Monday 18 November 2013

LELAKI MACAM AWAK

Assalam dan hai semua.  Dalam sibuk2 nak siapkan SKL dan nak sambung JGBH, tetiba datang satu idea.  Kuat sangat idea ni menyakat, sampai jari2 tak tahan.  Nak dialihkan juga dari peti minda ke peti komputer.  So kita take a break sekejap dari JGBH dan teaser SKL yang dijanjikan tu terpaksa dipostponekan.

Kita layan dulu LELAKI MACAM AWAK ya.  Nak cepat siap, jadilah dia dalam versi cerpen.
Semoga menghiburkan kalian.

SKL pula, InsyaAllah, akan dihantar ke penerbit untuk dinilai dalam minggu depan.  Doa2kan SKL diterima ya.


LELAKI MACAM AWAK

 
“Orang kata jatuh cinta itu manis, putus cinta pula pahit.  Saya belum pernah bercinta.  Awak?”
 

Terserlah kenaifannya bila Mila ajukan soalan itu kepada Ari.  Wajah tembam Ari yang kemerah-merahan disinari cahaya matahari itu kelihatan comel di matanya.  Teringin rasanya nak tarik pipi tembam Ari.  Tapi kalau mahu tarik pipinya, cermin mata tebal yang melekat atas batang hidung Ari yang mancung itu perlu dikalihkan dulu.


 “Ari,” lengan Ari disikunya.  Orang tanya dia buat bodoh pula, desis Mila dalam hati.
 “Saya pun belum pernah bercinta.”
 “Agak-agaknya seronok tak bercinta?”  Satu lagi soalan naïf keluar dari bibir comel Mila.
 “Tak taulah.”  Pendek jawapan Ari.  Memang betullah tu, dia memang tidak tahu kerana dia memang belum pernah bercinta.  Senyap, masing-masing melayan fikiran.  Sudah letih berfikir Ari bersuara “kalau awak bercinta nanti, awak nak bercinta dengan siapa?”


“Dengan lelakilah.  Saya bukan lesbian.”
 
 
Ari tersengeh.  Tapi kasar macam jantan, diucapkan dalam hati saja.  Kalau dikeluarkan dari mulut, mau kena lepuk dengan Mila nanti.
 
“Saya taulah.  Maksud saya dengan lelaki macam mana awak nak bercinta?”
 
Tanpa ragu-ragu Mila menjawab “dengan lelaki macam awak.”
 
 
Ari terkedu.  Mata Mila di sebalik cermin mata bulat berbingkai plastik direnung dalam-dalam.  Dadanya bertukar irama, dari balada menjadi pop rock.   
 
“Kenapa nak lelaki macam saya?”
“Awak baik. Zaman sekarang susah nak jumpa lelaki yang baik.”
“Tapi saya tak lawa.  Saya gemuk, rabun, ada asma pulak tu.”
“Eleh, saya tak kisah semua tu.”
 
Ari ketawa.  Hatinya terhibur dengan jawapan Mila.  Saat tawanya reda, matanya menangkap mata Mila.  Mila pamer muka selamba.
 
“Saya ada satu cadangan.”
"Apa?” soal si gadis naïf.
“Memandangkan awak suka lelaki macam saya, apa kata awak bercinta sajalah dengan saya.”
 
Mila tersipu-sipu sebelum berkata “mana boleh.  Saya kan baru habis sekolah.  Saya tak boleh bercinta sekarang.”  Muka Ari pula serius.  Memang dia maksudkan apa yang diucapkan.  Dia suka Mila.  Nak sangat-sangat kalau Mila menjadi girlfriendnya.  Budak perempuan lain mana mahu berkawan dengan budak lelaki gemuk, bercermin mata tebal dan selalu termengah-mengah macam dia, waima dia anak orang kaya sekalipun.
 
“Kalau awak nak, tunggulah sampai saya habis belajar.”
 
Ari renung Mila.  Tajam pandangannya bagai menembusi jantung Mila.  Tanpa matanya berkalih dia berkata dengan yakin “saya akan tunggu awak.  Saya janji.”
 
Muka Mila masih dengan riak selamba.  Tidak ada rasa teruja, tidak ada juga rasa terharu.  “Tapi… awak kena tunggu lama sebab lepas dapat result SPM nanti, saya nak masuk universiti.  Lepas tu nak kerja.  Kurang-kurang pun awak kena tunggu empat ke lima tahun.”
 
 “Tak apa, saya sanggup tunggu.”  Kali ini muka Mila tidak selamba lagi.  Terpamer rasa kagum terhadap Ari di wajahnya. 
 
**********
 
Itu cerita sepuluh tahun lepas.  Ketika Mila berusia lapan belas tahun.  Masa itu dia sudah sebulan bekerja di Restoran Lesung sementara tunggu result SPM.  Ari pula baru dua bulan bekerja sebagai Junior Executive di sebuah syarikat swasta.    Entah di mana Ari sekarang.  Dalam tempoh sepuluh tahun sudah ramai lelaki yang dikenalinya.  Ada yang baik, ada yang miang, ada yang kedekut, ada yang baran… macam-macam ada.  Cuma yang belum dijumpai ialah lelaki macam Ari.  Hmm, aku saja yang sentiasa teringatkan dia.  Dia tentu dah lupakan aku.  Janji nak tunggu aku konon.  Dahlah, buang masa saja ingatkan dia.  Hati Mila berkata.
 
Pintu lif terbuka.  Lelaki di hadapannya berjalan terhincut-hincut.  Mila mahu cepat, tapi melihat si lelaki berjalan begitu, tidak sampai hati pula hendak memotong.  Dibiarkan lelaki itu masuk dahulu. Sebaik dia masuk, jari mahu menekan nombor lapan.  Lelaki itu juga menunding jari ke nombor lapan.  Dua jari hampir berlaga.  Mila menjeling ke atas, “sorry” katanya.  Jari dijatuhkan, biarkan saja lelaki dengkot itu menekan tingkat lapan.
 
“Staf baru ke?”  soal lelaki dengkut itu.  Gadis cantik bertudung ungu ditenung penuh tandatanya.  Aku belum pernah tengok dia, kata Hud dalam hati.
 
 “Ya.”
 
Macam pernah dengar suara dia.  Pernah ke aku jumpa dia sebelum ini?
 
"Which department?”
Legal.”
“Bila join?”
“Dah sebulan.”
 
Patutlah tak pernah nampak.  Hud dua minggu di Kuching, satu minggu bercuti di kampung dan satu minggu lagi di hospital kerana kecederaan di  bahagian lutut.  Walaupun lututnya sudah hampir sembuh, dia masih berdengkot bila berjalan.
 
“Siapa interview kau?”
 
Mak oi, gunalah perkataan awak ke, kamu ke, kan sopan sikit.  Hati bersuara sambil mata menjeling.
 
“Encik Izham Munif.”
 
Hud tersengeh.  Ijam kalau cari staff mesti nak yang lawa.  Bagus partner aku ni.
 
“Siapa nama kau?”
“Nurul.”
 
Ramai perempuan bernama Nurul.  Tapi tak sama dengan Nurul yang itu.  Di mana dia sekarang?  Tentu sudah berkahwin.  Perempuan cantik macam dia tentu ramai lelaki yang mahu.  Aku yang bodoh, mempersia-siakan dia.  Natijahnya sampai sekarang aku masih single.
 
“Encik ni siapa?”
 
Hud kembali ke realiti.  Wajah manis itu direnungnya lama-lama.  Si gadis pula membalas renungan, bagai tiada rasa segan langsung.  Hmm, dia pekerja baru.  Belum kenal siapa aku.  Kalau pekerja lain dah lama menikus.  Sanggup naik tangga daripada berkongsi lif dengan Encik Hud.
 
I’m Hud.”
Nice meeting you Encik Hud.”
 
Pintu lif terbuka.  Mila keluar mendahului lelaki bernama Hud.  Cukup lima langkah dia berhenti.  Tubuhnya dipalingkan menghadap Encik Hud yang berjalan terhincut-hincut.  Mila mara tiga langkah ke arah Encik Hud.
 
“Mari, saya pegangkan.”  Lengan Encik Hud dipaut.  Hud terkedu.  Wajah pekerja baru yang beriak selamba ditenung.  Si gadis tidak membalas pandang.  Dada Hud bagai gendang dipalu. 
 
“Cukup.  Saya boleh jalan sendiri,” kata Hud bila mereka sampai di kaunter penyambut tetamu.  Shila si penyambut tetamu belum masuk kerja.
 
