Thursday 24 April 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 32


Dia ni cengeng betul.  Jumpa emak menangis, jumpa boyfriend menangis.  Nampak berani dan yakin, tapi hatinya sensitif.  Mudah sangat merembeskan air mata.  Aish berkata dalam hati sambil memandu.  Sejak dari meninggalkan rumah tadi wajah Samirah masih cemberut. 


            “Boyfriend kau dah balik KL?”  soalan ditanyakan untuk memecahkan suasana hening.  Namun soalan itu terbiar tanpa jawapan.


            “Kalau boyfriend kau belum balik, petang ni dia ambil kau ke?”  soalan kedua pula ditanya.


            “Tak.” 


            “OK, petang ni aku ambil kau macam biasa.”


            “Ira nak pergi rumah mama.”


            “Ok, aku hantarkan.”


            “Tak payahlah.  Ira pergi sendiri. Balik nanti Ira minta mama hantarkan.” 

           

            “Kenapa tak payah?  Takut boyfriend kau cemburu?”


            Kali ini Samirah berpaling.  Wajah Aish yang kelihatan tenang direnungnya lama.  Macam mana dia tau?  Samirah mengeluh.  Kata orang cemburu itu tandanya cinta.  Tapi bagi Samirah cemburu adalah satu bala, lebih-lebih lagi cemburu tidak berasas yang ada pada Irsyad.  Tak mungkin Abang Aish akan jatuh cinta pada aku dan tak mungkin aku akan terpaut pada si kekwat yang sekejap baik, sekejap tidak, hati Samirah berbisik.


            Telefon bimbitnya dikeluarkan.  Pesanan whatsapp yang dihantar oleh Irsyad malam tadi dibaca lagi.  Saya sayang awak sangat-sangat.  Saya takut kehilangan awak.  Please forget what I said and please forgive me. 


            Samirah sudah membalas pesanan itu dengan kata-kata ‘kalau sayangkan saya, tolong percayakan saya dan hormati prinsip saya.  It hurts when someone whom I give a special place in my heart has doubt in me.’


            “Dia marah kau malam tadi?” 


            Samirah berpaling semula ke arah Aish.  Aish sedang merenungnya.  Rupa-rupanya kereta Aish sudah pun berhenti di hadapan bangunan kolej.


            “Taklah.”


            “Habis kenapa kau menangis malam tadi?”


            Kali ini Samirah terpempan.  Wajah Aish direnungnya lama-lama.  Rasanya malam tadi ketika dia balik tak ada pun terserempak dengan Aish. 


            “Abang Aish intip Ira ya?”


            “Eh, apasal pulak aku mengintip kau.  Siapa suruh menangis dekat taman tu?  Lain kali kalau tak nak orang nampak, menangis dalam bilik ke, bilik air ke.”


            Kening Samirah naik dan hampir bercantum.  Ish si kekwat ni, sekejap bunyinya macam prihatin sangat.  Sekejap menyakitkan hati sungguh!


            “Kalau kau nak, aku boleh cakap pada boyfriend kau tu supaya tak payah cemburu.  Kau tak ada pun ciri-ciri yang boleh buat aku terjatuh hati pada kau.”  Ayat pertama Aish buat hati Samirah sejuk tapi ayat keduanya buat hati Samirah panas.  Kalau ia pun nak berterus terang, berlapiklah sikit bahasa tu.


            “Terima kasih Abang Aish, tapi Ira boleh uruskan Irsyad.  Ira minta maaf sebab dia cemburukan Abang Aish.”  Di penghujung ayat nada suara Samirah sudah bergetar.  Matanya sudah terasa panas.  Samirah menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal perasaannya.


            “Malam tadi Ira nangis sebab… Ira sedih… mama tak ada di sisi bila Ira perlukan mama.  Dan Irsyad… kenapa Irsyad tak nak faham?  Abang Aish pulak, kenapa tak suka Ira?  Kenapa bila bercakap suka menyakitkan hati Ira?”


            Akhirnya empangan airmatanya pecah.  Meluncur laju di atas pipinya titis-titis air jernih.  Sejak malam tadi emosi Samirah sangat terganggu.  Lebih-lebih lagi bila mama tiada di rumahnya.  Ingatkan dapatlah dia mengadu dengan mama tentang perbalahannya dengan Irsyad, tapi rupa-rupanya pemergiannya ke apartment mama sia-sia saja.  Pagi ini, entah kenapa, di hadapan Aish dia gagal lagi mengawal emosinya.


            Aish pegun.  Kerongkongnya terasa tersekat.  Lidahnya kelu. 


