Sunday 25 August 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 27

Alahai, mengahlah nak siapkan bab ni.  Sebab apa tau, banyak betul undangan open house.  Weekdays ada, weekend pun ada. 
OK minggu ni Izureen tak gaduh dengan Naim ya.
Selamat membaca dan silalah komen.
Bab 27  - Izureen


Bagaikan tidak percaya bahawa aku berada di sini sekali lagi.  Teringat semula ketika kali pertama aku ke sini, menginap hanya satu malam.  Datang pula kali kedua, sehingga 17 hari aku di sini.  Kunjungan kedua membawa aku mengenali pemilik rumah inap ini dan keluarganya.  Aku kini menganggap Mak Jah dan Pak Akob sebagai ibu bapa angkatku.  Fina dan Elida sebagai kawan.  Naim?  Errmm cukuplah sebagai kenalan sahaja.  Mereka sekeluarga sangat baik, melayanku dengan mesra.  Cuma Naim yang asalnya bermula dengan baik akhirnya mencalarkan hatiku dengan tindakannya.  Aku tidak tahu sampai bila aku akan berkecil hati dengan Naim.


Mama telah lama melelapkan mata.  Mungkin keletihan atau kekenyangan, atau kedua-duanya sekali.  Hari ini aku mengenali sisi baru Mama.  Rupa-rupanya Mama amat gemarkan suasana kampung.  Mama memang orang KL, hanya setelah mengahwini Papa Mama dapat merasa suasana kampung.  Namun selepas Papa meninggal, Mama semakin jarang pulang ke kampung Papa, tambahan pula kebanyakan adik beradik Papa sudah berhijrah ke KL.  Lagipun Mama masih berkecil hati dengan mereka kerana merahsiakan perkahwinan kedua Papa daripada pengetahuannya.


Hanya bunyi dari televisyen menemani aku di ruang tamu rumah inap.  Abang entah ke mana, mungkin sedang berbual dengan Mr Annoying.  Tiba-tiba wajah dia menjelma di hadapan mata.  Teringat peristiwa tadi ketika dia merenung aku lama di bawah khemah lauk. Apa masalah dia tu, pandang aku lama-lama macam tu, bukannya dia tak pernah tengok aku.


Lepas tu menyibuk pula datang tumpang sekaki masa aku sedang makan bersama-sama dengan Fina dan Elida.  Kalau datang untuk makan bersama, boleh tahan lagi.  Ini tidak, datang sekadar untuk melihat kami makan.  Memang annoying!  Merimaskan sungguh bila matanya sentiasa sahaja menyorot setiap pergerakanku.  Hilang selera nak makan lebih sikit, sedangkan lauk yang mereka sekeluarga masak secara bergotong royong amat menyelerakan. 


“Amboi, jauhnya termenung,”  tegur Abang. 


Aku tidak sedar bila Abang masuk ke rumah inap ini. 


“Teringat kenangan lalu ke?”  soal Abang yang sudah pun duduk di atas sofa sebelah.


“Atau teringatkan jejaka berbaju Melayu biru?”


Belum sempat menjawab Abang sudah melontarkan soalan yang kedua. 


“Ish abang ni, mana ada.  Adik tak ingatkan sesiapa pun.” 


Aku mempertahankan diri.  Memang sebenarnya aku telah jauh mengelamun, mengimbas kembali peristiwa demi peristiwa yang telah berlaku sepanjang 17 hari aku menetap di sini. 


“Eleh, macamlah abang tak tau.  Tak ingatkan sesiapa konon, tapi bibir tu tetiba tersenyum sumbing.  Lepas tu dahi tu tetiba berkerut, apahal?”  usik abang lagi.


Ish Abang ni, berapa lama agaknya dia memerhatikan aku hingga setiap riak wajahku diketahuinya.  Aku sendiri pun tidak sedar riak wajahku berubah-ubah sepanjang aku mengimbas peristiwa ketika tinggal selama 17 hari di sini.


“Pakai sedondon malam ni, dah berjanji ke?”


