Sunday 1 December 2013

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 9

Assalamualaikum dan hai2 semua.
Cepatnya masa berjalan, dah masuk ke bulan terakhir tahun ini.  Isma rasa macam tak cukup kaki dan tangan nak buat kerja.  Tapi tak apalah kan, better be busy than be free.

Hujung2 tahun ni, musim hujan dan musim orang kahwin.  Macam kena aje musim hujan dengan musim orang kahwin.  Yang baru kahwin time2 hujan jangan duk terperap dalam bilik lama2 ya. Ha ha ha

SKL sudah dihantar ke penerbit untuk dinilai.  Doakan semoga kita sama2 dapat memeluk SKL edisi cetak.  JGBH pun sudah diintai.  Haruslah Isma berhempas pulas menyiapkan mss JGBH.  Terima kasih atas sokongan u ols.  Jemput baca JGBH bab 9 dan jangan lupa komen ya.


BAB 9


Irsyad Rifqi membaca pesanan ringkas dari Samirah sebanyak tiga kali.  Masih dia tidak percaya dengan apa yang tertera di skrin telefon.  Tapi jelas tertera nama di skrin ialah nama Samirah.  Di bibirnya tersimpul satu senyuman. 


Pesanan ringkas itu dibaca lagi.  Sejak perkenalan di dalam kapal terbang, hanya Irsyad Rifqi yang rajin menghantar pesanan.  Samirah sekadar membalas pesanannya.  Tetapi di pagi Sabtu ini buat pertama kalinya Samirah menghantar pesanan kepadanya.


Pesanan yang bermula dengan perkataan ‘assalam’ itu dijawab.  Butang ‘hantar’ ditekan.  Tidak sampai seminit datang pesanan kedua daripada Samirah. 


+ Awak sihat?

+ Ya.

+ Saya tak mengganggukan?

+ Saya rela kalau yang mengganggu saya awak. 

Irsyad Rifqi tersenyum selepas jawapan itu dihantar.

+ Saya nak jumpa awak. 

Semakin lebar senyuman Irsyad Rifqi.


“Senyum sendiri selepas baca mesej, bermakna yang menghantar mesej itu seorang gadis.”


Irsyad Rifqi berpaling ke arah ayahnya.


“Daddy ni tau-tau saja.”


“So, is this the girl that you met in the airplane?”Soal Dato’ Ibrahim.  Bola golf di hujung kaki dipukul.  Melantun jauh bola itu, jatuh hinggap di atas rumput jauh dari lubang, tidak mencapai sasaran.


Soalan itu dibiarkan tidak berjawab.  Irsyad Rifqi mengambil posisi.  Giliran dia pula memukul bola golfnya.  Cantik pukulannya, bola elok masuk ke dalam lubang.


“Yes.”  Buku limanya digenggam dan tangannya ditarik ke bawah dengan keriangan.  


Dato’ Ibrahim memandang anaknya sambil tersenyum.  Dia rasa dia bakal mendapat menantu keduanya tidak lama lagi.



**********


Tepat jam 11 pagi SUV BMW X3 berwarna perak itu berhenti di hadapan KL Sentral.  Samirah segera menghampiri kereta tersebut.  Irsyad Rifqi sudah berada di sisi pintu penumpang bahagian hadapan, sedia membukakan pintu untuk Samirah.


“Saya tak lambatkan?”


Samirah tersenyum.  Wajah kacak Irsyad Rifqi yang berpakaian kasual hari ini ditenungnya.  Sudah seminggu mereka tidak bertemu, sejak peristiwa temuduga di pejabat Irsyad Rifqi, mereka hanya berhubungan melalui telefon. Itu pun sekadar berwhatsapp.


Irsyad Rifqi menatap wajah Samirah.  Buat seketika mereka saling berbalas renungan dan senyuman.  Irsyad Rifqi menyuakan tangan ke arah pintu kereta, mempersilakan Samirah masuk.


“Abang Di tak ada hari ini?”


“Hujung minggu saya hanya akan panggil Abang Di bekerja kalau ada urusan perniagaan.”


Irsyad Rifqi memandu dengan tenang, membawa keretanya keluar dari kawasan KL Sentral.


