Sunday 17 July 2016

LEMANG BUAT KEKASIH

Assalam.  Selamat hari raya, mohon maaf zahir dan batin sekiranya ada kesilapan saya.  Jemput baca cerpen terbaru.  Cerpen ini bertemakan hari raya dan ia ditulis sebagai latihan dari Grup Penulis Muda yang sama2 attend Bengkel Penulisan Kreatif.

Semoga terhibur dengan sambung kisah Andy dan Ain.


LEMANG BUAT KEKASIH

Andy mundar mandir di ruang tamu.  Hidungnya kembang kempis.  Tangannya sekejap di atas dada, sekejap di atas perut.  Hebat sungguh dugaan berpuasa di hari terakhir bulan Ramadhan.  Kalau hari-hari sebelum ini dia hanya bertabah menahan lapar dan dahaga serta berasa letih, hari ini dugaannya naik setingkat.  Letih tidak terasa kerana dia tidak menjaga kedai dedak papanya.  Lapar dan dahaga juga tidak terasa kerana seharian dia di rumah saja.  Tapi menghidu aroma dari arah dapur betul-betul mencabar keimanan.  Bau rendang yang sedang menggelegak bersilang dengan bau kek yang sedang dibakar membuatkan Andy tak senang duduk.

                “Andy,” suara bapa mentuanya membuatkan Andy berpaling.  Ramli tersenyum sambil menghampiri menantunya.  Kertas putih bersaiz A4 dihulurkan kepada Andy.

                “Bacalah, supaya malam ni kamu tak rasa kekok masa kita bertakbir.”  Ujar Ramli sambil sebelah tangan diletakkan di atas bahu menantunya.  Ramli memahami riak wajah Andy yang keresahan.

                “Terima kasih ayah,” balas Andy sambil cuba tersenyum. 

                “Sama-sama.  Ayah nak ke belakang, tolong emak kamu isi pulut.  Lepas Asar ayah nak mula bakar lemang.”  Tanpa menunggu jawapan dari menantunya, Ramli terus berpaling.  Dia sudah tidak sabar hendak menyiapkan lemang. 

Andy memandang bapa mentuanya dan kemudian berkalih pandang ke arah kertas putih yang diberikan oleh Ramli sebentar tadi.  Sambil lidahnya menuturkan kalimah Alhamdulillah, Andy menapak keluar dari rumah.  Betapa dia bersyukur keluarga Ain sentiasa membantunya untuk menjadi seorang muslim yang baik.  Selipar disarung lalu langkahnya diatur ke arah pokok mangga yang jauh di halaman rumah.  Harapannya bila dia jauh sikit dari rumah, lebih mudah dia memberi tumpuan kepada bacaan takbir yang harus dipelajarinya. 

Allahu akbar… Allahu akbar… Allahu akbar
La ilaha illallahu Allahu akbar
Allahu akbar wa lillahil hamd

Bibir Andy bergerak mengikut huruf-huruf jawi dan rumi yang tertera di atas kertas putih dalam pegangannya.  Terus hilang dari mindanya gangguan dari aroma rendang dan kek yang menggugat kesempurnaan ibadah puasanya sebentar tadi.

“Ah ko!  Ah ko!”  Suara yang datang dari depan menyebabkan Andy mengalih pandang dari kertas ke depan.  Kelibat Siew Lin, adik perempuannya yang sedang menunggang skuter pantas menyapa mata Andy.  Wajah cemas Siew Lin menyebabkan Andy bingkas bangun.

“Kenapa sai mui?”  Andy terus bertanya dalam Bahasa Kantonis.   Dengan kelam kabut Siew Lin memberhentikan skuternya.

“Papa!  Cepat balik!”  Riak di wajah dan nada suara Siew Lin mengisyaratkan sesuatu yang kurang enak kepada Andy.

“Kenapa papa?”  Tanpa menanti jawapan dari Siew Lin, Andy terus melompat naik ke atas skuter.    Siew Lin membuat pusingan dan skuter ditunggang terus ke jalan besar.

Siew Lin terus meluru masuk sebaik saja skuter diberhentikan di rumah mereka.  Andy pula teragak-agak hendak masuk.  Kakinya mara setapak, namun kaku setapak lagi.  Sudah dua minggu dia tidak pulang ke rumah keluarganya.  Bukan kerana dia sudah melupakan mereka.  Malahan dia rindukan mereka.

                ‘Allah,’ bibirnya berbisik.  Nafas dihela sedalam yang boleh.  Tangisan mamanya semakin jelas di telinga.  Lantaklah.  Biar apa pun penerimaan papa nanti, dia tak peduli.  Langkah dihayun kemas, sekemas tekad hatinya.

                Wajah tua papanya yang kelihatan lesu di pembaringan dipandang sekilas sebelum Andy menghampiri mamanya.  Dicium tangan dan pipi mamanya.  Airmata mamanya diseka.  Seperti ada sinar kelegaan dalam renungan mata Madam Lim apabila anak sulungnya kini ada di sisi.

                “Tengoklah papa kau Andy.  Sudah empat hari tak boleh bangun.  Siew Lin nak bawa ke hospital dia tak mau.”  Kata Madam Lim sambil diiringi esakan.  Andy beralih ke papanya.  Dia duduk di birai katil. Tangan papanya yang terdampar lesu di pinggir katil diraih.

                “Papa.”  Andy memanggil dengan suara perlahan.  Tangan papanya diusap lembut.  Wajah lesu papanya ditenung dengan rasa belas dan risau.  Perkataan papa diseru lagi, kali ini dengan suara yang lebih kuat.

                “Papa, ah ko sudah balik.  Bukalah mata,” kata-kata Siew Lin menyebabkan Andy berasa seperti ada seketul batu menyekat kerongkongnya.  Rasa bersalah menyelinap masuk ke tangkai hati.  Aku kah punca papa sakit teruk begini? 

                Dengan perlahan-lahan Lim Boon Yaw membuka matanya.  Hanya itu yang termampu dilakukan.  Sejak empat hari yang lepas dia tidak berupaya melakukan apa-apa melainkan berbaring saja.  Dia berasa sangat lesu, sehingga berdiri sesaat pun dia tidak larat.  Hendak ke tandas dia perlu dipapah.  Makan minumnya di atas katil. Kedai menjual makanan haiwan peliharaan miliknya sudah empat hari tidak dibuka. 

                 “Papa, maafkan saya.  Saya tak tau papa sakit.  Mari saya bawa papa pergi hospital,” dengan pantas Andy bersuara sebaik saja papanya membuka mata.  Dia tidak mahu berlengah lagi kerana selepas empat hari tentu keadaan papanya semakin teruk.  Namun usahanya tidak semudah yang disangka.

