Monday 12 August 2013

SAAT KAU LAFAZKAN VERSI RAYA

Assalam.  Eid mubarak.  Maaf zahir dan batin.

Bagaimana sambutan raya u ols?  Harapan saya semua dapat menyambut raya dengan kegembiraan dan penuh kesyukuran.  Semoga setiap sambutan raya kita membawa kita semakin dekat dengan Al Khaliq.

Entah macam mana, saya dapat idea untuk membuat kisah Izureen dan Naim beraya bersama.  Maknanya apa yang dipersembahkan di bawah adalah kisah fast forward.  Tak taulah sama ada u ols suka atau tidak, tapi saya harus mencuba.

Kisah di bawah ni saya belum tau akan dimasukkan ke bab yang keberapa nanti. Sorry ya, kisahnya di fast forwardkan.  Enjoy dulu ya, nanti saya akan sambung bab 26.  Happy reading dan jangan lupa bagi komen.

SAAT KAU LAFAZKAN – VERSI RAYA

IZUREEN

“Yeay!!! Esok raya!!!”

Lokman melompat kegembiraan, sebaik sahaja pengumuman dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa esok raya.  Hafiz berkejaran dari dapur sambil memegang botol susu.  Termangu dia melihat abangnya meloncat kegembiraan.

“Hafiz, esok raya… yeay!!!”

Barulah Hafiz faham kenapa abangnya terlebih riang.  Botol susu dilepaskan dan dia mula melompat mengikut perbuatan abangnya.  Aku terhibur dengan gelagat mereka berdua.  Elida yang sedang berpantang keluar dari bilik.  Nampak dia juga terhibur dengan perlakuan anak-anaknya.

“Aman, Afiz, jangan bising sangat.  Nanti adik terjaga.”

Pantas Lokman dan Hafiz berhenti bersorak.  Sejak mendapat adik baru, kedua-duanya sangat sayangkan adik mereka, terutamanya Hafiz yang seronok dapat menjadi abang.  Seluruh keluarga Naim termasuk aku sangat gembira dengan kelahiran Safiyyah yang merupakan cucu perempuan pertama keluarga ini.

“Ish korang ni, seronok nak raya ke seronok nak dapat duit raya?”

Fina yang baru muncul dari dapur menegur.  Lokman dan Hafiz sama-sama tersengeh.

“Siapa nak duit raya lebih, jom tolong Acu pasang langsir.”

Pantas kedua-dua mereka berlari mengikuti Fina.  Riuh rendah suara mereka menawarkan diri untuk menolong Acu mereka memasang langsir, macamlah mereka reti membuat kerja tersebut.  Kerenah mereka mengundang senyuman di bibirku.  Baru malam raya, sudah terasa kemeriahannya.

Inilah kali pertama aku akan menyambut hari raya sebagai seorang isteri, menantu, ipar dan emak saudara.  Satu suasana baru yang aku yakini akan memberikan pengalaman yang indah.  Saluran televisyen mula menyiarkan takbir raya.  Hatiku tiba-tiba menjadi sayu mendengar laungan takbir, teringat Mama di KL.  Walaupun malam rayaku sebelum ini tidak seriuh rendah malam ini, ia tetap bermakna.  Aku masih ada Mama dan Abang Lan.  Namun tahun ini aku harus beraya dengan keluarga baruku.  Keluarga yang lebih besar, lebih riuh dan mungkin juga lebih meriah.

Aku ke dapur, mahu menghulurkan bantuan kepada emak.  Emak sedang memasukkan beras yang sudah direndam ke dalam kelongsong ketupat.  Aku segera duduk di sebelah emak dan minta diajarkan cara yang betul untuk memasukkan beras.

“Tak payahlah Reen.  Biar emak saja yang buat.  Kamu rehatlah.”

“Reen tak letih mak.  Bosanlah duduk saja.  Lagi pun nampak macam senang saja kerja ni.”

Emak senyum.

