Wednesday 29 May 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 14

Untuk Malia dan Kak Na,

Saya taip laju-laju.  Semoga menghiburkan.  Jangan lupa comment ya, :)


Bab 14 - Naim Zakaria


Siapa lelaki berkacamata itu?  Itukah Muaz yang pernah disebut dalam perbualan kami?  Orangnya agak berusia, mungkin sekitar awal 30-an.  Tentu lelaki itu ada hubungan dengannya.  Kalau tidak, takkanlah berpeluk sakan.  Siap berpimpin tangan lagi.  Dan bermalam di sini, dalam rumah yang sama!


Perasaan ingin tahu semakin menebal dalam hati, disulami perasaan jelik.  Entah kenapa, terasa sangat jelik melihat dia bermesra dengan lelaki itu.  Aku nampak dengan jelas mereka berpelukan di depan pintu, dan kemudian kedua belah tangannya menyentuh muka lelaki itu sambil tersenyum.  Tidak berapa lama kemudian, dia menarik tangan lelaki itu dan mereka sama-sama masuk ke dalam rumah inap.


Semalaman mereka tidak keluar dari rumah.  Pagi ini, apabila aku melintasi rumah ketika berjogging, kereta lelaki itu masih ada.  Ingin rasanya aku mengetuk pintu rumah inap dan mengheret mereka berdua keluar.  Rumah inap itu aku bina untuk membolehkan pelanggan berkeluarga menginap, bukan untuk pasangan yang belum halal menginap untuk melakukan maksiat.  Malahan, chalet-chalet yang ada juga tidak sekali-kali akan aku sewakan kepada pasangan yang belum berkahwin.  Itu prinsip aku.  Aku lebih rela kerugian daripada mendapat keuntungan dari jalan yang salah. 


Dia berada di tepi sungai rupa-rupanya.  Tempat kegemarannya bermenung.  Di mana lelaki berkacamata itu? 


“Assalammualaikum” aku hulurkan salam pembuka bicara.  Takkan nak terus terjah dengan soalan berapi.


“Wa ‘alaikummus salam” sepatah jawabnya.  Mata memberikan jelingan tajam kepadaku.  Ah, aku tidak takut dengan jelinganmu wahai gadis.  Wajahnya masih mencuka, seperti semalam.  Kelihatannya seperti dia sudah bersiap hendak keluar.


“Mana boyfriend awak?”


“Hah?” itu saja jawapan yang keluar dari mulutnya.  Dahinya berkerut.


“Saya bukan nak mencampuri urusan peribadi awak.  Tetapi, sebagai pemilik tempat ni, saya mesti menjalankan tanggungjawab saya.  Kalau awak nak buat maksiat, tolong jangan buat di sini.  Ada banyak rumah inap dan resort berdekatan sini, awak boleh tinggal di sana.”


“Naim!” dia menengking aku. 


Tinggi suaranya.  Wajahnya yang tadi masam mencuka, kini bertukar menjadi bengis.  Lumrah, orang kalau sudah melakukan kesalahan, tidak mahu mengaku pula.  Maka marahlah dia bila ditegur kesalahannya.


“Apa yang awak merepek ni hah?” 


Tak habis-habis dikatanya aku merepek.  Semalam bila ditanya tentang kehamilannya, dia kata aku merepek juga.  Aku yakin, dari keadaannya, dia mengalami alahan di peringkat awal kehamilan.  Dan, dari tingkah laku mereka berdua, aku sangat-sangat yakin lelaki berkacamata itu kekasihnya.


“Kenapa awak suka tuduh saya macam-macam?  Kalau awak tak suka saya berada di sini, berterus teranglah.  Tak payah cari pasal dengan menuduh saya yang bukan-bukan.”


Wajahnya nampak sungguh tegang.  Dia ingat aku takut?  Kalau setakat dia sudah terlanjur, rasanya aku masih boleh terima.  Tetapi bila sang kekasih datang, bermalam pula di sini, oh maaf, ini sudah terlebih.  Aku tidak akan sesekali berkompromi dalam hal ini. 


“Jangan berdalih Izureen.  Saya nampak dengan mata saya sendiri.”


“Apa yang awak nampak, tak menjelaskan perkara yang sebenar lah!”


Kini dia sudah mencekak pinggang.  Matanya membulat memandangku.  Aku balas renungannya. 


“Kalau begitu, apa perkara yang sebenarnya?  Cakaplah!” aku pula menengking. 


Izureen mengetap bibirnya.  Nafasnya turun naik, nampak jelas dia mengawal kemarahannya.


Listen here Encik Naim Zakaria.  You have got no right to know any of my personal things!  Mind your own business! 


Dia mengangkat kaki, hendak meninggalkan aku.  Kalau dia di pihak yang benar, mengapa dia tidak mahu menceritakan hal yang sebenar?  Aku sentap tangannya dan menarik dia ke arahku.  Agak kuat tarikanku hingga dia terdorong ke belakang.


What are you trying to do?  Lepaslah!”


Belum sempat aku berkata apa-apa, lelaki berkacamata itu menghampiri kami.  Entah dari mana dia datang.  Aku lepaskan tangan Izureen.  Jangan pula dia salah sangka, aku hendak mengapa-apakan Izureen.  Sebaik sahaja dilepaskan Izureen menjeling kepadaku dengan pandangan yang tajam, bagai tembus mataku dijelingnya.  Kemudian dia menggamit lelaki itu.


“Jom,” katanya lantas memaut lengan si lelaki.


Wait” sepatah yang keluar dari si lelaki.  Dia terus mara ke arahku. 


“Zack kan?”  dia menyoal, sambil menghulurkan tangannya.


Kami berjabat tangan.  Aku perhatikan dia dari atas hingga ke bawah.  Cuba mengingati wajah dan susuk tubuh yang berada di hadapanku.  Gagal.


“Zack, kau dah tak kenal aku?  Izelan lah!” dia senyum. 


Izelan?  Aku cuba mengingati orang bernama Izelan yang pernah aku kenali.  Lama aku berfikir, sebelum satu nama dan wajah di zaman persekolahan menengah menjelma di minda.


“Izelan, MRSM Muar?” soalku.


Yes!” dia tersenyum girang bila akhirnya aku berjaya mengingatinya.


“MasyaAllah, lainnya engkau Lan!”  kami sama ketawa.  Kemudian dia mendepakan lengannya dan kami berdakapan, aku menepuk-nepuk bahunya. 


“Dulu engkau putih, tembam.  Sekarang dah kurus, pakai cermin mata pulak tu.  MasyaAllah, manalah aku nak kenal!”


“Engkau pun dah lainlah.  Makin handsome.  Taklah macam time sekolah dulu, nampak nerd aje.”


Kami gelak lagi.  Girang berjumpa rakan lama.  Tak sangka setelah bertahun-tahun tidak bertemu, kami berjumpa di sini.  Lain sungguh penampilan Izelan sekarang.


“Kerja apa sekarang?”


“Doktor.  Engkau?”


“Di sinilah, bisnes sendiri.”


“Eh, aku ada dengar kau ada buka interior design firm?”


Still there, but Haziq is running it full time.  I am mostly here.  Eh, ingat Haziq lagi?”


“Ingat.  Aku ada jumpa dia, rasanya dua tahun lepas.”


 “Dah kahwin?”


“Belum.”


“Samalah kita.”


“Abang” panggilan Izureen menyedarkan kami ada orang ketiga di situ.  Tentunya dia mendengar perbualan kami dan kehairanan.  Aku juga mula kehairanan.  Yang ini Izelan, bukan Muaz.  Apa kaitan Izelan dengan Izureen? 


