Tuesday 20 October 2015

AKU DAN 1B3K BAB 26

Assalam and hi hi hi u ols.  Maaf ya lambat upload bab baru.  Teragak-agak nak upload, lepas kecoh kes karya ciplak.  Walau pun akak ni bukan novelis femes, takut juga orang ciplak karya akak yang tak seberapa ni.

Tapi bila dikenang2kan semula, kesian u ols.  Tunggu lama kan, so akak upload lah bab 26.

Ini bab terakhir di blog ya.  Lepas ni nak fokus siapkan mssnya.  Kalau nak tau pasal Irsyad Rifqi, beli Jangan Ganggu Buah Hatiku ya.  Akan berada di pasaran sikit masa lagi.

Selamat membaca.  Harap suka.  Sila komen.  Terima kasih sudi singgah.




BAB 26


"Kenapa muka kau tiba-tiba pucat?"  Aku dengar Roy bertanya tapi mata aku masih tidak berganjak. Roy berpaling  ke arah pintu.  Aku berdiri.

"Bos."  Itu saja yang keluar dari bibirku.  Dia kekal berdiri tegak sambil mencekak pinggangnya.  Roy mendekatinya dan menghulurkan tangan sambil memperkenalkan diri.  Bos 1B3k langsung tidak pedulikan Roy, matanya masih tunak merenung aku dengan tajam.

"See me when you're done."  Sebaris ayat ditujukan kepadaku.  Dituturkan dengan suara bernada sangat tegas.  Aku mengesan ada rasa kurang senang dalam suaranya.

Dia mengalih pandang dan berkata kepada Roy, "only guests of the CEO are allowed on this floor.  I don't know you, so please leave."  Dia berpaling dan meninggalkan aku dan Roy. 

"Bos kau tu?  Hari tu masa di majlis Naani… yang ajak kau balik?" 

Aku mengangguk sambil mengemas meja.  Pembalut sandwic Roy aku buang ke dalam bakul sampah.  Sandwic aku yang masih berbaki separuh aku bungkus.  Dada aku ketat dengan berbagai perasaan yang berselirat.

"Kereknya!"  Dahi Roy berkerut.  Riak tidak puas hati terpamer di wajahnya.

"Sebab tu aku tak selesa bila kau nak makan kat sini.  Pantri ni untuk kakitangan saja."  Aku berterus terang dengan Roy, walaupun ianya sudah tidak bermakna lagi.

"Habis tu, kenapa kau tak bagi tau aku?” 

Aku biarkan soalan Roy tidak berjawab.  Sebenarnya bila melihat Roy bersusah payah membawakan makanan tengahari aku tidak sampai hati hedak memberitahunya tentang larangan membawa tetamu yang bukan kakitangan makan di pantri ini.  Lagi pun aku tidak terfikir Bos 1B3K akan datang ke pantri sebab tidak pernah sebelum ini dia berbuat begitu.

“Let me talk to your boss.  Aku akan cakap kau tak salah, aku yang paksa kau makan di sini dengan aku.”

“Tak payah Roy.  Kau tak kenal bos aku.  Dia bukan saja kerek, tapi bengkeng dan kurang ajar.  Biar aku jawab sendiri.”

Roy datang sebelah aku dan capai tangan aku.  Ish Roy ni, tadi pegang bibir sekarang pegang tangan.  Aku tak suka.  "Roy, janganlah."  Aku tarik tangan aku tapi Roy genggam jari-jari aku dengan lebih kuat. 

“Kalau dia marah kau, bagi tau aku.  Aku akan marah dia balik."  Sesedap rasa saja Roy bercakap.  Dia ingat dia siapa nak marah si bengkeng tu?  Aku tarik lagi tangan aku.  Kali ini Roy lepaskan, tapi kedua belah bahu aku pula dipegang.  Roy versi sekarang berani menyentuh aku sesuka hatinya. Ini dah lebih.  Muka aku sudah keluarkan riak bengang. 

"Kau boleh kerja dengan aku Fina.  Kalau dia marah kau, just quit.  I'm expanding.  I can recruit you and make you senior associate."  Memang sah Roy versi sekarang mulutnya bercakap sesedap rasa.  Macamlah aku hendak bekerja dengan dia.

"Baliklah dulu Roy, lain kali kita bincang."  Aku palingkan tubuh untuk melepaskan bahu aku dari pautan Roy.  Dia lepaskan bahu aku tapi dengan pantas menangkap tangan aku sekali lagi. 

"Macam mana aku nak balik, kau buat muka sedih. Your pain is my pain, Fina."

