Monday 2 September 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 29

Assalamualaikum kawan2.  Apa khabar semua?  Dah habis beraya?  Hari jumaat ni berakhirlah bulan Syawal.  Bolehlah saya berehat dari aktiviti makan2, gelak2, sambung makan, gelak lagi.  Hasilnya - berat badan pun naik.  Yang sedihnya, jumlah kg meningkat lebih tinggi berbanding jumlah kg yang menurun dalam bulan puasa.   Huargghh kena panjat encik treadmill secepat mungkin :(

OK, minggu lepas Ratna datang, kita gantung dulu cerita tu.  Minggu ni kita baca pasal Muaz pulak ya.  Jangan ada yang marahhhhh :)p



Bab 29  -  Izureen


Kalau ada anugerah lelaki terdegil, tentu aku berikan anugerah itu kepada Muaz.  Sepanjang hari dia mengganggu aku dengan pesanan whatsapp dan panggilan telefon.  Mahu saja aku matikan telefon tetapi khuatir kalau ada panggilan penting lain yang masuk.


Terganggu konsentrasi aku hari ini, hingga tidak dapat fokus ketika mesyuarat pengurusan bulanan siang tadi.  Beberapa kali Mama menegur aku.  Kak Rina yang turut hadir mesyuarat pun memandang aku semacam.  Segan aku dengan kakitangan yang lain.  Sudahlah reputasi aku sebelum ini tercemar kerana menghilangkan diri sebanyak dua kali.


Rasanya selagi aku mengelak, selagi itulah dia akan mengganggu dengan panggilan dan pesanan.  Lebih baik aku berjumpa sahaja dengannya dan mendengar perkara penting yang hendak disampaikan, terlalu penting hinggakan katanya mesti disampaikan secara bersemuka.


“Izu,” lembut suaranya memanggilku ketika dia tiba di Sunway Pyramid, terlewat 15 minit daripada waktu yang dijanjikan.  Aku berdiri dan memandang ke arahnya.  Bergelora dadaku melihat wajah kacaknya yang tidak pernah luput dari ingatanku.  Ya Allah, kuatkanlah hatiku. 


“Dah lama kita tak main ice skating kan?” 


Soal Muaz sambil mengerling seketika ke arah arena ice skating, sebelum membawa matanya ke mukaku.  Aku hanya mampu memandang ke arah Muaz tanpa berkata apa-apa.  Persoalan bermain di minda apakah motif Muaz mahu berjumpa denganku.


“Susahnya nak jumpa kau sekarang.  Berminggu-minggu aku merayu, saja kau nak dera aku kan?” 


Aku larikan mataku dari wajahnya. 


 “Jom,” katanya dan kami berjalan beriringan, masuk ke sebuah restoran dan mengambil tempat di sudut yang agak jauh dari orang ramai, berdekatan dinding kaca restoran.


“Apa yang penting sangat nak bagi tau aku?”


Soalku sebaik sahaja pelayan beredar selepas mengambil pesanan kami.  Lebih cepat diceritakan lebih bagus, agar aku tidak perlu berlama dengan Muaz.  Muaz memandang aku lama, tanpa berkata-kata.  Riak di wajahnya boleh ku baca, sudah bertahun mengenalinya aku tahu ada permasalahan besar yang mengganggu fikirannya.


Muaz menarik nafasnya dalam dan menghenbuskan nafasnya sambil mengeluh.  Aku sangat yakin masalahnya ada kaitan dengan Naurah.


“Aku...... aku rasa aku tak jadi kahwin.” 


Berderau darahku mendengarnya.  Apakah begitu besar masalah yang membelenggu hubungan mereka sampaikan Muaz mahu membatalkan perkahwinannya? 


“Ya Allah, kenapa pulak?  Kalau kau ada masalah dengan Naurah, you should resolve it.  Lagi tiga minggu saja kan, takkan kau nak cancel?”


Itulah reaksi ku.  Muaz diam, membuang pandang ke luar.


“Kau jangan mengarut Muaz ni, ni majlis kahwin, bukannya birthday party, suka-suka kau cancel.  Kalau Naurah marah ke, merajuk ke, pujuklah dia.” 


“Masalahnya bukan dia… masalahnya aku,” suara Muaz bergetar.  Matanya menikam jauh ke dasar mataku, memberikan satu perasaan tidak enak di dalam dadaku.  Aku pandang dia dengan dahi berkerut. 


Muaz menghela nafas dan mengeluh lagi.  Tanganku diraih.  Aku tarik tanganku tetapi genggamannya mencengkam kuat.  Dadaku mula dipalu dengan debaran. 


“Izu..... I just realize that I could not understand other girls, the way I understand you,”


“Kau cakap apa ni Muaz?”  soalku, lagi bercelaru fikiranku.  Terlalu bercelaru sehingga aku terlupa jari jemariku masih di dalam genggaman Muaz.


“Aku semakin sedar.... hati aku bukan untuk Naurah.”


