Tuesday 10 December 2013

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 10


BAB 10


Samirah mengucapkan syukur kerana temuduga di sebuah kolej universiti di Subang berjalan dengan lancar.  Jika berjaya, dia akan ditempatkan di kampus Pulau Pinang kolej universiti tersebut.  Hajatnya untuk bekerja di Pulau Pinang sambil mencari Mamanya akan menjadi kenyataan.


Kereta dipandu dengan berhati-hati.  Sudah lama dia tidak memandu di Kuala Lumpur yang sentiasa sesak jalanrayanya.  Terlalu berhati-hati pun masalah juga, asyik kena hon dengan pemandu di belakang.  Rasanya lebih senang memandu di Lousiana, Amerika Syarikat daripada memandu di Kuala Lumpur.  Di sana, jarang sekali mereka bermain hon.  Di sini, sikit-sikit kena hon.


Melalui Jalan Tun Razak, fikirannya singgah di wajah Irsyad Rifqi.  Apa khabar dia?  Sejak kunjungan ke Bukit Melawati sudah seminggu lebih mereka tidak berjumpa.  Hanya sekali ahli korporat muda itu menghubungi Samirah.  Itu pun mereka sekadar berbual di telefon sekejap.  Kata Irsyad dia sibuk dan perlu menghadiri mesyuarat.  Selepas itu tiada khabar daripadanya.


Mungkin dia sibuk.  Eh, bukan mungkin.  Pasti dia sibuk.  Sekarang Samirah sudah semakin mengenali Irsyad Rifqi.  Anak bongsu dari pasangan Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah.  Anak bongsu sepatutnya manja, tetapi Irsyad Rifqi tiada masa untuk bermanja.  Setiap hari dia sibuk menguruskan syarikat pengurusan resort yang diasaskan oleh bapanya.  Kata Irsyad, Abangnya tidak berminat dengan perniagaan itu jadi kepada Irsyadlah bapanya bergantung harap untuk meneruskan perniagaan.  Kakaknya pula kini tinggal di Alor Setar, mengikuti suaminya yang bertugas dengan kerajaan negeri Kedah.


Samirah faham kesibukkan Irsyad Rifqi.  Sebab itu dia tidak berkecil hati apabila Irsyad jarang menghubunginya.  Dia pun selesa dengan perhubungan begini.   Tidak terlalu rapat, tidak terlalu kerap berjumpa dan tidak juga setiap hari berbual di telefon.


Leka melayan fikiran, Samirah tidak perasan dia mengikut kereta di hadapannya dengan rapat.  Entah apa yang menghalang, tiba-tiba kereta itu berhenti mengejut.  Samirah menekan brek sekuat hati, namun sudah terlewat.  Bahagian hadapan keretanya sudah mencium bahagian belakang kereta Suzuki Swift berwarna merah itu.  Mujurlah hentamannya tidak kuat.


Cepat-cepat Samirah memberi isyarat kecemasan.  Kereta diparkir dan dia segera keluar.  Dari dalam Suzuki Swift merah, seorang gadis berambut panjang keluar.  Gadis yang memaking legging berwarna merah jambu, blaus pendek berwarna hitam dan kasut tinggi bertumit runcing lima inci itu segera meluru ke belakang kereta.  Dia menunduk melihat kerosakan akibat hentaman daripada kereta Samirah.


“Hey, macam mana you drive hah?  You drive sambil tidur ke apa?”  Cermin mata hitamnya ditolak ke atas rambut yang diwarnakan perang.  Samirah terkedu.  Muka cantik tapi mulut macam longkang, bisik hatinya. 


“Tengok ni, habis kereta boyfriend I!”


“Cik, maafkan saya.  Saya tak sengaja.  Cik break last minute, saya tak sempat mengelak.”


“Mana ada I break last minute.  You tu drive tak pakai mata!”


MasyaAllah, garangnya perempuan ni.  Langsung tak ada budi bahasa.  Kot ya pun marah, jagalah sikit mulut tu, bisik Samirah di dalam hati.


“Cik, kan saya dah minta maaf?  Lagi pun calar sikit saja ni. Kereta saya lagi teruk.”