“Memang tak susah, tapi kalau tak betul sukatan beras yang dimasukkan, lembik nanti ketupat kita.”

Aku perhatikan cara emak bekerja dan kemudian aku mula memasukkan beras ke dalam kelongsong ketupat.

“Cukup tak mak?”

Kelongsong yang sudah berisi beras aku suakan kepada emak.  Emak memicit-micit dan menyerahkan kelongsong ketupat kepadaku sambil menyuruh aku menambah sedikit lagi beras.  Kemudian emak mengajar aku bagaimana menutup kelongsong tersebut agar beras tidak terkeluar ketika ketupat direbus nanti.

“Nanti bila orang-orang jantan tu dah balik, kerja dema lah merebus ketupat dan membakar lemang.  Habis kita isi ketupat ni, kita solat sama-sama ya.”

Aku mengangguk.  Mata bertaut dengan renungan emak yang sedang tersenyum memandangku. 

“Mak harap kamu seronok beraya di sini.  Raya orang kampung lain, tak macam raya orang bandar.  Di bandar, semuanya order saja, banyak yang segera.  Nasi impit segera, kuah kacang segera, rendang segera pun ada kan?  Di kampung macam inilah, kami buat sendiri.”

Wajah lembut emak aku renung.  Terasa hiba di hati bila emak menyebut cara orang bandar beraya.  Walaupun apa yang emak katakana tidak semuanya benar, namun tetap ada kebenarannya. 

“Reen seronok mak.  Dah lama sangat Reen tak makan ketupat.  Dulu masa kecil, adalah arwah nenek masak ketupat tapi masa tu Reen tak tolong, sibuk main bunga api dan mercun dengan abang dan sepupu-sepupu.  Lepas papa meninggal, kami dah tak balik kampung.  Sejak tu Reen tak merasa lagi suasana beraya di kampung.  Raya kami sunyi, hanya bertiga tapi setiap tahun Mama masak sendiri rendang dan nasi impit segera.”

**********

Memang sungguh meriah.  Ini baru malam raya, esok raya pertama bagaimanalah agaknya.  Naim, Abah dan Ayin balik dari surau, diiringi  oleh sekumpulan Jemaah surau.  Mereka bertakbir di rumah.  Usai bertakbir, mereka dijamu dengan minuman kopi dan sedikit kuih muih sebelum bergerak ke rumah berikutnya untuk menyambung amalan bertakbir dari rumah ke rumah di malam raya.  Aku hanya sempat memberikan senyuman kepada Naim sebelum dia turut mengikuti jemaah masjid ke rumah berikutnya.

Mereka pulang menjelang jam 11 malam.  Dengan segera Abah menghidupkan api untuk merebus ketupat.  Ayin pula cepat-cepat menyalakan api untuk membakar lemang.  Fina yang sudah selesai memasang langsir dan menghias rumah turut ke belakang menyertai acara merebus ketupat dan membakar lemang.  Elida sudah terlelap sambil menyusukan Safiyyah.  Dua orang abang Safiyyah yang lasak masih belum tidur.  Mereka turut ke belakang, menuntut janji Fina bahawa mereka boleh bermain bunga api setelah menolongnya mengemas rumah.

Aku juga mahu ke belakang menyertai mereka.  Belum sempat aku menuruti emak yang sudah keluar melalui pintu dapur, tanganku ditarik lembut dari belakang.  Pantas aku berpaling dan sebaik sahaja tubuhku berhadapan dengan tubuhnya, Naim pantas merangkul pinggangku. 

“Zureen tolong emak ke?”

Aku mengangguk.

“Tak penat?”

Aku menggeleng pula. 

“Dah malam ni, tidurlah.  Esok kita nak beraya.  Kalau tak cukup tidur, nanti esok letih.”

Aku menggeleng lagi.  Sengaja tidak mahu bersuara, mahu melihat apa reaksi Naim jika aku berkelakuan begitu.  Sudah lama aku tidak merajuk dengan Naim, tiba-tiba datang pula mood hendak dipujuk olehnya. 

