Monday 16 June 2014

SAAT KAU LAFAZKAN TEASER 2

Assalam semua.  Maaflah lama tak mengupdate.  Isma sibuk membuat semakan terakhir manuskrip Saat Kau Lafazkan.  Alhamdulillah, penerbit kata bulan Julai ni SKL akan diterbitkan.  Harap2 u ols semua dapat bagi sokongan kepada karya sulung Isma.

Masih ingat SKL tak?  Kisah Naim yang berusaha mendapatkan cinta dari Izureen.  SKL sangat bermakna bagi Isma kerana inilah manuskrip penuh pertama yang berjaya Isma siapkan.  Dekat setahun Isma usahakan.  Isma harap cerita SKL disukai dan pembaca mendapat manfaat dari SKL.

Harap u ols juga enjoy teaser di bawah.


SAAT KAU LAFAZKAN TEASER 2 - IZUREEN

“Abang nak pergi mana?”  Aku bertanya, kerana baru aku perasan dia sudah bersiap, bagaikan hendak keluar.

“Abang nak pergi bandar, ada beberapa cek yang nak dimasukkan dalam akaun.  Jom pergi sekali.”

“Tak boleh.  Reen dah janji nak tolong mak buat kuih lopes untuk minum petang nanti.  Reen tak pernah buat kuIh lopes sebelum ni.  Nanti dah pandai, Reen boleh buatkan untuk Abang.”

“Baru beberapa hari Zureen balik sini, dah macam-macam Zureen belajar.  Tak lama lagi gemuklah Abang.”
           
“Biarlah Abang gemuk.  Nanti kalau Abang dah gemuk, Ratna tak datang kacau Abang.”

Bibir Naim tersungging di sebelah kiri.  Tangannya naik dan pantas dia mencubit pipiku dengan lembut.  “Tak habis lagi kisah Ratna?  Malam tadi tak mengaku cemburu, sekarang kenapa sebut lagi nama dia?  Nak kena macam malam tadi lagi ke?”

Adoi, terkena batang hidungku!  Kononnya nak menduga dia, sengaja aku bangkitkan isu Ratna.  Tapi pandai pula Naim mengusik aku dengan insiden malam tadi.  Teringatkan asmara indah kami malam tadi, aku merasa segan.  Pipiku membahang, pastinya mukaku sudah merah sekarang.  Cepat-cepat aku sembamkan pipiku ke dadanya, agar Naim tidak dapat melihat mukaku merah menahan malu.  Terdengar ketawa kecil meletus dari bibir Naim.

“Zureen.”  Dia memanggil lembut.  Aku mengangkat muka sedikit, namun tidak mahu memandang matanya, takut diusik lagi.

“Petang ni ramai orang datang.  Ada penyewa chalet yang akan check-in.  Bila Zureen keluar, jangan lupa tutup aurat ya.”  Oh itu rupanya yang ingin Naim katakan.  Aku mendongak, menangkap pandangan matanya dan menganggukkan kepala. 

“Zureen, Nabi SAW pernah bersabda, seorang wanita itu, jika dia menyempurnakan solat lima waktunya, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya, serta mentaati suaminya nescaya dia akan masuk ke syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.  Abang nak kita sama-sama masuk syurga.”

Tersentuh hatiku dengan nasihatnya.  Wajah kacak yang nampak tenang itu aku tatap.  Aku mengangguk, kemudian melekapkan pipiku ke dadanya semula.  Terasa tenang dan bahagia dalam dakapannya. 

“Abang pergi dulu.”  Katanya.  Kami sama-sama keluar dari bilik.  Aku menghantar Naim ke muka pintu, menyalami dan mencium tangannya sebelum dia hilang dari pandangan.




Sementara menunggu waktu membuat kuih lopes, aku pergi ke pejabat.  Aku mahu kemaskan meja kerja yang ditinggalkan begitu sahaja semalam kerana Naim beria-ia mahu membawa aku ke tempat perkelahan.  Elida akan datang lewat sedikit setelah selesai urusan pemeriksaan doktor.  Kertas-kertas yang diletakkan di atas fail aku teliti satu persatu dan aku masukkan ke dalam plastik penyimpan dokumen.  Fail itu pula aku letakkan di atas rak tempat Naim biasa menyimpan fail-failnya.

