Wednesday 28 August 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 28

Stress! stress! stress!  Ya Allah, banyaknya dugaan di pejabat hari ni.  Semoga ujian ini cepat berlalu pergi.  Sementara menunggu encik hubby datang menjemput, saya berjaya siapkan bab 28.  Agaknya, stress yang melanda membantu otak berfikir dengan cepat dan jari jemari pun pantas menaip.  Bab 28 ada perkembangan positif.  Tapi ada kejutan di hujungnya. 

Happy reading and please give your comment!



Bab 28  -  Naim Zakaria


Berselera sungguh kami menikmati sarapan pagi yang kami masak bersama-sama selepas solat Subuh tadi.  Nasi lemak berpasangan dengan sambal bilis lengkap diiringi timun, telur rebus dan kacang goreng, cucur ikan bilis dan air kopi, itu sahaja menunya tetapi suasana memasak dan makan beramai-ramai menjadikan semua orang lebih berselera.


Usai bersarapan aku bawa Dato’ Wirda ke anak sungai, ditemani oleh Izelan.  Dato’ Wirda kelihatan seronok meninjau kawasan di mana chalet-chaletku terletak.  Dia juga pergi ke gigi air dan mencelup kakinya ke dalam air, merasakan kedinginan air sungai di waktu pagi.  Oleh kerana Izelan mahu pulang ke Taiping, dia meminta diri untuk bersiap dan mengemas barang-barangnya.  Tinggallah aku dan Dato’ Wirda di tepi sungai. 


“I am impressed.  At this young age you own an interior design company, a honeymoon villa and a budget resort.  Baguslah kamu ni.”


Terkedu aku mendengar pujian Dato’ Wirda.  Jika dibandingkan dengan kejayaan Dato’ Wirda dalam perniagaan, apa yang aku miliki sebenarnya terlalu kecil untuk dibanggakan. 


“What’s your plan for this place?”  soal Dato’ Wirda.


“In sya Allah, kalau ada rezeki saya nak tambah lagi chalet, nak buat dua tiga biji pondok untuk orang yang datang berkelah tapi tidak bermalam di sini, nak buat juga surau dan bilik air.  But this is long term plan, subjects to my financial ability.  Buat masa ni belum mampu lagi.”


“Kenapa tak apply loan?  Kan sekarang ada banyak skim pinjaman dan dana untuk perusahaan kecil.”  Dato’ Wirda memberi cadangannya.


“Sudah Dato’ tapi permohonan saya belum diluluskan,”  aku terangkan kepada beliau.


“Let me know if you need help.  I may know some people who could help.” 


“Baik Dato’” jawabku ringkas. 


Perbualan kami terhenti di situ.  Suara dua orang gadis berbual sambil sesekali ketawa menangkap telingaku.  Fina dan Izureen muncul, aku mengagak mereka baru turun dari kawasan bukit kecil.  Terlihat sahaja kami berdua, Fina bergegas datang ke arah kami.  Sambil tersengeh-sengeh dia menarik tangan Dato’ Wirda.  Selamba sungguh perlakuan si Fina, bagaikan sudah mesra dengan Dato’ Wirda.


“Jom aunty, Fina bawak naik atas bukit kecil tu, kat sana pemandangan cantik.”


Dato’ Wirda menurut tanpa sebarang bantahan.  Aku fikir Izureen juga akan pergi bersama mereka, tetapi sebaliknya dia hanya membiarkan mamanya pergi berdua dengan Fina.  Tinggallah aku dan Izureen di tepi anak sungai.  Sejak dia tiba semalam, inilah kali pertama aku berpeluang bercakap dengannya tanpa kehadiran orang lain.  Kami saling diam, aku memandang tepat ke arahnya dan dia pulang memandang ke arah anak sungai di depan. 


“Saya harap awak seronok di sini,”  akhirnya aku bersuara.


“Seronok” sepatah dia menjawab.


“Bila awak balik nanti, harap awak bawa bersama kenangan yang manis.  Kenangan yang pahit tolong lupakan.” 


Agak-agaknya dia fahamkah bahawa aku sedang menduga apakah dia masih marah kepadaku.  Di pertemuan terakhir kami di kondonya dua minggu lepas, dia masih dingin terhadapku.  Semalam, awalnya dia tidak menunjukkan sebarang reaksi dingin tetapi malam tadi, tiba-tiba anginnya berubah.  Susah untuk aku menduga apakah masih ada kemarahan dan kebencian terhadapku.  Di sudut hati aku sangat berharap Izureen sudi berkawan denganku semula.


