Saturday 7 March 2015

AKU DAN 1B3K

Assalam semua.

Terlebih dahulu Isma memohon maaf kepada semua yang mengikuti blog ini kerana terlalu lama blog ini dibiarkan sepi.  Kesempitan masa dan kesibukan di luar jangka menyebabkan Isma tidak dapat mengemaskini blog dengan entry terbaru.

Untuk yang sering menjenguk blog ini dan kehampaan bila tiada entry baru, maaf sekali lagi dan terimalah nukilan terbaru Isma Adeliya.



AKU DAN 1BEK

BAB 1

Hari ini genap setahun enam bulan aku bekerja di Syarikat Duta Holidays Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memiliki rangkaian beberapa buah hotel dan resort di Semenanjung Malaysia.  Jawatan aku tidaklah besar, setakat Eksekutif Kanan Akaun saja.  Hajat di hati memanglah hendak pegang jawatan yang lebih tinggi, sekurang-kurangnya penolong pengurus, tapi belum ada rezeki.  Lagi pun dengan pengalaman bekerja yang baru lebih sikit tiga tahun, aku rasa sesuailah jawatan yang aku pegang sekarang.

Sekejap lagi aku hendak makan tengahari dengan Nik Azwan Affendi.  Lelaki bujang, kacak bergaya dengan rambut gaya Zayn Malik ahli kumpulan One Direction itu memang rapat dengan aku.  Dulu rambut dia gaya pacak-pacak tetapi disebabkan Bos 1B3K (disebut IBEK) dia pun berambut pacak, terpaksalah Nik Azwan Affendi menukar gaya rambutnya.  Aku rasa rambut gaya Zayn Malik  lebih sesuai dengan wajah jambu Nik Azwan Affendi.

Orang kata lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan rapat tanpa wujudnya rasa cinta.  Tapi aku dengan Nik Azwan Affendi boleh.  Hubungan kami plutonik, tidak ada rasa cinta antara kami.  Aku sayangkan dia sebagai kawan baik.  Selain daripada Along aku, Nik Azwan Affendi ialah orang lelaki yang paling rapat dengan aku.  Nik Azwan Affendi bukan jenis lelaki idaman aku jadi dia tidak boleh dan tidak akan jadi kekasih aku, tidak kiralah macam mana rapatnya hubungan kami. 

Sudah hampir enam tahun aku kenal dengan Nik Azwan Affendi, sejak aku belajar perakaunan di Deakin University.  Dia memang sangat baik dengan aku.  Sebagai senior dia sentiasa menghulurkan pertolongan terhadap pelajar-pelajar junior.  Dari situlah aku menjadi rapat dengan dia.  Dalam diam rupa-rupanya Nik Azwan Affendi menaruh hati kepada rakan sekelas aku, Nur Fathia.  Dua tahun aku menjadi posmen tidak bergaji kepada Nik Azwan Affendi dan Nur Fathia.  Dalam kecanggihan teknologi dengan adanya Facebook, Twitter dan macam-macam lagi, dia orang berdua masih menggunakan posmen tidak bergaji untuk bercinta!

Dua tahun lepas, sebaik saja aku dan Nur Fathia menamatkan pengajian, mereka bertunang.  Aku pergi ke majlis pertunangan mereka.  Mampus kena marah dengan mereka berdua kalau aku tidak pergi.  Masa itu Nik Azwan Affendi sudah setahun bekerja di Duta Holidays di bahagian Kewangan.  Enam bulan selepas bertunang, apabila Bos 1B3K meletak jawatan dan berhijrah ke Eropah, Nik Azwan Affendi ditukarkan ke Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO, untuk membantu Dato’ Ibrahim yang terpaksa memegang semula jawatan CEO yang sebelum ini sudah diserahkan kepada bos 1B3K.  Masa itulah aku mula kerja di Duta Holidays, menggantikan Nik Azwan Affendi.

Nik Azwan Affendi yang berkelulusan dalam bidang kewangan dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Khas CEO.  Pada mulanya Nik Azwan Affendi  tidak suka jawatan barunya.  Tetapi bila mengenangkan dia diberi kenaikan gaji sebanyak 30%, terus juling mata dia dan senyumannya melebar hinggakan hampir koyak mulutnya.  Enam bulan lepas Dato’ Ibrahim diserang strok.  Terpaksalah pula Datin Nuridah mengambil alih jawatan suaminya sebagai CEO.  Tiga bulan lepas bos 1B3K balik ke Malaysia dan sejak itulah hidup Nik Azwan Affendi menjadi huru hara.

