Tuesday 28 June 2016

LAUTAN KASIHMU

Assalam.  Ni satu lagi cerpen mengikut tema.  Kali ini temanya lautan, POV 1.  Nasib baik depa tak bubuh hutan ke, gunung ganang ke jadi tema.  Pasainya Kak Isma tak pandai nak tulis pasal hutan, gunung, bukit dan seangkatan dengannya.  Maklumlah, I kan city girl. Hehehe

Jemput baca dan jemput komen ya.


LAUTAN KASIHMU

Jiwa ini terasa kosong.  Bukan baru sekarang, tapi sudah lama aku merasai kekosongan ini.  Sejak usiaku 16 tahun.  Entah kenapa, rakan-rakan yang mengelilingiku, ahli keluarga dan saudara mara serta si dia yang manis tapi brutal belum mampu mengisi kekosongan jiwaku.

Aku tidak berasa sunyi, cuma sepi.  Aku tidak bersendirian tapi kesepian mencengkam walaupun ketika aku sedang sibuk.  Aku ikut kawan-kawan berseronok.  Kami pergi karaoke, snooker, bowling dan macam-macam lagi.  Tapi akhirnya aku kembali sepi.  Habis berseronok jiwa aku masih kosong. 

"Lu apasal Andy?  Hari-hari muka gelap.  Papa lu tak bagi cukup gaji meh?" Jimmy bertanya dalam dialek Kantonis. 

"Tak ada kena mengena dengan papa akulah."

"Habis tu?  Pasal awek Melayu itukah?" 

Pasal diakah?  Rasanya tidak.  Dia tak pernah bagi aku masalah.

"Haiya, apa mau fikir pasal itu awek Melayu.  Kau ikut aku pergi cari amoilah.  Apa bangsa semua ada, muka semua cantik, body… fuyoo... memang bergetah.  Satu malam kau tak tidur tau.  Dia orang terror." 

Aku tenung Jimmy yang sedang tersengeh.  Sakit hati aku bila dia mengajak aku pergi lebih jauh dalam kejahatan.

"Kau ni, tak ada ke idea yang lebih baik daripada mengajak aku membuat maksiat?  Kalau perempuan boleh meredakan kekosongan jiwa ini, aku akan pilih dia.  Bukan sebarang amoi!"

Jimmy ketawa berdekah-dekah.  Semakin sakit hatiku bila dia ketawa begitu.

"Itu bukan maksiatlah tongong!  Itu enjoy, fun.  Kau nak awek Melayu tu enjoy dengan kau?  Jangan mimpilah!  Dia orang ada agama.  Kau ada agama?  Sedar sikit gadis yang kau puja itu daratan.  Kau pula lautan.  Daratan dan lautan boleh bertemu, tapi tak boleh bersatu."

Tin berlabel Anchor Beer dibawa ke bibirnya usai dia menempelak aku.  Aku capai gelas berisi air teh cina dingin dan meneguk minuman itu dengan rakus.  Hati yang sedang panas dengan kata-kata Jimmy nampaknya tidak mampu disejukkan dengan minuman dingin.  Aku bangun, pergi ke kaunter untuk membuat bayaran dan tinggalkan Jimmy.

Aku memandu kereta tanpa hala tuju. Kata-kata Jimmy benar-benar mengganggu jiwaku.  Aku lautan?  Dia daratan? Perumpamaan paling bodoh yang aku pernah dengar.  Tapi aku tak hairan.  Si Jimmy itu memang tak berapa pandai.  Yang dia mahir hanyalah membaiki motorsikal.  Mujurlah kemahiran itu mendatangkan hasil.

Dia orang ada agama.  Aku pula tidak ada agama.  Tapi apa salahnya tak ada agama?  Papa dan mama tak ada agama tapi aku tengok mereka bahagia.  Kawan-kawan satu sekolah dan satu universiti dulu pun ramai yang tak ada agama.  Aku nampak mereka gembira.  Tapi mungkinkah... kalau mereka ada agama... mereka akan lebih bahagia dan gembira? Pentingkah dan perlukah agama? Aduh, berserabut otak aku bila memikirkan hal agama.

Tiba-tiba, sesuatu di seberang jalan menarik perhatianku.    Aku matikan enjin sebelum melintas jalan ke seberang sana. 

"Kenapa pakcik sembahyang di sini?  Depan sana ada masjid."  Aku bertanya selepas pakcik itu usai bersembahyang.

"Pakcik letih, nak.  Kaki dah tak larat mengayuh basikal.  Kebetulan pakcik nampak paip air di tepi laut ni.  Pakcik ambil wuduk dan terus solat."  Jawapannya membuatkan hatiku semakin tertanya-tanya.

"Islam tu mudah nak.  Solat di mana saja boleh.  Asalkan tempatnya bersih, pakaian kita bersih dan menutup aurat, wuduk kita sempurna dan kita menghadap kiblat.”  Orang tua itu menerangkan sambil tersenyum.  Wajahnya bersih dan berseri, macam wajah Pakcik Ramli.  Tak kelam macam wajah papa dan Jimmy.