Izureen masih mendiamkan diri.  Matanya tidak berkalih dari anak sungai.  Memandang dia membuatkan aku teringat peristiwa di bawah khemah lauk yang berlaku malam tadi.  Dia tampak manis bertudung, hinggaku aku terpaku melihatnya.  Entah berapa lama agaknya mataku tertancap pada wajah manisnya.  Dan lebih manis lagi, dia membalas pandanganku dan kami saling merenung.
Entah kenapa hati ini berlagu riang bila dia membalas pandanganku.  Mungkin kerana aku tidak menjangka dia akan beraksi sebegitu.  Namun pantas juga kegembiraanku hilang bila dia tiba-tiba berubah menjadi garang. 


“Saya suka tengok awak pakai tudung, cantik.”


Dia tetap diam.  Kebisuannya membuatkan aku tak keruan.  Apa lagi yang harus aku ucapkan, atau lakukan agar dia bersuara. 


“Mama awak macam mana, selesa tak dia di rumah inap tu?”


“Mama OK.  Nampak dia seronok.  Malam tadi dia tidur awal, tak taulah sebab keletihan atau kekenyangan.” 


Izureen ketawa kecil.  Strategi aku menjadi.  Nampaknya aku perlu tanya soalan lagi.


“Mama awak suka suasana kampung agaknya?”


“Memang.  Mama tu city girl.  Lepas Papa meninggal kami dah tak balik kampung.  Tu yang dia seronok sangat di sini.  Mama pun sukakan lauk pauk kampung, berselera dia makan malam tadi.”


Bagus, dia sudah semakin mahu berbual.  Aku harus manfaatkan suasana ini.


“Kalau mama awak suka, datanglah ke sini lagi.  Bila Fina balik kampung, awak dan mama awak boleh ikut sekali.  Izelan pun selalu datang sini.”


Akhirnya matanya beralih dari anak sungai.  Dia memandangku, memberikan satu getaran dalam dadaku. 


“Awak kenal girlfriend abang?”  


“Tak.  Tapi dia ada cerita.  Saya rasa Izelan dah bersedia untuk menjadi seorang suami.  Tapi tanggungjawabnya berat, dia perlu pastikan adik kesayangannya disunting orang, barulah dia boleh berkahwin.” 


Aku tahu kisah Izelan yang dikenakan syarat oleh mamanya.  Aku juga tahu Izelan sangat mencintai gadis bernama Mirsya Ayuni yang pernah diceritakan kepadaku.


“Awak rasa syarat Mama saya tu kejam tak?”


Aku menggelengkan kepala.  Peluang ini harus aku manfaatkan sepenuhnya.  Lantas aku mara beberapa tapak dan berdiri lebih rapat di sebelahnya.


“Mungkin syarat Mama awak tu bunyinya macam menyusahkan.  Tapi kalau awak tengok dari perspektif dia, awak akan faham kenapa dia buat begitu.  Mungkin masa tu dia bimbang kalau apa-apa terjadi kepada dirinya, hanya Izelan yang boleh diharapkan untuk menjaga awak.”


Mata Izureen masih melekat di wajahku.  Rasanya selepas kami bertengkar angkara tuduhan melulu yang aku lemparkan kepadanya, inilah kali pertama dia memandang aku sebegini lama.  Biasanya dia hanya memandang aku sekilas sebelum menjeling dan berkalih pandang ke arah lain.


“Saya kasihankan Abang.  Dia dah bersedia nak kahwin tapi terpaksa tunggu saya.  Saya harap saya akan dapat pujuk mama untuk batalkan syarat tu.” 


“Macam mana awak nak pujuk Mama awak?”


Izureen diam, mungkin sedang berfikir.  Matanya dilarikan, kini memandang pula pasir di kakinya. 


“Saya rasa Izelan perlu kenalkan dia kepada mama awak.  Bila mama awak dah sukakan dia, saya yakin mama awak akan batalkan syarat tu.”


“Betul!  Tak sangka awak pun berfikiran begitu.” 


Izureen kelihatan teruja.  Dia memandangku semula dan memberikan satu senyuman.  Mungkin dia gembira kerana ada orang yang berkongsi pandangan yang sama dengannya.  Matanya bersinar.  Cantiknya dia, getus hatiku. 


