Wednesday 25 December 2013

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 13


Tuai padi antara nampak

Esok jangan layu-layuan

Intai kami antara nampak

Esok jangan rindu-rinduan


Kenapa pula lirik lagu Gurindam Jiwa yang sangat papa minati itu terngiang-ngiang di telinga?  Kalau setakat pantun yang terdengar-dengar di telinga tak apa lagi.  Masalahnya sekarang wajah dia pun terbayang-bayang di mata.


Haish, apa ni Ira?  Kau tak boleh bercinta.  Belum masanya untuk jatuh hati pada seorang lelaki.  Ingat priority kau sekarang ialah mencari mama.  Dapat jumpa mama nanti kena buat pula langkah kedua dalam action plan.  Pujuk mama supaya kembali ke pangkuan keluarga.  Rayu mama sampai dia setuju rujuk dengan papa.  Tindakan ketiga dalam action plan ialah rancang percutian khas untuk mama dan papa.  Let them spend time together, supaya boleh rapatkan semula hati yang renggang dan cantumkan semula cinta yang terputus.  Hah, bila mission accomplished barulah aku boleh bercinta.  Itu pun kalau ada yang sudi bercinta dengan aku.


Samirah bangun.  Rasanya sudah hampir sejam dia berbaring di sofa.  I better do something, or else his face keeps appearing in front of my eyes, tutur Samirah perlahan kepada dirinya sendiri.


Langkah dihayun menuju ke pintu.  Selepas pintu dibuka, kaki pantas menyarung selipar.  Dibawa kaki melangkah menuju taman mini di sebelah rumah.  Ikan-ikan koi yang riang berenang dipandang.  Mula-mula memang ikan koi yang dia nampak.  Lama-lama, ada bayangan wajah jejaka pengarah urusan dalam air. 


Samirah memusing kepala ke kanan.  Mana ada sesiapa di sebelahnya.  Habis tu, kenapa pula aku nampak dia dalam air kolam tadi.  Adoi, apa dah jadi ni?  Hmm, tak naklah.  Tak naklah nampak muka Irsyad di mana-mana.  Tolonglah Irsyad Rifqi, pergilah dari minda aku.  Janganlah ekori aku setiap masa.


Tak  boleh jadi ni. I have to keep myself busy.  Maka Samirah masuk semula ke dalam rumah.  Terus dia naik ke biliknya.  Almari pakaian dibuka.  Sehelai blaus labuh berwarna peach dengan corak bunga-bunga kecil keluarkan dari almari, diikuti dengan sehelai skirt labuh berwarna merah.  Tudung berwarna peach juga dikeluarkan.  Rancangannya dia hendak pergi ke pejabat papa, mana tau kot-kot ada kerja yang boleh dibuat untuk membantu papa.


Segera pakaiannya ditukar.  Sedang dia elok meletakkan selendang peach di atas kepala, telefon bimbitnya berbunyi.  Samirah bergerak ke katil dan mencapai telefonnya.  Nombor yang tertera di skrin tidak dikenalinya tetapi panggilan itu dijawab juga.


Si pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai Wendy.  Katanya dia dari Kolej SEGI.  Mendengar nama kolej disebut, dada Samirah mula berdegup kencang.  Harap-harap ada berita baik, bisik hati Samirah.


Dan seperti yang diharapkan, Wendy menyampaikan berita baik bahawa Samirah diterima bekerja di kolej tersebut.  Dia perlu melapor diri minggu depan di kampus Subang sebelum dipindahkan ke kampus Pulau Pinang.  Samirah melafazkan syukur.  Hati girang tidak terkata.  Kawan baik merangkap kekanda mesti diberitahu.


“Aidiiiid!   I have good news.”  Samirah menjerit kegirangan bila suara Aidid kedengaran di hujung talian.


“Apa kes?  Irsyad Rifqi nak masuk meminang ke?”