“Hei apa you kata?  Memanglah you ni tak ada mata, cuba tengok betul-betul.  Teruk tu.”


Samirah menundukkan badannya sekali lagi.  Kesan perlanggaran tadi diamatinya betul-betul.  Memang sah, hanya sekadar calar.  Mata berpaling pula ke arah kereta MyVi Aidid.  Hmm, bukan setakat calar, kemek sedikit di bahagian bawah plet kereta.


Tubuhnya ditegakkan.  Mata segera memandang ke arah gadis biadap yang sedang mencerlun matanya memandang Samirah sambil berpeluk tubuh.  Melihat wajah masam gadis itu, ditambah pula dengan kata-kata kasar yang keluar dari mulutnya tadi, Samirah menjadi berang.


 “Mata saya OK, boleh nampak ada sedikit calar.  Mungkin mata cik ada masalah kot?”


Gadis berambut perang juga semakin berang.  Tangan yang bersilang di dada, dibawa ke pinggang, mencekak pinggang ramping macam pinggang biola.


You ni kurang ajar ya.  I don’t care.  You have to pay for the damage.”


Berang Samirah belum hilang, dikata pula kurang ajar.  Ini bukan mulut longkang, ini mulut saluran air tandas.  Tak guna melayan orang macam ni.  Lagi pun aku nak cepat Aidid nak guna kereta sebelum pukul 3, bayar sajalah.  Bisik Samirah kepada dirinya sendiri.  Kaki dihayun ke kereta.  Dompet di dalam beg tangan dikeluarkan.  Hanya ada RM150.  Dua keping nota RM50 dikeluarkan dan dihulurkan kepada gadis berambut perang.


What?  RM100.  You must be crazy.  You tau tak, kereta ni mahal?  Kalau kereta local macam kereta you tu bolehlah repair dengan seratus ringgit.”


Berdesing telinga Samirah.  Kot ya pun nak duit lebih, janganlah hina kereta Abang aku.  Kalau kita orang nak, kita orang boleh pakai kereta yang lebih mewah tapi kita orang saja tak mau menyusahkan Papa, hatinya berbisik.  Setakat kereta Suzuki Swift tak payahlah berlagak.  Bisik hati Samirah lagi.  Matanya sudah memandang tajam, seperti harimau yang menunggu masa untuk menerkam mangsanya.


“Berapa you nak?”


Three hundred.”  Gadis berambut perang itu menjawab dengan garang.   Ingat aku takut ke, tanya Samirah dalam hati sambil bibirnya dicebikkan. 


I don’t have three hundred.”  Samirah berkata dengan tegas.


“Dah tau awak tu miskin, bawalah kereta elok-elok. Kalau you tak nak bayar tiga ratus, kita buat police report.


Kali ini darah Samirah betul-betul menyirap.  Dia ni bukan setakat kurang ajar, kurang IQ sekali agaknya.  Kesian mak bapak kau, dapat anak macam ni.  Kalau kau ada suami, aku kesian juga pada suami kau.  Samirah berkisah dalam hati.


Mata Samirah sudah mengecil.  Kalau diikutkan hati mahu ditampar mulut celupar bergincu tebal itu.  Si gadis pula buat muka selamba, langsung dia tidak kisah kereta dan motorsikal yang lalu di tepi mereka.  Sebuah kereta SUV BMW X3 berwarna perak berhenti di depan Suzuki Swift merah.  Si gadis memanjangkan leher, melihat siapa yang keluar dari tempat duduk belakang.  Dia terpana melihat jejaka kacak yang melangkah ke arahnya.  Samirah pula, masih mencerun matanya melihat si gadis, hingga tidak sedar sang jejaka sudah berada di sisi.


“Samira.” 


“Irsyad!”  Samirah terpempan.  Irsyad Rifqi, memakai kemeja berwarna krim dengan tali leher coklat muda melekat di lehernya sudah berdiri bercekak pinggang di sebelah Samirah.


What happened?”


“Saya… saya terlanggar kereta dia.”


