Sunday 27 September 2015

AKU DAN 1B3K BAB 24

Assalam, maaf ya lambat update.  I the very, very the busy.
Harap suka bab ini.  Selamat membaca dan jangan lupa komen ya.


BAB 24

Minggu ketiga aku bekerja sebagai pembantu peribadi Datin dan Bos 1B3K.  Hari ini hari Rabu.  Sudah dua hari Bos 1B3K tidak masuk pejabat kerana melawat Hotel Sri Pahang pada hari Isnin dan semalam katanya dia ke Kuala Selangor.  Aku rasa pelik sebab sebelum ini aku jadi mangsa dan terpaksa gunakan Azira untuk buat dia pergi Kuala Selangor.  Lagi pun Kuala Selangor tidak termasuk dalam agenda semalam.  Datin pula seperti biasa hanya berada di pejabat dari jam 9.30 pagi ke 12.30 tengahari.

            Dua hari tanpa Bos 1B3K di pejabat adalah hari-hari yang menyenangkan dan produktif.  Slide untuk ceramahnya di UITM sudah aku siapkan.  Kertas cadangan pemilihan dan penawaran kontrak hiasan dalaman Sri Selangor yang disediakan oleh Suleyman sudah aku baca dan ringkaskan.  Seperti yang aku jangka, Suleyman mencadangkan Azira sebagai juruhias dalaman.  Kertas-kertas laporan dan cadangan dari pelbagai jabatan untuk Mesyuarat Pengurusan minggu hadapan sudah aku kumpulkan.  Cek-cek yang perlu ditandatangani oleh Bos 1B3K dan Datin sudah aku susun dalam folder beserta dengan baucer bayaran.  Jadual Bos 1B3K untuk bulan depan juga sudah siap.

            Seawal pukul lapan pagi dia sudah sampai.  Pukul sembilan dia bermesyuarat dengan Ms Tan.  Lama mereka berbincang, dekat satu jam.  Satu perkara yang aku perasan, Ms Tan tidak pernah ke marah dengan Bos 1B3K.  Lepas itu dia suruh aku panggil Encik Suleyman. Hah, yang ini terbalik.  Asyik kena marah saja.  Tu, baru saja dia keluar bilik Bos 1B3K dengan wajah cemberut.  Suara bos pun bukan main tinggi lagi bila dia marah Suleyman. 

Aku ketuk pintu dan masuk ke dalam.  Dia sedang tekun meneliti dokumen-dokumen yang aku serahkan pagi tadi.  Aku nampak semua cek sudah ditandatangani.

“Cantik bunga.”  Komen itu dibuat dengan suara yang mendatar.  Aku tidak tahu adakah ia satu pujian, teguran atau sindiran.  Wajahnya tidak diangkat.  Aku letakkan folder plastik atas mejanya.

Not from Nafiz, obviously.”  Eh, mana dia tahu?  Dia ni ada sixth sense ke?  Ish, tak kanlah.  Orang malas solat mana boleh dapat kelebihan tu.  Aku abaikan saja kata-kata dia dan terus tarik kerusi di hadapannya dan duduk.

“Bos saya nak discuss pasal slide untuk presentation di UITM.  Saya dah…”

“Siapa bagi bunga?”  Dia pintas ayat aku.  Matanya masih tunak di atas dokumen. 

“Kawan.”

“Lelaki?”  Dia menulis sesuatu di atas kertas yang dibacanya.

Yes.”  Kali ini baru dia angkat muka.

“Habis Nafiz macam mana?”  Berkerut dahi aku dengar soalan itu.

“Yang bagi bunga tu kawan sajalah.  Dah kenal lama sejak di uni.”

“Tentu ada sebab dia bagi bunga.  Dia nak mengorat kau?”

Aku pandang dia dengan rasa pelik yang memenuhi minda.  Kenapa dia berminat sangat dengan bunga-bunga yang aku dapat? Aku sendiri pun tidak berminat walaupun jambangan bunga daisy yang Roy hantar semalam dan bunga violet yang Roy hantar pagi tadi adalah antara bunga yang aku suka. 

“Kau minat dengan Nafiz kan, kenapa layan lelaki lain?”  Ada nada tidak suka dalam suara Bos 1B3K.  Kenapa ya?  Aku rasa sebab dia sukakan Nafiz.  Aku tengok masa di Rumah Umi Sarah hari tu, dia berbual mesra dengan Nafiz.  Baguslah kalau dia rapat dengan Nafiz, nanti aku boleh minta Nafiz nasihatkan dia supaya jangan prejudis dengan wanita yang bertudung.

“Saya kawan saja dengan dia.  Dah kenal lama sejak di universiti.  Kalau saya nak bercinta dengan dia, dari dulu lagi dah buat.”

Dia tunduk semula, menulis sesuatu atas laporan di hadapannya dan sambung membaca.  Peliklah perangai dia hari ni.  Apa terjadi dalam tempoh dua hari dia tidak masuk pejabat sampaikan tidak ada kebengkengan, kekerekan dan kekurang ajaran dalam tutur kata dan bahasa tubuhnya?  Muka dia pun tidak kelat. 

"Err... Bos... slide ni, saya dah masukkan pointers yang bos nak.  Tapi saya rasa terlalu panjang… too wordy.  Mungkin kita patut ringkaskan dan letak bullet points saja."  Aku suakan plastic folder berisi slides yang sudah aku cetak untuk dia semak.

"Email to me.  I'll clean it up and finish it."  Hati rasa lega bila telinga mendengar jawapannya.  Bibir pun gembira sampai koyak senyuman tapi sekejap saja sebab bila mata aku melekat dengan matanya, jantung aku bagaikan hendak melompat dari tingkat sepuluh Wisma Duta.  Alahai, kenapa dia pandang aku macam tu?  Renungan matanya sama seperti ketika aku menyuapkan lozenge ke mulutnya minggu lepas.  Tak boleh jadi ni, baik aku blah dulu.  Tapi ketika aku hendak berdiri, bos bersuara.

"Sebenarnya masa kita pergi majlis Azwan, itulah kali pertama daddy keluar.  Sebelum ni dia hanya keluar untuk pergi check-up dan fisio.  A..aku…aku…"  Eh apasal si bengkeng ni tergagap pulak?  Aku tak jadi berdiri. 

“Aku...aku nak cakap terima kasih for your willingness to go to Azwan's wedding with us.  We didn't want to inconvenient you but we had no choice.  Daddy refused to go unless you came with us.  You've been nice to daddy.  He likes you.” 

Alahai, itu saja yang dia nak cakap.  Punyalah siksa sampai tergagap-gagap.  Tapi bila cakap dalam Bahasa Inggeris lancar pulak.  Dasar kerek!  Orang berbudi, kita berbahasa.  Walaupun aku tak berapa berkenan dengan dia, aku hargai ucapan terima kasih dia.  Lebih-lebih lagi bila dia ni bukan jenis yang murah dengan perkataan terima kasih.  Rasa-rasanya, sudah masuk minggu ketiga aku bekerja dengannya, inilah kali pertama dia ucap terima kasih.

"Sama-sama.  Saya tak anggap pun perkara tu menyusahkan saya."

Matanya masih tunak melekat di wajah aku.   Jantung aku berdegup laju semula.

"Satu lagi aku nak bagi tau kau...kau...kau..."   Tiga kali 'kau' lepas tu dia diam. 