Berderau darahku mendengarnya.  Bagai mahu gugur jantungku.  Apa masalahnya si Muaz ni? Getus hatiku.


“Izu, aku tak tahu sama ada kau sedar atau tidak.  Tapi aku baru tersedar...... aku.......aku sayangkan kau.”


Kalau itulah yang hendak dimaklumkan kepadaku, tidak perlulah kami berjumpa.  Sudah lama aku tahu dia sayangkan aku.  Menyayangiku sebagai sahabat baiknya.  Walaupun hakikatnya hatiku terluka dengan kenyataan ini, aku telah pun menelannya, biar pun pahit untuk ditelan.


“Muaz, we are best friends.  Kau sayangkan aku sebagai kawan.  Tapi kau cintakan Naurah.  Jangan disebabkan kekeliruan ini kau nak batalkan perkahwinan kau.”


Perit, tetapi aku luahkan.  Entah dari mana aku mendapat kekuatan untuk mengucapkannya. Hati terasa pedih, pedih yang amat sangat.  Kepedihan ini hanya untuk aku, bukan untuk Muaz. 


“Aku tak keliru.  I know my feeling is right.  Dulu aku ingat kasih sayang yang subur dalam hati ini adalah rasa kasih kepada seorang kawan baik.  Tapi bila kau tak ada, aku seperti kehilangan sesuatu.  Naurah ada, tapi dia tak membangkitkan perasaan yang sama, seperti yang aku rasa bila dengan kau.”


Aku terpaku, kelu lidah untuk berbicara.  Degupan di dada semakin kencang. 


“Izu,”  lembut suaranya memanggil, bagaikan berbisik.


“Aku cintakan kau.”


Tiga patah perkataan.  Cukup.  Itu sahaja yang aku mahu dengar.  Yang bertahun aku menanti untuk mendengarnya.  Jelas dan nyata dilafazkan oleh Muaz sambil matanya merenung lembut, membuatkan aku larut dalam renungannya.  Tetapi hanya untuk beberapa saat.  Airmataku menitis.  Tangisan ini bukan tangisan gembira, tetapi airmata hiba.  Realitinya lafaz cinta Muaz sudah tidak bermakna lagi.  Muaz, saat kau lafazkan cinta, bukan kegembiraan yang aku rasa, tetapi hati menjadi galau dengan lafaz cintamu yang lewat tiba.


“Izu, aku nak batalkan perkahwinan dengan Naurah.  Aku nak jadikan kau isteri aku.”


Mataku tertancap pada wajah Muaz, namun fikiran sudah menerawang entah ke mana.  Kalaulah lafaz cinta dan niat memperisterikan aku dilafazkan sebelum dia bertunang dengan Naurah, pastinya akulah gadis yang paling gembira di dunia.  Airmataku terus jatuh, mengalir di atas pipi, menzahirkan rasa hiba yang semakin menghimpit hatiku.


Muaz rapat kepadaku, sebelah tangannya memegang daguku dan sebelah tangan lagi menyeka airmataku dengan jarinya.  Kalaulah dia tahu betapa menderitanya aku dengan perbuatannya dan lafaz cintanya yang terlewat.  Rasanya aku lebih rela dia tidak cintakan aku daripada mendapat cintanya sekarang.


**********


Terkejut aku melihat Kak Rina.  Sepatutnya Kak Rina tidak bekerja pada hari Khamis, apa pula yang dibuatnya dipejabat di pejabat awal-awal pagi ini.


“Kenapa mata tu bengkak?”


Kak Rina menyoal sebaik sahaja aku meletakkan beg di atas meja.  Sepanjang malam menangis, inilah jadinya.  Dan aku juga tidak tidur sepanjang malam.  Bertubi-tubi persoalan demi persoalan masuk ke benakku.  Kenapa sekarang, sedangkan semuanya sudah terlewat.  Tidakkah kejam perbuatan Muaz membatalkan perkahwinan ketika majlis akan berlangsung kurang lebih tiga minggu dari sekarang?


“Adik jumpa Muaz malam tadi?”  soalan Kak Rina memaksa aku berpaling memandangnya.  Wajah Kak Rina tegang, bagaikan sedang menahan marah.


“Kan kakak kata jangan jumpa dia, kenapa degil?” 

Belum sempat aku duduk Kak Rina sudah memarahiku. 


“Adik tahu tak, Naurah dah mengamuk malam tadi.  Dia nampak adik dengan Muaz,  korang siap berpegang tangan lagi!  Dia tak mau kahwin dengan Muaz.  Apa yang adik dah buat ni?”


Suara Kak Rina meninggi.  Aku menghela nafas panjang, cuba bertenang.  Kalau tidak ditahan, airmataku pasti gugur.  Cuba mengingati kejadian malam tadi.  Terlalu leka melayan perasaan, aku tidak sedar rupa-rupanya ada mata yang memandang.  Dan lebih parah, yang nampak kami ialah Naurah.  Bila mengenangkan nasib Naurah, aku simpati terhadapnya.  Terkenang nasib sendiri, aku rasa aku perlu lebih bersimpati dengan diriku sendiri.    