Irsyad Rifqi berjalan ke belakang kereta, mengintai kerosakan akibat pelanggaran.  Kemudian mengerling pula ke arah kereta MyVi yang sudah dikenalinya.


“Sikit saja ni.” Kata Rafidi yang turut keluar. 


Irsyad Rifqi datang semula ke sisi Samirah.  Gadis berambut perang dipandang sekilas.  Si gadis pula membulat matanya memandang jejaka kacak itu sambil menguntum senyuman.  Meluat Samirah melihat gelagat gadis itu.  Tadi bukan main sombong, depan lelaki terus menggedik, desis hati Samirah.


“Saya rasa cat balik, dalam seratus ke seratus lima puluh saja.”  Rafidi bersuara. 


Irsyad Rifqi menyeluk saku.  Domplet dikeluarkan.  Empat keping nota RM50 diserahkan kepada gadis berambut perang.  Sambil tersengeh-sengeh, si gadis menyambut duit yang diberikan oleh Irsyad Rifqi.  Makin menyampah Samirah melihat si gadis. 


Thank you.  Saya Luna.  Encik siapa ya?”  Si gadis semakin menggedik.  Tanpa segan silu tangannya dihulurkan.  Irsyad Rifqi memandang kosong ke arah tangan si gadis.


“Saya boyfriend dia.”  Dengan selamba dituturkan.  Kemudian matanya pantas berkalih kepada Samirah.  Tangan si gedik tidak disambut.  Si gedik buntang matanya, sekejap memandang Irsyad, sekejap memandang Samirah. 


Samirah termangu.  Boyfriend?  Sejak bila?  Kan kawan saja?  Tapi elok juga Irsyad cakap macam tu, biar minah gedik ni terkejut.  Ingat orang macam aku, yang kau kata miskin tadi, tak boleh dapat boyfriend sehebat Irsyad?


“Jom.”


Irsyad Rifqi dan Rafidi berteleku di sisi bahagian hadapan. 


“Kemek sikit je ni.”  Rafidi bersuara.  Irsyad Rifqi mengiyakan.


“Awak nak ke mana?” Irsyad bertanya.  Wajah Samirah yang tadi dia nampak sedang marah kini sudah pun kembali tenang.


“Saya nak pulangkan kereta ni kepada Aidid.  Pukul tiga dia nak guna kereta.”  Tanpa berselindung Samirah memberitahu.  Sekarang sudah pukul 2.30.  Kalau dia lambat, Aidid juga bakal lambat ke mesyuarat dengan bakal pelanggan.


Office Aidid di mana?”


“Sentul.”


Irsyad Rifqi menoleh ke arah Rafidi.  Arahan diberikan kepada Rafidi dan kemudian dia berjalan ke arah MyVi.  Pintu pemandu dibuka.


“Jom, saya hantar awak.”


Samirah terkesima.  Biar betul, dia nak pandu kereta MyVi ni?  Dalam keterkesimaannya, kaki dihayun juga dan Samirah masuk ke dalam kereta. 


“Irsyad.”


Irsyad Rifqi tersenyum.  Senyuman yang mampu mencairkan hati memang sangat-sangat Samirah perlukan saat ini.  Ketika di dalam dada bercampur baur segala macam perasaan.  Ada rasa marah dan geram kepada si gadis berambut perang tadi yang entah bila masanya beredar dari tempat mereka berhenti.  Ada rasa takut, kalau-kalau Aidid memarahinya nanti kerana memandu dengan cuai.  Ada juga rasa terkedu kerana tanpa diduga, jejaka kacak ahli korporat muda muncul menjadi penyelamat.  Kalau Irsyad Rifqi tidak datang, mungkin sekarang dia sedang menarik rambut gadis sombong itu atau pun menumbuk pipinya yang bercalit pemerah pipi tebal.


“Irsyad, betul ke ni awak nak bawa kereta ni?”


“Samira, can’t you feel the car is moving?”  Irsyad Rifqi ketawa.  Nada gelak orang gembira kerana gadis yang diminati ada di sisi.  Samirah pula masih termangu.  Tadi macam tak percaya Irsyad Rifqi datang menjadi penyelamat.  Sekarang macam tak percaya ahli korporat muda yang kaya raya itu sanggup memandu kereta MyVi Aidid.