Aku menjeling abang.  Kenapa pula aku berjanji untuk memakai warna yang sama dengan Naim?  Kebetulan saja kami sama-sama memakai baju berwarna biru, sama pula nada birunya.  Kalaulah aku tahu dia akan memakai baju Melayu berwarna biru, pasti aku telah membawa baju kurung berwarna lain.


“Abang peliklah dengan korang berdua ni.  Kalau dah sama-sama suka, mengaku ajelah, kan senang.”


“Abang cakap apa ni?”


“Adik dengan Zacklah.”


“Ish abang ni merepeklah, bila pula adik sukakan dia.  Dia pun tak suka adiklah.” 


Aku terangkan kepada abang, dengan harapan dia memahami bahawa tiada perkongsian rasa antara aku dan Naim.


“But you don’t hate him right?”


Aku menggeleng.  Aku tidak pernah bencikan dia, cuma kecil hati dengan tuduhan dan prasangka buruknya terhadapku.  Aku akui dia baik orangnya.  Aku boleh lihat dia anak dan abang yang bertanggungjawab, prihatin dan menyayangi orang tua dan adik-adiknya.  Dan aku akui, seperti kata mama, dia orang muda yang gigih berusaha dan berwawasan. 


Namun cukuplah sekadar itu.  Kalau dia tidak mengguris hatiku dengan tuduhan-tuduhan melulunya dahulu, pasti kami masih berkawan sehingga sekarang.  Ah, tapi aku tak kisah pun tak berkawan dengannya. 


“Adik masih marahkan Zack?” 


Aku diam. 


“Sampai bila adik nak marah dia?” 


Abang menyoal lagi dan aku masih diam.


“Kan dia dah mengaku dia salah menuduh adik tanpa usul periksa.  Tak boleh ke adik maafkan dia?” 


Soalan abang yang ini membuatkan aku merenungnya lama.  Kenapa abang beria-ia mengaitkan aku dengan Naim?


“Dia sukakan adik.  No, no.  Suka is too mild.  He is attracted to you and he admires you.”


Berderau darahku mendengar ayat abang.  Betulkah?  Tak mungkin.  Seorang lelaki yang meminati seorang perempuan seharusnya melayan perempuan itu dengan baik.  Bertanya untuk mendapatkan penjelasan, bukannya terus membuat tuduhan melulu.  Aku tak fikir Naim sukakan aku.  Lagi pun dia pernah berkata aku bukan jenis gadis yang diminatinya, ketika kami bertengkar di tingkap bilik rumah ini.  Eh, tapi di akhir perbalahan kami, ketika aku mengatakan dia annoying dan irritating, dia juga membisikkan “but I found you interesting” kepadaku.  Terbayang-bayang di ruangan mataku wajahnya dan renungan matanya ketika dia membisikkan kata-kata itu.


Aku keliru, sungguh keliru.  Apakah dia sukakan aku atau tidak?  Tapi tak kisahlah, dia suka atau tidak sebab aku tak fikir aku mahu menjalin persahabatan dengannya.  Bukan sekadar dengan Naim, malahan dengan mana-mana lelaki pun.  Aku tidak mahu terlibat dengan persahabatan yang akhirnya menjerat perasaanku, seperti apa yang terjadi antara aku dan Muaz.


“Mana abang tau dia sukakan adik, dia bagitau abang?”


Aku mengalihkan pandangan semula ke arah Abang.  Abang tersenyum dan senyuman Abang membuatkan aku berdebar.


No.  But I can see.  Dari cara dia pandang adik, senyum kat adik, boleh nampak.  Bukan abang je yang perasan, Mama, Fina, his parents too.  Tu sebab Fina selalu menyakat.”


MasyaAllah, betulkah apa yang aku dengar?  Apakah semua orang sering memerhatikan kami? 


“Apa ni?  You all semua tak ada kerja lain ke, kenapa sibuk perhatikan kami?”  Suaraku naik sedikit.


Abang menghela nafas dalam-dalam dan kemudian memberikan aku satu renungan tajam.  Moodnya bertukar serius, bukan lagi dalam mood bergurau atau mengusik.