"Cakap orang putih sajalah bos!"  Oops, terkeluar ayat tu, dengan suara yang tinggi pulak.  Dia senyum.  Tak tahulah kenapa dia senyum.  Yang aku tahu senyuman tu cantik.  Sama macam senyuman yang dia bagi masa aku pesan macam-macam sebelum dia beredar dari rumah abah minggu lepas. 

Bos 1B3K tarik nafas dalam-dalam dan selepas tu berkata, "you were stunningly beautiful last Saturday."

Jeda.  Aku pandang dia, dia tenung aku.  Dalam masa tiga hari dua orang lelaki menuturkan perkataan yang sama kepada aku.  Kalau masa Roy bercakap kelmarin aku terkedu sebelum ketawa terbahak-bahak, dengan Bos 1B3K lain pula jadinya.  Aku rasa pipi aku panas dan kalau aku tak pegang dada aku, jantung aku boleh melompat keluar dek degupan yang teramat kuat.

5 saat, 10 saat, 15 saat dan akhirnya aku kembali ke realiti.  Tak mungkin dia akan puji aku.  Ini mesti ada niat tersembunyi.  Aku berikan senyuman semanis gula-gula kapas.  Manis, tapi rasanya cepat menghilang bila gula-gula kapas mencair.

“Perempuan pakai tudung memang cantik bos.  Lebih-lebih lagi yang namanya Safinatun Najah. Not just last Saturday, but all the times.”  Aku berdiri, tolak kerusi dan berpaling untuk keluar.  Tak sanggup aku berada lebih lama dalam pejabat dia sebab walaupun aku cuba berlagak selamba, sebenarnya jantung aku masih berdegam degum.




Buka tingkap hati untuk Roy.  Itu nasihat mama yang aku pegang.  Aku fikir apa salahnya aku beri peluang kepada Roy.  Mana tahu, mungkin dia lebih baik daripada Nafiz.  Maka aku terima pelawaan Roy untuk menemaninya menghadiri majlis makan malam pelanggan firmanya. 

Aku sampai di Hotel Royale Chulan tepat jam 7 petang.  Roy yang segak mengenakan sut hitam dengan kemeja berwarna kuning mentega dan tali leher berwarna ungu terung sudah menantiku di lobi.  Aku terkedu apabila memandang Roy.  Bukan kerana dia sangat tampan, tetapi kerana pakaiannya dan pakaian aku langsung tidak sepadan.

“Hai sayang,” Roy menegur tapi aku balas dengan memberi salam.  Roy jawab salam aku.

“Kau tak cakap pun ni majlis formal.  Pakaian aku tak sesuailah Roy.”  Memanglah tidak sesuai langsung.  Seperti biasa aku berseluar panjang dan blaus lengan panjang.

“Jangan risau sayang.  Aku dah sediakan segalanya untuk kau.  Ini kunci bilik.  Naik atas, bersiap dan turun balik.  Setengah jam cukup kan?”

Aku pandang Roy dengan rasa tidak percaya.  Kalau tadi aku terkejut dengan penampilannya, sekarang aku terkejut bila mengetahui dia sudah menyediakan pakaian untuk aku.  Dan lima minit kemudian bila aku sampai ke bilik bernombor 718, aku terkejut untuk kali ketiga.

Sepasang baju kurung moden berwarna kuning mentega yang dihiasi dengan sulaman berwarna ungu lembut di hujung lengan dan baju, serta sehelai selendang berwarna ungu terung sudah dihamparkan di atas katil.  Warna pakaian aku dan Roy sama.  Aku yakin dia memang merancang semua ini.  Pandangan aku berkalih ke arah meja konsul.  Pencuci muka, krim pelembap, berus dan ubat gigi serta minyak wangi elok tersusun di atas meja.  Semua barang-barang itu memang dari jenama yang aku gunakan.  Aku terpempan. 

Walau pun Roy beri aku setengah jam, aku ambil masa 40 minit kerana aku tunaikan solat Maghrib sebelum turun ke lobi.  Hati rasa lega kerana sudah bersolat.  Tidak perlulah aku tinggalkan majlis yang sedang berlangsung untuk pergi bersolat.  Roy suakan lengannya kepadaku.  Aku faham dia mahu aku paut lengannya dan berjalan beriringan masuk ke dalam dewan.  Tak naklah!  Lantas aku menggeleng.

It’s okey.  Aku faham.  Aku sengaja nak uji kau.  I am glad you remain the same Fina that I felt in love with when we were in uni.”  Roy hadiahkan aku senyuman.  Kalaulah gadis-gadis yang meminati Roy di universiti dulu nampak senyumannya sekarang, boleh jadi mereka pengsan.   

Kami berjalan beriringan menuju grand ballroom.  Semakin kami menghampiri dewan, aku terpandang seorang lelaki yang aku kenali.  Dia berdiri beberapa kaki dari pintu masuk dan sibuk bersalam dan menyapa tetamu yang hadir.  Jantungku berdegup pantas.  Ya Allah, kenapa mesti aku jumpa dia di sini?

Langkahku terhenti.  Aku rasa hendak pusing balik.  Tapi bolehkah aku berbuat begitu?  Apa kata Roy nanti? 

“Kenapa Fina?”  Roy yang dua tapak mendahuluiku bertanya sambil berpaling.

“Tak… tak ada apa-apa.”

“Kenapa muka kau pucat?”  Roy menghampiriku dan merenung wajahku.  Jantungku masih berdegup laju, kakiku terasa berat, mukaku pucat dan sebenarnya aku rasa dadaku ketat dan susah hendak bernafas.  Ya Allah, bantulah aku untuk bertenang. 

“Fina.”  Kali ini ada kegusaran dalam nada suara Roy.  Aku mesti kuatkan semangat.  Aku tak boleh malukan Roy.

“Aku okey Roy.  Penat sikit.  Tadi banyak kerja dan tak sempat lunch.  Sebab tu agaknya kepala ni rasa pening sikit.”  Aku berbohong.  Bukanlah aku suka dan biasa berbohong.  Tapi untuk kali ini aku terpaksa.

“Kita masuk sekejap.  Lepas makan kita terus balik, tak payah tunggu sampai dinner ni habis.  Don’t worry, I will take care of you.”

Aku mengangguk.  Roy suakan lengannya.    Aku tarik nafas dalam-dalam dan paut lengan kekar Roy.  Kami sambung berjalan ke arah ballroom.  Tenanglah hati, jangan goyah.  Dia tak akan ganggu kau Fina. Aku berbisik kepada diriku sendiri.  Ya Allah lindungi aku.  Aku berdoa dalam hati. 

"Roy!  Thank you for coming."  Dia menyapa Roy sambil tersenyum.  Mereka bersalaman.  Roy mengucapkan terima kasih kerana menjemputnya ke majlis itu.

"Dato’, kenalkan… my sweet heart, Safina.”

Dia berpaling ke arahku.  Aku kuatkan genggaman pada lengan Roy.  Rileks Fina, rileks.  Jangan takut.  Hati aku berbisik sambil aku cuba maniskan wajah.

“Safina, what a small world.”  Dia berkata sambil mempamerkan senyuman gatal yang memang sudah jadi trademarknya bila berhadapan dengan perempuan.

“Dato’ kenal Safina?”

