke alam realiti.  Mataku mengerling ke arah telefon sambil berharap bukan Muaz yang menghubungiku.  Tatkala telefon sudah berada dalam genggaman, aku tiba-tiba gugup.  Betul, bukan Muaz yang menelefon.  Nama MR ANNOYING tertera di skrin telefon.


Nak jawab atau tidak? Jawab atau tidak?  Jawab… tidak… tidak.  Akhirnya telefon berhenti berbunyi.  Huh, lega!  Aku letakkan semula telefon di atas meja.  Eh, tapi bagaimana sekiranya ada kecemasan atau perkara penting yang harus dimaklumkan kepadaku?  Rasa bersalah kerana mengabaikan panggilan tadi mula terbit.


Belum sempat aku berfikir lebih lanjut, telefon berdering lagi.   Terang dan jelas terpampar perkataan MR ANNOYING di atas skrin.  Kali ini, tidak teragak-agak lagi.  Jariku pantas menekan butang hijau.


Dan entah kenapa, saat aku mendengar suaranya di hujung talian, ada debaran melanda dadaku.

10 comments:

  1. Ala...janganlah layan Muaz lagi...nanti bergaduh pula dengan Naurah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Susah juga tak nak layan. Hati berbelah bagi, antara merelakan Muaz menjadi milik orang lain dan mahukan Muaz untuk diri sendiri

      Delete
  2. wahhhh hadiah hari raya .. mabelessssss :)
    muaz ni dah macam meroyan je :D
    suspen la raya ni,nak tunggu apa jadi dgn perbualan naim dgn zurin kat tepon... :D
    Selamat hari raya aidilfitri Isma Adeliya ....maaf lahir dan batin.. semoga 5 hari lagi baki ramadan ni menambahdekatkan diri kita pada Allah.. ameen...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Meroyan bukan untuk orang perempuan je ke? Ha ha ha.
      Ni kes bila dalam tangan tak dijaga, bila terlepas dari genggaman baru terasa kehilangan.

      Semoga sambutan hari raya penuh berkah

      Delete
  3. BEST,SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN SEMUA.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih Baby Mio. Selamat Hari Raya, mohon maaf zahir dan batin.

    ReplyDelete
  5. Thumb up writer!
    Best sangat,. :)

    ReplyDelete
  6. Hani Aliesha,

    Terima kasih kerana sudi baca. Selamat berkenalan.
    Rajin2lah baca dan rajin2lah komen ya.
    Selamat hari raya!

    ReplyDelete