“Anak ni nama siapa?  Dari mana dan nak pergi mana?”  Ramah pula orang tua ni.

“Nama saya Andy.  Saya baru lepas minum dengan kawan.  Belum tahu lagi nak pergi mana.  Lalu kat sini, nampak pakcik sembahyang saya berhenti.  Pakcik nak balik rumah ke?”

“Ya, tapi nak rehat dulu.  Letih belum hilang.”  Katanya.  Walaupun dia kata dia letih, aku nampak wajahnya sangat tenang. 

“Anak ni nampak macam ada masalah?”



Itu kisah dua bulan yang lalu.  Aku bersyukur dipertemukan dengan Pakcik Ahmad.  Pak Mad membantu aku menemui jawapan kepada soalan 'perlukah ada agama'.  Pak Mad mengajar aku agama itu perisai, agama itu kasih sayang dan agama itu usaha.  Ia melindungi penganutnya dari melakukan kejahatan, mengajar kita sayang menyayangi bukan saja sesama manusia tapi juga dengan haiwan dan alam sekitar serta mengajar kita berusaha untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Air laut nampak berkilau disimbahi sinar matahari petang.  Bayu petang yang bertiup lembut memberi rasa nyaman.  Entah apa pula helah Pak Mad kali ini meminta aku menemuinya di tepi laut, tempat perkenalan kami dua bulan yang lepas.

"Assalammualaikum," suara Pak Mad memberi salam kedengaran dari arah kanan.  Aku berdiri, menjawab salamnya dan menghulur tangan untuk berjabat.

"Maaf, lambat sikit," kata Pak Mad.

"Eh tak apa Pak Mad.  Saya pun baru sampai, lebih kurang 10 minit.  Jantung saya banyak debarlah Pak Mat."  Ayatku membuatkan Pak Mad tersenyum.

"Tak payah debarlah Andy.  Pak Mad pilih tempat ni sebab ada banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari sebuah lautan.  Mari kita order minuman dulu sebelum bersembang."

Itulah salah satu sebab kenapa aku selesa dengan Pak Mad.  Dia tidak berdakwah, tapi bersembang.  Sembangnya bukan sembang kosong, tapi sembang berisi yang sangat terkesan di hatiku.

"Pernah minum air laut?"  Soal Pak Mad sebaik saja segelas teh ais dan nescafe ais diletakkan depan kami beserta sepiring tahu bakar dan sepiring cucur udang.

"Sengaja minum tak pernah… tapi tertelan ada beberapa kali." Aku cuba melawak.

"Ha, baca bismillah dan doa makan."

Arahannya aku turuti.

"Alhamdulillah, udah betul sebutan kamu.  Pakcik rasa, kamu dah sedia untuk mengucapkan syahadah."

Aku turut melafazkan syukur, tapi dalam hati saja.  Aku belum yakin dengan diriku.

"Berbalik kepada soalan pakcik tadi, apa rasa air laut?" Soal Pak Mad sebelum mencucuk sepotong cucur udang dan menyuap ke mulutnya.

"Masin lor ... perit tekak bila tertelan." 

"Tapi ikan dan seafood lain tak masin, kan?"  Sepotong lagi cucur udang hilang dalam mulut Pak Mad.  Kemudian dia mengunyah sambil tersenyum.

Aku mengangguk.  Mulutku sedang penuh dengan tahu bakar.  Wajah Pak Mad aku tenung, cuba mencerna apa yang ingin disampaikan melalui metafora sebuah lautan.

"Apa jadi kalau orang yang tak tau berenang, jatuh dalam laut?" Kacang sangat soalan Pak Mad hari ni.

"Lemas lor." 

"Tapi kita tak akan lemas kalau jatuh dalam lautan kasih Allah.  Tengok laut tu dan fikirkan, di dalamnya, terlalu banyak tanda kebesaran Allah.  Pernah dengar ungkapan lautan tak bertepi?"

Aku mengangguk. 

"Lautan tak bertepi.  Semakin dilayari semakin luas.  Semakin diselami, semakin dalam.  Beribu malah mungkin berjuta makhluk di dalamnya. Bermacam-macam cerita ada dalam sebuah lautan.”  Aku mengangguk lagi, namun sebenarnya masih belum nampak apa yang Pak Mad ingin sampaikan.

“Kenapa Allah mencipta lautan tak bertepi?  Supaya kita sedar akan kebesarannya.  Bahawa sesunguhnya kuasa dan kekuatan kita terbatas tapi Allah mampu mencipta segala-galanya.  Kepada Dia kita berharap, hanya kepada Dia.” 

Aku mengangguk juga.  Kali ini lebih jelas mesej yang hendak disampaikan oleh Pak Mad.

"Nah." Pak Mad hulur sebuah beg plastik.  Aku keluarkan sebuah buku tebal dari beg plastik itu.

"Quran?"

"Ya.  Itu lautan ilmu.  Buku yang seharusnya menjadi panduan semua orang."

"Tapi saya belum Islam, bolehkah saya baca Quran?"

"Kenapa tidak boleh?  Bacalah, dan belajarlah darinya.  Pakcik belikan yang ada terjemahan.  Baca terjemahannya dulu."

