Sunday 18 August 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 26

Assalam.  Macam mana dengan sambutan hari raya kalian?  Setiap tahun sambutan raya saya sangat meriah, banyak jemputan rumah terbuka.  Alhamdulilah.  Ada yang dapat dipenuhi, ada yang tidak.  Sampai rasa penat beraya.  Mujurlah masih dapat meluangkan masa menyambung kisah Naim dan Izureen.

Happy reading!  Bagi komen ya.

Bab 26  - Naim Zakaria


Aku memeriksa seluruh rumah homestay ini dengan teliti.  Maklumlah tetamu yang akan menginap di sini bukan calang-calang orangnya.  Malam ini orang tuaku akan mengadakan kenduri kesyukuran, sempena meraikan kejayaan Fina mendapat kerja dan kehamilan ketiga Elida yang sudah masuk bulan ketiga.  Emak mahu membalas jasa baik Izureen yang membenarkan Fina tinggal di kondonya dengan kadar sewa yang sangat rendah, lalu melalui Fina jemputan dihulurkan kepada Dato’ Wirda sekeluarga.  Emak juga menjemput sendiri Izureen, tapi aku yang disuruh menelefon Izureen sebelum telefon itu aku serahkan kepada emak.


Seperti yang dijangka, Izureen tetap dingin.  Sepatah ditanya, sepatah dia menjawab.  Aku bertanyakan khabar dirinya dan Dato’ Wirda.  Jawapannya hanyalah dua kali OK.  Belum sempat bertanyakan soalan berikut, dia menyoal kenapa aku menelefonnya.  Terus aku serahkan saja telefon kepada emak.


Bagaikan tidak percaya apabila Dato’ Wirda sendiri menelefonku mengatakan dia sudi menerima pelawaan emak untuk bermalam di Teratak Khadijah.  Aku pada mulanya tidak bersetuju dengan rancangan emak.  Teratak Khadijah ini sangat-sangat tidak sesuai dengan status Dato’ Wirda.  Lainlah kalau Villa Mahabbah yang lebih eksklusif.  Tetapi akhirnya aku akur.  Kata emak orang berbudi kita berbahasa.  Kalau kita ikhlas, tiada yang perlu disegankan. 


“Cukuplah tu.  Mama aku simple je orangnya.  Jangan risau, apa yang kau sediakan ni dah memadai.”


Izelan menegur dari belakang.  Sejak datang menziarahi Izureen di sini, Izelan kerap ke sini.  Bila ada kelapangan dia akan datang, biasanya pada hari Jumaat dan pulang pada hari Sabtu.  Malam tadi Izelan sampai, mendahului Mamanya dan Izureen.


“Betul ke Mama kau tak kisah.  Dengan statusnya, aku rasa tak sesuai dia tinggal di sini.”


“Relakslah bro.  Mama tak kisah.  Kalau dia kisah, tentu dia tak terima undangan kau.”


“Correction, my mum’s invitation, not mine.”


“Ya lah, kalau kau takkan kau jemput Mama, mesti kau jemput Izureen kan?”


“Ish, apa ke situ pulak kau ni.  Maksud aku, kalau aku yang jemput, tentulah aku pelawa tinggal di Villa Mahabbah!”  tinggi sedikit suaraku, semata-mata untuk menegaskan aku tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Izureen.  Seringkali Izelan menyakat aku, mengatakan aku ada hati pada adiknya.  Tidak betul sama sekali.  Mana mungkin aku mudah jatuh cinta pada seorang gadis, sedangkan aku tidak mampu bercinta lagi. 


Namun, terfikir juga benarkah tiada perasaan langsung terhadap Izureen.  Jika benar tiada, mengapa mata ini amat suka memandangnya, mengapa dada ini berdebar bila bertentang mata dengannya, mengapa hati ini teruja bila mengetahui akan berjumpa dengannya?  Ah, mungkin aku sekadar terpesona, tetapi tidak sampai terpikat pada adik bongsu Izelan.

