Saturday 29 June 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 19


Bab 19 – Izureen


Aku sampai di rumah sebaik sahaja azan Maghrib bergema.  Pintu kondo ku buka dan tangan meraba suis lampu.  Kemudian aku pandang ke seluruh ruang kondo yang terpampang di depan mata.  Baru tersedar aku rindukan tempat ini.  Hampir tiga minggu aku tinggalkan, lantai terasa berhabuk.    


Setelah meletakkan beg, aku ke bilik.  Rambut-rambut masih berselerakan di atas lantai, tidak ubah seperti waktu aku meninggalkan tempat ini.  Aku ke dapur dan kembali ke bilik dengan penyapu dan penyodok sampah.  Setelah siap disapu, aku mandi dan bersolat.


Usai solat maghrib, aku kemas pula ruang tamu, sekadar menyapu lantai dan membersihkan habuk yang sudah bertapa di atas perabot.  Kemudian aku ke dapur, membuka peti sejuk untuk mencari bahan yang boleh dibuat makan malamku.  Tiga biji epal yang sudah kecut aku buang.  Susu segar rendah lemak yang sudah luput tarikhnya juga ku campakkan ke dalam bakul sampah.  Aku ambil tiga keping keju untuk dimakan bersama biskut.  Dalam perjalanan pulang tadi, tidak terfikir hendak singgah membeli makanan, jadi cukuplah sekadar memakan biskut malam ini.


Aku sudah terbiasa bersendirian.  Tahun lepas, aku meminta izin Mama untuk berpindah ke kondo ini, atas alasan ingin berdikari.  Namun sebenarnya untuk mengelakkan dari berbalah dengan Mama.  Mama benarkan, dengan syarat setiap petang Jumaat aku balik dan tidur di rumah Mama, pulang semula ke kondo ini pada petang Ahad.  Kebiasaan bersendiri membuatkan aku tidak merasa sunyi atau takut.


Azan dari masjid di seberang kondo bergema, menandakan waktu Isya’ lantas aku mengambil wudu’ dan bersolat.  Selepas solat isya’, aku panjatkan doa ke hadrat Illahi. 


“Ya Allah, aku syukuri rahmat dan kasih sayangMu.  Terima kasih di atas segala kurniaanMu.  Terima kasih ya Allah di atas dugaan yang kau berikan.  Tanpa dugaan ini, aku mungkin masih leka, masih jauh dariMu.  Aku redha dengan ujian ini Ya Allah dan semoga ujian ini membawa aku semakin dekat denganMu.


Ya Rabbi, ampunilah dosa hambaMu ini.  Yang terlalu lama leka dan lalai hingga menjauh dariMu.  Semoga aku tidak lagi mengabaikan tanggungjawabku terhadapMu.  Ampuni aku Ya Allah, ampuni aku Ya Allah, ampuni aku ya Allah.  Bantulah aku untuk sentiasa mengingatiMu, untuk bersyukur kepadaMu dan untuk memperbaiki ibadahku kepadaMu.  Janganlah Engkau sesatkan hatiku setelah Engkau memberi petunjuk kepadaku.


Ya Allah, berilah rahmat dan kasih sayangMu kepada Mama, kakak dan abang.  Terima kasih kerana memberikan mereka kepadaku.  Kasihilah Mama seperti mana dia mengasihiku.  Cucurilah rahmat ke atas arwah Papa, semoga dia damai dalam limpahan rahmatMu. 


Ya Allah, berilah rahmat dan kasih sayangMu kepada Mak Jah sekeluarga.  Terima kasih kerana menemukan aku orang-orang yang baik seperti mereka.


Ya Allah, andai Muaz itu bukan jodohku, jadikan aku redha dengan ketentuan ini.  Lapangkan hatiku dan kuatkan semangatku untuk berdepan dengannya.  Berikanlah kebahagian kepadanya.  Dan jadikanlah aku bahagia, walau tak bersama dia.


Ya Allah, hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untuk diriku.  Temukanlah aku dengan lelaki yang baik, yang mampu membimbingku ke JannahMu.  Andai aku jatuh cinta lagi, janganlah cintaku kepada seorang lelaki melebihi cintaku kepadaMu.


Ya Rabbi, kurniakanlah kepadaku kebaikan di dunia dan juga di akhirat dan jauhkanlah aku daripada azab nerakaMu.


Amin.


***

Usai solat Subuh aku bersiap untuk ke pejabat.  Niat di hati hendak memberi kejutan kepada Mama.  Semalam aku telah menelefon Kak Ram, pembantu peribadi Mama dan dia memaklumkan Mama akan berada di pejabat sehingga pukul 11.  Selepas itu Mama perlu menghadiri mesyuarat.


Kak Ram menjerit kegirangan melihat aku.  Dipeluknya aku erat-erat.


“Ish budak ni, lama menghilangkan diri” katanya selepas melepaskan pelukan.  Aku sengeh saja.


“Mama macam mana Kak Ram?” soalku.


“Kejap lagi sampailah tu.  Mesti dia suka tengok kamu.  Tau tak, bila kamu tak ada, susah Mama kamu.  P and L Report, bank reconciliation, loan repayment, dan hal-hal kewangan yang lain dia terpaksa handle sendiri.  Nak harapkan Melissa, dia tu fresh graduate, banyak yang dia tak tau.  Dah, jangan nak hilang-hilangkan diri lagi.  Berdosa tau buat Mama kamu susah hati.”


Kan dah kena, dapat tazkirah percuma pagi ni dari Kak Ram.  Tapi aku terima.  Benar apa yang dikatakannya.  Bila abang datang menziarahiku, aku mula tersedar implikasi tindakanku terhadap orang lain, sedangkan sebelum ini Mama telahpun menasihatiku ketika kali pertama aku melarikan diri. 


“Ok Kak Ram.  Reen nak tunggu Mama dalam bilik” dan aku terus berlari ke dalam bilik Mama.  Aku tutup lampu bilik sebaik sahaja aku masuk ke dalam.  Kononnya nanti Mama akan terkejut melihat aku bila lampu dibuka.  Aku kerling jam di tangan.  Sudah lapan sepuluh minit, namun Mama belum tiba.  Tak mengapa, mungkin dia lambat sedikit pagi ni.  Maklumlah kesesakan jalan raya di KL susah dijangka.  Sepuluh minit berlalu.  Akhirnya terdengar derap kaki menghampiri pintu pejabat Mama. 


“Kenapa tak bukak lampu Kak Ram?” kedengaran suara sebaik sahaja pintu dibuka.  Satu kepala dibaluti tudung berwarna hijau epal menjenguk ke dalam sambil tangan menyentuh suis lampu.  Eh, itu bukan suara Mama.


Susuk tubuh berbaju kurung Johor berjalan masuk, melangkah dua tapak kemudian berhenti.


“Allahu akbar!” jeritnya, dan fail yang dipaut terlepas ke lantai.  Terkejut melihat aku yang terpaku di sofa.