“Kita nak pergi mana?”  Samirah menyoal.  Irsyad Rifqi tersenyum, di dalam hati bunga-bunga keriangan sedang mekar.  Riang kerana gadis peneman bicara di dalam kapal terbang sudah ada di sisi. 


“Kita pergi makan, lepas tu kita tengok wayang.  Saya nak bawa awak makan ayam kampung, OK tak?”


Samirah memalingkan badannya ke arah Irsyad Rifqi. Namun wajah Irsyad tidak ditenung.


“Irsyad, maaf.”


Apahal ni, tiba-tiba minta maaf, hati Irsyad bertanya.


“Saya tak biasa tengok wayang dengan lelaki.”


“Hah?” Spontan meletus dari bibir Irsyad Rifqi.  Kepada Samirah diberikan satu pandangan dengan dahi berkerut.


“Saya tau… awak akan anggap saya pelik.  Terpulanglah kalau awak menganggap saya begitu.  Tapi memang… saya tak biasa keluar tengok wayang dengan lelaki... papa… tak benarkan. ”


Jeda.  Irsyad Rifqi berfikir, dia ni memang pelik.  Dah besar panjang macam ni pun masih dikawal ayahnya.   Macam mana ayahnya boleh lepaskan dia belajar sampai ke Amerika, tapi masih dikongkong ketat?  Irsyad Rifqi mengerling ke arah Samirah.  Samirah memandang terus ke hadapan.


Dari perbualan di dalam kapal terbang, dan semasa tiga pertemuan sebelum ini, Irsyad Rifqi dapat merasakan Samirah seorang gadis yang bijak.  Kasihan, bijak tapi hidupnya terkongkong, timbul fikiran itu di benak Irsyad Rifqi.


“Beginilah… memandangkan awak ni banyak sangat pantang larang, apa kata awak bagi cadangan kita nak ke mana dan buat apa?”


Samirah menjeling Irsyad Rifqi, berkerut sedikit dahinya.  Suka-suka hati saja sebut aku ni banyak pantang larang, desis hati Samirah.


“Saya nak pergi ke tempat di mana saya boleh berbual dengan awak tanpa gangguan.”


Irsyad Rifqi tersenyum.  My bedroom, katanya dalam hati.  Tapi itu hanya jenaka nakal yang tiba-tiba menjengah fikiran.  Dia bukan jenis lelaki yang begitu.  Dia masih tahu batasan yang harus dipelihara.


“Dan tempat itu mesti ada ramai orang, ada tempat untuk saya bersolat dan kita boleh pergi dan balik pada hari yang sama.”


“Dan mesti ada makanan yang sedap sebab awak suka makan.”  Irsyad Rifqi menambah.  Samirah tersenyum.  Manis, kata Irsyad Rifqi kepada dirinya. 


Otak mula ligat berfikir.  Tempat yang ada ramai orang, ada tempat solat dan ada tempat makan… hmm… shopping complex.  Tapi bosanlah pergi ke pusat membeli belah.  Apa kata aku bawa dia keluar dari ibu kota, fikir Irsyad Rifqi.  Keretanya dipandu menghala ke lebuhraya.  Tidak sampai satu jam kemudian kereta diberhentikan di tepi jalan. 


“Mi udang di sini sangat sedap.  Jom.”


Matahari sedang tegak di atas kepala ketika Samirah keluar dari kereta.  Di  hadapannya sebuah warung yang menjual mi udang kelihatan penuh dengan pelanggan.  Mereka duduk.  Semangkuk mi udang dan segelas teh o ais limau menjadi hidangan tengahari Samirah.


“Sedap kan?”


Samirah mengangguk sambil tersenyum.


“Awak ni tahu saja di mana ada makanan sedap.”


Irsyad Rifqi pula tersenyum.  Sesudu kuah mi udang disuap ke dalam mulut. 


“Kita nak ke mana sebenarnya Irsyad?”


Irsyad Rifqi mengangkat mukanya.  Matanya tertancap pada wajah Samirah yang sedang tunduk menghirup kuah mi udang.  Apabila Samirah pula mengangkat muka, mata mereka bertembung.  Samirah kehairanan, kenapa lain macam senyuman Irsyad Rifqi.


“Awak lapar sangat ya?”  Irsyad Rifqi bertanya.