OK, be careful,” tangan Encik Hud dilepaskan.  Mila menjeling sekilas kemudian bergerak ke kiri menuju mejanya.  Hud memandang sehinga pekerja baru itu menghilang di sebalik pintu kaca.  Kaki dihayun ke bahagian kanan pejabat, dengan hati penuh tandatanya.  Rasa seperti pernah dilihat wajah itu.
 
**********
 
“Masuk,” kata Hud sebaik sahaja pintu pejabatnya diketuk.  Kak Seha muncul di sebalik pintu.  Sambil tersenyum Kak Seha mendekati meja Hud.
 
“Ni fail yang Hud minta daripada Mr Wong.”
 
Tangan dihulur untuk menyambut fail daripada Nurseha, setiausaha Hud yang sudah lima tahun berkhidmat dengannya.  Dialah satu-satunya pekerja  di dalam syarikat perunding IT milik Hud Ansari dan Izham Munif yang memanggil Hud tanpa gelaran encik.  Dia jugalah yang banyak mengetahui rahsia peribadi Hud.  Mereka akrab, hinggakan Hud selesa memanggil Nurseha yang tiga tahun lebih tua daripadanya dengan nama Kak Seha.
 
“Terima kasih.”
“Tak pernah-pernah minta fail peribadi pekerja baru, ada apa-apa ke Hud?”
Soalan dibalas dengan senyuman sahaja.
 
“Cantik orangnya.  Dengar kata kerjanya pun bagus.  Rajin, bijak, boleh diharap.  Mula-mula dulu Kak Seha hairan juga kenapa Ijam ambil dia bekerja sebab pengalamannya baru lima tahun.  Untuk jawatan manager kita nak yang kurang-kurang tujuh tahun.”  Kak Seha berkongsi apa yang dia tahu tentang pekerja baru itu.  Melihat Hud diam, dia tahu Hud tidak berminat untuk membincangkan hal itu.  Kak Seha terus keluar dari pejabat Hud.
 
Sebaik sahaja matanya tertancap pada huruf-huruf yang tertera di atas fail kertas itu, darah Hud berderau.  Pantas jari-jarinya menyelak fail.  Surat tawaran kerja yang di atas sekali diabaikan.  Diselak beberapa helai lagi hingga sampai ke borang permohonan kerja.  Setiap butir yang diisi dalam borang dibaca dengan teliti.  Gambar berukuran pasport yang tertampal di atas muka surat pertama borang direnung lama-lama.  Salinan sijil-sijil yang dilampirkan diteliti satu persatu.
 
Hud bersandar di kerusi.  Otaknya mula menerawang, kembali ke hari itu.
 
“Apa nama penuh awak?”  Selepas dua bulan berkawan, baru dia terfikir hendak tau nama penuh Mila.
 
“Tekalah.”  Mila tersenyum sambil meletakkan segelas soda bandung di hadapan Ari.  Kebetulan hari ini pelanggan tidak ramai, bolehlah dia berbual sebentar dengan Ari.
 
“Susahlah nak teka.  Bagilah clue.”  Ari capai gelas berisi soda bandung.  Terasa lega bila minuman kegemarannya masuk ke dalam tekak.  Mila senyum.  Menoleh seketika ke belakang.  Bos tak ada, bolehlah rehat sekejap, bisik hatinya.  Tangannya sudah terlebih dahulu bekerja, menarik kerusi  dan terus dia duduk di sebelah Ari.
 
“NJ.”  Mila senyum.
“NJ?  Apa ya?  Kalau dapat teka dengan betul, ada hadiah tak?” Mata Ari tertancap pada wajah
Mila.  Senyuman Mila lebih manis dari soda bandung.  Mila kelihatan lebih comel dengan cermin mata barunya.  Rambut panjang yang ditocang dua menampakkan dia seperti watak dalam cerita Jepun.  Hilang gaya kasar Mila.
 
“Kalau dapat teka, saya bagi hadiah soda bandung.”
“Soda bandung saja?  Tak naklah.”  Ari buat muka.  Mila pula mencebikkan bibir.
“Ala, tekalah Ari.”
 
Ari berfikir.  Mila berdiri.  “Saya nak masuk dapur sekejap.  Nanti bila saya keluar, awak mesti dah ada jawapannya tau.”
 
Belum sempat Ari berkata apa-apa Mila pergi.  Tidak sampai lima minit Mila datang semula dan mengambil tempat di sebelah Ari.
 
"Dah ada jawapan?”
“Dah,” kata Ari sambil tersengeh.  Dia tahu jawapannya pasti salah tetapi mahu dinyatakan jua.  Dia mahu tengok reaksi Mila bila jawapan diberikan nanti.
“NJ…anja.  Nama penuh awak ialah anja.   A…N…J…A.”
 
Mila ketawa mengekek.  Lagak kasarnya sudah datang semula.  Bahu Ari dipukul beberapa kali. 
 
“Ada pulak Anja.  Merepeklah awak ni.  Nama penuh saya… Nurul Jamilah.”
“Sedap nama awak,” kata Ari sejujurnya.
“Mak saya suka nama Nurul.  Adik saya seorang Nurul Aminah, seorang lagi Nurul Safira.”
“Awak tak nak tau nama penuh saya?”  Ari pula bertanya.
“Tak payah taulah,” dengan selamba Mila menjawab.  Dahi Ari berkerut.  Hairan sungguh kenapa Mila tidak kisah tentang namanya.
 
“Nama panjang-panjang pun, saya tetap panggil awak Ari.  Lagi pun, esok-esok saya tau juga nama penuh awak.”
“Esok-esok?  Bila tu?”
“Bila kita kahwin.  Nak kahwin kan kena isi borang.  Masa tu saya taulah nama penuh awak.”
 
Ari tersenyum.  Walaupun Mila naïf, dia berkeyakinan tinggi.  Timbul keinginan hendak menyakat Mila.
 
“Bila pulak saya kata nak kahwin dengan awak?”  sengaja soalan provokasi itu dilepaskan, hendak menengok reaksi Mila.
 
“Eee awak ni,” lengan Ari disiku.  Pipi Mila sudah membahang.  Terasa malu bila ditanya begitu.  Senyuman Ari semakin lebar.  Mila bertambah comel bila pipinya jadi merah.  Masing-masing senyap, melayan fikiran.  Mila rasa hendak menyorok bawah meja.  Malu sungguh dengan kelaseran mulutnya.  Ari pula rasa hendak menari atas meja.  Seronoknya dapat mengenakan Mila.
 
“Ari,” bila rasa malu sudah surut, Mila rasa canggung untuk terus berdiam.  Otaknya yang cerdas segera terfikirkan sesuatu.  Ari menoleh.  Dalam hati terasa lega kerana Mila sudah bersuara semula.
 
“Mana datangnya nama Anja tu?”
Ari angkat kening.  “Saya nak panggil awak Anja bila kita kahwin nanti.”
 
Mata Mila membulat.  Peluang mengenakan Ari sudah datang.  Dia berdiri.  Sambil mencekak pinggang dia berkata “bila pulak saya kata nak kahwin dengan awak?  Perasan!” Kerusi dikuis dengan kaki.  Mila beredar ke dapur. 
 
“Mila!  Ari melaung.  Mila berpaling.
“Tekalah nama penuh saya!”
“Kumari!”  jerit Mila.  Sambil ketawa mengekek Mila beredar masuk ke dapur.
 
Pintu biliknya diketuk, memulangkan fikiran Hud ke alam realiti.   Pintu dikuak dan Izham Munif berjalan sambil tersenyum ke arah Hud.  Senyumannya tidak berbalas.  Hud memandang dengan renungan tajam.
 
 **********
 
Kalaulah masa boleh dipusing balik, Mila mahu kembali kepada hari dia tersimbah air soda bandung ke dada Ari.  Dan kalau dia boleh kembali ke saat itu, bukan dada Ari yang akan disimbah, tapi akan disiram kepala Ari dengan air soda bandung.  Biar cecair berwarna pink itu meleleh di atas muka Ari yang putih gebu. 
 
Dan kalaulah masa boleh dipusing balik, Mila mahu memadamkan dari diari hidupnya hari di mana Ari berjanji akan menunggu dia habis belajar agar mereka boleh bercinta.  Bodohnya Ari, cinta mana reti menunggu.  Cinta juga datang tanpa diundang dan pergi tanpa diusir.  Aku pun bodoh juga, menanti cinta yang palsu, bisik Mila kepada dirinya.
 