Dalam keadaan hati aku yang sedang bergelora, aku tak ada masa dan mood untuk ayat-ayat semanis kurma.  “Aku okey Roy.  Kau baliklah.” 

"Till we meet again, aku doakan yang baik-baik untuk kau."   Tangan kanan Roy naik lalu singgah ke pipiku.  Dia elus lembut pipi aku beberapa kali.  Aku semakin rimas bila Roy semakin berani menyentuh aku. 

“Roy!  Please leave!”  Hah, kan dah kena tengking.  Siap cakap orang putih lagi, maknanya aku sudah tidak boleh tahan.  Roy tunak memandang aku.  Wajahnya tenang, bagaikan dia sikit pun tidak terkesan dengan tengkinganku.  Matanya yang redup dan riak wajah yang menyenangkan menimbulkan rasa bersalah.  Dia hanya menunjukkan keprihatinannya, kenapa mesti aku marahi dia? 

Tanpa berkata apa-apa lagi, Roy mencapai kotnya dan keluar dari pantri.  Aku mengikutinya dan memerhatikan dia keluar dari kawasan pejabat.  Selepas itu aku menuju ke meja kerjaku.  Bilik Datin bertutup, maknanya Datin sudah pulang ke rumah.  Kak Razia pula tiada di tempatnya.  Sudah keluar makan tengahari agaknya, sebab sekarang sudah pukul satu.  Aku ketuk pintu bilik Bos 1B3K sebelum memulas tombol pintu.

Dia sedang berdiri membelakangkan pintu, memandang ke luar dinding kaca.  Aku pergi ke sebelahnya. 

"Bos."  Aku tegur dia.  Dia buat tidak tahu dan terus memandang ke depan.  Habislah aku kali ini.  Orang kata berani kerana benar, takut kerana salah.  Rasa bersalah kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan syarikat membuatkan aku merasa sangat takut sekarang. 

"Bos tak keluar makan?"  Kali ini aku tanya soalan pula bila dia buat tidak tahu akan kehadiran aku.  Dia tetap tidak menjawab.  Wajahnya kelat.  Aku tahu dia marah.  Hai, kenapalah aku tidak terfikir untuk ajak Roy pergi makan di restoran mamak seberang jalan, yang sebaris dengan Restoran Sambal?  Tapi tak patut pula makan di situ sedangkan makanan dan minuman tidak beli dari restoran itu.  . 

"Saya minta maaf." 

Masih tiada respons.  Ini kali ketiga dia buat perangai tidak bercakap dan sesungguhnya aku sangat rimas bila dia buat begini.  Aku lebih rela bertekak dengan dia daripada dia diam saja.  Aku seru namanya lagi. 

Pintu bilik bos diketuk.  Kak Razia muncul di balik pintu.  Renungan Kak Razia bagai mengisyaratkan aku supaya bersiap sedia menghadapi amarah bos.

"Mereka dah sampai Encik Rifqi."  Ada getaran dalam suara Kak Razia, seperti dia juga sedang ketakutan.  Kata-kata Kak Razia dibalas dengan kata-kata "ask them to come in, all at once."

            Mr Raj, Ketua Sekuriti masuk diikuti oleh Putri dan dua orang pengawal berbangsa Nepal. Kalau ditoreh muka aku sekarang agaknya tidak berdarah.  Aku tidak mahu mereka semua bakal dimarahi kerana kesalahan aku.  Tapi pada masa yang sama aku tidak berani berkata apa-apa.

Bos 1B3K berdiri di hadapan mereka sambil mencekak pinggang.  Aku pergi ke sebelah Putri. Pastinya gadis berusia 21 tahun itu yang akan teruk dimarahi kerana dia penyaring terakhir sebelum tetamu dibenarkan naik ke atas.  Bos memarahi kami dalam Bahasa Inggeris, agar abang Nepal berdua itu boleh faham bebelannya. 

Usai memarahi mereka kerana seorang penghantar sandwic boleh memboloskan diri ke tingkat teratas Wisma Duta yang menempatkan pejabat CEO dan Naib CEO, dia memandang ke arah Putri.

"Putri, kenapa tak semak dulu dengan Razia atau Fina sebelum awak benarkan dia naik?  Awak tau atau tidak prosedur untuk tetamu di bangunan ni?"  Suaranya keras, wajahnya bengis.  Walaupun aku sudah biasa mendengar dia memarahi pekerja, tidak pernah seteruk ini.  Aku dapat merasakan Bos sangat, sangat, sangat marah.