Aku pegang buku tebal itu.  Dulu, ramai kawan-kawan Melayu bawa Quran ke sekolah tapi tiada seorang pun yang mempelawa aku membacanya.  Maka aku menganggap buku suci ini eksklusif untuk orang Muslim saja.

"Ni, budak perempuan yang kamu suka tu, pakcik nak kamu jumpa bapaknya."

"Untuk apa Pak Mad?"

Soalanku dibiar tidak berjawab.  Lidi ditangan Pak Mad kini mencucuk sepotong tahu bakar.  Pak Mad angkat kepala, pandang aku dan senyum.



Tidak pernah aku rasa berdebar sebegini, walhal ini bukan kali pertama aku berjumpa dengan ayah Ain Jamaliah.  Berbagai persoalan melanda benakku, terutamanya tentang penerimaan Pakcik Ramli tapi pesanan dan nasihat Pak Mad berjaya mengatasi hasutan jahat yang cuba menggagalkan usahaku.

Aku beri salam dan hulurkan tangan untuk berjabat.  Pakcik Ramli memandang aku dengan riak tidak percaya di wajahnya.  Mungkin kerana sebelum ini aku tidak pernah bersalam dengannya, apatah lagi memberi salam.  Akhirnya hanya tanganku disambut, salamku tidak dijawab.

“Pakcik sihat?”  Aku memulakan perbualan.

“Alhamdulillah.  Andy nak jumpa Ain ke?  Dia tak da, dah balik rumah.”

“Eh tak, saya nak jumpa pakcik.  Sebenarnya… saya nak minta pertolongan pakcik.”  Apabila mendengar kata-kataku, Pakcik Ramli menjemput aku duduk.  Dia turut melabuhkan punggungnya atas kerusi di sebelah kananku.  Pada waktu petang begini ramai pekerja ladangnya yang sudah pulang.  Aku sengaja datang pada waktu ini kerana Ain juga sudah pulang.

“Apa halnya Andy, ada masalah besar ke?”

Aku menarik nafas dalam-dalam, meyakinkan diriku sekali lagi ini adalah pasti.  Sekali aku melakukannya, tidak boleh berpatah balik.  Dan aku mahu melakukannya dengan betul dan ikhlas.

“Saya nak masuk Islam.” Aku ucapkan dengan lancar, dengan jelas dan dengan sangat yakin. 

Allahu akbar!  Betul ke ni Andy?”  Terbeliak mata Pakcik Ramli.

“Betul lor.  Sudah dua bulan saya belajar pasal Islam.  Betul-betul belajar punya, dengan seorang lelaki.  Saya jumpa dia kat Pantai Merdeka.  Dia bekas tentera, selalu petang-petang kayuh basikal tepi pantai tu.  Boleh kan, pakcik tolong Islamkan saya?”

Janganlah dia tolak permintaan aku.  Tiga hari lepas ketika Pak Mad meminta aku menemui Pakcik Ramli, aku kehairanan.  Namun setelah diterangkan aku mengerti kenapa Pak Mad mahu aku memilih Pakcik Ramli sebagai orang yang membawa aku ke pejabat agama untuk melafazkan syahadah.  Pak Mad akan terus mengajar aku, namun pada masa yang sama dia juga mahu aku mendapatkan bimbingan ustaz.

“Ya Allah, Andy… perkara baik macam ni, mana boleh pakcik tak tolong.  Kamu betul-betul ni?  Bab agama ni jangan buat main-main nak.  Agama Islam ni agama suci.  Kalau nak masuk, masuk betul-betul.  Jadi orang Islam betul-betul.  Jangan tukar agama saja tapi lepas tu tak amalkan.”

“Demi Allah pakcik, saya tak main-main.  Saya dah jatuh cinta dengan Islam.  Saya perlukan pakcik… tolong saya, bimbing saya.”

Mataku terasa panas.  Sungguh hebat kuasaMu Tuhan, baru melafazkan niat memeluk agamaMu sudah memberikan satu kelegaan perasaan yang tak mampu aku zahirkan dengan kata-kata.

Alhamdulillah.  Demi Allah, Pakcik akan tolong kamu setakat yang pakcik mampu.”  Pakcik Ramli menggenggam tanganku.  Kuat genggamannya, bagaikan menyuntik satu semangat ke dalam diriku.  Semangat untuk memulakan hidup baru.  Hidup beragama.  Bukan lagi hidup seperti dulu. 

“Tapi saya nak minta pakcik rahsiakan hal ni.  Dari semua orang, termasuk keluarga pakcik.  Biarlah selepas mengucap syahadah nanti perlahan-lahan saya umumkan sendiri kepada keluarga dan kawan-kawan.”

Pakcik Ramli mengangguk-angguk dan menepuk lembut tanganku.  Matanya juga berkaca.



Air laut beralun-alun ketika bot yang kami naiki membelah lautan dengan laju.  Langit membiru dengan cantik sekali, dihiasi tompokan awan putih.  Di kejauhan aku nampak pulau yang menjadi destinasi kami.  Pakcik Ahmad dan Ustaz Karim rancak bersembang. 

