Monday 25 November 2013

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 8

Assalam dan selamat pagi!  Maaf ya, Isma sibuk sangat2 semenjak dua menjak ni.  Kadang2 terasa nak mengeluh dengan kesibukan.  Tapi ada pulak terbaca kat FB baru-baru ni "if you are busy, that means you still have a job".  Betul x3.  Terus tak jadi mengeluh.

SKL dah final touch up.  Moga2 dapat dihantar ke penerbit hujung minggu ni.  Tapi hujung minggu ni nak pergi cuti2 Malaysia lagi.  Hailah, my weekend is gonna be busy again.  Harap2 dpt curi2 masa untuk menulis.  Jgn marah ya anak2.  Sedang bercuti pun ibu tak berenggang dengan lappy, apa kes? :)

Selamat membaca.  Bab 8 kurang sikit adegan Samirah-Irsyad.  Bab 9 kita sambung balik nanti.


BAB 8

Ikan koi yang riang berenang dipandang kosong.  Dedak di tangan sepatutnya untuk dimakan ikan, tetapi Samirah leka melayan perasaan sehingga terlupa membaling dedak ke dalam kolam.  Dan dia juga tak sedar sebiji-sebiji dedak melurut dari tapak tangannya.  Kesian ikan koi dalam kolam, berekor-ekor merebut dedak yang jatuhnya sebiji-sebiji, bukan segenggam-seggenggam.


Perbualan di antara dirinya dan Irsyad Rifqi menerpa semula ke mindanya, melarikan ingatannya dari Mama.


“Awak kata kita boleh berkawan, tapi kenapa tak mau keluar dengan saya?”


Samirah diam.  Sengaja dia tidak mahu keluar dengan Irsyad Rifqi.  Biarkan si jejaka resah.  Baru dia tahu sama ada Irsyad Rifqi serius atau main-main.


“Samira… masa dalam penerbangan kita berbual panjang.  Saya seronok.  Rasa macam dah lama kenal awak.”


Hai, ini bukan sesi temuduga.  Ini sesi meluahkan perasaan, bisik Samirah di dalam hati.  Irsyad Rifqi di depannya memandangnya tanpa berkelip.  Debaran di dada Samirah masih belum hilang.


“Awak ingat tak masa dalam flight, saya ada kata kalau awak nak kerja, boleh kerja di pejabat saya?”


Samirah mengangguk.


“Jadi tak salah kan saya panggil awak temuduga hari ini?”


Samirah panggung kepala.  Wajah kacak yang memberi debaran di dadanya dipandang sebentar, sebelum matanya turun semula.


“Memang tak salah.  Tapi cara awak tu salah.”


“Apa yang salah dengan cara saya?”


“Irsyad… urrp… sorry  Encik Rifqi…”


“It’s OK.  I love the way you call me Irsyad. No other girl has called me Irsyad, the way you do.”


Dada Samirah dilanda taufan lagi.  Berdegup-degup jantungnya.  Ish, kenapa ni Ira?  Takkan kau dah tersyok kat mamat rambut pacak ni?  Kan papa kata jangan mudah terpedaya dengan kata manis lelaki.  Samirah berbicara sendiri.


“Apa yang salah dengan cara saya, Samira?” Irsyad Rifqi mengulangi soalannya.  Nada suara bagaikan seorang bos yang mahukan penerangan lebih jelas dari kakitangannya.


“Saya nak awak ambil saya bekerja kerana bakat dan kebolehan saya, bukan…”


Samirah menelan liur.  Betulkah apa yang aku akan cakap ni?  Dia bertanya kepada dirinya sendiri.


“Bukan kerana perasaan awak terhadap saya.”


Dihabiskan ayat itu, dan cepat-cepat matanya direndahkan.  Tak maulah pandang Irsyad Rifqi lama-lama.  Malu.  Samirah kurang pasti sebenarnya apakah firasatnya yang mengatakan Irsyad Rifqi ada hati kepadanya adalah betul.


Irsyad Rifqi tersenyum.  She’s very confident… and straight to the point, kata hatinya. 


“Bila pula saya ada perasaan terhadap awak?  Kan kita kawan biasa saja?”


Wajah diangkat.  Muka Samirah yang cerah sudah bertukar merah.  Pipinya terasa membahang.  Kurang asam!  Mesti dia ingat aku perasan.  Hatinya berbicara, sambil matanya dialihkan dari wajah Irsyad Rifqi.  Hilang rasa malu, timbul rasa bengang.


Senyuman Irsyad Rifqi semakin melebar.  Pertama kali melihat pipi Samirah semerah itu.  Sweet, bisik hatinya.


“Baguslah kalau awak anggap saya sebagai kawan biasa saja.  Saya pun anggap awak macam tu.  Orang macam saya, tentu tak layak jadi kawan istimewa awak… kan?”


Oh no!  No, no, no.  Dia terasa ke?  Adui mulut, kenapa jadi macam ni?  Aku sengaja nak mengusik, dia terasa pula.  Kena cover line ni.  Otak, cepatlah berfikir, bagi aku satu ayat power.  Hati Irsyad berbicara lagi.