            “Ira…”


            Belum sempat ayatnya disudahkan Samirah sudah membuka pintu kereta dan pantas berlalu.  Aish hanya sekadar melihat Samirah menghilang di dalam bangunan kolej.  Kepalanya digelengkan dan satu hembusan nafas dilepaskan dengan kasar.  Kau lupa Aish, Samirah bukan lagi budak kecil yang boleh kau kutuk, marah, ejek dan sindir sesuka hati macam dulu-dulu.


           


Latifah memerhatikan anak gadisnya bercerita.  Sejak dia tiba setengah jam tadi, mulutnya belum berhenti bercakap.  Semua yang berlaku antara dirinya dengan Irsyad dan dirinya dengan Aish diceritakan kepada mamanya. 


            “Ira muda lagi.  Mama rasa tak payahlah bercinta dengan Irsyad tu.  Mama rasa dia tak sesuai dengan Ira.”  Selepas Samirah diam barulah Latifah bersuara.


            “Macam mana mama tau dia tak sesuai dengan Ira?  Dia baik, cuma suka mendesak dan kuat cemburu.  Sebelum ni Ira dah agak dia cemburukan Abang Aish sebab bila kami berbual dalam telefon nada suara dia berubah bila Ira sebut nama Abang Aish.”


            “Dengar sini sayang, kalau Ira dan Irsyad sekadar berkawan, dia tak ada hak untuk cemburu.  Selagi dia belum jadi suami Ira, jangan biarkan dia kawal hidup Ira.  Mama rasa baik hadkan saja perhubungan dengan dia sebagai kawan.  Hati mama kuat mengatakan dia dengan Ira tak serasi.”  Bersungguh-sungguh Latifah mencadangkan. 


            Timbul sedikit kehairanan dalam hati Samirah, tapi segera ditepis rasa hairan itu.  Dia yakin mama bercakap berdasarkan tanggapan yang dibuat selepas mendengar cerita Samirah.  Dia pasti mama akan sukakan Irsyad selepas bertemu dengannya.


 “Dengan lelaki mana pun Ira berkawan, ingat pesan mama, jangan benarkan lelaki tu kawal hidup Ira.  Buat keputusan sendiri, atas sebab Ira mahu, bukan sebab dia mahu.”


            Samirah mengangguk.  Kata-kata mama ada benarnya.  Memang pun setakat ini dia tidak pernah membenarkan Irsyad mengawal hidupnya.  Dia menyenangi Irsyad, cuma Irsyad kadang-kadang susah diduga.  Siapa sangka dia akan muncul di rumah Samirah pagi-pagi buta kerana hendak menghantar Samirah bekerja dan seperti semalam, siapa sangka tiba-tiba dia sudah terpacak di hadapan bangunan kolej.  Irsyad juga suka mendesak dan kuat cemburu.


            “Mama, kenapa Abang Aish tu tak suka Ira?  Kata Aunty Kelly, Abang Aish tu tak suka aturan hidup dia diubah, tapi Aunt Kelly juga yang paksa dia hantar dan ambil Ira setiap hari.  Walau pun Ira bengang dengan mulut dia yang laser tu, Ira juga simpati dengan dia.  Disebabkan Ira dia kena marah dan bergaduh dengan girlfriend dia.”


            Lengan anak gadisnya ditepuk lembut sebelum Latifah bersuara “Ira, Aish tu baik orangnya.  Dia datang dari keluarga yang baik juga.  Mungkin Ira yang tak pandai ambil hati dia.  Apa kata Ira tolong bayarkan duit minyak dia, atau hari Ahad tolong basuhkan kereta dia?  Dapat gaji pertama ni belanja dia makan.  Dulu masa kecil elok saja kamu dengan dia.  Mungkin dia jadi macam tu sebab tekanan dari kekasih dia tu, bukannya sebab dia tak suka Ira.”


Samirah diam, memikirkan saranan mamanya.  Macam mana nak ambil hati si kekwat tu kalau pandang muka dia pun aku takut?  Tapi sejak kebelakangan ni kekwat dia dah kurang, dan dia pun dah tak marah-marah kalau aku lewat.  Macam tadi, aku lewat 15 minit tapi dia langsung tak membebel dan terus saja hantar aku ke sini.  Tak mengapalah, rasa-rasanya masalah ni tak sebesar masalah aku dengan Irsyad.


 “Ira rasa masalah ni boleh selesai kalau Ira tinggal dengan mama.  Tentu Ira tak kena sindir, kena marah dan ejek dengan Abang Aish dan dia pun tak payah kena marah dengan girlfriend dia.”


