Monday 7 April 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 29


“Cantik kan selendang ni?”  soal Samirah sambil sebelah tangannya mengusap selendang yang dipegang tangan sebelah lagi.


            “Cantik.”  Aish berkata sepatah sambil matanya masih merayap di setiap ruang wajah Samirah.  Dulu tak cantik, muka banyak jerawat.  Sekarang kulit muka dia licin dan bersih. 


            “Sesuai kan dengan mama?”


            “Hmm, sesuai.”  Kata mulut Aish.  Akhlak yang baik, tutur kata yang sopan dan keyakinan diri yang tinggi sesuai dengan wajah manisnya, kata hati Aish pula.


            Samirah berpaling ke arah Aish.  Matanya bertembung dengan mata Aish.  Lama mata mereka bertatapan, hingga berkerut dahi Samirah melihat Aish yang hanya berdiri kaku memandangnya.  Samirah tak faham apa maksud pandangan itu kerana wajah Aish selamba tidak beriak


“Abang Aish, ah.. Ira nak pergi tengok jubah sekejap.  Abang Aish  nak pergi jalan-jalan pergilah.  Tak payah tunggu Ira kat sini,”  akhirnya Samirah bersuara.  Tak sanggup pula kalau sepanjang dia memilih jubah mata Aish mengekori setiap pergerakannya. 


Kata-kata Samirah menyedarkan Aish tentang perbuatannya.  Ish buat apalah aku tenung dia lama-lama, bertanya dalam hati kepada diri sendiri.  Termalu dengan perbuatannya, Aish hanya mampu mengangguk sebelum terus berjalan keluar dari butik muslimah yang terletak dalam Kompleks Bukit Jambul. 


Belum ramai pengunjung di Kompleks tersebut, mungkin kerana masih awal untuk orang ramai membeli belah di pagi Ahad.  Aish sekadar menyusuri kedai-kedai yang kebanyakannya masih lengang.  Tiada apa yang mahu dibeli.  Dia ke sini pun kerana Samirah mahu membelikan mamanya tudung dan jubah.  Sepuluh minit kemudian bila dia kembali ke butik tersebut, Samirah sudah sedia menunggu.


“Dah?”  soalan Aish dibalas dengan anggukan.  Cepat, bisik hati Aish.  Tak macam Luna, kalau membeli berjam-jam.  Setiap inci barang yang dibeli mesti dibelek dan diteliti.  Kadang-kadang membelek saja lebih, akhirnya tak beli pun. 


Aish mendahului di depan, berjalan menuju ke tempat parking kereta.  Telefon Samirah berbunyi.  Pantas tangannya mengeluarkan telefon dari dalam beg.  Senyuman terukir di bibir saat mata menangkap nama yang terpampang di skrin telefonnya.


“Assalamualaikum sayang.  How are you?”  suara parau Irsyad Rifqi kedengaran di hujung talian.


“Waalaikumussalam.  Saya sihat.  Awak?”


“Sentiasa sihat bila dapat dengar suara awak.”  Irsyad sudah mula mengayat.  Samirah tersenyum.  Tubuhnya dipalingkan, seganlah kalau Aish mendengar perbualannya dengan Irsyad.  Aish pula berhenti berjalan dan sekadar menunggu.


Where are you now?”


“Saya baru habis beli tudung dan jubah untuk mama.  Awak kat mana?”


“Baru nak mula main golf dengan daddy dan Tan Sri Azman.  Saya tak ada mood nak main sebenarnya.” 


“Kenapa pulak?  Kan golf tu favourite game awak?”


I rather be with my favourite girl.  Kalau tak kerana ada game hari ni, saya dah ada di Penang sekarang.”


“Irsyad, awakkan anak yang baik.  Eloklah awak luangkan masa dengan daddy awak.”


“Tapi saya juga nak jadi buah hati yang baik.  Saya nak luangkan masa dengan buah hati saya juga.”  Ayat manis Irsyad buat Samirah tersenyum.


“Saya faham awak sibuk.  Awak ingat saya pun dah cukup baik bagi saya.”


But not good enough for me.   I really miss you and I want to be with you.  Dengar suara awak saja tak cukup.  Saya nak renung mata awak yang cantik bersinar, nak dengar suara awak yang gemersik, nak tengok bibir comel awak kunyah makanan, nak bawa awak jalan-jalan dan nak belanja awak makan.  Kat Penang tu ada banyak tempat makan yang tentu awak akan suka.  Yang paling saya nak buat ialah tengok sunset dengan awak.”  Suara Irsyad kedengaran seperti separuh merayu, separuh menggoda. 


Pipi  Samirah terasa membahang.  Dia tak tau apa nak dikata.  Hanya mampu tersenyum dengan lebih lebar lagi.  Samirah berpaling sambil telinganya menangkap setiap butir kata-kata Irsyad.  Matanya hinggap pada wajah Aish yang berdiri dengan kedua tangan di dalam kocek seluar sambil memandang ke arah Samirah.  Baru Samirah tersedar dia telah membuatkan Aish menunggu.


