Sunday 8 September 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 30


Bab 30  -  Naim Zakaria


Aku ke KL lagi hari ini, dipanggil oleh pegawai bank untuk temuduga permohonan pinjaman yang aku hantar bulan lepas.  Habis temuduga aku ke pejabat Fina kerana telah berjanji akan menjemputnya pulang dari kerja.  Kami tiba di kondo tidak berapa lama kemudian.  Aku naik ke kondo untuk menumpang bersolat. 


“Bestlah naik motor, kejap dah sampai rumah,” ujar Fina ketika kami berjalan di koridor.


“Bila Along nak belikan orang motor?”


“Sabarlah.  Belum sebulan turun naik bas pergi kerja, dah merungut” kataku.


“Eh dah sebulan lah.  Hari ni genap sebulan orang kerja.”  Ujar Fina sambil tangannya membuka pagar.


“Oh, dah dapat first salary ya?  Bila nak belanja Along?”


Soalanku tidak berjawab.  Fina berdiri kaku di muka pintu.  Matanya memandang ke dalam rumah dengan dahi berkerut.


“Kak Reen, kenapa ni?”  soalnya dan terus meluru masuk.  Aku menuruti Fina ke dalam rumah.  Di atas sofa, Izureen sedang duduk memegang sekeping gambar berbingkai.  Gambar yang pernah aku lihat di dalam biliknya ketika menumpang bersolat dahulu.  Bezanya kini bingkai gambar telah retak. 


Izureen diam tidak berkutik.  Matanya bengkak, pasti kerana banyak menangis.  Rambutnya kusut masai, mukanya pucat.  Satu ketika dulu aku pernah melihatnya dalam keadaan sebegini.  Hatiku dapat menduga pasti ada sesuatu yang berkaitan dengan Muaz telah berlaku.


Aku merapatinya.  Fina yang telah duduk di sebelahnya memegang tangannya dan meletakkan gambar di atas meja berdekatan.  Aku pergi ke sebelahnya.  Fina dan aku saling berpandangan, masing-masing cuba meneka apa yang telah terjadi sehingga Izureen berkeadaan seteruk ini.


“Izureen, kenapa ni?”  aku pula bertanya, dengan nada yang paling lembut.  Dalam keadaan sekarang, aku pasti dia sangat sensitif dan mudah terasa.


“Semua orang tak percayakan saya.” 


Katanya dalam esakan.  Matanya memandang kosong ke hadapan. 


Aku dan Fina saling berpandangan lagi dengan penuh tanda tanya.  Aku semakin yakin pasti ada kaitan dengan Muaz.  Entah kenapa timbul rasa marah terhadap lelaki bernama Muaz.  Sampai hati dia melukakan hati gadis sebaik Izureen.


“Muaz tak percaya saya cintakan dia.  Bila dia dah percaya, semuanya dah terlewat.”  Esakannya bertambah kuat.  Fina mengusap belakang Izureen, memberikan sedikit kelegaan.  Aku hanya mampu melihat.


“Mama pun sama, tak percayakan saya.  Saya dah cakap, tapi Mama tetap tak percaya bukan saya puncanya.” 


Dia masih mahu bercerita, walaupun setiap butir perkataannya diiringi esak tangis.  Dahiku berkerut.  Aku masih belum faham ceritanya. 


“Kak Rina pun tak percayakan saya.” 


Dia memandang sekilas ke arahku, menjelingku sebelum memandang pula ke arah Fina.


“Teruk sangat ke saya ni, sampai semua orang tak percayakan saya?” 


Memandang semula ke arahku.  Aku keliru, apakah dia bertanyakan soalan atau sekadar meluahkan perasaan?


“Awak pun tak percayakan saya, tuduh saya macam-macam.” 


Matanya menjeling tajam ke arahku.  Aku rasa seperti ada ketulan besar di kerongkongku.  Rasa bersalah menyelinap di sudut hati, terkenang semula prasangkaku terhadapnya yang menyebabkan hubungan persahabatan menjadi renggang.  Pasti ada satu perkara besar yang telah berlaku hinggakan Izureen menjadi sangat sensitif dan sedih, sampai mengungkit semula perkara yang sudah berlalu.


“Sabarlah Kak Reen, pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian.” 


Fina cuba menenangkan Izureen.  Dipeluknya Izureen dan dibiarkan Izureen menangis di bahunya.  Izureen, kalaulah halal bagiku untuk menyentuhmu, sudah tentu akan aku berikan bahuku untuk menjadi tempat dikau menangis.  Walaupun dikau tidak menyukai aku, aku tidak sampai hati melihat dikau bersedih begini.