“Aidid!  Apalah kau ni.  Tak habis-habis Irsyad Rifqi.”


Well, isn’t he the centre of your life now?”


Samirah mencebik.  Kalaulah Aidid ada di depan dia sekarang, akan dicubit lengan Aidid sampai lebam, macam tiga hari lepas.  Memandai je kata hidup aku sekarang berpusatkan Irsyad Rifqi.  Bila masa pulak?  Mamat rambut pacak tu bila berjumpa bukan main mengayat.  Tapi lepas tu senyap.  Ni dah tiga hari tak ada khabar berita.  Call tidak, whatsapp pun tidak.  Takkan aku pula yang contact dia, nanti dia tau aku… rindu.  Haish!  Apa ni Ira.


“Hoiiii, hello!!! Kau dah sampai mana tu?  Ke dah sesat dalam hati Irsyad Rifqi?”


“Did, kau ni banyak sangat merepeklah.  Aku ada la ni, saja aku senyap nak tunggu the next rubbish that will come out from your mouth.”  Samirah bagi satu ayat untuk cover line. 


Rubbish ya.  OK, esok-esok nak bantuan jangan cari abang kau ni ya.  Pergilah cari Irsyad Rifqi.  Wah, mentang-mentang dah ada boyfriend, abang kau ni kau buat macam sampah ya.”  Aidid sudah merajuk. 


“Ala Did, janganlah cakap macam tu.  Kau satu-satunya saudara kandung aku.  Mana boleh aku anggap kau macam sampah.  Sorry ya Did.  Jangan marah aku ya.”  Di hujung talian Aidid tersengeh.  Bila masanya aku marah.  Saja aku nak mengusiklah.



“Kenapa kita mesti ambil surat tu hari ni?”  Soal Aidid sambil memandu.  Dia sibuk sangat hari ini.  Tapi bila Samirah menelefon meminta temankan dia pergi mengambil surat tawaran kerja dari Kolej, ditinggalkan kerja yang menimbun di pejabat untuk menemani adiknya.


“Sebab minggu depan aku dah start kerja.” Samirah memandang ke hadapan.  Bukannya dia tidak boleh pergi sendiri, tapi kalau ada Aidid senang sikit.  Suruh Aidid tunggu sekejap dalam kereta sementara dia naik ke pejabat Sumber Manusia di tingkat tiga untuk mengambil surat tawaran.  Kalau pergi sendiri dia terpaksa bersusah payah mencari tempat parkir kereta.


“Cepatnya.”  Aidid mengerling Samirah di sebelah.  Terbit rasa sedih.  Lepas ini berjauhan lagi dari Samirah.  Tinggalah dia berdua dengan papa dalam rumah besar yang sepi.


“Kerja dua minggu kat sini lepas tu baru transfer ke Penang.  Dua minggu tu orientation and training.”


Aidid lega.  Sekurang-kurangnya ada masa dua minggu lagi untuk bergaduh dengan Ira.  Sebenarnya Aidid risaukan papa.  Dia tau papa seronok sangat bila Ira balik.  Tapi baru dua bulan rumah mereka riuh dengan keceriaan Samirah, sudah hendak pergi bekerja di Pulau Pinang pula.


“Kau tunggu kejap ya.”  Pantas tangannya menolak pintu kereta dan Samirah meluru ke arah Bangunan.  Lif sampai terus dia naik ke tingkat tiga.  Pekerja bernama Wendy ditemui.  Surat tawaran ditunjukkan dan syarat dan terma perlantikan diterangkan serba ringkas.  Tanpa berlengah Samirah menandatangani surat itu, mengesahkan dia menerima tawaran kerja tersebut.  Satu salinan surat diambil dan Samirah segera turun menemui abangnya yang sabar menunggu dalam kereta.


“Dah settle semua?” Tanya Aidid.  Kereta mula digerakkan.  Samirah mengangguk.  Sampul surat dibuka semula dan surat tawaran kerja dikeluarkan.  Dengan penuh teliti dibaca sekali lagi setiap bait perkataan yang ada dalam surat.  Aidid di sebelah terus memandu tanpa diperdulikan. 