                Boon Yaw menarik tangannya yang sedang diusap oleh Andy.  Wajahnya dipalingkan ke kiri.  Bukan tubuhnya saja yang sakit, hatinya juga terluka.  Walaupun dia sakit teruk, dia tak perlukan anak derhaka di sisinya.

                “Lo… por.  Suruh.  Dia.  Pergi.”  Dalam nafas yang tersekat-sekat Boon Yaw berkata kepada isterinya.  Madam Lim menggeleng sambil menyambung tangisannya.

                “Sudahlah lou kong.  Jangan marah-marah lagi.  Awak sudah sakit, sepatutnya awak bertenang.  Apa pun Andy anak kita.  Dia balik tengok awak.  Dia nak bawa awak pergi hospital.  Maafkanlah dia.”  Madam Lim memujuk suaminya.  Renungannya dilemparkan ke arah Siew Lin, memberi isyarat agar anak perempuannya turut memujuk suaminya yang memang sejak muda sangat keras kepala.

                “Dia.  Bukan.  Anak.  Aku.”  Dalam suara yang tersekat-sekat namun bernada marah Boon Yaw bersuara.  Walau tubuh sudah lesu, kedegilan Boon Yaw sedikit pun tidak berkurangan.  Andy tahu tentang itu.  Madam Lim dan Siew Lin juga tahu.  Boon Yaw kalau sudah berkata hitam, hitamlah.  Siew Lin merapati papanya lalu duduk di tubir katil.  Dia mahu memainkan peranannya dan dia mahu melakukannya dengan keras.

                “Papa!  Sudah-sudahlah tu.  Papa sudah sakit macam mau mati tapi masih mau degil.  Masa sihat marah, masa sakit pun masih mau marah.  Bila Andy tak balik papa bising.  Sekarang Andy sudah balik, jangan buat sombonglah papa.  Mari kita pergi hospital sekarang.” 

                Andy mengerling ke arah Siew Lin.  Kepalanya digoyang ke kanan dan kiri, menandakan dia tidak suka dengan cara Siew Lin menegur papa mereka dengan suara yang tinggi.  Walau pun apa yang dikatakan oleh Siew Lin itu betul, cara dia menyatakannya salah.  Siew Lin menunduk.  Betul kata mama, abangnya sudah banyak berubah sejak masuk Islam.  Dulu Andy lebih garang dan cepat marah.  Tapi sekarang Andy sangat tenang.

                “Lin, siapkan kereta.  Mama, tunggu di tempat duduk belakang.”  Andy memberi arahan.  Pedulikan amarah atau rajuk papa.  Apa yang harus dilakukan, mesti dilakukan sekarang.  Andy bangun dan mendekati papanya.  Lengannya disua dan sepantas kilat tubuhnya papanya diangkat.  Dia tahu tindakannya akan menyebabkan papanya lebih marah kepadanya, tapi itulah tindakan terbaik buat masa ini.

                Tubuh yang lesu tidak sepadan dengan mulut yang masih bernafsu memarahi anaknya.  Boon Yaw menjerit-jerit minta diturunkan, diselang seli dengan maki hamun.  Andy terus bergerak ke pintu tanpa menghiraukan makian papanya.  Sampai di luar Siew Lin sudah menghidupkan enjin dan membuka pintu belakang.  Madam Lim cepat-cepat masuk ke dalam kereta bila melihat Andy muncul.  Senyuman disorokkan walaupun hatinya sudah sedikit lega.



Allahu akbar… Allahu akbar… Allahu akbar.  Bunyi orang bertakbir kedengaran dari peti televisyen yang dipasang di ruang menunggu hospital.  Bibir Andy bergerak-gerak mengikut alunan bacaan takbir.  Tubuhnya disandarkan sambil matanya dipejamkan.  Siew Lin duduk di sebelahnya, Madam Lim pula duduk di kerusi yang paling hujung.  Mereka sama-sama menanti Boon Yaw yang sedang diperiksa oleh doktor. 

                “Ah ko, kau baliklah dulu.”  Kata Siew Lin sambil menyinggung lembut rusuk abangnya.  Timbul rasa belas melihat abangnya.  Tadi Andy nampak tenang.  Tapi selepas satu jam dan mereka masih menunggu, riak gusar sudah terpamer di wajah abangnya.

                “Tak apa, aku tunggu sampai doktor panggil kita masuk.” 

                “Malam ini malam raya.  Kau baliklah.  Kasihan isteri kau mesti mau sama-sama bakar lemang dengan kau.  Tadi pun kau buka puasa dengan air dan roti saja.  Pergilah balik.”  Siew Lin memujuk abangnya.  Dua orang lelaki dalam hidupnya adalah lelaki yang degil.  Cuma antara dua orang itu, papa mereka lebih kuat degilnya.

                “Ain faham.  Aku dah call dia tadi dan cerita semuanya.”

                “Memang dia faham, tapi lebih baik kalau kau ada di rumah dengannya.  Baliklah.  Aku dan mama boleh tunggu papa.  Apa-apa hal nanti aku telefon kau.”  Siew Lin terus memujuk.  Andy diam tidak berkutik.   Lama, sebelum dia akhirnya membuka mulut.

                “Lin, papa sakit sebab kecil hati dengan aku ke?”  Persoalan yang mengganggu fikirannya dilontarkan keluar.  Rasa bersalah dan menyesal masih bersilang seli dalam hatinya.  Dua hari lepas ketika berbual dengan mamanya dalam telefon, dia tidak menyangka demam papanya seteruk ini.

                “Entahlah.  Papa marah sangat bila kau kata tak mau terlibat lagi dengan kedai.  Siapa lagi yang papa boleh harap kalau bukan engkau.  Aku belum habis belajar, lagi pun aku tak minat bisnes.”  Siew Lin bersuara dengan perlahan, kalau boleh jangan sampai didengari oleh mamanya.  Cukuplah mama susah hati dengan kesihatan papa mereka, jangan dikusutkan lagi fikirannya dengan hal pertelingkahan Andy dan papa.

                “Papa sayang kau.  Bangsa kita memang sangat memandang tinggi kepada anak lelaki.”

                “Dan aku sudah kecewakan papa.”  Lirih suara Andy memintas.  Ada nada sebak dalam suaranya.  Sebagai anak sulung dan anak lelaki dalam keluarga, dia sudah gagal.

                “Kau bukan sengaja, kan?”  Pujuk si adik walaupun dia juga agak terkilan dengan tindakan abangnya.  Andy diam lagi.  Lama.

                “Ko, kau sudah ada agama.  Aku tau agama kau agama yang baik sebab aku tengok kau sudah baik sekarang.  Tentu agama kau ada cara untuk selesaikan masalah ni.  Kau baliklah.  Mandi, makan, sembahyang.  Kau minta tolong sama Tuhan kau.” 