Sebaik berpaling dari rak, mataku menangkap buku nota itu.  Elok terletak di hujung meja.  Rasanya semalam buku itu tiada di atas meja.  Aku ambil buku itu dan bercadang meletakkannya di atas rak di sebelah fail.  Namun tangan gatal pula menyelak helaian buku itu.  Tiba di helaian di mana ada lukisan wajahku, aku tersenyum.  Aku selak pula helaian-helaian berikutnya, tiba di helaian di mana namaku ditulis dengan besar, aku tersenyum lagi. 

Selang beberapa mukasurat kemudian, ada coretan tangan Naim.  Besar dan jelas tulisannya.  Satu baris kata-kata yang menarik minatku. ‘I may not be in her heart, but she’s forever in mine.’

Akukah yang dimaksudkan dalam kata-kata itu?  Selain daripada memanggil aku sayang, Naim tidak pernah melafazkan apa-apa tentang perasaannya terhadapku.  Apakah panggilan sayang itu melambangkan perasaannya?  Apakah layanannya terhadapku juga melambangkan perasaannya? Dia melayan aku dengan baik.  Dan kebaikan dan kesabarannyalah yang melembutkan hatiku untuk menerimanya.

Sedang aku leka memikirkan tentang sebaris ayat itu dan apa sebenarnya perasaan Naim terhadapku, sekeping kertas jatuh dari buku nota itu.  Aku membongkok untuk mengambil kertas itu.  Nampak seperti sekeping cek.  Bukankah kata Naim dia ke bandar untuk memasukkan beberapa cek ke dalam akaun?  Mungkin cek ini tertinggal. 

Aku mengutip cek itu.  Nama Naim tertera di atasnya.  Cek berjumlah RM50,000.  Mataku menerawang ke seluruh permukaan cek.  Darahku berderau sebaik sahaja mataku menangkap nama pemilik cek yang dicetak di sudut bawah sebelah kiri cek itu.

WIRDA MOKTHAR.  Aku amati pula tandatangan di atas cek.  Ya, itu tandatangan Mama.  Aku pandang semula ke arah angka yang ditulis.  Betul, RM50,000.  Bukan RM500 atau RM5,000.  Untuk apa bayaran ini?  Otakku mula ligat berfikir, mencari alasan yang paling munasabah untuk mewajarkan tindakan Mama memberi wang sebanyak ini kepada Naim.

Tiba-tiba ada perasaan sayu yang menyelinap dalam kamar hatiku.  Sampai hati Mama!  Patutlah Naim bersetuju mengahwini aku.  Soalan yang bermain di sudut hati dan sekali-sekala menyuntik keraguan kini sudah terjawab.  Aku cuba mencantumkan setiap rentetan peristiwa yang telah berlaku dari saat Mama meminta aku jangan mengganggu Muaz agar perkahwinannya dengan Naurah dapat diteruskan. 

Beralih pula kepada peristiwa Naim membawa aku pulang ke rumahnya.  Pandai dia berlakon, menasihati aku agar bersabar dan bertenang.  Mungkin ketika itu dia dan Mama sudah membuat perancangan.  Teringat ketika aku meraung apabila Mama memberitahu aku akan dikahwinkan dengan Naim, dia kelihatan tenang dan selamba.  Tiada langsung tanda seolah-olah dia juga merasa terpaksa dengan perkahwinan ini.  Patutlah, dengan wang sebanyak RM50,000 siapa yang akan menolak?  Mungkin ada habuan lain yang Mama berikan, bukan setakat wang sebanyak RM50,000 ini saja. 

Perasaan sebak kini semakin menguat.  Aku selitkan cek itu di celah buku nota.  Airmata tiba-tiba bagai tidak boleh ditahan.  Laju saja menitis dari tubir mata lantas meluncur di atas pipiku.  Kenapa baru sekarang semua ini terbongkar?  Ketika di sudut hati ini sudah tertanam rasa sayang, ketika rindu kepadanya sering mengintai kamar hatiku, dan ketika setiap sentuhannya membuahkan kebahagiaan… aku rupa-rupanya sudah tertipu.


Mama kejam!  Naim lebih kejam!  Mempermainkan perasaan aku.  Naim…  Muaz… sama.  Kedua-duanya tidak ikhlas!

Monday 2 June 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 36

Assalammualikum dan haix3 semua.
Bab 36 akhirnya siap.  Ini bab terakhir di blog.  Setelah difikir-fikirkan, Isma decide akan siapkan manuskrip secepat mungkin dan hantar kepada publisher.
Harap anda suka dengan bab ini.