“Eloklah, Muaz pun tak mau kahwin dengan dia,” dengan perlahan aku tuturkan, namun cukup kuat untuk Kak Rina mendengarnya. 


“Adik, apa adik cakap ni?  Muaz tak nak kahwin dengan Naurah?  Adiklah puncanya kan?  Why can’t you accept the fact that Muaz will never be yours?  Kakak kata jangan jumpa dia, adik buat juga.  Tengok apa dah jadi sekarang?  Sampai hati adik nak musnahkah impian orang?”


Tadi aku sedih, sekarang aku marah.  Marah sangat bila Kak Rina tuduh aku begitu.  Aku berusaha tidak melayan Muaz sejak dia bertunang dengan Naurah.  Kalau aku tahu semua ini bakal terjadi, takkan aku keluar dengan Muaz malam tadi. 


“Habis impian Adik siapa yang peduli?.  Kalau adik tak jumpa Muaz pun, dia tetap tak akan kahwin dengan Naurah.  Dia baru sedar sebenarnya dia tak cintakan Naurah!” 


Hati yang galau, diulit rasa marah kerana dituduh, beserta dengan rasa sedih kerana kejadian malam tadi menyebabkan tanpa sedar aku meninggikan suara kepada Kak Rina, sesuatu yang tidak pernah aku lakukan sejak mengenalinya. 


“Izureen!” 


Aku dan Kak Rina sama-sama menoleh ke pintu.  Mama berdiri di situ dengan wajah garang.  Sepatutnya Mama terus ke Kajang pagi ini untuk bermesyuarat dengan pengurus kilang sate untuk mendapatkan bekalan sate dingin beku.  Mungkinkah Mama telah mengetahui kejadian malam tadi?


Both of you, come to my room, now!




**********


“Kamu berdua ni kalau nak bergaduh sekali pun, tutuplah pintu.  Ini tidak, satu pejabat dengar.  Tak malu ke?” 


Tengking Mama sebaik sahaja kami masuk ke biliknya.  Kak Rina terus duduk di sofa, di sebelah mama.  Aku pula hanya berani berdiri membelakangkan pintu.


“Datin Jemilah call Mama malam tadi.  She told me you went out with Muaz.  Naurah nampak, dia mengamuk dan nak batalkan perkahwinan.  Mama pujuk Datin Jemilah.  I apologised for what my daughter did to her future son-in-law last night.”


Jeda seketika.  Kak Rina memandang Mama. Aku pula menundukkan kepala, tidak sanggup menatap wajah Mama yang sedang marah.  Betapa sejak kepulanganku setelah menghilangkan diri selama 17 hari Mama tidak pernah lagi memarahiku, sehinggalah pagi ini. 


Namun di dalam hati terselit juga rasa terkilan dengan ayat terakhir Mama.  I apologised for what my daughter did to her future son-in-law last night.  Tolong sikit Datin Jemilah, aku tak buat apa-apa pun kepada bakal menantu kau.  Kalau tak tahu cerita, jangan menuduh.   Bakal menantu kau tu yang terhegeh-hegeh nakkan aku semula.  Aku mengomel sendirian di dalam hati.


“Pagi ni, just as I was about to leave the house, she texted me.”


Mama menggerakkan jarinya di atas skrin telefon bimbit dan kemudian membacakan pesanan Datin Jemilah.


“Bagi tau anak you jangan ganggu bakal menantu I.  Banyak jantan lain.  Jangan sampai anak I tak jadi kahwin.  The contract will be signed this week.  You know what to do.” 


Keras suara Mama ketika membacakan pesanan tersebut.  Sekeras renungannya ketika memandang aku. Kemudian Mama melepaskan keluhan yang amat berat dan bersandar di sofa sambil memejamkan matanya.  Tangan kanan diangkat untuk memicit dahi.  Tangan kiri yang memegang telefon terjelepuk di atas sofa.  Kak Rina memegang tangan Mama dan mengusapnya.  Aku berjalan ke sofa dan duduk di sebelah Mama. 


Rasa bersalah menebal di dalam hati.  Kerana aku Mama susah hati.  Disebabkan aku Mama dimarahi oleh Datin Jemilah.  Aku tidak mahu Mama bersedih, namun Mama harus tahu kejadian yang sebenar. 


“Mama, adik minta maaf sebab jumpa Muaz malam tadi.  Adik tak sangka jadi macam ni.  Bukan salah Adik, Muaz sendiri yang kata...”


Mama mengangkat tangannya, menandakan dia mahu aku berhenti bercakap.  Dengan mata yang masih dipejamkan Mama bersuara.


“Mulai sekarang Mama tak mahu dengar apa-apa tentang Muaz.”


Keras nada suara Mama ketika memberi arahan itu.  Mama buka mata, dia berpaling ke arahku.  Dengan tegas Mama berkata “stay away from Muaz.  Whatever you do, he must marry Naurah.”


No comments:

Post a Comment