Thursday 26 September 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 32

Assalam semua.

Akhirnya dapat disiapkan bab 32.  Ini adalah bab terakhir di blog.  Isma akan cuba siapkan cepat2 manuskrip untuk dihantar kepada penerbit.  Setakat ni belum ada penerbit yang menghubungi.  Doakan SKL mendapat perhatian penerbit ya.

Terima kasih di atas sokongan kalian.  Sesungguhnya jasa kalian tak dapat Isma balas.  Jika ada kesilapan di dalam penulisan Isma, tolong beri teguran dan tunjuk ajar dan maafkan ya.

Rangka cerita kedua dah dibuat, nanti Isma war-warkan di blog dan FB.

Once again, thank you for reading, thank you for your comment, thank you for sharing my story with your friends, family, etc.  Semoga Allah merahmati kalian. 

Harapan Isma agar SKL bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga memberi pengajaran kepada pembaca. 

Terima kasih sekali lagi, salam sayang dari Isma.


Bab 32 – Naim Zakaria

Permintaan itu sangat berat.  Tidak pasti sama ada aku mampu memenuhi permintaan Dato’ Wirda.  Kepada Emak dan Abah aku suarakan.  Kedua-dua mereka sepakat berkata aku harus penuhi permintaan itu.  Kata Abah aku yang tidak perasan sedangkan semua mata yang memandang dapat membaca perasaanku.  Kata Emak wajah aku dan wajah dia pernah muncul dalam mimpinya.  Namun mereka tidak memaksa, meyerahkan sepenuhnya kepadaku untuk membuat keputusan. 


“Saya tau permintaan ini terlalu berat, tapi saya yakin dengan Zack.” 


Kata Dato’ Wirda yang tiba kira-kira setengah jam tadi.  Melihat wajahnya yang sugul, timbul rasa simpati.  Garang, tegas, tidak berkompromi atau apa sekali pun tanggapan Izureen terhadap mamanya, aku yakin Dato’ Wirda sangat sayang dan mengambil berat akan Izureen. 


“Saya perlu lindungi anak saya, jaga hati anak tiri saya, dan jaga perniagaan saya.  Antara tiga sebab ini, yang paling penting ialah melindungi Izureen. Saya yakin Zack boleh lindungi Reen. ”


“Kenapa saya?”  Aku mahukan penjelasan. 


Dato’ Wirda dan Izelan saling berpandangan.  Mak dan Abah memandang Dato’ Wirda, aku kira mereka juga pasti ingin tahu. 


“Zack, aku kenal kau sejak zaman sekolah.  Aku yakin kau boleh jaga adik aku.” 


Izelan yang terlebih dahulu menjawab.  Dia yakin aku boleh menjaga Izureen?  Tahukah dia bahawa Izureen tidak sukakan aku?  Satu keluhan kecil aku lepaskan.  Mata beralih pula ke arah Dato’ Wirda.  Aku lebih berminat dengan jawapan Dato’ Wirda sebenarnya kerana sebarang keputusan adalah keputusan Dato’ Wirda, Izelan sekadar menyokong.


“Kamu ada apa yang diperlukan oleh Izureen.” 


Pendek jawapan Dato’ Wirda, tetapi masih tidak menjawab soalanku.  Apa yang aku ada, dan apa yang Izureen perlukan?  Aku buntu.


“Izureen bagaimana, setuju kah dia?”  Abah bertanya


Sepi.  Tiada seorang pun yang bersuara.  Masing-masing bagaikan sedang berfikir. 


“Lan, panggil Adik.”  Dato’ Wirda menyuruh, memecahkan kebisuan di antara kami.  Izelan keluar.  Saat ini dadaku semakin kencang berdegup. 


Agak lama Izelan pergi.  Bila dia tiba semula ke rumah, tangannya memimpin Izureen masuk ke dalam.  Wajah Izureen masam mencuka.  Masuk saja ke rumah dia berjalan ke arah emak dan duduk di sebelah emak.  Rajuknya belum hilang, Mamanya tidak dihiraukan.