Putri tunduk tidak menjawab.  Tidak kiralah apa yang dikelentong oleh Roy kepada Putri, ada benarnya soalan Bos 1B3K itu.  Kalaulah Putri menelefon aku, tentu aku akan turun menemui Roy.

"Raj, is she aware of the procedure?" 

"Yes sirShe was told verbally and in writing when she first started working."  Mr Raj jelling Putri sambil bercakap dan kemudian dia pun tunduk.  Aku yakin semua yang berada sedang kecut perut dengan amarah Bos 1B3K. 

“Awak sedar tak awak sudah buat kesalahan yang besar?  Nasib baik yang naik dan makan di pantri dengan Cik Fina tadi cuma seorang penghantar sandwic.  Macam mana kalau yang awak bagi naik tu orang jahat?  Perompak?  Musuh syarikat?”

Beria-ia dia memarahi Putri.  Tiba-tiba aku teringat dia sendiri pernah melanggar peraturan syarikat.  Dia paksa aku bekerja pada hari Sabtu dan membenarkan tiga wakil syarikat hiasan dalaman naik ke tingkat sepuluh Wisma Duta sedangkan tetamu tidak dibenarkan naik ke tingkat sepuluh pada hari tidak bekerja. 

“Saya akan minta bahagian HR keluarkan warning letter untuk awak.” 

Putri tersentak.  Wajahnya diangkat.  Melihat wajah keruh Putri aku tahu masa untuk bersuara sudah sampai.

“Bos tak perlu bagi surat amaran kepada Putri.  Dia tak salah.  Putri memang ada call saya.  Saya yang suruh Putri benarkan lelaki tu naik.  Kalau nak bagi warning letter, bagi pada saya.”

Putri menoleh ke arahku dengan riak terkejut di wajahnya. 

"Okay.   Raj, I want you to initiate a warning letter for Fina, for not complying with the security procedures and for allowing outsider to restricted areaCall Shield Security, tomorrow onwards I don't want foreign guards in this building anymore.  Only locals.  Dismiss!"

Semua keluar.  Kecuali aku.  Masih ada yang perlu aku selesaikan dengannya walaupun sebenarnya aku turut kecut perut dengan jeritannya.

"Kau tak faham ke aku suruh keluar?"  Suaranya bernada sangat tegas dan aku nampak riak kemarahan yang amat sangat pada wajahnya, riak yang tidak aku lihat sebelum ini.  Tapi aku harus beranikan diri walaupun aku tahu aku salah.

"Faham."

"Kalau faham, pintu kat situ."

"Saya tau pintu kat situ.  Saya tau bos marah.  Bos memang patut marah..."  Ayat aku terhenti di situ kerana Bos 1B3K angkat tangannya menandakan dia mahu aku berhenti bercakap.

“K.E.L.U.A.R.” Kata Bos sambil mengetap giginya.  Dia kelihatan seperti sudah hilang sabar.  Matanya buntang memandang aku.  Dadanya berombak dan dia menghela nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan.  Aku mengagak dia cuba mengawal amarahnya.

“Kenapa kalau bos yang buat tak salah?”  Aku ujarkan soalan itu dengan suara yang mendatar, dengan harapan nada suara aku akan membantu meredakan kemarahan bos.

“Apa?” 

Aku baca Bismillah sebelum berkata “bos benarkan tiga wakil vendor naik ke sini pada hari Sabtu.  Kan salah tu?”

Aku kekalkan nada suara dan rendahkan pandangan, takut kalau dia akan lebih marah sekiranya aku tinggikan suara dan tatap wajahnya.  Dia datang kepadaku dan berdiri betul-betul di hadapan aku.  Bos berdiri sangat dekat sehingga aku dapat menghidu haruman tubuhnya.  Tangan di pinggangnya di jatuhkan. 

“Aku boleh buat apa yang aku suka.  Aku nak bawak orang hari Sabtu ke… hari Ahad ke… siang ke… malam ke… itu aku punya pasal.  I made the rules and I am free to break my own rules.”

Sangat jelas setiap butir perkataan yang dituturkan kerana dia berbisik di telingaku.  Aku juga dapat mengesan kemarahan dalam suaranya.  Besar sungguh kesalahan aku sampaikan dia masih marah.  Aku beranikan diri untuk memandang wajahnya.  Wajah kacak yang kelat itu nampak kerek sangat.

“Bos yang baik harus adil, kepada pekerjanya dan dirinya sendiri.  Kalau pekerja buat salah didenda, bos buat salah pun mesti didenda.”  Aku telan liur selepas habis bercakap begitu dengan suara yang kekal mendatar.  Jantung aku berdegam degum dengan rasa takut yang bercampur dengan rasa gementar dan tidak selesa kerana kedudukan kami yang sangat rapat.