                Ayat Siew Lin membuatkan Andy berpaling dan matanya melekat lama di wajah adiknya.  Bibirnya dikemam, dengan harapan dapat disorokkan rasa terharu dari riak wajahnya.  Namun kolam matanya penuh juga bila dia melihat kasih sayang seorang adik terpancar dari renungan mata Siew Lin.


Demi Tuhan, airmatanya jatuh usai dia menunaikan solat sunat Aidil Fitri yang julung kali dalam hidupnya.  Dia tidak pasti kenapa.  Mungkin kerana satu perasaan yang tidak mampu diungkapkan menyelinap masuk ke dalam tangkai hatinya ketika dia mengangkat takbir ratul ihram, atau kerana sebelum beredar ke masjid tadi Ain menyalami dan menciumi tangannya sambil meminta maaf atau mungkin juga kerana SMS dari Siew Lin yang diterima sebaik saja dia sampai di masjid.

                Ramli yang nampak menantunya mengesat airmata menepuk lembut bahu Andy.  Dia tahu kemelut antara Andy dan papanya.

                “Ada berita dari hospital?”  Soal Ramli sambil mereka berjalan ke arah kereta. 

                “Ada.  Adik kata papa sudah jaga.  Doktor mahu papa berehat di hospital dulu.”  Itu saja yang Andy maklumkan sambil membuka pintu kereta.  Sebenarnya dalam SMS tadi Siew Lin memberitahu perkataan pertama yang disebut oleh papa mereka sebaik saja terjaga pagi ini ialah ‘Andy mana?  Beritahu dia papa sudah maafkan dia.’

                “Lepas makan nanti kita pergi terus ke hospital.  Mak dan ayah nak ikut sekali.”  Kata-kata Ramli membuahkan lafaz kesyukuran dari bibir Andy.  Dan wajah manis Ain yang sedang melangkah ke arah kereta mereka bersama emaknya semakin menyamankan hati Andy.

               

“Abang, nak tambah lagi lemang?”  Soal Ain sambil menatap wajah kacak Andy.  Pagi ini Andy sangat kacak di mata Ain kerana baju melayu berwarna ungu terung yang tersarung di tubuh Andy menyerlahkan kulitnya yang cerah.

                “Cukuplah.  Dah sebulan tak makan pagi rasa cepat penuh pulak perut ni.”  Jawab Andy sejujurnya.  Walaupun dia sangat menggemari lemang Pak Ramli sejak dia mula berkawan dengan Ain tiga belas tahun yang lalu, pagi ini dia hanya makan dua potong lemang.

                “Tak apa, nanti-nanti boleh makan lagi,” Maznah menyampuk.  Dia gembira melihat Ain dan Andy makan bersama.  Anak dan menantunya sama ceria.  Malam tadi Ain sedikit monyok kerana niatnya hendak mengajar Andy membakar lemang tidak kesampaian.  Ketika Andy pulang dari hospital, semua lemang Pak Ramli sudah siap dibakar.  Andy pula kelihatan letih dan risau ketika dia sampai di rumah malam tadi.

                “Ni mak dah bungkuskan untuk papa, mama dan adik kamu.  Cukup tak sebatang ni?”  Soal Maznah.

                “Eh cukuplah mak.  Saya rasa papa mungkin belum boleh makan lagi.”  Jawab Andy sambil melihat bekas plastik yang ditunjukkan oleh ibu mentuanya.

                “Alah, tak apa.  Kalau Lim dah boleh makan nanti, ayah bakarkan lagi lemang.  Dah cepat makan, kita nak pergi hospital.  Kalau lambat kita bergerak takut orang datang beraya.  Kalau orang dah datang beraya, payahlah ayah nak tinggalkan rumah.  Lagi pun lepas Zohor nanti abang long kamu sampai.”  Ramli pula bersuara.  Dia sudah teruja membayangkan ketibaan anak sulungnya bersama menantu dan dua orang cucu.

                Ain yang juga sudah selesai makan berlalu ke dapur.  Selepas pinggan kotor diuruskan dia berlalu ke kamar tidurnya untuk bersiap.  Sampai di bilik Andy sedang termenung di tubir katil.

                “Abang, kenapa ni?  Pasal papa ke?”  Soal Ain sambil mengambil tempat di sisi Andy.  Tangan suaminya diraih bila Andy diam tidak berkutik.

                “Hari raya ialah hari kemenangan untuk orang-orang yang berpuasa.  Kita menang bila dapat mengawal hawa nafsu.  Tak elok bersedih di hari yang sepatutnya kita raikan dengan gembira.”  Kata Ain lagi.  Kali ini kata-katanya membuatkan Andy berpaling.

                “Abang bukan bersedih.  Abang bersyukur.  Siew Lin kata papa dah maafkan abang.”  Akhirnya berita gembira yang diterima melalui SMS dikongsikan dengan isteri tercinta.

                “Iya?  Alhamdulillah.  Ain tumpang gembira dan bersyukur.”  Ain lakar senyuman di bibir, menzahirkan perasaan gembira kerana kemelut suami dan bapa mentuanya seakan sudah berakhir. 

                “Terima kasih sayang, sebab masakkan lemang untuk abang.”  Andy juga tersenyum.

                “Bukan Ain yang masak, ayah.” 

                “Ya ke?  Sekejap ya.”  Kata Andy lalu bangun dan menuju ke almari.  Sebatang buluh lemang ditarik keluar dari tepi almari.

                “Ini… ayah yang buat jugak?”  Soalnya sambil tersenyum lebar.  Buluh lemang yang berlorek dengan perkataan ‘Ain loves Andy’ disuakan kepada isterinya.  Dan-dan itu pipi Ain membahang.

                “Ini… lemang buat kekasih.”  Jawab Ain sambil tersipu.  Semalam dia mengambil sebatang buluh lemang yang belum berisi dan selepas melorek buluh itu, sengaja disimpan dalam bilik untuk ditunjukkan kepada Andy.  Rupa-rupanya Andy sudah jumpa dulu.

                “Nasib baik Pak Ramli tak mengamuk sebab sebatang buluh tak boleh digunakan kerana anaknya luahkan rasa cinta di atas buluh.”  Kata Andy sambil tersenyum.  Matanya tunak di wajah Ain yang sudah berona merah.  Pipi Ain dicubit lembut.

                “Andy loves Ain too.”  Bisik Andy sambil menarik Ain rapat ke dadanya.  Dada yang sudah berdegup normal kerana satu beban berat seperti sudah ditarik keluar.  Ubun-ubun Ain dikucup sambil bibirnya melafazkan ‘alhamdulillah’.


                Sungguh, hari ini ialah hari kemenangan.

Monday 4 July 2016

NO SUGAR ADDED

Assalam.  Esok raya yeaaayyy!!! Sekejap saja Ramadhan dah nak meninggalkan kita, kan?  Hmm, tahun ni first time baju raya akak tak siap.  Hmmm...