“Adik!”


“Kakak!”


“Subhanallah!  Terkejut kakak!  Apa buat duduk dalam gelap ni?”


Kak Rina menerpa ke arahku.  Kami berpelukan di atas sofa.  Terlerai sudah rindu kepada Ka Rina.


“Ya Allah, adik!  Bila balik?  Kenapa tak datang jumpa kakak?” 


“Baru sampai malam tadi.  Ingat nak surprisekan Mama, tetiba kakak yang muncul.  Apa kakak buat kat sini?  Mama mana?”


Kak Rina senyum.  Direnungnya aku, lama.


“Meeting Mama ditukar ke pukul sembilan, so Mama pergi terus ke sana.”


“Kakak buat apa kat sini?”  Kak Rina senyum lagi.  Dia bangun, mengutip fail di atas lantai, meletakkannya di atas meja Mama dan kemudian datang ke sofa, menarik tanganku.


“Jom” dan aku hanya menurutinya.


***

Keadaan Restoran Hameed di seberang Wisma Reelan sibuk pagi itu.  Ramai yang bersarapan sebelum memulakan tugasan harian.  Kami duduk di meja paling dalam, agak jauh dari orang ramai. Aku memesan sekeping roti telur bawang dan segelas teh tarik manakala Kak Rina memesan sekeping tosai dan minuman yang sama.


“Betul ke ni?  Ya Allah, macam tak percaya” ujarku sebaik Kak Rina menghabiskan ayatnya.


“Kakak pun tak percaya, tapi itulah kebesaran Allah. Sesuatu yang dah lama kakak tunggu akhirnya terjadi juga.  Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kakak.  Lepas tiga hari adik tak datang kerja, Mama datang ke rumah.”


 “Mula-mula kakak ragu-ragu, tapi Mama bersungguh-sungguh minta tolong.  Tengok air muka Mama, terasa kesian.  Kakak tak terus bagi jawapan.  Fikir dulu, lepas tu minta pendapat Abang Aeril.  Esoknya kakak terus datang sini.”


Kakak berhenti bercakap.  Air teh diteguk sedikit.  Kemudian menyambung ceritanya.


“Macam tak percaya dik, Mama peluk kakak.  Berkali-kali dia ucapkan terima kasih.  Kakak bagitau, kakak setuju kerja di sini, tapi dengan beberapa syarat.”


“Apa syaratnya?”


“Yang pertama, kakak nak kerja tiga kali seminggu saja.  Yang kedua, kakak minta Mama janji jangan marah-marah adik lagi.  Yang ketiga….”


Ayat kakak tergantung di situ.  Airmatanya mula bergenang.  Dengan sebak, dia menyambung “kakak minta Mama terima kakak sebagai anaknya sendiri dan maafkan arwah umi.  Kakak kata, kakak dah tak ada sesiapa lagi melainkan Mama, adik dan Abang Lan.” 


Airmataku turut bergenang. 


“Mama setuju dengan syarat kedua dan ketiga.  Malahan Mama minta maaf atas apa yang dah berlaku selama ini.  Tapi syarat pertama tu, Mama minta kakak pertimbangkan untuk bekerja sepenuh masa.  Kakak tak sampai hati nak tolak, lagipun ini peluang untuk kakak berbaik dengan Mama.  So, here I am, working here full time  kakak menghabiskan ceritanya. 


Alhamdulillah, bisikku di dalam hati.  Terima kasih ya Allah, di atas berita gembira ini.  Satu lagi hikmah kini terserlah.  Dengan aku menghilangkan diri, Mama telah menerima kakak.


*****


“Assalammualaikum Ma” aku tuturkan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke bilik Mama. 


Mama mengangkat mukanya, memandang terus ke arahku.  Riak wajahnya tenang saja.  Aku pula masih berdebar-debar.  Aku aturkan langkah, berjalan perlahan ke arah Mama.


“Bila balik?”


“Malam tadi.” Aku semakin hampir kepada Mama.  Aku hulurkan tangan, Mama sambut.  Aku cium tangan Mama dan kemudian memaut bahunya.  Perasaan sebak menghambat hati, diiringi perasaan bersalah. 


“Maafkan Adik.” Itu saja yang mampu keluar dari bibirku.  Airmata mula bergenang.


“Dah puas menyorok?”  itu pula yang Mama tanyakan.  Aku diam.  Ingat, jangan menjawab, bisik hatiku.


“Ma, Adik minta maaf” aku ulangi permohonan maaf.  Please Ma, say you forgive me, hati berbisik lagi.


 That easy Reen?  You have problem, you disappear.  Tinggalkan Mama sorang-sorang.  Mana nak uruskan hal syarikat, nak cari orang ganti tempat kamu, risaukan kamu lagi.  Is this how a responsible daughter behave? Mula-mula hilang seminggu.  Yang kedua ni dekat tiga minggu.  After this when you have problem, how long are you going to disappear?  Sebulan?  Setahun?  Do you care that we are so worried about you?”


Kalau bebelan Mama dah bercampur Bahasa Melayu dan Inggeris, sahlah Mama marah.  Dan satu lagi tanda dia marah, dia akan panggil aku Reen.  Panggilan Adik hilang entah ke mana. 

Aku capai tangan Mama dan genggam erat-erat.  Airmata bergenang semula.  Perasaan bersalah yang teramat sangat menghambat tangkai hati.


“Sorry Ma, Adik janji tak akan buat lagi.  Adik sedar Adik dah banyak susahkan Mama.  Maafkan Adik” aku rayu kemaafan dari Mama.  Sesungguhnya aku amat memerlukan kemaafan itu.


Don’t promise me anything.  Grow up Reen.  Falling in and out of love is just a small part of life.  Banyak lagi yang perlu kita hadapi dalam hidup ni. Mama risau, entah di mana kamu.  Sihat ke, makan minum kamu macam mana.  Di mana kamu tinggal.  Ada duit ke tidak.  If anything happened to you, we don’t even know where to look for you.”.”


Senangnya Mama kata jatuh cinta dan putus cinta itu hanyalah sebahagian kecil kehidupan.  Sedangkan bagiku cinta sangat penting.  Cinta memberi aku sinar dalam kehidupan, sinar yang menceriakan setiap hariku.  Namun tiada apa yang boleh aku lakukan, melainkan membiarkan saja Mama meluahkan kemarahannya. 


“Maafkan Adik Ma” aku ucapkan lagi, setelah lama Mama mendiamkan dirinya.  Ketika itu pintu bilik dan di sebalik pintu Kak Rina muncul.


Come here Rina,” Mama memanggil.  Kak Rina menyertai kami di sofa. 


You both are my daughters.  Mama sayang kamu berdua.  Mama minta maaf dengan Rina atas apa yang Mama dah buat pada kamu sebelum ini.  Adik, maafkan Mama juga kerana terlalu bertegas dan garang dengan kamu.”


Air jernih jatuh dari mata Mama.  Aku sebak dan Kak Rina juga berair matanya.