Mana tidaknya, bos 1B3K tu kepala angin.  Bengkeng tidak bertempat, asyik meroyan saja.  Kerek pulak tu.  Sepatutnya dia balik untuk tolong Datin Nuridah uruskan syarikat, tapi dia lebih banyak habiskan masa bersosial.  Kesian Datin.  Mana nak uruskan suami yang sedang dalam proses penyembuhan, mana nak uruskan syarikat.  Anak Datin yang dua orang lagi langsung tidak dapat membantu. 

Sekarang Nik Azwan Affendi sudah mula merungut.  Apa tidaknya, dia sangat sibuk sekarang, menguruskan dua orang bos yang sekeluarga.  Bila dua beranak itu berbalah, habis hal keluarga pun keluar.  Datin banyak makan hati dengan bos 1B3K.  Tapi apa lagi pilihan yang dia ada sekarang, jadi terpaksalah dia bersabar dengan perangai anak bongsunya.

Setakat ini baru dua kali aku berjumpa dengan bos 1B3K.  Kali pertama semasa disuruh oleh ketua aku Cik Tan Siew Lan untuk menghantar laporan ke pejabat CEO.  Kebetulan ketika aku tiba di pejabatnya, dia sedang bercakap dengan Nik Azwan Affendi di depan pintu pejabatnya.  Bagai mahu luruh jantung aku bila melihat kekacakan dan karisma bos 1B3K.  Tapi bila dia memandang aku dengan wajah garang, jantung aku tidak jadi luruh.  Yang luruh ialah fail laporan yang hendak aku serahkan kepada Nik Azwan Affendi.

Kali kedua pula minggu lepas.  Ketika itu mesyuarat pengurusan bulanan sedang berlangsung.  Cik Tan Siew Lan terlupa membawa thumbdrive yang mengandungi slaid pembentangannya.  Ketika aku masuk ke dalam bilik mesyuarat, bos 1B3K menoleh ke arah aku.  Mata kami bertembung.  Aku senyum tetapi bos 1B3K tidak membalas senyuman aku sebaliknya merenung aku dengan pandangan tajam.  Aku merasakan ketika itu dia sedang marah. Senyuman aku terus mengendur.

Nik Azwan Affendi pula sudah dua kali tangguhkan perkahwinan dengan Nur Fathia.    Kali pertama ketika dia baru berpindah ke pejabat CEO.  Kali kedua enam bulan lepas bila Dato’ Ibrahim kena strok.  Mengikut rancangan asal, mereka sepatutnya bertunang untuk tempoh setahun saja.  Mujurlah Nur Fathia masih boleh bersabar.  Kalau aku, mungkin sudah aku pulangkan cincin pertunangan dan tukar status di Facebook sebagai single.

Telefon aku berbunyi.  Aku tekan pembesar suara sebab malas hendak mengangkat ganggang telefon.  Lagi pun tiada orang lain dalam pejabat, mereka semua sudah keluar makan tengahari.

“Shark fin!” 

“Ya.  Perlu ke kau menjerit?”  Aku kerling jam di tangan.  Baru aku sedar sudah tiga puluh lima minit aku menunggu Nik Azwan Affendi.

Sorry, tak sengaja.  Jom kita keluar sekarang.  Jumpa kat lobi.”

Tidak perlu tanya apa-apa lagi, aku terus mencapai dompet dan telefon bimbit.  Tidak lama kemudian aku tiba di lobi, tapi kelibat dia tidak kelihatan.  Selepas tujuh minit dia masih belum sampai. Hmm, janji Melayu betul!  Aku dail nombor dia.

“Naani, tadi kata keluar sekarang.  Aku dah sampai lobi, kau kat mana?” Aku terus menerjah dengan soalan.  Dia menjawab dengan mengatakan dia sedang menunggu lif. 

Aku berpaling mengadap lif.  Beberapa saat kemudian pintu lif terbuka dan susuk tubuh bos 1B3K muncul dari dalam lif.  Dengan wajah cemberut dia berjalan terus tanpa memperdulikan orang di kiri dan kanannya.  Dengan siapa agaknya dia keluar makan?  Itu yang terlintas di fikiran aku sambil tubuh aku berpusing mengikut arah pergerakan bos 1B3K.  Dia terus menuju ke pintu bangunan dan menghilang di dalam kereta BMW X5 berwarna perak yang sudah sedia menunggu depan bangunan.

