Monday 27 May 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 13



Bab 13 - Izureen


Apa yang dia merepek ni?  Pandai-pandai menuduh aku mengandung.  Kemudian meneka pulak bahawa lelaki yang menyebabkan aku mengandung tidak mahu bertanggungjawab.  Bengang!  Itulah yang aku rasakan ketika ni.  Kenapa dia senang-senang menuduh?  Dulu dia mengesyaki aku mahu membunuh diri.  Sekarang, dia serkap jarang bahawa aku mengandung!  Bagus sungguh imaginasi dia ni.  Mentang-mentanglah aku ini orang bandar, dia fikir semua gadis bandar mudah dipujuk rayu hingga akhirnya menyerahkan tubuh untuk membuktikan cinta?  Tolong sikit, aku bukan begitu orangnya.


Deringan telefon melupakan seketika perasaan bengang, geram dan marah terhadap Naim.  Tertera nama Abang di skrin telefon, cepat-cepat aku menjawab panggilannya.  Kata Abang dia sudah dekat dengan simpang ke rumah homestay ini.  Aku keluar, menuju ke rumah Mak Jah dan kemudian berjalan terus lagi hingga ke simpang.  Dari jauh aku nampak kereta Abang.  Aku lambaikan tangan, agar dia nampak kelibatku.



**********


“Abang” jeritku dan terus meluru ke arahnya.  Aku peluk Abang erat-erat sebaik sahaja dia keluar dari kereta.  Rindu sangat-sangat terhadap abang.  Abang membalas pelukanku.  Kemudian dia mengusap rambutku.


What happened?”


“Adik gunting lah” aku paut lengan Abang.  Gembiranya dapat jumpa abang.


“Adik comel macam ni”.


“Mestilah, adik abang kan.  Comel all the time” aku gelak. 


Abang senyum.


“Abang dah kuruslah” kataku sambil meneliti tubuh abang dari atas ke bawah.


“Adik pun kurus”.


“Adik tengah frust, wajiblah kurus.  Yang abang ni apasal kurus?  Tak cukup makan ek?”


Abang senyum saja.  Nampak abang pun gembira dapat berjumpa denganku.  Pagi ini abang maklumkan dia hendak pulang ke Taiping dari rumah Mama.  Abang bersungguh-sungguh mahu berjumpaku, maka aku maklumkan di mana aku berada, dengan syarat abang tidak menceritakan kepada Mama.


“Jom, kita masuk.  Banyak benda yang adik nak ceritakan pada abang”, aku tarik tangan abang, membawanya masuk ke rumah inap.


Dari jauh susuk tubuh mamat sengal itu kelihatan masih berdiri di tempat tadi.  Aku lihat dia memandang ke arah aku dan abang.  Menyampah!


**********


“Sampai bila adik nak tinggal di sini?” soal abang sebelum menghirup kopi 3 dalam 1 yang aku hidangkan.  Itu sahaja yang dapat disediakan.


“Sampai adik bosan, dan sampai rasa sedih ini hilang.


“Bila tu, setahun?  Dua tahun? 


Aku sekadar mengangkat bahu.  Memang aku tiada jawapan untuk itu.


“Muaz tau adik cintakan dia?”


Aku gelengkan kepala.  Tiada sebab untuk dia tahu, lainlah kalau dia belum bertunang.


“Kesian Mama, tak ada orang uruskan hal-hal kewangan dan akaun syarikat.”


Abang cuba menimbulkan rasa bersalah dalam hatiku.  Bukannya aku tak kasihankan Mama, tapi aku perlu masa untuk merungkaikan kekusutan fikiranku dan juga untuk mendapatkan ketenangan hati.  Lagipun bukannya Mama tak boleh ambil pekerja lain.


“Mama tu degil.  Dah banyak kali adik beritahu, ambillah kakak bekerja di syarikat tu.  Kakak ada kelayakan dan pengalaman.  Tapi mama tetap tak mahu.”

  

Aku meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Mama.



“Adik, cubalah fahami situasi Mama.  Bukan senang melenyapkan perasaan marah, kecewa, rasa tertipu, rasa dikhianati.  Bukan sekejap, 18 tahun Mama dimadukan, tanpa pengetahuannya.  Tentulah tidak mudah bagi Mama memaafkan dan melupakan”.



Aku diam sekejap.  Menganalisa setiap patah perkataan abang.  Bagusnya abang ni, sentiasa memahami.  Dan sekarang aku yakin abang juga akan memahami aku.  Abang saling tak tumpah seperti papa, wajahnya dan perwatakannya.  Mungkin kerana sebagai anak sulung dia menyaksikan kebahagiaan dan kesedihan Mama.  Aku pula anak manja yang hanya tahu senang dan sering mahu dimanjakan dan dimenangkan.



“Tapi kakak tak salah.  Yang salah papa dan mak kakak.  Kenapa pulak Mama nak lepaskan rasa marah dan kecewanya kepada kakak?”


Aku masih mahu mempertahankan pendirianku.  Abang tersenyum sinis.  Rasa panas pulak hati bila melihat abang tersenyum sinis begitu.


“Apa bezanya adik dengan Mama?  Adik tak suka tindakan Mama tapi adik juga buat tindakan yang hampir sama.  Adik kecewa dengan Muaz, tapi adik tinggalkan kami semua.  Apa salah kami?  Adik biarkan Mama bersusah payah menguruskan sendiri hal-hal kewangan dan akaun, apa salah Mama?”