“Saya tau apa yang saya buat tadi salah.  Saya tak sepatutnya ajak kawan saya makan di pantri.  Semua tu terjadi sebab….”
Aku tidak dapat teruskan ayatku.  Seperti tadi Bos 1B3K angkat tangan.  Kami bertentang mata.  Aku harap dia dapat melihat kekesalan yang terpancar dari sinaran mataku.  Dari matanya pula aku melihat kemarahan dan kekecewaan.

“Aku tak ada masa nak layan perempuan gatal yang menipu.  Lebih baik kau bukak saja tudung kau tu.  Perangai gatal kau tu tak sesuai dengan tudung atas kepala.  Berlagak baik… alim, tapi sebenarnya gatal!  Ada hati nak bersuamikan lelaki baik, tapi perangai sendiri teruk!”

Aku terkesima.  Tidak terfikir bos akan berkata begitu.  Terluka.  Sangat dalam luka di hati aku.  Ini kali ketiga atau keempat dia kata aku gatal dan kali ini lebih menyakitkan bila dia sentuh pasal tudung.  Aku kehilangan kata-kata, hanya mampu merenung kosong ke wajahnya. 

“Lagi satu, kalau nak menggatal, jangan buat dalam syarikat aku, bangunan aku.”    

Dia sebut lagi perkataan tu. G.A.T.A.L.  Dan peristiwa tiga tahun lepas yang sudah semakin nipis dalam kotak ingatanku kembali menebal.  Aku tutup mata rapat-rapat, cuba menyingkirkan kenangan yang menyakitkan tapi semakin lama wajah mereka semakin jelas.  Dadaku terasa ketat, nafasku tersekat.  Aku menekup telinga kerana bukan saja wajah mereka, tetapi suara mereka semakin nyaring terdengar.  Aku goyangkan kepala ke kiri dan kanan tapi suara dan wajah mereka tetap tidak mahu pergi. 

“Fina!”  Aku dengar suara Bos 1B3K tapi tidak sekuat suara perempuan itu.  Perempuan itu tunjal kepala aku dengan jarinya sambil memanggil aku berbagai nama.  Sundal. Gatal.  Perampas suami.  Perosak rumah tangga.  Pisau cukur.  Penggoda.  Gatal.  Aku hanya mampu menangis sambil memegang kepala yang aku tundukkan.  Dia masih tidak puas hati.  Tangan aku ditarik dan satu tamparan kuat menyinggah pipiku.  Tubuhku terpaling.  Aku jatuh terjelepok atas lantai.  Tangisanku semakin kuat tetapi tidak cukup kuat untuk menghentikan serangannya. 

"Sudahlah Yang."  Kata si suami.

"Nanti.  I belum puas hati.  Budak ni kena ajar cukup-cukup biar dia serik.  Perempuan gatal macam ni kalau tak diajar, esok-esok dia buat lagi.  You all semua, better beware of this girl.  Kalau tak nak laki you kena kacau, jangan kawan dengan budak gatal ni!"

Dia hina aku, tuduh aku dan serang aku seolah-olah aku tidak ada perasaan.  Dia malukan aku depan orang ramai tanpa sekelumit pun rasa curiga terhadap suaminya sedangkan aku sedaya upaya tidak melayan suaminya yang bukan setiap hari, tapi boleh dikatakan setiap detik menggoda aku. 

Aku terus menangis.  Imej perempuan itu dan suaminya sangat jelas di mata.  Kata-kata mereka sangat jelas aku dengari.  Aku turut mendengar suara Bos 1B3K sayup memanggil namaku.  Tubuhku terasa melayang sebelum aku jatuh.

“Fina!”

Terasa ada tangan yang menarik aku.

“Saya tak gatal…tak goda dia…saya tak…”  Ayat itu tidak dapat aku habiskan.  Airmata sudah berjejeran di atas pipiku.  Kepala aku bergoyang ke kanan dan kiri.  Wajah dan suara perempuan itu tetap tidak mahu pergi.  Muka lelaki bacul yang sanggup membiarkan isterinya menyerang aku sedangkan dia yang salah, semakin kabur.

“Fina, kenapa ni?”

Aku kehilangan suara untuk berkata-kata.  Hanya esakan aku yang kedengaran.  Kepala aku terasa sangat berat.  Kaki pula terasa sangat ringan. 

“Fina!  Fina!  Bukak mata!  Jangan macam ni Fina!  Please!” 

Gelap. 


Sunyi.  

