Kononnya saya akan sambung SKL selepas raya, tapi tangan tak tahan. Gatal nak menulis juga. Curi-curi masa lepas terawikh n sambil masak sahur untuk sambung cerita ni. Bila idea dah mengganas, nak tak nak kena taip juga, kalau tak terlupa terus hilang idea!
Selamat membaca. Selamat menyambut lebaran. Saya mohon maaf kalau ada bahagian kisah Izureen dan Naim ini yang menyinggung perasaan kalian. Fahamilah cerita ini hanya rekaan, tidak kena mengena dengan yang hidup juga yang sudah meninggal. Fahamilah juga ini pengalaman pertama saya menulis novel, maka pastilah banyak kekurangan dari saya.
Drive carefully for those who are travelling to celebrate Eid. Jaga makan, jangan sampai paras kolestrol naik, macam saya ni, :(
Kita jumpa lagi lepas raya, take care everyone!
Bab
25 - Izureen
Minggu ini adalah minggu
yang sangat memenatkan. Kak Rina sudah
mula bekerja tiga kali seminggu kerana hendak memberi tumpuan kepada majlis
pernikahannya yang akan berlangsung lebih kurang 5 minggu dari sekarang, maka
banyak kerja di pejabat yang perlu aku selesaikan. Namun bukan itu yang memenatkan aku. Yang memenatkan emosiku adalah Muaz.
Setiap hari dia
menelefon dan menghantar pesanan Whatsapp kepadaku. Aku tidak kisah jika dia terus berhubungan
denganku kerana aku sudah boleh menerima hakikat tiada jodoh antara kami. Lagipun dia kawan baikku, apa salahnya dia
menghubungiku. Tetapi yang menimbulkan
masalah ialah kandungan pesanannya dan kata-kata yang diucapkan bila dia
menelefon aku.
Dia sentiasa mengajak
aku keluar dengannya. Aku tetap
mengelak, dengan alasan aku terlalu sibuk.
Sebenarnya aku memang benar-benar sibuk dengan ketiadaan Kak Rina. Apatah lagi syarikat kami baru sahaja
mendapat kontrak membekalkan makanan sejuk beku kepada sebuah rangkaian
restoran.
Aku hairan, Muaz juga
sepatutnya sibuk sekarang ini kerana pernikahannya akan berlangsung pada hari
yang sama dengan Kak Rina. Tetapi bila
ditanya tentang persiapan perkahwinannya, dia seperti tidak berminat bercerita
tentang perkara itu. Sebaliknya dia
kerap mengucapkan kata-kata rindu terhadapku.
Kata-kata yang hanya menambahkan calar di hatiku. Terkadang aku terfikir mungkin dia cuma
bergurau. Namun bila setiap hari dia
merayu untuk berjumpa dengan alasan dia terlalu rindu kepadaku, aku mula cuak.
Dalam setiap kerumitan,
pasti ada satu titik kesenangan.
Kehadiran Fina sejak dua minggu lepas melegakan sedikit fikiran yang
berserabut dengan kerenah Muaz. Setiap
hujung minggu aku berjumpa dengannya.
Aku juga membawanya ke rumah dan memperkenalkan Fina kepada Mama. Fina mengisi kekosongan yang ditinggalkan
oleh Kak Rina yang semakin sibuk dengan urusan pernikahannya. Masa senggang di hujung minggu biasanya kami
habiskan dengan bersiar-siar di kompleks membeli belah, menonton wayang atau
membuat kek di rumahku. Aku sangat suka
membuat kek. Kalau aku punya pilihan,
tentu aku sudah mengambil kursus bakeri selepas habis SPM.
Telefon berbunyi
menandakan ada pesanan Whatsapp yang masuk.
“Izu dear, boleh tak
kita jumpa malam ni? Please, please,
please!”
Aku pandang sepi
pesanan tersebut.