“Kenapa ni sayang, tak sudi cakap dengan saya ke?”

Aku diam.  Wajahku tundukkan, cuba mengawal senyum yang sudah mula hendak terbit di bibir.

“Zureen, saya ada buat salah ke?”

Ada nada risau dalam suara Naim.  Aku tidak mampu berkata apa-apa.  Jika aku bersuara, pasti akan meletus ketawaku.  Maka aku menggeleng lagi. 

“Zureen…”

Kali ini tidak sampai hati untuk terus mempermainkan perasaan Naim.  Aku mengangkat muka, dengan wajah yang sedikit aku masamkan.

“Memang Abang ada buat salah dengan Reen.”

“Apa dia?”

Suara Naim masih bernada risau.

“Abang tak bagi tau raya di sini sangat meriah.  Baru malam raya dah meriah macam ni.  Esok entah macam mana, mesti lagi meriah.”

“Zureen!  Nakalnya isteri saya ni.  Buat saya suspens saja.  Ingatkan ada apa tadi.”

Naim tersengeh.  Satu cubitan singgah di pipiku.  Belum puas agaknya, hidungku pula ditarik.  Aku ketawa, gembira kerana dapat mengenakan Naim.  Sebelah tangan Naim segera merangkul pinggangku semula dan sebelah lagi pantas diletakkan di atas perutku yang sudah sedikit membesar.

“Baby, nanti jangan naughty macam ibu ya.”

Naim menarik tanganku, membawa aku keluar untuk bersama-sama dengan yang lain.  Dalam hatiku bersemi bunga-bunga cinta yang semakin mekar dan mewangi.

NAIM ZAKARIA

“Abang, Reen nak ucapkan Selamat Hari Raya, dan…”

Ayat Izureen mati di situ.  Tangan kami masih bertaut dalam satu salaman.  Aku lepaskan salam dan mengangkat dagunya, agar aku dapat melihat wajah manis isteriku.  Ada airmata bertakung di tubir matanya.

“Reen nak minta maaf atas semua kesalahan Reen.  Sepanjang kita kenal, dari masa belum kahwin… hingga sekarang… Reen banyak buat salah pada Abang… dan banyak menyusahkan Abang.”

Airmata Izureen jatuh, meluncur laju di atas pipinya yang mulus.  Aku seka airmatanya dengan jari.  Dia memandang aku tanpa berkelip.  Inilah kali pertama seorang wanita bergelar isteri menyalami aku dan memohon ampun di pagi 1 Syawal.  Terasa hiba dengan lafaz memohon kemaafan yang dituturkan oleh isteriku.  Aku sedar dia ikhlas memohon maaf dan aku juga sedar aku sendiri ada membuat kesalahan dan menyakiti hatinya.

“Saya maafkan segala kesalahan Zureen.  Saya tak pernah anggap Zureen menyusahkan saya.  Zureenlah permata hidup yang Allah utuskan untuk memberi kebahagiaan kepada saya dan ahli keluarga saya yang lain.  Terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai suami, dan menerima ibu bapa serta adik-adik saya dan keluarga mereka sebagai sebahagian dari hidup Zureen.”

Aku genggam semula tangan Izureen.  Satu kucupan aku berikan di dahi.  Dalam hati ini, aku lafazkan kesyukuran ke hadrat Illahi atas kurniaannya.  Seorang isteri yang telah melengkapi hidupku, membawa sinar kebahagiaan bukan sahaja kepada diriku, malah kepada seluruh keluargaku.  Dia yang datang dari dunia yang berbeza, namun pantas menyesuaikan dirinya dengan suasana dan gaya hidupku.  Selagi Allah mengizinkan, dia akan kekal permaisuri hatiku.

“Abang, maafkan Reen… if I failed to be the perfect wife for you.”

Aku menggelengkan kepalaku.  Sesuatu yang mustahil, yang tidak pernah aku harapkan adalah isteri yang sempurna.

