Saturday 8 June 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 16

Minggu yang mencabar.  Terpaksa outstation 2 hari kerana tugas makan gajiku.  Perut pula diserang cirit birit.  Alhamdulillah, berjaya juga disiapkan bab ini.
Bab 16 – Naim Zakaria


Hari Isnin.  Tempat ini menjadi sunyi semula.  Semua penyewa ketiga-tiga chalet telah pulang semalam.  Tinggal penghuni tetap rumah inap yang entah bila akan balik ke tempat asalnya.  Penghuni tetap, ya memang sesuai aku gelarkan dia begitu.  Sudah dua minggu dia di sini.  Baguslah, terus sajalah tinggal di sini.  Tak perlu aku bersusah payah mencari pelanggan lain.  Abangnya yang baik hati itu sudah pun membayarkan separuh daripada sewa rumah inap selama dua minggu.


Sambil aku mengemas chalet ketiga, terkenang peristiwa semalam.  Terbit senyuman di bibir bila teringat wajah terkedunya ketika aku mengusiknya dengan kata-kataku.  Terngiang-ngiang di telinga dia mengatakan aku ‘annoying’ dan ‘irritating’.  Aku tergelak kecil.  Rasa seronok dapat menyakat dia.  Memang asalnya aku sekadar mahu memohon maaf daripadanya.  Tetapi bila dia memarahi aku, lain pula jadinya.  Asalnya aku marah sedikit dengan tuduhannya.  Apa dia ingat aku ni mat skodeng ke?  Tolong sikit, banyak lagi kerja yang berfaedah yang boleh aku buat.  Skodeng orang dapat dosa, nak buat apa?  Dosa yang ada pun entah terampun olehNya entah tidak, masakan aku hendak menambah dosa. 


Aneh, rasa marah itu pantas menghilang.  Wajah manis Izureen yang bertukar kelat membuatkan aku lupa amarahku.  Tanpa disangka, aku dapat mengawal kemarahan dan sebaliknya, entah dari mana terbit pula idea untuk menyakatnya.  Dan aku rasa seronok sangat selepas berbuat begitu.  Keseronokan yang membuatkan aku terlupa bahawa aku sebenarnya bukan mendapat kemaafan yang aku inginkan, tetapi membuatkan dia lebih marah kepadaku.


“Along” jeritan Fina mematikan lamunan.  Semalam menjelang Asar dia sampai daripada KL.


“Hah.. apa lagi… naik lah… tolong Along kemas.  Banyak nak kena buat ni.”


Sorry Along, orang tak boleh tolong.  Orang nak temankan Kak Reen pergi bandar.”  Fina membuat muka kesian sambil menapak menaiki tangga chalet.


“Buat apa pergi bandar?”


“Entahlah, dia kata ada urusan kat bank.”


“Lama ke pergi?”


“Manalah orang tau!  Eee… Along ni, banyak tanya pulak.  Tanyalah Kak Reen sendiri!”  Fina mula merengus. 


Nampak gayanya terpaksalah aku sendirian mengemas ketiga-tiga chalet.  Sepatutnya semalam aku sudah mula mengemas, tetapi hujan menyebabkan aku menangguhkan kerja-kerja mengemas ke hari ini.


“Orang pergi dulu!”  terus dia keluar. 


“Fina, nanti tolong belikan catridge ink printer!” aku pula melaung.


“Ok” jawabnya.  Terus saja berlalu pergi. 


“Fina!” aku melaung lagi, kali ini sambil menjenguk ke luar pintu.


“Apa lagi?”


“Laksa!”


Fina berpaling dan terus pergi. 



************


“Dah siap semuanya?” tanya emak sambil mencedok nasi ke pinggan Abah.  Abah baru saja pulang dari kebun.


“Dah mak, tinggal nak basuh aje” jawabku, merujuk kepada cadar, sarung bantal, selimut dan tuala yang telah ku kutip dari ketiga-tiga chalet dan digantikan dengan yang baru.  Lantai juga sudah disapu dan semua tandas sudah dibersihkan.  Empat jam aku bekerja sendirian menyiapkan semuanya.  Biasanya emak dan Fina membantu.  Badan sudah merasa letih. Selera makan menghilang dek keletihan.


“Tak makan?” pendek soalan abah bila melihat pinggan di hadapanku masih kosong.


Aku tidak menjawab, sebaliknya mencedok sedikit nasi.  Letih pun aku harus makan, apatah lagi emak sudah bersusah payah menyiapkan hidangan. 