“Ira, kita pergi makan dulu.  Lepas tu aku hantar kau balik.”


“OK.” Sepatah jawapan pendek diberikan.  Fikiran hanya tertumpu pada surat yang sedang dibaca.



Ini semua Angah punya pasal.  Kalau tidak tak kuasa aku menemankan si Nelly ni bershopping.  Angah ni pun satu.  Pandai-pandai berjanji dengan Nelly, aku yang jadi mangsa.  Irsyad mendengus.  Kakinya sudah letih merayap dalam kompleks One Utama. Walaupun dia punya wang segala, membeli belah bukanlah perkara yang disukainya.  Menemani perempuan membeli belah lagilah dia tak suka.  Buang masa saja.  Kalau duduk di pejabat banyak urusan yang boleh dibereskan.


“Qi”  Nellyza memanggil dengan manja.  Anak Tan Sri Hussin ni memang manja.  Anak bongsu, perempuan tunggal pula tu.  Dari kecil ditatang bagai minyak yang penuh.  Sentiasa dapat apa yang diingini.  Cuma satu saja yang dia tak dapat, bisik hati Irsyad Rifqi.  Dia tak dapat Angah aku.  Kalau jadi kakak ipar aku ni, pening mummy.  Banyak kerenah perempuan ni.  Muka lawa, tapi perangai kureng.  Tapi tak taulah, kot-kot Angah boleh jinakkan perempuan ni.


“Qi!”  Irsyad berpaling perlahan-lahan.  Takkan nak buat-buat tak dengar lagi.  Si Nelly yang cantik manis ni pun dah makin hampir dengan dia, mustahillah tak dengar suara manja menggoda tu memanggil.


Nelly memandang dengan muka sedih.  Memang dia sedih pun.  Janjinya Qeef yang datang mengambil dia di KLIA semalam.  Tapi dihantarnya Rafidi, pemandu Rifqi.  Kemudian sepatutnya hari ini dia lunch dengan Qeef dan shop together.  Well actually not really shop together.  She does the shopping, Qeef be the chaperone.  Tapi pagi ni yang muncul di hadapan kondonya ialah Rifqi.  Ada ke patut Qeef buat dia begini?


“Mana angah you ni?”


Cantik, bergaya, kaya… tapi tak pandai.  Desis hati Irsyad.  Perempuan kalau muka saja cantik, tapi akal tak cantik, bukan stock aku.  Macam manalah Angah boleh tersangkut dengan kau dulu?  Hati Irsyad berbicara lagi.


Qi, do you hear me?  Where is your brother?  Has he called?


Irsyad memandang Nellyza dengan hati yang sudah mula nak naik darah.  Dahlah aku kena temankan dia shopping, dia buat aku macam office boy dia pula.  That’s it.  This will be the last time I am doing  this.  Next time, no.  No more next time Angah.  Telefon dikeluarkan.  Pantas nombor Angahnya ditekan. 


Angah, where are you?  Nelly dah nak menangis tunggu kau.”


Suara Angah di hujung talian bagai dengar tak dengar.  Dalam terowong agaknya dia ni, fikir Irsyad.


“Kejap Qi, kejap.  Angah dalam terowong ni.  Line hilang-hilang la.”


Betul pun.  Mungkin dia dalam Terowong Menara sekarang.  Eh, apahal pulak Angah masih dalam terowong, sepatutnya dia dah sampai Bandar Utama sekarang.  Fikir Irsyad Rifqi.


“Ha Qi.  Angah dah keluar terowong.  Lagi sejam setengah Angah sampailah, kalau tak jam.”  Irsyad Rifqi mula panas hati bila dengar ayat abangnya.  Inilah yang dipanggil janji Melayu, desis hatinya.