“Zureen, saya pun tak sempurna.  Tak adil kalau saya mengharapkan kesempurnaan dari Zureen, sedangkan saya sendiri banyak kelemahan.  It’s our imperfection that makes us perfect for one another.  Kalau saya buat salah, Zureen tegurlah saya dan sebaliknya kalau Zureen buat salah, saya bertanggungjawab menegur Zureen.  Dan kita harus sentiasa saling memaafkan, saling mempercayai dan saling menyokong.  Bolehkan?”

Izureen mengangguk. 

“Saya juga nak minta maaf pada Zureen.  Tentu saya juga ada buat kesalahan pada Zureen kan?”

Izureen menggeleng.

“Kan dulu saya pernah sakitkan hati Zureen?”

“Abang, itu kisah dulu.  Jangan ungkit lagi.  Reen dah lama maafkan Abang.”

Hati merasa lega dengan lafaz yang dituturkan oleh Izureen.  Mata kami bertaut, berbicara bahasa cinta yang hanya difahami oleh hati kami.

“Abang…  Reen sayang Abang.”

Aku pegun.  Ini bukanlah kali pertama Izureen mengucapkannya.  Tidak juga dia kerap meluahkannya.  Mata cantiknya aku renung, mencari pancaran cinta yang mengiringi renungannya yang bukan sekadar menikam pandanganku, malah menembusi jauh ke lubuh hatiku.  Tikaman cinta yang memberikan aku kebahagiaan dan kegembiraan. 

Hatiku mula berbicara sendiri.   Izureen, saat kau lafazkan perasaan cinta dan sayangmu, aku menjadi lelaki yang paling bahagia di dunia ini.  Saat kau lafazkan kata cinta, aku semakin mengerti bahawa setiap yang Allah tentukan datang dengan hikmah di sebaliknya.  Saat kau lafazkan kata sayang, aku semakin bersyukur dengan setiap dugaan dan rintangan yang perlu aku tempuhi demi untuk mendapatkanmu.

“Abang, kenapa pandang Reen macam tu?”

Aku kembali ke alam nyata, berhenti melayan perasaanku bila Izureen menyoal.

“Sebab…  saya pun sayangkan Reen.”


**********
Beberapa kali aku meminta Izureen berehat, tidak perlu membantu emak menyediakan hidangan untuk tetamu.   Namun dia tetap berdegil, mahu menghulurkan bantuan walaupun Fina juga turut meminta dia berehat.  Katanya tidak pernah dia mengalami suasana hari raya di mana begitu ramai tetamu datang berkunjung.  Hakikatnya begitulah cara kami beraya.  Abah di antara orang tua yang dihormati di kampung kami, mungkin kerana keramahan, kerajinan dan sikap baik hatinya.  Adik beradik Abah pula tinggal berdekatan jadi biasanya pada hari raya pertama mereka datang ke rumah kami.  Biasanya bila mereka datang, anak, menantu dan cucu mereka turut serta.

Tahun ini kawan-kawan Fina juga ramai yang datang.  Kebanyakan mereka teruja hendak berjumpa dengan Fina setelah beberapa tahun tidak berjumpa kerana Fina belajar di Australia.  Kebetulan ramai kawan-kawan Fina yang belum berkahwin jadi dapatlah mereka berkumpul pada hari raya.

Setelah beberapa kali dipujuk, termasuk pujukan emak dan Fina, akhirnya Izureen akur.  Aku pesan kepadanya kalau dia terlalu letih, boleh mengakibatkan stress kepada anak kami yang bakal lahir beberapa bulan lagi.  Menjadi juga taktikku, akhirnya Izureen masuk ke bilik untuk berehat.  Ketika aku masuk ke bilik untuk menunaikan solat Asar, hati merasa lega melihat dia tidur dengan nyenyak.

Sebaik kaki melangkah keluar dari bilik selepas solat Asar, mataku segera menangkap satu wajah yang sudah lama tidak ku temui.  Si gadis tersenyum lebar saat matanya menangkap mataku.  Belum sempat aku menghampiri mereka, dia sudah meluru ke arahku dan sebaik sahaja sampai di hadapanku, tangannya pantas mencapai tanganku.