Fina terus memujuk Izureen dan akhirnya berjaya memujuk Izureen untuk bangun, menyalin pakaian dan mencuci muka.  Rancanganku untuk balik selepas menunaikan solat Asar aku tangguhkan, mana tahu kalau-kalau Fina memerlukan bantuanku.

  

**********


“Macam mana dia?”  aku bertanya selepas pulang dari membeli makanan.  Fina mengambil bungkusan makanan dan membawa ke meja. 


“Dah berhenti menangis.”  Kata Fina sambil mengeluarkan lauk daging masak merah dan memasukkannya ke dalam mangkuk.


“Boleh Along tengok dia?” 


Fina memandang aku seketika dan kemudian mengangguk.  Dia menuju ke bilik Izureen, mengetuk pintu dan menjenguk ke dalam.   Kemudian dibukakan pintu bilik seluas-luasnya. 


“Izureen.”


Dia memandang ke arahku sebaik sahaja namanya ku sebut.  Tanpa meminta kebenaran, aku terus masuk.  Aku tarik kerusi dari meja solek dan duduk berhadapan dengannya yang duduk tegak di atas katil.


“Saya percayakan awak.”


Air jerneh turun dari kelopak matanya, meluncur laju di atas pipi.  Timbul rasa belas yang mendalam melihat dia dalam keadaan begitu.  Kalau boleh, ingin aku seka airmata itu dengan jariku.  


“Saya minta maaf kerana pernah bersangka buruk dengan awak dulu.  Itu kesalahan besar yang saya tahu amat susah untuk awak maafkan.   Kalau kerana kesalahan itu awak membenci saya…”


Terasa berat untuk aku teruskan.  Kerongkongku bagaikan tersekat.  Izureen memandang ke bawah.  Airmata masih bertitisan, turun hingga ke dagunya.


“... saya terima.  Tapi saya mahu awak tahu, saya percayakan awak.  Sepanjang saya mengenali awak, saya yakin awak seorang gadis yang baik dan boleh dipercayai.”


Aku tarik beberapa helai tisu dari atas meja soleknya dan menghulurkan kepada Izureen.  Tisu dicapai dan Izureen pantas mengesat airmatanya sambil memandang aku dengan satu pandangan yang penuh hiba.  Apakah musibah yang menimpamu, sehingga dikau terlalu bersedih, soalan yang bermain di mindaku.


Sorry, awak tak ada kena mengena dalam hal ni.  Saya sedih dan kecewa sangat tadi, sampai sebut benda yang bukan-bukan.  Sorry.” 


Dalam suara yang serak dek tangisan yang berterusan, dia berkata.  Kemudian pandangannya direndahkan. 


Aku mengangguk.  Sebenarnya aku sudah tahu apa yang berlaku.  Sebaik sahaja disuruh oleh Fina, aku pergi ke restoran berdekatan untuk membeli lauk pauk untuk makan malam.  Di restoran, sambil menunggu makanan siap aku menelefon Izelan.  Dia menceritakan apa yang telah terjadi.  Sebaik sahaja sampai semula di kondo, telefon bimbitku berbunyi.  Dato’ Wirda di hujung talian, bercerita tentang perkara yang sama diceritakan oleh Izelan.  Di hujung perbualan, Dato’ Wirda membuat satu permintaan. 


“Izureen, saya harap awak bersabar.  Yakinlah akan ada kemanisan di sebalik setiap kepahitan.”


Izureen mengangguk.


“Kejap lagi Maghrib, kita solat sama-sama.  Mudah-mudahan lepas solat hati menjadi tenang.”


Izureen sekadar mengangguk lagi.  Fina menjenguk ke dalam bilik.


“Kak Reen, jom makan.”  Fina mengajak.


“Jom,” aku pula mengajak, lantas berdiri.  Perlahan-lahan Izureen bangun, mengikuti kami ke meja makan. 


Lauk yang lazat terhidang seperti tidak bermakna baginya.  Dia hanya makan beberapa suap nasi, dengan sepotong daging masak merah dan secubit ikan siakap tiga rasa.  Tidak bercakap sepatah pun ketika makan.  Aku dan Fina juga tidak berani bersuara.  Terasa amat canggung menghadap makanan dalam keadaan begini. 


Selepas makan kami bersolat Maghrib bersama-sama di ruang tamu.  Fina bersalam dan mencium tanganku selepas mengaminkan doa.  Izureen berdiri untuk balik ke biliknya.


“Izureen.”


Dia tidak menjawab panggilanku, sekadar memandang ke arahku.


“Kalau sudi, ikut saya balik kampung malam ni.  Mungkin boleh tenangkan fikiran di sana.”