"Of course, ex-staff saya ni.  You have good taste Roy.”  Dia gelak.  Roy pun gelak.  Hati aku sakit.  Jantung aku berdegup lebih laju.  Dalam suasana berhawa dingin, aku sebenarnya berpeluh.  Mujurlah ada tetamu lain yang tiba, kami terus masuk ke dalam dewan dan dibawa ke meja kami.  Syukurlah meja kami letaknya jauh dari meja utama.

"Bila dia dapat Dato’?"  Aku menyoal Roy sebaik saja kami duduk. 

"Few months ago.  He is my biggest client."  Jawab Roy dan dia terus bercerita.  Kata Roy sudah tiga tahun pelanggannya itu menjalankan perniagaan membekal peralatan dan jentera pembinaan.  Dari ceritanya aku faham bahawa Roy mengkagumi pelanggan terbesarnya itu.  Kata Roy ketika syarikat lain meragui kemampuan firma Roy, dia pula sebaliknya dan tanpa ragu menggunakan syarikat Roy untuk perkhidmatan audit dalaman. 

Perbualan kami terganggu apabila rakan kongsi Roy tiba.  Seorang lelaki yang berumur awal empat puluhan bernama Idris diperkenalkan kepadaku.  Idris membawa isterinya yang diperkenalkan kepadaku sebagai Heliza.  Hatiku merasa sedikit lega apabila Heliza duduk di sebelah kiriku.  Di sebelah kanan Roy mengapitku.  Aku berbual dengan Heliza.  Wanita yang aku rasa berumur lewat tiga puluhan itu sangat cantik dan ramah.  Berbual dengannya membantu menyingkirkan rasa cemas dan gusar dari hatiku.  Tidak lama kemudian seorang lagi rakan kongsi Roy tiba. Aku diperkenalkan pula kepada Ramesh Ramayah dan pasangannya Cynthia Moorthy.

“Wah, Roy sudah ada girlfriend!  Baguslah.  Kalau tidak, kami semua berdua dia seorang solo.”  Ramesh berkata sebaik saja dia duduk.  Yang lain-lain mula mengusik.  Idris bertanya bila kami akan mendirikan rumah tangga. 

“Malam ni.  Saya dah bawak mas kahwin siap-siap.  Habis function ni kami pergi nikah.”  Roy menjawab dengan selamba.  Kalaulah boleh, aku akan cubit Roy kuat-kuat, macam yang aku selalu buat kepada Along.  Sudahlah memandai memperkenalkan aku sebagai kekasihnya, dia bergurau pula pasal nikah.

"Eloklah tu Roy.  Jangan tunggu lama-lama, nanti dikebas orang.”  Ramesh berkata.

"Amboi Roy, gatalnya… tak sempat-sempat nak menikah."  Heliza mencelah.    

"Dah lama saya tunggu dia, rasa dah tak sanggup nak menunggu lagi."  Sekali lagi Roy menjawab dengan selamba.  Kalau ikut hati aku hendak saja aku jawab bukan masalah aku.  Aku tidak pernah suruh dia tunggu aku.  Tapi aku diam saja.  Perbualan mereka terhenti apabila empat orang kakitangan senior mereka tiba serentak.  Sama seperti tadi, Roy memperkenalkan aku sebagai kekasihnya.  Perbuatan Roy merisaukan aku.  Macam mana nanti, kalau apa yang dihajatkannya tidak tercapai?

Makanan dihidangkan tidak lama kemudian.  Aku makan dengan penuh seleran kerana aku memang gemarkan makanan Cina.  Setengah jam kemudian, ketika pengacara majlis mengumumkan acara berikut, iaitu ucapan dari Dato’ pemilik syarikat, jantung aku berdegup laju semula.  Rasa cemas dan takut tiba-tiba datang walaupun aku tahu tidak ada apa yang perlu aku takutkan.  Ya Allah, kenapalah payah untuk aku bertenang?  Aku meminta diri untuk ke tandas.  Aku tidak mahu terus berada dalam dewan majlis.

“Fina!”  Satu suara memanggilku ketika aku hendak masuk dalam bilik air.  Aku angkat kepala.

“Cik Azira.  Buat apa kat sini?”  Aku hulurkan tangan untuk bersalam dan hadiahkan senyuman.

I attend majlis syarikat Crane and Crates.  You?”  Maknanya dia menghadiri majlis yang sama dengan aku.

“Saya pun di majlis tu.”

Oh really?  You datang dengan siapa?”

“Kawan.  Syarikat dia beli meja di majlis tu jadi dia ajak saya.  Syarikat Cik Fina pun beli meja ke?”
           
“Oh tak, saya dapat jemputan untuk dua orang, jadi saya ajak Rifqi.  Saya pergi dulu ya.”  Dia senyum dan berlalu pergi.  Aku melangkah masuk ke bilik air.  Terfikir pula aku tidak nampak bos dan Azira tadi.  Mungkin mereka sampai kemudian atau lebih awal.  Lagi pun dewan majlis itu besar, mana mungkin aku nampak semua tetamu yang hadir.

Selepas keluar dari tandas aku berjalan ke arah dewan dengan hati yang berat.  Pertama kerana aku tidak mahu bertembung dengan dia lagi.  Kedua kerana aku rimas dengan cara Roy melayan aku.  Dia bersungguh-sungguh melayan aku sehinggakan setiap makanan disendukkan ke dalam piringku dan setiap kali aku habis makan dia akan bertanya apakah cukup makanan untuk aku.  Dia juga sentiasa menjenguk cawan berisi teh cina dan meminta isian semula sebaik saja aku kosongkan cawan aku.  Aku rasa seperti Roy melayan budak berusia lima tahun.

Hati yang berat seperti hendak gugur apabila mataku menangkap kelibat dia.  Aduh, kenapa mesti dia berada di luar dewan, betul-betul di hadapan pintu masuk?  Dan kenapa mesti Bos 1B3K berada dengannya?  Aku cepat-cepat berpaling, berjalan ke arah lif dan naik ke bilik 718.  Aku keluarkan telefon bimbit dengan niat hendak memberitahu Roy aku tidak sihat dan terpaksa balik ke bilik.  Satu pesanan dari Bos 1B3K sudah berada dalam peti Whatsapp.

+ Bila aku kata perempuan bertudung hipokrit, kau marah.  Tapi malam ni kau sudah buktikan kepada aku, kau memang hipokrit dan gatal.

            Menyirap darah aku selepas aku baca pesanan itu.  Rasa geram, bengang dan yang sewaktu dengannya memenuhi ruang hati.  Tak habis-habis si 1B3K ni mengutuk perempuan bertudung. 


Ya Allah, kau balikkan hati bos aku yang bernama Irsyad Rifqi agar dia menyukai perempuan bertudung.  Semoga si 1B3K jatuh cinta dan bertemu jodoh dengan seorang perempuan bertudung.  Amiiin.

Friday 11 September 2015

AKU DAN 1B3K BAB 23


Aku ketawa terbahak-bahak.  Aduhai lucunya.  Dari dulu sampai sekarang Roy tetap sama, sentiasa menghiburkan dengan jenakanya.  Perut sudah kenyang diisi dengan grilled black pepper rib dan choc mud pie.  Hati pula sudah terhibur dengan cerita kelakar dan gelagat selamba Roy.  Bila aku berhenti ketawa, Roy sedang bersandar di kerusi.  Lengannya dilipatkan di atas dada dan matanya tunak memandang aku.  Senyuman di bibirnya sudah lenyap.