Okey sambil-sambil buat persiapan raya tu, atau on the way balik kampung, jemput baca cerpen bertemakan buah dan Ramadhan.  Harap2 menjadi cerpennya dan semoga kalian terhibur.

Selamat hari raya.  Maaf zahir dan batin.  Semoga selamat dalam perjalanan balik kampung dan balik semula ke tempat bermastautin.


NO SUGAR ADDED

1 Ramadhan

Andy merenung buku kecil di hadapannya.  Jarinya ditekan pada halaman buku yang terbuka luas.  Mulutnya terkumat-kamit.  Sekali sekala matanya dipejam, dibuka, dipejam semula dan akhirnya bila dibuka lagi ditalakan matanya ke arah halaman buku.  Tingkah lakunya membuat aku tersenyum.

"Abang, tak puas lagi menghafal?"  Soalku sambil menghampirinya.  12 tahun mengenali Andy Lim, baru sekarang aku tahu Andy itu kalau buat sesuatu, bersungguh-sungguh.  Sangat bersungguh-sungguh.

"Sayang, cuba dengar betul tak doa buka puasa abang."  Kata Andy seraya berpaling ke arah ku yang sudah duduk di sisinya.

"Okey."

Andy terus menutup buku.  Doa ketika berbuka puasa dibaca.  Lancar bacaannya, tak ada satu pun yang salah. 

"Bagus.  Betul semuanya, cuma… sebutan tu... ada bunyi pelat Cina sikit."

Andy tersenyum.  "Ini lidah sudah 25 tahun so mestilah ada bunyi Cina.  Nanti-nanti aku practise lagi, sampai bunyi Arab betul-betul."

"Abanglah, bukan aku.  Dah dua minggu kita kahwin pun masih lupa.  Kan dah setuju tak ada lagi aku-engkau antara kita?" Aku menegur.

"Aiyo!  Sorrylah abang lupalah sayang."  Kata Andy sambil menepuk dahi.  Aku tersenyum lagi dengan gelagatnya.  Macam manalah dulu-dulu aku boleh tak perasan Andy ni cute?  Gaya spontannya kadang-kadang melucukan tapi bila dia sakit hati boleh tahan bisa mulut dia.

“Abang dah boleh makan.”  Aku sengaja berkata begitu dengan niat mengusiknya.

“Mana boleh.  Baru pukul 5.30.  Ada dua jam lagi leh.”

“Tu tadi dah baca doa berbuka puasa, dah boleh berbukalah.”

Aiyo, sayang!  Jangan ingat abang tak tau.  Mentang-mentang kita ni mualaf, nak temberang kita ya,” Andy menjawab sambil tangannya naik ke pipiku.  Tak pasal-pasal pipi aku kena cubit.  Aku tayang sengehan.


7 Ramadhan

Andy kelihatan sangat letih ketika dia tiba di rumah.  Timbul rasa kasihan bila melihat dia begitu.  Maklumlah ini kali pertama dia berpuasa sebagai seorang Muslim.  Puasa yang betul-betul. Bukan puasa macam masa kita kecil-kecil dulu, azan Zohor sudah boleh makan.

            “Letih?”  Aku bertanya selepas menyalami dan mencium tangannya.  Itu rutin yang kata emak jangan sekali ditinggalkan, walaupun ketika sedang perang dingin dengan suami.  Andy menjawab dengan anggukan sebelum melangkah ke dalam bilik.

"Jom pergi param."  Andy cuit bahu aku setengah jam kemudian, ketika aku sedang membasuh bayam.  Wajahnya kelihatan segar selepas dia mandi dan solat Asar.

"Param?  Apa bendanya tu?"  Aku bertanya sambil memulas kepala paip.

"Tak tau meh?  Itulah shortform untuk pasar Ramadhan.  Senang nak sebut kan, pa-ram.  Sebut panjang-panjang buat apa?"

Kali ini aku tergelak.  Adoi lah apek ni.  Mana dia dapat terminologi param tu aku pun tak tau. 

Setengah jam kemudian, ketika kami tiba di pasar Ramadhan, kelibat seorang manusia yang paling tak ingin aku temui pantas menyapa penglihatanku.  Entah kenapa orang yang paling kita tak mahu jumpa biasanya orang itulah yang kita akan jumpa.  Jadi bila aku nampak Mak Lang Zainab di gerai air Lebai Sohid, aku cepat-cepat melangkah jauh darinya.  Malaslah nak bertegur sapa, mesti ada kutukan yang keluar dari mulutnya nanti.

"Sayang, jom beli air buah."  Andy menarik lenganku, memaksa aku berpaling.  Alahai suami, tak tau ke aku tak nak bertembung dengan radio karat tu.

"Eh, bukan ke abang nak beli cendol?"

"Tukar fikiran lor.  Itu air nanas nampak sedap." 

Dan belum sempat aku berkata apa-apa Andy sudah berdiri depan Lebai Sohid, betul-betul sebelah Mak Lang Zainab.  Andy beri salam dan berdiri tegak memandang balang-balang besar berisi air buah.  Aku lihat dia menelan liur melihat beraneka jenis air buah yang dijual oleh Lebai Sohid.  Jangan kata Andy yang baru pertama kali berpuasa terliur, aku pun sama sebab air buah Lebai Sohid memang terkenal.  Lebai Sohid tidak kedekut.  Air buahnya pekat dan cukup rasanya, tidak terlalu manis.  Bila membungkus Lebai Sohid tidak menipu dengan mengisi ketulan ais berlebih-lebih dalam plastik.

Akhirnya setelah matanya merayap dari kiri ke kanan dan patah balik, Andy meminta sebungkus air tembikai. Aik?  Tadi dia kata air nanas nampak sedap?

"Air tembikai satu bungkus, Lebai."

"Tembikai? Boleh. Nak tambah laici tak, Andy?"

"Wah boleh tambah laici?  Maulah Lebai.  Air nanas pun mau."  Andy berpaling ke arah Mak Lang Zainab dan senyum kepadanya selepas memesan air nanas.  Senyumannya manis, mengalahkan air buah dan aku nampak dia ikhlas.  Tapi Mak Lang Zainab tarik muka pula!

"Cukup dua bungkus ni saja?" Lebai Sohid bertanya dengan mesra.  Andy pula bila ditanya begitu sudah nampak riak keliru di wajahnya.

"Er...aiyo... semua air buah Lebai nampak sedaplah.  Rasa nak beli semua." Kata Andy sambil menggaru kepala.

"Hah beli ajelah.  Sebungkus minum dalam kereta kejap lagi.  Sebungkus minum masa berbuka.  Yang lebih-lebih tu boleh buat minum tengahari esok."