                                      

**********


Bunyi kereta diparkir di tepi rumah homestay membawa kami keluar.  Izureen sampai bersama Dato’ Wirda dan Fina.  Kali ini Fina duduk di hadapan di sebelah Izureen yang memandu.  Nampaknya hubungan Fina dengan Izureen semakin akrab.  Seperti biasa si Fina yang hyper terus terkinja-kinja mendapatkan aku, menyalami aku dan menyapa Izelan.  Izelan kemudian mendapatkan adik dan mamanya.  Aku juga menghampiri mereka, menyapa Dato’ Wirda dan Izureen.  Belum sempat bertanya lebih, Fina sudah menarik tangan Izureen membawanya ke rumah.  Emak dan abah sudah menunggu di halaman rumah.  Aku yang menuruti dari belakang terpempan melihat emak dan Izureen berpelukan.  Ada airmata bertitisan di pipi Izureen.


“Reen rindu Mak Jah.  Mak Jah sihat?” dia bertanya sambil menggenggam kedua belah tangan emak. 


“Mak sihat, Alhamdulillah.  Kamu makin cantik sekarang,” nampak emak gembira bertemu dengan Izureen. 


“Eee mak ni, kot ya pun seronok jumpa bakal menantu, takkan tak nampak anak mak ni.  Orang pun rindu kat mak.”  Fina mencelah sambil mahu mendakap emak. 


Aku lihat Izureen bagaikan terkedu dengan kata-kata Fina.  Aku geleng kepala.  Pandai-pandai saja si Fina menggelar dia bakal menantu emak.  Segan aku dengan Izureen dan Dato’ Wirda, nanti apa pula tanggapan mereka terhadap keluarga kami.  Siap kau Fina, ada peluang nanti Along akan basuh engkau, desis hatiku.


“Ish kamu ni, baru dua minggu duduk di KL dah rindu kat mak.  Yang bertahun-tahun duduk di Australia dulu tak rindu pun,” emak mengusik Fina sambil mendakapnya. 


Memang sejak balik ke Malaysia Fina semakin manja dengan emak.  Kemudian emak memandang ke arah Dato’ Wirda sambil menghadiahkan senyuman.  Tangannya dihulurkan untuk bersalam dan Dato’ Wirda segera menyambut salaman emak.


“Terima kasih Dato’ sudi datang ke pondok buruk kami.  Jemputlah naik”  kata emak.


“Iya lah, jemput naik Dato’,” abah juga mempelawa, sambil menyuakan tangan ke arah tangga.


“Terima kasih Kak, Abang kerana sudi menjemput kami sekeluarga” Dato’ Wirda menjawab, sambil bergerak menaiki anak tangga.


“Cantik rumah akak” sebaris ayat diucapkan sebaik sahaja Dato’ Wirda duduk di ruang tamu.


“Rumah kampung saja Dato’, mana cantiknya,” emak merendah diri. 


“Tak payahlah panggil saya Dato’, panggil saja Wirda.  Lebih mesra.” 


Dato’ Wirda pula merendah diri.  Aku lihat dia sedikit pun tidak kekok dengan suasana rumah kampung kami.  Izelan duduk di sebelah Abah.  Fina dan Izureen entah ke mana menghilangnya.  Emak bangun menuangkan air sirap berbiji selasih yang sudah disiapkannya dan kemudian menghidangkan kepada kami.


“Katanya ada anak sungai di sini?”  Dato’ Wirda bertanya.


“Ya Dato’, di belakang sana, ke belakang sikit dari rumah homestay tu.  Kalau yang chalet tu, betul-betul tepi anak sungai.  Nanti petang bawalah Dato’ Wirda tengok-tengok tempat ni Naim.”  Abah bersuara.


“Lan pun boleh bawa Mama tengok tempat ni.  Sini dah jadi macam tempat percutian Lan” belum sempat aku menjawab, Izelan menawarkan diri. 