 “Mama tak buat apa-apa kesalahan, macam mana Rina nak maafkan.”  Ujar Kak Rina.  Rangkulan mama dilepaskannya.  Kemudian Kak Rina cium pipi Mama, mula-mula belah kanan, kemudian belah kiri. 


Aku bersyukur melihat Mama dan Kak Rina sudah berbaik.  Terserlah satu lagi hikmah dari takdirMu ya Tuhan.


“Adik, jangan tinggalkan Mama lagi.  Apa masalah yang datang.. jangan lari, jangan sembunyi.  Kita hadapi bersama…sebagai sebuah keluarga.  Susah senang, kita tanggung sama-sama.  Selama ni, bukan Mama tak berminat dengan masalah Adik.  Cuma Mama nak Adik kuat…cekal.  Jangan lembik, sikit-sikit mengadu… sikit-sikit merajuk.  Mama tak mau Adik perangai macam tu lagi.””


Airmataku merembes keluar.  Sebelum ini setiap kali ada perbalahan di antara kami, Mama akan bertegas.  Dan ketegasannya sering membuatkan aku merajuk, berhari-hari bermasam muka dan pernah juga tidak bertegur sapa dengan Mama.  Betapa berdosanya aku terhadap Mama. 


“Maafkan Adik Ma.  Adik faham sekarang.  Adik akan berubah.”


“Dah lama Mama maafkan Adik” ujar Mama sambil mendakapku.


Akhirnya kami bertiga berpelukan, masing-masing masih menangis.  Tangisan keinsafan buat diriku, yang juga diiringi dengan tangisan kesyukuran.


**********


Berselera aku makan.  Dua kali tambah nasi.  Mana tidaknya, sudah lama tidak merasa air tangan Mak Kiah.  Apatah lagi hampir tiga minggu sekadar menelan biskut, roti dan mi segera di waktu malam.  Gulai kurma daging dengan kentang, sayur petola tumis air dengan suhun, sambal belacan dan cencaru belah belakang adalah menu makan malam kami. 


“Adik, sebenarnya ke mana Adik menghilang dekat tiga minggu?” soal Kak Rina.  Mama yang sedang mencubit ikan cencaru mengangkat mukanya, turut menanti jawapanku yang masih sibuk mengunyah.


Dengan beria-ia aku menceritakan di mana aku tinggal serta pengalaman hampir tiga minggu tinggal di homestay.  Terbayang-bayang wajah Mak Jah, Fina, Pak Akob, Elida dan anak-anaknya dan…. Naim.  Naim?  No way!  Tak mahu aku mengingati mamat sengal yang menuduh dan bersangka buruk terhadapku.  Dah lah tu, suka menyakat pula.


“Adik buat apa di sana?  Tak bosan ke?”  barulah kali ini Mama bersuara.


 “Tak Mama, tak rasa bosan.  Tapi lama-lama Adik mula rindu kat Mama, arwah Papa, Kakak, Abang.  Bila teringat Muaz, Adik rasa sedih, kecewa, rasa diri ini bodoh pun ada.  Bila teringatkan Mama… Adik rasa bersalah, rasa takut…. Mama mesti marah Adik”


 “Habis, sepanjang kat sana Adik bersedih aje lah?” soal Kak Rina. 

“Mula-mula sedih tapi perlahan-lahan rasa sedih mula kendur.  Mak Jah banyak beri nasihat.  Adik bergaul dengan Mak Jah dan anak-anaknya, terutama anak bongsunya Fina.  Jadi sikit-sikit dapat lupakan kesedihan.”


Muncul wajah Fina di ruangan mata.  Terkenang kembali perkara-perkara yang kami lakukan bersama.  Tanpa sedar tersimpul senyuman di bibirku.  Eh… kenapa wajah Naim pun muncul?  Kacaulah dia ni.  Tapi memang di beberapa peristiwa… bila ada Fina, adalah Naim.  Terus mati senyumanku bila wajah dan gelagat Naim muncul di ruangan mata.  


“Mama dengar ada jejaka kacak kat homestay tu,” ujar Mama sambil tersenyum.  Rupa-rupanya Mama sedang memerhatikan gelagatku.


Ini mesti Abang yang bercerita.  Aku mencebik.  Ya, memang dia kacak tapi apa guna wajah yang kacak kalau perangai menjengkilkan.


 “Huh… kacak lagi Muaz.  Mula-mula dia macam baik je, bagi nasihat kat Adik.  Tapi makin lama tinggal kat situ, Adik tak suka kat dia.  Dia tuduh adik yang bukan-bukan.  Rupa-rupanya dia kawan sekolah Abang.”


 “Tak semestinya apa yang kita suka itu elok, dan apa yang kita tak suka itu tak elok.  Kadang-kadang apa yang kita nampak tak sama dengan kisah sebenarnya.  Entah-entah orang yang kita sayang tak sayangkan kita, orang yang kita benci boleh jadi orang yang kita sayangi satu hari nanti.”


Aku diam, tapi dalam hati membenarkan kata Mama.  Aku sayangkan Muaz sebagai kekasih namun dia hanya sayangkan aku sebagai sahabat.  Aku redha, ini yang telah tertulis untukku.  Selepas ini aku akan jaga hatiku, agar tidak mudah jatuh cinta kepada mana-mana lelaki.  Terbayang pula wajah Naim.  Issh, simpang malaikat 44.  Aku cuma tak suka padanya, bukan benci.  Namun tak mungkin dia akan jadi orang yang aku sayangi.

Saturday 22 June 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 18

Kawan2 yg sudi membaca, terima kasih atas sokongan anda semua.  Minggu ni hot topicnya jerebu.  Flight saya tertunda sebab jerebu.  Masa tercongok kat airport rasa menyesal pula tak bawa lappy sekali, kalau bawa dah boleh upload bab ni awal sikit.
Bagi komen ya, supaya saya boleh improve di masa akan datang.
Luv u ols!


Bab 18 – Naim Zakaria

Akhirnya blog berkenaan resort kecilku ini berjaya disiapkan.  Aku memilih untuk membuat blog kerana ia lebih mudah diselenggarakan berbanding laman web.  Fina yang berjanji hendak menolong, akhirnya sibuk menghadiri temuduga.  Maka terpaksalah aku menyiapkannya seorang diri.  Selepas ini aku akan membuka satu akaun Facebook pula.  “Teratak Khadijah” nama yang aku pilih untuk resort kecil ini, sempena nama emak.

“Assalammualaikum” suara yang sudah ku kenali kedengaran dari kaunter pendaftaran.  Aku keluar sambil menjawab salam dan wajah comel itu sudah sedia menanti.  Wajahnya tenang, walaupun tiada senyuman.  Sejak ketegangan yang aku cetuskan melalui tuduhan melulu terhadapnya, dia sudah lokek dengan senyuman.  Tetapi dengan ahli keluargaku yang lain, dia kekal mesra.  Dia kelihatan berbeza hari ini, berpakaian seperti hendak keluar ke bandar, wajahnya ditampal bedak nipis, matanya dicelakkan dan bibirnya diwarnai lipstik berona coklat cair.  Sejak dia datang ke mari, inilah kali pertama aku melihatnya bersolek.  Wajah yang sudah sedia manis tambah berseri bila disolek tipis begitu.