Tiada jawapan.  Dia terus melangkah ke dalam biliknya.  Pintu bilik ditutup perlahan.  Aku dan Fina saling berpandangan.  Aku tidak mampu meneka apakah Izureen mahu mengikuti pulang atau tidak.  Aku juga tidak tahu apakah itu jalan yang terbaik buatnya, untuk sementara waktu ini.  Namun itulah yang diminta oleh Dato’ Wirda. 


Aku keluar untuk pergi ke surau.  Kedudukan surau tidak jauh dari kondominium ini, jadi aku berjalan kaki ke sana.  Fikiran menerawang ketika aku berjalan, berlegar mengenai Izureen.  Rasa simpati terhadapnya semakin mendalam.  Aku tidak suka melihat dia bersedih.  Dan hati ini merasa marah terhadap lelaki bernama Muaz.     Teringat pula kata-kata Izelan melalui perbualan telefon tadi.  Izelan risaukan adik kesayangannya.  Dia juga sedikit kesal dengan cara Rina dan mamanya yang tidak memberi peluang kepada Izureen untuk menjelaskan hal sebenarnya.  Bila dia berpeluang menelefon Izureen, Izureen pula dingin dan tidak mahu bercerita.  Permintaan Izelan agar aku membantu memerhatikan Izureen pasti akan aku penuhi.


Namun yang lebih memberatkan fikiran ialah permintaan Dato’ Wirda.  Wajarkah aku membawa Izureen pulang ke rumahku?  Aku faham Dato’ Wirda mahu menjauhkan Izureen daripada Muaz, tapi betulkah cara ini?  Pada pendapat aku, Izureen sendiri harus punya kekuatan untuk menjauhkan dirinya dari Muaz.  Terdetik juga di hati, dalam keadaan dia yang amat bersedih tadi, mampukah dia berfikir secara rasional dan memaksa hatinya agar pergi jauh dari Muaz?  Apa yang ditakuti oleh Dato’ Wirda ialah Izureen akan cair hatinya dengan lafaz cinta Muaz, sehingga mungkin melakukan perkara yang di luar batasan seperti melarikan diri bersama Muaz.


Otak ligat berfikir, tidak sedar kaki sudah mencecah pagar surau.  Azan Isya’ baru habis berkumandang.  Beberapa jemaah sedang sibuk mengambil wudu’.  Aku segera mendekati paip dan terus berwudu’.  Kemudian bersolat bersama-sama jemaah yang lain.  Usai bersolat Isya’, aku lakukan pula solat sunat, diikuti solat istikharah.  Sesungguhnya, aku amat memerlukan bantuan dariNya.


**********


Dia sedang duduk di balkoni, ditemani Fina ketika aku pulang dari surau.  Wajahnya masih muram dan sembab, akibat dari banyak menangis.  Perlahan-lahan aku rapati mereka dan dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka.


“Terima kasih Fina, kerana sudi mendengar luahan hati Kak Reen.”


“Sama-sama Kak Reen.  Hari ni hari Kak Reen, entah-entah nanti Fina pun akan perlukan Kak Reen untuk dengar masalah Fina.  Fina dah anggap Kak Reen macam kakak sendiri.  Fina risau tengok Kak Reen sedih.  Jangan sedih ya.  Fina yakin Kak Reen kuat.”


  “Ya, Kak Reen harus kuat.  Papa dah tak ada untuk pujuk Kak Reen…  Abang Lan jauh…  Mama tak percayakan Kak Reen…  Kak Rina marah Kak Reen…  selama ni dia tak pernah marah Kak Reen…”


Suaranya kedengaran serak, bercampur esakan.  Izureen menangis semula.  Semakin tebal simpatiku terhadapnya.  Terasa bagaikan tersekat kerongkongku.  Benarlah kata Izelan, dia anak manja yang sensitif.  Selama ini Muaz adalah tempat dia meluahkan segala keresahan, berkongsi kegembiraan dan kesedihan.  Tentu tidak mudah untuk Izureen melupakan Muaz dan di kala dia kelihatan sudah pulih dari kekecewaannya, Muaz yang mahu dilupakan tiba-tiba melafazkan cinta.  Aku pasti dia keliru, dan sudah tentu dalam kekeliruan ini dia amat memerlukan sokongan keluarganya.


Fina memeluk Izureen sambil memujuknya agar bersabar.  Aku rapati mereka dan sebaik sahaja aku berdiri di sebelah mereka, Izureen melepaskan dakapan Fina.  Airmatanya dikesat.  Kemudian dia berdiri dan memandang tepat ke arahku.


“Saya nak ikut awak balik.”


Tanpa menunggu jawapan dariku dia berlalu ke dalam dan tidak lama kemudian muncul di ruang tamu dengan sebuah beg pakaian.


No comments:

Post a Comment