Tuesday 6 October 2015

AKU DAN 1B3K BAB 25

BAB 25

"Hari ni tak da bunga?"  Kak Razia menyoal.  Aku angkat kotak cokelat Patchi dan tunjukkan kepada Kak Razia.  Mencerlung mata Kak Razia memandang kotak cokelat yang di atasnya terlekat sekeping kad kecil dengan kata-kata ‘thank you for being so sweet to me last night’.  Sweet apanya, aku sekadar temankan dia ke majlis makan malam saja.  Kalau aku tahu aku akan berjumpa Rasydan Miang dan Bos 1B3K di majlis malam tadi, sumpah aku tak akan ikut Roy.

"Wow!  Cokelat mahal tu Fina.  Eeee nak lah sikit."

"Kejap lagi ya kak.  Lepas dia masuk bilik."

Aku perlahankan suara supaya Bos 1B3K dan Datin yang sedang berbincang dalam bilik Datin tidak mendengar.  Kak Razia mengangguk sambil mengangkat ibu jari.  Pagi tadi Bos 1B3K masuk pejabat dengan muka cemberut dan dia buat perangai seperti hari Sabtu lepas.   Sepatah perkataan pun tidak diucapkan kepada aku dan sapaan dan soalan aku langsung tidak diendahkan.  Aku tidak faham kenapa dia mesti marah dengan aku, sedangkan sepatutnya aku yang berhak marah terhadapnya.  Ikut sedap mulut saja dia kata aku hipokrit dan gatal.

Aku sambung kerja.  Kak Razia panggil aku dengan suara perlahan.  Aku panggung kepala.  "Perasan tak Encik Rifqi dan Datin dah lama tak bertekak?"

"Ya lah kak."  Baguslah dia orang tidak bertekak.  Telinga aku dapat berehat daripada mendengar suara tinggi Bos 1B3K.  Dan aku juga tidak perlu mendengar keluh kesah Datin.

"Dah dua minggu tak ada gossip dengan pelakon tu, kan?"  Kak Razia bertanya.  Aku mengangguk.  Kerja aku semakin senang apabila tidak ada gossip di media cetak dan elektronik.  Kalau ada, jawabnya kena periksa sebanyak mungkin suratkhabar, majalah dan internet.

Telefon bimbit aku berbunyi.  Nama yang tertera di skrin aku tenung lama sambil berfikir hendak jawab atau tidak.  Akhirnya aku tekan butang hijau.  Salamnya aku jawab.

“Sayang, dah makan cokelat?”  Alamak, Roy dah mula panggil aku sayang.  Parah ni, aku takut dia sudah pasang angan-angan akan memiliki aku.

“Belum.”

"Nanti makan ya."  Macam memujuk pulak nada suara Roy. 

"Roy, kenapa kau buat semua ni?"

"Sebab aku sayang kau."

"Roy janganlah macam ni.  Aku tak nak kau belanja mahal-mahal..."

"Bunga dan cokelat saja, langsung tak mahal.  Kalau kau tak suka bunga atau cokelat yang aku bagi, bagi tau aku.  Aku boleh tukar dengan bunga dan cokelat yang menepati citarasa kau."

Aku lepaskan keluhan kecil.  Aku rasa Roy yang sedang bercakap dengan aku sekarang lain benar bunyinya dengan Roy senior aku di universiti dulu. Yang dulu lebih merendah diri, sedikit naif dan lebih ikhlas.

"Dinner with me tonight, Fina."  Suara dia bukan bernada mempelawa tapi bernada menyuruh.  Aku tidak selesa dengan lelaki yang suka menyuruh.

"Err... Roy, kan kita baru jumpa semalam?" 

“Semalam ramai orang, tak sempat borak dengan kau.  Lagi pun kau tak berapa sihat semalam.  Jomlah, dinner dengan aku.  I want to take you to a special place, only the two of us.”  Kali ini suara Roy bernada memujuk pula. 

“Maaf Roy, malam ni aku memang tak boleh.”  Sebenarnya bukan tidak boleh tapi aku tidak mahu.  Aku rasa tidak elok kalau terlalu kerap berjumpa dengan Roy. 

  “Then we shall have lunch together."

“Roy, aku kerjalah.  Aku bukan bos besar macam kau boleh keluar masuk pejabat sesuka hati.”

"Aku datang office kau.  We’ll go somewhere nearby.  I'll pick you up at 1.  See you later, love."  Dia putuskan talian.  Aku termangu.  Memang terasa Roy yang ini sangat lain.

