Tuesday 17 September 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 31

Assalam,

Ya ampun beribu ampun.  Lambat uploadkan bab 31.  Nak kata busy, taklah busy sangat tapi cuti2 Malaysia yang menyeronokkan membuatkan Isma rasa tak sampai hati nak curi masa bercuti dengan anak2 untuk menaikkan bab seterusnya.

Isma tak pasti sama ada ini bab terakhir di blog, atau mungkin akan ada 1-2 bab lagi.  Masih panjang lagi kisah Izureen-Naim-Muaz ni.

In the meantime, enjoy dulu bab 31 and bagi komen ya.

Yang silent2, tu terima kasih menyokong dlm diam.  Yang tak silent tu, I love your comments!


Bab 31 - Izureen

Naim memandu dengan tenang.  Lebuhraya yang lengang di waktu malam menjadikan perjalanan kami lancar.  Aku hanya termenung sepanjang perjalanan, mengenang peristiwa malam tadi dan peristiwa pagi tadi di pejabat Mama.  Sampai hati Mama, sampai hati Kak Rina.  Kenapa mereka tidak mahu mempercayai aku?  Jenuh aku menerangkan bukan aku penyebabnya.  Beria-ia aku menceritakan bahawa aku tidak lagi keluar dengan Muaz.  Malahan aku menyuruh mereka bertanya kepada Fina, kerana dialah yang rapat denganku sekarang.


Dalam kesedihan ini, terselit juga rasa geram.  Geram bila dituduh mengganggu Muaz sedangkan aku tidak melakukannya.  Alang-alang dituduh, baik aku lakukan saja.  Muaz pun sudah mengaku dia cintakan aku dan tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan Naurah.  Tunggu saja dia batalkan perkahwinannya dan selepas itu Muaz dan aku boleh berkahwin.  Takkanlah Mama tak bersetuju.  Aku yakin kalau aku berkeras dan kalau Muaz bersungguh-sungguh meyakinkan Mama, pasti akhirnya Mama akan bersetuju.  Lagi pun selama ini baik Mama, Abang dan Kak Rina sudah mengenali Muaz dan tidak pernah aku dengar mereka tidak sukakan Muaz dan melarang aku berkawan dengannya.


Tapi… bila difikir-fikirkan lagi, betulkah itu yang aku mahukan?  Semudah itukah hatiku lebur dengan lafaz cinta Muaz?  Bolehkah seorang lelaki keliru dengan perasaannya terhadap seorang perempuan?  Aku buntu.  Tanpa sedar terlepas satu keluhan.  Sepatutnya aku bergembira mendengar pengakuan cinta Muaz.  Itu yang aku impikan selama ini.  Tapi hakikatnya aku rasa bagai diperbodohkan oleh Muaz.  Hai Muaz, bertahun engkau mengenali aku, susahkah untuk memahami perasaan aku?  Atau aku yang salah kerana tidak meluahkannya?  Tapi takkanlah aku yang luahkan dulu, aku kan perempuan?  Bagiku walau bagaimana dalam pun cintaku terhadap seorang lelaki, aku tidak akan meluahkannya terlebih dahulu sehingga si lelaki menyatakan cintanya kepadaku. 


Aku mengeluh lagi, dada terasa berat dengan berbagai perasaan yang silih berganti.  Sekejap gembira, sekejap lara. Aku redha dengan ketentuan Illahi.  Dia yang menentukan cinta dengan Muaz tidak kesampaikan.  Dia yang menentukan saat Muaz melafazkan cinta, semuanya sudah terlewat.  Muaz, rasa cinta kepadamu masih ada.  Tapi untuk apa, kalau hanya akan terus melukakan hatiku. 


“Daripada termenung, lebih baik berzikir.  Zikir itu terapi hati.  Hati akan tenang, kepala yang berserabut akan rasa ringan, dada yang berat akan rasa lapang setelah berzikir.”


Suara Naim memecah keheningan.  Aku mengerlingnya seketika.  Mata kami bertembung di cermin.  Fina di sebelahnya sudah lama lena, siap berdengkur halus lagi.  Entah apa yang menggerakkan hati ini untuk mengikut dia pulang ke kampung.  Terbayang wajah penuh keibuan Mak Jah.    Ingin sekali aku merebahkan kepala di bahu Mak Jah dan mencurahkan perasaan kepadanya, seperti yang pernah aku lakukan dulu.  Pelawaan Naim agar mengikutinya pulang bagaikan bantal yang disuakan kepada aku yang sangat mengantuk.  Langsung terlupa dia seorang yang menjengkilkan dan terlupa juga dia pernah mencalarkan hatiku dengan tuduhan dan prasangkanya.


“La tahzan, innallaha ma a’na.”  Kata Naim.