“Adik, sebagai abang dan wali adik, abang perlu ambil tahu siapa lelaki yang berkawan dengan adik.  Abang tak nak apa yang terjadi antara adik dan Muaz, berulang.  Dulu Abang jauh di luar negara, balik terus sibuk bekerja sampai Abang tak ada ketika Adik perlukan Abang. Kalau betul Naim minat pada adik, Abang gembira.  Abang tau dia lelaki yang bagaimana.  Abang minta maaf kalau adik rasa Abang terlalu menyibuk dengan urusan peribadi adik.  Abang cuma nak pastikan Adik tak sedih lagi dan lari lagi.”


Hatiku tersentuh dengan kata-kata Abang.  Aku tahu Abang sayangkan aku.  Aku tak sangka sampai ke tahap ini Abang mengambil berat tentang diriku.  Namun aku belum bersedia untuk mencintai mana-mana lelaki.  Luka di hati masih belum kering.  Bayangan Muaz, walaupun semakin kabur dan semakin jarang, sekali sekala tetap menerpa minda dan hatiku. 


“Abang, adik minta maaf.  Adik tak anggap pun Abang menyibuk urusan peribadi adik.  Cuma… adik belum sedia untuk berkawan dengan lelaki.”


“Adik masih ingatkan Muaz?  Masih berharap pada dia?  Tak usahlah dik.  Abang lelaki, abang tau lelaki macam Muaz tu setakat manis mulut saja.  Suka mengayat untuk dapatkan perhatian perempuan, tapi sebenarnya tak ikhlas dengan kata-katanya.  Sepatutnya kalau dia anggap adik sebagai kawan, janganlah beri harapan kepada adik.”


“Dia tak beri harapan pada adik, adik saja yang perasan.”


Pantas aku mematahkan kata-kata Abang.  Abang masih terus memberi renungan tajam kepadaku.  Aku membuang pandang, takut untuk terus menatap wajah Abang.


“Dia dah jadi tunangan orang dik.”


Keras sedikit nada suara Abang, mengingatkan aku satu hakikat yang sudah mampu aku terima.


“Adik tau.  Sebab tu adik dah tak keluar dengan dia lagi.  Sekarang kalau nak ke mana-mana, Adik keluar dengan Kak Rina atau pun Fina.  Adik happy macam ni, tak payahlah ada boyfriend. ”


“Tapi Muaz masih contact adik kan, masih ajak adik keluar?”


Aku mengangguk.


“Tapi adik tak layan.”


“Sampai bila adik mampu menolak?  Kalau adik ada kawan baru, mungkin Muaz pun segan nak ajak adik keluar.  Kalau adik tak nak berkawan dulu, kahwin terus.  Abang dah jumpa calon yang sesuai.”


“Siapa?”


Abang tersenyum.  Riak serius di wajahnya sudah bertukar menjadi ceria. 


“Zack.”


Membuntang mataku melihat Abang.  Ada ke patut Mr Annoying tu Abang kata calon yang sesuai.  Ish, aku tak sanggup.


“Teruk sangat ke Zack tu, sampai adik betul-betul tak sukakan dia?”


“Abang, adik tak ada chemistrylah dengan mamat mulut longkang tu.  Setiap kali dia buka mulut, mesti adik sakit hati.  Kalau dia sukakan adik, kenapa buat macam tu? Ish, tak naklah.  Never ever OK!”


Abang gelak.  Aku sakit hati bila abang gelak.


“Bila dia buka mulut, adik sakit hati.  Tapi bila dia pandang adik, apasal terkedu?  Lepas tu muka tu apasal jadi merah?  Tak ada chemistry konon!”


Abang gelak lagi, kali ini makin besar gelak Abang.   Aku rapat kepada Abang dan melepaskan satu pukulan di lengannya.


“Aduh!” 


Abang menyeringai, tapi sekejap saja sebelum menyambung tawanya.  Aku bertambah bengang melihat Abang seronok mentertawakan aku.  Tak boleh jadi ni, baik aku masuk tidur sekarang sebelum Abang semakin seronok menyakat aku.  Tapi mata belum mengantuk.


“Sibuk nak suruh orang kahwin.  Abang tu, dah 32 tahun, kenapa tak kahwin?  Entah-entah tak ada perempuan yang nakkan abang.  Asyik kerja saja, nanti sampai tua ganyut abang tak berbini!”