BAB 36

Pagi Khamis.  Samirah terbabas tidur.  Dia bangun dua puluh minit lewat dari biasa.  Inilah akibatnya kerana tidur lambat.  Bila sudah terlewat, kelam kabutlah dia bersiap.  Tengah sibuk hendak melilit tudung, telefon bimbitnya berbunyi.  Samirah jeling telefon yang diletakkan di sebelah beg tangannya di atas meja solek. 

Hai Irsyad ni, esok sajalah bersembang.  Bisik hati Samirah.  Kata Irsyad melalui pesanan whatsapp semalam, esok selepas solat Jumaat dia akan bertolak ke Penang.  Dia akan bermalam di Penang supaya boleh berjumpa dengan Samirah pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.  Panggilan itu dibiarkan saja hingga putus kerana Samirah hendak cepat.  Nantilah dia telefon Irsyad semula.  Usai menyemat peniti di atas tudung, Samirah mencapai beg tangan dan beg kertas lalu terus keluar.  Sampai di bawah dia terus keluar tanpa minum air masak terlebih dulu.  Bila sudah berdiri di sisi kereta, baru dia terkial-kial mencari kunci keretanya.  Ish, mana pula kunci ni.

            “Kenapa?” 

Samirah berpusing memandang ke arah Aish yang baru menyarung kasut.  “Kunci.  Malam tadi lepas Uncle pulangkan kunci, Ira rasa dah masukkan dalam beg.”  Jawab Samirah sambil terus menyelongkar beg tangannya.

            “Jomlah, pergi dengan aku.”  Aish bukakan pintu sebelum bergerak ke tempat duduk pemandu.  Samirah terus masuk sambil benaknya masih berfikir di mana letaknya kunci kereta.  Dia tidak perasan kunci dan telefon bimbitnya masih terletak di atas meja solek.

            “Bangun lambat ke?”  Soal Aish sebaik saja keretanya meluncur keluar dari kawasan perumahan. Samirah mengangguk.  “Patutlah kelam kabut semacam.  Lain kali jangan dengar kisah orang putus cinta lewat malam.  Kau tak biasa tidur lewat kan?”

            “Mana Abang Aish tau?”

            “Bila aku naik dalam pukul sepuluh lebih, bilik kau dah gelap.”

            Samirah diam.  Betullah apa yang Aish kata.  Biasanya paling lewat pun pukul sebelas dia sudah tidur.  Sudah terbiasa begitu supaya dia boleh bangun pukul empat pagi untuk bertahajjud.  Tapi kadang-kadang terbabas juga tahajjudnya.

            Sampai depan kolej, Samirah ucapkan terima kasih kepada Aish dan minta maaf kerana terpaksa menyusahkan Aish lagi.  Aish balas dengan anggukan dan senyuman. 

            “Ira,” laung Aish selepas Samirah keluar dari keretanya.  Samirah berpaling semula. 

            “Terima kasih sebab… sudi dengar kisah aku malam tadi.”  Giliran Samirah pula mengangguk sebelum cepat-cepat dia masuk ke dalam bangunan kolej. 

Aish tersenyum melihat gelagat Samirah.  Pertama kali dia melihat Samirah sekalut itu.  Teringat pula saat dia menyergah Samirah sampai habis rambut dan mukanya bersalut tepung.  Dia teringat juga waktu Samirah menyapu pipinya dengan span yang penuh dengan sabun pencuci pinggan. Sempat juga peristiwa ternampak Samirah bertelekung di dapur menjengah benaknya.  Tanpa sedar senyuman terus melekat di bibir Aish sehingga dia tiba di pejabatnya sepuluh minit kemudian.



“Cari siapa?” soal lelaki berjambang nipis.  Suaranya dalam.  Orangnya kacak, tinggi dan kulitnya agak gelap. 

            “Saya cari Puan Latifah. Awak siapa?”  Samirah menjawab.  Inikah teman lelaki mama? Hati Samirah bertanya.  Tak sama wajah dia dengan wajah yang pernah muncul dalam mimpi Samirah.  Aish yang berdiri agak ke belakang dari Samirah mara sedikit. 

            “Awak siapa?”  soal lelaki itu.

            “Saya Ira, anak Puan Latifah.  Awak siapa?  Buat apa di rumah mama saya?”  Suara Samirah sudah bernada cemas.  Aish datang dekat lagi dan berdiri di samping Samirah.