What?”  Aku angkat kening.  Tiada reaksi dari Roy.  Dia masih begitu.  Tapi matanya… ada sesuatu dalam cara Roy memandang aku yang membuatkan jantung aku mula meningkatkan tahap kelajuan denyutan.

“Roy.”  Barulah dia merendahkan matanya.  Dia menelan liur dan menarik nafas.  Lengan sudah berkalih tempat dari dadanya ke atas meja.  Tubuhnya dibawa rapat ke meja.

            “You are so stunningly beautiful Fina.”  Huh?  StunningBeautiful?  Biar betul si Roy ni.  Aku pakai jeans dengan t-shirt dan cardigan saja.  Tudung pula, macam biasalah tudung Syria saiz M.  Memang aku sudah sediakan pakaian itu untuk dipakai  bila pergi mengagihkan makanan kepada orang gelandangan bersama dengan Nafiz.  Tapi disebabkan Nafiz tak jadi pergi, last minute aku balas whatsapp Roy dan beritahu boleh makan malan dengannya. 

“Kau cakap apa Roy?  Stunningly beautiful?  Ni nak puji ke keji?”  Aku ketawa.

“Fina, I’m serious.” 

Yeah, you’re seriously funny Roy.  Dari zaman universiti sampai sekarang lawak kau tak pernah menghampakan.  Sepatutnya kau masuk Raja Lawak.  Mesti boleh menang.”  Kataku dalam ketawa yang masih bersisa.  Roy buat muka cemberut.

“Zaman universiti…”  Ayat tergantung Roy buat dahi aku berkerut.  "You still remember the good old days in campus?”

"Of course.  Mana boleh lupa.  Kau saja yang lupakan kawan-kawan.  Lepas grad mana ada kau contact aku.  Mentang-mentanglah aku ni junior.”

“Kalau aku contact pun, kau bukannya layan aku.”  Tiba-tiba ada nada sayu dalam suara Roy.  Matanya direndahkan.

“Roy.”  Dia tetap tidak mahu pandang aku.  Eh kenapa Roy ni? 

I miss you Fina.”  Okey, dia rindukan aku.  Merindui kawan lama adalah perkara biasa bagi aku.  Tapi bila si Roy yang sentiasa ceria dan selamba tiba-tiba berubah mood, itu luar biasa.

“Aku pun rindukan kau dan kawan-kawan yang lain dan jangan cakap aku tak layan kau.  Kalau kau contact aku, tentu aku layan.” 

            “Can we be close again, like the good old days?”  Kali ini baru Roy angkat muka.  Aku pantas mengangguk.  “Can we be more than friends?”  Kali ini aku terkedu.  Apa maksud Roy lebih daripada kawan? 

            “I have liked you since we were in uni.  Tapi masa tu aku ada tanggungjawab besar.  Aku mesti habiskan pengajian, balik Malaysia dan dapatkan pekerjaan yang bagus.  Jadi aku tak berani cakap apa-apa.  But I’ve been watching you, admiring you, missing you.  Dari Naani aku tau pasal kau.  Now, financially I am stable.  Barulah aku boleh fikir pasal bercinta… cari pasangan hidup… settle down.”

            Jantung aku bagai dipalu bertubi-tubi bila Roy bercakap begitu sambil matanya tunak melekat di wajahku.  Tidak pernah aku tahu Roy meminati aku sebab macam yang dia katakan, dia tidak pernah suarakan perasaannya kepadaku.  Di universiti dulu Roy memang salah seorang senior dari Malaysia yang dihormati oleh pelajar-pelajar junior.  Roy rajin belajar dan memang aku tidak pernah dengar pasal dia bercinta dengan mana-mana pelajar.

            Roy juga sangat baik, peramah dan berkarisma.  Dia selalu menolong pelajar-pelajar junior yang perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana di negara asing dan bila mereka perlukan bantuan.  Roy juga sering jadi jurucakap kalau kami perlukan apa-apa bantuan dari pihak universiti mahu pun pihak kedutaan.  Seingat aku walaupun aku tidak pernah dengar pasal Roy bercinta semasa di kampus, aku tahu ada 2, 3 orang gadis dari batch aku yang meminatinya.

Will you be my girlfriend, Fina?”  Terpempan.  Terkedu.  Terkesima.  Untuk lebih kurang 10 saat.  Lepas itu aku ketawa.  Bila Roy buat muka cemberut semula baru aku sedar dia tidak melawak.  Terus ketawa aku mati.

            “Ni serius ke ni?”

            “Of course.”

            “Why me, Roy?” 

            “Why not?  You are beautiful, fun, witty, easy-going.  Aku sentiasa gembira bila dengan kau.  Lagi pun kita berdua ada persamaan.  Kau… aku, kita selamba.  Aku suka gadis yang selamba dan berani macam kau.  Aku suka kau.”

            Aku renung wajah lelaki bernama Rosman Zainal Abidin, cuba mencari kejujuran dan keikhlasan dari sinar mata dan riak wajahnya.  “Seingat aku, masa di uni dulu kita tak pernah keluar berdua.  Kau tak pernah tunjuk or at least… hinted.”

            “Siapalah aku dulu Fina.  Aku anak orang susah.  Dapat belajar di luar negara dengan tajaan.  Fokus aku hanya nak belajar, lulus dengan cemerlang dan dapat kerja.  Had I approached you then, would you accept me?  I had nothing to offer.  Sekarang, barulah aku nak fikir soal cinta.  Dan aku nak bercinta dengan gadis yang aku minati dalam diam, sejak dulu.  Aku tahu kau tak ada boyfriend.

Aku kehilangan kata-kata.  Hanya mampu merenung jejaka tampan yang mengharapkan sesuatu dari aku.  Sungguh aku tak menyangka pertemuan malam ini akan berakhir dengan lamaran dari Roy.  Lamaran untuk menjadi kekasihnya, bukan isteri.  Itu yang aku hairan.  Kenapa tak ajak aku kahwin terus? 

            “Fina.”  Roy memanggil dengan lembut. 

            “Bagi aku masa Roy.” 

Roy senyum.  Harus aku akui senyuman Roy sangat cantik.  Masa di universiti dulu aku tidak pernah kategorikan Roy sebagai kacak.  Penampilannya biasa-biasa saja.  Tapi sekarang dia bukan saja kacak, malahan stylo.  Rambutnya tersisir rapi, nipis di sisi.  Mukanya bersih.  Kumis nipis yang terbela rapi menghiasi bahagian atas bibir, turun ke sisi bibir dan bercantum dengan janggut nipis yang menghiasi dagunya.  Pakaian dan jam tangannya berjenama antarabangsa. 

            “Kita dah kenal lama Fina.”

“Itulah masalahnya Roy.  Kita kenal sebagai kawan, tapi sekarang kau nak aku naikkan taraf kau.  Dari kawan menjadi….”  Ayat aku tergantung di situ.  Entah kenapa, lidah ini tidak mampu mengungkapkan perkataan yang sesuai.  Kekasih?  Buah hati?  Pak we?  Cowok?  Pasangan?  Sungguh, aku tak tau.

“The most important person in your life.  Someone you can’t live without.  Your life partner.  That’s what I want to be, Fina.  Boleh kan?”