            Alhamdulillah, aku sudah bergelar saudara baru sejak dua minggu yang lalu.  Hari ini Pakcik Ahmad membawa aku ke Seminar Kesempurnaan Solat di sebuah pulau di utara Semenanjung.  Rezeki seorang saudara baru, Ustaz Karim memberiku diskaun 30% manakala Pakcik Ahmad pula menaja yuranku. 

            “Jauh termenung tu Andy.  Ingatkan siapa?”

            “Dia.”

            “Jangan tenggelam dalam lautan cinta kepada seorang gadis, sebelum kamu menyelami lautan cinta Illahi.  Carilah Tuhan, pasti kamu akan dapat cinta manusia.”  Pak Mad menasihati.  Aku hadiahkan senyuman kepadanya, menandakan aku menghargai nasihatnya.

            “Dia yang saya maksudkan ialah Dia yang telah menggerakkan hati saya untuk menegur Pak Mad tiga bulan yang lepas.  Saya bersyukur sangat-sangat kerana Dia memilih saya, dan hasilnya saya rasa tenang sekarang.  Dulu saya ada duit, ramai kawan tapi jiwa rasa kosong.  Sekarang tak lagi.”

            Pakcik Ahmad tepuk bahuku.

            “Alhamdulillah.”


            Alhamdulillah, bisik hatiku.  Lautan, langit, bumi, segala-galanya adalah guruku.  Guru untuk aku mengenali sifatMu ya Rabb.  Akan terus aku selami lautan kasihMu Allah Ya Rabbul Izzati.


Friday 24 June 2016

ABANG A.Y.A.M

Assalam.  Lama tak bersiaran di blog ni.  Blog pun dah bersawang.  Adoi la.

Ramadhan kareem untuk pembaca blog Isma Adeliya.  Jemput baca cerpen di bawah.  Cerpen ini saya garap setelah teruja melihat rakan-rakan Bengkel Penulisan Kreatif menghasilkan cerpen mengikut tema yang ditetapkan.

Sekadar bacaan ringan, namun jika ada yang boleh dipelajari darinya, ambillah.

Semoga terhibur.


ABANG A.Y.A.M

Wajah manis Ain Jamaliah direnung lama-lama.  Benaknya masih belum berjumpa kata-kata yang sesuai.  Ain Jamaliah yang sudah selesai mengeluarkan wang dari dompetnya membalas renungan Andy.  Berkerut dahinya melihat wajah Andy.

                “Hello leng chai, lu ada masalah ke dengan muka gua?” 

Andy tersenyum.  “Aku hairanlah.  Dengan wajah jelita, badan yang langsing dan ketinggian kau, kenapa kau buang masa di kampung ni?  Kalau kau jadi pelakon, tentu lebih popular daripada Ayda Jebat.”  

                Meletus tawa kecil dari bibir comel Ain Jamaliah.  “Mengarut.”  Katanya selepas usai ketawa.

                “Apa mengarut pulak.  Dulu masa sekolah kan kau selalu berlakon drama.  Cikgu dan kawan-kawan selalu puji lakonan kau nampak real.  Ada rupa, ada bakat, mesti kebabom punya leh.”  Jawab Andy.  Walaupun membesar dengan kawan-kawan dan jiran-jiran Melayu dan petah bercakap Melayu, ‘leh’, ‘lor’, ‘ma’, ‘meh’ dan penyedap kata yang lain masih kental dengan jiwa pemuda Cina yang tinggi lampai itu.

                “Andy Lim Tuck Weng… aku pun heran.   Dengan wajah kacak kau, ketinggian kau dan suara kau yang macho tu, apa kau buat kat sini?  Kalau kau jadi penyanyi, mesti kebabom mengalahkan artis k-pop.  Dah lama tak ada penyanyi Cina lelaki yang nyanyi lagu Melayu macam Andre Goh yang papa kau minat tu.  Kau jadilah penyanyi.  Sibuk suruh aku jadi pelakon, buat apa?”  Ain Jamaliah menempelak.  Wang kertas disuakan kepada Andy.

                Sambil tersenyum, wang diambil.  “Kalau aku jadi penyanyi, siapa nak jual dedak untuk ayam-ayam kau?”

                “Samalah.  Kalau aku jadi pelakon, siapa nak bela ayam-ayam kat ladang ayah aku dan siapa nak beli dedak yang kau jual?” 

Mereka sama-sama tersengeh.  Begitulah kebiasannya.  Saling mengusik, saling memuji dan saling mengutuk.  Namun tiada yang bengang atau berkecil hati kerana masing-masing sudah masak dengan perangai satu sama lain.  Sudah 12 tahun mereka berkawan, sejak di tingkatan 1.

                Ain Jamaliah berjalan keluar dari kedai.  Urusan dengan Andy sudah selesai.  Sekarang dia perlu melunaskan satu lagi urusan sebelum pulang ke ladang.  Dia berjalan ke arah Toyota Hilux bapanya dengan langkah yang laju.  Hatinya berlagu riang kerana urusan yang satu lagi akan membolehkan dia berjumpa dengan jejaka idaman.  Sejak Idham Musa mengambil alih Restoran Kuali Emas tiga bulan yang lalu, hati Ain Jamaliah pasti berdegum degam bila dia perlu berjumpa dengan Idham.  Lelaki yang tiga tahun lebih tua daripadanya bukan saja kacak, tapi murah dengan puji-pujian dan kata-kata manis yang mengembangkan hati Ain.