“Apasal lambat sangat Ngah, ni dah lunch time dah ni.”  Berkerut dahi Irsyad.  Suaranya juga ada nada bengang. Janganlah aku kena temankan Nelly lunch pula.  Temankan dia bershopping pun dah cukup menyeksakan. Kalau kena makan dengan dia bertambahlah azab dunianya.


Sorry Qi.  I got held up.  Lambat keluar tadi.”  Nak dimarah pun tiada guna.  Irsyad hanya mampu melepaskan satu keluhan.


“Qi, bagi I phone you.”  Belum sempat berbuat apa, Nelly sudah menyentuh tangannya, cuba mendapatkan telefon dari Irsyad.


Baby, where are you sayang?  I dah lama tunggu.  Dah habis shopping dah.  Perut dah lapar ni.  Cepatlah sampai baby.”


Baby?  Irsyad rasa nak termuntah mendengar Nellyza merengek.  Nasib kaulah Angah, ada perempuan tak cukup akal tergilakan kau.  Mujurlah Samirah tidak begitu.  Samirah… dah tiga hari tak berhubung dengan dia.  Irsyad rindu… tapi sepanjang tiga hari lepas dia terlalu sibuk.  Daddy dan mummy pun datang ke KL, makin bertambah kesibukannya.  Hari ni pula terpaksa menggantikan Angahnya sekejap.  Sekejap apa?  Dah separuh hari aku layan si kuat merengek ni.  Angah memang nak kena.  Konon paling lewat pun pukul 11 dia sampai.  Ini dah pukul 12.


Irsyad bergerak meninggalkan Nellyza.  Tak kuasa dia mendengar rengekan yang dibuat kepada Angahnya.  Entah apalah yang dibebelkan sampai dah dekat tujuh minit Nelly bercakap.  Hai perempuan, ada susah… tak ada pun susah.  Kata Irsyad dalam hati.


Sebab itulah aku suka Samirah.  She’s simple.  Tak over.  Tak mengada.  Sudah hampir dua bulan mengenali gadis kecil molek itu belum pernah dia menemani Samirah membeli belah.  Makan pun tak kisah di warung atau gerai.  Pakaiannya ringkas dan sopan.  Wajahnya tak dibaluti mekap tebal seperti Nellyza yang bersolek bagaikan nak buat persembahan pentas.  Dan yang paling penting dia bijak.  Tak bercerita benda yang remeh-temeh.  Dan yang terpaling penting, dia menjaga solat.

           

Cuma satu saja masalah dengan Samirah.  Hidupnya terlalu dikongkong.  Irsyad teringin nak belanja Samirah tengok wayang tapi tak boleh.  Bila keluar mesti balik cepat, tak boleh melebihi 9.00 malam.  Cuma tiga hari lepas, mungkin kerana terlalu seronok berbual dengan Jali, Samirah tak sedar mereka sudah melepasi curfew hour.  Bila keluar juga tempat yang dituju mestilah tempat awam, yang ada ramai orang.  Namun semua itu bukan masalah bagi Irsyad.  Sebaliknya menjadikan Samirah lebih unik di hatinya. 


Bibir mengukir senyuman.  Hati berbunga riang.  Itulah yang terjadi bila Samirah berada dalam mindanya. 


“Qiii!”


Kacau betullah minah merengek ni.  Terus hilang bayangan wajah Samirah.  Dalam keterpaksaan Irsyad berpaling.


You ni pekak ke?  Tiga kali I panggil.  Angah you kata dia lambat.”  Telefon bimbit Irsyad dihulurkan kepada tuan punya sambil Nelly mencebik bibir


“I laparlah.  Jom kita lunch.  Tak payahlah tunggu Angah you.  He promised to replace it with a candle light dinner tonight.”


Irsyad Rifqi menelan liur.  Benda yang paling aku tak nak buat dah disebut si merengek ni.  I have to find way to escape from her.  Otak Irsyad Rifqi segera berfikir.