“Gadis istimewa seperti awak, selayaknya mendapat tempat yang lebih istimewa dalam hidup saya.  Bukan sekadar kawan istimewa, tapi…”


Sengaja tidak dihabiskan ayat itu.  Wajah Samirah direnung, menanti saat mata Samirah naik.  Lima saat berlalu.  Samirah sudah tidak tentu hala, dadanya diulit irama k-pop rancak yang berdentam dentum.  Akhirnya wajah Irsyad ditenung.


Dua pasang mata berpaut pandangan. 


“Irsyad, I have to go.”  Tanpa menanti ayat itu dihabiskan Samirah bangun dan cepat-cepat menuju ke pintu.  Debaran yang melanda dadanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.  Pantas kakinya melangkah, bukan menuju ke lif sebaliknya pergi ke arah bilik air. 


Masuk ke dalam bilik air, tubuhnya disandarkan ke dinding.  Tangannya memegang dahi yang basah kerana peluh yang keluar mengiringi debaran di dadanya. 


Oh my, oh my.  This is crazy.  Irsyad Rifqi, you are driving me crazy,” Samirah mengeluh.


 


**********


“Ira, menung apa tu?”


Samirah berpaling ke arah datangnya suara.  Fikiran yang tadi menerawang di sekitar Irsyad Rifqi kembali ke realiti. Baharin mara merapati anak gadisnya.  


“Bila papa balik?”


Baharin tersenyum.  “Baru tadi.  Apa yang dimenungkan sampai tak sedar papa dah balik?”


Samirah sekadar tersenyum.  Dedak di tangan dicampakkan ke dalam kolam.  Pantas ikan koi datang, berebut dedak yang baru jatuh.


“Aidid mana?”


“Dia keluar dengan kawannya.”


Baharin melabuhkan punggung di sisi Samirah.


“Macam mana interview tadi?”


“OK.”  Sepatah jawapan Samirah.  Takkan pula diceritakan kepada Papa si tuan Pengarah Urusan yang menemuduga sebenarnya adalah jejaka kacak dan peramah yang duduk di sebelahnya dalam penerbangan dari LA.


“Rasa-rasanya boleh dapat tak kerja tu?”


“Kalau ada rezeki Ira, dapatlah.”  Jawapan selamat diberikan kepada soalan Papa.  Walhal jawatan setiausaha sudah pun ditawarkan kepadanya. 


“Apa yang Ira menungkan tadi?”


Samirah memandang wajah papanya.  Menular rasa simpati terhadap papa.  Bagaimanalah Papa menghadapi saat getir kehilangan Mama.  Papa tidak pernah menyuarakannya, tetapi Samirah tahu Papa masih menyayangi Mama.


“Papa.. boleh kan kalau Ira nak cari Mama?”


Baharin mengambil nafas panjang-panjang.  Matanya dipejamkan seketika sebelum dibuka dan singgah di wajah anak gadisnya.


“Kalau Papa larang pun… Ira akan cari Mama juga kan?”


Samirah mengangguk.


 “Apa pun yang telah terjadi di antara Papa dan Mama, dia tetap Mama Ira.  Papa tak boleh tukar hakikat itu.  Papa tau Ira marahkan Mama, tapi jangan sampai membenci Mama.”


 “Papa tau Mama ada di mana?”


Baharin menggeleng.


“Aidid tahu.  Papa tak pernah tanya Aidid kerana Papa tak mau tau.  Kalau sampai masanya Papa perlu tau barulah Papa akan tanya Aidid.”


“Kenapa Papa tak mau tau di mana Mama sekarang?  Papa dah bencikan Mama?”


Baharin tidak pasti apakah dia patut menggeleng, atau mengangguk.  Kadang kala terbit juga rasa benci di hati dan kadang kala rasa sayang kepada Latifah menggamit diri.  Yang pasti rasa terkilan kerana gagal menyelamatkan rumah tangga yang sudah lama terbina masih kekal bersarang di hatinya.


“Aidid macam tak suka bila Ira bagi tau Ira nak cari Mama.”


“Ira harus faham, Aidid pun marah dengan tindakan Mama.  Hatinya masih terluka.  Beri dia masa, lambat laun hatinya akan sejuk.   Nanti Papa pujuk Aidid supaya beri tau Ira di mana Mama tinggal sekarang.” 


“Terima kasih Papa.”  Kepalanya disandarkan di bahu Papa.  Baharin memaut bahu anaknya.  Sabarlah hati dengan dugaan ini, bisik Baharin kepada dirinya sendiri.



**********


Pulau Pinang?  Kenapa sampai ke situ Mama pergi?  Siapa yang ada di Pulau Pinang?  Mama orang Selangor dan rasa-rasanya Mama tidak ada saudara mara di Pulau Pinang.


Kalau aku ke Pulau Pinang, di mana nak ku cari Mama?  Aidid kata kali terakhir dia berhubung dengan Mama, Mama sekadar memberitahu dia sudah berpindah ke Pulau Pinang.   Tiada alamat khusus diberikan.  Nombor telefon Mama pula sudah tidak boleh dihubungi.