“Samira.”


Wajah Irsyad Rifqi ditatap.  Tampannya dia.   Rasa nak pegang pipi dia dan ucapkan terima kasih banyak-banyak kali.  Astaghfirullahal adzim, berdosalah Ira! 


How are you?” Suara garau bertanya.  Fikiran Samirah kembali ke alam nyata.


“Entahlah.”


“Hei, janganlah sedih.  Accident kecil saja kan.  Kalau Aidid marah, bagi tau saya akan bayarkan kos repair.”


Samirah memandang Irsyad Rifqi semula.  Sekali lagi dia rasa macam tak percaya.  Macam tak percaya dia boleh baca fikiran aku, kata hatinya. 


“Awak dari mana?”


“Tadi saya pergi interview di Subang.”


“Kata nak kerja di Penang?”  Wajah Samirah dikerling.  Dalam hati berharap rancangan bekerja di Pulau Pinang sudah terbatal.


“Kolej tu ada kampus di Penang.  Interviewnya saja di sini.”. 


Harapan Irsyad Rifqi yang rupa-rupanya terbatal.  Ah, baru interview.  Belum tentu dia dapat kerja tu.  Hati sendiri dipujuk.  “Itulah, ada orang tu jual mahal.  Kita offer kerja dia tak mau.”


Samirah diam.  Bukan dia saja-saja mendiamkan diri tapi akalnya sedang berjalan memikirkan bagaimana hendak menjawab Irsyad.  Entah kenapa petang ni akalnya lembab sikit.  Mungkinkah kerana dalam dada masih ada irama kencang yang berlagu bila matanya dan mata Irsyad Rifqi bersatu?  Atau mungkinkah kerana terkedu dek kesanggupan Irsyad Rifqi memandu Myvi Aidid?  Atau masih terkejut dengan kemalangan kecil tadi?


“Hei, rilekslah.  Saya bergurau saja.  Lama kita tak jumpa kan?”  Pantas Irsyad Rifqi berkata.  Risau pula bila Samirah yang kebiasaannya ramah tiba-tiba bertukar menjadi pendiam.


Jeda.  Samirah diam, Irsyad pun diam, tumpuan diberikan kepada jalanraya di hadapan. 


“Belok kanan,” akhirnya Samirah bersuara, terpaksa kerana perlu memberi tunjuk arah kepada Irsyad Rifqi.  Irsyad Rifqi mengikut arahan yang diberikan.


“Lepas traffic light depan tu, masuk simpang kiri yang pertama.”


Masing-masing diam semula.  Samirah mengerling jam tangan.  Lagi 5 minit pukul 3.  Harap-harap aku tak lewat. Dia bukannya risau Aidid akan memarahinya.  Sebaliknya dia tidak mahu Aidid lambat sampai ke tempat mesyuaratnya.  Dalam kerisauan, sempat lagi dikerling ahli korporat muda yang selamba saja memandu kereta MyVi.  Tidak kelihatan langsung dia kekok memandu kereta kecil, sedangkan Samirah yakin dari kecil tentu Irsyad Rifqi sudah biasa ke hulu ke hilir menaiki kereta mewah.


Lately ni awak sibuk ya?”


Irsyad Rifqi menguntum senyuman di pinggir bibir.  Ha, dah ada tanda-tanda dia dah kembali ceria, bisik hatinya.


Yes.  Extremely busy.  Our Sales Director had resigned.  Sementara dapat penggantinya, sayalah yang terpaksa manage sales team.”


Oh, patutlah mamat ni tak call.  Samirah membisikkan kepada hatinya.  Eh Samirah, apa hal pula engkau kisah bila dia tak call?  Hah… rindu ya?  Ish.. bila pula aku rindukan dia.  Aku cuma risau, kot-kotlah dia sakit ke, outstation ke, atau pun merajuk sebab aku tak nak kerja dia.


“Kalau awak kerja dengan saya, boleh bantu saya kan?”