            Latifah melepaskan nafas dengan berat.  “Mama takut papa Ira tak suka.”


            “Kenapa pula papa tak suka?  Ira nak tinggal dengan mama, bukannya dengan orang lain.”  Naik sedikit suara Samirah.  Dia tak faham kenapa susah sangat mama nak benarkan dia tinggal dengan mama?


            “Ira kena faham, papa yang minta Auty Kelly jagakan Ira.  Jadi lebih baik papa sendiri yang cakap dengan Aunty Kelly.  Kita pun tak mau Aunty Kelly kecil hati kalau Ira pindah dari rumah dia.”

           

Samirah memikirkan kata-kata mamanya.  Betul juga kata mama.  Dia harus bincangkan dulu perkara ini dengan papanya.  “Esok lepas kerja Ira balik KL naik flight.  Nanti Ira cakap dengan papa Ira nak tinggal dengan mama.  Ira akan bawa kereta ke sini.  Hmmm bestnya lepas ni dah tak perlu tumpang Abang Aish dan boleh makan masakan mama setiap hari.”


            Bahu mamanya dirangkul.  Samirah lentokkan kepala di bahu mamanya sambil tersenyum girang.  Latifah melepaskan keluhan kecil namun tidak disedari oleh Samirah.

 



Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas agak sibuk pada petang Jumaat.  Agak lama menunggu untuk memberhentikan keretanya di hadapan pintu masuk balai berlepas, akhirnya Aish membuat keputusan untuk masuk saja ke kawasan parkir.


            “Abang Aish tak payahlah susah-susah hantarkan Ira sampai dalam.”  Kata Samirah. 


            “Tak apalah, aku pun tak sibuk.  Aku temankan kau sampai kau boarding.” 


            Samirah akur saja.  Dalam hatinya terdetik tidak mahu menyusahkan Aish tapi kalau diluahkan perasaannya takut nanti jadi berbalah pula.  Keluar dari kereta Aish menemaninya ke kaunter daftar masuk. 


            “Ada lagi setengah jam sebelum boarding.  Ira nak belanja Abang Aish minum… boleh?”  Pesanan mama semalam agar dia berusaha mengambil hati Aish terngiang-ngiang di telinganya.


            Pelik.  Tak pernah-pernah nak belanja aku.  Semalam satu hari moodnya tak baik, hari ni bukan setakat nampak ceria, siap nak belanja aku minum.  Aish berkata dalam hati.  Wajah manis Samirah yang sedang tersenyum ditenungnya lama.  Perlahan-lahan kepalanya dianggukkan.


            “Siapa jemput kau di LCCT?” Soal Aish selepas menghirup lattenya.


            “Aidid.”


            “Kenapa buah hati tak jemput?”


            “Ira tak minta dia jemput.”


            “Kenapa?”


            Haish si kekwat ni, itu pun dia nak tau.  Sabar Ira, jangan cepat marah.  Gaya dia tanya tu macam ikhlas nak tau.  Bersangka baiklah dengan dia, kata hati Samirah.


            “Kalau dia jemput Ira, dia mesti akan ajak makan, duduk sembang-sembang.  Ira tak nak.  Ira nak balik terus.”


            Aish mengangguk.  “Aku harap kau orang dah tak bergaduh lagi.”


            “Tak.  Dia dah minta maaf.  Dia mengaku dia cemburu dan Ira dah bagi tau tak perlu cemburu.  Hati Ira tetap pada dia.”


            Aish mengangguk lagi.  Lega. 


            “Abang Aish dengan Luna macam mana?”  Aish panggung kepala dan memandang tepat ke wajah Samirah.  Lama dia merenung sebelum bahunya diangkat.


            “Nanti Ira balik bawa kereta, Ira dah tak tumpang Abang Aish lagi.  Abang Aish dah tak payah gaduh dengan Luna lagi.  Ira tak nak kerana Ira Abang Aish bergaduh dengan girlfriend.”


            Aish paksa bibirnya untuk tersenyum.  Biarlah luka yang sudah ada dalam hati tidak terlihat pada riak wajah.  Senyumannya buat Samirah merasa lega lalu dibalas dengan senyuman juga.  Untuk seketika mereka sekadar merenung. Ada sesuatu dalam wajah lembut itu yang membuatkan mata Aish melekat padanya.  Samirah pula tiba-tiba rasa malu bila Aish merenungnya begitu. 