“Hai Ain, cantik hari ni.”  Belum sempat Ain memberi salam, Idham menegurnya.  Segaris senyuman sedia menghiasi wajah kacak Idham, menyebabkan dada Ain dipalu rancak dengan debaran indah.  Hari ini rambut Ain Jamaliah diikat di belakang, menyerlahkan dagunya yang cantik berlekuk dan lehernya yang jinjang.  Kebetulan blaus biru yang dipakainya sedondon dengan t-shirt yang dipakai oleh Idham.

“Abang Am pun kacak hari ni.  Sesuai warna baju tu dengan kulit Abang Am.  Abang Am sihat?”

                “Tadi tak berapa sihat, tapi sekarang bila nampak Ain, abang Am rasa segar sikit.”  Idham mula mengayat.  Baginya tidak salah bermanis mulut dengan orang yang berurus niaga dengannya.

                “Abang Am kena jaga kesihatan tau.  Rehat kena cukup.  Kalau sakit, makan ubat.  Nanti kalau Abang Am sakit, siapa nak jaga restoran ni, kan?”  Perkataan ‘kan’ sengaja dileretkan.  Kepalanya pula dilentokkan ke kanan.  Kononnya nak bagi nampak manja. 

                “Abang Am cuma letih sikit je.  Abang Am nak mintak maaf, tak dapat bayar duit ayam hari ni.   Tadi ramai orang sampai tak sempat pergi bank.  Kalau Ain nak jugak duit hari ni… boleh, tapi Ain kena tunggu sekejap.  Lepas Abang Am kira duit collection hari ni baru boleh Abang Am bayar.” 

                ‘Nak tunggu ke?  Ish… nanti lambat sampai ladang, ayah marah pulak.  Tapi kalau tunggu, boleh sembang-sembang dengan Abang Am yang hensem dan menawan ni.  Kalau tak tunggu, hmmm…’  Ain Jamaliah berbicara sendiri dalam hati.  Wajah Idham dikerling dan bibirnya melakar senyuman manis sebelum dia menyuarakan keputusannya.

                “Tak apa Abang Am, esok Ain datang lagi. Hari ni Ain tak boleh tunggu, dedak kat ladang dah habis langsung.  Esok Ain datang lagi.” 

“Ain bagilah nombor akaun, nanti Abang Am masukkan bayaran terus dalam akaun.  Tak payah susah-susah Ain ke sini esok.”  Idham bermanis mulut lagi.  Dia tahu Ain suka datang ke restorannya kerana gadis yang berusia 25 tahun itu meminatinya.

                “Eh, tak apalah Abang Am.  Mana ada susah.  Ain bukannya jalan kaki datang sini.  Lagi pun esok Ain tak sibuk.  Esok Ain datang lagi ya.”  Hujung rambutnya yang diikat ditarik dan dipintal perlahan-lahan.  Kepalanya masih melentok ke kiri dan kanan sambil berbicara. 

                “Tak minum dulu?”  Idham mempelawa. 

‘Alahai, dia ajak minum.  Bukan selalu dia pelawa aku minum.  Kan bagus kalau aku tak payah balik sekarang.  Ayah ni pun satu, kenapalah tak periksa betul-betul stok dedak tu.  Ni dah habis langsung baru kelam kabut suruh aku beli.’  Hatinya berbicara lagi. 

“Minumlah sekejap.  Tak mati kebuluran ayam-ayam Ain tu,” Idham menyambung.  Sengaja dia mahu membeli jiwa gadis muda yang pada pengamatannya masih mentah dalam pengalaman bercinta.

“Aah… err… maaflah Abang Am.  Ain kena balik.  Esoklah ya.”  Walau hatinya meronta mahu memaksimumkan peluang yang ada, Ain Jamaliah tidak berani melanggar perintah ayahnya.

“Okey esok.   Janji tau, esok Ain mesti minum kat sini.  Abang Am belanja ABC special.”  Idham mengenyit mata.  Dan Ain Jamaliah melangkah pergi dengan hati yang berbunga-bunga.


Dalam sibuk melayan pelanggan, mata Andy masih sempat mencuri-curi pandang ke arah wajah cemberut yang duduk di atas kerusi kayu depan kedainya.  Riak wajah Ain ketika sampai di kedainya tadi sudah difahami.  Kalau Ain datang dengan muka monyok, maknanya Ain ada masalah. 

“Sementara orang tak ada ni, ceritalah.”  Kata Andy sebaik saja dia duduk di hadapan Ain.  Ain Jamaliah merenung jauh ke dalam mata Andy.  Renungan mata itu seperti ada kuasa magis kerana setiap kali dia ada masalah, mulutnya akan ringan bercerita dengan Andy selepas menatap matanya.   

