Sunday 28 June 2015

AKU DAN 1B3K BAB 14

Assalam.  Maaf kerana lama membiarkan kisah Fina dan Rifqi tergantung.  Saya tersangat sibuk.
Selamat berpuasa dan menjalani ibadah di bulan Ramadhan.

Jemput baca dan jangan lupa komen ya. :)




BAB 14


Hujung minggu yang memenatkan sudah berakhir.  Naani dan Thia sudah selamat menjadi suami isteri.  Aku tumpang bahagia bila kawan baik aku kahwin dengan kawan rapat aku.  Selain daripada Thia, aku ada seorang lagi kawan rapat iaitu Zila.  Kami bertiga adalah teman sekuliah dan satu geng.  Zila pun sudah berkahwin.  Maknanya dalam geng kami aku sajalah yang masih solo. 

Solo ke, duet ke, trio ke, hidup harus diteruskan.  Meneruskan hidup bermakna kenalah menghadap wajah kacak Bos 1B3K dan melayan kerenah bengkeng, kerek dan kurang ajarnya untuk minggu yang kedua.  Ini juga bermakna kalau aku nak buat dia suka perempuan bertudung, masa aku tinggal tiga minggu saja.

Usai solat Subuh aku telefon emak sambil terlentang atas katil.  Masa itu emak pun baru habis solat Subuh.  Abah belum balik dari surau.  Kami berbual-bual kosong.  Aku sekadar mahu bertanya khabar dan melepaskan rindu kepada emak.  Sudah lama aku tidak balik kampung.  Hujung minggu ini pun tak dapat balik sebab ada majlis persandingan di sebelah Naani.

Emak beritahu aku satu perkara yang mengejutkan.  Emak kata Nafiz singgah di rumah emak semasa dalam perjalanan balik kampung.   Nafiz tidak bagi tahu pun dia hendak singgah.  Tapi mengenali Nafiz yang pendiam, aku tidak hairan.  Yang menghairankan ialah bila emak tanya bagaimana hubungan aku dengan Nafiz.

            “Orang kawan saja dengan dia mak.” 

“Dah lama kenal masih setakat kawan saja?  Itulah masalah kamu, ada lelaki yang baik semuanya kawan saja.  Budak Azwan tu pun baik, dah jadi laki orang.  Yang hendakkan kamu lelaki yang tak semenggah saja.”  Kalau orang lain mesti sudah rasa kecil hati dengan kata-kata emak.  Tapi aku tahu emak sebenarnya sengaja memprovok aku.  Aku sikit pun tak sedih.  Sebaliknya aku sengeh lebar-lebar walaupun emak tak mungkin nampak sengehan aku. 

Aku tukar topik perbualan.  Kami bersembang dekat sepuluh minit sebelum aku minta diri sebab sudah sampai waktu aku turun bersarapan dengan mama sebelum pergi kerja.  Seperti biasa, akulah orang yang terawal sampai di Pejabat CEO.  Kak Razia biasanya sampai tepat-tepat atau hampir-hampir jam lapan setengah.  Ketika aku sedang menyemak temujanji, mesyuarat dan urusan sepanjang minggu ini untuk Datin dan Bos 1B3K, seorang perempuan bertudung datang dan memberi salam sambil tersenyum manis.  Aku jawab salam sambil angkat kepala.  Lepas tu aku pejam celikkan mata dua tiga kali.  Macam tak percaya dengan apa yang aku nampak.

“Eh, Kak Razia ke ni?”

“Yalah.  Takkan Ifa Raziah pulak.”

“Alhamdulilah!  Bila start?”

“Hari Jumaat lepas dah start pakai.  Malam Jumaat tu akak baca Yaasin.  Lepas habis baca tiba-tiba akak rasa sayu, rasa macam akak dah buat satu dosa yang sangat besar. Bahu akak rasa berat. Akak menangis tersedu-sedu atas sejadah.  Lepas menangis, macam ada yang menggerakkan hati akak untuk buka almari, ambil tudung dan pakai.  Akak tengok wajah akak kat cermin.  Akak rasa tenang.”  Kak Razia bercerita.  Aku sudah pun berdiri di sisi mejanya. 