“Tak boleh macam ni Naim.  Kena cari orang bantu.  Larat ke kamu nak buat semuanya sendiri.  Sementara Fina ada, dia tolonglah.  Esok bila dia dah kerja, tak terbuat kamu seorang.  Villa Mahabbah tu nak dijenguk juga.”


Betul kata abah.  Bukan aku tak terfikir akan hal ini.  Aku memang bercadang mendapatkan pekerja untuk menguruskan hal-hal pembersihan dan pengemasan chalet, tetapi tidak sangka secepat ini chaletku mendapat sambutan.  Alhamdulillah, setiap minggu ada saja tempahan. 


“InsyAllah Abah, Naim akan cari orang.  Tak sangka pula secepat ini chalet-chalet tu mendapat sambutan.”


“Rezeki datangnya daripada Allah, Naim.  Bila Dia beri, kita bersyukur dan berdoalah agar rezeki itu berkekalan dan bertambah.  Bila Dia ambil, jangan pula kita mengeluh.  Mungkin itu tanda Dia sayangkan kita dan mahu menduga kita.”


Aku mengangguk, mengiyakan kata-kata Abah.  Dalam kepenatan ini tiada mood hendak berbual panjang.


“Eh, Fina mana?  Budak Reen tu tak datang makan ke?” Abah bertanya.


“Pergi ke bandar.  Entah apalah dibuatnya budak berdua tu, dah berjam-jam perginya, tak balik-balik lagi.”


Emak menjawab.  Aku mengerling jam di dinding.  Betul, sudah empat jam mereka pergi.  Pernah sebelum ini mereka keluar bersama ke bandar, setakat dua jam, mereka sudah pulang.  Mungkin ada urusan yang memakan masa yang agak lama, fikirku.  Entah-entah Izureen mengajak Fina menonton wayang, atau membeli-belah.  Sudah hendak masuk minggu ketiga dia di sini, tentu dia rindukan aktiviti-aktiviti sebegitu, yang lazimnya dilakukan oleh gadis-gadis bandar.  Bukannya aku tidak tahu perangai gadis bandar. 


Selepas bersolat Zohor, aku melelapkan mata seketika, merehatkan diri yang kepenatan.  Bila terjaga, sudah pukul 5.30 petang.  Aku segera bangun, berwuduk dan menunaikan solat asar.  Kemudian aku keluar dari rumah.  Aku berjalan ke arah sungai.  Kedengaran riuh rendah suara suara orang berbual-bual, yang paling kuat sekali suara si Fina.  Sesekali terdengar dia ketawa, entah apalah yang melucukan.  Rupa-rupanya emak, Fina dan Izureen sedang berbual-bual.  Selepas memberi salam, aku duduk di sebelah emak.  Kebetulan itulah sahaja kerusi yang masih kosong dan kebetulan juga, tempat dudukku betul-betul bertentangan dengan Izureen. 


“Kenapa tiba-tiba diam, tadi dengar rancak berborak?” aku bertanya apabila mereka semua senyap.


“Lama kamu tidur” kata emak.  Soalanku tadi tiada siapa yang menjawab.


“Letih mak.  Ada assistant seorang ni, sekali dapat berjalan tak ingat nak balik.  Ada ke patut bos buat semua kerja” aku jawab teguran emak sambil menarik tudung Fina ke belakang, dengan niat mengusiknya.


“Adoi… apa la Along ni.  Orang assistant tak bergaji tau.  Suka hati oranglah nak tolong ke, tak tolong ke” si becok menjawab sambil membetulkan tudungnya.


“Beli tak laksa?” 


“Beli.  Suruh orang beli macam-macam, duitnya tak bagi.”  Fina mencebik.


“Dah kamu tak menyabar nak pergi, tak sempatlah Along bagi.  Nanti Along bayar balik.”


“Bayar double.”  Fina tersengih menyeringai.  Jarinya membuat isyarat peace.


“Dahlah tolong tak ikhlas, nak untung pula tu.  Ni nak ikut perangai Yahudi la ni.”


Aku menjawab.  Habis aku bercakap tapak tangan Fina hinggap di lenganku.  Aduh sakitnya, menyeringai aku dibuatnya.  Aku angkat tangan hendak melepuk dia tapi Fina sempat bangun menjauhkan diri.


“Issh korang ni, bila berjumpa ni la gayanya.  Kejap baik, kejap bergaduh.  Mak nak masuk buat air.  Nanti mak panaskan kuah laksa.  Fina, jom tolong mak.”


Maka tinggallah aku, duduk berhadapan dengan Izureen.  Dia memalingkan tubuhnya, tidak lagi menghadap ke arahku, sebaliknya berkalih ke arah sungai.  Melihat dia dari sisi, membuatkan aku teringat peristiwa semalam, lantas terkeluar tawa kecil dari bibirku.