“Jomlah abang.  Berapa lama lagi nak berborak ni?” wajahnya tampak kebosanan.


“Kejaplah adik.  Dah lama tak jumpa kawan abang ni.  Dulu dia junior abang kat MRSM Muar.  Tak sangka berjumpa semula di sini.”


Adik?  Rasanya aku tak salah dengar, dia memanggil Izureen adik.  Oh oh, maknanya aku sudah salah sangka! 


“Eh Zack, kenalkan my baby sister, Izureen.” 


Izelan menyuakan tangan ke arah Izureen yang sedang memandang aku dengan pandangan seolah-olah dia hendak menerkam aku sekarang.  Memang sah, aku telah tersalah anggap tentang perhubungan Izureen dengan lelaki ini. 


“Korang nak ke mana?” tiba-tiba muncul persoalan di benak lantas terpancul dari mulutku.  Mata tidak sanggup menatap wajah garang Izureen.


“Kami nak pergi makan.  Lepas ni aku kena balik Taiping.”


“Eh jomlah makan kat rumah aku.  Dulu, bila aku balik ke asrama, engkau selalu belasah sambal bilis mak aku.  Hari ni mak aku masak sambal bilis.  Dah lama engkau tak rasakan?  Jomlah.” 


Aku menarik lengan Izelan dan dia tersengeh sambil menurutiku.


“Abang!”  Izureen masih tercegat di belakang kami.  Kami berdua berpaling memandangnya.  Matanya tepat melihat ke arah Izelan, sambil menggelengkan kepalanya, menandakan dia tidak mahu makan di rumahku.


“Jom adik,” tanpa sebarang pertanyaan, Izelan menarik lengan Izureen.  Dalam terpaksa Izureen menapak, mengikuti kami ke rumahku.



**********


Berselera sungguh Izelan makan.  Lauknya biasa sahaja, sambal bilis, ikan masin goreng, gulai lemak pucuk paku berencahkan udang kering, ulam timun dan sambal belacan.  Tapi yang disentuhnya cuma sambal bilis dan pucuk paku.  Berkali-kali dia memuji kelazatan sambal bilis emak.


“Dulu makcik, masa kat asrama, saya memang tertunggu-tunggu sambal bilis makcik.  Tak ada nasi, dengan roti saya makan.  Tak ada roti, biskut lemak pun jadi.  Kalau Zack balik tak bawa sambal, kecewa saya.”


Berderai ketawa kami. 


“Ada lagi ke sambal ni Jah?  Kalau ada, bungkuskan untuk tuan doktor ni, bawak balik ke Taiping.”


Abah memberi arahan.


“Ada sikit lagi tu, nanti makcik bungkuskan.” Emak senyum.


“Tak payahlah mak.  Kalau dia nak lagi, dia kenalah datang sini selalu” sengaja aku menyakat Izelan.


Meriah suasana makan tengahari kami dengan kehadiran Izelan.  Sambil makan, kami bercerita tentang kisah kami di asrama.  Izelan tua setahun daripadaku.  Dia banyak membantu aku ketika aku mula memasuki MRSM.  Sekali sekala perbualan kami diiring gelak ketawa apabila ada peristiwa lucu yang diperkatakan.  Emak dan abah turut ketawa bersama.


Namun satu wajah itu kekal mencuka.  Izureen makan pun sedikit sahaja.  Ketika sedang makan, mata kami bertaut dan dengan pantas dia memberikan aku satu jelingan tajam.  Rasa bersalah menyelinap dalam hati.  Macam manalah aku boleh terfikir benda yang bukan-bukan tentang dia?


Emak perasan akan gelagatnya dan bertanyakan kepadaku ketika aku membasuh tangan di singki.  Aku hanya katakan aku tidak tahu, tidak berani menceritakan hal sebenar kepada emak.  Kalau emak tahu, tentu aku akan dimarahi.  Ish, macam manalah aku boleh buat silap?


Monday 27 May 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 13



Bab 13 - Izureen


Apa yang dia merepek ni?  Pandai-pandai menuduh aku mengandung.  Kemudian meneka pulak bahawa lelaki yang menyebabkan aku mengandung tidak mahu bertanggungjawab.  Bengang!  Itulah yang aku rasakan ketika ni.  Kenapa dia senang-senang menuduh?  Dulu dia mengesyaki aku mahu membunuh diri.  Sekarang, dia serkap jarang bahawa aku mengandung!  Bagus sungguh imaginasi dia ni.  Mentang-mentanglah aku ini orang bandar, dia fikir semua gadis bandar mudah dipujuk rayu hingga akhirnya menyerahkan tubuh untuk membuktikan cinta?  Tolong sikit, aku bukan begitu orangnya.


Deringan telefon melupakan seketika perasaan bengang, geram dan marah terhadap Naim.  Tertera nama Abang di skrin telefon, cepat-cepat aku menjawab panggilannya.  Kata Abang dia sudah dekat dengan simpang ke rumah homestay ini.  Aku keluar, menuju ke rumah Mak Jah dan kemudian berjalan terus lagi hingga ke simpang.  Dari jauh aku nampak kereta Abang.  Aku lambaikan tangan, agar dia nampak kelibatku.



**********


“Abang” jeritku dan terus meluru ke arahnya.  Aku peluk Abang erat-erat sebaik sahaja dia keluar dari kereta.  Rindu sangat-sangat terhadap abang.  Abang membalas pelukanku.  Kemudian dia mengusap rambutku.


What happened?”


“Adik gunting lah” aku paut lengan Abang.  Gembiranya dapat jumpa abang.


“Adik comel macam ni”.


“Mestilah, adik abang kan.  Comel all the time” aku gelak. 


Abang senyum.


“Abang dah kuruslah” kataku sambil meneliti tubuh abang dari atas ke bawah.


“Adik pun kurus”.


“Adik tengah frust, wajiblah kurus.  Yang abang ni apasal kurus?  Tak cukup makan ek?”


Abang senyum saja.  Nampak abang pun gembira dapat berjumpa denganku.  Pagi ini abang maklumkan dia hendak pulang ke Taiping dari rumah Mama.  Abang bersungguh-sungguh mahu berjumpaku, maka aku maklumkan di mana aku berada, dengan syarat abang tidak menceritakan kepada Mama.


“Jom, kita masuk.  Banyak benda yang adik nak ceritakan pada abang”, aku tarik tangan abang, membawanya masuk ke rumah inap.


Dari jauh susuk tubuh mamat sengal itu kelihatan masih berdiri di tempat tadi.  Aku lihat dia memandang ke arah aku dan abang.  Menyampah!


**********


“Sampai bila adik nak tinggal di sini?” soal abang sebelum menghirup kopi 3 dalam 1 yang aku hidangkan.  Itu sahaja yang dapat disediakan.


“Sampai adik bosan, dan sampai rasa sedih ini hilang.


“Bila tu, setahun?  Dua tahun? 


Aku sekadar mengangkat bahu.  Memang aku tiada jawapan untuk itu.


“Muaz tau adik cintakan dia?”


Aku gelengkan kepala.  Tiada sebab untuk dia tahu, lainlah kalau dia belum bertunang.


“Kesian Mama, tak ada orang uruskan hal-hal kewangan dan akaun syarikat.”


Abang cuba menimbulkan rasa bersalah dalam hatiku.  Bukannya aku tak kasihankan Mama, tapi aku perlu masa untuk merungkaikan kekusutan fikiranku dan juga untuk mendapatkan ketenangan hati.  Lagipun bukannya Mama tak boleh ambil pekerja lain.