“Irsyad, nanti kita borak lagi ya.  Kesian Abang Aish sedang tunggu saya tu.”


“Kenapa dia tunggu awak?” ada nada kurang senang dalam suara Irsyad Rifqi. 


“Abang Aish hantarkan saya ke rumah mama.” 


“Awak tak boleh pergi sendiri ke?”  Soalan yang Irsyad tanyakan dengan nada suara yang sedikit tinggi membuatkan Samirah tersentak. 


“Kebetulan girlfriend Abang Aish kerja hari ni, dia ada masa lapang jadi dia hantarkanlah saya.”


“Dia temankan awak shopping sekali?”  Sangat jelas di pendengaran Samirah nada kurang senang dalam soalan yang dituturkan oleh Irsyad. 


  “Ya.  Irsyad nanti kita borak lagi ya.  I’ll call you tonight.  Assalammualaikum.”  Samirah matikan talian sebaik saja salamnya disambut oleh Irsyad.  Dari nada suara Irsyad dia seperti mahu terus berbual tapi Samirah rasa tak wajar membiarkan Aish menunggu lebih lama.  Nanti datang angin kekwat Aish, jenuhlah Samirah terpaksa menadah telinga mendengar leteran Aish.


Di hujung talian Irsyad merenung telefon bimbitnya dengan hati yang mula membengkak.  Sejak dua tiga hari ni banyak sangat Samirah menyebut nama Abang Aish.  Dia cemburukan lelaki bernama Aish yang sentiasa dapat bersama Samirah, sedangkan dia hanya dapat mendengar suara gadis pujaan hatinya.  Sesuatu harus dilakukan, dan dilakukan segera.  Bisik hati Irsyad Rifqi.




Latifah menyambut kedatangan Samirah dan Aish dengan senyuman.  Seperti yang dijanjikan semalam, dia sudah siap memasak gulai asam pedas ikan pari yang diminta oleh Samirah semalam.


            “Masuklah sekali Aish.  Makan tengahari di sini.  Aunty dah siap masak,” Latifah mempelawa bila dia lihat Aish tidak masuk ke dalam apartmentnya. 


            Aish pandang Samirah.  Isyarat yang sama diberikan seperti semalam, jadi Aish faham Samirah mahu meluangkan masa dengan mamanya tanpa gangguan.  Tentu ada perkara yang tak boleh dibualkan kalau Aish ada bersama mereka.


            “Masuklah Aish.  Aunty masak untuk Aish sekali.”  Pelawaan kedua Latifah yang dibuat bersungguh-sungguh dan renungan Samirah membuatkan Aish serba salah.


            “Erm mama, Abang Aish ada hal.  Dia kena pergi.  Nanti dia datang balik jemput Ira,” pantas Samirah mencelah.   Memang dia tak mau Aish mendengar kisah rumah tangga mama dan papa. 


“Alah, masuk sekejap saja.  Kita makan sama-sama, lepas tu Aish pergilah.”  Latifah masih memujuk.  Sudahnya Aish masuk walaupun Samirah menjeling tajam.  Apa nak buat, kalau tak masuk nanti apa pula tanggapan Aunty Latifah.  Lagi pun dia memang sudah lapar. 


Bukan Samirah seorang, Aish pun makan dengan sangat berselera sampai dua kali tambah nasi.  Samirah yang memang sangat rindukan masakan mamanya tak henti-henti memuji kelazatan asam pedas, sambal goreng jawa dan kacang botol goreng berencah udang kering yang dimasak oleh mamanya.  Usai makan Samirah mengemas meja.  Tanpa dipinta Aish turut membantu.  Latifah sekadar memandang saja mereka berdua sambil tersenyum.


            “Lepas ni aku balik.  Aku tau kau tak selesa nak berborak dengan mama kau kalau aku ada.  Bila kau nak balik nanti, call aku.    Kata Aish sambil menyambut pinggan yang sudah dibilas oleh Samirah dan meletakkannya dia atas rak pengering.


            “Terima kasih.”  Samirah membalas.  Lega hatinya bila Aish memahami apa yang tersirat dalam hatinya. 


            “Maaf tadi Ira buat Abang Aish tunggu lama.”


             “Biasalah, mana ada orang berborak sekejap saja dengan boyfriend.  Aku faham.”


            Ayat Aish buat Samirah berpaling ke arahnya.  Tangannya berhenti bekerja.  Wajah Aish ditenung.  Hairan bin ajaib.  Abang Aish hari ni adalah orang yang sangat memahami.  Kan bagus kalau tiap-tiap hari Abang Aish faham dia tak boleh suka-suka keluar pejabat tepat-tepat pukul 5.30 petang dan kalau pun dia keluar tepat pada waktunya, lif di bangunan kolej tu sentiasa penuh pada waktu itu.  Kalaulah Aish seorang yang memahami, tentu Samirah tak kena marah bila lambat keluar dari pejabat.


            “Pandang aku lama-lama ni apahal?”  Aish mula rasa pelik bila mata Samirah melekat pada wajahnya.  Samirah pusingkan muka, dan tangannya menyambung kerja membasuh pinggan.