**********


Riuh rendah suasana di rumahku petang itu.  Elida berserta suami dan anak-anaknya sampai menjelang Zohor.  Mak Lang dan Pak Lang dan Pak Usu sekeluarga dari sebelah abah sampai selepas Zohor.  Pak Ngah, Mak Teh dan Mak Usu dari sebelah emak juga sampai tidak lama kemudian bersama anak-anak mereka.  Semuanya sama-sama berganding bahu memasak juadah yang akan kami hidangkan untuk kenduri selepas Isyak nanti.


Dato’ Wirda nampaknya mudah menyesuaikan dirinya dengan sanak saudaraku.  Tidak kelihatan langsung riak kurang senang di wajahnya.  Malahan ketika aku membawanya ke rumah homestay untuk berehat seketika dan menyalin pakaian, dia nampak sangat gembira.  Walaupun ada di antara saudara mara ku yang kelihatan agak segan dengannya, mungkin kerana statusnya sebagai seorang ahli perniagan bergelaran Dato’, namun Dato’ Wirda nampaknya langsung tidak terkesan.  Sebaliknya dengan merendah diri dia turut meringankan tangan membantu memotong sayur-sayuran yang akan dimasak.  Kemudian dengan ramah dia berbual bersama beberapa emak saudaraku.


Izelan pula tak perlu dirisaukan langsung.  Oleh kerana sudah kerap datang ke sini ada beberapa orang saudaraku yang sudah mengenalinya.  Dia juga ringan tangan membantu apa yang patut.  Katanya dia teringat suasana kenduri di kampung ketika dia kecil dahulu.


Yang kelihatan agak kekok dan malu-malu ialah Izureen.  Apakah dia tidak seronok berada di sini?  Tetapi aku lihat dia gembira berbual bersama Fina dan Elida.  Anak-anak saudaraku juga seronok bermesra dengan Izureen.  Nampak dia ikhlas melayan Lokman dan Hafiz.   Cuma dia tidak begitu mesra dengan saudara mara ku yang lain.  Mungkin dia segan kerana dia memang sedikit pendiam orangnya, hanya mesra dengan orang yang sudah lama dikenali.  Dengan aku pula, masih begitu.  Seperti pertemuan dua minggu lalu di kondonya, dia masih dingin denganku.  Nampaknya pertemuan demi pertemuan yang berlaku tidak membantu memulihkan hubungan kami. 


**********


Usai solat Isya’ di surau, aku, abah dan Izelan pulang bersama-sama Jemaah surau yang dijemput ke kenduri kami.  Imam Razak memimpin bacaan doa dan tahlil ringkas.  Kemudian tetamu, termasuk saudara mara yang hadir dijemput menikmati hidangan.  Suasana sungguh meriah dengan suara mereka berbual-bual sambil menikmati hidangan.  Aku tidak makan sebaliknya sibuk meninjau jika ada lauk pauk atau minuman yang perlu ditambah.  Izelan juga tidak makan kerana mahu makan bersamaku nanti.  Dato’ Wirda kelihatan berselera makan di sebelah Mak Lang dan Mak Usu.  Emak dan abah, sama seperti aku hanya akan makan selepas majlis selesai.


“Along, tambah kari,” ujar adik iparku Ayin sambil tangannya lincah mencedok nasi ke dalam pinggan. 


Aku terus bergerak ke khemah belakang untuk mengambil gulai kari daging untuk ditambah ke dalam dulang penghidang.  Seorang wanita bertudung berdiri di sisi periuk besar membelakangiku. 


“Nak kari,” ujarku pendek. 


Dia mencapai besen kecil yang digunakan untuk mengisi gulai kari tambahan.  Dimasukkan beberapa senduk gulai kari dan kemudian dihulurkan besen tersebut kepadaku.


Besen aku sambut sambil mata mengerling ke atas, sekadar ingin mengetahui siapa yang berseorangan di dalam khemah ini.  Rasanya semua emak saudaraku berada di dalam khemah jamuan.


Aku terpaku di saat mataku menangkap wajahnya.  Wajah mulus itu kelihatan sangat manis dibaluti tudung biru.  Sinaran lampu di bawah khemah menyuluh wajahnya yang nampak tenang.  Mata kami bertemu dan untuk beberapa saat kami saling bertatapan.  Ada debaran yang berdansa di dadaku.