            “Ira rasa dah boleh masuk sekarang,” kata Samirah.  Pandangannya dilarikan dari wajah Aish.  Aish berdiri.  Beg sandang yang diletakkan di kerusi sebelah diambil.  Sebuah buku dikeluarkan dan dihulurkan kepada Samirah.              “Nah.  Boleh baca dalam flight nanti.”


            La Tahzan Gadisku,” kata Samirah perlahan sambil memandang ke arah kulit buku.  Aish mengangguk.  Kata Wizan buku itu sesuai untuk dihadiahkan kepada gadis seusia Samirah jadi Aish belikanlah.


            “Untuk Ira?”


“Habis tu?  Takkan aku belikan untuk Aidid pulak.”  Samirah panggung kepala.  Dia tak terasa marah dengan nada suara Aish.  Sebaliknya dia tersenyum.  “Terima kasih.  Nanti Ira baca.  Ira pergi dulu.  Terima kasih hantarkan Ira ke sini.” 


Aish memerhatikan sehingga kelibat Samirah menghilang.  Teringatkan kata-kata Samirah tadi, dia tersenyum sinis.  Sudah lebih daripada seminggu dia tidak berhubungan dengan Luna.  Panggilan dan pesanan Luna semuanya dibiarkan tidak berjawab.  Sebelum-sebelum ini, bila saja Luna bekerja mereka sentiasa berhubung melalui telefon.  Pagi Luna ada penerbangan, tengahari Aish sudah merindu.  Sekarang rasa rindu kepada Luna tidak ada dalam hatinya. 


            Aish melangkah ke arah tempat parkir kereta.  Tidak lama kemudian satu susuk tubuh yang dikenalinya menangkap pandangannya.  Aish melajukan langkahnya.  Dadanya berdebar.  Hatinya sakit bila melihat pinggang ramping berbalut pakaian seragam pramugari dirangkul mesra oleh lengan sasa seorang lelaki.  Dengan kasar lengan kirinya menarik tangan halus si gadis.


            “Hei, apa ni?”  Jerit Luna sambil tubuhnya tertarik ke belakang kerana lengannya ditarik dengan kuat.  Dan apabila matanya menangkap wajah Aish, Luna terkedu.  Syed Iqbal yang turut berpusing terlepas rangkulan pada pinggang Luna.


            “A… Aish.”  Itu saja yang mampu keluar dari bibir Luna.  Wajah Aish yang merenung tajam ke arahnya menimbulkan rasa takut dalam hati Luna.  “A… apa you buat kat sini?”  Luna bertanya.  Aish tidak menjawab, sekadar memandang Luna dengan hati yang membara.


            “Hello Aish,” sapa Syed Iqbal sambil dengan selamba menghulurkan tangan untuk berjabat.  Mata Aish berkalih ke arah Syed Iqbal pula.  Diberikan lelaki itu pandangan tajam, sama seperti yang diberikan kepada Luna.  Tangan Syed Iqbal tidak dihiraukan.  Sudahnya Syed Iqbal turunkan tangannya.  Dia membisikkan sesuatu kepada Luna sebelum berlalu meninggalkan Luna dan Aish.


            “Err… II baru sampai.  Kebetulan terjumpa dengan Syed, so Syedhe offers to send me home.”  Luna gugup.  Renungan mata Aish adalah sesuatu yang tidak pernah dilihatnya.  Jejaka tampan yang muda dua tahun daripadanya nampak sungguh marah. 


            He offers to send you home?  Baguslah.  Kereta dia lebih besar dan lebih hebat daripada kereta I.  Memang itu yang you idamkan selama ni kan?  Kalau you dah tak suka kat I, just be frank with me.  You nak sangat dengan Syed tu, pergilah.  Jangan cari I lagi!”


            Luna terpempan.  Tidak disangka akan bertemu Aish di sini.  Memang dia mahu memutuskan perhubungannya dengan Aish, tapi bukan dengan cara ini.  Dia sedang merancang hendak mencari jalan agar Aish boleh dipersalahkan di atas retaknya perhubungan mereka.  Mengikut perancangan Luna, malam ini dia akan menelefon Aish dan mengajak Aish untuk keluar esok dan bila mereka berjumpa esok dia mahu memberitahu Aish dia sudah tidak tahan dengan sikap Aish yang lebih mementingkan ibu bapa dan Samirah daripada Luna.  Nampaknya rancangan Luna gagal.


            “Aish!  Dengarlah explanation I!”  Luna melaung bila Aish terus berlalu.  Laungan Luna tidak dihiraukan, sebaliknya Aish terus berjalan dengan laju.  Hatinya tebal dengan kemarahan dan kekecewaan.  Benarlah kata Molly dan Wizan, Luna sudah mengkhianati cintanya.