“Kenapa sekarang tak
sudi jumpa aku lagi? Kau tak layan aku
macam kawan baik. I am sad L.”
Kali ini ada simbol
wajah sedih di hujung pesanan. Aku
mengeluh. Alangkah bagus jika kau tahu
betapa aku tidak sanggup berjumpa kerana aku yang lemah. Kau tidak bersalah, tetapi aku yang akan
tewas dek senyumanmu, usikanmu, gelak tawamu.
Aku akan kelihatan gembira di hadapanmu tetapi sebenarnya memendam
perasaan sedih. Walaupun aku menerima
hakikat perhubungan ini akan kekal sebagai persahabatan sahaja, namun sekali
sekala perasaan terkilan dan kecewa mengelinap masuk ke lubuk hatiku,
membuatkan aku lebih rela agar tidak bertemu dengan Muaz. Cukuplah aku melayan panggilan dan pesanannya,
agar dia tidak terasa aku menjauhkan diri daripadanya.
Bunyi pesanan whatsapp
kedengaran lagi. Aku jeling telefon
bimbitku. Mujurlah kali ini pesanan
datangnya dari Fina. Dia mengajak aku
menemaninya ke Sunway Pyramid selepas waktu bekerja nanti. Aku membalas pesanannya dan mengatakan aku
akan menjemputnya dari pejabat sekitar jam 6 petang.
**********
“Kak Reen, tiba-tiba
orang rasa berdebarlah,” ujar Fina sebaik sahaja keretaku masuk ke kawasan
parkir di Sunway Pyramid.
“Kenapa?” tanyaku.
“Sebenarnya, orang
datang sini nak jumpa…. Pejal.” Dengan
perlahan-lahan Fina menjawab, seolah-olah teragak-agak hendak memberitahuku
tentang niatnya datang ke Sunway Pyramid.
“Hai, ada apa-apa ke
ni, sampai berdebar-debar pulak. Kata
tak minat Pejal.” Aku mengusik
Fina. Kulit wajahnya yang putih bersih
tiba-tiba menjadi merah bila aku kata begitu.
“Entahlah Kak
Reen. Sejak orang kerja, Pejal selalu
call. Along punya pasallah ni,
pandai-pandai bagi nombor orang kat Pejal.
Hari ni first time nak jumpa dia selepas orang balik dari Melbourne.
Kenapa ya orang rasa berdebar?”
Kami keluar daripada
kereta yang berjalan masuk ke pusat membeli belah. Soalan Fina tidak ku jawab kerana aku sendiri
tidak pasti. Satu-satunya lelaki yang
aku cintai ialah Muaz, namun tidak pernah pula aku rasa berdebar-debar setiap
aku keluar dengannya.
“Kak Reen tak pastilah
Fina. Mungkin Fina berdebar kerana dah
lama tak jumpa dia, mungkin hati tertanya-tanya bagaimana dia sekarang?”
Fina diam. Kelihatan dia seperti sedang memikirkan
sesuatu. Aku mengerling jam di
tangan. Sudah masuk waktu Maghrib lalu
aku mengajak Fina pergi ke surau.
Alhamdulillah, semenjak pulang dari homestay
Naim, atau sebetulnya sejak Mak Jah menghadiahkan telekung kepadaku, aku tidak
lagi culas dalam menunaikan solat.
Usai solat kami menuju
ke pintu masuk utama Sunway Pyramid.
Kata Fina dia berjanji berjumpa dengan Pejal di situ sekitar jam 7.45
malam. Matanya meliar mencari orang yang
ingin ditemui. Aku bercadang akan
membuat window shopping sementara Fina berjumpa dengan Pejal. Satu suara memberi salam dan berhadapan
dengan kami seorang lelaki yang aku kira sebaya usianya denganku melemparkan
senyum kepada Fina. Segak bergaya
orangnya, memakai kemeja kelabu dan seluar hitam. Rasanya dia juga dari pejabat.