“Abang Im!”

Dania Elisa menjerit keriangan.  Kepalanya dilentokkan.  Rambut panjang yang hampir mencecah dada ditarik ke bahu kanannya.  Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

“Eh Nia!  Bila sampai?”

Dania Elisa masih tidak melepaskan tanganku.  Ditariknya aku hingga sampai ke sofa dan tanpa arahan aku terus duduk di sisinya.

“Baru je, tak sampai 10 minit Nia sampai.”

“Nia datang seorang?”

“Taklah, dengan Mama.  Papa tak balik raya tahun ni, Nia balik dengan Mama saja.”

“Mana Mama?”

Belum sempat soalanku dijawab, Mak Andak muncul dari dapur bersama dengan emak.  Aku bersalam dengan Mak Andak sambil mengucapkan selamat hari raya.  Mak Andak ialah sepupu emak.  Kebanyakan masanya dihabiskan di luar Negara kerana suami Mak Andak bertugas dengan Kementerian Luar Negeri.  Dania Elisa adalah anak tunggal Mak Andak.  Kami jarang berjumpa kerana mereka biasanya pulang ke Malaysia untuk menyambut hari raya atau jika ada urusan penting.

“Abang Im dah berisi sikit.  Handsomelah macam ni, tak kurus sangat.”

Dania Elisa tersengeh.  Kepalanya masih dilentokkan ke kiri dan ke kanan dengan gaya manja setiap kali dia bercakap.  Aku hanya tersenyum dengan pujian Dania Elisa. 

“Nia pun makin cantik sekarang.”

Itu pujian ikhlas.  Aku tidak bermaksud apa-apa selain dari hanya memuji.  Memang Dania kelihatan semakin manis berbanding ketika kami bertemu kali terakhir kira-kira setahun setengah yang lalu.  Nampak Dania juga kelihatan semakin matang, sejajar dengan usianya yang sudah meningkat 24 tahun.

“Fina mana?”

Dania menyoal.  Emak menjawab mengatakan Fina sudah keluar beraya dengan kawan-kawannya.  Abah pula belum pulang dari masjid.  Ayin dan Elida entah ke mana.  Maka hanya aku dan emak melayan Mak Andak dan Dania.  Emak menjemput mereka makan namun ditolak oleh Mak Andak, katanya ingin berbual-bual dahulu.

“Nia rindu dengan Abang Im.”

Tanpa segan silu Dania mencapai tanganku sekali lagi.  Aku terpempan.  Mata segera menangkap pandangan emak.  Ada riak kurang senang dalam renungan mata emak.  Mak Andak pula berlagak selamba, bagai tidak kisah dengan gelagat anak daranya.  Aku cuba menarik tanganku, namun Dania memperkemaskan pegangannya.

“Lagi enam bulan Nia habis belajar.  Mak Andak ingat lepas Nia habis belajar, kami nak balik Malaysia for good.  Tak laratlah tinggal di luar Negara, biarlah Uncle Din kamu seorang di Tokyo.”

Aku dan emak sekadar mendiamkan diri, membiarkan Mak Andak bercerita.  Aku cuba menarik tanganku sekali lagi, namun Dania memaut pula lenganku dan tubuhnya dirapatkan ke tubuhku.  Wajah emak berubah.

“Dah kebetulan balik beraya ni Jah, bolehlah kita bincang pasal Nia dan Naim.”

Mataku berkalih ke arah Mak Andak.  Bincang pasal aku dan Nia?  Apa maksud Mak Andak?   Dadaku mula berdebar.  Emak juga memandang tepat ke arah Mak Andak.

“Maksud Atie?”

Atie adalah nama yang emak gunakan kepada Mak Andak.  Mak Andak senyum dan senyumannya membuatkan aku gementar.  Berkalih pandang ke arah Dania, gadis itu sedang memandang aku dengan senyuman meleret.  Aku mula merasa tidak sedap hati.