“Mama tu degil.  Dah banyak kali adik beritahu, ambillah kakak bekerja di syarikat tu.  Kakak ada kelayakan dan pengalaman.  Tapi mama tetap tak mahu.”

  

Aku meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Mama.



“Adik, cubalah fahami situasi Mama.  Bukan senang melenyapkan perasaan marah, kecewa, rasa tertipu, rasa dikhianati.  Bukan sekejap, 18 tahun Mama dimadukan, tanpa pengetahuannya.  Tentulah tidak mudah bagi Mama memaafkan dan melupakan”.



Aku diam sekejap.  Menganalisa setiap patah perkataan abang.  Bagusnya abang ni, sentiasa memahami.  Dan sekarang aku yakin abang juga akan memahami aku.  Abang saling tak tumpah seperti papa, wajahnya dan perwatakannya.  Mungkin kerana sebagai anak sulung dia menyaksikan kebahagiaan dan kesedihan Mama.  Aku pula anak manja yang hanya tahu senang dan sering mahu dimanjakan dan dimenangkan.



“Tapi kakak tak salah.  Yang salah papa dan mak kakak.  Kenapa pulak Mama nak lepaskan rasa marah dan kecewanya kepada kakak?”


Aku masih mahu mempertahankan pendirianku.  Abang tersenyum sinis.  Rasa panas pulak hati bila melihat abang tersenyum sinis begitu.


“Apa bezanya adik dengan Mama?  Adik tak suka tindakan Mama tapi adik juga buat tindakan yang hampir sama.  Adik kecewa dengan Muaz, tapi adik tinggalkan kami semua.  Apa salah kami?  Adik biarkan Mama bersusah payah menguruskan sendiri hal-hal kewangan dan akaun, apa salah Mama?”


Jeda antara kami.  Aku rasa terpukul dengan ayat Abang.  Otak mula menghadam setiap perkataan yang abang luahkan.  Benar, aku tidak suka tindakan mama, tetapi tanpa disedari, aku juga mengambil tindakan yang salah.  Namun, bukan saja-saja aku melarikan diri.  Aku yakin aku tidak cukup kuat untuk menghadapi Muaz.  Jika aku masih di Kuala Lumpur, Muaz pasti menghubungi aku.  Bagaimana hendak mengendurkan rasa luka di hati, kalau terpaksa menghadap Muaz.  Lebih parah kalau pertemuan kami ditemani tunangnya atau perbualan kami akan berlegar sekitar perihal dia dan tunangnya. 


“Adik, abang percaya adik seorang yang kuat.  Jiwa adik kental.  Darah yang mengalir dalam tubuh kita adalah darah keturunan yang tabah, cekal dan mampu menanggung sebarang cabaran.  Tengok bagaimana Mama bangkit dari kesedihan dan kekecewaannya.  Pernah tak kita tengok Mama menangis?  Adik mungkin tak ingat, tapi abang masih ingat dengan jelas kecekalan Papa dan Mama.  Jatuh bangun dalam bisnes semuanya Papa hadapi dengan tenang.  Kena tipu, hampir muflis, pejabat papa dirompak, macam-macam lagi yang papa tanggung.  Mama sentiasa ada di sisi Papa.  Kita harus mengambil sikap papa dan mama.  Lari dari masalah tidak menyelesaikan masalah, tapi menimbulkan lebih banyak masalah”.


Panjang syarahan abang.  Aku diam.  Benar belaka apa yang abang katakan.  Oh jiwa, tabahlah dengan dugaan ini.  Cekallah wahai hati.  Semangat biarlah kental.


“Adik, be positive.  Bukan semua yang kita nak, kita akan dapat.  Bukan semua yang kita nak, sesuai untuk kita.  Only Allah knows what is best for us.  Turn to Allah, He is the One on whom we all depend, the One who is enough, whenever we turn to Him.  The One who fulfils and answers all our prayers.  Allah does not burden anyone with more than what he or she is able to bear.  And always know that Allah is with you.”


Abang dah sambung syarahan dalam Bahasa Inggeris pulak.  Ini sebiji perangai Mama, bila marah, membebel dan nasihat mesti dalam Bahasa Inggeris.


Tapi aku tidak menafikan bahawa semua yang abang katakan adalah benar.  Terasa bersalah kerana lalai dalam mengingati Allah.  Betapa kasih dan sayang Allah sentiasa melimpah ruah.  Kenapa aku tidak terfikir untuk memohon kepadaNya?  Kenapa aku menjadi sangat emosional sehingga mahu lari dari kehidupan asalku dan membawa diri ke sini?  Lupakah aku kepada Allah, yang sentiasa mendengar?


Aku kesat airmata yang mengalir.  Aku pandang abang.  Wajah abang tenang.  Memang, semenjak tinggal di Taiping abang sudah banyak berubah.  Dulu abang social habis.   Walaupun tidak minum dan merokok, abang kaki clubbing.  Jarang nampak abang solat.  Tapi sekarang abang dah lain.  Alhamdulillah, benarlah hijrah datang bersama kebaikan.  Berhijrah ke Taiping membawa sekali penghijrahan rohani dan sikap Abang.


“Adik, apa hebatnya Muaz tu?  Banyak lagi lelaki lain.”


Ada ke patut abang tanya soalan tu.  Abang sepatutnya tahu bagaimana rapatnya aku dengan Muaz.  Kalau kami tak serasi, takkan kami boleh rapat, dan persahabatan kami boleh bertahan sehingga kini.  Cuma… aku tak sangka ketika di hatiku ada perasaan yang lebih daripada sekadar persahabatan, di pihak Muaz pula hubungan kami hanya plutonik.


“Abang takkan tak tau kami dah lama berkawan, tentulah adik sayangkan dia.”


“Orang lelaki ni Dik, lambat matang berbanding dengan perempuan, both physically and mentally.  Di kala Adik rasa sayang dan cinta pada Muaz, dia mungkin masih belum merasakan yang dia dah sedia untuk kekal setia pada seseorang perempuan saja.  Mungkin Adik yang terlalu gopoh menyangka dia cintakan adik.”


Aku pandang Abang, dengan perasaan bercampur baur.  Sekejap rasa betul apa yang abang cakapkan.  Kemudian rasa pula macam abang sekadar mahu menyokong kaum sejenisnya.  Eh, tapi takkanlah.  Mestilah abang sokong aku, akukan adik dia.


“Abang, macam mana adik tak salah sangka.  Dia selalu panggil adik sayang, guna perkataan sweetheart, love dan macam-macam lagi.  Macam mana hati adik tak cair.”


Abang pula pandang aku lama-lama.  Lembut pandangan abang, macam pandangan arwah Papa. 


He’s a sweet talker.  Lelaki yang bermulut manis ni merbahaya dik.  Orang macam ni suka bagi harapan palsu.”


Aku terkedu.  Benakku mula menganalisa ayat Abang.  Benarkah Muaz merbahaya?  Benarkah selama ini aku disajikan harapan palsu?  Terlalu naifkah aku, hingga tidak menyedari harapan palsu yang telah Muaz berikan?

Wednesday 22 May 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 12


Bab 12 - Naim Zakaria


Mata, mengapa sukar untuk lelap?  Dia, mengapa sering sahaja wajahnya terbayang di depan mata?  Aku, mengapa hatiku ini libang libu?  Serba tak kena rasanya.  Mengiring ke kiri salah, mengiring ke kanan salah juga.  Duduk salah, baring pun salah.


Mata mengerling jam di dinding, sudah pukul 3 pagi.  Dari memikirkan perkara-perkara yang tidak pasti, lebih baik membuat sesuatu yang berfaedah!  Maka aku bangun, berlalu ke bilik air lantas mengambil wudu’.


