Sunday 31 March 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 6


Bab 6 – Naim Zakaria


“Along” panggil Fina perlahan.  Aku memalingkan wajahku kepadanya.


“Ada orang nak sewa homestay.”


“Bagilah” kataku ringkas.  Fina ni, kerja senang pun nak tanya aku.  Bukannya susah, minta orang itu isi borang dan minta deposit untuk satu malam.  Kemudian bawa orang itu ke rumah inap dan terangkan syarat-syarat penginapan yang telah aku gantung pada dinding berdekatan suis lampu.  Semuanya telah aku terangkan kepada Fina.


“Orang tu peliklah Along” katanya dengan wajah berkerut.


“Along keluarlah,” Fina menggesa sambil menolak bahuku.


Aku bangun dan terus menuju ke kaunter pandaftaran.  Sampai di ambang pintu, langkahku terhenti.  Aku kaget.  Dia datang.  Tetapi kenapa begitu keadaannya?  Aku mara dua tapak lagi, mendekati meja di kaunter.  Fina mengikuti di belakang dengan takut-takut.


Dia mengangkat pandangannya ke arahku.  Pandangan kami bertembung.  Dua minggu lepas mata cantik itu memberikan satu renungan sayu.  Namun hari ini keadaannya lebih teruk lagi.  Matanya bukan sekadar merah dan bengkak malahan seluruh wajahnya yang disolek kelihatan sangat comot dengan solekan yang telah rosak, mungkin dicemari oleh air mata yang telah membasahi wajahnya.  Rambutnya yang panjang kini sudah kontot, dengan gaya potongan yang ah…. teruk, sungguh teruk.  Panjang pendek rambutnya, tidak dipotong dengan sekata.  Dia memakai sepasang baju kurung berwarna merah jambu yang dihiasi manik.  Nampak mewah pakaiannya.


“Ikut saya Cik” kataku ringkas sambil membawa kunci rumah. 


“Along.., borang ni,” laungan Fina aku balas dengan goyangan tangan yang bermaksud tidak perlu.  Gadis itu mengikutiku di belakang tanpa sepatah kata.  Dia masuk setelah aku bukakan pintu dan lampu.  .


“Cik, kalau perlukan…”


“Saya tak perlu apa-apa” pantas dia memintas ayatku. 


“Saya tak mahu diganggu” dan dia menutup pintu.


*******


Sudah menjadi rutinku sejak kembali ke kampung dua tahun yang lepas, berjogging selepas kembali dari bersolat Subuh di surau.  Dari rumah aku akan menyusuri jalan bertar yang aku bina untuk kemudahan penyewa rumah inap dan chalet.  Jalan yang dibina di sebelah rumah abah menuju terus ke rumah rumah inap dan berakhir di hadapan rumah itu.  Belum cukup modal untuk aku menyambung jalan bertar itu sampai ke chalet.  Selepas menyusuri jalan itu aku akan melintas pula di hadapan tiga biji chalet di sebelah kanan dan anak sungai di sebelah kiri.  Anak sungai ini tidak terlalu besar dan tidak terlalu dalam, ideal untuk perkelahan.  Ada kawasan yang airnya agak dalam dan di sesetengah tempat banyak bongkah-bongkah batu besar.


Tanah selepas chalet ketiga masih belum dibersihkan.  Aku perlu mendapat pulangan dari homestay dan chalet yang telah siap sebelum menambah bilangan chalet.  Tanah berbukit selepas chalet ketiga aku daki.  Peluh semakin banyak.  Aku suka situasi ini, dapat menyihatkan badan sambil menikmati udara segar dan nyaman.  Dari atas bukit kecil ini aku dapat melihat sungai di bawah dan bumbung-bumbung chalet dan rumah inap juga jelas kelihatan.


Aku melakukan senaman ringan sebelum duduk di atas bangku kayu yang abah bina dan letakkan di atas bukit kecil ini.  Tenang rasanya menikmati udara pagi yang nyaman dan melihat air sungai yang deras dan keruh akibat dari hujan yang turun malam tadi.  Banyak batu yang ditenggelami paras air sungai yang naik selepas hujan. 


Tiba-tiba aku terlihat dia.  Baju kurung warna merah jambu yang dipakainya jelas kelihatan dari atas bukit ini.  Dia berdiri tegak di atas bongkah batu yang paling tinggi di sungai ini.  Jantungku berdetak kencang.  Aku berasa tidak sedap hati.  Jangan-jangan gadis itu merancang sesuatu.  Aku bingkas bangun dan berlari menuruni bukit.  Kemudian belari laju ke arahnya.


Aku buka kasut dan menyusuri air hingga sampai ke batu yang terhampir dengannya.  Aku panjat batu itu.  Dia diam tidak berkutik.  Seolah-olah tidak menyedari kehadiranku dan bagai hanyut dalam khayalan.  Teringat pula kata-kata Fina semasa makan malam tadi.  Mungkin gadis ini di bawah pengaruh dadah?  Ah tidak mungkin.  Hatiku kuat menyatakan dia sedang dilanda masalah yang amat besar.


“Cik!” laungku.  Tiada respons darinya.  Masih tegak berdiri merenung kejauhan.


“Cik, bahaya berdiri di situ.  Batu tu licin.  Air tengah deras ni, turunlah”.


Dia berpaling ke arahku.  Wajah comot semalam kelihatan sudah dibersihkan.  Sepi, tiada sepatah kata darinya.  Wajahnya dipalingkan semula ke hadapan.


“Cik, turunlah.  Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.  Jangan ambil tindakan yang bodoh.  Allah melaknati orang yang mengambil nyawanya sendiri”.  Aku semakin risau bila dia terus kaku dan membisu.  Nampak dia menggigil kesejukan.  Kakiku juga semakin sejuk disirami air sungai yang luar biasa dinginnya pagi ini.