            “Kau jangan suka sangat tengok muka aku.  Aku ni hensem.  Aku takut kalau selalu sangat kau tenung aku, kau jatuh cinta kat aku.  Payah nanti.  Boyfriend kau marah, girlfriend aku pun marah.  Kalau girlfriend aku marah, tak ada hal.  Orang hensem macam aku ni senang je nak dapat girlfriend baru.  Kau tu, belum tentu boleh dapat boyfriend baru.”


            Tangan Samirah berhenti membilas pinggan.  Dagunya jatuh, matanya membulat.  OMG!  Si kekwat dah kembali, kata hatinya.  Tangan kanan mencapai span.    Mukanya dipusingkan ke arah Aish.


            “Memang Abang Aish hensem.  Lagi hensem kalau dibasuh macam ni” kata Samirah, dan span yang dibasahi sabun pencuci pinggan ditonyoh ke pipi Aish.  Aish yang terkejut terus berpaling mengadap Samirah.


            “Hoi!  Apa ni!” jerit Aish.  Tangan kirinya pantas mencekak tangan kanan Samirah yang masih menggenggam span.  Kurang asam!  Getus hati Aish.


“Pecah kaca pecah sampan, lain kali jangan perasan.”  Kata Samirah sambil buat muka selamba.  Span tak dilepaskan, takut kalau-kalau Aish membalas. Aish memandang Samirah dengan geram.  Samirah sikit pun tak takut dengan renungan mata Aish.  Pipi kiri Aish yang dibasahi buih dipandang dengan senyuman tersungging di pinggir bibirnya.  Padan muka, kata Samirah dalam hati.


“Suka ya?”  kata Aish.  Samirah mengangkat kening dan bahunya serentak.  Aish angkat lengan Samirah.  Mukanya dibawa mendekati lengan dan pipi yang dibasahi buih sabun digesekkan di lengan Samirah.  Tindakan Aish membuatkan terkedu.  Dadanya berdegup pantas.


“Lepaslah,” Samirah cuba tarik lengannya tapi Aish kuatkan cengkamannya.  Pipinya sudah kering manakala lengan baju Samirah pula yang basah.  Tapi Aish masih belum puas hati.  Lengan kiri Samirah pula dicapai dan digenggam kuat-kuat.


            Debaran di dada Samirah semakin hebat.  Menyesal dia sapu muka Aish dengan span tadi.  Cengakaman tangan Aish dan renungan tajam matanya menimbulkan rasa takut dalam hati Samirah.  Dengan sekali rentap tubuh Samirah terdorong ke depan, mengakibatkan wajahnya dekat dengan wajah Aish. 


“Abang Aish lepaskan tangan Ira,” kali ini suaranya berbunyi merayu.  Samirah sedar dia sudah buat satu kesalahan bila guarauannya agak terlebih.  Aish pula yang tersenyum sinis bila melihat riak wajah Samirah yang tadi selamba sudah bertukar menjadi cemas.  Tubuhnya dirapatkan dan kepalanya direndahkan. 


“Pecah kaca, pecah gelas.  Kau tunggulah nanti aku balas” dibisikkan di telinga Samirah.  Tangan Samirah dilepaskan.  Sebelum Samirah sempat menjawab, Aish keluar dari dapur, meninggalkan Samirah yang masih terkedu.




“Mana Abang Aish mama?”  soal Samirah sebaik saja dia keluar ke ruang tamu selepas siap kerja membasuh pinggan mangkuk.


            “Dah balik.”  Jawab Latifah.  Wajah Samirah ditenung, mencari riak yang boleh mengukuhkan firasatnya.  Baik Samirah mahu pun Aish tidak tahu sebenarnya Latifah nampak kejadian yang berlaku di dapur tadi.  Namun wajah Samirah tidak menunjukkan apa-apa.   Sebenarnya dalam hati Samirah melafazkan kelegaan bila mengetahui Aish sudah balik.  Dia masih belum sanggup menatap wajah Aish.


            “Ira dah ada boyfriend?” soal Latifah sebaik saja Samirah duduk di sebelahnya.  Peha anak gadisnya ditepuk lembut.  Samirah hanya memandang mamanya tanpa bereaksi.  Seketika kemudian dia mencapai telefon bimbitnya.  Jarinya meluncur di atas skrin telefon sebelum disuakan telefon itu kepada mamanya.


            “Dia duduk di sebelah Ira dalam kapal terbang masa balik sini.”  Wajah tampan Irsyad Rifqi terpampang di atas skrin. 


“Setakat ni dia lelaki yang paling rapat dengan Ira.” Latifah terkedu melihat wajah itu.  Telefon bimbit diserahkan kepada Ira.  Latifah berpaling agar Samirah tak dapat melihat riak kurang senang yang terpancar di wajahnya.  Kecilnya dunia.  Kenapa mesti Irsyad Rifqi? Tanya hati kecil Latifah.

No comments:

Post a Comment