Berdesing telinga aku bila suara radio karat berbunyi.  Andy menoleh ke arah Mak Lang Zainab.  Muka dia selamba sedangkan muka aku rasa-rasanya hampir menyamai muka The Rock nak menyerang lawannya di gelanggang gusti.

"Saya puasa makcik, tengahari tak boleh minum leh." Bukan nak puji suami sendiri tapi aku berbangga dengan Andy kerana tutur katanya sangat sopan.         

"Eh boleh percaya ke Cina ni?  Aku tengok muka segar, tak macam muka orang puasa pun."  Mak Lang Zainab menjawab, tapi wajahnya ditalakan ke arah ahli jemaah radio karat merangkap ketua geng kutu kampung kami, Kak Salehah. 

"Ya lah Kak Nab, entah-entah tak puasa tu.  Orang baru masuk Islam ni bukan boleh percaya.  Lebih-lebih lagi yang masuk Islam sebab nak kahwin."  Jawab Kak Salehah.

"Betul kata kamu tu Leha.  Aku heranlah si Ramli dengan Maznah tu, dah macam tak ada orang lain nak dibuat menantu.  Bukannya si Ain tu tak lawa.  Si sepet ini yang dipilihnya.”

Wah, bukan main seronok lagi mereka mengata suami aku dan mak ayah aku sampai tak sedar aku ni berdiri belakang mereka.  Yang Andy ni pun satu, dia buat selamba saja, boleh pulak dia minta sebungkus air epal asam boi.  Mustahil dia tak dengar suara radio karat Mak Lang Zainab dan Kak Salehah yang terlebih pitching tu.  Lebai Sohid pun dengar.  Aku nampak Lebai Sohid mengerling ke arah geng radio karat dan kemudian menggeleng kepala.

“Leha rasa, ada kes tu Kak Lang.  Tau ajelah budak-budak zaman sekarang ni bergaul bebas.  Kalau dah terrrrr… hmm… apa lagi, jalan selamat kahwinkan sajalah.  Cina pun cinalah, apa nak buat.”

Whaaaaatttttt????? Terbuntang mata aku bila mendengar kata-kata Kak Salehah.  Tanganku tanpa sedar sudah menggenggam penumbuk.  Telinga rasanya dah berasap dan muka aku dah sudah membahang.

"Assalammualaikum Mak Lang, Kak Leha."  Aku bersuara.  Mak Lang yang berpaling dulu nampak terkejut bila matanya menangkap wajahku.

"Puasa ke hari ni?"

"Eh mestilah puasa."  Ketua geng kutu yang menjawab.  Mak Lang Zainab masih nampak terkedu.

"Tapi Ain dengar bukan main rancak lagi mengata, mengutuk orang.  Dah banyak kumpul pahala ke, sampai bazir-bazirkan dengan mengutuk orang?"

"Ish apa yang kamu merepek ni, Ain?  Siapa yang mengutuk siapa?"  Mak Lang Zainab tayang muka plastik.  Macamlah aku bodoh sangat.  Kalau hanya ada Andy dan mereka berdua di gerai air buah Lebai Sohid, takkanlah mereka mengata Ayda Jebat atau Zul Arifin.  Sebut 'Cina' pulak, sah-sah mereka mengata suami aku.  Ramli tu ayah aku, Maznah emak aku.  Setahu aku tak ada pasangan Ramli – Maznah yang lain di kampung ni.  Jadi tentulah Ramli dan Maznah yang diumpat tu orang tua aku.

"Apa yang Mak Lang tak puas hati dengan Andy, sampai Mak Lang kutuk dia?  Sepatutnya Mak Lang bimbing dan tolong saudara baru, bukannya mengutuk.  Lepas tu seret sekali mak dan ayah saya dalam sesi mengutuk, kenapa?  Tak puas lagi menyindir kami masa kami bersanding, sambung pulak ke hari ni?"

Aku bercakap dengan tenang, tak naik suara langsung.  Tapi muka Mak Lang Zainab terus berubah.  Lantaklah, dia nak tayang muka ketat macam asam boi kecut ke, nak pamer muka cemberut macam asam kelubi ke, dia punya pasal. 

"Kak Leha, sepatutnya Kak Leha tegur Mak Lang tapi Kak Leha bersekongkol pulak dengan Mak Lang.  Janganlah cemari ibadat puasa Kak Leha tu dengan perangai tak elok.  Kalau tak malu dengan Tuhan, malulah dengan Andy.  Dia baru jadi muslim.  Kita yang lahir-lahir dah muslim sepatutnya tunjukkan akhlak yang baik."  Aku sembur Kak Salehah sekali, tapi masih dalam nada suara yang terkawal.

“Lagi satu ingat sikit Kak Leha, anak dara Kak Leha yang dua orang tu belum lepas.  Entah siapa jodoh mereka, kita tak tau.  Jangan apa yang Kak Leha tuduh saya buat, anak Kak Leha yang buat nanti.”

Andy dan Lebai Sohid memandang ke arah kami.  Lebai Sohid tunjukkan ibu jari dalam isyarat bagus kepadaku.  Aku bukan nak tunjuk baik atau alim, tapi Mak Lang Zainab dan Kak Salehah memang melampau.  Selama ini ramai orang kampung yang diumpatnya sampai mereka berkelahi tapi aku tak akan benarkan dia mengumpat aku dan keluargaku.

"Mentang-mentanglah Andy tu bukan sebangsa dengan kita, sesedap mulut je Mak Lang dan Kak Leha mengata dia."  Aku mahu terus bercakap tapi Andy sudah berada betul-betul di sisiku.  Terangkat kening aku bila melihat lima bungkusan air buah-buahan di tangannya.  Tiga bungkus air epal asam boi, sebungkus air tembikai dan sebungkus lagi air nanas.  Ini, nak minum ke nak mandi?”

Andy sua sebungkus air epal asam boi kepada Mak Lang Zainab.  "Ini untuk makcik."

Mak Lang Zainab kaku.  Mukanya merah padam, agaknya sebab malu aku tegur dia tadi.  Atau mungkin juga malu kerana orang yang dikutuk membelanja sebungkus air.

“Ambillah makcik.  Buat berbuka nanti.”  Tangannya disua lagi ke arah Mak Lang Zainab.  Dengan teragak-agak Mak Lang menyambut huluran Andy. 

“Untuk kak pun ada, nah saya belanja.”  Tangannya ditalakan ke arah Kak Salehah pula.  Ish Andy ni, buat apa dibelikan geng radio karat berdua tu air?  Aku pandang Andy dengan mata membulat, menandakan aku protes tindakannya.

“Kami pergi dulu ya makcik, kak.  Selamat berbuka puasa.”  Andy hadiahkan senyuman kepada mereka sebelum tarik lengan aku.  Terpaksalah aku melangkah mengikutinya. 