Sunday 20 April 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 31


Assalam dan hai x3.  Maaf lambat mengupload bab seterusnya.  Isma tak berapa sihat kebelakangan ni.  Untuk yang merindui Irsyad Rifqi, harap terhibur.
BAB 31
Sampai saja di luar bangunan kolej mata Samirah menangkap sebuah motorsikal kuasa tinggi berwarna perak berkilat yang baru berhenti di hadapan bangunan kolej.  Terpegun Samirah melihat motorsikal berjenama BMW model K1200GT.  Mata Samirah merayap, dari tubuh motorsikal yang kelihatan sangat gagah dan mewah, naik ke tubuh penunggang motorsikal.  Si penunggang membuka topi keledar dan sebaik saja wajah si penunggang terserlah, dagu Samirah jatuh.


            My sweet Samira” senyuman tergaris di bibir Irsyad sebaik saja kata-kata diucapkan.


            “Irsyad!”  Bibir Samirah turut mengukir senyuman.  Macam tak percaya, tapi benar yang dilihat dan didengar suaranya adalah Irsyad Rifqi.  Irsyad turun dari motorsikal dan mara menghampiri Samirah.


            “Awak tak bagi tau pun nak datang.”


            “Maaf, saya sibuk.  Baru sampai dari Kota Kinabalu semalam.  Lepas mesyuarat tadi terus saya pecut ke sini.  I miss you so much.  I can’t wait any longer.”


            “Ya Allah!  Irsyad… awak tak perlu bersusah payah datang.  This weekend saya nak balik KL, kita boleh jumpa.”


            “Saya tak boleh tunggu sampai weekend.  I terribly miss you.  I took the bike so that I could reach here faster.”  Kata-kata Irsyad buat Samirah terpempan.  Dia hanya mampu merenung ke dalam mata Irsyad.  Sebenarnya dia juga sangat-sangat rindukan Irsyad.


            “Boleh awak luangkan masa dengan saya?”  Pantas Samirah mengangguk. 


            “Kita pergi jalan-jalan, makan dan lepas tu saya hantar awak balik.”  Hampir saja dia mahu mengangguk lagi, tapi logik akalnya pantas menegah.  Pandangannya dikalihkan ke arah motorsikal mewah Irsyad.


            “Irsyad, maaf… saya tak biasa naik motorsikal dengan lelaki.”  Rasa bersalah menyelinap dalam hati Samirah.  Hatinya tersentuh dengan kesungguhan Irsyad datang menemuinya, tapi dalam masa yang sama prinsipnya tidak akan dilanggar.


            Irsyad Rifqi tersenyum dan senyuman itu membuahkan rasa lega kepada Samirah.  Risau juga kalau-kalau Irsyad berkecil hati.    Another one in your tak biasa list.  Saya dah agak dan saya dah siapkan kereta untuk bawa awak.”


            “Irsyad.”  Itu saja yang mampu Samirah katakan.  Lidahnya kelu untuk terus bersuara kerana hatinya tersentuh dengan keprihatinan Irsyad.  Sudahnya mereka hanya saling memandang dan saling menghadiahkan senyuman.


            “Ira.” Samirah dan Irsyad sama-sama berpaling ke arah datangnya suara.  Baru Samirah teringatkan Aish.  Bila melihat Samirah berbual dengan Irsyad, Aish keluar dari kereta dan mendekati mereka.


            “Abang Aish, kenalkan ini kawan Ira dari KL, Irsyad Rifqi.”


            Tanpa sebarang prasangka Aish menghulurkan tangan untuk bersalam.  Irsyad pula merenung Aish dari atas ke bawah sebelum akhirnya menyambut salam yang dihulurkan.


            “Irsyad Rifqi.  Buah hati Samira.”  Tegas nada suaranya.  Tangan Aish dicengkam kuat.  Menyelinap rasa hairan dalam hati Aish. 


            So Ira nak balik dengan dia?”


            Yes,” jawab Irsyad dengan nada suara yang tegas.   Keningnya dijungkitkan.  Apahal mamat ni, kot ya pun tak payahlah angkat-angkat kening tu, fikir Aish dalam hati.


            “Sorry Abang Aish, Ira keluar dengan Irsyad sekejap.  Abang Aish tolong bagi tau Aunty Kelly ya.”