“I am sorry Nelly, I can’t accompany you for lunch.”


Nelly memandang dengan tajam.  Habis aku nak makan dengan siapa?  Takkan nak makan sorang-sorang.  Nanti kalau ada yang nampak, malulah.  Nellyza binti Tan Sri Hussin tak ada kawan.  Balik Malaysia sekali sekala pun tak ada yang sudi makan dengan dia.  Oh, poor rich girl.  Mencerun mata Nelly memandang Irsyad.  Adik dengan abang, sama!  Bikin hati aku panas.  Dengus hatinya. 


I kena balik office.  Pukul dua I ada meeting.  I hantar you balik ke kondo sekarang.”


Irsyad terus angkat kaki, berjalan laju menuju ke arah escalator.  Telefon bimbit dikeluarkan dan Rafidi diarahkan datang segera ke pintu depan One Utama.  Nelly yang memandang dengan wajah masam mencuka tidak dihiraukan.  Sudahnya Nelly terpaksa juga mengikut   arah Irsyad Rifqi berjalan.



 “Apasal kita ikut jalan ni?”


Samirah memandang abangnya dengan kehairanan.  Dari USJ balik ke Taman Melati, kan lebih senang ikut Lebuhraya KESAS.  Lepas tu masuk MRR2, terus saja sampai Taman Melati.  Kenapa pula Aidid ambil jalan menghala ke Bandar Utama?


“Aku nak jumpa kawan kat OU kejap.”


Oh, nak ke One Utama rupanya, patutlah.  Samirah mengangguk.  Jalan yang dilalui banyak pula simpang dan lampu isyarat.  Cuaca panas di luar.  Perut sudah kenyang.  Aidid memandu, Samirah mengantuk dan akhirnya terlelap.  Sedar-sedar kereta sudah diberhentikan di hadapan One Utama.


“Hah, tu kawan aku.  Kau tunggu kejap ya?” kata Aidid selepas Samirah dikejutkan.  Mata Samirah segera memandang ke arah seorang lelaki yang berdiri di pintu depan One Utama.


“OK.”  Jawap Samirah.  Aidid segera keluar dari kereta dan berjalan ke arah kawannya.  Di hadapan kereta mereka, terparkir sebuah SUV BMW X5 berwarna perak.  Samirah kenal SUV itu.


“Itu kereta Irsyad,” kata Samirah kepada dirinya.  “Irsyad ada kat sini ke?”  Samirah bertanya pula kepada dirinya.


Tiba-tiba Samirah rasa teruja.  Dia keluar dari kereta dan berdiri di sisi kereta MyVi.  Kepalanya meninjau ke kiri dan kanan.  Tak nampak pun Irsyad.  Lagi pun cermin BMW tu gelap, bukannya boleh nampak ada orang atau tidak di dalam.  Melainkan Samirah berdiri betul-betul di sebelah BMW tu.


Pintu pemandu dibuka.  Hmm, betullah itu kereta Irsyad.  Yang keluar tu Rafidi, pemandu Irsyad.  Rafidi bergerak ke belakang dan membuka bonet kereta.  Dan susuk tubuh itu muncul.  Segak bergaya ringkas dengan kemeja dan bertali leher.  Siap memakai kacamata hitam.  Di tangan kiri dan kanannya penuh dengan beg-beg kertas.


Samirah mara tiga langkah ke depan.  Sungguh dia teruja melihat Irsyad Rifqi.  Ini satu kebetulan yang menggembirakan.


“Ir..!.”


Kaki berhenti melangkah.  Suku kata kedua nama Irsyad tak jadi keluar dari mulut.  Mata melekat pada seorang gadis yang baru keluar dari kompleks One Utama, menuruti di belakang Irsyad Rifqi.  Tangan gadis itu pun penuh dengan beg-beg kertas.  Irsyad membantu gadis tersebut memasukkan beg-beg kertas itu ke dalam bonet.  Kemudian masuk dalam kereta melalui pintu kanan.  Si gadis cantik bergaya itu pula masuk melalui pintu kiri.