“Hah?”  Samirah termangu.


“Tu, lapar sangatlah tu… sampai dagu pun nak makan.”


Sekeping tisu dari dalam kotak di hadapan mereka ditarik dan Irsyad Rifqi mengangkat tangannya, membawa tangannya ke dagu Samirah dan mengesatkan kuah mi yang terkena dagu Samirah.


Samirah terkedu.  Terkebil-kebil matanya memandang Irsyad Rifqi.  Hatinya bergetar.  Ish dia ni, suka-suka je sentuh dagu aku.  Yang aku pulak, kenapa dagu yang disentuh, hati yang bergetar?  Berlegar di fikiran Samirah persoalan itu.



**********


Angin petang berhembus lembut membuai tudung berwarna krim yang dipadankan oleh Samirah dengan kemeja labuh berwarna merah.  Langit cerah disinari cahaya mentari.  Walaupun cuaca panas, pokok-pokok besar di atas puncak Bukit Melawati di Kuala Selangor memberikan teduhan kepada orang ramai yang mengunjungi bukit tersebut.


Monyet-monyet jinak berkeliaran, dari tempat tram berhenti menurunkan penumpang sehingga ke atas puncak bukit.  Samirah terhibur melihat gelagat monyet-monyet tersebut yang langsung tidak takut kepada manusia yang ramai bilangannya pada petang Ahad itu.


“Awak pernah datang sini?”  Irsyad Rifqi bertanya sambil menghulurkan kacang kepada seekor monyet.  Beberapa ekor monyet berkejaran datang mendekati mereka.


“Pernah, tapi dah lama dulu.  Masa tu saya masih di sekolah rendah.  Saya pun tak ingat masa tu ada banyak monyet ke tidak.”


Irsyad Rifqi menghulurkan sedikit kacang kepada Samirah.  Samirah membaling kacang tersebut kepada sekumpulan monyet.  Mereka terus berjalan lalu masuk ke dalam muzium yang terletak di puncak bukit. 


“Kita duduk di situ.”  Kata Irsyad Rifqi selepas mereka keluar dari muzium dan tangannya menunjuk ke arah sebuah bangku panjang.  Kebetulan bangku itu baru sahaja dikosongkan oleh dua orang gadis.


Samirah terlebih dahulu duduk di bangku.  Diikuti oleh Irsyad Rifqi yang mengambil tempat di hujung bangku.  Ada jarak lebih kurang dua kaki di antara mereka. 


I hope this place is OK with you.  Di sini bukan saja ramai orang, monyet pun ramai.  Jadi awak tak perlu risau.


Samirah tersenyum.  Wajah Irsyad Rifqi yang tenang direnungnya lama.  Namun bila Irsyad Rifqi memalingkan wajahnya ke arah Samirah, cepat-cepat Samirah membuang pandangannya.   Dia tidak sanggup bertentangan mata dengan Irsyad Rifqi kerana entah kenapa bila pandangan mereka bertaut, hatinya bergetar.


“Awak kata ada perkara yang awak nak beritau saya.”  Mata Irsyad Rifqi masih tertancap di wajah Samirah.  Aku tak akan jemu menatap wajahmu, bisik hati Irsyad.


“Kan awak pun ada benda nak cakap dengan saya.  Awaklah dulu.”


No.  Ladies first.”


Irsyad Rifqi bersandar.  Suasana petang di Bukit Melawati sangat menyegarkan.  Dia merasa tenang, apatah lagi ada gadis manis di sebelahnya.  Kalaulah setiap hari dia boleh menikmati suasana begini.  Tapi realitinya setiap harinya penuh dengan kesibukan.


“Irsyad.”  Lembut suara Samirah memanggil, terasa bagaikan bayu lembut mengelus telinganya.  Wajah manis Samirah ditatap semula. 


 “Terima kasih sebab tawarkan saya bekerja.  Saya minta maaf… saya tak boleh terima tawaran tu.”


“Awak tak sudi bekerja dengan saya?”


“Bukan tak sudi… tapi.”


“Saya naikkan gaji awak.”


“Bukan sebab gaji… sebab...”