“Abang ni, tak payahlah nak buat baik dengan mereka tu.  Tak berbaloi berbaik dengan orang macam tu.  Kita buat baik pun mereka tetap mengata.”  Aku angkat sikit lengan sampai terlepas dari pegangan Andy.  Suaraku penuh dengan emosi.  Dahi sudah berkerut berlapis-lapis tanda aku sedang bengang. 

“Biarkan mereka.  Orang ada mulut, kita ada telinga.  Mereka pilih guna mulut tanpa guna akal.  Tapi kita boleh guna telinga sekali dengan akal.  Bukan semua yang kita dengar baik untuk akal kita.  Contohnya, umpatan orang terhadap kita.  Abaikan saja.  Tak mati pun bila orang mengumpat kita, kan?”  Andy menjawab dengan lembut. 

“Masalahnya, dia orang berdua tu bukan setakat mengumpat kita, dia orang fitnah sekali.  Sesedap mulut saja Kak Leha tu kata kita dah terlanjur.”  Suara aku masih tinggi.  Kalau tidak kerana Andy mencelah ketika aku menegur Kak Salehah dan Mak Lang Zainab, tentu aku basuh mereka berdua habis-habisan.

“Kita tak buat, apa nak takut? Pedulikan saja mereka.  Hidup ni bukan nak cari redha orang, kita nak cari redha Tuhan.  Dahlah sayang, jom balik.”

Aku terkedu.  Suami aku, seorang saudara baru, bercakap tentang mencari redha Tuhan.  Sedangkan aku yang sudah 25 tahun Islam tidak pernah menyebut tentangnya.



15 Ramadhan

Tingkah laku Andy sejak semalam merisaukan aku.  Dia kelihatan muram, kurang bercakap dan kerap termenung.  Bukan dengan aku saja, malahan dengan ayah dan emak juga.  Kalau masa sahur dia macam tu, aku boleh terima kerana mungkin dia masih mengantuk atau mungkin dia tak biasa makan sebelum Subuh.  Tapi waktu berbuka macam itu juga.  Sampaikan sepatah ayah tanya, sepatah dia jawab sedangkan selalunya boleh tahan rancak juga ayah dan Andy bersembang. 

            Aku suarakan kegusaranku kepada emak sebaik saja pulang dari ladang.  Bulan puasa aku pulang awal supaya dapat membantu emak menyediakan juadah berbuka puasa.

            “Mungkin dia ada masalah,” kata emak sambil memerah kelapa. 

            “Ain tanya semalam, tapi dia kata tak ada apa-apa.  Katanya dia letih. Ain tak percayalah mak sebab sebelum ni walaupun dia letih, dia tetap ceria.  Ain risaulah mak.”

            Emak diam.  Lama.  Walaupun tangan emak masih ligat memerah kelapa, aku tahu emak juga sedang berfikir.

            “Kamu kan baru berkahwin, belum faham kerenah dia lagi.  Mungkin cara kamu tanya tu tak kena tempat dan masanya.  Kita ni, sebagai isteri kena peka dengan kerenah suami kita.  Macam ayah kamu tu, masa dia baru balik kerja janganlah ditanya macam-macam.  Mungkin dia tak selesa nak bercerita di rumah sebab dia segan dengan emak dan ayah?”

            Segan apanya, Andy tu jenis orang yang selamba dan ramah.  Lagi pun aku tanya masa kami berdua dalam bilik, bukan depan ayah dan emak.  Aduhai, macam mana nak buat ni?



17 Ramadhan

 Sengaja aku parkir skuter agak jauh supaya dia tidak sedar kehadiranku.  Namun sebaik saja kaki mencecah tanah, dia berpaling ke arahku.  Di tangannya patung anak ayam yang pernah dia berikan kepadaku dulu terpegang kemas.  Aku melangkah mendekatinya dengan hati yang dipalu debaran.

            Ucapan salamnya sudah ku jawab.  Tangannya sudah ku salami dan cium.  Wajahnya ku amati.  Tenang, tapi riak ceria yang sering menghiasi wajah itu masih menghilang.

            “Kenapa nak jumpa kat sini?  Tak cakap terus pulak tu, cik anak ayam yang sampaikan pesan.”  Katanya sambil menyuakan patung anak ayam yang aku lekatkan dengan kad kecil.  Di atas kad aku tulis aku ingin berjumpa dengannya di sini selepas Asar.  Pagi tadi sebelum ke ladang aku singgah di kedai bapa mentuaku dan letakkan patung anak ayam itu betul-betul depan pintu kedai.

            “Abang tau tak apa makna buah hati?”  Aku jawab dengan soalan.

            “Buah hati?  Maksudnya orang yang disayangi… kekasih… siapa-siapa yang kita sayang kita boleh panggil buah hati.”  Andy menjawab dengan riak kehairanan terserlah di wajahnya.  Tentu dia hairan kenapa soalan itu aku tanyakan kepadanya.

            “Am I your buah hati?” 

            Andy tarik tanganku dan genggam jari jemariku dengan tangan kanannya sebelum menjawab, “of course.”

            “Abang pun buah hati Ain.  Dah beberapa hari buah hati Ain ni nampak lain.  Muram je, asyik termenung.  Makan pun kurang.  Kenapa bang?  Jangan cakap tak ada apa-apa, Ain tau abang ada masalah.”  Aku suarakan kegusaranku.

            Andy menarik nafas dalam-dalam, membuang pandangannya ke arah sungai dan kemudian berpaling semula ke arahku.  “Masalah kecil saja.  Ain tak payah risaulah.”

            “Mana boleh tak risau.  Ain bukan nak kongsi kegembiraan abang saja, tapi masalah abang juga. You have always been a good listener to me, I want to be the same for you.

            Fahamilah wahai suami bahawa aku tak betah melihat engkau bersedih.  Aku capai lengan Andy yang sebelah lagi.  Mudah-mudahan dapat aku salurkan kekuatan melalui sentuhanku.

            “Ada gaduh sikit dengan papa.”  Andy mula membuka cerita.  Dia seperti malu hendak bercerita.

            “Sebabnya?”

            “Pasal kedai.”  Ish dia ni, ceritalah terus biar senang aku faham.  Tapi aku ingat pesanan emak jadi aku sabarkan diri.

            “Kedai ada masalah ke?”

            “Abang tak mau makan rezeki yang tak halal lagi.”  Aku seperti terkena kejutan elektrik bila mendengar ayat Andy.  Mataku terbuntang.  Kalau rambutku tidak berikat ekor kuda, mau tegak rambutku dibuatnya.

            “Papa kan jual dedak dan makanan haiwan ternakan.  Apa yang tak halalnya?”  Walaupun terkejut, aku cuba kawal nada suara supaya Andy selesa bercerita.