“Izureen!” kali ini aku laungkan namanya yang aku ketahui dari borang pendaftaran yang diisinya kali pertama dia menginap di sini.


Dia berpaling.  Keningnya bertaut sambil memandangku dengan riak kehairanan.  Aku hulurkan tangan.  Direnungnya tanganku, tetapi tidak seinci pun dia bergerak.


“Turun ya.  Pegang tangan saya”.  Matanya kini beralih ke wajahku.  Aku anggukkan kepala, memujuk dalam diam.


Perlahan-lahan dia menghulurkan tangan kanannya.  Aku capai pergelangan tangannya dan memegang erat-erat. 


“Hati-hati.  Licin ni” kataku.  Perlahan-lahan dia bergerak.  Kakinya yang tidak beralas hampir mencecah batu tempat aku berdiri.  Sebaik sahaja terkena air, keluar jeritan kecil dari mulutnya.  Mungkin terkejut dek kedinginan air sungai.  Dia mengangkat kakinya semula, kembali berpijak di bongkah besar.


“Jangan takut, saya pegang” aku kuatkan pautan di pergelangan tangannya.


Kakinya dihulurkan sekali lagi dengan berhati-hati.  Namun, dalam pada berhati-hati, dia tergelincir dan hampir terjatuh.  Cepat-cepat aku tangkap pinggangnya dengan tangan kiriku manakala tangan kirinya berpaut pada bahuku.  Aku lepaskan tangannya dan memaut pinggangnya.  Tangan kanannya yang sudah bebas hinggap di bahuku yang sebelah lagi.


Kami sama-sama terkedu.  Mata kami bertatapan.  Pertama kali aku dapat melihat matanya dengan jarak yang amat dekat.  Matanya bundar dan anak mata yang berwarna cokelat itu pasti akan lebih cantik jika tidak dicemari dengan tangisan melampau. 


Dadaku berdetak kencang.  Sudah lama aku tidak bersentuhan dengan perempuan yang bukan muhrimku.  Kalau tidak kerana mahu menolong, pasti aku tidak akan memegang tangannya.  Masalahnya sekarang bukan setakat memegang, aku sedang memaut pinggangnya agar dia tidak terjatuh dan tangannya sudah memaut leherku. 


“Errm, so…sorry” katanya sambil menurunkan kedua tangannya dari bahuku.  Aku tersedar lantas melepaskan rangkulan di pinggangnya.  Aku pegang pergelangan tangan kanannya dengan tangan kiriku dan perlahan-lahan dia mengikuti dari belakang menyusuri batu-batu hingga sampai ke tebing sungai.


Aku lepaskan tangannya dan tanpa sepatah kata dia terus berlalu meninggalkan aku.  Aku menghela nafas panjang, lega dan bersyukur kerana berjaya menyelamatkannya dari mengambil tindakan bodoh.  Selang beberapa langkah, dia berhenti dan berpusing ke belakang, memandangku yang kaku merenung ke arahnya.


“Awak kerja di sini ya?” katanya bila aku semakin menghampirinya.  Aku sekadar mengangguk.  Tidak penting untuk dia tahu siapa aku. 


“Awak tahu nama saya dari borang?” soalnya dan aku jawab dengan anggukan lagi.


“Awak?” soalnya lagi.


“Naim,” jawabku ringkas.  Tidak perlu dia tahu nama penuhku Naim Zakaria.  Dan aku tidak tahu kenapa aku tidak menyebut “Zack”, nama panggilan yang biasa digunakan oleh kawan-kawan dan kenalan.  “Naim” adalah nama panggilan di kalangan keluarga terdekat.


“Terima kasih Naim” katanya dan terus berlalu, meninggalkan aku dengan berbagai misteri yang belum terungkai.


*******

Dia datang ke kaunter ketika aku sedang sibuk melayan pertanyaan dari seorang wanita yang datang bersama lelaki yang ku kira adalah suaminya.  Sekadar duduk di kerusi melihat aku bekerja.  Sebaik sahaja pasangan tersebut berlalu, dia mendekatiku.


“Kat mana tempat makan yang terdekat?”


“Kalau nak sedap dan bersih, kena pergi ke pekan.  Tak jauh, lebih kurang 20 minit dari sini.  Keluar simpang besar jalan kampung ni, cik belok kanan dan ikut papan tanda arah ke pekan.  Ada banyak kedai makan di situ” aku jawab soalannya.  Dia kelihatan santai dengan t-shirt dan seluar jeans, namun masih berwajah suram.


“Terima kasih,” ringkas jawapannya dan dia mahu beredar.  Kenapa cepat sangat dia hendak pergi.


“Cik, kalau sudi, jemputlah makan di rumah saya” aku mempelawa.  Entah apa yang menggerakkan hati, mungkin rasa ingin tahu yang mendalam mendorong aku membuat pelawaan itu. 


 “Di mana rumah awak?”


“Tu, yang di depan tu”


“Tak menyusahkan ke?”


“Apa pulak menyusahkannya.  Mak saya memang kena masak untuk abah dan adik saya.  Kalau setakat cik seorang, tak membebankan langsung.”


 “Tak apalah, saya boleh keluar ke pekan”.


Kemudian dia terus pergi meninggalkan aku yang masih diulit kehairanan.  Perasaan ingin tahu semakin menebal di dalam hati.


*******


“Wah, Along jadi hero tadi mak”  si becok Fina bercerita sambil tangannya mencedok nasi.  Kepulan asap bersama aroma nasi yang baru ditanak menambah rasa laparku.  Aku pandang Fina dengan mimik muka melarangnya dari terus bercerita.  Rupa-rupanya dia nampak kejadian pagi tadi.