Tapi masa tidak sekali-kali boleh dipusingkan.  Bermimpilah, beranganlah, berharaplah tapi yang telah terjadi tetap telah terjadi.  Ari yang mungkir janji tidak boleh diterbalikkan menjadi Ari yang menepati janji.  Rasa sedih dan kecewa pun telah lama hilang.  Apa guna bersedih, sedangkan Ari menyulam kebahagiaan dengan orang lain.  Buat apa dilanjutkan rasa kecewa, bukannya ada Ari di sisi memujuk dan memberi semangat.  Yang untungnya dia, yang ruginya aku, bisik hati Mila.
 
Apahal aku sentimental petang-petang Sabtu ni, Mila bertanya kepada hatinya.  Kakinya dihayun laju menuju ke arah gimnasium khusus untuk kaum hawa.  Alang-alang sudah membayar yuran keahlian, wajib dimanfaatkan segala kemudahan yang ada di gim ini.  Cuma satu yang membuatkan Samirah ralat, jurulatih kecergasan di gimnasium ini semuanya lelaki.  Dah kalau keahliannya terhad kepada wanita sahaja, eloklah kalau jurulatihnya orang perempuan juga. 
 
“Nurul.”  Pintu kaca gimnasium yang sudah dipegang tidak jadi ditolak.  Mila berpaling ke belakang.
“Encik Izham!”  Senyuman diberikan kepada lelaki yang menemuduga dan mengambilnya bekerja.
"Buat apa di sini?”  Dilemparkan soalan kepada jejaka kacak yang menurut kata kawan-kawan di pejabat masih bujang dan berkawan baik dengan Encik Hud sejak di zaman universiti.
“Tunggu Hud.”
“Oh.  Encik Hudnya di mana?”
On the way ke sini.  Kereta saya rosak, jadi saya minta tolong Hud datang ambil saya di sini.”
 
Izham menguntum senyuman.  Dibalas juga dengan senyuman oleh Mila.  Di antara dua orang bos besar di tempat kerja, Mila lebih sukakan Izham Munif.  Bukan dia seorang begitu, rakan-rakan sekerja yang lain pun ramai yang lebih sukakan Izham daripada Hud.  Izham peramah, tidak sombong, tidak garang dan tidak cerewet.  Hud pula jarang tersenyum dengan pekerjanya, cepat marah, cerewet dan mulutnya laser.
 
“Nurul dah habis exercise?”
“Belum mula pun.  Saya baru nak masuk.”
“Oh jadi saya mengganggulah ya?  Ingatkan kalau dah habis nak ajak minum, sementara saya tunggu Hud sampai.”
 
Wajah kacak Izham Munif direnung.  Riak wajah Izham seperti mengharap sangat Mila sudi minum bersamanya.  Terkenang jasa Izham mengambilnya bekerja, Mila memutuskan ajakan Izham itu bukan sesuatu yang sukar dipenuhi. 
 
“Tak apa, Encik Izham tak mengganggu pun.  Saya temankan Encik Izham minum, tapi dengan syarat saya yang bayar, boleh?”
Of course.  Since awak nak belanja saya, awak pilihlah tempatnya.”
 
Mila senyum.  Di sebelah kanan ada sebuah kafe.  Di sebelah kiri, jauh di hujung blok ada sebuah restoran mamak.  Akhirnya kaki melangkah ke arah restoran mamak.  Sampai di situ Mila memesan segelas teh ais manakala Izham Munif memesan segelas teh tarik.
 
“Selalu ke pergi gym tu?”
“Tak.  Saya pergi pada hujung minggu saja.  Itu pun kalau tak balik kampung.”
 
Izham senyum.  Aduh, boleh cair hati Mila melihat senyuman bos kacak yang baik hati.
 
“Kampung Nurul kat mana?”
“Rembau.”
“Di KL tinggal dengan siapa?”
“Seorang.  Dulu ada kawan yang sama-sama menyewa apartment.  Tapi dua bulan lepas dia berkahwin.  Lepas kahwin dia pindah.”
"Nurul… bila nak kahwin?” sengaja soalan itu dikeluarkan.  Sebenarnya hendak mengorek rahsia, apakah empunya diri sudah berpunya.
 
Boyfriend pun tak ada, macam mana nak kahwin.”  Mila menjawab selamba.  Sudah selalu benar dia ditanya soalan pasal kahwin.  Lebih-lebih lagi ketika hari raya.  Berjumpa saja dengan emak dan bapa saudara, itulah soalan yang diajukan kepaanya.  Dan jawapannya tetap sama, seperti yang dijawab kepada Izham.  Emak pula sudah berhenti berleter, bagai sudah tidak mengharapkan Mila akan berumah tangga.
 
“Perempuan cantik macam Nurul ni tak ada boyfriend?  Tak percayalah.”  Itu ayat Izham di mulut.  Dalam hati sudah terbayang wajah Hud.  Mila hanya tersenyum.  Malaslah nak dijawab soalan cliché yang sudah beratus kali ditanya.  OK, jawab cara lain kali ni.
 
“Saya pun tak percaya lelaki kacak macam Encik Izham tak ada girlfriend.”
“Saya tak pernah kata saya tak ada girlfriend.”  Dahi Izham Munif berkerut.
“Orang kat office cerita.”
“Apa yang dia orang umpatkan tentang saya pada awak?”
“Mana ada mengumpat.  Biasalah pekerja, sekali sekala mesti bercerita pasal bos.”
Izham Munif tersenyum lebar. 
 
“Siapa yang lebih popular di kalangan staf, saya atau Hud?”
“Tentulah Hud.”
 
Mila mengangkat kepala.  Izham Munif berpaling.  Hud Ansari berdiri bercekak pinggang di belakang kerusi Izham.  Matanya tajam merenung Mila.  Suka sangat tengok orang macam tu, desis hati Mila.
 
“Hei bro, senyap-senyap je kau sampai.  Meh duduk, kita minum dulu.”
 
Izham Munif menarik kerusi di sebelahnya.  Hud duduk.  Pantas datang si pelayan mengambil pesanan.  Teh o ais limau dipesan.  Sama macam Ari, bisik hati Mila bila tiba-tiba teringat selain dari soda bandung, Ari suka minum teh o ais limau.  Mata dia pun, ada gaya-gaya mata Ari.  Haish Mila, sudah-sudahlah teringatkan Ari.
 
“Kau ni Ijam, kata depan gym rupa-rupanya berdating dengan Nurul kat sini.  Lepas ni aku kena impose undang-undang baru.  Bosses are not allowed to have love affair with the staff.”  Bahu Izham ditepuk.  Izham tersengeh. 
 
Sorry bro.  Masa tengah tunggu kau tadi, aku terserempak dengan Nurul ni.  Dia ajak aku minum.”
 
Buntang mata Mila bila mendengar ayat Izham.  Bila pula aku ajak dia minum?  Yang Encik Hud ni pun satu, bila pula aku dating dengan Encik Izham.  Duduk minum di kedai mamak dipanggil dating ke?  
 
 
**********
 
Sudah dua bulan Mila bekerja di syarikat ElicIT Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding IT dan pembangun perisian yang dimiliki secara bersama oleh Hud Ansari dan Izham Munif.  Mila bersyukur kerana setakat ini ketuanya,  Cheryl Low berpuas hati dengan prestasi kerja Mila.  Banyak kali juga pujian diberikan kepadanya.  Cheryl juga sering memberi galakan agar mutu kerjanya boleh dipertingkatkan lagi.
 
Hubungan dengan pekerja lain pun berjalan dengan harmoni.  Walau pun dia pekerja baru, mereka melayannya dengan baik membuatkan dia tidak rasa terasing dan tidak diterima.  Bos besar pun baik, terutamanya Encik Izham Munif yang funky tu.  Bos besar seorang lagi saja yang kurang mesra alam.  Entah kenapa burung hud-hud tu seperti tidak suka dengan Mila.  Kalau pandang Mila, gayanya seperti mahu diratah gadis kecil molek itu.  Bercakap pun hendak tak hendak saja.  Tapi dari cerita rakan-rakan sepejabat, burung hud-hud tu memang begitu.  Angin kus-kus selalu melanda.  Waktu moodnya baik, bukan main mesra dengan pekerja.  Bila moodnya jahat, garang mengalahkan bapak singa.  Yang tak seronoknya, most of the time he is in bad mood.
 
Hari ini dia diminta untuk menghadiri mesyuarat dengan wakil daripada syarikat Teruja Trading yang berminat untuk menggunakan khidmat perisian kewangan yang dibangunkan oleh ElicIT Sdn Bhd.   Kata Cheryl pemilik Teruja Trading ialah kawan Encik Hud, jadi berhati-hatilah ketika membuat pembentangan.
 