"Amboi....kemain lagi 'Roy janganlah macam ni.  Aku tak nak kau belanja mahal-mahal'.  Ya lah tu tak nak yang mahal-mahal.  Karang sampai licin cokelat tu kau jilat."  Kak Razia mengusik aku, siap mengajuk gaya aku bercakap dengan Roy tadi.  Aku jeling Kak Razia.

"Orang nak bagi yang mahal, terima saja Fina.  Esok dah jadi laki, jangan kata sejambak bunga, sehelai daun pun belum tentu dapat."  Becok terlebih Kak Razia pagi ni.  Aku angkat kening.

"Handsome tak kawan kau tu Fina?"

"Handsome kak.  Tapi saya ni tak kisah pasal rupa kak.  Yang penting akhlak dan imannya."

"Hah, betul tu.  Yang penting akhlak, iman dan akak nak tambah satu lagi...poket.  Macam akak ni dah terlambat nak cari yang poket tebal.  Tapi kau tu 'open tender' lagi."  Kak Razia ketawa kecil dan sambung menaip.
           
"Open tender?"  Hampir bercantum kening aku.  Kak Razia ni ada-ada saja.

"Kau tu kan single and available, sapa-sapa pun boleh ngorat.  Hah, kira open tenderlah.  Ni budak Roy ni, kerja apa?"

"Dia baru setahun jadi partner sebuah firma perunding untuk perkhidmatan perakaunan, audit dalam dan pengurusan risiko.  Sebelum ni dia kerja dengan agensi kerajaan sampai kontrak tajaan dia habis." 

            “Oh.”  Itu saja yang keluar dari mulut Kak Razia.  Kalau dia nampak Roy, aku yakin ‘oh’ nya akan jadi lebih panjang.  Kami sambung kerja masing-masing.  Aku angkat muka semula bila Kak Razia panggil aku.

            “Apa jadi dengan rancangan kau nak buat Encik Rifqi suka dengan perempuan bertudung?”

            Aku angkat bahu.  Sebenarnya aku sudah tidak berminat hendak meneruskan rancangan kerana aku tidak tahu apa hendak dibuat supaya Bos 1B3K suka perempuan bertudung.  Lagi pun nasihat emak masa singgah di kampung minggu lepas masih aku ingati dengan jelas.  Kalau ikut nasihat emak, aku sebenarnya tidak perlu buat apa-apa.  Jadi baik saja sudah cukup.  Tapi dari pesanan Whatsapp dari Bos 1B3K semalam, aku tahu dia tidak anggap aku baik.  Maknanya kebaikan aku belum berjaya mengubah persepsi negatifnya terhadap perempuan bertudung.  Lantaklah.  Selepas minggu depan berakhir aku sudah tidak perlu layan kerenah bengkeng, kerek dan kurang ajar dia.

            Loceng pintu kaca berbunyi, diikuti dengan bau harum manis menerpa rongga hidungku.  Aku kerling ke kanan.  Azira sedang berjalan ke arah kami dengan wajah sugul.  Aku beri salam dan senyum.  Dia jawab salam tetapi tidak senyum.  Berbeza sungguh air mukanya dengan ketika aku bertembung dengannya di luar bilik air Hotel Royale Chulan semalam.

            “Rifqi ada?”  Soalnya.  Amboi, gelaran encik sudah tidak dipakai.  Semalam pun dia panggil Rifqi saja.  Maknanya mereka sudah semakin rapat sekarang.

            “Dia dalam bilik Datin.”  Kak Razia yang laju menjawab.

            “Lama lagi ke?”  Azira menyoal sambil memanjangkan lehernya, cuba mengintai ke dalam bilik Daitn.  Memanglah tak nampak, Datin dan Bos 1B3K duduk di meja bulat.  Kena berdiri di jenang pintu baru boleh nampak. 

            “Tak pasti.”  Kali ini aku yang jawab.

            “Interior designer untuk resort di Kuala Selangor, dah lantik ke?”  Soalan ini aku sudah agak akan keluar dari bibir Azira.  Aku geleng lagi.

            “Lamanya!”  Suara Azira sudah naik satu oktaf.  Aku dan Kak Razia berpandangan.  Apa hal minah ni?

            “Mestilah lama nak buat keputusan Cik Azira, jumlah yang nak dibelanjakan besar.  Lagi pun Encik Rifqi memang teliti bila buat keputusan.  Dia akan kaji dari berbagai aspek, bukan setakat harga saja.  Lepas tu kena bentangkan di mesyuarat Lembaga Pengarah sebab jumlah melebihi lima ratus ribu mesti diluluskan oleh lembaga pengarah.”  Hah, ambik kau, dengan panjang lebar Kak Razia bagi penerangan.