“Apa terjadi?” soalan emak terbiar tidak berjawab kerana satu suara lembut memberi salam.  Dia berdiri di pintu dapur, tidak jauh dari meja makan kami.  Emak menyambut salam lantas menuju ke pintu, manakala aku bingkas bangun.  Kaget melihat dia.


Aku lihat dia menyalami tangan emak kemudian masuk ke dapur kami.  Terus dia menghampiri Fina dan menghulurkan tangan untuk bersalam.  Emak mempelawa dia duduk di sebelah Fina, betul-betul di hadapanku.  Aku senyum kepadanya, gembira dia menerima pelawaanku.


“Jemput makan Reen” dengan mesra emak mempelawa.  Dia kelihatan malu-malu.  Fina pula mengangkat kening kepadaku, seolah-olah ingin bertanya.


“Terima kasih makcik”


“Panggil saja Mak Jah.  Yang ni anak bongsu Mak, Fina.  Dia baru habis belajar kat Australia. Yang lelaki ni anak sulong Mak, Naim.  Anak kedua Mak dah kahwin, duduk di pekan tapi selalu jugak dia balik sini.  Makan ya, jangan malu-malu.  Tapi lauknya lauk orang kampung ler.  Biasa ke makan lauk kampung ni?” dengan ramah Mak Jah bercerita sambil mengambil tempat di sebelahku.


“Sikit-sikit tu boleh Mak Jah” katanya sambil mencedok kuah asam keladi ke pinggannya.


Berselera dia makan, nampak seperti kelaparan sangat.  Tidak banyak yang dibualkan ketika makan.  Sepatah yang emak dan Fina tanya, sepatah dijawabnya.  Aku pula tidak bertanya apa-apa.  Tiba-tiba aku kelu.  Bagai tidak percaya dia duduk makan di depanku kerana ketika aku mempelawanya sejam tadi, dia kelihatan langsung tidak berminat.


Selepas makan, dia membantu Fina mengemas meja walaupun emak melarangnya.  Telefon bimbitku berbunyi lantas aku menuju ke ruang tamu untuk menjawab panggilan.  Bila aku kembali ke dapur, dia sudah tiada.

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 5


Bab 5 - Izureen

Hari ini aku masuk bekerja semula.  Aku bersetuju dengan Kak Rina bahawa aku perlu menyibukkan diriku dengan berbagai aktiviti untuk melupakan kekecewaanku.  Patutlah Kak Rina mahir dalam pelbagai perkara.  Ketika cinta pertamanya putus, dia belajar menjahit.  Putus cinta kedua, dia masuk kelas aerobik.  Setiap malam dia menyibukkan dirinya dengan beraerobik.  Bila badan sudah letih beraerobik, balik ke rumah terus tidur.  Putus cinta kali ketiga pula Kak Rina mendaftar kelas tajwid.  Tiga kali seminggu selepas waktu bekerja Kak Rina belajar mengaji, memperbaiki bacaan mengikut tajwid yang betul.  Natijahnya di kelas tajwid itulah Kak Rina berkenalan dengan Abang Aeril.

Niat dihati hendak mengelak dari mama, takut dimarahi kerana seminggu tidak bekerja.  Namun rancanganku gagal. 

“Apa ni Reen, baru putus cinta sikit dah hilang semangat.  How are you going to survive if you are not strong.”  Mama menjegilkan matanya ke arahku sambil bersandar di kerusi.

Sorry Ma.  Reen tak kuat.  Reen akan cuba.  I’ll get rid of this frustration soon.” 

Good.  I want you to focus on your work.  Bersusah-payah Mama usahakan syarikat ni.  Dari asalnya syarikat katering, kita dah berkembang jadi supplier frozen food.  Semua ni perlukan usaha, semangat dan komitmen.  How are you going to manage this company when I am no longer around?  Kalau baru putus cinta sikit dah monyok, tak boleh kerja, macam mana nak uruskan syarikat?” Mama sudah membebel. 

Aku diam menikus.  Tiada gunanya menjawab bebelan Mama, hanya akan meningkatkan amarahnya.

“Malam ni pindah balik ke rumah!”  tegas arahan Mama.  Tapi arahan ini memang aku tak boleh akur.  Aku tak sanggup dipantau 24 jam oleh Mama.  Cukuplah dia memantau pergerakanku di pejabat. 

“Ma, Reen dah OK.  You don’t have to worry about me” aku meyakinkan Mama.  Dalam hati berdoa meminta agar Mama berlembut denganku.

“OK apanya?  Tengok muka tu sembap.  Tu menangis tiap-tiap malam lah tu.  Don’t be stupid Reen. You are still young, banyak lagi lelaki kat luar tu yang boleh dijadikan boyfriend.  Budak Muaz tu jugak yang kamu gila-gilakan”.

“Mama ni, orang nak lupakan dia…Mama pulak sebut nama dia,” aku mencebik.  Mana mungkin aku lupakan Muaz.  Apa yang aku boleh lupakan ialah impian untuk hidup dengannya, namun melupakan orang yang telah menjadi sebahagian hidupku selama tujuh tahun adalah sesuatu yang mustahil.

“Reen, Mama cuma ada kamu.  Abang Iz kamu tak berminat dengan perniagaan ni.  Siapa lagi yang boleh Mama harapkan untuk mengambil alih syarikat ni?  I am not getting younger,”  kali ini lembut bicara Mama, menusuk ke tangkai hatiku.  Aku akui kebenarannya.  Tetapi hakikatnya aku juga tidak berminat dengan perniagaan ini.  Kenapa aku seorang yang harus Mama harapkan?

“Sampai bila Mama nak pinggirkan Kak Rina?  Dia anak papa juga.  Dia berkelulusan dan berpengalaman.  Kenapa mama tak nak bagi dia peluang?”  Kak Rina juga berkelulusan perakaunan sepertiku.  Sekarang dia sudahpun memegang jawatan pengurus tetapi Mama masih dengan dendamnya terhadap emak Kak Rina.