Samirah mengangkat matanya.  Bertembung dengan mata Irsyad Rifqi yang seolah-olah tidak mampu memandang ke arah lain.  Kali ini Samirah memberanikan diri melawan renungan mata Irsyad Rifqi.


“Saya nak berkawan dengan awak.  Saya tak boleh berkawan dengan bos sendiri.”


Terukir senyuman di bibir Irsyad Rifqi. Dia  mau berkawan dengan aku pun sudah cukup baik, bisik hatinya.


“Lagi pun saya nak bekerja di tempat lain, di luar KL.”


Senyuman di bibir Irsya Rifqi hilang.  “Awak nak bekerja di mana?”


“Penang.”


“Kenapa?”


Samirah menarik nafas.  “Saya nak cari Mama saya.”


Kening Irsyad Rifqi hampir bercantum.  Wajah Samirah direnung.  Pandangan matanya mengisyaratkan dia mahu penjelasan.


“Irsyad, awak pernah berjauhan dengan keluarga?”


“Pernah.  Saya tinggal di UK selama enam tahun.  Empat tahun saya belajar dan kemudian bekerja di London dua tahun.”


“Masa awak di sana, tentu awak rindukan keluarga awak kan?”


Irsyad Rifqi mengangguk.  Dahinya masih berkerut, cuba meneka apa yang ingin disampaikan oleh Samirah.


“Saya pun macam tu.  Saya rasa seronok sangat dapat balik ke tanahair.  Rindu sangat kepada mama, papa dan Aidid.  Tapi bila saya balik, saya dapat tahu…”


Ayat Samirah terhenti di situ.  Tiba-tiba rasa sebak menyerang dada, hingga jika dia meneruskan bicara pasti akan jatuh airmatanya.


“Samira.”


Irsyad Rifqi mengalihkan badannya dari tempat sandaran.  Rapat sedikit dengan Samirah agar dia dapat menatap wajah manis itu dengan lebih jelas.  Dalam hatinya tertanya-tanya kenapa nada suara Samirah sudah berubah.


Wajah Irsyad Rifqi ditatap.  Irsyad Rifqi terpempan melihat mata Samirah yang berkaca.  Sapu tangan di dalam kocek dikeluarkan dan dihulurkan kepada Samirah.


“Papa dan Mama dah bercerai.”  Ayatnya dihabiskan.  Sapu tangan Irsyad Rifqi disambut.  Air jernih meluncur di atas pipi.


“Sudah sebulan saya balik, saya masih belum jumpa Mama.  Telefon pun tak dapat, Mama dah tukar nombor handphone.”


If you don’t mind me asking… kenapa papa awak ceraikan mama awak?”  Entah-entah sebab ayah dia terlalu mengongkong, desis hati Irsyad Rifqi.


“Mama yang minta.  Saya nak jumpa Mama… saya nak dengar sendiri dari mulut Mama… kenapa perceraian ini berlaku.”


“Saya simpati.  Tentu sukar bagi awak menghadapi situasi ini.”


Samirah sekadar menganggukkan kepala, mengiyakan apa yang dilafazkan oleh Irsyad Rifqi.

Irsyad Rifqi pula tidak berkalih matanya dari wajah manis yang sedang berduka.  Betapa dia ingin sekali merangkul bahu Samirah dan menariknya ke dalam dakapan, menyeka airmata di atas pipi mulus itu dan membisikkan di telinga Samirah bahawa dia mahu berkongsi kesedihan dengan Samirah.


“Kalau awak perlukan bantuan, jangan segan beritau saya.  Kalau awak perlukan bahu untuk menangis, telinga untuk mendengar, kawan untuk bercerita… carilah saya.”


Pantas mata Samirah menangkap wajah Irsyad Rifqi.  Terpancar keikhlasan di sebalik renungan dan senyuman nipis yang diberikan kepada Samirah.  Masing-masing diam, saling merenung ke arah satu sama lain.  Mata yang bertaut bagai berbicara, hati mereka seolah-olah berkongsi getaran rasa yang sama.


“Irsyad,” akhirnya Samirah bersuara setelah airmata habis dikesat. “Apa yang awak nak bincangkan dengan saya?”


Terus Irsyad Rifqi teringat perkara yang sering mengganggu benaknya semenjak pertemuan mereka yang lepas.  Wajarkah ditanya tentang perkara itu sekarang?