            “Bila board meeting?”  Eh dia ni, banyak soal pulak.  Aku pandang Kak Razia, dia buat muka yang mengisyaratkan ‘jangan bagi tahu’.

            “Tak tahu.”   Jawapan dua patah perkataan yang aku bagi rupa-rupanya tidak digemari oleh Azira.  Riak wajahnya berubah. 

            “Apa korang ni?  Semua benda tak tau.  Korang ni bekerja ke makan gaji buta?”  Suara dia naik lagi satu oktaf.  Aku sudah bengang.  Kak Razia pun sama.

            “Cik Azira, kalau tak tahu apa-apa, jangan sedap mulut tuduh kita orang makan gaji buta.  Gaji kami bukan Cik Azira yang bayar, jadi jangan nak tengking-tengking.  Cik Azira tunggu sajalah.  Kalau ada rezeki Cik Azira dapatlah projek Kuala Selangor tu.  Yang tak sabar sangat tu kenapa?”  Seorang Safinatun Najah memang tidak rela dirinya dimarahi kalau dia tidak buat salah.  Jadi aku jawab begitu.  Kak Razia angkat kening dua kali kat aku.

            Azira pandang aku dengan riak tidak puas hati dan sakit hati terpamer di wajahnya.  Ada aku kisah?  Kalau dia nak report dekat Bos 1B3K pun aku tak heran.  Dia berpaling dan meninggalkan kami sambil jalan menghentak.  Eh eh, macam budak kecil! 

            “Kau memang sesuai jadi PA, Fina.”  Kata Kak Razia sebaik saja kelibat Razia menghilang dari pandangan kami.  “Mulut pedas kau tu berguna untuk halang orang yang tak sepatutnya dari mendekati bos.  Akak rasa kan, nak bagi tau Datin biar kau stay saja kat sini.  Azwan tu letak kat department lain.  Akak pun seronok dengan kau, hilang stress kerja bila dengar celoteh kau.  Kalau dengan Azwan, kerja saja, langsung tak bercakap.” 

            Amboi sedapnya mulut Kak Razia, nak suruh aku terus kerja di Pejabat CEO.  Tak kuasa aku menghadap si bengkeng @ kerek.  Loceng pintu kaca berbunyi lagi.  Aku berpaling ke kanan, Kak Razia ke kiri.  Dengan pantas Kak Razia mencapai ganggang interkom pintu. 

            “Roy!” 

            Aku menjerit sambil terus bangun.  Aku terlupa pintu pejabat Datin terbuka luas.  Harap-harap Datin dan Bos tidak mendengar jeritan kecilku.  Senyuman manis tergaris di bibir Roy sambil dia berjalan mendekati mejaku.

            “What…?”

            Soalan aku tergantung di situ.  Roy letak beg plastik yang mengandungi kotak makanan di atas meja aku dan sebuah lagi plastik berisi dua cawan kopi.

            “You are okey with O’Brien sandwich, right?”

            “Roy, apa semua ni?”

            “Lunchlah.  Aku tapau siap-siap supaya kita dapat cukup masa untuk makan dan berborak.  Kat office kau tentu ada pantry kan?  Jom kita makan dalam pantri.”

            “Roy!  Waktu lunch aku pukul satu.  Sekarang baru pukul dua belas dua puluh.”

            “No worry sweetie, I’ll sit there and wait.  Whenever you are ready, we’ll have lunch together.”  Jawab Roy sambil menunjuk ke arah lounge tetamu di sebelah pintu kaca.  Belum sempat aku berkata apa-apa lagi dia berlalu dan dengan selamba melabuhkan punggungnya di atas sofa.

            Kak Razia berdehem.  Aku kalih pandang ke arah dia.  “Amboi, tak kenalkan kita dengan pakwe cun dia.”

            “Hmm, itulah Roy.”  Aku bercakap dengan mood yang sudah ke laut.  Aku tak suka Roy main terjah saja pejabat aku.  Nanti apa pula yang Datin dan Bos 1B3K fikirkan.

            “Wah, abang sado rupanya Roy tu.  Dahlah handsome, caring pulak.  Akak dulu tak pernah Abang Li datang office bawakkan lunch.”

            Aku diam.  Kalau dilayan nanti Kak Razia over.  Sekarang pun nampak macam dia terlebih teruja. 

            “Fina pergilah makan, akak cover.”  Kali ini aku angkat muka dan pandang Kak Razia.  “Pergilah.  Akak keluar pukul satu.”

            “Menyusahkan akak saja.”