Aku mengubah topik.  Abang berhenti ketawa.  Tangannya menyusup ke dalam saku seluar dan kemudian membawa keluar telefon bimbitnya.  Jari telunjuk Abang pantas bergerak di atas skrin sebelum Abang menghulurkan telefonnya kepadaku.


Satu wajah manis terpampang di skrin.  Cantik orangnya.


“Siapa ni?”


Abang tersenyum.  Lain benar senyumannya kali ini, dan aku lihat mata Abang bersinar.


“InsyaAllah, bakal isteri Abang.”


She is pretty.  Siapa nama dia?  Dah lama ke abang kenal dia?  Mama dah tau?  Bila nak kenalkan dengan adik?”


“Amboi banyaknya soalan.  Sabar… sabar.  Jangan over excited.”


“Mestilah adik excited.  Dah lama tau tunggu nasi minyak abang.”


“OK, nama dia Mirsya Ayuni.  Abang dah kenal dia dekat setahun.  Mama belum tau, so jangan kecoh-kecoh bagi tau kat Mama ya.  Biar abang sendiri yang cerita kat Mama.”


“Yeay!!!  Tak lama lagi adik dapat kakak ipar.  Cepatlah bagi tau Mama, mesti Mama suka.  Nanti masa pergi meminang, kita pergi ramai-ramai.  Abang ajaklah dia datang rumah, boleh adik berkenalan dulu dengan bakal kakak ipar.”


Aku gembira Abang sudah menemui calon suri hatinya.  Namun riak wajah Abang tidak seceria aku.


“Abang, kenapa ni?”  aku menyoal bila aku perasan wajah Abang tidak ceria lagi.


“Adik tau kan syarat Mama?”


Soalan Abang membuatkan aku teringat sesuatu.  Perlahan-lahan aku mengangguk.  Satu permintaan yang Mama buat tidak lama selepas Papa meninggal dunia menjelma kembali di benakku.  Permintaan itu Mama buat sehari sebelum Abang balik ke Ireland selepas usai pengkebumian arwah Papa.  Kata Mama, sebagai anak lelaki Abang bertanggungjawab menjaga Mama dan aku. Kata Mama lagi, demi memastikan perhatian, masa dan kasih sayang Abang terhadap aku tidak dikongsi dengan orang lain, Abang hanya boleh berkahwin selepas aku berkahwin. 


Mama juga tidak benarkan Abang bercinta selagi belum habis belajar.  Sebagai anak yang akur, Abang bersetuju memenuhi permintaan Mama.  Persoalannya kini, sampai bila Abang harus menunggu, sedangkan aku tidak mempunyai rancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.  Timbul rasa simpati terhadap Abang.  Terdetik juga di hati, kalaulah Muaz membalas cintaku, pasti masalah ini tidak timbul.  Ah, lagi-lagi Muaz.  Sedarlah Izureen, dia sudah menjadi tunangan orang, aku mengingatkan diriku.


“Tak boleh ke Mama batalkan syarat tu?  Abang dah bersedia nak kahwin, calon pun dah ada…  kalau kita cakap elok-elok dengan Mama, tentu Mama setuju.”


“Entahlah…  abang tak berani nak cakap.  Adik pun tau kan, Mama tu macam mana.”


Aku mengangguk.  Aku kenal benar dengan Mama yang sangat tegas dengan kami.  Amat jarang sekali dia membatalkan peraturan yang telah ditetapkannya.  Tetapi aku juga yakin Mama boleh dipujuk. 


Abang menundukkan wajahnya.  Matanya melekat di skrin telefon, bibirnya mengorak senyuman.  Aku gembira bila Abang senyum semula.  Hatiku berkata aku mesti tolong Abang.




5 comments:

  1. Oh..masih kecil hati ngan Naim rupanya...janganlah lama-lama kecik ati kat Naim..tak best la

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kniedaz,

      Izureen jual mahal tu sebenarnya.

      Delete
  2. best best... zurin ni... slow la zurin ni :D family kena lebihkan usaha kenen2kan zurin dgn naim niiii :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malia,

      Next chapter ada perubahan positif dalam layanan Izureen kepada Naim.

      Sabau ya........

      Delete