“Saya… berapa sewa yang perlu saya bayar?”

Matanya merenung ke kaunter.  Dibahunya tergalas backpack, yang dibawa ketika dia tiba di sini.

“Awak … nak balik?”

Izureen menjawab soalanku dengan anggukan.  Satu perasaan yang tidak ku fahami menjalar di tangkai hati. 

“Sekarang?” aku inginkan kepastian. 

“Ya.  Tolong kirakan berapa yang perlu saya bayar, termasuk kos makan tengahari di rumah awak.  Nanti saya datang balik, nak jumpa Mak Jah dulu.” 

Dia pergi.  Aku masih terpaku.  Kenapa hati merasa berat dengan berita ini?  Kenapa hati bagai tidak mahu dia pergi? 

**********
Deruan air sungai di bawah sana kedengaran melesukan, bagai mengerti kesayuan yang menjerut di sudut hati.  Aku tahu satu hari nanti dia akan balik ke tempat asalnya.  Tetapi mengapa hati berat menerima berita yang disampaikan tadi?  Bolehkah aku meminta agar dia jangan pergi?  Bukankah dia hanya tetamu dan setiap tetamu yang menginap di sini pasti akan pulang.  Bezanya dia tetamu yang sangat istimewa.  Muncul tanpa diduga, berlama pula di sini.  Dia seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada keluarga kami.  Semua sukakan dia – emak, abah, Fina, malahan Elida serta anak-anak dan suaminya juga menyenangi dia. 

“Naim” dia memanggil lembut, membuatkan aku berpaling ke arahnya.

“Saya dah agak, mesti awak ada di sini.  Sesuailah tempat ni untuk awak.  Awak sepatutnya berkawan dengan sungai, pokok, bukit sebab semua benda ni tak akan marah dengan awak kalau awak tuduh mereka yang bukan-bukan.”

Dalam lembut bicaranya, dia menyindir aku.  Biarlah.  Tentunya dia masih marah.  Peristiwa kelmarin takkan semudah itu luput dari mindanya.  Ditambah pula dengan tuduhan dan syak wasangka yang aku lemparkan kepadanya sebelum ini.  Entah mengapa, aku ikhlas mahu memohon maaf, namun bicaranya kelmarin menerbitkan rasa ingin menyakatnya.  Malah aku rasa terhibur melihat gelagatnya.  Wajahnya yang berkerut-kerut dan bibirnya yang diketap ketika marah dan pipinya yang bertukar merah ketika aku mengusiknya, memberi satu keseronokan.  Sudah lama aku tidak merasa keseronokan mengusik seorang gadis. 

“Awak dah kira berapa saya kena bayar?”  terus saja dia bertanya bila aku hanya diam merenungnya. 

“Abang awak dah bayarkan.”  Sebetulnya Izelan hanya membayarkan separuh daripada jumlah keseluruhan sewa rumah inap sebanyak 14 hari, dan dia telah menetap selama 17 hari.

“Tak mungkin.  Abang ada bagi saya duit.”

Telefon bimbit dari dalam beg galasnya dikeluarkan.  Kemudian dia mendail satu nombor.  Lama dia menunggu namun panggilan tidak berjawab. 

“Betul ke ni?” soalnya, mahukan kepastian.  Aku hanya mengangguk. 

Dia membuat panggilan sekali lagi.  Namun tetap sama, tiada jawapan.

“Ala abang ni, tak jawab pulak” ujarnya perlahan, namun dapat aku dengar.

“Baki yang tiga hari lagi?” Aku terlupa, dia seorang akauntan.  Tentulah cekap kemahiran matematiknya.

“Diskaun untuk awak.  Saya dah janji dengan Izelan akan bagi awak diskaun.”

“Makan tengahari?”

“Itu diskaun dari emak pula.”  Aku senyum.  Pandai-pandai aku katakan emak memberi diskaun. Tapi sesungguhnya kami tidak berkira tentang perkara sekecil ini.

“Tak bolehlah macam tu, banyak sangat diskaunnya.”

“Tak apa.  Kami seronok dengan kehadiran awak.  Harap-harap jangan lupakan kami.”

Riak wajahnya mula berubah.  Tidak tegang seperti dia baru sampai di bukit ini.

“Terima kasih di atas layanan awak sekeluarga sepanjang saya di sini.  Maafkan saya kalau saya ada buat apa-apa kesalahan.”

Aku renung wajahnya.  Selepas ini entah bertemu lagi entah tidak. 

“Saya pun minta maaf.  Apa yang saya dah lakukan, juga apa yang saya ucapkan…. harap awak maafkan saya dan jangan simpan dalam hati ya.” 

Dia diam, merenung sungai di bawah.  Apakah itu bermakna dia masih belum memaafkan aku?

“Maaf juga sekiranya awak tak selesa ketika di sini.  Tempat ni masih baru, masih banyak yang belum disiapkan.”

Jeda.  Lama.  Entah apalah yang bermain di fikirannya.  Ada rasa sayu di dalam hatiku.  Mengapa tiba-tiba sedih dengan perpisahan ini?

“Bila-bila senang, datanglah lagi.  Bawa sekali keluarga awak.  Saya harap bila awak datang lagi, awak datang dengan kegembiraan.  Saya doakan awak dilimpahi kebahagiaan di samping keluarga awak.”

Dia masih diam. 

“Jaga diri awak ya.  Kalau ada masalah, mengadulah dengan Allah.  Dia sentiasa ada.”

Dia mengangguk.

Be positive all the time and be cheerful.  Saya… saya….”

Ah, tiba-tiba aku tergagap pula.

“Saya suka lihat… senyuman…awak.  Dan mata… awak…. cantik.”

Huh, lega.  Dapat juga ku habiskan ayat itu.  Aku pasti akan terkenang senyumannya dan matanya.

Pandangannya berkalih ke arahku.  Buat seketika, kami bertatapan.  Masing-masing membisu.  Hanya renungan mata kami seolah-olah berbicara.  Dari sinaran matanya, aku tahu dia juga sedih hendak meninggalkan kami.  Namun, tempatnya bukan di sini.  Tidak selamanya dia boleh berada di sini.  Dia harus kembali ke dunianya yang sebenar.

“Izureen, awak masih marahkan saya?”

Terus dia membuang pandang.  Matanya kini beralih ke arah kakinya yang sedang menguis-nguis tanah.

“Saya harap awak dah maafkan saya.”

“Saya pergi dulu.” 