“Esok pagi, macam biasalah, pagi sabtu akak dengan Abang Li bawa anak-anak sarapan kat luar.  Masa bersiap nak keluar tu secara spontan tangan capai tudung.” 

“Tahniah kak.  Saya tumpang gembira, akak dah berhijab.  Akak dan memenuhi tuntutan agama yang diwajibkan ke atas muslimah yang sudah akil baligh.”

“Itulah, akak pun bersyukur.  Tak tau macam mana nak kata, akak rasa lain sangatlah bila dah pakai tudung.  Walaupun baru empat hari, akak rasa selesa, selamat, tenang.”

“Dan Kak Razia cantik sangaaaaat.”  Aku pegang bahu Kak Razia.  Dia tersenyum sambil mengucapkan syukur.

“Apa khabar bos kesayangan kita kak?”  Aku menyoal sambil berjalan balik ke mejaku. 

            “Ish teruk.  Mood dia bukan ke laut, akak rasa sampai ke dasar bumi tercampaknya mood baik dia.  Habis semua orang kena marah.  Kak Biah yang tak ada kena mengena pun ditengkingnya.  Sampai tumpah kopi kat situ.  Mood dia baik sekejap saja, masa Azira datang.” 

Aku memandang ke arah lantai, mengikut tundingan jari Kak Razia.  Nampak ada kesan tompokan di atas karpet sebelum pintu masuk pejabat Bos 1B3K. 

            “Pagi tu angin dia tak baik bila Kak ingatkan dia yang Fina bercuti.  Tengahari tu, bila Azira datang, terus angin puting beliung dia bertukar jadi angin sepoi-sepoi bahasa.  Azira bawakan nasi beriani untuk bos dan mereka makan bersama dalam pejabat bos.  Lepas Azira balik, tukar semula jadi ribut.  Azira tu bukan setakat nak jadi interior designer untuk Sri Selangor, tapi nak pikat Encik Rifqi sekali.”  Dengan bersemangat Kak Razia bercerita.  Aku sekadar mendengar.  Tiga minggu lagi dan selepas itu aku tidak perlu ambil tahu tentang dia.

Pukul sembilan pagi Bos 1B3K masuk dengan muka ketat.  Datin tidak ada bersamanya.  Seperti biasa dia tidak jawab salam aku dan sapaan ‘Good morning Encik Rifqi’ dari Kak Razia.  Tapi sebelum dia pulas tombol pintu pejabatnya, dia berpusing ke arah Kak Razia.  Lepas itu dia pandang aku, pandang Kak Razia semula dan dengan sinis dia berkata “kau orang ni tak panas ke pakai kelubung?”  Aduhai, pagi-pagi sudah bikin hati orang panas.

“Dia kata kita pakai kelubung!”  Kata Kak Razia.  Pintu bilik Bos 1B3K sudah ditutup dari dalam.  Muka Kak Razia sudah bertukar jadi merah. 

“Biarlah dia nak kata apa pun Kak.  Yang penting apa yang kita buat, Allah suka.  Kita doakan saja Allah terbalikkan hati dia.  Mana tau esok-esok dia jatuh cinta dengan gadis yang pakai tudung?  Masa tu dia akan sedar tanggapan dia terhadap perempuan yang bertudung salah.  Sekarang dia ingat semua perempuan yang bertudung, macam kita ni hipokrit.  Entah-entah nanti bila dia nak kahwin, dia cari yang pakai tudung.”  Aku cuba menenangkan Kak Razia.

“Wah Fina, pandainya bercakap.  Ada pasang impian ke, bos jatuh cinta dengan kau?”

