Sunday 29 March 2015

AKU DAN 1B3K BAB 5

Assalam.  Jemput baca kisah seterusnya di antara Fina dan Rifqi.

p/s:  for those asking, Yes, Rifqi is Irsyad Rifqi.  Cerita ini adalah sambungan kisah Irsyad Rifqi.


Selamat membaca, semoga terhibur




BAB 5

“Masuk bilik aku.”  Dia mengarahkan dengan kereknya sebaik saja aku melabuhkan punggung selepas balik dari makan tengahari.  Naani yang bekerja untuk hari terakhir hari ini sebelum bercuti masih belum pulang.  Sahlah Bos 1B3K ni tak solat Jumaat.

Aku capai buku nota dan pen sebelum melangkah masuk ke biliknya.  Ketuk pintu dua kali dan masuk.  Pintu bilik aku tutup seperti yang dia arahkan semalam.  Aku terus duduk di hadapannya.

“Batalkan mesyuarat di Kuala Selangor minggu depan.”  Dia bercakap tapi tidak pandang wajah aku.  Tak kisah pun sebab sudah tahu dia memang kerek macam tu. 

“Tak boleh bos.  Mesyuarat tu penting.  Bos kena jumpa wakil syarikat hiasan dalaman tu, dengar proposal mereka dan…”

“Aku cakap batalkan!  Kau faham tak?”  Dia potong cakap aku dan pandang aku.  Wajah kacak dia nampak tidak berseri bila dia bengkeng. 

“Kenapa?”  Aku perlu tahu sebab kalau Datin tanya aku mesti boleh jawab.

            “Jangan tanya kenapa, batalkan saja!”

            “Mana boleh suka-suka nak batalkan.  Banyak pihak yang terlibat.  Lagi pun kalau tak ada alasan yang wajar, mesti Datin tak suka.  Projek ni dah lama tergendala, sejak bos pergi oversea.  Bukan ke semua pihak dah bersetuju untuk sambung semula projek ni?”
            Bos 1B3K renung aku dengan riak tidak puas hati di wajah dia.  Nasiblah kau puas hati ke tidak.  Aku sekadar menjalankan tugas aku.  Datin sudah pesan, pastikan projek resort di Kuala Selangor tu diberi keutamaan sebab sudah lama tergendala.  Datin cakap begitu masa mesyuarat bulanan minggu lepas.  Ms Tan yang beritahu aku. 

“Siapa bos kat sini, aku ke engkau?  Aku suruh batalkan, just do it.”

“Memang sekarang saya melapor kepada bos, tapi ketua saya yang sebenar-benarnya Datin.  Saya rasa bab resort Kuala Selangor ni saya kena dengar cakap Datin.  Maaf bos, saya tak akan batalkan, kecuali kalau bos boleh beri alasan yang Datin akan terima.  Itupun lebih baik kalau bos sendiri bercakap dengan Datin yang bos nak batalkan mesyuarat hari Isnin depan.”

Wah, beranikan aku?  Mana tidaknya, Naani sudah ajar kalau dia banyak songeh, gunakan saja nama Datin.  Walaupun dia bengkeng dan kerek dengan kakitangan, dia masih hormatkan Datin.  Cuma tahap kehormatan dia mungkin rendah.  Sebab itu dia tidak rasa bersalah bercakap dengan kasar dan tinggi suara kepada emaknya.

Mata dia masih melekat di wajah aku.  Nampak muka dia bengis.  Dada dia berombak, macam dada orang yang sedang marah sangat.  Mesti dia benci dekat aku sekarang.  Baru dua hari jadi pembantu peribadi dia aku sudah berani melawan.  Nasiblah bos, Datin sudah bagi saya lesen besar.  Aku berkata dalam hati. 

“Okey, kau dengarlah cakap Datin.  Carry on with the meeting.”  Akhirnya dia bersuara.  Aku rasa hendak senyum sebab baru hari kedua bekerja dengan dia aku sudah menang.  Tapi aku tahankan senyuman dari keluar.  Senyum dalam hati sajalah.

“Berambus sekarang.”  Lembut saja nada suara dia.  Tak macam nada menghalau.  Agaknya sudah letih tinggikan suara.  Aku bangun.  Dalam hati aku mengucapkan alhamduillah kerana berjaya mempertahankan mesyuarat itu. 

“Bos dah makan?” Aku tanya sambil berdiri.

None of your business.” 

Sah dia marah. 

“Bos tak pergi solat Jumaat ke?”

That is also none of your business.”

Sah dia semakin marah sebab nada suara dia sudah jadi naik semula.  Aku buka langkah dan terus keluar dari bilik dia.  Niat asal hendak sambung lagi tapi cukuplah dulu.  Kesian pula tengok wajah muram dia.

Bila Naani balik dari solat Jumaat, aku ceritakan tentang kejadian tadi.  Naani tersengeh.  Terlebih sangat sengehan dia sampai aku naik rimas. 

“Kenapa kau sengeh macam tu?” 

“Aku lega.  Kau boleh kawal si kerek tu.  Bolehlah aku pergi bercuti dengan tenang.  Boleh kahwin, masuk rumah baru dan pergi honeymoon.  Harap-harap kau dan Datin tak telefon aku masa aku cuti.  Esok jangan tak datang tau.”  Naani mengingatkan tentang rancangan kami.

 “Jangan risaulah aku mesti datang.  Tapi aku tak boleh tunggu sampai petang.  Aku ada date.”