“Engkau ni Jah… macam tak tau.  Kan Dania ni dari dulu lagi sukakan Naim.  Masa kami balik setahun setengah yang lepas, aku dah bagi tau kau Jah, aku suka kalau kita jodohkan Dania dengan Naim.  Kalau kau setuju, kita tunangkan mereka dulu dan enam bulan lagi boleh kita satukan dia orang.”

Hampir gugur jantungku dengan kata-kata Mak Andak.  Sungguh aku tidak pernah tahu bahawa Dania Elisa menaruh hati kepadaku.  Aku juga tidak tahu Mak Andak pernah menyuarakan hasratnya kepada emak agar aku dan Dania dijodohkan.  Dengan kuat aku sentap tanganku dari pegangan Dania.  Aku bangun dan duduk di sebelah emak.

“Mak Andak, Naim dah kahwin,” aku tuturkan.

Mata Mak Andak membulat memandang aku.  Wajah Dania Elisa juga berubah.  Dia kelihatan terkejut dan bagaikan tidak percaya dengan kata-kataku.

“Hah, Abang Im… dah… dah kahwin?”

Aku mengangguk.

“Bila?  Dengan siapa?  Kenapa kami tak tau?”

Nada suara Mak Andak yang tadi lembut sudah bertukar menjadi keras.  Wajahnya juga sudah bertukar sedikit bengis.

“Jah, kan aku dah kata nak jodohkan Nia dengan Naim, kenapa tiba-tiba Naim kata dia dah kahwin?  Kau dah lupa Jah, apa yang kita bincangkan?”

Emak menggeleng.  Wajah Mak Andak dan Dania dipandang silih berganti.  Kemudian dengan tenang emak menerangkan.

“Aku ingat Atie, kau ada beritahu aku Nia suka dengan Naim.  Aku ingat… aku juga beritahu engkau terpulanglah kepada Naim, tapi dari pandangan dan pengetahuan aku Naim tak ada perasaan terhadap Nia, melainkan menganggap Nia sebagai dua pupunya.  Aku tak pernah berjanji apa-apa dengan kau Atie.”

Mak Andak berdiri.  Sebelah tangannya mencekak pinggang.  Wajahnya kelihatan marah.  Dania Elisa duduk sambil menundukkan wajahnya.  Kasihan aku melihat Dania begitu. 

“Maafkan Abang Nia.  Apa yang mak cakap tu betul.  Abang anggap Nia macam adik sendiri.”

“Kau kahwin dengan siapa Naim?  Mana bini engkau?”

Kasar sungguh nada suara Mak Andak.  Belum sempat aku menjawab soalannya, satu suara dengan lembut memberi salam.  Semua mata beralih ke arah datangnya suara.  Dari riak wajahnya aku tahu Izureen telah melihat dan mendengar semuanya.

**********
“Zureen…  saya tak suka tengok Zureen sedih macam ni.  Zureen tak percayakan saya?”

Jeda. 

“Kan Zureen dah dengar tadi, saya tak ada apa-apa perasaan pada Nia.  Kami dah kenal dari kecil, tapi kami jarang berjumpa dan kami tak rapat.  Bukan salah saya kan, kalau dalam diam Nia ada hati pada saya?”

Masih jeda.  Aku raih tangan Izureen dan usap dengan lembut tangannya.  Izureen mengangkat muka dan merenung aku, lama, tanpa sebarang bicara.  Perbuatannya menggusarkan hatiku.  Hatiku juga tidak senang melihat dia dalam keadaan bersedih begitu. 

“Zureen, saya minta maaf… kalau kejadian petang tadi menimbulkan rasa kurang senang dan membuatkan Zureen sedih, marah atau rasa apa saja pada saya.”

“Abang tak salah, buat apa minta maaf.”

Akhirnya Izureen bersuara, aku merasa sedikit lega.  Aku lebih rela dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya daripada dia mendiamkan diri.