“Izureen” Dato’ Wirda memanggil namun Izureen buat-buat tidak dengar.


“Adik,” panggil Dato’ Wirda lagi.  Kali ini dengan nada yang lebih lembut.  Namun gadis degil itu tetap membatukan dirinya.


“Reen, kan Mama Reen panggil tu.  Berdosa tau sengaja tak menjawab panggilan Mama.”


Emak cuba memujuk.  Izureen mengangkat mukanya, titis-titis air jernih meluncur di atas pipi mulusnya. Emak rangkul bahu Izureen.


“Tak apalah kalau Reen marahkan Mama.  But  I have to do what I have to do.”


Kata Dato’ Wirda.  Aku akui Dato’Wirda sangat tegas orangnya.  Nada suaranya ketika menuturkan ayat itu kedengaran sangat tidak berkompromi.  Izureen pula tetap membatukan dirinya.  Tangannya menyapu airmata yang membasahi pipi.  Matanya masih tertancap ke lantai.  Mataku seperti tidak mahu berkalih dari memandangnya.  Terasa ingin duduk di sebelahnya, menggenggam tangannya dan mengesat airmatanya.  Hati merasa sakit melihat dia bersedih.  Mungkin benar kata emak dan abah, selama ini perasaan itu ada, cuma aku yang tidak perasan.


“Adik, Mama tak mahu Adik ada sebarang hubungan dengan Muaz lagi.  Terimalah hakikat dia bukan jodoh Adik.  Mama dah telefon Datin Jemilah sebelum datang ke sini dan bagi tau dia jangan risau, Adik tak akan ganggu perkahwinan Muaz sebab...”


Ayat Dato’ Wirda tergantung di situ.  Dia kelihatan sedikit gugup.  Selendang di kepalanya dibetulkan kedudukannya.  Izureen pula masih membatu.  Tiada sebarang reaksi di wajahnya.  Izelan bangun dari sofa dan menuju ke arah Dato’ Wirda.  Dia duduk di sebelah Mamanya.  Tangannya merangkul bahu Mamanya dan mengusap lembut lengan Mamanya.


“Mama dan Izelan dah buat keputusan… hujung minggu ni Adik akan kahwin…”  akhirnya ayat yang terputus disambung tetapi masih juga tergantung.


Pantas Izureen mengangkat kepala.  Wajah mamanya direnung lama.  Kemudian dia menundukkan kepalanya semula dan mengesat airmatanya.


“Dengan Zack.” 


Semua orang di dalam ruang tamu rumahku diam.  Senyap, terlalu senyap hinggakan jika ada pin jatuh pun boleh didengari.  Aku pandang Izureen, dia pula memandang Mamanya, kemudian beralih ke arah Izelan.  Akhirnya singgah ke wajahku.  Matanya melekat di wajahku seketika, sebelum dia menjeling.


“Mama!”  Izureen menjerit.  Kedua tangannya dibawa ke muka.  Mulutnya ditangkup dan esakannya bermula.  Emak memaut bahu Izureen dan memujuknya.


“Maafkan Mama, tapi keputusan ini muktamad.  Itulah yang terbaik, agar Muaz tak ganggu Adik lagi.”


**********


“Kau rasa tindakan aku salah?”  aku bertanya kepada Haziq. 


Selepas Asar tadi Haziq sampai, menghantarkan motorsikalku yang terpaksa aku tinggalkan kerana aku pulang ke rumah menaiki kereta Izureen. Selepas menghantar Fina menggunakan van Abah, aku tiba dari KL menjelang waktu solat Jumaat.  Mujurlah ada Haziq yang tidak berkira masa, wang dan tenaga.  Dia tidak kisah datang menunggang motorsikalku dan balik nanti menaiki bas.    


Haziq menghirup kopi yang emak hidangkan.  Kami duduk di pangkin berdekatan rumah inap.  Selepas dimaklumkan Dato’ Wirda tadi, Izureen terus-terusan menangis dan hanya senyap selepas emak memujuknya. 