Samirah memandang hampa ke arah kereta Irsyad yang mula bergerak.  Tak apalah, tak ada rezeki nak tegur dia.  Entah siapalah perempuan tu?  Aidid keluar dari kompleks One Utama dan kehairanan melihat wajah muram adiknya.  Kemudian memandang pula ke arah depan, di mana mata Samirah tertancap.


Kereta berwarna perak itu berhenti.  Mengundur sedikit.  Pintu penumpang sebelah kanan terbuka.  Kaki dibaluti seluar berwarna biru gelap dan dibaluti kasut hitam berkilat menjulur keluar.  Kemudian keluar pula tuan kaki.  Memandang ke arah Samirah dan berjalan dengan penuh keyakinan ke arahnya.  Samirah terpempan.  Dua langkah, tiga langkah dan lima langkah kemudian Irsyad Rifqi sudah berada di hadapannya.


“Samira.  Buat apa kat sini?”  Soal mamat korporat berambut pacak sambil membuka cermin matanya.  Kemudian dia memandang pula ke arah Aidid sambil tersenyum.


“Aidid pun ada.” Irsyad tersenyum dan menghulurkan salam.  Pantas disambut oleh Aidid.


“Awak sihat?”  Lembut suaranya bertanya khabar.  Manis wajahnya menguntum senyuman.  Terbit rasa bersalah dalam diri Irsyad kerana sudah tiga hari tidak menghubungi Samirah. 


“Tadi tak berapa sihat.   Sekarang jumpa awak terus sihat.”  Senyuman Irsyad melebar.  Wajah Samirah bertambah manis.


“Qi!”  Nyaring suara Nellyza berteriak.  Hilang riak ceria di wajah Irsyad.  Timbul riak siapa-tu di wajah Samirah.  Aidid pun memanjangkan leher melihat perempuan berkaca mata hitam, memakai gaun warna ungu lembut paras lutut dan kasut tinggi tiga inci bertumit runcing yang sedang mencekak pinggang memandang ke arah mereka.


I got to go,” kata Irsyad.  Ada nada kesal dalam suaranya dan ada juga riak bengang di wajahnya.


“Nanti I call.  Promise.”


Samirah mengangguk.  Sedih.  Belum sempat bertanya lebih-lebih Irsyad  harus pergi.   


“Cepatlah Qi!  Panas ni!”


Dan kelibat Irsyad Rifqi menghilang dalam kereta berwarna perak itu. 




“Kau rasa perempuan tu siapa ya?”  meletus juga dari mulutnya walaupun ditahan-tahan.  Dari tadi dia diam.  Sepatah ditanya Aidid, jawapannya bukan berpatah-patah tapi sekadar gelengan dan anggukan.


Aidid tersenyum.  Kata tak ada rasa apa-apa, tapi kenapa ada nada cemburu dalam suara adik aku ni?


Definitely not his girlfriend.”  Aidid menjawab dengan yakin.


“Mana kau tau?”


“Aku lelaki, aku taulah.”


Jawapan Aidid ni tak membantu langsung, getus hati Samirah.  Habis tu kalau bukan girlfriend, siapa?  Kakak?  Tak mungkin.  Kakak Irsyad tinggal di Alor Setar.  Perempuan tu pun tak ada iras Irsyad.  Walaupun nampak dari jauh, Samirah boleh nampak dengan jelas memang tak ada iras Irsyad.


“Cemburu ke?”


“Mana ada.  Merepeklah kau ni!” 


“Aku merepek atau kau menipu diri sendiri?”


Samirah diam.  Abangnya dijeling sekilas.  Kalau aku tak cemburu, kenapa hati aku berdegup-degup bila dia terus pergi selepas perempuan itu panggil? 

No comments:

Post a Comment