Entah apalah yang dikatakan olehnya.  Aku mengerling cermin.  Sekali lagi pandangan kami bertembung.  Dia memandangku sekilas sebelum merendahkan matanya, memandang semula ke depan.


“Maknanya jangan bersedih, Allah sentiasa bersama kita,” tanpa aku meminta dia menjelaskan.


“Hasbunallahu wa ni’mal wakiil” Naim bersuara lagi, lantaran aku hanya mendiamkan diri.


 “Maksudnya?”  kali ini aku bersuara.


“Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan dialah sebaik-baik pengurus.  Itu potongan ayat dari Surah Ali Imran.  Amalkan ketika kesedihan atau kesusahan.  In sya Allah, hati akan tenang.”


Aku mengangguk.  Perlahan-lahan aku lafazkan.


“Izureen.”


Kali ini seluruh wajahku palingkan ke arahnya yang kelihatan khusyuk memandu.


“Awak betul-betul cintakan Muaz?”


Aduhai! Soalan apakah ini, ditanya di malam-malam buta, ketika hatiku sedang lara.  Aku biarkan saja soalan itu tidak berjawab.

“Awak percaya dia betul-betul cintakan awak?”


Datang pula soalan kedua.  Apahal dia ni, bertanyakan soalan yang tidak sepatutnya.  Lagi pun, siapa dia untuk bertanya soalan-soalan itu kepadaku?  Saat ini, hati sudah mula hendak panas.  Mr Annoying is back!  Malas aku layan dia ni.  Lagi pun kalau dilayan takut nanti jadi bergaduh pula, sedangkan ada juga kebaikan mamat ni.  Sanggup membawa aku pulang ke rumahnya, di saat aku mahu melarikan diri untuk kali ketiga. Malahan ada juga nasihatnya yang sangat melegakan.  Maka aku memutuskan untuk menutup mata dan akhirnya aku terlelap.


**********

Aku terjaga bila terdengar namaku disebut dan bahu digoncang perlahan-lahan.  Wajah Mak Jah terpampang sebaik sahaja mataku terbuka.  Dalam keadaan terpisat-pisat, aku cuba berfikir apa yang terjadi dan di mana aku berada.


“Mak Jah” terus aku peluk dia.  Dia membalas pelukanku dengan rangkulan yang kemas.  Baru aku dapat mengingati ketika aku sampai, jam sudah melepasi tengah malam.  Aku terlalu mengantuk dan letih lantas terus masuk tidur di dalam bilik Fina.


Tuala yang dihulurkan oleh Mak Jah aku ambil.  Selepas mandi aku menghampiri Mak Jah dan Fina yang sudah duduk di atas sejadah. Telekung aku sarungkan.  Naim muncul dari biliknya dan dia mengimamkan solat Subuh kami.  Usai berdoa Fina dan Naim beredar ke bilik masing-masing.  Aku turut mahu bangun namun tidak jadi apabila Mak Jah memanggilku dengan lembut.


 “Sabarlah ya Reen, Allah tak menduga kamu dengan dugaan yang tak mampu kamu tanggung.  Percayalah Allah sentiasa ada untuk kita.  Allah uji kita kerana Allah sayang kita.  Dulu kan Reen pernah bersedih.  Lepas tu mak tengok dah OK.  Ni sedih semula.  Itu maknanya Allah nak Reen jadi kuat.”


“Bukan semua yang kita nak, kita akan dapat.  Setiap perancangan Allah datang dengan hikmahnya.  Ada hikmah yang cepat kita ketahui, ada yang lambat.  Reen jangan menyesal dengan apa yang terjadi ya nak.” 


Aku mengangguk.  Rasa sebak menyelubungi diri.  Hati yang keras pasti akan cair dengan cara Mak Jah memujuk dan memberi nasihat.  Tutur katanya lembut, wajahnya manis, usapan yang diberikan di belakangku sangat melegakan.  Tanpa dia meminta, aku menceritakan dengan ringkas apa yang telah terjadi.  Ceritaku terhenti apabila Naim keluar dari biliknya dan menyusul pula Fina.  Kedua-dua mereka berpakaian seperti hendak keluar. 


“Minum dulu Naim, Fina.  Mak sempat buat milo saja.”


Aku memandang Naim dan Fina dengan rasa hairan.  Mengapa mereka hendak keluar seawal ini?  Belum pun pukul 6.30 pagi, ke mana mereka hendak pergi?  Fina beredar ke dapur. Telekung yang lenjun dengan airmata yang mencurah-curah ketika bercerita dengan Mak Jah aku buka.  Mak Jah sudah membuka telekungnya dan berjalan ke arah dapur.  Naim menyusul di belakang.


“Naim.”


Dia berpaling ke arahku.


“Awak... dengan Fina...”


“Saya nak hantar Fina balik.  Dia kerja hari ini.”