Tepat jam sepuluh pagi Mila menerima panggilan daripada Shila yang memaklumkan kepadanya bahawa wakil Teruja Trading sudah sampai.  Shila diminta membawakan wakil tersebut ke Bilik Melur, bilik mesyuarat yang telah disiapkan untuk perbincangan itu nanti.  Dengan lafaz Bismillah Mila melangkah penuh yakin ke arah Bilik Melur.  Inilah kali pertama dia akan berbincang dengan klien tanpa kehadiran Cheryl.  Mila yakin dia mampu melaksanakan tanggungjawab ini kerana semua persediaan telah dibuat.
 
Pintu Bilik Melur dibuka.  Lelaki kacak berambut kerinting nipis tersenyum ke arahnya.  Tangan pantas disuakan kepada Mila sambil dia berkata “Hai.  Saya Yasir Zahari.”
 
Mila membalas senyuman.  Fail dan salinan draf perjanjian dipaut kemas di dadanya.
 
“Selamat datang ke ElicIT En Nasir.  Maaf, saya tak biasa bersalam dengan lelaki.”
 
Yasir Zahari tersenyum lebar, sampai keluar lesung pipinya.  Rare, bisiknya dalam hati.  Tangan yang dihulur dijatuhkan.
 
It’s Yasir, not Nasir.”
Oops maaf,” spontan tangan dibawa menekup mulut comelnya.  Senyuman Yasir masih belum surut.  Cute, bisiknya dalam hati.
 
Nasir is such a common name, so I thought…”
It’s OK.  Dah biasa.  Selalu orang panggil saya Nasir.  You are Cik Nurul ya?”
“Ya, ini kad saya.”  Kad nama dihulur kepada Yasir.  Yasir juga menghulurkan kad namanya.  Hati Mila berdetak di kala nama dan jawatan yang tertera di atas kad dibaca.
 
“Maaf, I should have called you Dato’ Yasir.”  Aduh malunya, orang berpangkat Dato’ dipanggil Encik.  Dan dia bukan calang-calang orang, pengarah urusan!  Ishh, kenapalah Cheryl tak bagi tau aku.   Dahlah ambil cuti mengejut hari ni.
 
It’s OK.  Saya lagi suka awak panggil saya Yasir, tak payah berencik, berdato’ .  Lagi mesra begitu.”
 
Muka Mila masih membahang.  Tapi hatinya sudah sedikit lega, mujurlah Dato’ muda dan kacak ini sempoi orangnya.
 
“Jemput duduk Dato’.”  Tangan disua ke arah kerusi.  Mila juga mengambil tempat di hadapan Dato’ Yasir.  Komputer riba yang sudah terletak di atas meja dibuka.  Fail pembentangan dalam format powerpoint dibuka.  Langsung dia tidak sedar mata Dato’ Yasir Zahari tidak berganjak dari wajah mulusnya.
 
Ayunya.  Mana Hud cari staf macam bidadari ni?  Kata Dato’ Yasir dalam hati sambil matanya merayap ke seluruh wajah Mila.
 
“Dah lama kerja di sini?”
 
Mata Mila berkalih kepada si penyoal.  Soalan Dato’ Yasir dengar tak dengar baginya.
 
“Maaf, Dato’ tanya apa tadi?”  Mata tertancap pada lesung pipit Dato’ muda.
“Saya tanya awak dah kahwin ke?”
 
Dahi Mila berkerut.  Tadi rasanya aku tak dengar pun perkataan kahwin.  Kerut di dahi disurutkan.  Wajah dimaniskan.  Bibir dibuka sedikit.
 
“Be…”
 
Pintu Bilik Melur dibuka tanpa diketuk terlebih dahulu.  Hud Ansari muncul di balik pintu.  Segak berkemeja ungu muda, bertali leher tanah hijau bintik ungu.  Langkah diatur kemas, menuju ke arah Dato’ Yasir.
 
“Hey bro, how are you?”
“Macam inilah,” dibalas Dato’ Yasir sambil tersenyum dan menyua tangan.  Salam bersambut, bahu berpaut dan mereka duduk bersebelahan, di hadapan Mila.  Kehadiran Hud membuatkan Mila terkedu. 
 
Mujurlah kau bos aku Cheryl.  Kalau kau tu staf aku, berkilo-kilo leteran kau akan dapat.  Kenapalah tak bagi tau aku si burung hud-hud ni pun akan join the meeting, rintih hati Mila.  Dada Mila mula berlagu dangdut.  Mana tidaknya, duduk berhadapan dengan dua jejaka kacak.  Seorang bos, seorang lagi klien.  Ke mana mata hendak ditala?  Pandang Dato’ Yasirlah.  Bos tiap-tiap hari boleh pandang.  Lagi pun lesung pipit Dato’ Yasir tu manis.  Bos pula, mata tajam memandang macam nak makan orang.  Senyuman manis dilemparkan kepada Dato’ Yasir, kononnya mesra pelanggan.  Dibalas oleh si Dato’ muda dengan kenyitan mata.  Ish dia ni, tadi tanya pasal kahwin… sekarang main mata pula.  Nak menggatal ke? 
 
“Mana Cheryl?”  Burung hud-hud bertanya.  Pandangan tajam menikam tidak pernah lekang dari matanya.
“Puan Cheryl cuti sakit hari ni.”
“Dah tau ada meeting, kenapa cuti?”  Suara si burung hud-hud ada nada tidak suka. Mila tidak tahu apa hendak dijawab.  Apalah Encik Hud ni, dah orang tu sakit, takkanlah nak dipaksa datang bekerja, Mila mengomel dalam hati.
 
How are we going to have a meeting without Cheryl?”
 
Dengan yakin Mila menjawab “saya akan ganti Puan Cheryl.”  Memang dia yakin sebab sebenarnya dialah yang mendraf perjanjian dengan Teruja Trading dan dia jugalah yang menyediakan powerpoint slides untuk pembentangan sekejap nanti.
 
“Kau?  Apa yang kau tahu? “
 
Menyirap darah Mila.  Irama dangdut dalam dada sudah bertukar dengan irama hip hop.  Taulah aku ni staf baru, janganlah laser sangat bertanya begitu depan klien.  Bos ingat aku ni tak reti apa-apa ke?  Mila pantang dicabar.  Wajahnya dimaniskan.  Kening ditinggikan dan sambil merenung tajam ke arah Hud Ansari Mila berkata “don’t worry Encik Hud,  banyak yang saya tau.”
 
Sengaja dibiarkan matanya melekap sekejap dengan mata Hud.  Perlahan-lahan dengan gaya menggoda matanya melirik pula ke arah Dato’ Yasir.  Dato’ Yasir tersenyum lebar hingga tersembul lesung pipitnya.  Matanya dikenyitkan.  Kali ini dengan berani Mila membalas dengan mengenyitkan matanya juga.
 
Hud memandang dengan hati yang membara.  Mana perginya Mila yang naïf? Soalan itu berlegar di mindanya.  Berkalih pula mata Hud, melihat Yasir di sebelah yang bersandar sambil matanya melekat kuat pada wajah menggoda Mila.
 
I don’t like his gaze, kata hati Hud.  Hatinya bukan setakat membara dengan gelagat Mila, malah dipenuhi api cemburu.
 
 
**********
 
“Puan Cheryl kata Encik Hud nak jumpa saya,” kata Mila sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Hud.  Pulang saja dari surau dia bergegas ke bilik Hud bila disuruh oleh Cheryl.  Niat hendak berehat sekejap di surau bagi melegakan sakit kepala yang melanda dari pagi terpaksa dibatalkan.
 
“Duduk,” pendek arahan daripada bos.  Mila mara, menarik kerusi kulit yang beratnya bagaikan sama dengan berat seekor lembu dan terus duduk.  Hud menekan interkom.  Suara Kak Seha menyahut kedengaran jelas di telinga Mila. 
 
“Kak Seha, I don’t want to be disturbed.  No visitor, no call.”  Tegas nada suara Hud.  Mila menelan liur.  Matilah aku.  Mesti dia nak marah aku kaw-kaw, sampaikan sesiapa pun tak dibenarkan masuk dan sebarang panggilan tak mahu dilayan.  Dada Mila bagai gendang dipalu, irama hip hop sudah bermula dalam dada.
 