Setelah sekian lama, hari ini dia senyum kepadaku dengan satu senyuman yang aku rasakan diberikan dengan ikhlas.  Aku hanyut di bawa arus senyuman yang amat manis.  Hanya mampu berdiri kaku sambil membalas senyumannya.  Degupan jantung menjadi deras, diiringi satu perasaan indah yang diam-diam menyusup ke hatiku. 


Kenapa aku rasa seronok bila dia senyum kepadaku?  Kenapa aku suka bila dia merenung aku lama-lama?  Kenapa aku gembira bila dia mahu berbual-bual denganku?  Mungkinkah kerana sudah lama dia bersikap dingin terhadapku, atau… seperti kata Izelan… aku sudah jatuh hati kepada Izureen? 


“Mungkin Abang boleh jemput Mirsya ke majlis perkahwinan Kak Rina nanti, dan kenalkan dia kepada Mama.  Masa tu tentu Mama dalam mood baik.  Saya rasa itu waktu yang sesuai untuk Abang kenalkan dia kepada Mama.  Apa pendapat awak?”


Kata-kata Izureen mematikan lamunanku.  Telinga dapat menangkap setiap butir perkataan yang dituturkan, namun otak bagaikan tidak percaya.  Izureen meminta pendapat aku?  Biar betul.  Ini sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini.


Izureen memandang aku dengan penuh minat, seolah-olah menanti jawapan dariku. 


“Saya rasa itu idea yang bagus.  Tapi jangan dikenalkan pada hari persandingan, mungkin masa itu Mama awak sibuk melayan tetamu dan tak punya banyak masa untuk berkenalan dengan Mirsya.  Mungkin sehari dua sebelum pernikahan, Izelan boleh ceritakan dulu dan pada hari pernikahan, Izelan kenalkan kepada Mama awak.”


Senyuman Izureen semakin melebar.  Dia memandang aku tidak berkelip.  Mata kami bertaut.  Ada paluan rancak di dadaku.  Saat ini aku berharap masa berhenti bergerak agar aku dapat terus menatap senyuman manisnya.


**********


Suasana riuh rendah kini bertukar sunyi seperti sedia kala.  Semua saudara maraku telah pulang ke kediaman masing-masing.  Izelan juga sudah pulang.  Yang tinggal hanyalah Elida sekeluarga, Fina, Dato’ Wirda dan Izureen.  Fina sedang bersiap untuk pulang.  Tiba-tiba aku teringatkan barang-barang Izureen lalu aku menyuruh Fina meminta Izureen datang ke pejabat.


Comel!  Getus hatiku bila dia muncul di pintu dengan memakai t shirt berwarna biru muda dan seluar jeans.  Topi melekat di kepalanya.   


“Ini barang awak.  Duit ni baki sewa homestay masa awak datang kali pertama dulu.”


Dia menyambut dua bungkusan plastik cerah yang aku hulurkan. Cekak, tuala dan wang kertas ditenungnya lama, sebelum mengangkat kepalanya dan memandang aku.


“Terima kasih sebab simpankan barang-barang ni.  Saya dah tak perlukan barang-barang ni lagi.”  


Wang kertas dikeluarkan daripada beg plastik dan dimasukkan ke dalam kocek.  Cekak ungu dan tuala pula dikeluarkan.  Kemudian dia membawa cekak dan tuala tersebut ke bakul sampah di tepi meja kerjaku dan dibuang kedua-dua barang tersebut ke dalam bakul sampah. 


“Kenapa buang?”


Aku terkejut dengan tindakannya membuang cekak dan tuala tersebut.


“Saya dah tak perlukan barang-barang ni.”


Suaranya keras sedikit.


“Tapi kan masih elok? Simpan saja atau berikan kepada orang lain.”


“Kalau awak mau, awak simpanlah.  Atau awak boleh bagi kepada sesiapa yang awak nak bagi.”


Nada suara Izureen sudah berbeza, tidak seperti pagi tadi ketika kami berbual tentang Izelan.  Wajahnya juga bertukar muram.  Apakah aku salah cakap, atau moodnya bertukar kerana ada kenangan pahit di sebalik cekak dan tuala tersebut?


Belum sempat aku buka mulut Izureen sudah keluar dari pejabatku.