“Kau suka dia kan?”  Suara Andy mendatar sebaik saja Ain habis bercerita.

Ain mengangguk lemah.  Selemah hatinya yang kecewa bila Idham tiada di restoran.  Bukannya dia kemaruk dengan ABC special tu, tapi dia nak sangat duduk bersembang dengan Idham.  Dia nak kenal Idham dengan lebih lanjut kerana dia rasa Idham seperti tertarik dengannya.  Tapi tiga hari berturut-turut dia hampa.

“Kau ada nombor dia kan?  Telefonlah dia, atau hantar mesej.”  Andy memberi cadangan.  Cadangan yang dia sebenarnya tidak suka langsung.

“Apa aku nak tanya kalau aku call dia?  Takkan nak cakap aku rindu dia?  Atau cakap dah tiga hari berturut-turut aku pergi tapi dia tak ada?  Selama ni bila call semua atas urusan ayam.  Lagi pun dia dah tinggalkan duit dengan pekerjanya.  Aku tak naklah nampak macam aku ni syok kat dia.”

Jeda.  Sedikit kelegaan menyusup dalam hati Ain bila dapat berbual dengan Andy.  Ada keresahan dalam hati Andy selepas mendengar cerita Ain.  Perkataan yang sesuai dicari-cari oleh benaknya.  Nafas ditarik dalam-dalam. 

“Ain, kadang-kadang apa yang kita suka tu, bukan untuk kita.  Kadang-kadang… yang dah ada tu lebih baik daripada yang dicari-cari.”

Berkerut berlapis-lapis dahi Ain.  Apa si Andy merepek ni?  Bisik hatinya.


Bunyi hon motorsikal yang ditekan bertubi-tubi membuatkan Andy menoleh ke kanan.  ‘Brutal. Banyak sangat berkawan dengan ayam, itulah padahnya’.  Hatinya mengomel lagi.

“Ni apahal duduk kat sini?  Penat aku tunggu kau kat kedai.  Telefon kau tinggalkan kat kedai.  Apa kes kau ni?”  Sapa Ain sambil turun dari motorsikal. 

Andy sorok buku kecil yang dipegangnya ke dalam beg kanvas yang dihadiahkan oleh Ain semasa dia menyambut hari lahirnya tahun lepas.  Beg ditolak ke sebelah kanan tubuhnya.  Ain pula dengan pantas duduk di sebelah kiri Andy dan turut menjuntaikan kakinya ke arah sungai di bawah. 

“Sekarang lunch hour aku mah” 

“Sejak bila kau pandai makan lunch kat jambatan ni?”  Ain menyoal sambil merenung Andy dengan riak kehairanan di wajahnya. 

Kebelakangan ini memang agak susah berjumpa dengan Andy.  Tutup saja kedainya, dia menghilang.  Bila ditanya Uncle Lim, bapa Andy itu menjawab Andy keluar dengan kawan.  Itu yang menghairankan Ain kerana yang dia tahu hanya dia seorang kawan rapat Andy.  Mereka akrab dari tingkatan 1 hingga 5.  Sejak mereka di tingkatan 4 Andy kurang bercampur dengan rakan-rakan yang sebangsa dan seagama dengannya. Dia tidak menyombong dengan mereka, cuma kurang rapat.  Hubungan Ain dan Andy renggang sedikit ketika Ain melanjutkan pelajaran di UPM manakala Andy di UM.  Namun sejak setahun yang lepas, ketika mereka sama-sama sudah habis belajar, mereka rapat kembali. 

“Andy, aku ada benda nak cerita.  Ada orang bagi aku hadiah.”  Ain terus bersuara apabila Andy kekal membisu dan matanya tunak merenung sungai.

“Siapa?  Dia bagi kau apa?”  Andy menoleh ke arah Ain.

“Tak tau siapa.  Tiap-tiap hari dia bagi aku seekor anak patung ayam.  Comel sangat anak patung tu.  Setiap hari warna anak patung tu berbeza.  Dah lima ekor aku terima.  Dia bagi kad sekali.”  Kad kecil ditarik dari dompet dan dihulurkan kepada Andy. 

“Baguslah.  Ada orang minat kau.  Mesti dia ada kaitan dengan ayam, sebab itu dia cuma tulis Abang A.Y.A.M.”  Kata Andy sambil tersenyum dan mengembalikan kad kecil kepada Ain.

“Aku harap sangat Abang Idham yang bagi kad ni.” Ain tersenyum meleret sambil menarik kad dari tangan Andy.  Dia tidak perasan riak wajah Andy yang serta merta menjadi kelam bila nama Idham disebut. 

“Kalau bukan dia, macam mana?”

“Mesti dia yang bagi.  Aku yakin.”  Ain berdiri dan mengatur langkah ke arah motorsikalnya. Dia berasa sangat gembira kerana akhirnya dapat juga berjumpa dan berkongsi kisah hadiah daripada pemberi misteri dengan Andy. 