“Irsyad.”  Samirah memanggil lagi.  Aduh, lembut suaranya ketika menyebut namaku, desis Irsyad Rifqi dalam hati.  Matanya melurut ke bawah, ke arah jari jemari Samirah yang terletak di atas pehanya.  Cincin itu masih ada di jari.


“Saya… saya nak tanya… tentang cincin itu.”


Samirah mengangkat jarinya.  Cincin itu direnung seketika sebelum dia berkata “ini cincin perkahwinan Mama.  Mama sudah tak mau cincin ini, jadi dia minta Aidid berikan kepada saya.”


Sekali lagi Samirah sebak.  Menyelinap rasa bersalah di dalam hati Irsyad Rifqi kerana membuat Samirah sedih sekali lagi.  Namun di sebalik rasa bersalah itu, ada kelegaan yang amat besar dalam hatinya. 


“Errm… saya tak sepatutnya tanya.  Maafkan saya kalau soalan bodoh saya tu buat awak sedih.”


It’s OK Irsyad.  Kalau awak tak tanya pun, setiap kali saya pandang cincin ini… saya terkilan, sedih, kecewa.  Tapi saya tak boleh selamanya bersedih… takdir tak boleh diubah… hidup mesti diteruskan.”


Irsyad mengangguk, sambil matanya tetap tertancap di wajah Samirah.  Setiap inci wajah yang sedang memandang ke hadapan itu ditelitinya.  She’s pretty even when she’s sad, hati Irsyad Rifqi berbisik. 


Samirah berpaling.  Matanya segera menangkap renungan Irsyad Rifqi.  Sekali lagi mata mereka bertaut, kali ini lebih lama.  Lembut renungan mata Irsyad Rifqi, memberi satu getaran di dalam hati Samirah.  Perasaan aneh yang menyelinap ke tangkai hatinya sungguh tidak difahami.  Belum pernah dia berani menatap wajah seorang lelaki dengan lama.  Belum pernah juga hatinya bergetar saat matanya bertaut dengan mata seorang lelaki.


Perlahan-lahan senyuman terukir di bibir Irsyad.  Bunga dalam hati mengembang mekar.  Kalaulah kelegaan yang dirasakan boleh diterjemahkan dengan kata-kata, ingin diluahkan semuanya kepada Samirah.  Sabar Qi… sabar.  Kena guna ayat yang sesuai.  Kan dia masih bersedih.  Kena guna ayat power yang boleh bikin dia gembira, teruja dan menyentuh hatinya.


“Samira… I have a confession to make,” suara Irsyad Rifqi kedengaran bagai berbisik di telinga Samirah.


Confession?  Confession tu pengakuan.  Aik, apa yang dia nak mengaku?  Hati Samirah bertanya sambil matanya menerawang ke seluruh wajah kacak yang sedap mata memandangnya.


“Saya… saya lega bila dapat tau… cincin di jari awak itu bukan pemberian dari seorang lelaki.”


“Kenapa?” dengan pantas Samirah bertanya, kedengaran sungguh naïf soalan itu pada pendengaran Irsyad Rifqi.


“Sebab, satu hari nanti bila awak terima cincin daripada seorang lelak, saya harap lelaki itu ialah saya.”


Samirah terkedu.  Bibirnya terbuka.  Perlahan-lahan kepalanya dipalingkan.  Benaknya mula mencerna lafaz dari Irsyad Rifqi tadi, memikirkan maksud di sebalik kata-kata Irsyad Rifqi.  Apabila seseorang lelaki memberikan cincin kepada seorang perempuan, apakah itu bermaksud dia melamar perempuan itu?  Apakah Irsyad Rifqi berharap untuk melamar aku satu hari nanti?  Ish, bukankah masih terlalu awal untuk memikirkan hal itu, mereka baru sahaja berkawan.  Ish tak mungkinlah.  Jangan perasan Samirah, kata akalnya.


Namun kenapa hatinya juga berdebar?  Kenapa telinga ini senang dengan ayat yang diucapkan oleh Irsyad Rifqi?  Bibir ini pula, kenapa mudah menguntum senyuman?  Dan mata, kenapa pantas mengerling wajah kacak itu?

No comments:

Post a Comment