Aku bentang sejadah dan dengan lafaz bismillah, aku mulakan solat tahajjud.  Habis bertahajjud, aku sambung dengan solat taubat.  Berjuraian airmataku tatkala lafaz kemaafan aku panjangkan kepada Al Khaliq, Pencipta semua makhluk dan segala sesuatu.  Yang menciptakan setiap makhluk secara sempurna dan dalam bentuk yang sebaik-baiknya dengan ukuran yang paling tepat.  Terasa kerdil diri ini bila aku menyedari terlalu banyak dosaku kepadaNya.  Aku mohon ampun darimu Ya Allah, aku mohon keampunanMu Ya Allah, terimalah taubatku, terimalah taubatku.  Setelah habis berdoa, aku alunkan nasyid taubat nasuha.


Astaghfirullah robbal barroya, Astaghfirullah minal khotoya

Astaghfirullah robbal barroya, Astaghfirullah minal khotoya

Rabbi zidni ‘ilman naafi’a

Wawa fiqni ‘amalan maqbula

Wawa habli rizqan waasi’a

Wa tub ‘alaiya taubatan nasuha

Wa tub ‘alaiya taubatan nasuha


Hati menjadi tenang. Benarlah, ketika hati gundah gulana, tiada yang mampu memberi ketenangan melainkan dengan menyerahkan diri kepadaNya. 


Aku bangun dan memulakan pula solat hajat.  Dalam sujudku yang panjang, aku mohon kepada Ya Rabbi akan kesihatan yang baik untuk kami sekeluarga, juga rezeki yang luas dan diberkati.  Aku juga memohon agar perniagaanku berjalan lancar dan berkembang.  Akhirnya aku memohon agar dipertemukan jodoh yang baik.  Seorang isteri yang mampu menjadi bidadari dunia dan akhiratku, yang cintanya akan membawa aku lebih mencintai Al Khaliqku.


Aku berdiri lagi, kali ini mengangkat takbir ratul ihram untuk memulakan solat witir, penutup solat malamku.  Selesai semuanya, jam menunjukkan pukul empat pagi.  Aku kembali ke pembaringan dan akhirnya terlena.  Syukur, mata yang amat sukar dilelapkan berjaya dipejamkan dan fikiran yang berkeliaran ke sana ke mari akhirnya tenang.  Pastinya berkat bertahajjud.


*******


Hujan semalam masih belum berhenti, membatalkan rancanganku untuk berjogging.  Aku, abah dan mak berjemaah Subuh di rumah sahaja.  Selepas bersolat, aku buka laptop dan memeriksa emel yang bertalu-talu masuk.  Alhamdulillah, ada lima emel dari pelanggan yang berminat menyewa chalet.  Semuanya aku balas dengan segera.  Ada juga satu emel dari sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang bertanyakan tentang Villa Mahabbah.  Pelik, biasanya tempahan dan pertanyaan tentang Villa Mahabbah datang dari butik-butik pengantin dan mak-mak andam yang bekerjasama denganku.  Bagi memelihara nilai eksklusif yang tinggi, penginapan di resort akan dimasukkan di dalam pakej andaman  dan setiap butik atau mak andam yang berjaya mendapatkan pelanggan mereka berbulan madu di resortku akan menerima komisyen.  Ini adalah salah satu strategi pemasaran yang aku laksanakan untuk mempromosikan Villa Mahabbah.


Inilah pertama kali aku mendapat pertanyaan secara langsung dari pelanggan.  Emel tersebut datangnya dari Pembantu Peribadi seorang Dato’.  Katanya Dato’ tersebut ingin mengetahui pakej yang ditawarkan dan berminat juga untuk melawat resort tersebut sebelum membuat tempahan.  Kata orang rezeki jangan ditolak, maka aku segera mencapai beberapa helai kertas dan mula merangka pakej bulan madu yang tidak digabungkan dengan pakej andaman, khas untuk Dato’ tersebut.


“Naim, mari sarapan”, laungan emak dari dapur menyedarkan aku bahawa sudah dua jam aku membuat kerja tanpa henti.


Aku simpan kertas-kertas yang penuh dengan berbagai contengan.  Komputer riba aku tutup.  Kemudian aku pergi ke arah dapur dan mendekati meja makan.  Di atas meja sudah terhidang lempeng pisang dan sambal tumis ikan bilis.  Semerbak bau lempeng menerjah ke rongga hidung, membangkitkan seleraku. 


“Mak, Izureen tu ada datang makan kat sini semalam?” soalku sebelum menghirup kopi yang emak hidangkan.


“Ada, kenapa?”


“Malam tadi Naim temankan dia ke kedai, nampak macam tak sihat aje budak tu”.


“Eh, elok aje dia tengahari semalam”, jawap emak, tanpa prasangka.  Aku diam, membiarkan cerita itu mati begitu sahaja.


Malam tadi, ketika mata tidak mahu lelap, aku tidak putus-putus berfikir tentang dia.  Kenapa dia asyik muntah-muntah?  Adakah dia telah terlanjur?  Jika ya, angkara siapa?  Adakah dia sudah terlanjur atau terjadi tanpa kerelaan?  Di mana sahabat karib yang katanya dicintai dalam diam?  Lelaki itukah yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung?  Adakah keluarganya sudah mengetahui akan hal ini, lantas menyingkirnya dari rumah hingga membawa dia ke sini?


Berbagai persoalan bermain di mindaku.  Aku perlu mendapatkan kepastian darinya.  Jika benar dia mengandung, dia perlu dibantu dan aku bertekad membantunya.


“Apa yang kamu menungkan?  Tak baik termenung sambil mengadap rezeki.”


Teguran emak membawa aku ke kembali ke realiti.  Saat mataku menangkap mata emak aku teringat emak bekas bidan kampung.  Tentu emak boleh tahu kalau dia mengandung.  Apa pun aku perlu bertanyakan dahulu dengan Izureen.  Terbit pula rasa simpati di hati bila mengenangkan pasti sukar baginya menghadapi masalah ini berseorangan.


**********

Menjelang Asar, baru aku nampak dia.  Ketika itu aku diluar chalet nombor tiga.  Pekerja Kedai Perabot baru sahaja selesai meletakkan katil, kerusi, almari baju dan kabinet di dalam chalet itu.  InsyaAllah, bermula esok chalet itu sudah boleh disewakan.


Ketika aku berpaling, nampak dia sedang berdiri di gigi air, merenung jauh ke dalam sungai.  Hanya memakai t shirt longgar dan seluar bermuda separas lutut.


“Tak boleh ke pakai yang lebih sopan” omelku di dalam hati.  Entah kenapa, mata tidak berkenan dengan pakaian yang melekap di badannya.  Dulu Ratna lebih daring pakaiannya.  Seluar pendek separas peha, t shirt ketat dan senteng, kadang-kadang tidak berlengan.  Ada juga t shirt yang dikenakan mempunyai bukaan leher yang luas, menyerlahkan hampir kesemua bahagian dadanya.  Tetapi tidak pernah aku menegur pemakaiannya.  Kenapa pula, budak ini, yang tiada apa-apa hubungan denganku, boleh mencetuskan rasa tidak selesa.


Aku menapak ke arahnya, semakin hampir nampak jelas wajahnya yang agak pucat.  Tengahari tadi dia tidak datang makan di rumahku.  Mak pergi membawakan makanan untuknya.  Bertuah dia, mak melayan dia dengan baik, seolah-olah dia sebahagian daripada keluarga kami. 


“Assalammualaikum” aku menyapa di kala langkah tinggal beberapa tapak lagi untuk rapat dengannya.