Itu jawapan yang muncul dari bibirnya.  Dan dia berlalu meninggalkan aku yang kaku melihat dia pergi.  Ayat terakhir itu bagaikan belati yang menusuk hati.  Kenapa hati berat membiarkan dia pergi?  Kalaulah aku boleh, aku akan menahannya dari pergi.  Tinggal saja di sini.  Agar setiap hari aku dapat melihat wajahnya, mengusiknya dan berbual dengannya. 

Apakah memang sudah sampai masanya untuk dia pulang, atau dia sudah tidak sudi tinggal di sini kerana apa yang telah aku lakukan kepadanya?  Aku dihimpit rasa bersalah, yang berselang seli dengan rasa terkilan kerana dia sudah pergi.

Dia semakin menghilang daripada pandangan.  Aku masih berdiri di atas bukit kecil ini.  Merenung batu tempat dia berdiri dengan baju kurung merah jambu.  Kemudian memandang hammock yang menjadi tempat pembaringannya di setiap petang.  Deruan air sungai kedengaran sayup dari sini, diiringi kicauan burung dan hembusan bayu petang yang lembut dan mendamaikan.

Di sini aku kembali, membawa hati yang luka.  Hati seorang lelaki yang dikhianati oleh orang yang amat dicintainya.  Dikelilingi kasih sayang keluarga, hatiku terubat.  Aku temui damai di sini, juga dalam doa dan tangisan yang aku persembahkan kepadaNya.  Semoga Izureen juga telah menemui damainya di sini dan kembali ke dunia asalnya dengan semangat yang baru.

Nafas ku hela dan perlahan-lahan ku lepaskan.  Ucapan “Alhamdulillah” aku tuturkan.  Bersyukur kerana temujanji dengan Dato’ Wirda yang sudah dua kali tertangguh, tertangguh lagi buat kali ketiga.  Jika tidak, pasti aku dalam perjalanan ke Villa Mahabbah sekarang dan jika itu yang terjadi, aku tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada Izureen.



Sunday 16 June 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 17

Alahai, nak upload bab 17 last weekend tapi line internet slow macam siput.

OK, bab 17 ni kita relaks sikit, tak ada gaduh-gaduh.  Cool down dulu, sambung gaduh bab lain.


Bab 17 – Izureen


Kicauan burung di pagi hari memberikan irama yang mendamaikan, diiringi deruan sungai yang mengalir tenang. Bayu yang berhembus lembut tambah mendamaikan, memberi ketenangan ke dalam hatiku. 


Terasa damai di sini, tiada yang menyesakkan fikiran.  Jauh dari Muaz, jauh dari  kesibukan di pejabat, juga jauh dari bebelan sekali sekala Mama.  Namun, inikah yang aku mahukan?  Ya, aku mahu jauh dari Muaz.  Lebih jauh lebih baik.  Lebih lama berjauhan, lebih baik lagi.  Mudah-mudahan dapat melupakan dia terus.  Kalau itu mustahil, sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa cintaku terhadapnya.  Jika itu juga mustahil, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa cintaku terhadapnya.


Namun, benarkah damai ada di sini?  Atau damai sebenarnya di dalam hati, tidak kira di mana jasad berada.  Damaikah jika hati disakiti?  Sungguh aku terasa dengan tuduhan melulu Naim.  Aku rasa terhina dengan tuduhannya.  Adakah aku dinilai dari penampilanku?  Kerana keterampilanku sebegini, senang-senang dia menganggap aku tidak bermaruah. Atau, adakah kerana dia menyamakan aku seperti gadis-gadis yang pernah dikenalinya? 


Aku harap lelaki menjengkelkan itu akan benar-benar menjauhkan dirinya daripadaku.  Jangan pula dia gunakan adiknya Fina untuk mendekati aku.  Huh, tak boleh ingat kata-katanya yang menyegat.  Belum pernah aku jumpa lelaki bermulut laser seperti dia.  Ada ke patut, baru saja minta maaf, dia sakiti lagi hati aku.  Padan muka kau Naim, aku takkan maafkan kau!

Bunyi pesanan whatsapp mematikan rayauan mindaku.  I-phone yang tersimpan di dalam kocek seluar bermuda aku keluarkan.


“Izu, di mana kau?  Really need you now.  In trouble.  Kau aje yang boleh tolong” begitulah yang tertulis di dalam pesanan Muaz.  Aku baca sekali lagi pesanan itu.  Ya, kedengaran seperti dia di dalam kesusahan.  Sejak aku menghilangkan diri, sudah banyak pesanan yang dihantar, satu dua sahaja yang aku balas.  Itupun dengan jawapan seringkas yang boleh.  Tetapi pesanan yang ini mengundang resah di dada sebaik sahaja aku membacanya. Apakah yang perlu aku buat? 


Dia kawan aku.  Kawan baik yang amat akrab.  Yang aku cintai dalam diam.  Tidak pernah dia menyakitiku.  Jika dia benar-benar dalam kesusahan, aku harus menolongnya.  Lupakan saja soal perasaan, soal cinta dalam diam yang tidak berbalas.  Aku tidak boleh mementingkan diriku.  Apa guna mengaku kawan jika aku tiada di saat dia memerlukan.  


“Izuuuuu” dia menjerit panjang sebaik mendengar suaraku di talian.  Dada mula berdegup kencang saat mendengar suaranya.  Oh, betapa aku rindukan suara itu.


“Kau kat mana sayang?  Dah masuk tiga minggu kau tak da.  Tetiba je kau menghilang.  Call tak jawab.  Message tak jawab.  Apa terjadi hah?  Kau sihat tak?   Kak Rina kata kau bercuti, tapi tak nak bagitau kat mana.  Apasal tetiba je pergi bercuti, tak bagi tau aku pulak tu?  Kau dah balik KL ke ni?”


Bertubi-tubi soalan diajukan, tidak memberi aku peluang untuk menjawab.  Aku terkedu, memikirkan bagaimana hendak menjawab Muaz.


“Izu… hello…, are you there?  Hello,”


“Ya, aku adalah.  Aku dengar kau”


“Apasal kau diam je?”


“Dah engkau tak berhenti-henti bercakap, macam mana aku nak jawab!”


“Ok, ok, sorry.  Aku happy sangat bila kau call.  Aku rindu sangat kat kau, tau tak?  Risau tau, takut apa-apa terjadi pada kau.”


Hiba, itulah yang aku rasa bila mendengar luahan rindunya.  Juga terharu kerana dia risaukan aku, bermakna dia masih mengambil berat tentang diriku.


“Tak payah risaulah, aku OK” aku cuba mengawal perasaan, harap-harap dia tidak dapat mengesan nada hiba di dalam suaraku.


“Kau pergi buat umrah ke?” dia menebak.


“Apa yang kau merepek ni Muaz, bila masa pulak aku pergi umrah.”


“Dah tu, lama sangat kau menghilang, mendadak aje perginya.  Tak dapat contact pulak tu.  Aku fikir orang yang buat umrah je pergi lama.”


“Kau OK?” giliran aku pula bertanya.