            Aish mengangguk.  Wajah Irsyad dikerling sejenak sebelum dia berlalu ke arah keretanya.  Entah kenapa dia tak suka dengan cara Irsyad memandangnya.  Ada sesuatu yang pelik dalam cara dia memandang Aish.  Ah lantaklah, mungkin memang begitu cara dia memandang seseorang, fikir Aish sambil membuka pintu kereta.  Tapi cara dia bersalam tadi pun lain macam, fikir Aish lagi.


           


Angin petang yang bertiup sederhana di puncak Bukit Bendera membuai tudung berwarna ungu muda yang melekat di atas kepala Samirah.  Irsyad yang duduk berhadapan dengannya tersenyum girang.


            “Ini kali pertama saya naik Bukit Bendera,” suara lembut Samirah menerpa telinga Irsyad manakala senyuman yang tergaris di bibir Samirah menyapa mata Irsyad. 


“Dari sini kita dapat tengok matahari terbenam,” kata Irsyad.  Dibalas dengan anggukan daripada Samirah.  Mereka duduk di hadapan sebuah restoran di puncak Bukit Bendera, menanti makanan dihidangkan.


            Bila makanan dihidangkan, mereka makan dengan senyap.  Baik Samirah mahu pun Irsyad masing-masing melayan perasaan.  Beraneka perasaan bermain dalam hati.  Ada rasa girang yang tak mampu diluahkan apabila wajah yang dirindui tiba-tiba muncul.  Terasa terharu juga apabila mengenangkan kesungguhan Irsyad yang sanggup datang dari jauh, sedangkan dia sibuk.  Menyelinap juga perasaan bersalah kerana dia terasa dia telah menyusahkan Irsyad.


            “Samira.”  Suara Irsyad kedengaran seperti berbisik.  Samirah mengangkat wajahnya.


            “Saya tak pernah rindukan seorang gadis seperti saya merindukan awak. Kalau saya tak datang jumpa awak hari ni, saya rasa saya boleh jadi gila.”


            “Irsyad janganlah.  Saya tak mau sesiapa pun jadi gila kerana saya.  Tanjung Rambutan tak ada tempat untuk awak.”  Samirah senyum, cuba berjenaka namun Irsyad tetap merenung dengan wajah serius.


            “Tak kiralah ada tempat atau tidak di mana-mana sekali pun, yang penting dalam hati awak ada tempat untuk saya.”  Samirah sekadar mengangguk, lidahnya kelu.


            “Janji dengan saya, awak tak akan beri hati awak kepada lelaki lain.”  Samirah mengangguk lagi, namun entah kenapa Irsyad belum merasa lega.


            “Saya harap awak tak lama di sini.  Saya nak awak dekat dengan saya.”


            “Irsyad, sabarlah.  Saya masih perlu pujuk mama untuk kembali ke pangkuan keluarga.  Saya nak pujuk mama supaya rujuk dengan papa.”


            “Perlukah?”


            “Perlu.  Saya nak keluarga saya bersatu semula.  Keluarga saya kecil, bila berpecah macam ni, kesannya besar pada diri saya.”


            “Kenapa tak besarkan saja keluarga awak, ambil ahli keluarga baru?” 


Samirah pandang Irsyad dengan dahi berkerut.


            “Bila-bila masa saja saya sedia jadi ahli keluarga awak.  As a life partner to you, brother in law to Aidid, son in law to your parents.  Tapi awak tak sudi terima saya… may be… I am not good enough for you.”


            Samirah teguk air liur.  Kata-kata Irsyad mengapungkan rasa serba salah.    “Irsyad, saya tak pernah kata tak sudi.  Awak ni memandai saja buat andaian.  Saya kata saya belum boleh bagi keputusan sebab priority saya sekarang ialah mencari mama dan menyatukan semula keluarga saya.”


            “OK, sorry, saya salah buat andaian.  Tapi awak kan dah jumpa mama awak.  Berapa lama lagi awak perlukan sebelum awak setuju menerima lamaran saya?”


            Wajah Irsyad ditenung lagi.  Kali ini renungannya tepat menikam ke dalam mata Irsyad.  Debaran dalam dada sejak melihat Irsyad di hadapan bangunan kolej masih belum hilang, cuma mereda.  Betapa debaran ini adalah hasil dari kerinduan yang tersimpan sejak dia menjejakkan kaki di Penang. 


            “Irsyad, baru tiga minggu saya di sini.  Saya baru jumpa mama tiga kali.  Saya belum pun mulakan usaha untuk pujuk mama supaya rujuk dengan papa.  Susahkah untuk awak bersabar dengan saya?”