            “Young lady, first… this is my apartment.  Second… your mum is not in right now.  Third… I am your mum’s boyfriend.”  Lelaki itu tersenyum.  Tubuhnya yang sudah tegak dikalihkan mengadap Samirah dan kedua lengannya yang tadi disilangkan di depan dada dijatuhkan.

            Mata Samirah membulat.  Jadi inilah buah hati mama.  Lelaki yang berjaya membuat mama nekad dengan keputusan untuk meninggalkan papa. “Mana mama saya?”  Samirah bertanya.  Kali ini suaranya tegas dan berani. 

            “She’s not back from her spa.  Kalau awak nak, awak boleh masuk dan tunggu dia di dalam.  She should be back soon.  Masuklah.

            Samirah berpaling ke arah Aish.  Takkan dia nak masuk seorang diri.  Entah betul entah tidak lelaki itu kekasih mama.  Boleh jadi dia orang jahat yang memecah masuk ke apartmen mama, tiba-tiba tanggapan itu menerjah minda Samirah.  “Kami tunggu di luar,” bagai dapat membaca fikiran Samirah, Aish menjawab.  Samirah pantas mengangguk, mengiakan apa yang dikatakan oleh Aish. 

            “OK.”  Jawab lelaki berjambang dan dia terus masuk.  Pintu dan gril dibiarkan terbuka.  Samirah bergerak mendekati balkoni dan Aish mengikutinya.

            “Abang Aish, poyonya dia.”  Bisik Samirah

            “Jangan kutuk.  Entah-entah si poyo tu bakal bapak tiri kau.” 

            “Abang Aish!”  Jerit Samirah dalam berbisik.  Ada ke patut Aish kata begitu.

            “Ya lah, kan tadi dia mengaku dia boyfriend mama kau.  Kalau ada jodoh dia orang, dia tu jadi bapak tiri kau.”

            “Abang Aish kata sokong Ira, kenapa cakap macam tu?”  Suara Samirah sudah meninggi sedikit.

            “Sokong tak bermakna aku harus nafikan kenyataan.  Kan aku kata, kalau ada jodoh.  Yang kau gabra apa hal?” 

            “Ira bukan gabra.  Ira tak suka Abang Aish sebut macam tu.  Sebutlah perkara yang positif, macam mama dan papa akan berbaik semula dan rujuk.  Bukannya cakap pasal mama kahwin dengan lelaki poyo tu.  Ira tak suka dia.”

            “Mana tau, benda yang kau tak suka itulah yang sebenarnya Allah nak bagi pada kau.”

            “Abang Aish!”  Dalam berbisik nada suaranya tetap tinggi.  Dek kerana hatinya tak boleh terima kata-kata Aish, jarinya pantas mencubit lengan Aish.  Walaupun lengannya bersalut kerana Aish sentiasa pakai kemeja lengan panjang bila ke pejabat, bisa cubitan Samirah tetap terasa.  Aish menyeringai menahan sakit.

            “Jangan sebut lagi pasal mama kahwin dengan si poyo tu!  Minta-minta dia bukan boyfriend mama.”

            “Habis kalau dia bukan buah hati mama kau, buat apa dia duduk dalam rumah tu?  Kau tak dengar tadi dia kata ini rumah dia?”  Balas Aish sambil tangannya menggosok tempat yang dicubit dan suaranya bernada geram. 

            Samirah terpempan.  Otaknya mula mencerna setiap patah perkataan yang Aish luahkan.  Ada rasa risau bersarang dalam hatinya, disusuli dengan rasa sedih.  Samirah teringat cerita Aidid.  Kata Aidid mama sudah tidak berhijab, itu betul.  Kata Aidid mama merokok, itu dia belum nampak.  Kata Aidid mama tinggal serumah dengan teman lelakinya.  Tidak, itu tak betul.  Hati Samirah menjerit.  Ya Allah, janganlah.  Dia berdoa dalam hati.  Matanya sekejap pejam, sekejap dibuka.  Takkanlah mama seteruk itu, sanggup tinggal serumah dengan si jambang yang poyo.  Nauzubillah! 

            Aish merenung wajah Samirah dengan rasa hairan. “Ira, kau kenapa?”

            Samirah menggelengkan kepalanya.  Matanya masih terpejam. Dia masih terus berdoa dalam hati mamanya tidak tinggal serumah dengan si poyo berjambang.  Takkanlah mama tak tau dosa pahala, bisik hatinya lagi.