**********


Setengah jam kemudian Dato’ Wirda dan Izureen bersedia untuk pulang, bersama-sama dengan Fina yang akan mereka hantarkan ke kondo.  Izureen dan mamanya bersalam-salaman dengan emak dan Elida.  Duit di dalam koceknya dikeluarkan dan diberikan kepada Lokman dan Hafiz.  Kedua-dua anak saudaraku kelihatan mesra dan manja dengan Izureen. 


Dato’ Wirda mengucapkan terima kasih kepada emak dan kemudian kepadaku di atas layanan keluarga kami.  Sempat emak membekalkan sebekas kerepek pisang yang emak buat sendiri. 


Izureen memandang ke arahku sekilas dan dengan lembut mengucapkan terima kasih.  Bibirnya mengukir senyuman.  Wajah muram ketika membuang cekak dan tuala tadi sudah bertukar manis.  Dadaku kencang semula.  Kan bagus kalau tiada orang lain ketika ini, agar aku boleh berbicara sebentar dengannya.  Aku ingin berpesan agar dia memandu dengan berhati-hati.  Juga ingin memberitahu aku sudi membantu sekiranya dia memerlukan pertolongan untuk memujuk Mamanya membenarkan Izelan kahwin.  Namun apakan daya, di tengah kehadiran ahli keluargaku yang lain, aku tidak mampu menuturkannya.


Hati terasa berat ketika Izureen, Dato’ Wirda dan Fina masuk ke dalam kereta.  Aku rasa bagaikan tidak mahu mereka pulang.  Hati ingin meminta mereka tinggal sehari dua lagi di sini tapi mulut tidak berupaya meluahkannya.  Mengapakah ketika Izureen tidak lagi dingin terhadapku, dia harus pulang? 


“Sesuaikan mak?”  soalan Ayin membuang perasan aneh yang bertahta di hati.


“Apa nya yang sesuai Yin?”  soal emak. 


Ayin memandangku sambil tersengeh.  Kemudian dia memandang ke arah abah.  Keningnya dijungkitkan dan abah ketawa melihat gelagatnya.  Emak memandang Abah dengan kehairanan.


“Hish, bapak mertua dengan anak menantu sama je perangainya.  Suka bagi orang suspen.  Cer kamu cakap Yin, apa bendanya yang sesuai ni.” 


Emak meninggikan sedikit suaranya, mungkin rimas dengan gelagat Ayin dan Abah yang seolah-olah berkongsi sesuatu.


“Tu, anak Dato’ tu, sesuai jadi menantu mak.  Sama padan dengan Along.”


Meledak tawa Abah sebaik sahaja Ayin menghabiskan ayatnya.  Aku pandang Abah dengan dahi berkerut.  Pandang pula ke arah emak.  Emak tersenyum lebar.  Elida pun tersenyum juga.


Malas melayan usikan mereka, aku beredar ke pejabat.  Banyak kerja yang perlu aku uruskan.  Namun bila tiba di pejabat, aku tidak dapat melakukan sebarang kerja.  Bayangan wajah Izureen muncul di minda.  Wajah manisnya dalam balutan hijab biru.  Wajah manisnya ketika berbual-bual tentang Izelan pagi tadi.  Wajah muramnya ketika memandang cekak dan tuala yang masih kekal di dalam bakul sampah.  Dan senyuman yang diberikan sebelum dia masuk ke dalam kereta menghantui fikiranku.


Tidak sampai sepuluh minit kemudian, kedengaran bunyi kereta diberhentikan di hadapan rumah inap.  Aku mengintai keluar untuk melihat siapa yang datang.  Berderau darahku tatkala terpandang wanita yang keluar dari kereta itu.


Ratna!




8 comments:

  1. mabelessss!
    tapi haiyaaaaaaa... naper ratna datang timing niiiii .. uwaaaaaa.. bikin hati ku mendidih :P :D :D :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you Malia!

      Aiyoo, janganlah mendidih
      Saja la nak bagi drama sikit

      Delete
  2. aduhla...apa si ratna ni nak pulak...mood dah nak elok ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kniedaz,

      Terima kasih komen.
      Saja la awak, nak bagi manis, pedas, masam, pahit
      Jangan marah ya.

      Delete
  3. Nk apa gaknya ratna tu?
    Sibuk je

    ReplyDelete