Ya Allah, hari ini hari Jumaat!  Baru aku tersedar betapa aku telah menyusahkan mereka.  Kerana aku Fina terpaksa balik kampung sedangkan dia bekerja hari ini.  Kerana aku juga Naim yang baru tiba malam tadi, terpaksa menempuh perjalanan ke KL sekali lagi, untuk menghantar Fina pulang.  Perasaan bersalah menyelinap di sudut hati.  Aku pantas masuk ke bilik Fina untuk menyimpan telekung.  Keluar dari bilik Fina dan Naim sudah berada di hadapan pintu, bersedia untuk bertolak.


“Fina, Kak Reen minta maaf sebab menyusahkan Fina.” Aku segera mendekatinya. 


“Mana ada susah Kak Reen, Along hantarkan terus ke pejabat.  Bukannya Fina naik bas ke, jalan kaki ke.  Kak Reen tinggal di sini, rehatkan minda, tenangkan hati ya.  Fina pergi dulu, takut lambat sampai office nanti.”


“Terima kasih Fina,” kataku dengan nada sebak.  Aku ingin meminta maaf kepada Naim juga kerana telah menyusahkannya, namun dia sedang bersalaman dengan Mak Jah.  Selepas bersalaman, dia pantas masuk ke dalam van ayahnya.  Sudahnya ungkapan kemaafan dan terima kasih yang ingin aku sampaikan kepada Naim hanya terlafaz di dalam hatiku, sambil mata memandang van bergerak pergi dengan perasaan bersalah bercampur dengan rasa kagum terhadap lelaki yang menjengkelkan itu.


**********


Ada sesuatu di tempat ini yang membuatkan hati yang lara lekas menjadi tenang.  Aku baring di atas hammock sambil mata melayan alunan air sungai yang mengalir laju.  Bunyi deruan air, diiringi siulan burung dan sesekali bunyi batu-batu kecil berlaga, angin yang berhembus lembut, daun-daun yang bergoyang menemani aku di tepi sungai yang sepi.  Mak Jah, Pak Akob dan Naim tidak kelihatan, mungkin sengaja membiarkan aku bersendirian melayan perasaan. 


Bagaikan dejavu, aku ke sini lagi.  Walhal dua minggu lepas aku sudah ke mari, namun hanya untuk menghadiri kenduri dan tidak sempat menikmati suasana damai di tepi sungai.  Aku pejamkan mata dan menghela nafas panjang sebelum perlahan-lahan aku lepaskan nafas itu. 


La haula wala kuwwata illa billah.  Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah.  Aku ulangi sebagai zikir, seperti yang diajarkan oleh Naim malam tadi, berselang seli dengan Hasbunallahu wa ni’mal wakiil.  Mudah-mudahan aku Allah mengizinkan kekuatan ke atasku dan memberikan kedamaian dan ketenangan hati yang amat aku perlukan ketika ini.


“Awak belum jawab dua soalan yang saya tanya malam tadi.”


Suara itu aku kenal, maka terus aku membuka mata.  Entah bila dia datang, tau-tau sudah berada di sebelahku.  Aku renung wajahnya, tetapi dia tidak membalas pandanganku, sebaliknya hanya merenung ke depan.  Kenapa dia hendak tau sangat?  Aku perlu berhentikan ini, sebelum dia terus mendesak aku agar menjawab soalannya. Aku turun dari hammock.


“Naim…  terima kasih… bawa saya ke sini.  Maaf…  saya menyusahkan awak…  terpaksa ke KL semula hantar Fina. Saya hargai pertolongan awak.  Soalan awak tu… saya tak dapat jawab.”


Kali ini dia berpaling memandangku.  Wajahnya nampak serius, berbeza dengan raut tenang dan riak mengusik yang biasa aku lihat.


“Awak tak percayakan saya Izureen… dan sebab itu awak tak mau berkongsi perasaan awak dengan saya.”


Aduhai!  Kenapa pula aku mesti berkongsi perasaan dengan dia, dia bukan sesiapa bagiku.  Hanya seorang kenalan, yang muncul dalam hidupku.  Kenalan yang… mengejengkelkan… tapi kadang-kadang… baik. 


“Suka hati awaklah nak kata apa.  Saya tak perlu jawab soalan awak.”


“Susah sangat ke untuk awak mengaku yang awak cintakan Muaz dan yakin dia betul-betul cintakan awak?”


Jeda, otak masih bertanya kenapa dia hendak tahu, tapi tidak terkeluar pula soalan itu dari bibirku.


“Atau sebenarnya awak tak pasti apakah awak betul-betul cintakan Muaz dan tak yakin Muaz betul-betul cintakan awak?”