“Walaikumussalam” menjawab salamku, tetapi tidak memandang ke arahku.


“Dah sihat?” soalku.


“Alhamdulillah, dah lega sikit” matanya masih ke hadapan, bagai tenggelam di dasar sungai .


“Awak sakit apa sebenarnya?” dan kali ini barulah dia berpaling memandangku.


“Sibuk aje nak tau” menjeling aku sekilas.  Kenapa dia enggan memberitahu?  Malu, mungkin juga.  Mana-mana gadis yang sudah terlanjur tentulah malu hendak membuka pekung di dada.


“Apa salahnya.  Mungkin saya boleh bantu”.


“Awak nak bantu macam mana?”


Aku diam.  Ya tak ya jugak, bagaimana aku boleh membantunya?  Jeda.  Otak mula berfikir sambil masih terus memandang dia, dan dia, matanya tetap lekat ke hadapan.  Terimbas peristiwa kami bertengkar kerana dia merasakan aku terlalu menyibuk dan dia belum cukup kenal denganku untuk mempercayai aku.  Tapi dia dah setuju berkawan denganku jadi apa salahnya aku menghulurkan bantuan.


“Saya akan cuba setakat yang mampu.  Dah berapa bulan?”


“Apa?”


Izureen memalingkan wajahnya kepadaku, memandang dengan dahi berkerut.


“Kandungan awak tu, dah berapa bulan?”


Kali ini bukan sekadar wajahnya, seluruh tubuhnya dipalingkan ke arahku.  Matanya yang cantik itu, yang sangat suka aku tatapi, kini membulat memandangku.  Dahinya semakin berkerut, mulutnya menganga sedikit.  Aku cuba mentafsir maksud renungannya.  Ada riak marah di mata itu.  Mungkin dia tidak suka aku bertanyakan hal ini.


“Dia tak mahu bertanggungjawab, kan?”


“Apa yang awak merepek ni?’  suaranya tinggi.  Sekarang dia bercekak pinggang pula.  Mungkin dia malu hendak mengaku akan hal yang sebenar, jadi dia marah bila aku bertanya dan cuba menafikan dengan mengatakan aku merepek.


“Awak mengandungkan?  Dan dia tak mahu bertanggungjawab.  Sebab itulah awak datang sini, kan?”


Wajahnya terus berubah, makin nyata riak kemarahan di wajahnya.  Dia menggetap bibir bawahnya.  Mungkin dia tak suka akan apa yang aku katakan, tetapi bagiku menjadi tanggungjawab untuk menasihatinya.


“Jangan buat tindakan bodoh.  Dah banyak sangat kes ibu yang mengandung hasil dari hubungan luar nikah bertindak melulu, meninggalkan anak yang dilahirkan, campak anak dari rumah flat, buang anak dalam mangkuk tandas.  Berdosa besar.  Jangan sesekali awak buat begitu.  Sudahlah berzina itu dosa besar, mengambil nyawa bayi yang tidak berdosa itu juga satu dosa”.


Aku sekadar mahu mengingatkan, bukan mencampuri urusan peribadinya.  Aku harap dia mengambil iktibar dari kes-kes pembuangan dan pembunuhan bayi yang banyak dilaporkan di media kebelakangan ini.


“Naim!”  tinggi suaranya ketika menyebut namaku. 


“Awak ni sengal lah!  tengkingnya, lantas berlalu meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.  Apa maksud dia memanggil aku sengal?  Aku bukannya mahir bahasa orang muda zaman sekarang.

  

“Izureen!” 


Laungan aku tidak dihiraukannya.  Dia menghilang di sebalik pintu rumah inap.  Pintu rumah dihentam kuat.  Marah sungguh dia.  Tapi kenapa?  Mengaku sajalah, aku akan tolong setakat yang boleh.  Kalau dia bersikap begini bagaimana dapat aku tolong dia?

Tuesday 14 May 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 11


Bab 11 - Izureen


“Mesti mama kamu rindukan kamu”, ucap Mak Jah lembut.  Menimbulkan kesan di dalam hatiku.  Rasa bersalah mula terbit.


“Dah dekat dua minggu kamu di sini, walaupun kamu menghantar pesanan setiap hari, dia mesti risau.  Lagi pulak dia tak tau di mana kamu sebenarnya berada”.


Sesiapa pun yang berada di tempat aku sekarang, pasti tersentuh hati dengan kelembutan Mak Jah.  Dia bercakap dengan sangat berhemah, penuh berhati-hati menasihatiku agar aku tidak berkecil hati.


“Reen jangan salah faham.  Mak bukan tak suka Reen di sini, tapi sebagai anak, Reen ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan.  Cuba fahami perasaan Mama Reen”.


Tumpah airmataku dengan kata-katanya.  Terbekas di dalam hati ayat terakhir itu.  Betulkah Mama risaukan aku?  Sejak berada di sini, hanya sekali aku bercakap dengan Mama.  Selebihnya, setiap selang sehari aku menghantar pesanan ringkas kepadanya.  Jawapnya hanyalah “OK”.  Aku tahu Mama memang tidak gemar menggunakan pesanan ringkas untuk berhubung, tapi apa salahnya bertanya sedikit akan keadaanku? Sesungguhnya, aku tidak pernah cuba memahami Mama.  Namun selalu menganggap Mama tidak pernah memahami aku. 


“Reen bukan datang ke sini kerana masalah dengan Mama kamu, kan?”  Mak Jah menebak.


Aku mengangguk.  Pastinya bagi orang yang sudah banyak pengalaman sepertinya, dia dapat mengagak daripada kelakuan dan pertuturanku.


“Mak dah agak dah.  Kalau kamu ada masalah dengan Mama kamu, takkanlah kamu hantar mesej padanya.  Ini masalah dengan pakwe kan?”  Mak Jah menebak.


Aku mengangguk, walaupun sebetulnya Muaz bukan pakweku.  Tetapi lebih mudah mengiyakan sahaja.


“Jadi, kalau ada masalah percintaan, kenapa Mama kamu pulak yang jadi mangsanya?  Melainkanlah Mama kamu menentang percintaan kamu dan sebab itu kami lari ke sini?”


Aku menggeleng.  Airmata yang masih jatuh aku seka dengan lengan t shirt.  Mama tidak pernah menghalang persahabatan aku dengan Muaz.  Dia terlalu sibuk untuk mengambil tahu akan hal persahabatan atau percintaanku.  Tidak pernah selama ini dia bertanyakan apakah aku sudah mempunyai teman lelaki.  Yang selalu disebut-sebutnya ialah dia mahu aku bekerja keras, mengumpul pengalaman dan pengetahuan sebanyak yang boleh kerana satu hari nanti aku akan mengambil alih pengurusan syarikat. 


“Reen fikir-fikirkanlah.  Bagi Mak, sebaik-baiknya kamu balik.   Hadapi masalah dengan matang dan selesaikan.  Minta pertolongan daripada Allah.  Allah tidak pernah lokek dengan bantuanNya. Kita sebagai hamba yang selalu leka, sebab itu Allah beri masalah atau dugaan kepada kita, supaya kita kembali kepadaNya.  Itu tanda Allah sayangkan kita.”


Timbul rasa kagum yang amat mendalam terhadap Mak Jah.  Cara dia memberi nasihat sangat menyentuh hatiku.  Ada kebenaran dalam kata-katanya.  Memang, aku hamba yang lalai, yang alpa dengan kehidupan duniawi.  Ibadat yang paling asas pun selalu terbabas, inikan pula ibadat-ibadat sunat penguat iman.  Solatku jarang sekali cukup lima waktu sehari. 