            Irsyad terpempan.  Kesantunan bicara Samirah dan keayuan wajahnya tidak sama dengan ketegasan nada suaranya.  Remember Qi, she’s not your staff who you can push for result.  Be kind and gentle with her, hati Irsyad berbisik, mengingatkan dirinya agar tidak terus mendesak.


            “Esok pagi-pagi saya dah kena balik.”


            “Kesian awak.  Tentu awak penat.  Itulah saya dah kata tak payah datang.  Kan weekend ni saya balik KL.”


            “Kan saya kata tadi saya rindukan awak.  Dah tak tertahan rindu ni.  Kalau boleh saya nak belah dada ni, tunjukkan awak besar mana perasaan rindu yang ada dalam hati saya.”


            Samirah ketawa kecil.  “Kalau perasaan rindu awak tu boleh muat dalam dada, maknanya tak besarlah.”


            “Tak besar… tapi dalam.  Cuba awak rasa degupan jantung saya.”  Sebaik saja kata-kata itu dilafazkan Irsyad menarik tangan Samirah dan meletakkan di atas dadanya.  Samirah terpempan.  Dia cuba menarik tangannya tapi Irsyad menggenggam dengan kuat.


            “Irsyad… tak baiklah macam ni.  Kita… awak tak boleh pegang saya.”


            “Saya tak sentuh pun kulit awak.  Lengan awak berlapik kan.”


            “Bukan soal berlapik atau tidak.  Soalnya awak dan saya…” 


            Irsyad segera melepaskan tangan Samirah.  Dia tahu Samirah bukan seperti gadis lain yang bukan setakat dipegang, dipeluk pun mereka rela.  Lebih-lebih lagi dengan lelaki kaya dan berpangkat seperti dia.


            “Saya perlu balik sekarang.”  Kata Samirah.  Pinggan yang tadi penuh dengan lamb chop sudah licin.  Jus tembikai dalam gelasnya pun tidak bersisa lagi.


            “Awal lagi.  Tak boleh ke awak luangkan masa lebih lama dengan saya?  Kalau awak marah sebab saya pegang awak tadi, saya minta maaf.   I won’t touch you again.  Saya janji awak akan selamat dengan saya.” 


            Samirah tidak menjawab.  Matanya melihat sekeliling.  Tidak ramai orang di puncak Bukit Bendera waktu itu.  “Awak tau kan prinsip saya?  Saya mesti balik sebelum pukul 9.”


            Irsyad menggeleng.  “Samira, your father is not here to monitor you.”


            It’s my choice Irsyad.  Tak ada kena mengena dengan papa.  Lagi pun saya menumpang di rumah Aunty Kelly.  Tak manis kalau saya balik lambat.”  Kali ini Samirah bertegas.


            Irsyad mengeluh.  Ingatkan dapatlah meluangkan masa lebih lama dengan Samirah, rupa-rupanya prinsip dia di KL masih digunapakai di Penang juga.  Sudahnya dia mengalah.  Mereka bergerak menuju ke stesyen keretapi.


“Saya hantar awak balik.”  Ujar Irsyad sebaik saja mereka tiba di bawah.  Kali ini suaranya sudah lembut.  Irsyad berjalan bersaing dengan Samirah ke arah tempat keretanya diparkir.  Alat kawalan jauh kereta Toyota Rush yang disewa untuk hari ini segera ditekan.  Ketika hendak memasuki kereta barulah Irsyad perasan Samirah sekadar berdiri kaku tidak jauh daripadanya.


“Irsyad, saya hargai usaha awak bersusah payah datang dari jauh untuk jumpa saya.  Saya rindukan awak dan seronok dapat jumpa dengan awak.  Satu perkara yang saya nak awak tau, di mana pun saya berada prinsip saya tetap sama.  Maafkan saya, awak tak perlu hantar saya balik.”


Pintu kereta ditutup.  Irsyad menyandarkan belakangnya pada kereta.  Tangannya disilangkan di hadapan dan wajah Samirah direnung dengan pandangan tajam.  Wajahnya masam mencuka semula.  Samirah rasa serba salah, tapi membenarkan Irsyad Rifqi menghantarnya pulang bermakna Irsyad akan tahu di mana dia tinggal.  Kalau Irsyad sudah tahu di mana Samirah tinggal, kemungkinan untuk Irsyad tiba-tiba saja muncul di depan rumah sangat besar.  Samirah sangat-sangat tidak mahu perkara itu terjadi.