Aku tinggalkan Fina
dengan Pejal dan berjanji akan datang semula ke sini selepas satu jam. Kaki mula melangkah menyusuri kedai-kedai
yang terdapat di Sunway Pyramid. Sudah
lama aku tidak ke sini. Dahulu hampir
setiap hujung minggu aku habiskan masa di sini, menemani Muaz bermain luncur
ais. Kenangan bersamanya membawa kakiku
melangkah ke arah gelanggang luncur ais.
Sementelah hari ini hari bekerja, tidak ramai yang berada di gelanggang
tersebut.
Aku duduk di sebuah
bangku menghadap gelanggang tersebut.
Rasa sebak menguasai hati bila aku terpandang bayanganku bermain luncur
ais dengan Muaz. Ketika kali pertama
mencuba, aku sering jatuh dan tangannya sentiasa mencapai setiap kali aku
jatuh. Setelah berkali-kali mencuba aku
berjaya meluncur di atas permukaan ais yang sentiasa licin itu. Dan lama-kelamaan aku semakin mahir. Kami sering meluncur sambil berpegangan
tangan. Muaz, tidakkah terdetik di hatimu
di saat kita berpegangan tangan sambil menyusuri gelanggang ini bahawa ada rasa
cinta di hatimu?
Airmata yang bertakung
aku seka dengan jari. Aku bangun dan
berjalan dari situ. Aku tidak mahu
bersedih lagi. Hidup harus diteruskan
dan aku akan sentiasa ingat pesanan Mama yang mahukan aku menjadi seorang yang
kuat dan tabah. Aku masih muda, masih
banyak waktu untuk bercinta. Aku sudah bertekad
menutup pintu hatiku untuk jatuh cinta lagi.
Sekarang aku hanya mahu menumpukan masa dan tenagaku untuk membantu Mama
menguruskan syarikat. Andai ada cinta
yang sudi menjenguk pintu hatiku, biarlah ia datang sendiri. Aku tidak akan bersusah-susah mencari cinta,
seperti yang pernah aku lakukan terhadap Muaz dahulu. Berbagai tindakan yang aku ambil untuk
memenangi hatinya. Akibatnya aku sendiri
yang terluka.
**********
Aku berjalan mengikut
ke mana kaki membawaku, tanpa tujuan tertentu.
Mata terpandang butik sukan Al Ikhsan khas untuk wanita. Mungkin ada yang menarik di dalam, lalu
kakiku melangkah memasuki kedai tersebut.
Aku terus pergi ke arah rak yang mempamerkan berbagai jenis kasut
sukan. Tangan mencapai kasut berwarna
hijau muda dan mula membeleknya. Aku
sarungkan kasut tersebut tetapi setelah dicuba, hati merasa tidak berkenan
lantas aku letakkan semula ke rak.
Beralih pula ke kasut jogging berwarna biru muda. Sedang aku asyik membelek kasut tersebut,
terdengar suara orang lelaki dan perempuan bertengkar.
Aku pusingkan badan dan
melihat ke arah datangnya suara.
Betul-betul di luar kedai seorang gadis bertudung kuning pisang sedang berdiri
bercekak pinggang sambil berkata sesuatu kepada lelaki di hadapannya. Aku tidak dapat mendengar dengan jelas apa
yang diucapkan oleh gadis tersebut, namun dari gerak tubuhnya dia kelihatan
sedang marah. Tiba giliran si lelaki
pula bercakap. Nampaknya dia juga sedang
marah. Dia bercakap sambil menunding
jarinya ke arah gadis itu. Sebaik sahaja
lelaki itu selesai bercakap, si gadis berlalu pergi, meninggalkan lelaki itu
dengan beberapa beg kertas yang penuh dengan berbagai barang berteraburan di
atas lantai.