Di sini sangat berbeza.  Aku dapati keluarga Mak Jah sangat memberatkan solat.  Pak Akob dan Naim selalu ku lihat berjemaah di masjid.  Fina dan Mak Jah bukan sekadar bersolat, malah memastikan solat mereka dilaksanakan di awal waktu.  Pada usia yang lebih muda daripadaku, Fina menutup auratnya.  Hatta ke anak sungai yang berdekatan dengan rumahnya pun, dia memakai tudung. 


Melihat aku bermenung lama, Mak Jah bangun menuju ke singki.  Kebetulan tengahari ini hanya ada kami berdua.  Naim menemani Fina menghadiri temuduga manakala Pak Akob pula ada urusan di pekan.  Boleh dikatakan setiap hari aku makan tengahari di rumah Mak Jah.  Manakala makan malamku sama ada roti, biskut atau mi segera.  Pelawaan Mak Jah untuk makan malam di rumahnya aku tolak.  Segan, terlalu banyak pertolongan yang telah mereka hulurkan.


“Reen terlalu kecewa Mak Jah.  Reen sedih sangat-sangat dengan apa yang terjadi.  Reen mahu lari dari dia, mahu tenangkan fikiran yang sangat berkecamuk.  Sukar menerima kenyataan orang yang Reen sayangi rupanya menyayangi orang lain.  Rasanya lebih mudah melupakan dia jika Reen berjauhan daripadanya.  Tak terfikir pulak tindakan Reen ini menyusahkan keluarga”.


Aku luahkan rasa hati kepada Mak Jah.  Dia yang sudah siap membasuh pinggan datang semula ke meja dan duduk di sebelahku.


“Mak Jah faham.  Mak Jah dah tengok bagaimana anak-anak Mak Jah kecewa dalam percintaan.  Si Elida tu, sebelum berkahwin dengan Ayin, pernah putus cinta.  Berhari-hari menangis, sampai bengkak-bengkak matanya.  Si Naim, lagi teruk.  Monyok memanjang.  Disuruh makan tak mau, kerja tak boleh fokus, balik ke sini berkurung aje dalam bilik.  Keluar bilik untuk makan dan mandi saja.  Itu pun, makannya dua tiga suap aje.  Sampai hilang selera makan, hilang semangat nak hidup.  Teruk juga Mak dan Pak Akob menasihatinya”.


Aku mendengar penuh minat.  Teringat perbualan dengan Naim semalam.  Katanya cintanya dikhianati.  Teringin hendak mengetahui dengan lebih lanjut, namun terasa segan hendak bertanya lebih kepada Mak Jah.


“Sampai sekarang, Mak rasa, Naim masih belum pulih sepenuhnya dari kekecewaan.  Hatinya bagai dah tertutup untuk bercinta. Dah ramai gadis yang Mak cuba jodohkan dengannya, semuanya dia tolak.  Mak dah letih nak padankan dia dengan sesiapa lagi.  Kesian jugak tengok dia, umur dah lebih 30, tapi solo lagi.  Kadang-kadang dia termenung, macam orang kesepian.  Ni si Fina dah balik, adalah kawan bersembang.  Esok-esok kalau Fina dapat kerja kat KL, sunyilah balik.  Nak harap Mak dengan Pak Akob, apa sangatlah yang boleh disembangkan”. 


Mak Jah menyambung cerita.


“Si Fina pulak, dah ada orang berkenan tapi dia tak minat kat budak tu.  Lagipun katanya dia muda lagi, nak kerja dulu baru fikir pasal cinta.  Kalau ikut Mak, dah elok ada orang yang minat, kahwin ajelah.  Apa salahnya kahwin muda.  Mak dulu, umur 17 tahun dah kahwin.  Umur 19 dah dapat si Naim”.


“Berapa umur kamu Reen?”


“26”


“Kawan kamu?”


“Sebaya”, aku mengagak kawan yang dia maksudkan adalah Muaz.


“Kami dah kenal lama, sejak universiti.  Dia layan Reen dengan baik, jadi Reen sangka dia cintakan Reen.  Rupa-rupanya Reen bertepuk sebelah tangan”,  giliran aku pula bercerita, dengan rasa sebak yang kembali menyerang.


“Yang lebih menyedihkan, dia bertunang dengan adik ipar kakak Reen.  Lagilah susah nak mengelak dari dia.  Mesti nanti Reen akan jumpa dia masa kenduri kendara, atau masa raya.  Reen rasa tak sanggup melihat dia dengan orang lain” air mataku yang bergenang di tubir mata, tumpah jua.


“Jodoh adalah ketentuan Allah.  Kalau dia bukan jodoh kamu, maknanya dia bukan yang terbaik untuk kamu.  Kalau kamu redha dengan ketentuan ini, hati akan jadi lapang, fikiran pun tenang.  Bersedih itu fitrah manusia, tapi jangan bersedih keterlaluan, nanti memudaratkan diri sendiri.  Dan ingat, apa yang terjadi kepada kamu akan ada kesannya pada keluarga kamu.  Macam sekarang, mereka risaukan kamu.  Tak tau kamu berada di mana, sihat ke idak, mama kamu pulak terpaksa uruskan hal-hal kerja kamu yang terbengkalai bila kamu tak masuk kerja.  Kamu tak kesiankan keluarga kamu?”


Aku diam, tidak mampu menjawab soalan Mak Jah.  Otak mula menghadamkan setiap butir biacaranya.  Mengakui dalam diam akan kebenaran kata-katanya.


***

Tidak lama selepas pulang dari rumah Mak Jah, aku merasa pening kepala.  Kepala terasa berat, lantas aku berbaring.  Sambil berbaring, aku memikirkan isi perbualan dengan Mak Jah tadi.  Dalam berfikir, aku terlelap.


Sekitar jam tiga aku terjaga, perut terasa mual, manakala kepala masih berat.  Cepat-cepat aku berlari ke bilik air.  Sebaik sampai, aku muntah.  Keluar segala isi perut.  Mungkin aku salah makan, tetapi bila dikenangkan balik, tidak ada yang pelik dalam hidangan tengahari tadi.  Sayur bayam ditumis air, ikan kerisi goreng dan sambal belacan.  Rasa-rasanya perut aku tidak ada masalah dengan menu begitu.


Baring semula.  Tangan meraba-raba, mencari I-phone yang biasanya aku selitkan di bawah bantal.  Dapat I-phone, aku semak calendar.  Oh patutlah, kawan baik sebulan sekali nak datang.  Lega, mujurlah bukan keracunan makanan atau gastrik melanda.  Ini memang kebiasaan sistem badanku.  Sebelum kedatangan haid, aku akan mendapat sakit kepala yang kuat, kadang-kadang diiringi oleh mual dan muntah.  Bila keluar sahaja darah haid, pening dan mual akan hilang tetapi datang pula senggugut.  Kebiasaannya senggugutku akan berlanjutan selama dua hari, kadang-kadang kuat sakitnya, kadang-kadang tidak.


Aku terlena lagi.  Bagus juga dapat melelapkan mata, terlupa masalah dan kesakitan yang mengganggu.  Sedar-sedar, kedengaran bunyi azan.  Jam di dinding menunjukkan pukul 4.35 petang.  Ah, terlepas Zohor.  Baru sahaja semalam, selepas mendapat telekung daripada Mak Jah aku berazam untuk tidak meninggalkan solat.  Nampaknya aku perlu berusaha lebih gigih.  Betullah kata orang-orang alim, semakin kita hendak beramal, semakin kuat godaan syaitan.