“Ish, tak adalah kak.  Apa akak ni merepek pagi-pagi?  Saya kalau nak cari suami, nak cari yang baik-baik.  Yang rajin solat, pandai mengaji, boleh jadi imam solat untuk saya dan anak-anak.  Tiap-tiap malam dia kejutkan saya bangun tahajjud.  Lepas tu setiap hari Isnin dan Khamis kita puasa sunat sama-sama.  Malam Jumaat kita ngaji sama-sama.  Mesti best!”

“Amboi besarnya impian kau.  Kalau nak tahajjud, puasa sunat, mengaji, tak payah tunggu ada suamilah!”  Kak Razia menempelak aku.

“Memanglah kak, tapi kalau buat bersama dengan suami lagi best.  Saya percaya lelaki yang rajin beribadah adalah lelaki yang romantik.”  Aku mempertahankan pendapat aku.  Pendapat yang aku percaya sejak zaman aku di universiti.  Aku banyak kali nampak di kampus dulu lelaki berjubah dan berkopiah jalan berpegangan tangan dengan pasangannya yang berjubah dan bertudung.  Mereka masih pelajar universiti tapi sudah berumahtangga.  Kadang-kadang si suami menunggu si isteri.  Sekali-sekala si isteri menunggu si suami.  Seronok tengok couple yang macam tu.  Alahai, sweetnya.

Tiba-tiba ada suara lelaki berdehem.  Eh, bila pulak Bos 1B3K berdiri depan pintu biliknya? Dia merenung tajam ke arahku.  Terus menghilang dari minda bayangan aku dan Nafiz berjalan berpegangan tangan di atas sebuah padang yang menghijau.  Kacau daunlah si 1B3K ni!

“Kopi aku mana?”  Sebaris ayat ditanyakan dengan nada suara yang sungguh tidak mesra telinga.




“Ini laporan daripada Jabatan IT.  Yang lain-lain ni dokumen untuk bos tandatangani.  Saya nak ingatkan saja mulai minggu ini bos kena melawat semua resort milik Duta Holidays.  Esok ke Bagan Lalang, Rabu ke Melaka, Khamis pagi ke Kuantan dan Isnin depan ke Ipoh.”  Aku katakan kepadanya sambil meletakkan mug berisi kopi, fail dari Jabatan IT dan dokumen-dokumen lain di hadapannya.

“Kau dah bagi tau pengurus di setiap resort kita tentang lawatan aku?”

“Saya baru maklumkan kepada Mr Selvam di Bagan Lalang.  Yang lain, belum.”

Don’t tell them.  I want to do spot checks on them.”

Aku mengangguk sambil mencatat apa yang perlu. 

“Hari Sabtu ni majlis persandingan Azwan.  Saya nak ingatkan bos untuk bawa Datin dan Dato’ ke majlis tu.  Bos belum belikan hadiah untuk Azwan.  Biasanya syarikat akan beri wang tunai RM500.”

Nasib baiklah Kak Razia beritahu aku minggu lepas, kalau tidak aku langsung tidak tahu yang hal-hal hadiah kahwin untuk pekerja pun PA kena ingatkan bos.  Kata Kak Razia, sebelum-sebelum ni bila ada kakitangan yang melangsungkan perkahwinan Dato’ dan Datin akan bagi wang dan minta Naani belikan hadiah.  Naani pula mengagihkan tugas membeli hadiah itu kepada dia.  Dan Kak Razia dengan senang hati menjalankan tugas itu sebab dapatlah dia membeli belah di waktu pejabat.

“Datin macam mana bos?  Masih tak sihat?”  Aku tanya soalan itu bila dia tidak bagi sebarang reaksi pasal hadiah untuk Naani.  Walaupun aku cuti hari Jumaat lepas, aku dapat whatsapp dari Kak Razia yang memaklumkan aku bahawa Datin tidak masuk pejabat sebab tekanan darahnya naik.

Dia tidak jawab soalan aku.  Sebaliknya dia bersandar dan mendongakkan kepalanya.  Matanya dipejamkan.  Dia tarik nafas panjang sebelum melepaskan nafasnya dengan keras.  Eh, apahal pulak dia ni?  Aku tidak tahu apa nak buat.