Aku renung wajahnya.  Kami bertentangan mata.  Namun walaupun mataku melekat dengan matanya, fikiran aku berlayar jauh.  Menerawang ke zaman kami sama-sama di universiti.  Hanya setahun, sebelum dia menamatkan pengajiannya dan kembali ke tanah air.  Tapi kami rapat.  Mungkin sebab bila aku temankan Thia berjumpa dengan Naani, Roy pula temankan Naani.  Tapi ketika itu tak pernah wujud keinginan untuk bercinta dengan Roy.  Sekarang… entahlah, aku tak pasti.


            Roy rapatkan tubuhnya ke meja.  Dengan suara yang separa berbisik tetapi tegas nadanya, dia berkata, “I am still the same Roy, Fina.  Don’t tell me you can’t like me. Aku yakin kita serasi, kalau tidak takkanlah aku jatuh hati dengan kau.  Kau sudi jadi kekasih aku kan?” 

Renungan matanya tajam menikam.  Roy nampak yakin.  Seperti dia tahu apa yang dia mahu dan dia akan usahakan untuk mendapatkannya.  Aku takut Roy akan kecewa nanti.  Sebab ‘rasa’ itu, yang seperti aku rasakan bila melihat, mendengar atau berada di sisi Nafiz, tidak ada sekarang. 




Pertemuan dengan Roy menyebabkan aku tidak boleh tidur.  Terngiang-ngiang di telinga kata-katanya.  Terpandang-pandang di mata wajahnya.  Aku cuba mengingati detik-detik yang pernah aku lalui dengan kehadiran Roy di sisi.  Banyak.  Tapi di setiap detik itu ada juga Naani, Thia dan kawan-kawan lain.  Dan di setiap detik itu tidak pernah ada walau sekelumit pun keinginan untuk menjalin hubungan yang lebih daripada persahabatan.  Bercinta dengan Roy?  Hmmm, aku rasa macam tak boleh.

Aku turun dari katil dan menuju ke bawah.  Entah di mana aku baca susu suam boleh membantu melelapkan mata, jadi aku menuju ke dapur.  Ketika aku hendak mengeluarkan kotak susu segar dari peti sejuk, kedengaran suara mama menegurku.  Aku berpaling.

“Lapar ke Fina?”  Mama bertanya dengan dahi berkerut.

“Tak.  Fina… nak minum susu.  Mama nak?  Fina buatkan untuk mama sekali, ya?

“Boleh juga.”  Mama menjawab sambil menarik kerusi meja makan empat dudukan yang diletakkan di dapur.

“Keluar dengan siapa tadi?”  Mama menyoal ketika aku mencapai periuk kecil untuk memanaskan susu.

“Dengan Roy, kawan kat universiti dulu.”  Aku tuang susu dalam periuk dan nyalakan api.

            “Bujang?”

            “Ya.”  Aku capai dua biji mug.  Kenapa pulak mama bertanya pasal Roy?  Sebelum ini tak pernah mama bertanya pasal kawan-kawan aku.  Mama kenal Naani, Thia dan Nafiz, agaknya sebab itu mama bertanya sebab belum pernah dengar nama Roy.

            “Kerja macam mana sekarang?  Rifqi tu masih garang dengan kamu?” Ala, mama tanya pasal Bos 1B3K pulak.  Malaslah nak cerita pasal dia.  Aku bukannya yakin sangat dengan mama sebab takut mama sampaikan cerita kepada Datin Nuridah.

            “Berhenti sajalah Fina.  Kerja balik dengan mama.”  Mama bersuara sebelum aku menjawab soalannya.  Oh, itu rupanya agenda mama.  Bukannya tak seronok kerja dengan mama, tapi pangkat aku sebagai adik ipar Kak Long kadang-kadang ada buruknya.  Di pejabat aku dianggap kroni mama oleh kakitangan lain.  Melissa, senior aku di bahagian Akaun macam takut-takut nak bagi aku kerja yang susah sikit.  Sudahnya aku rasa kerja yang aku buat langsung tidak mencabar.

            Susu yang sudah agak suam aku tuangkan ke dalam mug.  Sebiji mug aku letak di hadapan mama sebelum aku tarik kerusi dan duduk bersetentang dengan mama.

            “Kenapa mama belum tidur?  Esok kan kerja?”  Aku bertanya sambil mengerling jam dinding di dapur.  Lagi 5 minit pukul 1 pagi.

            “Orang tua macam mama ni tak perlu tidur 8 jam sehari.  Kamu pun kerja esok, kan?  Kenapa belum tidur?”

            Aku tidak jawab kerana sedang menghirup susu.  Mama dekatkan wajahnya ke wajahku.  Cermin matanya melurut ke hujung hidung.  “Ada masalah percintaan ke?” 

            Walaupun mama tak selembut emak di kampung, dia tetap prihatin.  Mama sering mengatakan dia menganggap aku sebagai anak bongsunya, adik kepada Izureen.  Memanglah adik, tapi adik ipar.  Cuma bagi mama aku sudah dianggap seperti anak sendiri.  Aku pandang mama.  Renungan mama bagaikan ada kuasa magis, sehingga dengan mudah bibirku berbicara, menceritakan tentang makan malam dengan Roy dan permintaan Roy untuk bercinta denganku.

            “Bagi dia peluang.  Buka dulu tingkap hati Fina untuk dia.   Kalau rasa boleh, baru buka pintu untuk dia masuk dan menginap terus dalam hati.  Mama tau Fina minat kat Nafiz, kan?  Tapi Nafiz minat kat Fina tak?  Bertepuk sebelah tangan bukan setakat tak berbunyi, buat kerja bodoh namanya.”

            Mama bercakap dengan tegas, seperti dia bercakap dengan kakitangannya di pejabat.  Aku sudah biasa dengan cara mama.  Sebab itulah aku boleh tahan dengan cara Bos 1B3K yang sentiasa bengkeng dan kerek.  Tapi sejak kebelakangan ni dia sudah kurang bengkeng dan kerek.

            Mama berdiri.  “Thanks for the milkGood night.”  Sambil tersenyum mama berlalu meninggalkan dapur.

            “Jangan tidur lambat, esok kat office mengantuk… kena marah dengan bos bengkeng.”  Mama melaung ketika dia sudah hampir keluar dari dapur.

            Aku masih melekat di atas kerusi.  Otak mula mencernakan kata-kata mama.  Buka tingkap dulu untuk Roy.  Lepas tu baru buka pintu.  Roy.  Wajah dia datang depan mata.  Kemudian wajah Nafiz pula muncul.  Nafiz ni pun satu… jangan kata tingkap, pintu hati dengan grilnya sekali pun sudah lama aku buka untuk dia tapi sampai sekarang dia tak masuk-masuk. 

            Tangan kiri aku menongkat dagu.  Jari jemari tangan kanan pula mengetuk lembut meja.  Roy.  Nafiz.  Mana satu ni?  Aku cuma mahu jodoh yang baik.  Aku sudah kenal Roy lama.  Aku tahu dia lelaki baik.  Nafiz pun baik, malahan ada ciri-ciri jejaka idaman.  Roy sudah berterus terang, tapi Nafiz belum berkata apa-apa.  Tiba-tiba teringat pesanan emak masa aku beritahu emak, ayah, Along dan Kak Ida tentang perangai kaki perempuan si Pejal yang Along pernah cuba satukan dengan aku.  Kata emak kalau hendak jodoh yang baik, berdoalah kepada Allah.

Ya Allah, siapakah di antara mereka yang terbaik untuk aku?  Hanya Engkau yang mengetahui dan aku Engkau berilah aku petunjuk. 