Aku duduk di atas katil.  Kepala masih terasa berat, tekak terasa mual.  Cepat-cepat aku gapai tuala dan berlari ke bilik air.  Muntah lagi, tetapi kali ini yang keluar hanyalah cecair.  Kemudian aku mandi dan berwuduk.


Dengan lafaz bismillahir rohmanir rohim, aku mulakan solat Asar.  Selesai bersolat, aku berdoa. 


“Ya Allah, aku memohon ampun dariMu di atas segala dosa-dosaku.  Sesungguhnya aku hambaMu yang sangat hina.  Sangat lalai dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai hamba.  Namun, rahmat dan kasih sayangMu tetap mencurah-curah datang”.


“Wahai Tuhanku, lindungilah Mama, Abang dan Kakak.  Mereka sahajalah ahli keluarga yang aku ada dan aku amat menyayangi mereka.  Lembutkanlah hati Mama agar dia tidak marah kepadaku.  Berilah rahmat dan kasih sayangmu kepada Mama, kasihani dia seperti dia mengasihaniku semenjak kecil.  Peliharalah seluruh ahli keluargaku dari perkara-perkara buruk dan dari amarahMu.  Cucurilah rahmat ke atas arwah Papa dan tempatkan dia di kalangan orang-orang soleh”.


“Wahai Tuhanku, semoga dugaan yang menimpa membawa aku semakin dekat kepadaMu. Ya Allah, tabahkan hatiku dalam menghadapi dugaan ini.  Jadikan aku redha dengan ketentuanMu.  Jadikan aku sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan.  Tenangkan hatiku ya Allah, lapangkan dadaku ya Allah”.


“Ya Allah, bila tiba masanya, temukanlah aku dengan jodohku yang sesuai menurut pengetahuanMu ya Allah.  Semoga dia yang Engkau pilih untukku adalah orang yang bertanggungjawab, menerima aku seadanya dan mampu membimbingku ke jalanMu ya Allah”.


“Wahai Tuhanku, terima kasih kerana membawa aku ke sini.  Terima kasih kerana menemukan aku dengan Mak Jah sekeluarga, yang sangat baik penerimaan mereka terhadapku.  Rahmatilah mereka sekeluarga ya Allah dan lindungilah mereka dari sebarang musibah”.


Aku meraup wajahku dengan kedua belah tangan.  Seluruh mukaku basah dengan airmata yang terus-terusan menitis, seperti sungai yang tidak pernah berhenti mengalir.  Rasa lega bercampur baur dengan kepiluan.  Lega dan dada terasa ringan setelah mengadu kepadaNya.  Pilu kerana perasaan bersalah terhadap Penciptaku.  Betapa aku telah lama menjauhinya, kini hanya kembali mengingatiNya bila ditimpa musibah.  Ampuni aku Ya Allah, kasihanilah aku Ya Allah.  Tetapkan hatiku ya Allah, agar tidak lagi lalai dibuai keseronokan duniawi lantas melupakan tanggungjawabku kepadaMu.


Telekung pemberian Mak Jah aku buka dan ku lipat sebelum diletakkan di atas rak yang disediakan di bilik tidur utama.  Bilik ini dilengkapi dengan bilik air.  Dua bilik tidur yang lebih kecil pula berkongsi satu bilik air yang terletak berdekatan dengan dapur.  Aku keluar dari bilik, menuju ke ruang tamu.  I-phone yang terletak di atas meja kopi di ruang tamu ku capai.  Ada tiga pesanan masuk, satu daripada Abang, bertanyakan keadaanku.  Aku jawab pesanan Abang.  Kemudian aku periksa pesanan kedua, dari Muaz.  Termasuk pesanan yang terbaru ini, sudah tiga pesanan dihantarnya hari ini.  Sejak aku tiba di sini, tidak satu pun pesanannya yang aku jawab.  Namun daripada Kak Rina dia mengetahui bahawa aku dalam keadaan selamat.  Kak Rina telah berjanji tidak akan bercerita apa-apa kepada Muaz, selain dari hanya menyatakan bahawa aku sedang bercuti panjang.


Satu pesanan pula ialah MMS daripada Kak Rina.  Dia menghantar gambarnya sedang mencuba pakaian di butik pengantin.  Airmata jatuh lagi tatkala menatap gambar Kak Rina. Terbit rasa rindu padanya.  Kakak berlainan ibu yang amat ku sayangi itu kelihatan ceria mencuba baju untuk majlis nikah dan bersanding.  Aku membalas pesanan kakak, memberitahunya bahawa pakaian yang dicubanya sangat sesuai dengan tubuhnya.


Di luar sedang gerimis.  Rintik-rintik halus yang turun dari langit diiringi hembusan bayu dingin memberi suasana yang sangat nyaman.  Dari jendela, aku melihat titisan hujan yang jatuh menimpa bumi, bersatu dengan air sungai yang mengalir tanpa lesu.  Kepala masih sakit, perut mula terasa lapar.  Namun ku biarkan sahaja rasa sakit dan lapar.  Fikiranku menerawang jauh.  Teringat semula perbualan dengan Mak Jah tengahari tadi.  Segala kata nasihatnya aku semat dalam hati.  Aku pasti akan pulang ke Kuala Lumpur, tetapi aku tidak pasti bila perkara itu akan berlaku. 


Satu perkara yang menghalang aku dari pulang sekarang ialah ketakutan yang bersarang di sudut hati.  Rasa takut untuk menghadapi Muaz.  Rasanya aku belum cukup kuat untuk berdepan dengannya tanpa menunjukkan sebarang riak sedih dan kecewa.  Bagaimana nanti perlu berhadapan dengan Muaz dan tunangnya, mampukah aku sorokkan perasaanku dari terpamer di wajah?  Apa pula reaksi Muaz bila mengetahui bahawa selama ini aku cintakannya, sebagai seorang kekasih, bukan sahabat?  Adakah dia akan rasa bersalah?  Jika ya, itulah yang mahu aku elakkan.  Aku tidak mahu menerbitkan sebarang rasa bersalah di dalam diri Muaz.  Jadi sebaik-baiknya biarlah aku terus menginap di sini, sehingga aku yakin aku mampu berdepan dengannya.


Perut semakin berkeroncong, memaksa aku menuju ke dapur.  Aku masak air, membancuh satu mug milo dan mengambil beberapa keping biskut.  Aku bawa ke ruang tamu dan aku hidupkan televisyen.   Boleh dikatakan, beginilah rutinku setiap hari di sini.  Pagi, aku keluar bersarapan di warung berdekatan.  Kadang-kadang aku bungkus dan makan di rumah homestay.  Selepas bersarapan, aku akan duduk di tepi sungai.  Kadang-kadang berfikir, kadang-kadang sekadar bermenung kosong.  Kalau ada Lokman dan Hafiz, aku layan mereka bermain.  Kalau ada Fina, aku berbual-bual dengannya.  Tengahari, makan di rumah Mak Jah.  Malam, beginilah, mengadap televisyen sambil menikmati biskut dicicah milo, atau roti, atau mi segera.  Hampir dua mingu di sini, aku semakin rapat dengan Mak Jah dan Fina.  Naim, sekadar bertanya khabar dan berbalas senyuman.  Setakat ini, hanya semalam kami berbual panjang.  Pada mulanya aku menganggap dia seorang yang pelik, kerana dia lebih banyak merenung aku daripada bercakap denganku.  Kadang-kadang dia kelihatan seperti sedang berkhayal.  Tetapi, setelah mendengar cerita Mak Jah siang tadi, aku tidak hairan lagi dengan sikapnya.  Aku anggap sahaja jiwanya masih kacau.