“Bos, are you okay?”  Akhirnya aku tanya.  Risau juga sebab sudah agak lama dia pejamkan mata sambil mendongak. 

Bos 1B3K membuka matanya.  “I am not okay.” Katanya dalam keadaan kepalanya masih didongakkan.  Tiba-tiba dada aku berdebar.  Seriuskah masalah kesihatan Datin?

“Tekanan darah mummy dah stabil hujung minggu lepas… tapi malam tadi… naik balik.  Daddy pula buat perangai.  Dia tak mau makan.  Kalau dia tak makan macam mana nak bagi ubat?”  Dia melepaskan keluhan sebelum bersandar seperti biasa.

“Aku seorang kat sini, mana nak uruskan syarikat, nak jaga mummy dan daddy lagi.  Angah ada di Bandung sekarang, Kak Long sibuk dengan urusan keluarga dia di Alor Setar.”  Dia nampak sedih dan risau.  Tidak ada lagi wajah bengis dan sombong yang biasa aku lihat.  Bos 1B3K bangun dan berdiri mengadap tingkap.

“Bos kena pujuk Dato’.  Pujuklah dia baik-baik.  Kita kena ingat bos, walau sehebat mana pun kita, betapa berjayanya kita, selagi mak bapak kita masih hidup… kita kena berbakti kepada mereka.  Apa guna jadi orang kaya, successful, hebat tapi… hubungan dengan orang tua kita tak elok.  Itu maknanya kita belum berjaya.”

Macam terngiang-ngiang di telinga suara emak memberi nasihat dan kata-kata yang aku ucapkan kepada Bos 1B3K sebenarnya adalah apa yang emak pesan kepada aku, Along dan Kak Ngah masa kami remaja dulu.  Masa itu aku baru habis peperiksaan PMR.  Emak pesan begitu selepas kami usai bersalam dan minta ampun kepada emak dan abah di pagi raya.

“Satu lagi bos, carilah punca kenapa tekanan darah tinggi Datin naik.  Kalau sebab makanan, bos boleh pesan kat bibik masak makanan yang sesuai dengan keadaan kesihatan Datin.  Kalau sebab stress, kenalah tolong Datin kurangkan stress tu.  Kalau stress sebab hal pejabat, bos handlelah hal-hal pejabat dan biar Datin berehat.  Saya akan tolong bos.  Tapi kalau punca stress tu berkaitan dengan hal bos dengan pelakon tu….”

Sengaja aku tidak habiskan ayat.  Mesti dia faham maksud aku.  Aku agak mesti ada lagi gosip pasal Bos 1B3K dan pelakon tak cukup kain tu.  Atau pun mungkin ada perbalahan lagi antara Bos 1B3K dan Datin. 

Bos 1B3K berpaling.  Tangannya masih mencekak pinggang.  Wajahnya masih beriak sayu. Dia bertanya “kau fikir akulah punca mummy stress?”

Aku yakin Datin tertekan dengan perangai Bos 1B3K sebab itu yang pernah Datin luahkan kepadaku.  Datin malu dengan kenalan dan saudara mara setiap kali gosip mengenai Bos 1B3K dengan pelakon disiarkan di suratkhabar atau internet.  Tapi Datin juga bersimpati dengan nasib anak bongsunya yang pernah dikecewakan oleh gadis yang amat dicintainya.  Atas sebab itu Datin agak berlembut dengan Bos 1B3K, kecuali apabila beliau benar-benar sudah tidak tahan dengan kerenah anaknya. 

Tapi bila memandang wajah Bos 1B3K yang sayu, mulut becok aku tiba-tiba jadi sunyi.  Aku rasa cukuplah dengan apa yang aku sudah katakan, jadi aku pun berdiri untuk keluar dari bilik Bos.

Wait.  Sit down.”

Aku duduk semula.

“Jawab soalan aku tadi.”  Walaupun wajah dia sayu, suara dia tegas dengan gaya seorang bos memberi arahan kepada orang bawahannya.