“Ok lah, tapi tak bestlah kau tak ada.  Aku rindu sangat kat kau. Are you back in KL?”


“Belum.  Aku masih outstation.”


“Kat mana?”


“Adalah”


“Apasal secretive sangat ni?  Selalunya tak macam ni.  Ni mesti ada sesuatu ni.” 


Ya, memang ada.  Aku lari Muaz, lari dari engkau.  Aku kecewa bila rupa-rupanya selama ini cinta yang aku semai dalam diam tidak membuahkan hasil.  Lantas aku terdampar di sini, mencari damai yang belum tentu akan aku miliki.


“Izu,” panggilannya membuat aku tersedar.


“Ya”


“Bila kau balik KL?”


“Tak lama lagi” itu yang aku jawab walaupun aku sendiri tidak pasti bila aku akan pulang.


“Peliklah.  Mama kau tak marah ke kau cuti lama-lama?”


Tentu sekali mama marah.  Kata Abang, mama bukan setakat marah, malah kecewa dengan tindakanku.  Bagi mama tindakan aku ini sangat keterlaluan.  Maafkan Reen mama.  Reen terpaksa.


“Izu!” kali ini kuat tengkingannya.


“Oi aku belum pekaklah!”  aku memarahinya.  Terdengar tawa kecil di hujung talian.  Entah apa yang melucukan baginya.


“Mesej kau tadi, apa hal tu?” 


“Tak boleh cakap dalam phone la.  Aku kena jumpa engkau.”


“Penting ke?” aku mahukan kepastian.


“Ya lah, sangat-sangat penting.  Cakaplah kau kat mana, aku datang jumpa kau.”


“Tak payahlah.  Nanti aku dah balik, kita jumpa ya.”


“Cepatlah balik.  Kau kena tolong aku.”


Problem apa?”


“Kan aku dah kata tadi tak boleh cerita dalam phone.  Aku mesti jumpa kau.”


“Ok, nanti kita jumpa.  I got to go.  Bye!”


Belum sempat Muaz membalas, terus aku putuskan talian.  Otak mula berputar.  Mencernakan perbualan dengan Muaz tadi.  Dia kedengaran ceria, seperti kebiasaannya.  Tapi bersungguh-sungguh dia mahu berjumpa denganku untuk menceritakan masalahnya.


Adakah masanya sudah sampai untuk aku pulang?  Bersediakah aku berhadapan dengan Muaz?  Kuatkah aku? Mampukah aku membendung perasaan cinta kepadanya?   Aku harus pulang.  Takkan selamanya aku tinggal di sini.  Aku mesti kuatkan semangat, cekalkan jiwa dan tabahkan hati untuk mengharungi takdir yang telah ditentukan untuk aku.  Sudah takdirNya bahawa aku dan Muaz hanya boleh menjadi sahabat.  Terimalah realiti ni.  Baliklah.  Hatiku berbisik.


Satu pesanan whatsapp masuk.  Kak Rina bertanya khabar.  Aku balas mengatakan aku sihat dan selamat.


“Bila nak balik, kakak rindulah.  Tak ada orang temankan kakak beli barang-barang kahwin.”


Aku senyum membaca pesanan kakak.  Tentunya kakak sedang sibuk sekarang dengan persiapan majlisnya.  Tinggal dua bulan setengah lagi kakak akan menjadi isteri orang.  Maknanya tinggal dua bulan setengah lagi Muaz juga akan menjadi suami orang.  Bagaimanalah nanti menghadapi Muaz, di majlis persandingannya yang akan dijalankan serentak dengan majlis Kak Rina dan Abang Aeril.


Masuk lagi satu pesanan.  Kali ini Kak Rina menghantar simbol smiley dalam wajah bersedih, diikuti ayat “tak bestlah adik takda.  Rindulah.  Baliklah.”


Airmataku tumpah jua.  Ya kakak, adik juga rindukan kakak, bisikku di dalam hati.

Saturday 8 June 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 16

Minggu yang mencabar.  Terpaksa outstation 2 hari kerana tugas makan gajiku.  Perut pula diserang cirit birit.  Alhamdulillah, berjaya juga disiapkan bab ini.
Bab 16 – Naim Zakaria


Hari Isnin.  Tempat ini menjadi sunyi semula.  Semua penyewa ketiga-tiga chalet telah pulang semalam.  Tinggal penghuni tetap rumah inap yang entah bila akan balik ke tempat asalnya.  Penghuni tetap, ya memang sesuai aku gelarkan dia begitu.  Sudah dua minggu dia di sini.  Baguslah, terus sajalah tinggal di sini.  Tak perlu aku bersusah payah mencari pelanggan lain.  Abangnya yang baik hati itu sudah pun membayarkan separuh daripada sewa rumah inap selama dua minggu.


Sambil aku mengemas chalet ketiga, terkenang peristiwa semalam.  Terbit senyuman di bibir bila teringat wajah terkedunya ketika aku mengusiknya dengan kata-kataku.  Terngiang-ngiang di telinga dia mengatakan aku ‘annoying’ dan ‘irritating’.  Aku tergelak kecil.  Rasa seronok dapat menyakat dia.  Memang asalnya aku sekadar mahu memohon maaf daripadanya.  Tetapi bila dia memarahi aku, lain pula jadinya.  Asalnya aku marah sedikit dengan tuduhannya.  Apa dia ingat aku ni mat skodeng ke?  Tolong sikit, banyak lagi kerja yang berfaedah yang boleh aku buat.  Skodeng orang dapat dosa, nak buat apa?  Dosa yang ada pun entah terampun olehNya entah tidak, masakan aku hendak menambah dosa. 


Aneh, rasa marah itu pantas menghilang.  Wajah manis Izureen yang bertukar kelat membuatkan aku lupa amarahku.  Tanpa disangka, aku dapat mengawal kemarahan dan sebaliknya, entah dari mana terbit pula idea untuk menyakatnya.  Dan aku rasa seronok sangat selepas berbuat begitu.  Keseronokan yang membuatkan aku terlupa bahawa aku sebenarnya bukan mendapat kemaafan yang aku inginkan, tetapi membuatkan dia lebih marah kepadaku.


“Along” jeritan Fina mematikan lamunan.  Semalam menjelang Asar dia sampai daripada KL.


“Hah.. apa lagi… naik lah… tolong Along kemas.  Banyak nak kena buat ni.”


Sorry Along, orang tak boleh tolong.  Orang nak temankan Kak Reen pergi bandar.”  Fina membuat muka kesian sambil menapak menaiki tangga chalet.


“Buat apa pergi bandar?”


“Entahlah, dia kata ada urusan kat bank.”


“Lama ke pergi?”


“Manalah orang tau!  Eee… Along ni, banyak tanya pulak.  Tanyalah Kak Reen sendiri!”  Fina mula merengus. 