“Naurah!” dengan jelas
aku mendengar jeritan lelaki itu. Dan
sebaik jeritan itu hinggap di telingaku, aku kenal dengan si pemilik
suara. Dia memusingkan badannya ke arah
pintu kedai Al Ikhsan dan dari dalam kedai, di mana aku berdiri, dengan jelas
aku nampak Muaz. Wajahnya yang cerah
kini kemerahan. Nafasnya turun naik, mukanya
muram. Aku segera memusingkan badanku,
tidak mahu dia nampak aku.
Tumpuanku tidak lagi
kepada kasut-kasut di atas rak. Degupan
jantungku tiba-tiba menjadi laju. Hati
juga tertanya-tanya apakah yang berlaku?
Mungkinkah hubungan Muaz dan Naurah dilanda masalah? Bukankah majlis perkahwinan mereka akan
berlangsung sekitar lima minggu dari sekarang, mengapa harus ada perbalahan yang
besar di antara mereka?
**********
“Adik ada jumpa Muaz
tak baru-baru ni?” soalan Kak Rina yang
masuk bekerja hari ini ketika kami makan tengahari bersama menimbulkan tanda
tanya yang besar di benakku.
“Tak.”
“Ada tak dia call, atau
hantar pesanan?” soal Kak Rina lagi.
“Ada. Tiap-tiap hari dia call, mesej pun empat,
lima kali sehari…. naik rimas dibuatnya,”
aku berterus terang dengan Kak Rina.
“Ada dia cerita
apa-apa?” Kak Rina seolah-olah hendak
menyiasat gayanya.
“Tak. Selalunya dia tanya khabar, ajak keluar. Tapi lately
ni dia selalu cakap rindu kat adik, nak jumpa… sebab ada hal penting nak
bincang. Adik tak layan pun. Adik kata apa-apa hal dia boleh bagi tau
melalui telefon. Marah agaknya, dah dua
hari tak call dan hantar mesej.”
Dengan sejujur-jujurnya
aku bercerita kepada Kak Rina, namun kejadian Muaz bergaduh dengan Naurah di
Sunway Pyramid aku rahsiakan kerana tidak mahu menimbulkan kerisauan kepada Kak
Rina.
“Sejak kebelakangan ni
dia selalu bergaduh dengan Naurah,” kata Kak Rina, menyebabkan aku tidak jadi
menyuap spaghetti bolognaise.
“Dia macam tak minat
ambil berat tentang hal-hal majlis.
Semuanya dibiarkan Naurah buat sendiri.
Alasannya sibuk. Kelmarin mereka
bergaduh lagi. Lepas tu dia telefon
Naurah dan kata nak tundakan majlis.”
Kak Rina berhenti
bercerita untuk meneguk jus lobak merah.
“Naurah pun pernah
mengadu sebelum ni, hubungannya dengan Muaz semakin genting, walhal majlis dah
semakin dekat. Kata Naurah dia perasan
sikap dan layanan Muaz kepadanya sudah berubah.”
Aku terus menunggu
dengan penuh minat sambungan cerita dariapada Kak Rina.
“Buat masa ni lebih
baik Adik jangan layan Muaz. Takut
kalau-kalau Naurah dapat tahu, cemburu pulak dia.”
Kata-kata Kak Rina
membawa ingatanku kepada satu perbualan telefon dengan Muaz. Dalam perbualan itu aku pernah bertanya tidak
cemburukah Naurah seandainya dia mengetahui bahawa Muaz setiap hari berbual
denganku dan menghantar berbagai pesanan kepadaku. Dengan selamba Muaz menjawab bahawa Naurah
mengetahui aku dan Muaz sudah bersahabat sejak di universiti dan Muaz mengaku
kepadanya akulah sahabat yang paling rapat dengannya.
**********
Sudah pukul lapan malam
namun aku masih lagi di pejabat. Kak
Rina sudah pulang seawal jam lima petang.