            “Bukan barang yang papa jual tu tak halal, tapi cara bisnes diuruskan.  Ada urusan jual beli yang tak jujur.  Untuk ladang-ladang yang besar papa beri hutang tapi kenakan bunga yang tinggi. Stok lama campur aduk dengan stok baru kemudian jual dengan harga yang sama. Papa suka beli nombor ekor.  Ada yang dia guna wang sendiri, kalau beli banyak dia guna wang kedai.  Bila menang masuk balik wang tu dalam akaun kedai.  Pendapatan bisnes masuk dalam akaun bank konvensional.  Abang nak tukar ke perbankan Islam, papa marah.  Papa kata abang seorang jadi Islam dah cukup, jangan nak Islamkan perniagaan dia dan hidup dia.”

            Allah, terkedu aku dibuatnya.  Berat masalah Andy rupa-rupanya.  Kami sama-sama berjeda. 

            “Tentu ada cara kita boleh selesaikan masalah ni.  Mungkin abang boleh bincang semula baik-baik dengan papa.”  Itu saja yang mampu aku cadangkan kerana aku sendiri tidak nampak cara lain untuk selesaikan masalah Andy.  Nampak gaya kena dapatkan nasihat ayah.

            “Tak tau macam mana nak bincang baik-baik.  Sekarang papa tak mau cakap dengan abang lagi leh.  Masuk kedai pun sindir-sindir abang.”  Sayu hatiku bila mendengar lirih suara Andy.

            “Abang jangan jawab kalau papa sindir, abang sabar ya?”  Aku usap lengannya, cuba memberi sedikit semangat dan kekuatan kepada buah hatiku.  Andy mengangguk.  Aku teringat emak mentuaku pernah bercerita Andy anak yang baik, yang akur dengan orang tuanya.  Adakah sekarang mereka melabel Andy sebagai anak yang ingkar? 

            “Ain, tolong jangan cerita hal ni kepada ayah dan mak.”  Renungan mata Andy bagaikan meminta pengertian dariku.

            “Ain rasa… kita perlu cerita.  Mungkin ayah ada cara untuk bantu abang selesaikan masalah ni.  Tapi Ain serahkan kepada abang, bila abang dah bersedia abang ceritalah.  Cuma… kita duduk serumah… susah nak sorok daripada ayah dan mak.  Abang tu… tak pandai sorok, nampak sangat dari riak wajah abang tu ada masalah.  Walaupun abang nafikan Ain tau sangat abang ada masalah.  Kalau tak ajak jumpa kat sini, tentu abang masih rahsiakan dari Ain.  Risau Ain dibuatnya.”

            Andy tarik bahuku agar tubuhku rapat ke sisinya.  “Maafkan abang.  Sebenarnya abang segan nak share dengan Ain.  Malu dengan ayah dan mak juga.”

            Aku dongakkan kepala untuk merenung wajahnya.  Di kala dia girang, juga ketika dia galau, dia tetap kacak di mataku.  Kacak wajah, kacak akhlak.  Takkan sanggup aku biarkan dia bersendirian menghadapi dugaan hidup.

            “Wahai Abang AYAM, jangan ada segan antara kita.  Setiap masalah kita harungi bersama.  InsyaAllah, ada penyelesaiannya.”

            Andy senyum.  Akhirnya aku melihat semula senyuman ikhlas yang sudah beberapa hari lenyap dari wajahnya.  Tapi belum cukuplah, aku nak senyuman yang lebih lagi.

            “Ha, kan dah manis wajah abang.  Lebih manis dari air buah Lebai Sohid,” aku bodek sikit sambil elus pipinya.

            “Mestilah.  Ini manis original.  No sugar added.  No preservative.  Tapi hanya untuk tatapan mata buah hati abang ni.”  Andy menjawab dan kemudian dia melebarkan senyumannya.  Aku menarik nafas lega. 

Alhamdulillah, Abang Ayamku sudah kembali.  Tuhan, bantulah dia agar dia tahu Kau sentiasa ada untuknya, untuk kami.  Amiin.


Tuesday 28 June 2016

LAUTAN KASIHMU

Assalam.  Ni satu lagi cerpen mengikut tema.  Kali ini temanya lautan, POV 1.  Nasib baik depa tak bubuh hutan ke, gunung ganang ke jadi tema.  Pasainya Kak Isma tak pandai nak tulis pasal hutan, gunung, bukit dan seangkatan dengannya.  Maklumlah, I kan city girl. Hehehe

Jemput baca dan jemput komen ya.


LAUTAN KASIHMU

Jiwa ini terasa kosong.  Bukan baru sekarang, tapi sudah lama aku merasai kekosongan ini.  Sejak usiaku 16 tahun.  Entah kenapa, rakan-rakan yang mengelilingiku, ahli keluarga dan saudara mara serta si dia yang manis tapi brutal belum mampu mengisi kekosongan jiwaku.

Aku tidak berasa sunyi, cuma sepi.  Aku tidak bersendirian tapi kesepian mencengkam walaupun ketika aku sedang sibuk.  Aku ikut kawan-kawan berseronok.  Kami pergi karaoke, snooker, bowling dan macam-macam lagi.  Tapi akhirnya aku kembali sepi.  Habis berseronok jiwa aku masih kosong. 

"Lu apasal Andy?  Hari-hari muka gelap.  Papa lu tak bagi cukup gaji meh?" Jimmy bertanya dalam dialek Kantonis. 

"Tak ada kena mengena dengan papa akulah."

"Habis tu?  Pasal awek Melayu itukah?" 

Pasal diakah?  Rasanya tidak.  Dia tak pernah bagi aku masalah.

"Haiya, apa mau fikir pasal itu awek Melayu.  Kau ikut aku pergi cari amoilah.  Apa bangsa semua ada, muka semua cantik, body… fuyoo... memang bergetah.  Satu malam kau tak tidur tau.  Dia orang terror." 

Aku tenung Jimmy yang sedang tersengeh.  Sakit hati aku bila dia mengajak aku pergi lebih jauh dalam kejahatan.

"Kau ni, tak ada ke idea yang lebih baik daripada mengajak aku membuat maksiat?  Kalau perempuan boleh meredakan kekosongan jiwa ini, aku akan pilih dia.  Bukan sebarang amoi!"

Jimmy ketawa berdekah-dekah.  Semakin sakit hatiku bila dia ketawa begitu.

"Itu bukan maksiatlah tongong!  Itu enjoy, fun.  Kau nak awek Melayu tu enjoy dengan kau?  Jangan mimpilah!  Dia orang ada agama.  Kau ada agama?  Sedar sikit gadis yang kau puja itu daratan.  Kau pula lautan.  Daratan dan lautan boleh bertemu, tapi tak boleh bersatu."