“Err… saya…”

Speak your mind.”

Dia suruh aku berterus terang.  Boleh ke?  Nanti jangan pula selepas aku berterus terang dia tengking aku.  Aku tak suka orang cakap kasar dengan suara menengking kepada aku.  Dalam banyak-banyak lelaki yang aku kenal, Bos 1B3K inilah lelaki yang paling banyak mengherdik aku.  Walhal baru masuk minggu kedua aku jadi PA sementara dia.

“Fina.”  Dia panggil aku dengan suara bernada keras.  Wajahnya masih keruh.

“Ya.  Datin ada cakap dia stress bila ada cerita pasal bos dengan pelakon tu keluar di media.”  Akhirnya aku berterus terang juga.  Kebenaran itu pahit, tapi ubat juga pahit.  Untuk kebaikan dia aku harus berterus terang.

“Datin juga risau bila bos selalu keluar, habiskan masa bersosial dengan kawan-kawan dan Datin sedih sebab bos… bos tak solat.”

Aku rasa adalah satu perkara yang memalukan apabila terpaksa memberitahu seorang lelaki Islam yang berusia 32 tahun tentang dosa meninggalkan solat.  Pastinya dia tahu bagi orang Islam solat itu wajib dan ibadat pertama yang akan disoal oleh malaikat nanti ialah ibadat solat.

Dia berpaling semula ke arah dinding kaca dan memandang ke luar.  Lama dia bermenung.  Aku yang menunggu sudah naik rimas.  Aku berdiri.

“Bos, kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu.”  Aku katakan kepadanya yang sekarang berdiri memeluk tubuh sambil memandang ke arah dinding kaca jernih.
 
            Tidak lama selepas aku kembali ke mejaku, telefon aku berbunyi.  Dato’ Richard Yeoh di hujung talian.  Naani ada bagi tahu Dato’ Richard Yeoh rapat dengan Dato’ Ibrahim tapi Bos 1B3K tidak berapa suka Dato’ Richard.  Apa masalah Bos ni, ada saja orang yang dia tidak suka?  Selepas meletakkan ganggang telefon aku masuk semula ke bilik Bos.

            “Bos, maaf ganggu.”

            Dia sedang khusyuk membaca dokumen depan matanya.  Aku nampak banyak contengan atas kertas tu.  Agaknya selepas ini Ketua Jabatan IT pula kena belasah dengan Bos 1B3K.  Aku capai beberapa dokumen yang dia sudah tandatangani.

            “Dato’ Richard telefon tadi.  Dia tanyakan khabar Dato’.  Saya beritahu Dato’ tak berapa sihat.  Dato’ Richard kata nanti-nanti bila dia free, dia akan melawat Dato’.  Dia juga kata bos dah lama tak main golf.”

            “Dia nak ajak aku main golf ke?”

            “Not really.  Dia cuma cakap dah lama tak main golf sama Rifqi.”  Aku cuba mengajuk gaya Dato’ Richard bercakap.

            “Aku tak minat main golf.  Selama ni aku main sebab temankan daddy.”

            Bos 1B3K mengeluh.  Di wajah dia masih ada riak kesedihan.  Walau pun aku simpati dengan keadaan dia, aku suka juga bila dia bersedih sebab dia tak bengkeng.

            “Selama ni… apa yang aku buat… hanya untuk gembirakan hati orang lain.  Hati aku…”

            Suara dia perlahan.  Dia pusingkan kerusi ke arah dinding kaca.  Kemudian dia bangun dan berdiri tepi dinding kaca itu.  Aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan atau katakan kepadanya.  Aku malas hendak tahu masalah dia.  Jadi aku palingkan tubuh dan berjalan ke arah pintu.

            “Fina.”

            Aku berhenti melangkah dan pusingkan tubuh mengadap Bos. 

            “Tengahari nanti ikut aku pergi lunch.”


            Lunch dengan dia?  Boleh tak aku kata ‘tak nak’?