Nampak gayanya terpaksalah aku sendirian mengemas ketiga-tiga chalet.  Sepatutnya semalam aku sudah mula mengemas, tetapi hujan menyebabkan aku menangguhkan kerja-kerja mengemas ke hari ini.


“Orang pergi dulu!”  terus dia keluar. 


“Fina, nanti tolong belikan catridge ink printer!” aku pula melaung.


“Ok” jawabnya.  Terus saja berlalu pergi. 


“Fina!” aku melaung lagi, kali ini sambil menjenguk ke luar pintu.


“Apa lagi?”


“Laksa!”


Fina berpaling dan terus pergi. 



************


“Dah siap semuanya?” tanya emak sambil mencedok nasi ke pinggan Abah.  Abah baru saja pulang dari kebun.


“Dah mak, tinggal nak basuh aje” jawabku, merujuk kepada cadar, sarung bantal, selimut dan tuala yang telah ku kutip dari ketiga-tiga chalet dan digantikan dengan yang baru.  Lantai juga sudah disapu dan semua tandas sudah dibersihkan.  Empat jam aku bekerja sendirian menyiapkan semuanya.  Biasanya emak dan Fina membantu.  Badan sudah merasa letih. Selera makan menghilang dek keletihan.


“Tak makan?” pendek soalan abah bila melihat pinggan di hadapanku masih kosong.


Aku tidak menjawab, sebaliknya mencedok sedikit nasi.  Letih pun aku harus makan, apatah lagi emak sudah bersusah payah menyiapkan hidangan. 


“Tak boleh macam ni Naim.  Kena cari orang bantu.  Larat ke kamu nak buat semuanya sendiri.  Sementara Fina ada, dia tolonglah.  Esok bila dia dah kerja, tak terbuat kamu seorang.  Villa Mahabbah tu nak dijenguk juga.”


Betul kata abah.  Bukan aku tak terfikir akan hal ini.  Aku memang bercadang mendapatkan pekerja untuk menguruskan hal-hal pembersihan dan pengemasan chalet, tetapi tidak sangka secepat ini chaletku mendapat sambutan.  Alhamdulillah, setiap minggu ada saja tempahan. 


“InsyAllah Abah, Naim akan cari orang.  Tak sangka pula secepat ini chalet-chalet tu mendapat sambutan.”


“Rezeki datangnya daripada Allah, Naim.  Bila Dia beri, kita bersyukur dan berdoalah agar rezeki itu berkekalan dan bertambah.  Bila Dia ambil, jangan pula kita mengeluh.  Mungkin itu tanda Dia sayangkan kita dan mahu menduga kita.”


Aku mengangguk, mengiyakan kata-kata Abah.  Dalam kepenatan ini tiada mood hendak berbual panjang.


“Eh, Fina mana?  Budak Reen tu tak datang makan ke?” Abah bertanya.


“Pergi ke bandar.  Entah apalah dibuatnya budak berdua tu, dah berjam-jam perginya, tak balik-balik lagi.”


Emak menjawab.  Aku mengerling jam di dinding.  Betul, sudah empat jam mereka pergi.  Pernah sebelum ini mereka keluar bersama ke bandar, setakat dua jam, mereka sudah pulang.  Mungkin ada urusan yang memakan masa yang agak lama, fikirku.  Entah-entah Izureen mengajak Fina menonton wayang, atau membeli-belah.  Sudah hendak masuk minggu ketiga dia di sini, tentu dia rindukan aktiviti-aktiviti sebegitu, yang lazimnya dilakukan oleh gadis-gadis bandar.  Bukannya aku tidak tahu perangai gadis bandar. 


Selepas bersolat Zohor, aku melelapkan mata seketika, merehatkan diri yang kepenatan.  Bila terjaga, sudah pukul 5.30 petang.  Aku segera bangun, berwuduk dan menunaikan solat asar.  Kemudian aku keluar dari rumah.  Aku berjalan ke arah sungai.  Kedengaran riuh rendah suara suara orang berbual-bual, yang paling kuat sekali suara si Fina.  Sesekali terdengar dia ketawa, entah apalah yang melucukan.  Rupa-rupanya emak, Fina dan Izureen sedang berbual-bual.  Selepas memberi salam, aku duduk di sebelah emak.  Kebetulan itulah sahaja kerusi yang masih kosong dan kebetulan juga, tempat dudukku betul-betul bertentangan dengan Izureen. 


“Kenapa tiba-tiba diam, tadi dengar rancak berborak?” aku bertanya apabila mereka semua senyap.


“Lama kamu tidur” kata emak.  Soalanku tadi tiada siapa yang menjawab.


“Letih mak.  Ada assistant seorang ni, sekali dapat berjalan tak ingat nak balik.  Ada ke patut bos buat semua kerja” aku jawab teguran emak sambil menarik tudung Fina ke belakang, dengan niat mengusiknya.


“Adoi… apa la Along ni.  Orang assistant tak bergaji tau.  Suka hati oranglah nak tolong ke, tak tolong ke” si becok menjawab sambil membetulkan tudungnya.


“Beli tak laksa?” 


“Beli.  Suruh orang beli macam-macam, duitnya tak bagi.”  Fina mencebik.


“Dah kamu tak menyabar nak pergi, tak sempatlah Along bagi.  Nanti Along bayar balik.”


“Bayar double.”  Fina tersengih menyeringai.  Jarinya membuat isyarat peace.


“Dahlah tolong tak ikhlas, nak untung pula tu.  Ni nak ikut perangai Yahudi la ni.”


Aku menjawab.  Habis aku bercakap tapak tangan Fina hinggap di lenganku.  Aduh sakitnya, menyeringai aku dibuatnya.  Aku angkat tangan hendak melepuk dia tapi Fina sempat bangun menjauhkan diri.


“Issh korang ni, bila berjumpa ni la gayanya.  Kejap baik, kejap bergaduh.  Mak nak masuk buat air.  Nanti mak panaskan kuah laksa.  Fina, jom tolong mak.”


Maka tinggallah aku, duduk berhadapan dengan Izureen.  Dia memalingkan tubuhnya, tidak lagi menghadap ke arahku, sebaliknya berkalih ke arah sungai.  Melihat dia dari sisi, membuatkan aku teringat peristiwa semalam, lantas terkeluar tawa kecil dari bibirku.


Dia memandang sekilas bila aku ketawa.  Kemudian mengetap bibirnya.  Comel!  Terasa janggal pula bila berdiam sahaja.  Mulalah mulutku terasa gatal hendak bercakap.  Nak harap dia memulakan dahulu, tak usahlah.  Sepanjang dia di sini, aku dapati dia agak pendiam.  Biasanya dia lebih banyak mendengar dan akan bercakap apabila ditanya.


“Suka ya tengok sungai tu?”


Tiada jawapan kepada soalan pembuka bicara.  Mungkin dia masih marah kepadaku.


“Baik cuaca hari ni kan, selalunya petang hujan.”


Dia tetap senyap.


“Buat apa di bandar tadi?”