“Ada salah dan ada betulnya.” 


Haziq meneguk kopi lagi.  Membiarkan aku tertanya-tanya apakah yang akan diucapkan olehnya.


“Betul kalau kau yakin dengan perasaan kau.  Hanya kau yang tahu perasaan kau terhadap dia.  Salah kalau keputusan ini kau buat dengan tergesa-gesa.”


Haziq memandang kepadaku, seolah-olah mahukan aku memberi penjelasan tentang keputusan aku memenuhi permintaan Dato’ Wirda agar mengambil Izureen sebagai isteriku.  Tetapi tadi ketika aku ceritakan kepada Haziq dia tidak kelihatan terkejut.  Seolah-olah dia dapat menjangka aku telah menerima permintaan Dato’ Wirda.


“Bila kau mula sedar kau dah jatuh cinta?”  soal Haziq.


“Aku tak pasti.  May be selepas berjumpa di Villa Mahabbah.  Sebelum dia balik aku pesan call aku bila sampai.  Dia tak call.  Aku risau sampai tak tidur malam tu.  Tapi aku masih tak perasan... sampai selepas jumpa Ratna.”


“Kau bukan tak perasan, kau takut sebenarnya nak mengakui kau dah jatuh cinta.  Bila pulak kau jumpa Rat?”    


Sebetulnya aku belum sempat bercerita tentang kedatangan Ratna kerana selepas menghadiri kenduri di sini Haziq dua minggu lepas membawa ibu bapanya mengerjakan umrah.


She came here two weekends ago, tak lama lepas korang balik.  Depan Mak dan Abah dia mengaku dia sekadar mahu terus menjadi kawan.  Dia kata tak mungkin dia balik kepada aku sebab dia dah melukakan hati aku dan keluarga aku.  Rat minta maaf pada aku, mak dan abah.”


Haziq kelihatan semakin seronok mendengar ceritaku.


“Sebelum balik dia kata aku nampak macam sedang merindui seseorang.  Aku nafikan tapi kata Rat aku tak boleh tipu dia sebab dia boleh baca setiap riak wajah aku.”


Jeda seketika.  Fikiranku mengimbas kembali detik kedatangan Ratna ke sini.  Betapa aku dingin menyambut kedatangannya, tetapi emak yang sentiasa berhemah dan berbudi bahasa mempelawa Ratna ke rumah.  Akhirnya segala persoalan tentang Ratna terungkai.  Aku bersalah menyimpan prasangka buruk terhadapnya. 



“Sebelum balik Rat pesan kalau aku sudah jumpa cinta yang baru, teruskanlah dan jangan jadikan pengalaman pahit bersama dia penghalang untuk kebahagiaan yang baru.” 


Air kopi di depan mata aku hirup seteguk.  Aku menarik nafas dalam-dalam.


 “Selepas Rat balik, kata-katanya terngiang-ngiang di telinga aku.  Wajah Izureen datang, terbayang-bayang wajah manisnya bertudung biru semasa kenduri.  Yang paling aku ingat wajah dia ketika kali pertama datang ke sini.  Wajah sedih yang membuatkan aku mahu mengenalinya.”


Haziq memandang aku dengan penuh minat dan sabar menunggu aku meneruskan cerita.  Inilah kali pertama aku berterus terang tentang Izureen kepada sahabat karibku.    


“Bila tengok dia bersedih, aku turut bersedih.  Bila dia ketawa, aku gembira.  Bila dia dingin tak mahu layan aku, aku rasa tercabar dan semakin mahu berkawan dengannya.  Malam tadi aku bincang dengan mak dan abah.  Rupa-rupanya selama ni mak dan abah perasan ada perubahan dalam diri aku.”


Haziq tersenyum lebar sambil memandang ke arahku.


“Kan aku pernah cakap sebelum ni, kau dah jatuh cinta dengan Izureen, tapi kau tak percaya.  Kami semua nampak, kau saja yang tak mahu mengaku.”