“Abang… siapa lagi perempuan yang wujud dalam hidup Abang?”

Aku terpempan dengan soalan Izureen.

“Sebelum ni, Reen hanya tau Ratna.  Hari ni Reen dapat tau tentang Dania.  Lepas ni, siapa pula Bang?”

Aku masih terpempan, kehilangan kata-kata untuk menjawab soalan Izureen.  Esakan Izureen kedengaran semula.  Aku tarik Izureen ke dalam rangkulanku.  Aku usap belakangnya dan kemudian aku berikan satu ciuman di dahinya.  Airmatanya aku kesat.

“Sayang, tiada sesiapa dalam hati saya.  Hanya ada seorang wanita istimewa bernama Izureen.  Di hari mulia ini, kita sepatutnya bergembira, meraikan kejayaan kita menunaikan tuntutan sebagai hamba Allah.  I am sorry this happened on your first raya with me.  Percayalah, kalau saya mampu… saya akan pastikan semua perkara yang mencalarkan perasaan Zureen tidak berlaku.”

Izureen melekapkan mukanya ke dadaku.  Pinggangku dirangkul.  Aku balas pelukannya dan mengusap belakangnya dengan lembut, dengan harapan dapat melegakan resah di hatinya.  Di dalam hati aku berdoa agar tiada lagi perkara yang boleh menggugat cinta kami. 


7 comments:

  1. wahhhh! best nye.. mabelesssssssss ^_^
    nape naim tak bahasakan diri nya abang kat zurin? tapi wahhh diaorg dah kawin dan dah pregnant dah..
    best best!
    Selamat hari raya Isma Adeliya..
    taqabbalallahu minna wa minkum :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malia, saya tertunggu2 komen awak.

      Terima kasih kerana suka entry ni. Risau juga kalau tak menarik.

      Kalau Naim bahasakan dirinya abang, lebih elok ya? What is your opinion on this?

      Selamat Hari Raya. Semoga sambutan hari raya kita diberkati Allah.

      Delete
    2. ^_^ hehehehe....
      sebenar2nya kan.. masa baca part naim tu.. kiter terpikir... hamboiii naim.. macam pisang goreng panas tengah laku.... :D hehehe...
      kalau kiter jadi zurin kompom dah perang dingin dah.. sebab tak dicerita kat zurin sapa2 pernah scandal dgn naim dulu2... :D hehehehe.... sebab zurin tu dah la orang bandar pun jatuh cinta sekali je before naim.. tapi naim byk kali jumpe pompan before zurin.. :D

      kenapa naim bahasakan diri dia abang ye? ada motif ye? kalau ada motif tak per.. tapi kalau tak der motif/ cerita kenapa dia bahasakan diri dia saya kat zurin, kiter rasa panggil abang best sket.. :)
      apa pun.. kiter seronok baca part raya ni .. best besy!!!!!! :)

      Delete
    3. Thank you2. I love your feedback.
      Naim macam goreng pisang panas, ha ha ha I like
      Saya ada terfikir bab perang dingin tu, may be akan dibuat dalam bab seterusnya.
      OK, akan ditukar Naim membahasakan dirinya abang.

      Terima kasih daun keladi, komenlah banyak2 lagi :)

      Delete
  2. heheheee .. byk dugaan rumahtangga zurin ni... naim ni in case kalau dia layan gak scandal2 lama dia.. memang nak kena lepuk sket .... suruh abang long zurin lepuk dia :D heheheeee :D sori ..emo sket.. heheheee :D

    ReplyDelete
  3. Malia,

    Sukalah bila awak emo, macam awak pulak Izureen ha ha ha
    Naim saya gambarkan sebagai lelaki yang baik, bertanggungjawab, handsome and sebab tu ramai peminat.

    ReplyDelete
  4. itu laaaa...hahaha :D emo da elmo sesame street bagi pihak zurin.... 'menghayati' sebenarnya :D hahaha :D

    ReplyDelete