            “Ira,” Aish memanggil lagi.  “Kenapa ni?”

            “Ira takut.”  Akhirnya diluahkan. 

            “Tak payah takut, aku ada.  Dia tu tak nampak macam orang jahat.”

            “Ira takut.. kalau-kalau… mama dan dia… tinggal serumah.”

            Aish menelan liur.  Sebenarnya dia juga terfikirkan perkara itu, tapi didiamkan saja.  Kalaulah diluahkan, mau kena tumbuk dengan Samirah.  Wajah resah Samirah direnung semula.  Lengan kirinya dihulurkan lalu bahu Samirah disentuh lembut.

            “Jangan fikir bukan-bukan.”

          Samirah mengangguk.  Renungan redup dari mata Aish membuatkan hatinya sedikit lega dan dia merasa selamat.  Aish senyum.  Harapannya agar senyuman seikhlas hati itu dapat melegakan hati Samirah.  Kalau dia di tempat Samirah mungkin dia juga berperasaan begitu.  Lengan Samirah ditepuk lembut dua kali.  Niatnya hanyalah untuk memberi kekuatan kepada Samirah, bukannya hendak mengambil kesempatan.

Dari arah lif kedengaran derap kaki yang semakin kuat dan dekat.  Samirah dan Aish berpaling.  Susuk tubuh seorang lelaki sedang menghampiri mereka.  Semakin dia dekat, Samirah dapat mengecam wajahnya.  Samirah terpempan.

            “Irsyad!  Apa awak buat di sini?”

Irsyad Rifqi tidak menjawab.  Matanya menjalar ke seluruh wajah Samirah dengan renungan tajam sebelum beralih ke wajah Aish.  Lama dia merenung Aish.  Perasaan cemburu mula menjalar dalam hatinya. 

“Awak kata akan datang esok.”

“Kenapa saya tak boleh datang hari ni?”  Soal Irsyad dengan nada suara seperti ada yang tidak kena. 

“Bukan tak boleh.  Awak kata akan datang esok.  Saya terkejutlah jumpa awak hari ni.  Awak buat apa kat sini?”

Irsyad memandang dengan pandangan tajam.  “What are you doing here and why he is here with you?” soal Irsyad sambil matanya mengerling sekejap ke arah Aish.  Nada suara seorang pengarah urusan yang tegas menyoal kakitangannya sudah keluar. 

            “Aku temankan Ira ke sini untuk jumpa mama dia,” Aish yang menjawab.  Dia tak suka cara Irsyad memandangnya dan nada suara Irsyad bila menyoal Samirah.

            “Aku tak tanya kau.”  Perasaan cemburu dan marah yang bersatu dalam hati membuatkan Irsyad bercakap dengan kasar.

            “Irsyad, awak ni kenapa?  Abang Aish dah terangkan kenapa saya dan dia berada di sini.  Awak tu yang belum jawab soalan saya.”  Samirah sudah naik sedikit.  Dia memandang Irsyad dengan rasa tak puas hati.

            “Saya datang nak jumpa awak.  Meeting esok pagi dah ditukar ke pagi ni.  So saya datang petang ni untuk jumpa angah saya dulu.  Kenapa dia temankan awak?  Awak kan dah ada kereta, tak boleh datang sendiri ke?” 

            “Irsyad, awak masih cemburukan Abang Aish?”  Samirah menjawab soalan Irsyad dengan soalan.  Terbit riak tidak puas hati di wajahnya.    Aish yang mendengar rasa tidak selesa berada di situ. 

            “Qi!”  Belum sempat Irsyad menjawab soalan Samirah, namanya dipanggil.  Tiga pasang mata berkalih pandang ke arah pintu apartmen.  Si jambang nipis sedang berdiri sambil tersenyum dan melambai ke arah Irsyad.  Irsyad menuju ke arah abangnya dan mereka berpeluk sambil bertanya khabar.  Irsyad tarik tangan angahnya dan dibawa mendekati Samirah.

            “Angah, ini Samira, the love of my heart.”  Ujar Irsyad sambil tersenyum ke arah Samirah.  Perasaan marah dan cemburu dilupakan sekejap.  “Samira, ini abang saya.  Nama dia dekat-dekat dengan nama saya, Irsyad Zaqeef.” 

Samirah dan Irsyad Zaqeef saling memandang, tiada senyuman di wajah mereka. 