Sesuatu harus dilakukan agar misi mencari Mama dapat dijalankan dengan berkesan.  Takkan pula aku berulang-alik ke Penang?  Aku mesti dapatkan alamat Mama di Penang.  Kalau tak dapat alamat rumahnya, cuba dapatkan alamat tempat kerjanya.  Eh, Mama kerja apa di Penang? 


Itulah yang berlegar di minda Samirah.  Semakin lama difikir, semakin kusut fikirannya.  Telefon bimbit dicapai untuk melihat jam.  Sudah pukul 2 pagi, namun matanya tidak mahu pejam mengenangkan perihal Mama.  Samirah turun dari katil.  Bilik air dituju.  Wudu’ diambil.  Solat tahajjud dilakukan.


Hati yang lara pasti akan tenang kalau kembali mengingati si pencipta hati.  Dalam deraian airmatanya, Samirah memohon agar dia, papanya dan abangnya diberi kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang tanpa mamanya di sisi.  Dia juga mendoakan kesejahteraan untuk mamanya.  Semoga Mamanya dilindungi dari perkara-perkara yang bercanggah dengan norma agama dan masyarakat.


Usai bertahajjud, solat hajat pula dilaksanakan.  Dalam sujudnya yang panjang, Samirah meminta agar hajatnya untuk bertemu dengan Mamanya diperkenankan Allah.  Dia juga meminta agar usahanya mencari Mama dipermudahkan.


**********


Setiap malam Samirah bertahajjud dan bersolat hajat.  Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan memenuhi permintaan hambanya.  Selepas lima hari hati Aidid terbuka untuk membantu adiknya.


“Aku ada kawan di Penang.  Dia sedang carikan kerja untuk kau.  InsyaAllah dapat kerja nanti kau menetap di sana dan cari Mama.”


Samirah tidak jadi menyuap nasi lemak ke mulut.  Sudu di tangan hampir terjatuh.  Baharin juga bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru keluar dari mulut Aidid.  Dalam hatinya dia bersyukur kerana kata nasihat yang diberikan kepada Aidid hampir setiap hari akhirnya berjaya melembutkan hati keras Aidid.


“Betul ke ni Did?”


“Kau nak sangat cari Mama kan, aku tolonglah.”


Samirah tersenyum.  Dalam hatinya dia bersyukur kerana Allah telah melembutkan hati Aidid.


“Bila boleh tahu?”  Samirah sudah teruja.


“Secepat mungkin.  Tapi kau jangan memilih.  Apa-apa kerja yang dapat, kau ambil saja.”


Samirah mengangguk sambil mengunyah nasi lemak dengan laju.  Tiba-tiba seleranya untuk bersarapan pagi datang. 


“Kita kena cari tempat tinggal juga untuk Ira.”  Aidid bersuara.


“Yang itu tak apa, Papa uruskan.” 


Samirah memandang Papanya dengan rasa terharu. 


“Papa ada sepupu angkat di Penang.  Ingat tak Aunty Kalilah?”


Samirah dan Aidid berpandangan, kemudian sama-sama menggelengkan kepala.


“Ala dulu dia duduk KL sekejap, di Gombak.  Masa tu kamu berdua sekolah rendah.  Kemudian dia duduk di luar Negara, ikut suaminya yang bekerja dengan Kementerian Pelancongan.  Banyak Negara dia duduk.  Lepas suaminya pencen dia orang balik KL, duduk sekejap di Ampang.”


“Oh yang itu!  Aunty Kelly!”  Aidid bersuara.


Bayangan wajah wanita bernama Aunty Kelly perlahan-lahan datang ke minda Samirah. 


“Ha ah, Papa lupa kamu panggil dia Aunty Kelly.  Nanti Papa telefon Kalilah minta dia carikan rumah sewa untuk Ira.”


“Terima kasih Papa… tapi kerjanya kan belum dapat lagi.”


Baharin tersenyum.  Aidid juga senyum.


“Ira tak mau tinggal di Penang tanpa bekerja.  Ira tak mau susahkan Papa.”


“Jangan risau, kawan aku pasti akan dapatkan kerja untuk kau.  Tapi macam aku kata tadi, jangan memilih.  Kerja kilang ke, kerja pejabat ke, aku tak pasti lagi.  Dapat saja kerja tu kau terus terima.  Faham?”


Samirah mengangguk sambil tersenyum.  Sungguh dia tidak kisah apa jawatan yang diberikan kepadanya, asalkan sumber rezekinya halal.


“Terima kasih Aidid.  You are the best brother in the world.”


Bahu Aidid dipaut, kepalanya dilentokkan manja ke bahu Aidid.


“Of course I have to be the best, since I am your only brother.”


Hidung Samirah ditarik.  Samirah mengadoi.  Telinga Aidid pula ditarik oleh Samirah.  Giliran Aidid pula mengadoi.  Baharin memerhatikan dua buah hatinya bergurau, sambil terselit kesyukuran di dalam hati.  Walaupun Latifah meninggalkannya, dua lagi buah hatinya kekal bersama dengannya. 

No comments:

Post a Comment