“Izureen” aku sebut namanya.  Dan bagaikan tersedar dari lamunan, cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya.  Mataku pula masih tidak mahu berkalih, terpana dengan keayuan wajah Izureen dalam balutan hijab.


“Cantik” ingin aku luahkan kepadanya, namun hanya mampu ku sebut di dalam hati.  Kaki masih terpaku di tanah.  Tekak terasa kering namun bila menelan liur bagaikan ada batu besar yang menyekat kerongkongku.  Besen berisi kari masih melekat di tangan.


“Along, mana karinya?”


Ayin datang menepuk bahuku.  Tanpa sepatah kata besen berisi kari tambahan ku serahkan kepada Ayin.  Kerutan di dahi Ayin dan gelengan kepalanya tidak aku hiraukan.  Mataku dengan pantas menyorot semula ke arah wajah mulus itu.


“Terima kasih sebab sudi datang ke majlis kenduri kami.”


Izureen menjawab dengan anggukan sahaja. 


“Sorrylah, kena tolong buat kerja.  Sebenarnya kami jemput datang makan kenduri saja, tak sangka pula awak kena menolong.”


Kali ini Izureen berpaling ke arahku.  Aku ambil kesempatan untuk meneliti ke setiap ruang wajahnya.  Sebelum ini selepas dia memotong pendek rambutnya, aku sering menganggap dia comel.  Namun malam ini, wajahnya yang dibaluti tudung biru yang sepadan dengan baju kurungnya, kelihatan sangat cantik.


“It’s OK.  Takkan saya goyang kaki dan makan saja.”


Jawapannya menyenangkan hatiku.  Maknanya dia tahu membawa diri dan beradab.


“Awak dah makan?”


Izureen menggeleng.


“Dah janji dengan Fina dan Elida nak makan sama-sama selepas tetamu pulang.”


“Boleh saya join sekali?”


Kali ini dia memberikan aku satu jelingan pula.  Mungkin dia tidak suka atau tidak sudi makan bersama denganku.


“Suka hati awaklah.  Ini kan tempat awak, tak perlu tanya.  Awak boleh makan bila-bila dan dengan sesiapa yang awak suka.”


Amboi, garangnya jawapan yang Izureen berikan.  Aku menggaru kepala yang tidak gatal.  Terasa hairan dengan sikapnya yang tiba-tiba dingin.










10 comments:

  1. heheheheeeee ...mabeles mabeles...
    zurin memang tgh mengaummmmm :D tak sabar nak taun camner dia org jatuh cinta la... mesti lawak giler.. mula2 perang bom atom lepas tu boleh jatuh cinta :D haha :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Malia.
      Cinta datang dengan kesabaran, juga dengan ujian dan kadang2 rintangan.
      Nanti awak akan tau Izureen dan Naim sama2 degil. Yang seorng degil menolak cinta, yang seorang lagi degil meraih cinta.
      Bab seterusnya dah nak siap, sikit lagi....

      Delete
    2. yay!!!!! tapi best gak naim ni... berusaha gigih tul naim ni :D
      kelakar.. memang boleh nampak la family dua2 belah sibuk nak kenen2 dia org b.erdua ni...

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih Nor Syima. Selamat berkenalan.
      Bagi komen ya. Sokongan dan komen anda adalah pemangkin semangat saya untuk menyiapkan cerita ini.

      Dlm masa yg sama, terbayang2 dah cerita kedua.

      Delete
  3. Sama-sama. Selamat berkenlan juga. Semestinya sya akn sokong anda daripada belakg.
    Tak sbr nk thu cerita seterusnya.. ^^

    ReplyDelete
  4. baru berkesempatan membaca...napa Izureen dingin sangat ni huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. kniedaz,
      Sibuk beraya ya?
      Mula-mula dingin, lepas tu suam-suam, last2 hangat!

      Delete