Namun kegembiraan itu tidak dikongsi oleh Andy.  Keyakinan Ain menggusarkannya.  Bagaimana hendak dijelaskan kepada Ain yang nampak sangat yakin?  Kelibat Ain ditenung sehingga hilang dari pandangan sambil bibirnya terkumat kamit.  Buku kecil dan tebal yang disorok tadi, dikeluarkan sebaik saja Ain berlalu. 


Dengan tangan yang terketar-ketar, Ain Jamaliah meletakkan semula kad itu di atas meja.  Matanya terasa panas.  Kalau diikutkan hati, mahu saja disiat-siat kad itu menjadi kepingan halus dan kemudian dicampur dengan dedak.  Biar dimakan ayam-ayam di ladang.  Wajahnya dipalingkan ke arah ayah dan ibunya yang sedang bersembang sambil minum petang.  Airmata yang bertakung diseka.  Telefon bimbit dikeluarkan dari kocek dan SMS dihantar kepada Andy. 

                Setengah jam kemudian mulut Ain seperti bertih goreng.  Andy setia mendengar.  Hatinya berselirat dengan dua perasaan.  Lega dan risau.  Andy lega bila akhirnya Ain mengetahui bahawa Idham itu bakal berkahwin.  Maknanya Idham tidak pernah ada hati dengan Ain.  Tapi Andy juga risau bila airmata Ain deras meluncur di atas pipinya.

                “Dah lah tu, jangan sedih sangat.  Dia tak pernah kata dia suka kau, kan?  Patung anak ayam tu pun bukan dia yang hantar.  Kau sedih sebab salah buat andaian, kan?”  Tuala good morning dihulurkan kepada Ain.  Itu saja yang dia ada.  Mana nak cari sapu tangan atau tisu, lainlah kalau dia tahu awal-awal lagi Ain akan menangis depannya.  Kalau diikutkan hati mau saja dia seka airmata Ain dengan jarinya.  Tapi, bolehkah?

                “Aku malu.  Selama ni aku perasan dia suka aku.  Rupa-rupanya dia dah ada kekasih.”  Kata Ain dalam suara teresak-esak.

                “Haiyo, tak payah malu leh.  Aku saja yang tahu kau minat dia, bukannya satu kampung ni tau.  Sudahlah, jangan sedih.  Hati aku sakit bila tengok kau nangis.”  Andy cuba memujuk. 

                “Sebenarnya… aku malu dengan kau.  Mesti kau kata aku perasan, kan?”  Soal Ain dengan tangisan yang masih bersisa.  Andy garu kepalanya yang tidak gatal.

                “Hei, aku tak pernah kata apa-apa.  Sokong tidak, halang pun tidak.”  Suara Andy tinggi sedikit.  Dia tak suka bila Ain menyangka yang bukan-bukan tentang dirinya. 

                “Terima kasih, sebab selalu ada untuk aku.”  Kata Ain dan tanpa disangka wajahnya ditekap pada dada Andy.  Tangannya turut melekap atas dada Andy.  Andy terkedu.  Dia teragak-agak, apa yang perlu dibuat.  ‘Bolehkah kalau aku usap belakang dia?  Atau elus rambut dia sambil tenangkan dia?  Hish mana boleh!’  Hatinya berasional. 

                “Jangan macam ni leh.  Nanti orang ingat kita ada skandal.”  Kata Andy.  Bahu Ain ditolak lembut.  Airmata Ain dikesat dengan hujung tuala good morning.  Matanya diangkat dan bertemu dengan mata Ain.  Tiada kata-kata lagi antara mereka, hanya renungan mata yang berbicara tanpa suara.  Renungan mata Andy, seperti biasa, mendamaikan hati Ain.

‘Kadang-kadang… yang dah ada tu lebih baik dari yang dicari-cari.’  Suara Andy bergema dalam benak Ain. 


“Ain, ke mana tadi?”  Soalan ibunya menyapa telinga sebaik saja Ain tiba di rumah.  Matanya menyorot cawan-cawan berpiring yang ada di atas meja.  Kelihatannya seperti ada tetamu yang baru pulang.

                “Ain pergi jumpa Andy sekejap.”  Jawab Ain sambil merapati meja kopi. 

                “Ayah tengok Ain rapat dengan Andy,” Ramli bersuara sebaik saja Ain duduk di hadapannya.  Ain tidak menjawab.  Bayangan wajah Andy, gurauannya, nasihatnya semua bersilih ganti muncul dalam benaknya.

“Ayah tak suka Ain kawan dengan Andy ke?  Kan kami dah kawan sejak sekolah?”

“Ayah tak kata pun ayah tak suka.  Ni baru kejap tadi, ada orang melamar kamu.”  Kata Ramli dengan suara yang paling lembut namun tidak mampu menghalang Ain dari terkejut.  Bulat matanya memandang ayah dan ibunya silih berganti.

                “Siapa?”

                “Orang yang tiap-tiap hari hantar patung anak ayam tu.  Orang sini.”  Ibunya yang menjawab.  Jawapan yang menyebabkan dahi Ain berkerut berlapis-lapis. 

                ‘Orang sini?  Aku tak tau pun ada orang kampung ni yang minat dengan aku.’

                “Ayah dah terima lamarannya.  Minggu depan Ain bertunang.”