Roy...  Nafiz...  Roy...  Nafiz...  Rifqi.


            Rifqi?????  Eh apasal tiba-tiba wajah bos bengkeng pulak muncul depan mata aku?

Wednesday 2 September 2015

AKU DAN 1B3K BAB 22


Selepas puas berehat dari pagi ke tengahari, selepas Zohor aku pergi ke Rumah Umi Sarah.  Selain daripada perasaan rindu terhadap adik-adik di situ, aku juga berharap dapat berjumpa dengan Nafiz di sana.   Ketika aku sampai adik-adik sedang berehat.  Ada yang menonton tv, ada yang membaca buku dan ada juga yang sedang bermain.  Hanya halaman di hadapan rumah yang boleh mereka gunakan untuk bermain kerana pembinaan sedang dijalankan di laman belakang.  Belum pun aku turun dari motorsikalku, Lokman berlari mendapatkanku.  Kami bersalaman dan bertanya khabar.

"Lamanya Kak Fina tak datang. Kak Fina ada bawa cokelat?"  

"Ada.  Tapi kejap lagi ya. Kak Fina nak masuk jumpa Umi dulu.  Lepas tu Kak Fina bagi cokelat kat Lokman.  Boleh?"  Lokman mengangguk sambil tersenyum.  Senyumannya manis dan ikhlas.  Aku tinggalkan Lokman dan masuk ke rumah.  Umi tersenyum gembira menyambut kedatanganku.

"Lama Fina tak datang," ujar Umi ketika kami berpelukan.

"Maaf Umi, Fina sibuk dengan urusan perkahwinan kawan baik Fina."

"Yang kahwin dengan kawan Nafiz tu?"  

"Ya."  Aku menjawab sambil terdetik dalam hati bagaimana Umi boleh tahu.  Apakah Nafiz yang bercerita?  Mungkin juga tapi agak pelik kerana setahu aku Nafiz agak pendiam dan bukan jenis yang rajin bercerita.

"Nafiz pun sibuk sekarang ni, sudah jarang dia datang ke sini."  Kata Umi Sarah sambil menggamit aku ke belakang.  Aik, di Rumah An Nur dia jarang ada, di sini pun tidak.  Hmm, apa yang diusahakan oleh Nafiz sampai dia jadi sibuk?  Semalam pun masa di majlis persandingan Naani, dia datang sekejap saja.  Aku hanya sempat bertanya khabar.  Baru hendak berbual lebih lama, Roy datang mencelah.  Sudahnya aku berbual dengan kawan lama di universiti.  

Seperti biasa walau sesibuk mana pun dia, Umi Sarah tetap menjamu tetamunya dengan hidangan ringkas.  Air teh 'o' dan kuih karipap yang digoreng oleh Makcik Leha untuk minum petang dihidangkan kepadaku.

"Belum siap lagi kerja-kerja di belakang tu Fina, tak dapatlah kamu ngajar taekwando."

"Tak apa Umi, Fina boleh ajar English hari ni."

Aku habiskan minuman.  Umi Sarah menyuruh Makcik Piah memanggil anak-anak jagaan mereka masuk untuk minum petang.  Usai minum petang, kami bersama-sama duduk di ruang makan/solat/belajar.  Aku suruh mereka keluarkan buku latihan dan menyuruh mereka membuat latihan.  Sambil itu aku melayan pertanyaan mereka.  Aku berjanji akan memberi cokelat kepada mereka sebaik saja mereka menyiapkan latihan.

Mereka belajar dengan tekun.  Mungkin kerana Abi Yusuf dan Umi Sarah selalu menekankan kepada mereka dengan kelulusan yang baik mereka akan dapat meningkatkan taraf hidup mereka.    Ada yang rajin bertanya, ada juga yang berat mulut.  Aku cuba sedaya upaya untuk membantu mereka dan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk cuba bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Tiba-tiba Lokman menjerit sambil memandang pintu.  "Uncle Rifqi!  Yeaaay Uncle Rifqi datang!"

Tidak mungkin mata aku menipu.  Di jenang pintu Bos 1B3K berdiri sambil memegang tangan Johan dan Syasya.  Lokman dan anak-anak yang lain berdiri dan terus meluru ke arah Bos 1B3K.  Mereka bersalam dengannya dan bertanya khabar dengan mesra.  Bos memperkenalkan kedua-dua anak saudaranya kepada anak-anak asuhan Umi Sarah.  Kalau tadi aku yakin mata aku tidak menipu, kali ini aku juga pasti telinga aku tidak salah dengar.  Dengan suara lembut Bos 1B3K berkata kepada Johan dan Syasya anak-anak yatim di Rumah Umi Sarah adalah kawan-kawannya maka Johan dan Syasya harus juga menganggap mereka sebagai kawan dan menghormati mereka.  Kemudian dia menyuruh Johan memberi cokelat dan biskut yang dibawa kepada anak-anak asuhan Umi Sarah.

Oleh kerana adik-adikku teruja mendapat cokelat dan biskut mahal daripada Bos 1B3K, aku memutuskan untuk menamatkan sesi Bahasa Inggeris dan membiarkan mereka menikmati cokelat dan biskut yang bukan selalu dapat mereka rasai.  Hati tersentuh melihat mereka makan dengan penuh berselera.  Dan ketika aku menoleh ke arah Bos 1B3K, sedikit rasa kagum terhadapnya menyelinap dalam hatiku.  Apa yang aku lihat dan apa yang aku dengar menyentuh hatiku hinggakan aku terpempan.  
  
Si comel Sakinah, menarik seluar bos.  Bos mencangkung di hadapan Sakinah, menarik lembut si comel ke dalam rangkulan dan terus mendokong si comel.  Dia mengambil sekeping cokelat dan sebungkus kecil biskut sebelum keluar sambil mendokong Sakinah.  Bila aku keluar beberapa minit kemudian Bos 1B3K sedang duduk di laman sambil menyuap cokelat ke mulut Sakinah.

"Bos," aku menegur sambil melabuhkan punggung di sebelah Sakinah.  

"Ini kali kedua aku datang ke sini selepas ikut kau dulu."

Aik, aku belum tanya dia sudah bagi jawapan.  Eh, dia ni boleh baca fikiran orang ke?  Nahas aku kalau dia boleh baca fikiran aku.  Mesti dia tahu sudah berbakul kutukan aku terhadapnya.

“Bos, semalam…. saya tak sangka saya dah menyusahkan bos sekeluarga.  Saya minta maaf.  Lain kali bos bagi tau sajalah nak balik, saya okey.  Kawan-kawan saya ramai, dia orang boleh hantar saya balik.  Lagi satu, kalau bos marah cakap sajalah.  Saya rimas bila bos diam macam semalam.  Bos buat saya tertanya-tanya.”

Dia paling wajahnya ke arahku.  Tidak ada lagi wajah monyok yang aku lihat semalam.  Wajah dia tenang dan entah kenapa, aku rasa berdebar bila memandang wajahnya.  Aku kalih pandangan ke depan.

"Kenapa kau buat kerja ni semua?  Kan banyak kerja lain yang lebih menyeronokkan?"  Aku tahu dia maksudkan kenapa aku menghabiskan masa di rumah anak yatim.   Itu pula yang dia tanya, tak cakap pun dia terima permohonan maaf aku atau tidak.  Aku anggap dia dah maafkan aku.  Senang cerita.