You were good yesterday.  Aku suka cara presentation engkau, jelas dan straight to the point.”
Huh lega.   Perlahan-lahan irama hip hop dalam dada Mila bertukar kepada irama dangdut.
 
“Dato’ Yasir pun suka.  Dia faham setiap clause dalam draf perjanjian yang kau terangkan semalam.”
 
Mila melafazkan syukur dalam hatinya.  Kepala yang berat terasa ringan sedikit.  Barulah dia berani menatap wajah Hud. 
 
Hud menarik nafas.  Selepas dua bulan, dia tidak mampu lagi menahan gelora yang melanda hatinya.  Sampai bila harus dirahsiakan, kalau memendam rahsia hanya menyebabkan jiwanya terseksa.  Dia yakin Mila akan marah bila mengetahui siapa Hud Ansari yang sebenarnya.  Namun dia bersedia untuk dimarahi.   
 
Selepas dua bulan menyelidik, dia tahu Mila masih berharap pada janji yang dibuatnya sepuluh tahun lalu.  Dia pergi semula ke Restoran Lesung.  Dari Bakar pemilik restoran dia mengetahui Mila bekerja di  Restoran itu semasa setiap cuti semester kerana mengharapkan Arinya akan datang ke restoran itu.  Sehingga sekarang pun Mila akan pergi ke Restoran Lesung bila ada kelapangan.
 
Dengan pertolongan Izham, dia berjumpa Nurul Aminah dan Nurul Safira.  Kata Aminah, kakaknya masih belum berkahwin kerana percaya Ari akan menunaikan janji untuk berkahwin dengannya.  Kata Safira pula kakaknya menangis di hari konvokesyen kerana sudah sampai masa dia boleh bercinta, tetapi Ari sudah pergi dari hidupnya.  Ari pergi tanpa pesan.
 
Sakit hati Hud bila mendengar cerita mereka.  Sakit kerana dia tahu dialah punca Mila menderita.  Sakit juga kerana dia tahu Mila tidak mungkin memaafkan dan menerimanya semula.  Lebih sakit lagi kerana dia sebenarnya masih mengharapkan cinta Mila, namun terlalu takut untuk meluahkan kerana dia sedar dia tidak layak untuk Mila. 
 
“Encik Hud, ada nak cakap apa-apa lagi?” soalan Mila menyedarkan Hud dia sudah jauh mengelamun.   
 
“Errm… ada.  Aku tak suka cara kau melayan orang lelaki.”
 
What?  Kening Mila bercantum.  Dada dah mainkan irama hip hop semula.
 
 
I want you to behave professionally with clients, colleagues and bosses.  Dato’ Yasir tu miang, dah ada dua isteri.  Kalau kau sanggup jadi isteri ketiganya, buatlah lagi gaya menggoda macam semalam.”
 
Mila menelan liur.  Mukakanya ditundukkan.  Semalam tu aku sengaja buat macam tu sebab kau tu cabar aku.  Macamlah aku ni tak pernah kerja.  Eh kejap kejap, bila masanya aku menggoda rakan sekerja dan bos?  Mila naikkan muka dan pandang terus ke arah Hud.  Dia perasan aku menggoda dia ke?  Yucks, sikit aku tak ingin.
 
“Maaf, saya tak akan buat lagi.  Saya bukan jenis perempuan yang  menggedik.  Semalam tu saya tak puas hati dengan Encik Hud.”
 
Kening Hud pula bercantum.  Kenapa dia tak puas hati dengan aku?  Adakah dia tau aku ini Ari dan dia sengaja berkelakuan seperti semalam kerana mahu menduga, atau mencabar aku?
 
Explain.”  Hud cuba bertenang.
“Kalau pun Encik Hud tak percaya dengan kemampuan saya, janganlah malukan saya depan klien.”
“OK, I am sorry.”
 
Dua pasang mata bertaut lagi.  Wajah tegang Hud dan Mila mengendur.  Namun dada Hud masih berdegup kencang.  Aduhai, bagaimana mahu diluahkan rahsia ini.
 
“Satu lagi, bila masa pula saya menggoda rakan sekerja dan bos?  Kalau Encik Hud tergoda dengan cara saya, saya minta maaf.  Saya tak berniat nak menggoda sesiapa pun.  Saya di sini semata-mata bekerja untuk mencari rezeki.”
 
Wajah Mila ditenung lama.  Di hadapannya sekarang adalah Mila yang sudah matang.  Lembut,  bijak, berani dan berkeyakinan tinggi.  Mila yang sekarang juga cantik, manis bertudung.  Mukanya lebih kecil dari dahulu, badannya juga kurus daripada dulu dan tiada lagi cermin mata besar.  Dia bukan lagi Mila yang naïf.  Dia yakin sepuluh tahun dulu Mila tidak akan berani bercakap begitu.
 
“Kau jangan perasan boleh tak?  Aku sikit pun tak tergoda dengan kau.  Aku cuma tak suka kau bermesra dengan Ijam sebab dia tu ketua di sini.  Perangai tak senonoh jangan dibuat di syarikat ini.”
 
Menyirap darah Mila.  Hanya kerana dia minum bersama Encik Izham hujung minggu lepas, sudah dianggap bermesra?  Pantang dia dituduh.  Kepala yang pening semakin kuat sakitnya. 
 
“Dah tentulah saya lebih mesra dengan Encik Izham.  Dia baik.  Tak payahlah Encik Hud cemburu, saya hormatkan Encik Izham sebagai bos… sama macam saya hormatkan Encik Hud sebagai bos… walaupun…”
 
Mila diam sekejap.  Mengambil nafas dan mengumpul keberanian.  Dia sedar perbincangan ini mungkin boleh membuatkan dia hilang pekerjaan.  Tapi dia juga tidak suka dituduh  dan disalah anggap.
 
“Walaupun Encik Hud tak sukakan saya.”
 
Hud menelan liur.  Aku sukakan kau, malah aku sayangkan kau.  Tapi… ah, tak perlulah aku berterus terang bahawa aku ini sebenarnya Ari.  Mila tentu tak akan maafkan aku.  Hati Hud masih berbelah bagi, antara mendedahkan identitinya yang sebenar atau terus dirahsiakan.  
 
Firstly, sikit aku tak cemburu.  Tolong jangan perasan.  Secondly, memang aku tak sukakan kau.  Kalau aku yang interview kau, kau tak akan dapat kerja di sini. “
 
Aduh Hud, kenapa itu pula yang keluar dari mulut kau.  Sepatutnya kau layan dia dengan baik, menangi hati dia supaya bila dia tau kau adalah Ari, dia akan terima kau.   Hud  mengutuk dirinya.  Terlajak kata tak boleh reverse. 
 
Buntang mata Mila mendengar ayat itu.  Perasaan sedih mula menyelinap.  Sudah lima tahun dia bekerja, inilah kali pertama seorang bos dengan lasernya mengatakan dia tidak disukai.  Wajahnya bertukar keruh.  Teruk sangat ke aku ni sampaikan Encik Hud tak suka aku. 
 
Tanpa berkata apa-apa lagi, Mila berdiri dan kemudian keluar dari bilik Hud.  Hud pula terkesima, hanya mampu memandang sepi kelibat Mila hilang dari pandangan.  Sampai di meja, Mila menangis semahu-mahunya.  Mujurlah Cheryl dan Teha, rakan sekerjanya sudah pulang.  Bukan dia tidak pernah dimarahi oleh bos sebelum ini.  Tapi entah kenapa hatinya sangat tersentuh kali ini.  Kalau bos sudah terang-terangan berkata dia tak sukakan aku, buat apa lagi aku di sini?
 
Jari segera mencecah papan kekunci.  Tidak sampai sepuluh minit surat perletakan jawatan siap dicetak, ditandatangani dan tiga salinan dibuat.  Satu untuk dirinya sendiri, satu untuk Puan Cheryl dan satu lagi untuk Encik Izham.  Komputernya dimatikan.  Beg tangan dicapai dan surat yang sudah bersampul dibawa bersama.  Kaki melangkah ke arah bilik Hud.  Lampu di dalam bilik masih menyala, maknanya bos garang yang bencikan dia masih belum pulang.  Jenuh Mila mengetuk pintu bilik tapi tiada respons dari dalam.
 
“Awak cari saya?”
 
Mila berpaling.  Terkesima dia melihat Hud Ansari yang berwajah sugul berdiri memandangnya .  Rupa-rupanya dia tiada di dalam bilik.  Eh, bos sudah tidak beraku-engkau, sempat lagi Mila berkata dalam hati.
 