Don’t change the subjectWe are talking about you now, bukan pasal mama, bukan pasal Rina!”  Kan betul, kalau dilawan Mama akan naik angin.  Aku berdoa di dalam hati agar Allah melembutkan hati Mama untuk menerima Kak Rina sebagai anaknya sendiri.

“Dah, pergi buat kerja”, akhirnya Mama bersuara setelah kami lama berdiam. 

********

Setiap hari aku balik lewat, menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun setelah seminggu aku tinggalkan.  Kesibukan bekerja membantu mengurangkan ingatan kepada Muaz.  Sejak peristiwa di tasik Putrajaya, dia langsung tidak menelefon aku.  Mungkin sibuk dengan kekasihnya, maklumlah orang sedang asyik bercinta.

Bunyi pesanan di telefon bimbit mengalih perhatianku daripada computer riba.  Telefon di meja sisi aku capai. 

Hi dear!  Apa khabar?  Senyap je.  Busy ek?”  aku tenung skrin telefon lama-lama.  Perlukah aku menjawab soalannya?  Ah, biarlah dahulu.  Kalau nanti hatiku tergerak untuk menjawab, akan aku jawab soalannya. 

“Jom bowling sabtu ni.  Boleh berkenalan dengan girl aku sekali” masuk satu lagi pesanan daripada Muaz.  Kali ini lebih panjang renungan aku pada skrin telefon.  Dan tanpa sedar air jernih tumpah dari tubir mataku dan menitis di atas skrin.  Rasa sedih singgah lagi di tebing hati.  Dia di sana berbahagia, aku di sini memendam rasa. 

Telefon aku matikan.  Takut kalau-kalau ada lagi pesanan daripadanya.  Tidak mahu larut dalam kesedihan, aku teruskan kerjaku.  Tiba-tiba telefon di atas meja pula berbunyi.

Suara Kak Rina di hujung talian, menjemput aku ke majlis pertunangan adik Abang Aeril.

*******

“Cepatlah adik, nanti lambat.” Kak Rina menggesa aku yang sedang bersolek. 

“Jap, sikit lagi” aku mengoles pemerah pipi.  Kemudian menyapu gincu di bibir.  Bunyi hon menandakan Abang Aeril sudah tiba untuk menjemput kami ke rumahnya.  Malam tadi aku tidur di rumah Kak Rina untuk memudahkan Abang Aeril menjemput kami.  Aku boleh pergi sendiri tetapi diminta oleh Kak Rina pergi bersama dari rumahnya.

Selepas kira-kira 50 minit perjalanan, kami sampai di sebuah rumah banglo setingkat di pinggir Gombak.  Inilah kali pertama aku sampai ke rumah Abang Aeril.  Cantik rumahnya.  Kak Rina memperkenalkan aku kepada bakal mertuanya.  Ramah sungguh keluarga Abang Aeril, membuatkan aku tidak rasa kekok di sini. 

Setelah berkenalan dengan keluarga Abang Aeril, aku mengikut Kak Rina ke bilik bakal adik iparnya.  Gadis yang Kak Rina perkenalkan kepadaku sebagai Naurah sedang didandan oleh mak andam.  Manis orangnya.  Rasa-rasanya dia mungkin setahun dua lebih muda daripada aku.

Akhirnya rombongan pihak lelaki sampai.  Berderau darahku melihat wajah-wajah yang aku kenali.  Mengapa mereka datang bersama rombongan pihak lelaki?  Hatiku mula tidak keruan.  Dan sebaik sahaja majlis pertunangan dimulakan, hatiku robek. 

Aku tidak mampu untuk terus berada di majlis ini.  Ketika emak Muaz melangkah ke arah bilik Naurah untuk menyarungkan cincin, aku bingkas bangun dan menuju ke pintu.  Aku harus beredar.  Takkan mampu aku menyaksikan detik Naurah menjadi tunangan Muaz. 

Air mata yang hampir tumpah gugur jua akhirnya.  Aku berjalan sepantas yang mampu sambil mengesat air mata di pipi.  Sambil berjalan aku berpaling ke belakang, melihat kalau-kalau ada teksi menghampiri.  Akhirnya sebuah teksi datang dan membawa aku pulang ke kondo.

Aku rebahkan badan ke katil.  Baju kurung berwarna merah jambu dari fabrik swiss cotton yang diperincikan dengan taburan manik dan labuci sudah lencun dengan air mata.  Telefon bimbit berbunyi.  Ada panggilan daripada Kak Rina.  Tentu dia hairan mengapa aku tiba-tiba menghilang dari rumah Abang Aeril.  Panggilanku biar tidak berjawab.  Namun terbit rasa bersalah terhadap Kak Rina lalu aku hantar pesanan “sorry kak, adik balik dulu.  Perut meragam”.  Kemudian telefon aku matikan.

Kondo kecilku bergema dengan tangisanku.  Sedih, sangat-sangat sedih.  Kecewa kerana hari ini Muaz sudah menjadi tunangan orang.  Terkilan kerana Muaz langsung tidak memaklumkan akan pertunangannya. Terkejut kerana Muaz bakal bersaudara dengan Kak Rina.  Tentu lebih rumit hendak melupakan Muaz selepas ini.

“Muazzzz!!!” aku menjerit sekuat hati.  Kenapa bukan aku yang kau pilih?  Tidak cukupkah layanan aku terhadapmu melambangkan perasaanku?  Tidakkah engkau terfikir bahawa setianya aku di sisimu kerana cintaku padamu.  Ramai yang mahu menjadikan aku kekasih, namun aku tolak kerana aku hanya mahu menjadi kekasihmu.  Kau kejam Muaz, sangat kejam.  Sia-sia penantianku selama tujuh tahun.  Tapi benarkah Muaz yang kejam atau aku yang bodoh?  Bodoh kerana silap mentafsir perasaannya kepadaku. Dan bodoh kerana tidak pernah berterus terang kepadanya.