Sungguh berbeza keadaan ini dengan kehidupan sebenarku.  Dahulu, boleh dibilang dengan jari berapa kerap aku memakan mi segera.  Aku tidak pernah susah sedari kecil.  Arwah papa dan mama sentiasa menyediakan semua keperluanku.  Arwah papa sangat memanjakan aku, mintalah apa sahaja, aku mesti dapat.  Setelah papa meninggal, mama masih mampu memberikan apa yang aku minta.  Kondo yang aku duduki sekarang pun hasil pemberian mama.  Cuma, yang kurangnya kasih sayang dari mama.  Mama semakin sibuk menguruskan syarikat, hingga masa dan perhatiannya untukku semakin berkurangan.


Tiba-tiba, ada rasa menyucuk-nyucuk di ari-ari.  Rasa sakit yang ringan, menandakan haid akan keluar bila-bila masa dan senggugut akan mengiringinya.  Aku habiskan biskut dan milo, kemudian berlalu ke dapur dan membersihkan mug dan piring.  Azan maghrib mula berkumandang.  Aku ke bilik air untuk mengambil wuduk, namun setelah diperiksa, aku tidak boleh bersolat.


Keluar dari bilik air, aku membuka beg pakaian.  Mencari-cari tuala wanita yang sangat-sangat diperlukan di saat ini.  Tidak ada.  Berkalih pula kepada beg tangan.  Aku selongkar segala isinya.  Alamak, tidak ada juga.  Biasanya aku sentiasa menyimpan sekeping tuala wanita di dalam beg tanganku.    Berfikir sejenak, baru aku perasan bahawa beg ini bukanlah beg tangan yang biasa ku bawa pergi bekerja. 


Berfikir lagi, bagaimana hendak mendapatkan tuala wanita di waktu begini?  OK, pinjam dulu daripada Fina.  Esok aku akan beli dan gantikan tuala wanitanya.  Sudah balik kah dia?  Aku ke muka pintu, menyarung selipar dan berlari-lari ke rumah Mak Jah.  Rupa-rupanya gerimis ini lebih lebat daripada yang aku sangkakan, menyesal pula keluar tidak berpayung.  Aku lajukan larian, dan tiba-tiba satu susuk tubuh muncul di depanku.  Tidak sempat mengelak, gedebuk, aku terlanggar dia.  Aku hilang imbangan dan hampir terjatuh, namun tangannya cepat menggapai tanganku.


“Masuk kali ni dah tiga kali awak langgar saya” Naim bersuara sambil memaut lenganku, menghalang aku dari jatuh.


Memang betul, kenapalah aku asyik terlanggar dia?  Mendongak sedikit untuk melihat wajahnya. 


“Kalau teringin nak peluk saya, bagitau saja.  Tak payah main langgar-langgar” katanya sambil mengukir senyuman di pinggir bibir. 


Aku menggetap bibir.  Geram dengan ayat dan perlakuannya.  Dalam keadaan sekarang, aku tiada mood untuk bergurau.  Tiba-tiba kepala terasa berat dan tekak terasa mual.  Melihat aku bagaikan hendak muntah, dia melepaskan tanganku.  Segera aku ke tepi pokok bunga kertas dan mengeluarkan isi perut.  Habis tersembur milo yang ku minum tadi.


Are you OK?” katanya seraya berdiri di sisiku.


Aku hanya mengangguk.  Aduh, kenapa teruk sangat keadaan aku, berlainan sungguh dengan kelazimannya.


“Fina mana?” soalku sambil memegang perut.  Sakit kerana muntah dan sakit senggugut bersatu.


“Di KL, dia tidur di rumah kawan”.


“Tak balik?” menanyakan sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.


“Tak lah.  Kenapa?”


Erk, macam mana ni?  Takkan nak pinjam tuala wanita daripada Mak Jah?  Melihat dari usianya, pasti dia sudah menopause.  Aku tidak ada pilihan lain, mesti juga ke kedai malam ini untuk mendapatkan tuala wanita.  Tapi, kedai mana yang buka?  Aku tidak pernah keluar bersendirian dari kawasan ini di waktu malam. 


Wajah Naim yang disinari lampu jalan di tepi rumahnya ku pandang.  Dia juga sedang memandang aku dengan penuh kehairanan.  Nampaknya tidak ada pilihan lain.  Naim sajalah harapanku di ketika ini.


“Naim, boleh tolong temankan saya pergi kedai?”


***


Seperti yang dijanjiikan, selepas mandi dan bersolat maghrib, dia muncul di depan pintu.  Aku serahkan kunci keretaku kepadanya.


Kedai pertama yang kami lewati telah pun ditutup.  Aku tahu kedai ini, tidak jauh dari rumah Mak Jah.  Di sinilah aku membeli roti, biskut, mi segera dan Milo 3 dalam 1.


Menuju ke kedai kedua yang lebih jauh jaraknya.  Tekak terasa mual lagi.


Stop! Stop!”


Naim memberhentikan kereta secara mengejut.  Memandang aku dengan penuh kehairanan.  Belum sempat dia membuka mulut, aku keluar.  Bersedia untuk memuntahkan isi perut, namun kali ini yang keluar hanya angin.  Naim hanya memandang daripada dalam kereta, dengan pandangan penuh tanda tanya.


“Awak sakit ke?” soalnya sebaik aku masuk ke dalam kereta.


Aku sekadar menggeleng.  Tiada mood untuk bercerita apa-apa.  Lagipun tak kan lah aku hendak menceritakan tentang masalah haidku kepadanya.  Sebentar kemudian tiba di kedai kedua. 


Aku segera berlari ke dalam kedai, mencapai sebungkus tuala wanita dan sepapan Panadol.  Setelah membayar, kedua-dua barang tersebut aku simpan dalam beg.


“Beli apa?” soal Naim kehairanan kerana melihat aku tidak memegang apa-apa barang ketika keluar dari kedai.


“Adalah” jawabku ringkas. 


Badan terasa sangat sakit kerana asyik muntah.  Senggugut pula mengganggu kedamaian di sekitar ari-ari dan pinggang.  Akibatnya aku pejamkan mata.  Dahi berkerut menahan sakit. 


Gerimis sudah bertukar menjadi hujan lebat ketika kami sampai di rumah.  Keretaku diparkir di sebelah rumah inap, di tempat yang dikhaskan untuk kenderaan penyewa. 


“Nanti, saya bawakan payung”.


Payung dibuka dan disuakan kepadaku.  Dia pula membiarkan badannya basah disirami hujan gerimis.


“Terima kasih” aku ucapkan dan mengangkat muka ke arahnya sebaik sahaja sampai di depan pintu.  Aku tutup payung dan serahkan kepadanya.


Matanya merenung tajam ke dalam mataku, menghasilkan debaran yang kuat di dadaku.  Sudahlah kepala sakit, tekak mual dan sakit perut, dada pula mengalami getaran yang kencang.  Boleh sakit jantung aku begini.


“Bagi nombor telefon” ujarnya sambil sebelah tangan menyelok saku lalu mengeluarkan telefon bimbitnya.


Aku sebut nombor telefonku satu persatu dan jarinya segera menekan nombor-nombor itu.


“Saya dah miss call awak.  Kalau perlukan apa-apa, call saya.  Tidurlah, awak perlukan rehat.  Jangan lupa solat sebelum tidur”.


Dia berlalu pergi.  Meninggalkan aku di depan pintu dengan dada yang berdetak hebat, diiringi satu perasaan aneh yang menyelinap di pangkal hati, membuatkan aku lupa sakit kepala dan senggugut yang melanda.