“Saya… memandangkan Encik Hud tak suka saya, baiklah saya pergi dari sini. “
 
Surat di tangan disuakan kepada Hud.  Hud keras seperti batu.   Surat tidak disambut, mata tidak dikalih dari menatap wajah Mila.  Mila pula tidak ada hati hendak memandang wajah bos yang bencikannya.  Matanya tertancap pada surat di tangan.
 
Hud hulur tangannya.  Bukan surat itu yang disambut.  Sebaliknya tangan Mila dipegang.  Ditarik Mila dan dibawa ke dalam biliknya.  Mila mengikut sambil termangu-mangu.  Hati Mila mula berdebar.  Apa burung hud-hud ni nak buat pada aku?  Janganlah dia buat perkara buruk ke atas aku.  Buatnya dia ro… ish, nauzubillah. 
 
Muka Mila pucat.  Hud merasa belas melihat Mila ketakutan.  Namun dia tiada pilihan.  Selepas Mila beredar dari biliknya tadi, Hud segera mendapatkan Izham.  Sahabat karib yang dikenali sejak zaman universiti itu memarahinya habis-habisan.  Dan Izham memberi amaran kepadanya.  
 
“Kenapa kau cakap macam tu kat dia?”  Muka Izham kemerahan menahan marah.  Memang dia terlalu marah.  Sudah banyak kali dinasihati agar berterus terang dengan Mila, namun Hud enggan.  Alasannya dia malu dengan Mila.
 
“Cukuplah sepuluh tahun dulu kau lukakan hati dia Hud.”
 
Hud hanya mampu menadah telinga.  Penyesalan sudah bertapa dalam hatinya. 
 
“Aku nak kau pergi minta maaf dengan Mila sekarang juga.  Kalau kau tak buat, aku sendiri yang akan bagi tau Mila siapa kau sebenarnya.  Sementara masih ada harapan untuk Mila maafkan kau, baik kau pergi.  Buanglah ego kau tu Hud.”
 
Hud masih membatu di hadapan Izham.
 
 
“Hud!”  Izaham menengking.  Memang dia betul-betul bengang dengan sahabatnya.  Bertahun-tahun mengenali Hud, Izaham faham Hud degil kerana perasaan malu yang menebal dalam dirinya.  Malu mengakui bahawa dia telah bersalah melukakan hati Nurul Jamilah.  Malu juga mengakui dia masih cintakan Nurul Jamilah.  Hud banyak berkongsi cerita tentang hubungannya dengan Nurul Jamilah.  Yang menjadi kemusykilan Izham ialah bagaimana dalam mencintai Mila, Hud boleh jatuh hati kepada gadis lain hingga terlupa janjinya pada Mila.  Selepas Hud ditinggalkan kekasihnya, barulah dia menyesal.  Namun penyesalan Hud tidak bermakna kerana keluarga Mila sudah berpindah ke kampung mereka di Rembau.  Hud tidak mencari Mila kerana dia malu.  Malu kerana dia gagal melunaskan janjinya.
 
“Encik Hud, apa…apa Encik Hud…”  Tergagap-gagap suara Mila.  Pipinya yang pucat lesi sudah dibasahi airmata.  Ketakutan bersarang dalam hati.  Kalaulah Hud buat sesuatu kepadanya, matilah dia.  Hud tersedar dari lamunan.  Tangan Mila yang dicengkam kuat dilepaskan.  Namun Hud tidak berganjak.  Tangannya diangkat dan jari-jarinya singgah di pipi Mila, menyeka airmata yang sudah berjejeran ke dagu Mila.  Mila terpempan. 
 
“Mila,” lembut Hud memanggil.  Kedua belah tangan Mila diraih dan digenggam dengan lembut.
 
Mila semakin keliru.  Terasa bagaikan kerongkongnya tersekat.  Kenapa tiba-tiba Encik Hud panggil aku Mila?  Akalnya bertanya kepada hati.  Tak ada orang di pejabat ini memanggil aku Mila kerana sejak hari pertama bekerja aku minta mereka panggil aku Nurul.  Matanya melurut ke bawah, hinggap di atas tangannya yang digenggam oleh Hud.  Apa semua ini?
 
 “Saya… A..Ari… Ari yang…”  Hud tergagap-gagap.  Dia tidak mampu meneruskan ayatnya.
 
“Ari?”  Mila menarik tangannya.  Segera tangan dibawa ke muka untuk menekup mulutnya.  Benarkah di hadapannya ini ialah Ari?  Ari yang menghilang dari matanya selama sepuluh tahun, namun tidak pernah meninggalkan hatinya?  Jika ini Ari, kenapa rupanya lain?  Mana cermin mata tebalnya?  Kenapa kulitnya sawo matang sedangkan Ari putih melepak?  Ari tembam tapi yang di hadapan Mila sekarang kurus, dadanya bidang dan dagunya runcing, sedangkan Ari mukanya bulat.
 
Jika orang ini Ari, pasti dia bercakap dengan sopan, ramah, merendah diri dan sentiasa tersenyum.  Ari juga suka berjenaka .  Tapi yang di hadapan Mila sekarang ialah Encik Hud yang garang, mukanya masam dan berat mulut.   Ari tak kacak tapi wajahnya manis.  Encik Hud kacak, tapi wajahnya sentiasa kelat.
 
“Encik Hud… apa semua ni?  Saya tak faham.”  Mila mengundur beberapa tapak.  Kepala yang sudah sedia pening dipegangnya.  Matanya dipejamkan.  Jantungnya berdegup pantas.
 
“Mila.  Saya Ari.  Ari yang pernah berjanji dengan awak sepuluh tahun yang lalu.  Ari yang pernah awak simbah dengan air soda bandung.  Ari yang ingin memanggil awak An….”
 
“Tidak!”  Mila menjerit.  “Awak bukan Ari!”  Mila berpaling.  Dia mahu keluar dari bilik ini.  Kepalanya sakit.  Hatinya lebih sakit.  Namun Hud bertindak lebih pantas.  Tangan Mila ditarik, belakang Mila dirangkul.  Wajah mereka sangat rapat.  Cukup rapat untuk Mila melihat parut di dahi kiri berdekatan dengan rambut Hud.  Parut yang kata Ari terjadi kerana dia terjatuh dari basikal ketika berumur 13 tahun.  Akhirnya wajah Mila tersembam di dada Hud.  Mila menangis teresak-esak.  Selepas sekian lama, hari ini airmatanya tumpah lagi kerana Ari.
 
 
**********
 
 
“Saya nak Ari yang dulu.”  Tegas nada suara Mila.  Matanya masih merenung tajam ke arah Ari.  Betapa dia rindukan Ari.  Tapi bukan Ari a.k.a Encik Hud yang ada di depannya sekarang.  Kacak , segak bersut kelabu.  Jambang nipis yang tidak dicukur menambah kekacakan wajahnya.  Berbeza sungguh dengan Ari yang dulu.
 
“Ari yang dulu dah lama tak ada.”  Hud juga bertegas.  Sudah dekat satu jam dia memujuk, Mila masih belum mahu memaafkannya.  Dan Mila tetap mahu berhenti.   Apa tidaknya, Hud hanya meminta maaf kerana berkasar dengannya di pejabat tempoh hari.  Kesalahannya memungkiri janji yang dibuat sepuluh tahun dulu, tidak pula dipohon kemaafan.
 
Mila memandang Hud dengan hati yang membara.  Itu alasan tidak masuk akal untuk menidakkan perasaan sebenar yang dia tau ada dalam hati Hud. 
 
“OK, tell me where is my old Ari?”
 
“Dah lama hilang.”  Itu bukan nada tegas.  Itu nada sombong yang keluar dari mulut Hud.  Tak sedar diri, datang memujuk kita pun masih nak berlagak.  Mila mencebik.  Wajahnya dipalingkan semula ke arah Hud Ansari.  Pandangan mereka bertaut, namun tidak lama.  Hud Ansari melarikan matanya dari wajah Nurul Jamilah kerana sesungguhnya dia tidak mampu menanggung debaran yang bertalu dalam dada saat matanya dan mata Mila bertemu.
 
“Cerita pada saya bagaimana dia boleh hilang.”
“Itu awak tak perlu tahu.”
 
Mila bertambah bengang.  Dia ni memang sengaja cari pasal.  Betullah dia bukan Ari yang dulu.  Yang dulu tak pernah sinis, murah dengan senyuman, sopan.  Yang sekarang poyo.  Perasan macho, kacak tapi kelat.  Tak apa, kau tunggulah.  Mila ini masih Mila yang sama.  Masih setia pada cinta yang kau janjikan.  Tapi bezanya Mila ini bukan naïf seperti dulu lagi.  Mila ini kuat semangat, tidak mudah mengalah dan tidak mudah ditipu.
 