Masih tiada respons.  Aku lihat matanya kini merenung tanah.  Angin yang bertiup lembut membelai rambutnya.  Dari sisi dia memang nampak comel, apa lagi dengan rambut pendek, sesuai dengan raut wajahnya.


“Izureen, awak masih marahkan saya?”  akhirnya aku tanyakan soalan itu.  Lebih baik pergi terus kepada isu yang ingin dibicarakan.  Diam juga.  Tetap memandang ke tanah.


“Maafkan saya.  Saya betul-betul minta maaf.  Kita kan kawan, takkan tak boleh maafkan kawan awak ni?” aku buat muka kasihan dan bercakap dengan nada sayu.  Sungguh, aku mahu minta maaf.  Tak mahulah bersengketa dengannnya.


“Seorang kawan tak akan menuduh dan mengesyaki kawannya tanpa usul periksa.”  Akhirnya dia bersuara, tetapi tetap tidak mahu memandang ke arahku.


“Betul.  Saya setuju… saya salah.  Entah kenapa boleh tercetus fikiran yang salah di dalam minda saya.  Mungkin pengalaman silam menjadikan saya begini.  Tolonglah, maafkan saya.”


Kali ini dia berpaling, memandang wajahku.  Pandangan kami bertaut seketika.  Tiada riak marah di wajahnya.  Aku sedikit lega.


“Cuba letakkan diri awak di tempat saya.  Saya datang ke sini nak cari kedamaian hati, bukan nak bergaduh dan nak dituduh yang bukan-bukan.” 


Riak wajahnya tenang tapi nada suaranya sedikit tegang.  Perasaan lega yang sedikit ada kini menghilang.  Memang aku yang bersalah, jadi aku tiada pilihan.  Harus terus meminta maaf kerana aku mahu terus berkawan dengannya.  Aku harus pastikan penginap istimewa ini tidak marah lagi, manalah tau kalau-kalau kemarahannya nanti boleh menggugat perniagaan rumah inap dan chalet yang baru bermula.


Aku faham kalau dia masih marah kepadaku.  Jika aku di tempatnya, aku juga akan merasa marah.  Sebenarnya dalam rasa bersalah ini, ada perasaan seronok yang menghuni hatiku bila dapat menyakat dia.  Aku seronok melihat mukanya bertukar menjadi merah, keningnya berkerut dan bibirnya mencebik.  Mukaku palingkan ke arahnya, wajahnya nampak tenang, sambil dia merenung kakinya yang sedang menguis-nguis pasir.


“Jadi awak masih marahkan saya?”


Dia diam, tidak mengangguk, tidak juga menggeleng.


“Hati saya tak akan tenang, kalau awak masih marahkan saya.” 


Pesanan Izelan sebelum semalam berlegar di benak fikiranku.  Terasa bagai ada satu tanggungjawab yang besar tergalas di bahu.  Bagaimana mahu dilunaskan amanah itu jika tuan punya diri tidak menyenangi aku.


“Semalam sebelum balik, Izelan ada berpesan….”


Aku biarkan ayat itu tergantung.  Izureen berpaling, dan matanya pantas menangkap renunganku. 


“Dia minta kami jagakan awak.  Selama mana awak tinggal di sini, kami diminta memastikan kesihatan dan keselamatan awak terjaga.”


“Abang saya baik.  Dia takkan berkawan dengan awak kalau awak bukan orang yang baik.  Tapi tuduhan awak mengecewakan saya.”


 Akhirnya Izureen bersuara, menimbulkan rasa bersalah yang amat mendalam kepadaku dan menghilangkan rasa seronok menyakatnya.


“Apa tanggapan awak terhadap saya?  Seorang budak bandar yang bebas laku, yang tak ada maruah, yang tak ada pegangan agama.  Begitu ya?”


Terserlah amarahnya dalam ayat itu.  Matanya masih tidak melepaskan wajahku, memberikan renungan tajam yang menggambarkan kemarahannya.


Aku menelan air liur.  Terasa malu hendak mengaku, tetapi sebetulnya itulah tanggapan aku terhadapnya.  Sejak dari hari pertama dia hadir di sini, aku menganggapnya seperti Bella, Qisya, Ratna dan gadis-gadis lain yang pernah aku kenali.  Gadis kota yang hidup cara moden.  Yang menghabiskan malam mereka dengan berpesta, bertemankan pil ecstasy dan air haram, bebas berpelukan dan bertukar pasangan dari lantai tarian ke ranjang.  Cuma Ratna masih terkawal kelakuannya, tidak seteruk itu.  Mungkin kerana aku yang mengawalnya.  Namun, dalam limpahan kasih sayangku, Ratna terbabas juga.  Aku yang bodoh, mempercayainya seratus peratus sedangkan tanpa pengetahuanku dia berpeleseran dengan lelaki lain.  Anehnya, walaupun aku bertanggapan begitu terhadapnya, aku juga merasa ada kelainan pada gadis ini.


“Saya bodoh kerana salah mentafsir perasaan seorang lelaki.  Tapi saya tidak bodoh sehingga ke tahap menyerahkan tubuh saya hanya kerana cinta.”


Kata-katanya membuatkan aku terpempan.  Terasa bahu semakin berat dan dada semakin ketat dihimpit rasa bersalah.  Bodohlah kau ni Naim, aku mengutuk diriku sendiri.


“Sebetulnya saya tidak tahu kenapa saya sampai ke sini.  Kali pertama dulu saya sekadar memandu tanpa arah, mengikut ke mana hati membawa.  Kali kedua pun sama, ketika keluar rumah tiada arah tujuan tetapi hati bagai dihalakan untuk mengarahkan tangan memandu ke sini.” 


Perlahan nada suaranya, aku dapat menangkap ada kesedihan dalam tutur bicaranya.  Izureen bangun, melangkah kakinya untuk beredar.


“Izureen… tunggu.”  Aku nampak emak dan Fina berjalan ke arah kami, seorang membawa teko manakala seorang lagi membawa dulang berisi mangkuk besar dan kecil, yang ku kira adalah laksa yang ku pesan. 


Melihat emak dan Fina datang, Izureen tidak jadi pergi.  Dia melemparkan senyuman ke arah emak dan Fina.  Pandai dia berlakon, agar emak dan Fina tidak menyedari ketegangan yang wujud antara kami.


“Izureen, apa yang boleh saya lakukan untuk menebus kesalahan saya terhadap awak?”


“Jangan ganggu saya.  Stay away from me. Itu saja.  Tentu awak boleh buatkan?”


Soalannya terbiar tidak berjawab, lantaran emak dan Fina hanya beberapa langkah dari kami.  Mata kami bertaut.  Mata bundar Izureen bagai memberi satu amaran kepadaku.  Akhirnya aku mengangguk, walaupun hatiku tidak bersetuju untuk menjauhkan diri daripadanya.  Mana mungkin Izureen.  Pada dirimu bagai ada satu kuasa magnet yang besar yang menarik aku kepadamu.