Jeda antara kami.  Aku rasa terpukul dengan ayat Abang.  Otak mula menghadam setiap perkataan yang abang luahkan.  Benar, aku tidak suka tindakan mama, tetapi tanpa disedari, aku juga mengambil tindakan yang salah.  Namun, bukan saja-saja aku melarikan diri.  Aku yakin aku tidak cukup kuat untuk menghadapi Muaz.  Jika aku masih di Kuala Lumpur, Muaz pasti menghubungi aku.  Bagaimana hendak mengendurkan rasa luka di hati, kalau terpaksa menghadap Muaz.  Lebih parah kalau pertemuan kami ditemani tunangnya atau perbualan kami akan berlegar sekitar perihal dia dan tunangnya. 


“Adik, abang percaya adik seorang yang kuat.  Jiwa adik kental.  Darah yang mengalir dalam tubuh kita adalah darah keturunan yang tabah, cekal dan mampu menanggung sebarang cabaran.  Tengok bagaimana Mama bangkit dari kesedihan dan kekecewaannya.  Pernah tak kita tengok Mama menangis?  Adik mungkin tak ingat, tapi abang masih ingat dengan jelas kecekalan Papa dan Mama.  Jatuh bangun dalam bisnes semuanya Papa hadapi dengan tenang.  Kena tipu, hampir muflis, pejabat papa dirompak, macam-macam lagi yang papa tanggung.  Mama sentiasa ada di sisi Papa.  Kita harus mengambil sikap papa dan mama.  Lari dari masalah tidak menyelesaikan masalah, tapi menimbulkan lebih banyak masalah”.


Panjang syarahan abang.  Aku diam.  Benar belaka apa yang abang katakan.  Oh jiwa, tabahlah dengan dugaan ini.  Cekallah wahai hati.  Semangat biarlah kental.


“Adik, be positive.  Bukan semua yang kita nak, kita akan dapat.  Bukan semua yang kita nak, sesuai untuk kita.  Only Allah knows what is best for us.  Turn to Allah, He is the One on whom we all depend, the One who is enough, whenever we turn to Him.  The One who fulfils and answers all our prayers.  Allah does not burden anyone with more than what he or she is able to bear.  And always know that Allah is with you.”


Abang dah sambung syarahan dalam Bahasa Inggeris pulak.  Ini sebiji perangai Mama, bila marah, membebel dan nasihat mesti dalam Bahasa Inggeris.


Tapi aku tidak menafikan bahawa semua yang abang katakan adalah benar.  Terasa bersalah kerana lalai dalam mengingati Allah.  Betapa kasih dan sayang Allah sentiasa melimpah ruah.  Kenapa aku tidak terfikir untuk memohon kepadaNya?  Kenapa aku menjadi sangat emosional sehingga mahu lari dari kehidupan asalku dan membawa diri ke sini?  Lupakah aku kepada Allah, yang sentiasa mendengar?


Aku kesat airmata yang mengalir.  Aku pandang abang.  Wajah abang tenang.  Memang, semenjak tinggal di Taiping abang sudah banyak berubah.  Dulu abang social habis.   Walaupun tidak minum dan merokok, abang kaki clubbing.  Jarang nampak abang solat.  Tapi sekarang abang dah lain.  Alhamdulillah, benarlah hijrah datang bersama kebaikan.  Berhijrah ke Taiping membawa sekali penghijrahan rohani dan sikap Abang.


“Adik, apa hebatnya Muaz tu?  Banyak lagi lelaki lain.”


Ada ke patut abang tanya soalan tu.  Abang sepatutnya tahu bagaimana rapatnya aku dengan Muaz.  Kalau kami tak serasi, takkan kami boleh rapat, dan persahabatan kami boleh bertahan sehingga kini.  Cuma… aku tak sangka ketika di hatiku ada perasaan yang lebih daripada sekadar persahabatan, di pihak Muaz pula hubungan kami hanya plutonik.


“Abang takkan tak tau kami dah lama berkawan, tentulah adik sayangkan dia.”


“Orang lelaki ni Dik, lambat matang berbanding dengan perempuan, both physically and mentally.  Di kala Adik rasa sayang dan cinta pada Muaz, dia mungkin masih belum merasakan yang dia dah sedia untuk kekal setia pada seseorang perempuan saja.  Mungkin Adik yang terlalu gopoh menyangka dia cintakan adik.”


Aku pandang Abang, dengan perasaan bercampur baur.  Sekejap rasa betul apa yang abang cakapkan.  Kemudian rasa pula macam abang sekadar mahu menyokong kaum sejenisnya.  Eh, tapi takkanlah.  Mestilah abang sokong aku, akukan adik dia.


“Abang, macam mana adik tak salah sangka.  Dia selalu panggil adik sayang, guna perkataan sweetheart, love dan macam-macam lagi.  Macam mana hati adik tak cair.”


Abang pula pandang aku lama-lama.  Lembut pandangan abang, macam pandangan arwah Papa. 


He’s a sweet talker.  Lelaki yang bermulut manis ni merbahaya dik.  Orang macam ni suka bagi harapan palsu.”


Aku terkedu.  Benakku mula menganalisa ayat Abang.  Benarkah Muaz merbahaya?  Benarkah selama ini aku disajikan harapan palsu?  Terlalu naifkah aku, hingga tidak menyedari harapan palsu yang telah Muaz berikan?

2 comments:

  1. alahhhhh pendek nyeeeee :( :D sambung la lagi bab 14....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tengah mood cuti sekolah... heeee
      Ok nanti abg sengal muncul bab 14 panjang sikit

      Delete