Aku mahu pergi dari sini.  Aku mahu lari dari perasaan sedih ini.  Aku bangun, mencapai beg pakaian dan memasukkan beberapa helai pakaian yang sempat ku capai.  Air mata terus melempah turut menitis ke atas pakaian yang ku sumbat ke dalam beg.  Sanggul di kepala aku rungkaikan.  Sebaik melihat wajahku di cermin, terngiang-ngiang suara Muaz memuji rambutku.  Hati menjadi bertambah sakit.  Laciku tarik dan dengan tangan terketar-ketar aku keluarkan gunting.  Rambutku yang panjang mencecah pinggang menjadi mangsa kekecewaanku.  Berguguran jatuh rambut yang ku gunting ke lantai, seperti hatiku yang robek, berkecai-kecai bagai serpihan kaca.

Telefon bimbit, kunci rumah dan kunci kereta aku capai dan terus keluar dari kondo.  Beberapa mata yang memandang aku ketika di dalam lif dan ketika berjalan ke kereta tidak langsung menjadi masalah kepadaku.  Yang ada di dalam fikiran ketika ini ialah aku mahu pergi.  Aku mahu lari dari dunia ini.  Aku mahu lari dari Muaz.  Selama-lamanya.

Air mataku bagaikan sungai yang tidak pernah lesu mengalir.  Terus-terusan menitis.  Aku bodoh.  Aku perasan.  Aku syok sendiri.  Kasih sayang seorang sahabat aku salah ertikan sebagai cinta.  Kemesraan dan keprihatinannya aku salah anggapkan sebagai cinta.  Kenapa harus begini jadinya.  Akukah yang salah kerana tidak berterus terang tentang perasaanku terhadapnya?

Aku memandu tanpa arah.  Tidak tahu ke mana hendak dituju, sekadar memandu mengikut gerak hati.  Rupa-rupanya aku telah memasuki lebuhraya PLUS menuju ke utara.  Tidak banyak kenderaan di atas lebuhraya, membuatkan aku leka memandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan.  Aku tidak pasti bila aku memandu keluar dari lebuhraya.  Aku juga tidak pasti bila aku memasuki kawasan kampung ini.  Sedar-sedar aku sudah berada di sini.  Tempat yang aku kunjungi dua minggu lepas ketika hati dilanda kecewa dek pengumuman Muaz di tasik Putrajaya.  Aku sampai lagi ke sini.  Kali ini dengan kekecewaan yang lebih besar, luka yang lebih parah dan  penyesalan yang tidak berakhir.



Saturday 30 March 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 4


Bab 4 - Naim Zakaria

“Balik kampung….oh oh oh balik kampung….. oh oh oh balik kampung…. hati girang”

Aku dan Fina sama-sama melaungkan lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman, sambil lagu tersebut berkumandang dari radio kereta.  Kami dalam perjalanan pulang ke kampung, setelah aku menjemput Fina di KLIA.  Akhirnya, Fina pulang setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Australia.

“Dahlah Along, suara macam katak puru panggil hujan, nanti betul-betul hujan, lambat kita sampai rumah” kata Fina sambil ketawa mengekek.

“Alah, kamu tu suara macam angsa sakit tekak, ada hati nak kutuk suara Along,” aku menyakatnya.

“Ada ke suara angsa sakit tekak?  Macam mana ya?”

“Aik, baru duduk Melbourne tiga tahun, dah lupa bunyi angsa?”

“Orang tak lupalah Along, tapi suara angsa sakit tekak tu, orang musykillah, macam mana bunyinya.

“Macam ni”, lalu aku membuat bunyi angsa dengan suaraku yang sengaja diserakkan.  Berderai lagi ketawa si Fina, dan aku turut ketawa bersama.  Aku dan Fina memang satu kepala.  Walaupun jarak usia kami lapan tahun, tapi Fina lebih rapat denganku berbanding Elida yang tiga tahun lebih tua daripadanya.

“So kamu dah decide nak buat apa, nak rehat dulu ke, atau nak terus cari kerja?”

“Orang ingat nak lepak dululah Along.  Rindu kat semua orang.  Agak-agak dah boring esok, orang carilah kerja.”

“Ha, eloklah tu.  Lepak je kat rumah.  Makan, tidur, makan, tidur.  Lama-lama gemuk.  Nanti dah sedap duduk rumah, malas nak kerja.  Last-last tunggu orang masuk meminang.  Si Pejal tu anytime je nak meminang kamu.”

“Ish Along ni.”

“Adoi, sakitlah!” aku terjerit sebaik sahaja lima jari Fina hinggap di bahuku. 

“Padan muka!  Cakap lagi macam tu kat orang.  Orang tak naklah dengan Pejal tu.  Orang bukan tak nak kerja.  Orang nak rehat kejap je, nanti orang carilah kerja” marah Fina bila aku menggiatnya dengan Pejal, yang sejak di sekolah menengah meminati Fina.  Sekarang Pejal sudah pun bekerja sebagai pengurus di sebuah bank di ibukota.

“OK, sementara kamu melepak, kamu tolong Along uruskan homestay dengan chalet kita.  Banyak benda yang kita kena buat, especially marketing.”

“Alah, apa susahnya, Along kan dah ada pengalaman uruskan chalet kat Dungun.”

“Memang tak susah, tapi Along tak terbuat sorang-sorang.  Yang di Dungun tu nak dijenguk jugak sekali sekala.  Yang di sini baru lagi siapnya, orang belum tahu pasal homestay dan chalet ni, jadi banyak benda nak kena buat.”

“OKlah, orang tolong.”