Dia memandang sekilas bila aku ketawa.  Kemudian mengetap bibirnya.  Comel!  Terasa janggal pula bila berdiam sahaja.  Mulalah mulutku terasa gatal hendak bercakap.  Nak harap dia memulakan dahulu, tak usahlah.  Sepanjang dia di sini, aku dapati dia agak pendiam.  Biasanya dia lebih banyak mendengar dan akan bercakap apabila ditanya.


“Suka ya tengok sungai tu?”


Tiada jawapan kepada soalan pembuka bicara.  Mungkin dia masih marah kepadaku.


“Baik cuaca hari ni kan, selalunya petang hujan.”


Dia tetap senyap.


“Buat apa di bandar tadi?”


Masih tiada respons.  Aku lihat matanya kini merenung tanah.  Angin yang bertiup lembut membelai rambutnya.  Dari sisi dia memang nampak comel, apa lagi dengan rambut pendek, sesuai dengan raut wajahnya.


“Izureen, awak masih marahkan saya?”  akhirnya aku tanyakan soalan itu.  Lebih baik pergi terus kepada isu yang ingin dibicarakan.  Diam juga.  Tetap memandang ke tanah.


“Maafkan saya.  Saya betul-betul minta maaf.  Kita kan kawan, takkan tak boleh maafkan kawan awak ni?” aku buat muka kasihan dan bercakap dengan nada sayu.  Sungguh, aku mahu minta maaf.  Tak mahulah bersengketa dengannnya.


“Seorang kawan tak akan menuduh dan mengesyaki kawannya tanpa usul periksa.”  Akhirnya dia bersuara, tetapi tetap tidak mahu memandang ke arahku.


“Betul.  Saya setuju… saya salah.  Entah kenapa boleh tercetus fikiran yang salah di dalam minda saya.  Mungkin pengalaman silam menjadikan saya begini.  Tolonglah, maafkan saya.”


Kali ini dia berpaling, memandang wajahku.  Pandangan kami bertaut seketika.  Tiada riak marah di wajahnya.  Aku sedikit lega.


“Cuba letakkan diri awak di tempat saya.  Saya datang ke sini nak cari kedamaian hati, bukan nak bergaduh dan nak dituduh yang bukan-bukan.” 


Riak wajahnya tenang tapi nada suaranya sedikit tegang.  Perasaan lega yang sedikit ada kini menghilang.  Memang aku yang bersalah, jadi aku tiada pilihan.  Harus terus meminta maaf kerana aku mahu terus berkawan dengannya.  Aku harus pastikan penginap istimewa ini tidak marah lagi, manalah tau kalau-kalau kemarahannya nanti boleh menggugat perniagaan rumah inap dan chalet yang baru bermula.


Aku faham kalau dia masih marah kepadaku.  Jika aku di tempatnya, aku juga akan merasa marah.  Sebenarnya dalam rasa bersalah ini, ada perasaan seronok yang menghuni hatiku bila dapat menyakat dia.  Aku seronok melihat mukanya bertukar menjadi merah, keningnya berkerut dan bibirnya mencebik.  Mukaku palingkan ke arahnya, wajahnya nampak tenang, sambil dia merenung kakinya yang sedang menguis-nguis pasir.


“Jadi awak masih marahkan saya?”


Dia diam, tidak mengangguk, tidak juga menggeleng.


“Hati saya tak akan tenang, kalau awak masih marahkan saya.” 


Pesanan Izelan sebelum semalam berlegar di benak fikiranku.  Terasa bagai ada satu tanggungjawab yang besar tergalas di bahu.  Bagaimana mahu dilunaskan amanah itu jika tuan punya diri tidak menyenangi aku.


“Semalam sebelum balik, Izelan ada berpesan….”


Aku biarkan ayat itu tergantung.  Izureen berpaling, dan matanya pantas menangkap renunganku. 


“Dia minta kami jagakan awak.  Selama mana awak tinggal di sini, kami diminta memastikan kesihatan dan keselamatan awak terjaga.”


“Abang saya baik.  Dia takkan berkawan dengan awak kalau awak bukan orang yang baik.  Tapi tuduhan awak mengecewakan saya.”


 Akhirnya Izureen bersuara, menimbulkan rasa bersalah yang amat mendalam kepadaku dan menghilangkan rasa seronok menyakatnya.


“Apa tanggapan awak terhadap saya?  Seorang budak bandar yang bebas laku, yang tak ada maruah, yang tak ada pegangan agama.  Begitu ya?”