Wei, sorrylah.  Aku kena tunggu bos turun dulu.  Angin dia tak baik sungguh, jadi aku tak berani nak ambil lif yang sama dengan dia.”

“Tak apalah, aku faham.”  Jawapan ringkas yang paling afdhal aku berikan kepada Naani, nama panggilan yang aku gunakan untuk Nik Azwan Affendi.  Kenapa Naani?  Sebab itu adalah gabungan huruf awal nama penuhnya iaitu Nik Azwan Affendi Nik Ibrahim.  Aku sudah menggunakan nama panggilan itu sejak dari zaman universiti.  Dia pun sukakan nama panggilan itu, yang diberikan oleh seniornya ketika dia baru memasuki universiti.



“Kalau kau tak ada selera makan, buat apa pergi order banyak-banyak?  Siapa nak habiskan?  Ke kau nak bungkuskan untuk Thia?”

            Suara aku sudah meninggi.  Aku memang tidak suka membazir, lebih-lebih lagi pembaziran makanan.  Dari kecil emak sudah ajar aku begitu.  Kata emak, di kala kita membuang makanan, ada insan yang bertarung dengan nyawa kerana kebuluran.  Kata emak lagi, membazir itu perbuatan syaitan.  Aku tidak mahu disamakan dengan syaitan.

            “Sorrylah.  Tadi aku memang lapar sangat.  Tapi bila teringatkan masalah aku, terus hilang selera makan.  Thia tentu akan marah kalau dia tau.”

            Aku tenung wajah Naani.  Timbul rasa kasihan terhadapnya, tapi tiada apa yang aku boleh buat untuk menolongnya. 

            “Anak dengan emak bertelingkah, kau pula yang jadi mangsa.”

            “Itulah.  Aduhai, aku dah janji dengan Thia tahun ni mesti kahwin.  Dah tak boleh tangguh kali ni.”

            “Kejam sangatlah Datin bagi syarat macam tu kat engkau.”

            “Memang kejam.  Tapi aku pun kesian kat Datin.  Aku faham sebagai seorang ibu, apa yang dia lakukan adalah untuk melindungi anaknya.”

            “Hoi, bos kau tu dah besar.   In fact dah tua pun.  Takkanlah dah setua itu pun perlu perlindungan dari maknya.  Aku rasa Datin tu over protectivelah.” 

            “Ni semua pasal gosip dan gambar yang tersiar di laman blog gosip hiburan tulah.  Sebelum ni walaupun ada keluar gambar dia dengan perempuan, belum ada yang berani macam perempuan tu, siap mengaku kepada wartawan yang mereka sedang hangat bercinta.”

            Aku diam.  Sebenarnya aku tidak pernah tahu akan kewujudan blog yang disebut oleh Naani.  Nantilah bila balik ke pejabat aku akan layari blog itu.

            “Sharkfin, kau tolonglah aku.”

            “Hah, tolong macam mana?”

            “Tolong fikirkan apa yang aku patut buat.”

            “Nak fikirkan apa lagi, kau buat sajalah apa yang Datin suruh.”

            Naani mengeluh.  “Mana aku nak cari pembantu peribadi untuk bos dalam masa seminggu?”

            “Apa susahnya?  Kau iklankanlah.  Nak iklan dalam suratkhabar boleh, nak guna perkhidmatan syarikat penggajian,boleh.  Dalam laman web syarikat pun boleh.  Tak pun guna head hunter service.”

Aku sudah bengang. Ish Naani ni, takkanlah perkara mudah macam ni pun dia tak tahu. 

“Memanglah boleh.  Tapi, by the time iklan tu keluar, tempoh seminggu pun habis.  Sudahnya aku tak dapat cuti.”

Aku terdiam.  Betul juga kata Naani.  Di mana hendak dicari pembantu peribadi dalam masa seminggu?  Jika Naani gagal, cuti kahwin yang sudah diluluskan akan dibatalkan kelulusannya serta merta.  Naani sudah gelabah.  Kad jemputan sudah dicetak.  Tempahan katering sudah dibuat, deposit sewa dewan sudah dibayar.  Persiapan-persiapan lain pun sedang diusahakan.


Yang paling ditakuti oleh Naani ialah Fathia akan mengamuk.  Berapa kali nak tangguh majlis kahwin?

No comments:

Post a Comment