“Nak luangkan masa dengan saya lama sikit tak boleh.  Saya nak hantar balik tak boleh.  Tapi kalau dengan Abang Aish awak tu semua boleh.  Apa bezanya saya dengan Abang Aish awak tu?  We are both not your mahram.  Awak tak percayakan saya Samira?”


Terjungkit kening Samirah bila mendengar kata-kata dari Irsyad.  Inilah kali pertama dia mendengar Irsyad bercakap dengan nada suara yang tinggi kepadanya.  Di wajah Irsyad pula terpamer riak tidak puas hati. 


“Irsyad, papa dah amanahkan Uncle Sam, Aunty Kelly dan Abang Aish untuk jaga saya.  Jenuh saya mengelak untuk pergi dan balik kerja dengan Abang Aish, tapi Aunty Kelly bertegas mahu Abang Aish hantarkan saya.  Saya dah jumpa mama tapi mama belum benarkan saya tinggal dengan dia.  Hujung minggu ni saya akan balik KL dan bawa kereta ke Penang.  Lepas tu saya dah tak perlu tumpang Abang Aish lagi.  Dan insyaAllah, nanti saya akan tinggal dengan mama.”


Irsyad diam.  Hatinya belum puas dengan penerangan Samirah.  Rasa cemburu terhadap lelaki bernama Aish dan rasa khuatir kalau-kalau Samirah berubah hati bersarang dalam hatinya.


“Irsyad,” ada nada memujuk dalam suara Samirah namun Irsyad masih cemberut.


“Awak tak perlu cemburukan Abang Aish.  Dia kan saudara saya.  Lagi pun dia dah ada girlfriend.”


Irsyad mendegus.  “Orang dah kahwin pun boleh bercerai, ini baru setakat girlfriend.”


“Awak sindir ibu bapa saya?”  Kali ini Samirah pula hilang sabar.  Dia tak faham kenapa Irsyad harus berkata begitu.  Dia lebih tak faham kenapa pertemuan untuk melepaskan rindu harus diakhiri dengan perbalahan hanya kerana dia tidak mahu Irsyad menghantarnya pulang.


Sorry Samira, I am just talking in general.  Not referring to your parents.  Saya tak faham kenapa awak susah sangat nak luangkan masa dengan saya dan kenapa saya tak boleh hantar awak balik.  Kalau awak nak, sekarang juga saya call papa awak untuk minta izin.”  Suara Irsyad masih keras. 


“Awak masih anggap papa control saya?  Ini bukan soal papa.  Dengan siapa saya keluar, pukul berapa saya balik, macam mana saya balik semuanya keputusan saya.  Irsyad, awak tak akan faham kalau awak tak mau faham.”


“Memang saya tak faham.  If you can say no to me, why can’t you say no to your aunty, uncle and that Abang Aish of yours?”


  “Irsyad, mereka tu saudara saya!  I have known them from young.”  Wajah Samirah tegang. 


“Dan saya bukan sesiapa pun dalam hidup awak,” pantas dicantas oleh Irsyad.  “Saya tak penting.  Awak tak kisah pun saya meredah perjalanan jauh untuk berjumpa dengan awak.”


Samirah diam.  Dia kehilangan kata-kata untuk membalas, hanya mampu memandang ke wajah Irsyad dengan dahi yang berkerut sambil mengetap bibir.  Buat seketika Samirah dan Irsyad hanya saling merenung, dengan hati masing-masing panas akibat perbalahan yang tidak sepatutnya terjadi.


“Terima kasih sebab datang jumpa saya.  Esok bila awak balik KL, baik-baik bawa motor, jangan bawa laju-laju.  Take care.”  Akhirnya meletus dari bibir Samirah.  Dia berpaling dan berjalan dengan laju.  Namun langkah Irsyad lebih pantas.  Lengan Samirah ditarik dan dipegang kuat, bagaikan tidak mahu gadis kesayangan terlepas dari genggaman.


“Samira, listen.  Please be reasonable.”  Suara Irsyad tinggi.  Tubuh Samirah ditarik kuat hingga terdorong ke depan, jarak wajahnya dan wajah Samirah hanya beberapa inci.


Reasonable?  Siapa yang tak reasonable, saya atau awak?  Awak datang sini sebab rindukan saya atau sebab awak cemburu?”  Soalan Samirah membuatkan Irsyad terpempan.  Samirah tarik lengannya dari pegangan Irsyad.  Kebetulan ada sebuah teksi yang memang sedang menunggu penumpang.  Samirah terus masuk ke dalam teksi.  Laungan Irsyad tidak dihiraukan.  Dia rasa nak menangis.