Terserlah amarahnya dalam ayat itu.  Matanya masih tidak melepaskan wajahku, memberikan renungan tajam yang menggambarkan kemarahannya.


Aku menelan air liur.  Terasa malu hendak mengaku, tetapi sebetulnya itulah tanggapan aku terhadapnya.  Sejak dari hari pertama dia hadir di sini, aku menganggapnya seperti Bella, Qisya, Ratna dan gadis-gadis lain yang pernah aku kenali.  Gadis kota yang hidup cara moden.  Yang menghabiskan malam mereka dengan berpesta, bertemankan pil ecstasy dan air haram, bebas berpelukan dan bertukar pasangan dari lantai tarian ke ranjang.  Cuma Ratna masih terkawal kelakuannya, tidak seteruk itu.  Mungkin kerana aku yang mengawalnya.  Namun, dalam limpahan kasih sayangku, Ratna terbabas juga.  Aku yang bodoh, mempercayainya seratus peratus sedangkan tanpa pengetahuanku dia berpeleseran dengan lelaki lain.  Anehnya, walaupun aku bertanggapan begitu terhadapnya, aku juga merasa ada kelainan pada gadis ini.


“Saya bodoh kerana salah mentafsir perasaan seorang lelaki.  Tapi saya tidak bodoh sehingga ke tahap menyerahkan tubuh saya hanya kerana cinta.”


Kata-katanya membuatkan aku terpempan.  Terasa bahu semakin berat dan dada semakin ketat dihimpit rasa bersalah.  Bodohlah kau ni Naim, aku mengutuk diriku sendiri.


“Sebetulnya saya tidak tahu kenapa saya sampai ke sini.  Kali pertama dulu saya sekadar memandu tanpa arah, mengikut ke mana hati membawa.  Kali kedua pun sama, ketika keluar rumah tiada arah tujuan tetapi hati bagai dihalakan untuk mengarahkan tangan memandu ke sini.” 


Perlahan nada suaranya, aku dapat menangkap ada kesedihan dalam tutur bicaranya.  Izureen bangun, melangkah kakinya untuk beredar.


“Izureen… tunggu.”  Aku nampak emak dan Fina berjalan ke arah kami, seorang membawa teko manakala seorang lagi membawa dulang berisi mangkuk besar dan kecil, yang ku kira adalah laksa yang ku pesan. 


Melihat emak dan Fina datang, Izureen tidak jadi pergi.  Dia melemparkan senyuman ke arah emak dan Fina.  Pandai dia berlakon, agar emak dan Fina tidak menyedari ketegangan yang wujud antara kami.


“Izureen, apa yang boleh saya lakukan untuk menebus kesalahan saya terhadap awak?”


“Jangan ganggu saya.  Stay away from me. Itu saja.  Tentu awak boleh buatkan?”


Soalannya terbiar tidak berjawab, lantaran emak dan Fina hanya beberapa langkah dari kami.  Mata kami bertaut.  Mata bundar Izureen bagai memberi satu amaran kepadaku.  Akhirnya aku mengangguk, walaupun hatiku tidak bersetuju untuk menjauhkan diri daripadanya.  Mana mungkin Izureen.  Pada dirimu bagai ada satu kuasa magnet yang besar yang menarik aku kepadamu.




4 comments:

  1. best best! tapi bab kali ni berdezup baca... rasa kalau malia dia tempat naim malia pun rasa bersalah.. naim ni.. takkan semua org bandar bebas lepas... sama jer org bandar ke kampung.. kalau pandai jaga diri di mana2 okay je... kalau malia jadi zurin memang terasa ati la..... macam la tak der maruah senang2 kena tuduh camtu...
    susah la naim nak tekel kali ni..kena keje keras sekeras2 nya utk tekel balik si zurin ... hehehe....
    sambung la lagi ya.. makin best cerita ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Malia.
      Kadang2 bila kita sukakan seseorg, tanpa sedar perkara negatif yg dulu muncul dlm kepala kita.

      Delete
  2. hehe.. kalau malia ada guy macam ni nak dekat pun malia kasi warning macam zurin.. scary gak kalau asik tuduh macam2.... tapi hati org pompan... kalau asik kena pujuk lembut gak la zurin tuh gamak nye... ;) sambung ye... minat kat watak2 novel ni.. they teach me something about different types of human beings. bukan senang nak tulis novel yg ada dua org bercerita dlm satu cerita ... tabik spring pada cik writer kiter! ;)

    ReplyDelete
  3. tak sabar nak tunggu bab 17 :)

    ReplyDelete