"Saya suka kat sini.  Seronok bila dapat ajar adik-adik."

Dia angkat kening, suap sepotong cokelat dalam mulut Sakinah dan toleh ke arahku.  "Ya ke seronok mengajar?  Atau ada seseorang yang menggembirakan kat sini?"

"Ada, tapi bukan seorang.  Ramai.  Gelagat adik-adik di sini semua menggembirakan hati saya."

"Yang menggembirakan hati ramai, tapi yang mencuri hati dia seorang saja kan?  Buah hati tak datang ke hari ni?  Semalam tak sempat berdating, kau sibuk dengan kawan-kawan universiti, kesian dia."

Aku pandang bos dengan ekor mata.  Aku tahu bos maksudkan Nafiz.  Tak sangka bos prihatin tentang hubungan aku dengan Nafiz.  Betullah, Nafiz sudah curi hati aku.  Tapi hati dia belum tentu sudah berjaya aku takluki.  Sehingga kini, belum ada tanda-tanda persahabatan kami akan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.  Nampak gaya aku kena mulakan dulu.  Harapkan Nafiz, mungkin aku akan kahwin dengannya masa kami berumur lima puluhan.

"Apa maksud buah hati?"  Saja aku tanyakan begitu untuk tukar topik. 

"Takkan kau tak tau?"

"Kalau definisi saya sendiri, buah hati ialah orang yang saya sayangi. Boleh jadi ibu bapa saya, adik beradik saya, kawan-kawan rapat dan sesiapa saja yang saya sayangi.  Bos punya definition macam mana pulak?"

Dia tunduk memandang tanah.  Sakinah yang duduk di antara kami masih leka mengunyah cokelat.  "Dulu... aku kata 'jangan ganggu buah hati aku'.  Rupa-rupanya aku yang salah.  Aku tak jaga buah hati aku.  Kalau aku jaga elok-elok, tentu buah hati aku tak pilih dia."

Perlahan, dengan nada sayu Bos 1B3K bersuara.  Wajahnya tenang tapi matanya menikam tajam ke tanah, bagaikan jauh tenggelam di dasar bumi.  Aku tahu apa yang diucapkan ada kaitan dengan kisah cintanya yang kecundang.  Tapi aku malas hendak bertanya lebih lanjut.  Buat apa aku tahu, bukannya aku boleh kembalikan kekasih dia yang sudah jadi isteri orang.  Jadi kami sama-sama diam.  Tapi aku tak boleh diam lama-lama.  Rimas.

"Ala bos, apa susah.  Carilah kekasih baru.  Kalau macam bos ni sekali petik sepuluh datang.  Sekarang pun bos bukannya tak ada kawan.  Tu pelakon seksi tu, kan dia minat kat bos?  Cik Azira pun minat kat bos.  Pilih saja salah satu.  Kalau dua-dua tu tak okey, bos cari yang lain.  Kalau payah sangat, bos mintalah orang tua bos carikan."

Bos 1B3K angkat wajahnya dan berpaling ke arahku.  "Aku bukan nak kekasih.  Aku nak isteri.  Isteri yang boleh terima aku seadanya dan boleh terima keluarga aku.  Cari kekasih senang, tapi cari isteri tu payah.  Perempuan sekarang… nampak kereta mewah, duit, ramailah yang nak.  Perempuan sekarang nak suami yang serba sempurna.  Yang sweet, beriman, pandai mengaji, kerja bagus, gaji besar, kaya, handsome.  Tapi tak sedar… diri sendiri tak bagus."

Wah dengan panjang lebar dia bercakap.  Tadi suaranya perlahan dan lemah.  Sekarang bukan main bersemangat lagi.  Nada suara dan perkataan yang dia gunakan, macam perli aku saja.  Aku pun apa lagi, bersemangatlah nak menjawab.

"Apa salahnya kalau perempuan nak yang terbaik untuk dirinya?  Bagi saya selagi boleh memilih, saya akan pilih.  Seorang suami adalah pemimpin rumahtangga, imam kepada saya dan anak-anak. Dia juga pelindung, penasihat, pendidik dan pencari rezeki.  Saya memang nak lelaki yang budiman, baik, sopan, rajin, tak tinggal solat, pandai mengaji, ada pekerjaan dan pendapatan yang baik.  Dia mesti hormat orang tua dan adik beradik saya, sukakan budak, tak cerewet soal makan sebab saya tak pandai masak, romantik dan suka manjakan saya.  Bagi saya lelaki alim biasanya romantik."

Dia pandang aku dengan dahi yang berkerut.  Matanya tidak berkelip. "Are you sure?"

"Yes."

"How do you know?"

Alamak, takkan nak kata itu andaian aku saja?  Aku memang tak ada statistik atau apa-apa fakta untuk menyokong kepercayaanku itu.  Mana boleh kalah dengan Bos 1B3K, nanti dia makin kerek dengan aku.  "Rasulullah kan romantik, lelaki alim kalau ikut cara Rasulullah melayan isteri-isterinya tentu romantik juga."

Dia tidak menjawab lagi.  Pandangannya jatuh ke wajah Sakinah.  Dia keluarkan sapu tangan dan kesat bibir Sakinah yang comot kena cokelat.

"Define romantic."  Katanya tanpa memandang aku.  Hah, dah datang dah sifat kerek dan kurang ajarnya. Di petang Ahad, di laman Rumah Anak Yatim Umi Sarah dia bercakap dengan gaya memberi arahan seolah-olah kami berada di pejabat atau dalam waktu pejabat sekarang.  Ketika itu juga Tuhan menghantar pertolongan kepadaku.  Kereta MyVi berwarna merah memasuki perkarangan rumah, berhenti di sebelah kereta Bos 1B3K dan jejaka idamanku keluar.  Aku berdiri dan sebelum menapak ke arah Nafiz, aku berkata "my definition of romantic is here."

Bunga-bunga yang cantik dan harum baunya sedang mengembang dalam hati aku ketika aku berjalan mendekati Nafiz.  Hari ini aku akan gunakan peluang yang ada untuk berbual-hual dengan dia, nak qada' semalam di mana aku hanya dapat memerhati dia dari pelamin.  Aku beri salam.  Dia jawab salamku sambil berpaling.  Senyuman nipis tergaris di bibirnya.  Alahai, seksinya bibir.

"Dah lama kat sini?"

"Dah dekat satu jam."  Aku jawab soalan Nafiz dengan suara lembut.  Lelaki alim macam Nafiz mesti tidak berkenan dengan gadis yang riuh rendah, kan?

"Tak penat ke, semalam satu hari di majlis Thia?"  Soalan itu membuktikan dia prihatin.

"Tak."  Jawapan tidak perlu panjang-panjang sebab lelaki macam Nafiz mesti kurang suka dengan gadis becok, kan?

Nafiz buka pintu penumpang belakang dan keluarkan sebuah kotak.

"Apa tu?"

"Barang-barang dapur.  Milo, teh, gula, susu, biskut untuk anak-anak di sini."  Nafiz jawab sambil meletakkan kotak itu di atas tanah.

"Awak beli?"  Aku bertanya dengan diiringi perasaan kagum.

"Ada orang sedekah."  Dia tutup pintu dan berjalan ke pintu penumpang yang sebelah sana.  Sebuah kotak yang lebih besar dikeluarkan.

"Alhamdulillah.  Baiknya orang tu.  Siapa dia?"