            “Qi… she’s Iffa’s daughter.”  Akhirnya Zaqeef bersuara.  Irsyad tergamam.  Patutlah ketika mula-mula berjumpa Iffa dia terasa lain macam.  Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman.  Mudahlah untuk dia memiliki Samirah kerana dia tau Iffa juga sukakannya.  Senyuman Irsyad melegakan Zaqeef.  Tadi Zaqeef risau kalau-kalau Irsyad tidak suka dia ada hubungan dengan Iffa bila mengetahui hubungan Iffa dan Samirah adalah ibu dan anak.

            “Baguslah.  Kenduri kahwin nanti kita buat serentak.  Mummy and daddy mesti suka.”

            Buntang mata Samirah bila mendengar ayat Irsyad.  No way! Si jambang nipis ni tak akan kahwin dengan mama.  Tak kiralah dia abang Irsyad atau sesiapa pun.  Dia ni penghalang usaha aku untuk satukan mama dan papa, bisik hati Samirah.  Samirah berpaling dan bila dia tiba dia depan Aish dia berkata “Abang Aish, jom kita balik.  Ira tak jadi jumpa mama.” 

            “Samira wait!”  Irsyad berlari anak mendekati Samirah.  Lengan Samirah segera dicapai.

            “Lepaskan saya!”  Tengking Samirah.  Lengannya disentap kuat tapi gagal lepas dari genggaman kuat Irsyad. 

          “Kenapa ni Samira?” Irsyad menyoal diiringi rasa hairan yang bertapak dalam hati.  Samirah pandang Irsyad dengan hati yang marah.  Dia meronta untuk melepaskan dirinya namun gagal kerana bahunya dicengkam kuat oleh Irsyad.

            “Lepaskan saya!  Saya nak balik!”

            “Awak belum jumpa mama awak.  Kenapa tergesa-gesa nak balik?  Tunggulah sekejap.”  ”  Suara Irsyad masih tegang.  Aish yang memerhatikan dari tadi merasakan sudah sampai masanya untuk dia campur tangan.  Zaqeef sudah semakin menghampiri mereka bertiga.

            “Kau dengar tak apa Ira cakap?  Dia suruh lepaskan, lepaskan sajalah.”  Tegas nada suara Aish, bagai memberi amaran dia bersedia bertindak ke atas Irsyad sekiranya Irsyad masih berdegil.  Menyirap darah Irsyad bila mendengar Aish bersuara.  Perasaan cemburu yang tadi hilang sekejap kini datang semula.  Bahu Samirah akhirnya dilepaskan.  Irsyad berpaling ke arah Aish.  Dia menolak dada Aish.  Aish terdorong ke belakang, namun sempat mengimbangi tubuhnya agar tidak terhentak ke dinding.

            “Kau apa hal?  Jangan campur urusan aku dengan Samira.” 

      "Aku bukan nak campur urusan kau dan Ira.  Tapi aku yang bawa Ira ke sini, jadi aku bertanggungjawab menjaga dia.  Kalau dia nak balik, aku akan bawa dia balik.”  Aish menjawab.  Matanya merenung tajam ke arah Irsyad.  Kalau diikutkan hati, mahu saja dilayangkan buku lima ke muka Irsyad.

            Irsyad yang semakin mendidih hatinya meluru ke arah Aish.  Kolar baju Aish dicekak dengan kuat dan tubuh Aish ditarik ke depan.  “Dengar sini baik-baik.  Samira ni buah hati aku.    Jangan nak berpura-pura baik, jaga dia konon sedangkan dalam hati kau ada niat lain!  Jangan ganggu buah hati aku!”  Irsyad memberi amaran.  Dadanya berombak-ombak, nafasnya turun naik dengan pantas menahan kemarahan.

            Aish sudah menggenggam penumbuk.  Diangkat tangannya tinggi-tinggi dan bersedia untuk melepaskan buku limanya ke arah Irsyad.  Si kurang ajar ni perlu diberi pengajaran.  Namun jeritan Samirah membantutkan niat Aish.  Zaqeef pula menerpa ke arah Irsyad.  Bahu adiknya ditarik kuat dan Irsyad meleraikan pegangan pada kolar baju Aish.


            “Sudah Qi!  Jangan bergaduh macam budak-budak!”  Tengking Zaqeef.  Sebaik saja dia berjaya menarik Irsyad, dia mengheret Irsyad kembali ke apartmen.