Jeda, namun dalam hati membenarkan kata-kata Haziq.


“Tapi cabaran kau besar Zack,  kau sedia maklum penerimaan dia terhadap kau.  Aku rasa sebenarnya dia pun sukakan kau.  Cuma…”


Perbualan kami terganggu apabila pintu rumah inap kedengaran dihempas kuat.  Izureen berjalan pantas menuju anak sungai, diikuti oleh Izelan.


“Adik!”  Izelan mengejar sambil menengkingnya.  Dato’ Wirda sudah muncul di muka pintu.  Izureen berhenti, betul-betul di hadapan aku dan Haziq.  Namun dia tidak memperdulikan kami.  Sebaliknya dia menjerit ke arah Izelan.


“Mama, Abang, Kak Rina semuanya sama!  Semua tak sayang adik.  Semua pentingkan diri sendiri!”


Tidak pernah aku melihat Izureen semarah ini.  Sebelum ini ketika marahkan aku, wajahnya tidak seteruk sekarang.  Mukanya merah dan sembap.  Matanya basah.  Suaranya sudah menjadi serak.  Izelan juga kelihatan sangat marah.  Setahu aku Izelan sangat sayangkan Izureen.  Tetapi raut wajah Izelan yang kelihatan sangat tegang membayangkan dia terlalu marah dengan Izureen. 


Izelan sudah berdiri di hadapan Izureen.  Matanya merenung tajam ke wajah Izureen.  Dato’ Wirda mendekati mereka berdua.


Please be matured Izureen!  Stop blaming others.  Kami buat ni untuk kebaikan Adik.”  Kata Izelan dengan nada suara yang keras.


“Untuk kebaikan Adik konon.”  Izureen mencebik.  Suaranya keras.


“Mama tak mau kontrak dengan Datin Jemilah batal.  Kak Rina takut dimarahi dan dipulaukan oleh keluarga Datin Jemilah.  Abang....” 


Izureen diam seketika, matanya membulat memandang Izelan.


“Mengaku sajalah... Abang setuju dengan Mama supaya Abang boleh kahwin dengan girlfriend Abang, kan?  Abang memang dah tak sabar nak kahwin, tapi tak boleh sebab syarat mama tu.  Kalau Adik dah kahwin, lepas ni Abang dah boleh kan?”


Gadis lembut bernama Izureen yang sudah mendapat tempat di sudut hatiku bercakap dengan nada keras kepada Abangnya.  Tangannya sudah mencekak pinggang.  Izelan pula mengetap bibir sambil matanya memandang Izureen dengan penuh kemarahan.


“All of you have your own interests behind this decision.  Kononnya untuk kebaikan Adik!  Mama dengan Abang... sama-sama...penipu!”


“Adik!  Sejak bila Adik pandai kurang ajar?”  Izelan menengking dengan lebih kuat.  Kakinya melangkah setapak mendekati Izureen.  Tangannya diangkat, mahu menampar Izureen.


“Lan!”  aku bingkas bangun dan menangkap tangan Izelan, menyelamatkan pipi Izureen dari dilempang Izelan.


Tangan Izelan terketar-ketar, rahangnya bergerak-gerak menahan marah.  Dato’ Wirda yang berdiri di belakang Izelan sudah bercucuran airmatanya, berdiri mencekak pinggang sambil sebelah tangannya memegang dahi.  Izureen kaku, membuang pandangan kosong sambil mengetap bibirnya.  Haziq turut berdiri.  Dari arah rumahku emak dan abah berlari-lari mendekati kami. 


“Adik, kami semua sayangkan Adik.”


Dato’ Wirda berkata dengan lembut disulami esakan.  Wanita korporat yang tegas sudah bertukar nada menjadi seorang ibu yang penyayang.  Dato’ Wirda mara beberapa tapak mendekati Izureen. 


“Mama!”  jerit Izureen.


Dato’ Wirda rebah!  Mujur sempat ditangkap oleh Haziq.



No comments:

Post a Comment