“Saya tak perlu tau… atau awak yang tak sanggup mengaku.  Awak tau awak salah.  Siapa yang berjanji dengan saya akan tunggu saya sehingga saya habis belajar?  Siapa yang janji dengan saya akan datang ke majlis konvokesyen saya dengan cincin untuk meminang saya?  Siapa nak panggil saya Anja selepas kahwin?  Siapa yang…”
 
“Cukup Mila!”
 
Bahu Mila dicengkam kasar.  Tubuh Mila terdorong ke depan, wajahnya mendongak mengadap wajah Hud.  Hud merenung tajam dan Mila dengan berani membalas renungan itu.  Redup pandangannya, membuatkan Hud sedar tidak selamanya dia boleh menafikan yang kesalahan memang terletak di atas bahunya.
 
“Lepaskan saya Ari!”
 
Perlahan-lahan bahu Mila dilepaskan.  Sebelah tangan dimasukkan ke dalam saku seluar.  Sebelah lagi meraup rambut.  Satu keluhan berat dilepaskan.  Mengaku sajalah kau yang salah.  Mila mencapai beg tangan di atas kerusi.  Kaki melangkah menuju ke tempat meletak kereta.  Dia harus pergi dari sini.  Selagi Ari tidak mahu mengaku kesalahannya yang memungkiri janji yang tidakpernah Mila minta, dia tidak akan ingin berjumpa Ari lagi.
 
Hud berpaling.  Baru dia sedar Mila sudah berjalan menuju ke kereta.  Pantas dia berlari di atas laluan jogging di taman tasik.  Mudah saja dia menghampiri Mila.  Tangan sasanya disuakan dan lengan Mila ditangkap.
 
“Mila… Mila nak pergi mana?”
 
Mila berpaling.  Matanya merenung lembut ke arah Hud.  Dengan lembut, tetapi tegas dia berkata “nak cari Ari yang lama.  Dia mungkin dah hilang… tapi lelaki macam dia tak pernah hilang dari hati saya.”
 
Hud menelan liur.  Ayat terakhir Mila bagaikan anak panah yang menusuk dada.  Sakitnya hati bukan kerana marah kepada Mila, namun kerana dia sedar dia bersalah.  Kenapa kau tak membenci aku Mila?  Kan lebih senang kalau kau bencikan aku? 
 
 
**********
 
Salamnya dibalas oleh seorang lelaki yang dia agak berusia hujung lima puluhan.  “Anak cari siapa?” soal lelaki itu sambil wajahnya menerawang ke seluruh wajah Hud.  Dalam hatinya si lelaki dapat mengagak siapa lelaki tampan yang berkunjung ke rumahnya tanpa notis dan tanpa undangan.
 
Nak terus bagi tau ke aku cari Mila?  Hud menyoal diri sendiri sambil memandang wajah lelaki yang  walaupun rambutnya dipenuhi uban tetapi masih segak.
 
“Siapa tu bang?”  Muncul pula seorang wanita yang mungkin berusia awal lima puluhan.  Melihat wanita itu, Hud yakin dia telah menjumpai rumah yang betul kerana wajah wanita itu mirip wajah Mila.
 
“Ini rumah Nurul Jamilah?”  Bertanya untuk mengesahkan andaiannya.  Si lelaki mengiyakan, si wanita pula mengangguk.
 
“Anak ni siapa?” tanya si lelaki.
“Saya Hud… Hud Ansari.”
“Oh, ini bos Mila ya?” tanya si wanita.
 
Bukan makcik, saya kekasihnya.  Eh bukan, bekas kekasihnya dan bekas bosnya.  Itu jawapan dalam hati Hud.  Kepada emak Mila dia menjawab dengan anggukan.
 
“Jemput masuk Encik Hud.  Mila ada kat dalam.  Masuklah. “  Bapa Mila ramah mempelawa.  Sepatu dibuka.  Dengan hati yang berdebar-debar Hud Ansari melangkah masuk ke dalam rumah.  Kelibat Mila tidak kelihatan.  Emak Mila melangkah ke belakang.  Hud duduk di atas kerusi rotan berkusyen empuk selepas dipelawa.
 
Hud berbual dengan ayah Mila, bertanya apa kegiatan yang dilakukan selepas bersara.  Jantungnya berdegup pantas, matanya melirik ke kiri, kanan, belakang dan hatinya berharap Mila akan muncul.  Kalau diikutkan hati mahu dia terus bertanya di manakah Mila berada, namun segan pula dia pada ayah Mila.  Sepuluh minit kemudian emak Mila muncul menatang sebiji dulang berisi sebuah teko dan dua biji cawan.  Teh susu dituang ke dalam cawan sebelum emak Mila menjemput Hud minum.  Baru saja cawan hendak dilekatkan di bibir, kelibat yang dinanti-nanti tiba.
 
Mila pegun sebaik saja matanya menyapa susuk tubuh yang hendak menghirup air teh susu yang dibancuhnya.  Pinggan berisi kuih koci labu yang dibuat bersama emak selepas makan tengahari  tadi dipegang kejap-kejap.  Jika tidak boleh terjatuh pinggan itu dari tangannya saat mata Ari dan matanya bertembung.
 
Air teh susu tak jadi diteguk.  Cawan diletakkan di atas piringnya.  Hud berdiri.  Mata tidak mahu berkalih dari wajah yang sangat dirindui.
 
“Mila.”
“Ari… bu… buat apa datang rumah Mila?”
 
Emak dan ayah Mila saling berpandangan.  Ada senyuman di bibir ayah Mila, ada kerutan di dahi emak Mila.  Ayah Mila senyum kerana hajat kedatangan Hud telah diceritakan kepadanya ketika mereka berbual tadi.
 
“Buat apa tercegat tu Mila.  Letaklah kuih tu kat sini.”  Ayah Mila mengarahkan.  Mila mara.  Irama hip hop mula melanda dada.  Berdegap degup jantungnya.  Sungguh dia tak sangka Ari akan muncul di rumah orang tuanya.  Sangkanya selepas pertemuan di taman tasik kelmarin, dia tak akan berjumpa dengan Ari lagi.
 
Tangan meletak pinggan di atas meja kopi.  Mata mengerling Ari yang sudah duduk di sebelah ayahnya.  Lelaki macam awak ni Ari, suka buat jantung saya meletup, bisik Mila dalam hati.  Ni apa kes datang ke rumah orang tua saya?  Nak suruh ayah dan emak pujuk saya supaya bekerja semula dengan awak?  Sorrylah burung hud-hud, saya dah tetapkan keputusan.
 
Emak yang memandang kehairanan.  Tadi di dapur elok saja mood anak sulungnya.  Sekarang kenapa bibirnya sudah memuncung dua inci?  Yang encik bos ni pun, lain macam gaya matanya merenung anak dara aku.  Ke… sebenarnya… hubungan Mila dengan jejaka kacak ni… lebih daripada hubungan bos dan pekerjanya?  Hmm, elok juga kalau dia berkenan dengan si Mila.  Dah masak ranum anak dara aku ni, boleh sangat-sangat jadi isteri orang.  Emak sendeng lengan ayah dengan siku.  Ayah balas dengan senyuman.
 
“Nak ke mana tu?  Duduklah sekali.  Kita minum sama-sama.”  Suara ayah tegas mengarahkan.
 
Langkah Mila terhenti.  Ayah memandang tepat ke matanya.  Kalau ayah dah pandang macam tu, maknanya Mila mesti ikut apa yang ayah suruh.  Dengan hati yang berat punggung dilabuhkan di atas kerusi rotan berkusyen di sebelah emak.  Itu saja pun kerusi yang kosong.  Elok pula bertentangan dengan Hud Ansari.
 
“Jemput makan kuih koci labu tu Encik Hud.  Mila yang buat tadi.  Panas lagi ni, baru keluar dari pengukus.”  Emak pula ramah mempelawa.  Sudah kahwin dengan ayah dua puluh sembilan tahun, tentu saja emak faham maksud senyuman dan renungan ayah. 
 
Hati emak dan ayah Mila harus dijaga, agar objektif kedatangannnya petang ini tercapai.  Maka Hud mencapai semula cawan dan meneguk air  teh susu.  Sebiji kuih koci labu juga dicapai selepas cawan diletakkan.
 