"Tak tau."  Nafiz pergi pula ke belakang kereta.  Aku ikut sama.  Tiga peket beras yang setiap satu beratnya 20 kilogram memenuhi bonet belakang.

"Apa yang saya boleh bantu?"

"Tak payahlah.  Barang-barang ni berat.  Saya akan bawak sikit-sikit masuk ke dalam."

Nafiz sudah selesai memunggah keluar beras.  Dahinya disirami peluh.  Kalaulah boleh, aku ingin mengesat peluh di dahinya.  Tapi lelaki baik macam Nafiz tentu tidak suka perempuan yang daring, kan?  Mesti ada cara aku boleh tunjukkan kebaikan dan cakna aku kepadanya. 

Hah, sapu tangan Bos!  Tadi lepas bos kesat bibir Sakinah, aku ambil sapu tangan itu untuk kesat jari Sakinah yang sememeh kena cokelat.  Lepas tu aku lupa nak bagi balik kepada bos.  Agaknya sebab teruja sangat nampak Nafiz.

"Awak."  Nafiz berpaling.  "Peluh awak tu...nah.  Laplah.  Tapi guna belah sini ya.  Sini dah kena cokelat."  Aku tunjukkan bahagian yang bersih dan sambil tersenyum dengan wajah ala-ala sesuci embun pagi, aku suakan sapu tangan itu kepada Nafiz.  Dia ambil dan sambil tersenyum dia mengesat peluhnya.  Dia pulangkan sapu tangan sambil ucapkan terima kasih.  Ah, gembiranya aku.  Banyak kali Nafiz senyum kepadaku hari ini.

Satu suara memberi salam.  Kacau daun betullah bos berambut pacak ni.  Elok-elok duduk atas bangku tu tadi, datang sini buat apa?   Dia serahkan Sakinah kepadaku dan bertanya khabar dengan Nafiz.  Kemudian dia tawarkan bantuan untuk bawa barang-barang masuk ke dalam rumah.  Nafiz angkat kotak yang paling besar.  Bos pula angkat ketiga-tiga peket beras, letak di atas bahu sebelah kiri dan berjalan di belakang Nafiz.  Selepas beberapa langkah, dia berpatah balik ke arahku.

"Lain kali kalau kau nak tunjuk caring kat buah hati, guna barang sendiri ya."  Dia tarik sapu tangan dari genggaman aku dan berlalu.  Eleh, setakat sapu tangan pun berkira! 

"Awak dah makan?"  Aku tanya dengan lembut sebaik saja aku sampai di sisi Nafiz yang sedang meletakkan kotak yang dibawa di atas lantai dengan berhati-hati.  Nafiz menjawab sepatah dengan berkata "ya". 

Aku hendak berbual lagi tapi kehadiran Bos 1B3K dengan 3 peket beras di atas bahunya membantutkan niatku.  Sempat Si 1B3K menjeling aku sebelum dia meletakkan beras di atas lantai, di sebelah kotak barang yang diletakkan oleh Nafiz.  Apa hal jeling-jeling pulak?

Aku cepat-cepat keluar untuk menyaingi Nafiz yang keluar untuk mengambil kotak kedua.  "Awak sibuk kebelakangan ni?"

"Ya. Ada orang belajar mengaji dengan saya."

"Setiap malam?"

"Ya."

"Dulu awak kata tak ajar mengaji setiap malam?"  Aku bertanya begitu sebab sebelum ini aku pernah meminta untuk belajar mengaji dengan Nafiz tapi dia enggan kerana dia sudah ada pelajar pada setiap hari Rabu dan Jumaat.

"Ini pelajar lain.  Yang belajar setiap Rabu dan Jumaat tu dah berhenti.  Yang ini bayarannya lumayan.  Bolehlah saya kumpul duit untuk kahwin."

"Kahwin?"  Secara spontan terkeluar soalan itu dalam suara beroktaf tinggi.  Nafiz berhenti melangkah dan memandang ke wajahku.  Dadaku mula berdebar dan hati mula tertanya-tanya.

"Kenapa Fina?"  Nafiz bertanya.  Hatiku tersentuh dengan cara dia bertanya.  Sangat budiman dan terserlah sifat mengambil berat dalam suaranya.  Cara dia memandang pula, hmm... aku boleh larut dalam renungan lembut matanya. 

"Terkejutlah, awak tiba-tiba sebut pasal kahwin.  Dah...dah ermm... dah ada calon ke?"

"Belum. Tapi apa salahnya saya menabung dari sekarang, kan?"  Nafiz senyum.  Aduhai, boleh gugur jantung aku bila melihat dia senyum.  Aku jawab soalannya dengan anggukan sambil bibirku juga mengukir senyuman.  Maunya tidak senyum, lelaki idamanku ini sangat berwawasan.  Eloklah dia kumpul duit, nanti boleh meminang aku.

"Awak jangan risau, abah saya tak akan letak hantaran yang tinggi."  Alamak, macam mana boleh terkeluar ayat itu?  Cepat-cepat aku tutup mulut dengan telapak tangan kanan.  Nasib baik Nafiz sedang membongkok untuk mengambil kotak kedua yang tadi diletakkan di atas tanah berdekatan dengan kereta Myvinya.

"Awak cakap apa tadi?"  Tanya Nafiz bila dia menegakkan tubuhnya.

“Aaar,  eeer,  sa… saya tanya awak nak calon isteri yang macam mana?”  Fuh, berpeluh-peluh aku dibuatnya. 

“Saya terima siapa saja jodoh yang Allah tentukan untuk saya.”  Katanya dan dia melangkah semula ke rumah.

Oh my!  Dengar tak jawapan dia?  Aduhai, sweetnya jawapan.  Kelassss sangat jawapan dia.  Jawapan orang beriman.  Orang macam inilah yang layak jadi suami aku.  Patutlah emak suka Nafiz.  Aku doakan Nafiz cepat-cepat kumpul duit dan lepas itu masuk meminang aku.

Aku masuk ke dalam rumah Umi Sarah.  Tiada orang di ruang tamu.  Di dapur Mak Leha dan Mak Piah sedang menyimpan barang-barang yang dibawa oleh Nafiz.  Sambil bekerja mereka berbual, menyatakan kesyukuran mereka kerana ada orang yang sudi menyumbang barang-barang makanan.  Aku berlalu terus ke belakang dan keluar ikut belakang.  Aku nampak Abi Yusuf, Nafiz dan Bos 1B3K sedang berbual sambil memerhatikan bangunan dua tingkat yang sedang dibina. 

Terdetik dalam hatiku siapakah yang berhati mulia menanggung kos pembinaan bangunan baru Rumah Anak Yatim Umi Sarah.  Aku doakan semoga si penderma diberkati Allah.  Bila siap nanti tingkat bawah akan menempatkan dewan makan, dewan solat dan bilik belajar manakala di tingkat atas akan ditempatkan dorm lelaki dan dorm perempuan beserta bilik mandi dan tandas.  Bangunan lama akan dirobohkan dan di situ akan dibina gelanggang badminton yang boleh aku gunakan untuk mengajar taekwando.

Telefon bimbit aku berbunyi.  Ada pesanan whatsapp masuk. 

+ Dinner dengan aku malam ni?


Makan malam dengan dia?  Tak naklah.  Aku nak ikut Nafiz bagi orang gelandangan makan.  Sudah lama sangat tidak luangkan masa dengan Nafiz.