“Bagus, macam tulah adik Along”, aku senyum.  Gembira kerana Fina mahu menolong.  Nak harapkan Elida, dia sibuk menguruskan rumah tangga.  Mak dan Abah pula hanya dapat menolong sekadar yang termampu. 

Kami diam, masing-masing melayan fikiran sendiri.  Perjalanan ke kampung tinggal sekitar satu jam setengah sahaja lagi.

“Along,”  tiba-tiba Fina memecah kesunyian.

“Apa nya?  Cer citer”

“Tadi kat airport, sebelum naik flight, orang ada jumpa….” ayat Fina tergantung di situ.
Aku mendiamkan diri, menunggu Fina menghabiskan ayatnya.  Namun dia juga diam, tindakan yang menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam.

“Jumpa siapa?”

Fina berpaling memandangku.  Aku memandangnya sekilas dan menumpukan semula perhatian pada lebuhraya di hadapanku.  Rasa ingin tahu semakin membuak-buak.

“Jumpa siapa? Pakwe?” serkapku.

“Ish Along ni, bukanlah.  Ermmm… Along ni… sampai bila nak membujang?  Kot iya pun frust dengan Kak Ratna dulu, takkan tak nak kahwin” ujar Fina lantas mengundang tawa kecil dari bibirku.

“Kamu ni…, tadi kata jumpa seseorang.  Tup tup cerita tak habis, tanya kita pasal kahwin pulak.  Apahal ni tetiba tukar topik?”

“Along jawablah dulu, nanti orang ceritalah.”

“Kan Along dah bagitau sebelum ni, bila Along dah jumpa orang yang Along berkenan, Along kahwinlah.”

“Along” panggil Fina bila lama aku mendiamkan diri.  Sebenarnya aku sibuk memikirkan soalannya.  Terfikir juga kenapa tiba-tiba Fina bertanyakan soalan itu.

“Along, sebenarnya tadi kat airport tu, orang jumpa…Kak….Ratna” perlahan-lahan, lambat-lambat Fina menghabiskan ayat itu.

“Oh,” itu sahaja yang mampu aku tuturkan.  Setelah tiga tahun, nama Ratna tidak lagi menerbitkan apa-apa perasaan di hati ini.  Kalau dulu ketika hangat bercinta namanya sentiasa membangkitkan rasa rindu, ghairah, gembira dan bahagia.  Kemudian, bila dia memutuskan pertunangan, mendengar namanya menimbulkan rasa benci, kecewa, dikhianati dan sedih.  Tetapi kini tidak ada perasaan yang timbul bila mendengar namanya.  Apakah masa telah menyembuhkan luka di hatiku?

“Dia kirim salam kat Along.”  Aku membiarkan ayat Fina habis di situ, sekadar menyambut salam di dalam hati.

“Dia…..” ayat Fina tergantung lagi.  Lantas aku berpaling memandangnya sekilas, cuba mencari apa yang ingin disampaikannya dari riak wajahnya. 

“Dia… dah…. bercerai” itu rupanya yang ingin dimaklumkan kepadaku.  Aku diam, tidak tahu apa yang harus diucapkan.

Sesungguhnya aku tidak pasti bagaimana harus aku bereaksi dengan perkhabaran itu.  Haruskah aku gembira?  Atau haruskah aku bersedih?  Atau wajarkah aku berkata “padan muka”?  Biarlah apa pun terjadi kepadanya, antara kami sudah tiada apa-apa hubungan.  Suatu ketika dahulu, ketika dia kekasihku, wajarlah aku merasa simpati di atas musibah yang menimpa dirinya. 

Diamku menyebabkan suasana di dalam kereta menjadi sepi, hanya lagu yang bersiaran dari radio menjadi bunyi yang mengiringi perjalanan kami.  Akhirnya Fina terlelap sehinggalah kami tiba di rumah disambut laungan azan Maghrib dari surau berdekatan.

Seluruh keluarga kecilku berada di rumah abah menyambut kepulangan Fina.  Kerinduan kami terhadap Fina kini terubat dengan kepulangannya.  Abah membaca doa kesyukuran.  Nampak air matanya bergenang.  Katanya, dia bersyukur walaupun dia hanya orang kampung yang tidak berpendidikan tinggi, ketiga-tiga anaknya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.  Dan makan malam kami sungguh meriah dengan lauk pauk kegemaran Fina yang emak dan Elida sediakan.

*******
Sebaik balik dari surau dengan abah, Fina sudah menunggu di depan pintu.  Bersungguh-sungguh dia mengajak aku ke belakang, mahu melihat rumah homestay dan chalet kami.  Abah menyuruhnya bersabar kerana hari masih gelap.  Ah si Fina ni, bukan dipedulinya suruhan Abah, cepat-cepat dia naik membonceng motorsikalku dan menyuruh aku bergerak.

Sinar suria baru mengintai di sebalik pohon-pohon di seberang sungai.  Bayu lembut yang nyaman menyapa wajah kami ketika kami tiba di hadapan rumah homestay.  Fina melompat turun dari motorsikal dan berlari-lari anak ke arah sungai.  Dia berdiri di tepi sungai dan menghela nafasnya panjang-panjang.

“Hmm, orang rindu suasana kampung.”

Home sweet home” kataku sambil menghampirinya.  Aku bercekak pinggang menikmati pemandangan yang berkabus di hadapan kami.  Beginilah suasana kampung, paginya nyaman berkabus.  Berbeza dengan suasana bandaraya yang pernah menjadi tempat tinggalku satu ketika dahulu.  Hikmah aku melarikan diri dari kehidupan lampau mula dirasai.  Tiada lagi hiruk pikuk bandaraya yang merimaskan.  Tiada lagi kesesakan lalu lintas yang selalu menyebabkan aku tertinggal solat Maghrib.  Tiada lagi kehidupan malam yang sia-sia, penuh dengan kepura-puraan. 