            “Asalkan akak dapat sikit encik patchi tu, akak tak kisah.”

            Aku senyum.  Aku pasti akan merindui keselambaan Kak Razia bila aku balik ke Bahagian Akaun nanti.




Sandwic O'Brien yang enak terasa tawar dan amat payah menuruni kerongkongku.  Kopi Starbuck yang manis dan sedap aromanya juga terasa payau.  Semuanya kerana aku menikmati makan tengahari bersama Roy dalam pantri.  Aku rasa bersalah sangat-sangat kerana pantri ini untuk kakitangan dan semestinya kakitangan di tingkat teratas Wisma Duta adalah CEO, Naib CEO, aku, Kak Razia, Kak Biah dan Abang Di saja.  Aku difahamkan juga hanya Dato, Datin dan Bos 1B3K yang boleh membawa tetamu makan di pantri ekslusif ini.

Roy makan dengan berselera sambil bercerita tentang pelanggan yang ditemuinya sebelum dia datang berjumpa aku.  Aku hanya mendengar cerita Roy dan mendengar degup jantungku.  Punyalah kuat debaran dalam dada ini dan rasa tidak sedap hati yang menjelma sejak Roy muncul tadi terasa semakin kuat bila melihat dia dengan santai mengunyah sandwic.

"Macam mana kau boleh naik?"

"Aku kata pejabat CEO order sandwic."  Roy sengeh sebelum menggigit sandwic.  Terpamer riak bangga di wajahnya kerana berjaya naik ke tingkat sepuluh Wisma Duta.  Aku semakin tidak sedap hati.  Wajah comel Putri, gadis penyambut tetamu di lobi terbayang.  Tidak sanggup aku membayangkan Putri yang manis diherdik oleh si bengkeng.

"Kenapa tak makan?  Tak sedap ke?"  Roy bertanya.

"Sedap."  Aku jawab sebelum menggigit sandwic.  Demi Roy yang bersusah payah membelikan aku makanan.  Yang mahal pulak tu. Hai lah Roy, serba salah aku dibuatnya.

"Stay still," kata Roy sambil menyua tangan.   Pipi aku terasa membahang bila ibu jari Roy menyentuh tepi bibirku.

"Comot!"  Kata Roy.  Kemudian dia mengenyit mata.  "Tapi comel.  Si comot yang comel inilah yang aku rindukan sejak enam tahun lepas.  Empat tahun lepas aku ada di airport masa kau balik.  Aku nak tegur tapi bila nampak Along kau yang garang tu, aku hanya tengok kau dari jauh."

Orang becok macam aku boleh jadi pendiam bila dengar Roy berkata begitu.  Roy yang helpful, Roy yang bookworm, Roy the best student, Roy yang lebih banyak tersenyum dari bersuara kini adalah seorang jejaka tampan yang petah.  Mesti ramai gadis yang meminati Roy versi sekarang, tapi kenapa aku yang dirayu?

"Seriously Roy, takkan kau tak ada girlfriend?"

"Kalau kau setuju jadi girlfriend aku, adalah."

Aku tundukkan wajah, tak sampai hati merenung mata Roy yang bersinar dengan harapan.  Aku gigit sandwic.  Bila dikunyah, terasa payah sungguh, bagaikan aku mengunyah getah. 

"Fina."  Aku angkat muka.  Dengan pantas jari Roy singgah lagi di pinggir bibir dan kali ini dia lebih berani.  Ibu jarinya bergerak dari hujung bibir dan mengelus bibirku. Pipi aku membahang semula.  Aduh, kenapa tidak aku halang jarinya dari menyentuh bibirku?  Mata kami bertaut pandang dan jantung aku seperti sedang menari irama rancak.

"Kenapa comot sangat ni sayang?"  Jarinya masih dibibir.  Suaranya lembut dan perlahan.  "Kau macam nervous je.  Rilekslah, kita bukan buat apa, makan saja.  Lagi pun ini kan pantri, memang tempat makan."


Aku rasa Roy macam ambil kesempatan dari kegugupan aku dan sengaja membiarkan jarinya berlama di bibirku. Aku tolak tangan Roy, toleh ke kanan dan di saat mataku menangkap tubuhnya yang berdiri mencekak pinggang di jenang pintu pantri yang sengaja aku biarkan terbuka, muka aku hilang darah.  Dia merenung tajam dengan pandangan penuh amarah.  Entah sejak bila dia berdiri di situ, aku tidak perasan.  Yang aku tahu sekarang jantung aku sudah bersedia untuk membuat aksi sky diving dari tingkat sepuluh Wisma Duta.