 “Tak habis-habis dengan dating.  Kalau minggu ni tak berdating tak boleh ke?”   Suara Naani sudah bunyi macam merungut.  Hai hidup aku, kenapa dia pula yang merungut?  Suka hati akulah nak buat apa.

“Ahad kau datang tak?”  Naani menyoal bila aku tidak jawab apa-apa.

“Ahad kau orang nak start pukul berapa?”

“Pukul sembilan dah ada kat rumah aku.”

“Awalnya.  Aku datang lewat sikit ya sebab Kak Rina dan Abang Lan balik.  Mestilah aku kena sarapan dengan dia orang.  Tapi aku tak boleh lamalah, petang tu aku ada date dengan Lee Chong Wei.” 

Naani tersengeh.  Aku paling ke kiri, nak capai folder plastik yang aku isikan dengan sebut harga hiasan dalaman untuk projek Kuala Selangor.  Masa itu jugalah aku angkat kepala.  Berderau darah aku.  Bos 1B3K sedang berdiri tegak depan pintu.  Mata dia memandang tajam ke arah aku.  Eh bila masa dia buka pintu?  Tadi selepas hantar kopi aku tak tutup rapat-rapat ke pintu tu?  Kalau tutup rapat mesti aku dengar dia pulas tombol pintu kan? 

Aku buat selamba.  Pusing balik ke depan, keluarkan kertas-kertas dari folder plastik dan baca sebutharga pertama yang dihantar oleh Anjung Décor.  Aku baca sekilas lalu saja dulu.  Lepas tu tengok pula sebutharga daripada Nyatoh Interior.  Hmm, harga yang syarikat ni tawarkan lebih rendah.  Tapi masih perlu disemak satu persatu, mana tau ada kos tersorok.  Tengok pula sebutharga ketiga daripada Kelap Kelip.  Aku dengar bunyi pintu ditutup.  Aku angkat kepala dan berpaling ke kiri.  Lega, Bos 1B3K sudah masuk.  Pelik, kenapa dia berdiri saja di pintu dan tidak cakap apa-apa? 



Pagi Sabtu memang menyeronokkan.  Boleh sarapan dengan tenang, tidak perlu tergesa-gesa kerana Pak Mid sudah menunggu.  Boleh juga golek-golek atas katil sambil berborak dengan emak selepas solat Subuh.  Minggu ini aku tidak balik kampung sebab hendak tolong Naani dan Thia hias rumah yang akan mereka duduki selepas bernikah nanti.  Jadi aku sembang lama sikit dengan emak.  Hmm, rindunya dekat emak.  Suka dengar suara emak dan nasihat yang sama emak berikan setiap kali aku menelefon.

Habis bersembang dengan emak, aku turun bawah.  Mama sedang membaca suratkhabar di meja makan.  Itu rutin harian mama.  Dia mesti baca suratkhabar dan dia baca banyak suratkhabar bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.  Agaknya kalau mama faham bahasa Mandarin dan Tamil, mama akan baca juga suratkhabar Cina dan India.  Kalau hari bekerja mama akan sambung baca suratkhabar dalam kereta. 

Aku duduk dan buka tudung saji.  Wah, ada nasi impit, kuah kacang dan rendang paru.  Sedapnya.  Ini satu lagi kebaikan hari Sabtu.  Kalau hari bekerja kami sarapan yang ringkas-ringkas saja.  Tapi hari Sabtu Mak Mah akan buat sarapan yang istimewa sikit. Apa lagi, aku terus cedokkan nasi impit untuk mama dan lepas tu untuk diri aku sendirilah.

 “Fina nak keluar ke?”

Aku mengangguk.  “Hari ni dah janji dengan Naani dan Thia nak tolong unpack barang-barang dia orang.” 

“Tak ajar taekwando?”

“Ajar, tapi petang sikit.  Lepas tu Fina pergi terus ke An Nur.  Fina balik lambat ya mama.  Tak makan kat rumah hari ni.”

Mama mengangguk.  Dia sudah faham rutin mingguan aku. 

Emak kirim assalammualaikum.”
                       
Mama menjawab salam.  “Kerja baru macam mana?”

“Setakat ni okey lagi.  Baru dua hari ma, minggu depan tak taulah macam mana.”  Hanya mama yang tahu pasal pekerjaan aku.  Emak dan ahli keluarga di kampung langsung tidak tahu.  Sebabnya mama kenal dengan Datin Nuridah.  Lagi pun dulu masa hendak berhenti dari syarikat mama, asalnya mama berat nak benarkan aku berhenti.  Tapi bila dia tahu aku ditawarkan bekerja di Duta Holidays, mama benarkan kerana dia kenal benar dengan Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah. 

“Kalau Rifqi tu menyusahkan Fina, berhenti saja.  Kerja balik dengan mama.”

“Alah sebulan saja mama, lepas tu Fina balik semula ke bahagian akaun.” 

Mama teguk kopi.  Pinggan mama sudah licin.  Aku pula masih berselera lalu aku tambah lagi nasi impit.  Mak Mah muncul sambil membawa bakul yang penuh berisi dengan barang-barang.  Baru balik dari pasarlah tu.  Aku beritahu Mak Mah yang aku tidak makan di rumah hari ni.


            Telefon bimbit aku berbunyi.  Aku seluk poket dan keluarkan telefon.  Perkataan  BOS 1B3K tertera di skrin.  Apa kes dia telefon aku pada pukul lapan setengah pagi hari Sabtu?  

No comments:

Post a Comment