So, nak tengok yang mana dulu, chalet atau rumah homestay?”

Chalet” dan Fina terus berjalan mendahuluiku ke arah chalet pertama. 

Pintu chalet dibuka dan terpampang di depan mata dua buah katil bujang yang dipisahkan oleh sebuah laci.  Buat masa ini hanya itu perabot yang telah dimasukkan.  Fina masuk dan berjalan terus ke arah balkoni yang menghadap sungai. 

“Along, nanti kita letak kerusi kat balkoni  ni ya.”

Aku mengangguk, bersetuju dengan cadangannya. 

“Sini kita boleh letak tv” Fina menunding jari ke arah ruang kosong di hadapan katil.  Kemudian dia masuk dan berjalan terus ke arah bilik air. 

OK, simple but nice” katanya.

Setelah keluar dari chalet tersebut, kami berjalan ke arah rumah homestay.  Dibandingkan dengan chalet, rumah ini jauh sedikit dari anak sungai.  Rumah ini siap terlebih dahulu maka perabot dan kelengkapan lain semuanya sudah lengkap.  Setelah meninjau keadaan rumah tersebut, kami bergerak pula ke arah bangunan kecil bersaiz 20 x 20 kaki yang menempatkan kaunter pendaftaran, ruang pejabat dan tandas.

So, this is your office?”

Yup.”

No more luxury office, leather sofa, beautiful secretary and expensive suit hah?”

Aku sengih.  Dulu itulah perkara yang aku sebut ketika memberi galakan kepada Fina agar belajar bersungguh-sungguh.  Kataku bila ada kelulusan, boleh bekerja di pejabat korporat.  Gaji besar.  Pejabat luas dan berdekorasi mewah.  Pakaian berjenama.  Tapi kalau malas belajar, setakat boleh bekerja di kampung atau kilang sajalah.

“Along, kotak apa ni?” soal Fina sambil memegang sebuah kotak bersaiz A4.

“Itu kotak ajaib,” sengaja aku melawak.

“Hah!  Apa kotak kertas A4 macam ni kata kotak ajaib,” kata Fina sambil membuka kotak tersebut.  Cekak berwarna ungu dengan corak polka dot putih yang dihiasi batu berkilauan di sekelilingnya dibawa keluar dari kotak tersebut.

“Wow!  Cantik!  Diamond ke ni?” tanya Fina sambil membelek cekak tersebut.

“Tak kot.  Kalau diamond takkan pemiliknya cuai sangat sampai boleh tertinggal benda ni” kataku sambil bercekak pinggang di sebelah Fina.

So, this is kind of “lost and found box” lah ya?  Carilah kotak yang senonoh sikit Along!” lantas Fina meletakkan semula cekak tersebut ke dalam kotak dan menutup kotak tersebut.

Komen Fina tidak berbalas.  Fikiranku sudah menerawang, berhenti pada wajah si pemilik cekak.  Wajah misteri yang menimbulkan tanda tanya.  Apakah dia akan datang lagi ke sini?  

Saturday 23 March 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 3


Bab 3 - Izureen


Kesedihan dan kekecewaan yang melanda terus membelenggu hidupku.  Seminggu aku tidak pergi bekerja.  Mama bising.  Katanya dia malu dengan kakitangannya.  Manakan tidak, anaknya sendiri yang baru empat bulan dibawa masuk ke syarikatnya sudah pandai buat perangai ponteng kerja.


Alangkah bagusnya kalau Mama faham apa yang sedang aku alami.  Tetapi, seperti biasa Mama memang tidak pernah memahami aku.  Semenjak papa meninggal Mama tidak lagi punya masa untuk aku dan Abang Iz.  Mama mengambil alih pengurusan syarikat katering yang papa asaskan.  Masanya dihabiskan di pejabat, mama jarang ada di rumah untuk memahami jiwa remajaku yang kesepian dan dahagakan kasih sayang.  Sudahlah papa pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya, Abang Iz pula jauh di Ireland, menghabiskan pengajiannya dalam bidang perubatan. 


Kemunculan Muaz dalam hidupku tepat pada masanya.  Dia datang menghulurkan persahabatan ketika aku sepi, rindu, sedih dan dahagakan kasih sayang.  Maka salahkah kalau aku jatuh cinta padanya?  Tapi kini semuanya sudah tidak bermakna lagi.  Muaz yang aku cintai rupa-rupanya hanya menyayangi aku sebagai seorang sahabat.  Hatinya kini miliki oleh orang lain.


Loceng pintu berbunyi.  Tombol pintu dipulas dan satu wajah yang aku rindui menjenguk ke arahku.


“Kakak” laungku.

Kak Izarina meluru ke arahku.  Kami berpelukan di atas sofa dan dalam dakapannya air mataku luruh.  Aku menangis teresak-esak sambil kak Rina mengurut belakangku, cuba menenangkan aku.  Izarina adalah satu-satunya kakakku.  Anak tiri Mama yang pertama kali kami jumpa pada hari papa kemalangan.  Papa meninggal di hospital tetapi emak Izarina meninggal di tempat kejadian.  Sejak itu kak Rina tinggal bersama kami walaupun Mama tidak menyukainya.  Mungkin kerana kekecewaan yang timbul apabila mengetahui dirinya dimadukan membuatkan Mama tidak menyukai kak Rina.  Namun nasib menyebelahi Kak Rina. Beberapa bulan selepas kematian papa, kak Rina melanjutkan pelajaran ke luar negara.  Sebaik pulang dari pengajiannya, kak Rina menetap di rumah peninggalan emaknya.


“Sabarlah Adik, pastinya ada hikmah di sebalik semua ini” kata kak Rina bila esakanku berkurangan.


“Adik bodohkan kakak?  Adik salah mentafsir perasaan Muaz….” dan esakanku berlagu lagi.