Soalannya sudah berbau provokasi bagiku.  Hati yang sudah agak tenang tadinya, kini kembali berkocak.  Mr Annoying ni memang nak kena dengan aku.  Dahlah menyibuk hal aku, pandai-pandai pula membuat andaian.  So typical of him!


“Naim, please mind your own business!  Perasaan saya terhadap Muaz tak ada kena mengena dengan awak!  Kalau awak ikhlas menolong saya, tolong jangan campur urusan peribadi saya!”


Aku mengangkat kaki, mahu berlalu meninggalkannya.


“Sebab saya ikhlas nak tolong awaklah, saya nak tau.”


Suara Naim tinggi sedikit.  Aku tidak jadi melangkah, berpaling ke arahnya.  Matanya merenung dengan satu pandangan tajam, dahinya sedikit berkerut. 


What do you mean?”


Naim mara merapatiku. 


“I…  saya…”


Kenapa dia gugup?  Bibirnya bergerak-gerak tapi tiada bicara.  Matanya tidak lekang dari mataku.  Pandangannya tajam, bagai menikam jauh ke dalam hatiku.  Untuk beberapa saat kami hanya saling merenung.  Aku menunggu Naim menyambung ayatnya, namun yang ada hanyalah renungan tajam yang tidak pernah aku lihat sebelum ini.


Satu suara melaung “Adik”  kedengaran di belakangku. 


Aku berpaling ke arah datangnya suara.  Abang!  Aku meluru ke arah Abang.  Airmata ku tumpah sebaik sahaja berada dalam dakapan Abang.    Diringi esakan tangis aku ceritakan semuanya kepada Abang, walaupun aku tahu pastinya Abang sudah mengetahui apa yang terjadi daripada Mama atau pun Kak Rina.   Naim pula entah ke mana perginya.


“Abang percayakan Adik.”


Aku duduk di atas pangkin di luar rumah inap.  Airmata aku seka dengan jari.  Abang mengusap bahuku dengan lembut.


“Tapi sorry Adik, Abang tak percayakan Muaz.   He hurt you when he got engaged to Naurah and I am sure he hurt you even more now with the things he said.”


Abang menggelengkan kepala dan mengangkat bahu sambil bercekak pinggang.  Aku mengangguk, mengiyakan kata-kata Abang.  Benar hatiku terluka bila dia bertunang dengan Naurah dan kini lebih terluka di saat Muaz melafazkan kata cinta yang sudah terlewat.  Sudahlah hati terluka, dimarahi pula oleh Mama dan Kak Rina.


 “Entahlah Abang, hati Adik berbelah bagi sekarang.  Adik dah berjaya terima hakikat dia bukan milik adik.  Tapi bila Adik tau dia tak cintakan Naurah, Adik rasa Adik berhak dapatkan semula cinta itu.  Dia sendiri yakin dia tak akan bahagia dengan Naurah.”


Perbualan kami terhenti kerana kereta Mama masuk ke perkarangan rumah inap.  Mama keluar daripada kereta dan berjalan ke arah kami.  Saat ini aku rasa seperti hendak lari dari sini.  Aku amat berkecil hati dengan Mama, hingga rasa tidak mahu berjumpa dengan Mama.  Terus aku berjalan menuju ke anak sungai.  Laungan Abang tidak aku hiraukan.


Agak lama kemudian, Abang datang memanggilku.  Aku membatukan diri, langsung tidak berkalih ke arah Abang, berpeluk tubuh sambil tetap memandang ke arah anak sungai.


“Adik, Mama dah datang. Jom jumpa Mama.”


Aku tetap membatukan diri.


“Adik, tak baik macam ni.  Abang tau Adik merajuk dengan Mama, tapi takkan sampai tak mau jumpa Mama.   Cuba Adik fikir berapa jauh Mama datang, mengharung perjalanan berjam-jam.  Adik tak kasihankan Mama?”


Hati tersentuh mendengar kata-kata Abang, tetapi kedegilan membuatkan aku tidak berganjak.


“Mama nampak penat.  Dia risaukan Adik.  Jomlah jumpa Mama.  Kalau Adik marahkan Mama sekali pun, jumpalah Mama sekejap.  Kalau Adik tak nak cakap dengan Mama pun, sekurang-kurangnya Mama boleh balik dengan hati yang lega kerana dia tau Adik selamat.”


Aku berpusing memandang Abang.  Tumpah airmataku dengan pujukan Abang.  Abang sama macam Papa, pandai memujuk aku.  Tidak seperti Mama yang keras dengan anak-anaknya.  Akhirnya dengan langkah berat aku berjalan bersama Abang balik semula ke rumah inap, tapi Mama tiada di situ.  Kata Abang Mama menunggu di rumah Naim.  Dengan langkah yang amat berat aku menuruti Abang ke rumah Naim.



No comments:

Post a Comment