“Masin intinya ni Mila.  Orang tua-tua kata, kalau masakan masin itu tanda dah nak berkahwin.”  Selamba ayah berkata selepas satu gigitan kuih koci dikunyah dan ditelan. 
 
Mila memandang ayah dengan mata terjegil.  Mana ada masin, tadi aku dah rasa dengan emak.  Lagi pun inti tu emak yang masak.  Bibir masih mencebik, mata berkalih dari muka ayah.  Aduh, hendak pandang ke lain tapi singgah pula di wajah Ari.
 
Irama hip hop dalam dada belum surut.  Kan bagus kalau terus bertukar ke irama balada.  Slow, tenang, dan menyenangkan iramanya.  Tapi bertentang mata dengan lelaki macam Ari, tak bisa membuatkan hatinya tenang.  Sebelum tahu Hud ialah Ari pun dia tak tenang, apatah lagi bila dah tau Hud ialah Ari.  Dan lebih mendebarkan bila Ari memandang sebegitu.  Pandangan yang sama yang Mila pernah lihat sepuluh tahun lalu.  Redup matanya dan Mila tau ada sinaran cinta dalam renungan itu.  Bukan pandangan bengis seperti singa tak makan tiga hari yang biasa dia dapat ketika di pejabat.
 
Emak pun tak sedap hati bila ayah kata inti kuih koci tu masin.   Selamba saja ayah makan.  Encik bos pun makan dengan berselera.  Pantas tangan emak mencapai sebiji kuih.  Daun pisang pembalut dibuka dan dengan lafaz Bismillah emak menggigit kuih.  Dikunyah perlahan-lahan, ditelan dan emak pandang ayah dengan satu senyuman.
 
Hud masukkan tangan dalam kocek seluar.  Sapu tangan berwarna biru muda dikeluarkan.  Peluh di dahi dikesat. Kalau debaran di dada boleh dikesat, akan Hud kesat juga dengan sapu tangan istimewa itu.  Buntang mata Mila melihat sapu tangan itu.  Dia kenal sapu tangan itu.  Tak sangka, selepas sepuluh tahun Hud masih simpan sapu tangan yang Mila hadiahkan sempena hari lahir Hud.
 
Hud masukkan tangan dalam kocek seluar sebelah kanan pula.  Sebuah kotak kecil dikeluarkan.  Kotak baldu berwarna merah hati diletakkan di tengah-tengah meja.  Satu nafas dihela, mata dikalihkan ke arah ayah dan emak Mila.  Ayah mengangguk, emak pun ikut mengangguk.
 
“Mila…  Ari minta maaf.  Ari gagal tunaikan janji Ari dulu.  Sekarang… Ari dah tak mau berjanji apa-apa lagi.”
 
Mila pandang Ari dengan kening yang hampir bercantum.  Hatinya mula berkata-kata.  Awak datang rumah orang tua saya semata-mata kerana nak minta maaf?  Lelaki macam awak ni memang peliklah.  Kat KL boleh minta maaf tak mau buat.  Sanggup pula menempuh perjalanan satu jam setengah untuk minta maaf.  Itulah sebabnya sepuluh tahun dulu saya kata lelaki macam awak susah nak cari. 
 
“Tolong maafkan saya… dan saya harap awak sudi…”
 
“Kan saya dah kata saya tak mau kerja dengan awak lagi.  Awak ni memang degil.  Awak datang sini nak suruh ayah dan emak pujuk saya kan?  Maaflah Encik Hud.  Keputusan saya tak berganjak.”  Pantas ayat Ari dipintas.  Pipi Mila sudah merah.  Bukan kerana malu tapi kerana marah.  Dia tak suka strategi Ari.
 
“Ermm… Mila… Ari… bincang elok-elok ya.  Jangan gaduh-gaduh.  Jom Jah, kita pergi belakang.”  Ayah bangun, emak mengikut.  Tinggallah Mila duduk berdepan dengan Ari di ruang tamu.  Mila tunduk, tak sudi memandang wajah Ari.  Tapi Ari tetap tidak berkalih matanya dari wajah Mila.
 
“Memang saya datang hari ni… nak minta ayah dan emak awak pujuk awak.”
 
Sekarang Mila angkat kepala.  Matanya memandang tajam ke arah Ari.
 
“Saya minta mereka pujuk awak… supaya maafkan saya… dan terima lamaran saya.”
 
 Ari bangun.  Kotak baldu merah hati di atas meja dicapai.   Mila kaku di atas kerusinya, hanya mampu memandang Ari yang kini berteleku di atas lantai di hadapannya. 
 
“Sepuluh tahun lepas… saya pernah berjanji  dengan awak.  Hari ni saya nak tunaikan janji saya.
 
Kotak baldu dihulurkan kepada Mila.  Mata Mila mula terasa panas.  Wajah Ari direnung lama.  Dua pasang mata bertaut dalam satu pandangan yang sama.  Dua hati berbicara dalam bahasa yang serupa.
 
“Ari…”  Mila sebak.  Tangannya terketar-ketar tapi digagahkan juga untuk menyambut kotak baldu merah hati dari tangan Ari.
 
**********
 
“Anja…..”
“Hmm…”
 
Mila angkat kepalanya dari lengan Ari.  Tangan kanannya masih melekat di atas dada Ari yang tidak berbaju.  Ari paling kepalanya ke kanan, memandang wajah manis Mila.  Wajah yang sentiasa muncul dalam mimpinya sejak sepuluh tahun yang lepas.
 
“Terima kasih kerana setia menunggu Abang.  Percayalah sayang, cinta Abang masih sama seperti sepuluh tahun dulu.”
 
Mila duduk.  Jari-jari yang di atas dada Ari sudah bertaut dengan jari-jari Ari.  Wajah kacak Ari yang tidak pernah luput dari mindanya direnung lembut.  Bunga-bunga cinta yang mekar dalam hatinya terserlah dalam sinaran matanya.
 
“Kenapa Abang tak cari Mila lepas keluar dari hospital?”
 
“Abang cari, tapi Anja dah pindah.  Abang tak terus mencari sebab Abang malu dengan Anja.  Abang mungkir janji.  Allah balas Abang dengan kemalangan tu, dan perempuan yang Abang  tergila-gilakan tu tinggalkan Abang semasa Abang masih terlantar di hospital.  Masa tu baru Abang sedar… tak ada perempuan lain yang cintakan Abang seperti Anja.”
 
Ari turut bangun, duduk di sebelah Mila.  Tangan Mila dilepaskan. 
 
“Masa Ijam interview Anja, dia dah agak Anja adalah Mila yang selalu Abang ceritakan padanya. Sebab tu dia ambil Anja bekerja walau pun Anja tak cukup pengalaman.”
 
Pipi Mila diusap lembut.  Rambut Mila yang menutupi dahi dikuis. 
 
“Bila Abang tau Nurul yang bekerja di syarikat Abang adalah Mila yang Abang rindukan dalam setiap hembusan nafas Abang,  Abang jadi takut.  Abang  takut… “
 
Mila hulurkan tangan dan usap pipi Ari.  Pipi Ari sekarang tak tembam dan kemerahan seperti sepuluh tahun dulu.  Sekarang Ari lebih kacak, lebih macho.
 
“Abang takut Anja bencikan Abang.  Sebab tu Abang sengaja buat garang dengan Anja.  Tapi Anja kuat.  Pekerja lain takut dengan Abang.   Anja pulak, hari pertama jumpa Abang dah berani pegang tangan Abang.  Anja tau tak, masa Anja pegang tangan Abang, Anja sebenarnya dah pegang hati Abang.”
 
Teringat pertemuan pertama mereka selepas sepuluh tahun, Mila tersenyum.  Senyuman yang lebih manis dari soda bandung yang pernah menjadi minuman kegemaran Ari dulu. 
 
“Mila tak pernah lepaskan hati Abang.  Walaupun dah sepuluh tahun, Mila masih pegang hati Abang sebab hati Mila berat nak lepaskan.  Rupa-rupanya memang Abang  jodoh Mila.”  Dengan lembut, sambil matanya bertaut erat dengan mata Hud, Mila luahkan. 
 
“Lelaki macam Abang ada seorang saja dalam hidup Mila.” Katanya lagi.
 
Ari rapatkan wajahnya dengan wajah Mila.  Dahi mereka melekat, hidung mereka berlaga. “Alhamdulillah, abang bersyukur Anja adalah jodoh Abang.”
 
Sudah tertulis, lelaki macam awak memang jodoh saya, kata Mila dalam hati.



No comments:

Post a Comment