Yang tinggal hanya aku, Mama dan Pak Mid, pemandu Mama. Komputer riba sudah aku matikan. Badan sudah terasa letih bekerja sepanjang
hari. Minda lebih letih lagi. Aku bersandar di kerusi. Perbualan dengan Kak Rina tengahari tadi
kembali menjengah minda. Soalan demi
soalan bermain di dalam kepala. Kenapa
dia sering bergaduh dengan Naurah?
Benarkah dia betul-betul mencintai Naurah? Adakah Naurah mengetahui perbuatannya
menghubungiku setiap hari? Apakah aku
punca pergaduhan mereka? Apakah yang
akan terjadi kepada perhubungan mereka?
Ish, tidak perlu
rasanya aku menyesakkan fikiran dengan masalah Muaz. Semua itu tidak ada kena mengena dengan
diriku. Tapi, betulkah tidak ada kaitan
dengan diriku? Bagaimana dengan
ayat-ayat rindu yang semakin kerap diucapkan melalui pesanan dan ketika dia
menelefon? Sekali-sekala hati terusik
juga dengan kata-katanya. Dan sejak Kak
Rina masuk pejabat tiga kali seminggu, sudah ada jambangan bunga yang dihantar
kepadaku dan dihantar pula pada hari Kak Rina tidak bekerja. Gerak hatiku kuat mengatakan jambangan
tersebut dihantar oleh Muaz.
Deringan telefon
membawa aku kembali ke alam realiti. Mataku
mengerling ke arah telefon sambil berharap bukan Muaz yang menghubungiku. Tatkala telefon sudah berada dalam genggaman,
aku tiba-tiba gugup. Betul, bukan Muaz
yang menelefon. Nama MR ANNOYING tertera
di skrin telefon.
Nak jawab atau tidak?
Jawab atau tidak? Jawab… tidak…
tidak. Akhirnya telefon berhenti
berbunyi. Huh, lega! Aku letakkan semula telefon di atas
meja. Eh, tapi bagaimana sekiranya ada
kecemasan atau perkara penting yang harus dimaklumkan kepadaku? Rasa bersalah kerana mengabaikan panggilan
tadi mula terbit.
Belum sempat aku berfikir
lebih lanjut, telefon berdering lagi.
Terang dan jelas terpampar perkataan MR ANNOYING di atas skrin. Kali ini, tidak teragak-agak lagi. Jariku pantas menekan butang hijau.
Dan entah kenapa, saat
aku mendengar suaranya di hujung talian, ada debaran melanda dadaku.
Ala...janganlah layan Muaz lagi...nanti bergaduh pula dengan Naurah..
ReplyDeleteSusah juga tak nak layan. Hati berbelah bagi, antara merelakan Muaz menjadi milik orang lain dan mahukan Muaz untuk diri sendiri
Deletewahhhh hadiah hari raya .. mabelessssss :)
ReplyDeletemuaz ni dah macam meroyan je :D
suspen la raya ni,nak tunggu apa jadi dgn perbualan naim dgn zurin kat tepon... :D
Selamat hari raya aidilfitri Isma Adeliya ....maaf lahir dan batin.. semoga 5 hari lagi baki ramadan ni menambahdekatkan diri kita pada Allah.. ameen...
Meroyan bukan untuk orang perempuan je ke? Ha ha ha.
DeleteNi kes bila dalam tangan tak dijaga, bila terlepas dari genggaman baru terasa kehilangan.
Semoga sambutan hari raya penuh berkah
best =3
ReplyDeleteTerima kasih Sharifah.
DeleteBEST,SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN SEMUA.
ReplyDeleteTerima kasih Baby Mio. Selamat Hari Raya, mohon maaf zahir dan batin.
ReplyDeleteThumb up writer!
ReplyDeleteBest sangat,. :)
Hani Aliesha,
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi baca. Selamat berkenalan.
Rajin2lah baca dan rajin2lah komen ya.
Selamat hari raya!