“Adik tak bodoh.  Adik cuma keliru.  Janganlah bersedih.  Ini semua dugaan hidup.  Apa yang adik alami sekarang akan menjadi pengajaran yang sangat berguna untuk adik meneruskan hidup”, kak Rina memujuk.


“Hati adik pedih kak, sakit sangat bila mengenangkan Muaz.  Kenapa dia tak faham perasaan adik terhadapnya selama ini.  Kalau adik tau akan jadi macam ni, I would have declared my feelings towards him”.


“Cinta tak boleh dipaksa dik.  Even if you had told him, he may not have the same feeling”.


Aku diam, membenarkan apa yang kakak ucapkan.  Betul cinta tidak boleh dipaksa.  Hari ini aku juga faham mencintai tidak sama dengan dicintai.


Life has to go on dik.  Jangan kerana cinta hidup kita terkandas.  Adik pun tau kan, kakak putus cinta tiga kali sebelum jumpa dengan Abang Aeril.  Alhamdulillah, percintaan dengan Abang Aeril berjalan lancar.  Kakak tetap positif walaupun pernah kandas dalam percintaan.  Percayalah, kalau kita tidak dapat apa yang kita inginkan, itu maknanya Allah has something better for us”.


Aku melepaskan pautan tangan pada badan kak Rina.  Memandang wajahnya yang tenang.  Memang kak Rina seorang yang tabah.  Aku masih ingat dia langsung tidak menangis ketika jenazah papa dan emaknya diuruskan.  Dia tidak pernah marahkan Mama walaupun Mama tidak melayannya dengan baik.  Dia tidak pernah mengeluh dengan takdir hidupnya, malahan sentiasa positif terhadap apa juga terjadi kepadanya.


“Terima kasih kakak, for lending your shoulder and listening to my nonsense”.


Kak Rina gelak dengan kata-kataku. 


That’s not nonsense.  Come, we need to do something to cheer you up.  Duduk terperuk dalam bilik ni, bukannya membantu adik lupakan kesedihan, lagi bertambah sedih adalah,” katanya sambil bangun dan turun dari katilku.


“Dah mandi ke belum?” dia bertanya.


“Dah.”


“Ish, dah mandi apanya, comot macam ni?”


Aku hanya mampu tersengih mendengar usikannya.  Masih belum mampu mengukir senyum.


“Cepat tukar baju, jom ikut kakak keluar” arahnya sambil berjalan kea rah almari pakaianku.


“Nak pergi mana?” aku bangun dan turun dari katil perlahan-lahan.


“Kita pergi makan, lepas tu pergi KLIA ambil Abang Aeril.”


Selepas makan di Restoran Al Rawsha, kami bertolak ke KLIA.  Tidak perlu menunggu lama di KLIA kerana kapal terbang yang membawa Abang Aeril pulang dari Kota Kinabalu telah mendarat.


Aku berjalan di belakang Abang Aeril dan Kak Rina yang berjalan beriringan.  Hatiku dilanda perasaan cemburu.  Alangkah seronoknya jika aku dapat menikmati kebahagiaan yang mereka kecapi.  Fikiranku melayang, jauh menerawang entah kemana hingga wajah Muaz muncul di depan mata.  Muaz, ketika engkau ucapkan akulah sahabatmua dunia dan akhirat, aku juga berharap engkau akan menjadi kekasihku di dunia dan akhirat.  Tetapi harapanku lebur menjadi debu.  Mengingati Muaz lantas membuat aku sedih semula. 


Dalam lamunanku, aku telah berjalan jauh dan berlawanan arah dari Kak Rina dan Abang Aeril.  Apabila aku tersedar, aku cepat-cepat berpusing dan berjalan laju-laju untuk mencari mereka.  Tiba-tiba aku terlanggar sesuatu.   Oh, bukan sesuatu, tetapi seorang lelaki!


“Ouch” kata lelaki itu.


Sorry…maaf” tergagap-gagap aku menuturkan maaf.  Bagaimana aku boleh selalai ini hinggakan tidak perasaan ada seorang lelaki bertubuh tegap di hadapanku.  Aku berjalan terus dan melanggar dadanya dengan kuat, hinggakan beg tanganku terjatuh.

 

“Maaf…maafkan saya”


“Kalau ia pun nak cepat, hati-hatilah sikit” kata lelaki bertopi itu.  Aku mendongak sedikit untuk melihat wajahnya.  Mata kami bertatapan.  Lantas matanya membulat memandangku.  Kemudian dahinya berkerut, mengundang kehairanan di dalam hatiku.


“Encik, sorry ya.  Encik tak apa-apakan?”


Tiada jawapan darinya.  Sebaliknya dia terus-terusan merenung aku.


Panggilan seorang gadis bertudung dari arah belakangku mematikan renungannya.  Dia terus beredar tanpa berkata apa-apa.  Pelik, bisikku dalam hati.  Ah, biarlah, mungkin dia terkejut kerana aku melanggarnya.  Aku tunduk untuk mengutip beg tanganku yang terdampar di atas lantai.  Ketika itu aku ternampak satu cermin mata hitam di atas lantai berdekatan dengan beg tanganku.  Kedua-dua barang tersebut aku ambil.  Aku belek cermin mata hitam itu.  Cepat-cepat aku berpaling, ingin memulangkan cermin mata tersebut kepada lelaki yang ku langgar tadi.  Aku pasti cermin mata hitam itu miliknya.


“Encik,” laungku.  Dia yang berada kira-kira 5 meter di hadapanku terus berjalan seolah-olah tidak mendengar panggilanku.  Aku kuatkan suaraku namun dia tetap terus melangkah, semakin jauh meninggalkan aku.  Apa nak buat ni, fikirku.  Akhirnya aku memutuskan untuk menyimpan sahaja cermin mata itu.