Aduh, dia ungkit balik kisah tak mau kerja dengan dia.  Janganlah buat aku rasa bersalah Encik Rifqi oi, kata Samirah dalam hati.


“Depan bangunan biru tu awak berhenti.”


Kereta diberhentikan di hadapan bangunan rumah kedai, betul-betul di hadapan pejabat yang bercat biru.  Aidid sudah menunggu di luar pintu.  Sambil tersengeh-sengeh dia mara mendekati keretanya.


“Irsyad Rifqi,” salam dihulurkan.


“Aidid,”  salam disambut.  Riak kehairanan terpamer di wajah Aidid.  Samirah keluar lantas berdiri di sebelah Irsyad Rifqi.


Sorry Did, aku lambat sikit.  Ada accident tadi.  Aku langgar kereta orang.”


Tak berkata apa-apa, Aidid melangkah ke hadapan kereta.  Seluruh bahagian hadapan kereta ditelitinya.


“Kau tak apa-apa?”


Samirah menggeleng. 


“Tak apalah, sikit aje ni.”  Betul tekaan Samirah, Aidid tidak marah.


“Macam mana pula…”  Ayatnya tak habis.  Jarinya ditunding kepada Irsyad Rifqi dan kemudian menunding kepada Samirah.  Kening Aidid bercantum.


“Kebetulan saya lalu di tempat Samira melanggar kereta tu, jadi saya berhenti dan offer untuk hantar dia ke sini.”  Irsyad memberi penjelasan.


“Oh.  Terima kasih banyak-banyak sebab hantarkan Ira ke sini.”


Aidid pandang Samirah.  Senyuman tergaris di bibirnya.  Senyuman ada makna tu, bisik hati Samirah.


“Saya terpaksa pergi.  Boleh saya minta tolong?”


Irsyad Rifqi memandang Aidid dengan penuh minat.


“Papa baru telefon.  Meeting dia lambat habis.  Boleh tolong hantarkan Ira balik?”  Mata Aidid cepat berkalih ke Samirah sebaik soalan cepu emas diberikan kepada Irsyad.  Keningnya diangkat.


Samirah menjegilkan matanya ke arah Aidid.  Tangannya digoyang-goyangkan.  Mulutnya membulat membentuk perkataan ‘no’.  Langsung tak dipedulikan oleh Aidid gelagat adiknya.  Aidid nampak, tapi buat-buat tak nampak.  Aidiiiiid!  Samirah menjerit, tapi cuma dalam hati.


“Boleh.  Boleh sangat-sangat.”  Irsyad Rifqi senyum.  Pucuk dicita, ulam mendatang.  Kecil kereta BMWku, bas persiaran aku tadahkan.


Thanks.  I got to go,” Aidid membuka pintu kereta.  Samirah memandang abangnya dengan dahi berkerut.  Bengang betul dia dengan Aidid.  Sengaja nak kenakan aku ya.  Bukan Aidid tak tau Samirah tak mahu Irsyad Rifqi tahu di mana dia tinggal.  Belum sempat Aidid menutup pintu, Irsyad Rifqi melaung.


“Can I ask your permission to take Samira for dinner tonight?”


Sure.  Tapi jangan balik lambat.  Samirah should be able to tell you our Papa’s rule.”  Matanya dikenyitkan pada sang adik yang menengoknya dengan pandangan seperti seekor singa hendak menyerang mangsanya.  Pintu kereta ditarik.  Aidid pergi.  Samirah sakit hati.


Irsyad Rifqi tersenyum lebar, macam nak koyak mulutnya. Telefon bimbit dikeluarkan dari saku.  Dua puluh kemudian kereta BMW berwarna hitam muncul, diikuti oleh seorang penunggang motorsikal.  Rafidi keluar dari kereta, bercakap tidak sampai seminit dengan bosnya dan pergi menaiki motorsikal.


Dengan wajah tidak puas hati Samirah masuk ke dalam kereta melalui pintu yang sudah dibukakan oleh Irsyad Rifqi.  Irsyad Rifqi di sebelah memandu dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

No comments:

Post a Comment