                “Mana boleh ayah terima saja, tanpa tanya Ain dulu.”  Ada nada tidak suka dalam suara Ain.  Wajah ayahnya direnung dengan tajam.

                “Kalau orang lain, pasti ayah tanya Ain dulu.  Tapi dia… ayah yakin dengan dia.  Setiap bapa dalam dunia ni mahukan anaknya bahagia.  Percayalah, ayah tahu apa yang Ain perlukan.  Dia sesuai dengan Ain.”

                Kata-kata ayahnya langsung tidak melegakan.  Bibirnya dimuncungkan.  Ain melarikan diri ke dalam bilik.  Tubuhnya dihempas ke atas katil.  Belum hilang sedih di hati kerana Idham yang diminati bakal menjadi suami orang, dapat pula berita dia dilamar lelaki misteri.  Ain mengeluh. 

 
“Assalammualaikum,” suara macho itu menyapa telinganya, membuatkan dia berpaling.  Wajah jejaka yang sudah sah mendapat pangkat tunangnya ditenung lama sambil dia berdiri.  Salam dijawab.

                “Duduklah.”  Suara macho itu berbunyi lagi, seperti mengelus lembut telinganya.  Senyuman menghiasi wajah putih bersih itu.  Mata Ain masih tunak di wajah tunangannya.  Terasa seperti bermimpi tapi Ain tahu inilah realiti.

                “Aku tak sangka… selama ni… kaulah Abang Ayam.  Dan aku lagi tak sangka, rupa-rupanya dah 3 bulan kau jadi saudara baru.  Pandai kau rahsiakan dari aku, ya?”

                “Maafkan aku Ain.  Bukan sengaja aku rahsiakan tapi bila kita jumpa, kau sibuk dengan cerita kau.  Aku tak ada peluang nak bagi tau kau yang aku dah peluk Islam dan…”

Jari jemari Ain direnung.  Cincin berhias sebutir belian kecil yang menghiasa jari manis Ain bagaikan memberi satu kekuatan kepada Andy.  Dia duduk di sebelah Ain, namun membiarkan ada jarak yang agak besar di antara mereka. 

“Aku segan nak mengaku aku cintakan kau.  Kau minat orang lain.  Bila Idham edarkan kad jemputan kahwinnya, aku cepat-cepat suruh papa jumpa ayah.  Aku tau kau kecewa dan aku nak rawat kekecewaan kau.”

Jeda.  Hanya desiran angin petang yang menjadi bahasa cinta mereka. 

“Kau marah aku?”

Ain menggeleng.  Wajahnya dipalingkan ke arah Andy.  Senyuman disedekahkan kepada encik tunang.  ‘Patutlah wajah dia lain sejak dua menjak ni.  Nampak bersih dan tenang.  Rupa-rupanya dia sudah disirami nur Islam. 

“Mohamad Andy Lim Abdullah, tau tak betapa leganya aku bila aku dapat tau Abang A.Y.A.M tu rupa-rupanya kau?”

Andy menggeleng.  Sungguh dia tidak tahu kerana selepas lamarannya diterima oleh Encik Ramli, dia cuba mengelakkan dari bertemu dengan Ain.  Dia takut kalau Ain tahu dialah Abang A.Y.A.M, Ain tidak mahu berkahwin menerimanya.  Setelah majlis pertunangan selesai kelmarin barulah dia memberanikan diri berjumpa dengan Ain petang ini.

“Patutlah kau pernah kata kadang-kadang apa yang kita suka tu, bukan untuk kita.  Kadang-kadang yang dah ada tu lebih baik dari yang dicari-cari.”

Dua pasang mata bertembung pandang.  Lama, sebelum Ain Jamaliah membuang pandang ke arah cincin di jari manisnya.  “Terima kasih sebab selalu jadi pendengar yang setia.  Selepas ni, jangan jemu mendengar ya.”

                Andy tersenyum.  “Selagi Allah mengizinkan, selagi itu aku sedia mendengar ceritamu, sayang.” 

                Giliran Ain tersenyum.  Pipinya merona.  Wajahnya ditundukkan.  Pertama kali Andy memanggilnya sayang, sudah terkesan jauh ke dasar hati. 
 
                “Tau tak apa makna A.Y.A.M?”  Suara macho yang sering mendendangkan lagu di setiap konsert sekolah terasa seperti mengelus telinganya.  Ain Jamaliah mengangkat kepala.  Renungan matanya bagai meminta Andy memberikan jawapan.
               
                “Andy Yang Amat Menyayangimu.” 

Bibir Ain Jamaliah koyak dengan senyuman sebelum berkata, “untuk aku, Andy You Are Mine.  Boleh kan?” 

“Sekarang belum lagi leh.  InsyaAllah, lepas kita nikah nanti aku akan jadi AYAM kau.  Halal punya.  Sekarang belum halal.”  Kata Andy, kemudian melukir senyuman di bibirnya. 


Ain turut tersenyum sebelum lafaz Alhamdulillah meluncur dari bibirnya.  Mujurlah Abang A.Y.A.M itu Andy, kalau orang lain belum tentu dia boleh berlapang dada.