Tin berlabel Anchor Beer dibawa ke bibirnya usai dia menempelak aku.  Aku capai gelas berisi air teh cina dingin dan meneguk minuman itu dengan rakus.  Hati yang sedang panas dengan kata-kata Jimmy nampaknya tidak mampu disejukkan dengan minuman dingin.  Aku bangun, pergi ke kaunter untuk membuat bayaran dan tinggalkan Jimmy.

Aku memandu kereta tanpa hala tuju. Kata-kata Jimmy benar-benar mengganggu jiwaku.  Aku lautan?  Dia daratan? Perumpamaan paling bodoh yang aku pernah dengar.  Tapi aku tak hairan.  Si Jimmy itu memang tak berapa pandai.  Yang dia mahir hanyalah membaiki motorsikal.  Mujurlah kemahiran itu mendatangkan hasil.

Dia orang ada agama.  Aku pula tidak ada agama.  Tapi apa salahnya tak ada agama?  Papa dan mama tak ada agama tapi aku tengok mereka bahagia.  Kawan-kawan satu sekolah dan satu universiti dulu pun ramai yang tak ada agama.  Aku nampak mereka gembira.  Tapi mungkinkah... kalau mereka ada agama... mereka akan lebih bahagia dan gembira? Pentingkah dan perlukah agama? Aduh, berserabut otak aku bila memikirkan hal agama.

Tiba-tiba, sesuatu di seberang jalan menarik perhatianku.    Aku matikan enjin sebelum melintas jalan ke seberang sana. 

"Kenapa pakcik sembahyang di sini?  Depan sana ada masjid."  Aku bertanya selepas pakcik itu usai bersembahyang.

"Pakcik letih, nak.  Kaki dah tak larat mengayuh basikal.  Kebetulan pakcik nampak paip air di tepi laut ni.  Pakcik ambil wuduk dan terus solat."  Jawapannya membuatkan hatiku semakin tertanya-tanya.

"Islam tu mudah nak.  Solat di mana saja boleh.  Asalkan tempatnya bersih, pakaian kita bersih dan menutup aurat, wuduk kita sempurna dan kita menghadap kiblat.”  Orang tua itu menerangkan sambil tersenyum.  Wajahnya bersih dan berseri, macam wajah Pakcik Ramli.  Tak kelam macam wajah papa dan Jimmy.

“Anak ni nama siapa?  Dari mana dan nak pergi mana?”  Ramah pula orang tua ni.

“Nama saya Andy.  Saya baru lepas minum dengan kawan.  Belum tahu lagi nak pergi mana.  Lalu kat sini, nampak pakcik sembahyang saya berhenti.  Pakcik nak balik rumah ke?”

“Ya, tapi nak rehat dulu.  Letih belum hilang.”  Katanya.  Walaupun dia kata dia letih, aku nampak wajahnya sangat tenang. 

“Anak ni nampak macam ada masalah?”



Itu kisah dua bulan yang lalu.  Aku bersyukur dipertemukan dengan Pakcik Ahmad.  Pak Mad membantu aku menemui jawapan kepada soalan 'perlukah ada agama'.  Pak Mad mengajar aku agama itu perisai, agama itu kasih sayang dan agama itu usaha.  Ia melindungi penganutnya dari melakukan kejahatan, mengajar kita sayang menyayangi bukan saja sesama manusia tapi juga dengan haiwan dan alam sekitar serta mengajar kita berusaha untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Air laut nampak berkilau disimbahi sinar matahari petang.  Bayu petang yang bertiup lembut memberi rasa nyaman.  Entah apa pula helah Pak Mad kali ini meminta aku menemuinya di tepi laut, tempat perkenalan kami dua bulan yang lepas.

"Assalammualaikum," suara Pak Mad memberi salam kedengaran dari arah kanan.  Aku berdiri, menjawab salamnya dan menghulur tangan untuk berjabat.

"Maaf, lambat sikit," kata Pak Mad.

"Eh tak apa Pak Mad.  Saya pun baru sampai, lebih kurang 10 minit.  Jantung saya banyak debarlah Pak Mat."  Ayatku membuatkan Pak Mad tersenyum.

"Tak payah debarlah Andy.  Pak Mad pilih tempat ni sebab ada banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari sebuah lautan.  Mari kita order minuman dulu sebelum bersembang."

Itulah salah satu sebab kenapa aku selesa dengan Pak Mad.  Dia tidak berdakwah, tapi bersembang.  Sembangnya bukan sembang kosong, tapi sembang berisi yang sangat terkesan di hatiku.

"Pernah minum air laut?"  Soal Pak Mad sebaik saja segelas teh ais dan nescafe ais diletakkan depan kami beserta sepiring tahu bakar dan sepiring cucur udang.

"Sengaja minum tak pernah… tapi tertelan ada beberapa kali." Aku cuba melawak.

"Ha, baca bismillah dan doa makan."

Arahannya aku turuti.

"Alhamdulillah, udah betul sebutan kamu.  Pakcik rasa, kamu dah sedia untuk mengucapkan syahadah."

Aku turut melafazkan syukur, tapi dalam hati saja.  Aku belum yakin dengan diriku.

"Berbalik kepada soalan pakcik tadi, apa rasa air laut?" Soal Pak Mad sebelum mencucuk sepotong cucur udang dan menyuap ke mulutnya.

"Masin lor ... perit tekak bila tertelan." 

"Tapi ikan dan seafood lain tak masin, kan?"  Sepotong lagi cucur udang hilang dalam mulut Pak Mad.  Kemudian dia mengunyah sambil tersenyum.

Aku mengangguk.  Mulutku sedang penuh dengan tahu bakar.  Wajah Pak Mad aku tenung, cuba mencerna apa yang ingin disampaikan melalui metafora sebuah lautan.

"Apa jadi kalau orang yang tak tau berenang, jatuh dalam laut?" Kacang sangat soalan Pak Mad hari ni.

"Lemas lor." 

"Tapi kita tak akan lemas kalau jatuh dalam lautan kasih Allah.  Tengok laut tu dan fikirkan, di dalamnya, terlalu banyak tanda kebesaran Allah.  Pernah dengar ungkapan lautan tak bertepi?"

Aku mengangguk. 

"Lautan tak bertepi.  Semakin dilayari semakin luas.  Semakin diselami, semakin dalam.  Beribu malah mungkin berjuta makhluk di dalamnya. Bermacam-macam cerita ada dalam sebuah lautan.”  Aku mengangguk lagi, namun sebenarnya masih belum nampak apa yang Pak Mad ingin sampaikan.

“Kenapa Allah mencipta lautan tak bertepi?  Supaya kita sedar akan kebesarannya.  Bahawa sesunguhnya kuasa dan kekuatan kita terbatas tapi Allah mampu mencipta segala-galanya.  Kepada Dia kita berharap, hanya kepada Dia.” 

Aku mengangguk juga.  Kali ini lebih jelas mesej yang hendak disampaikan oleh Pak Mad.

"Nah." Pak Mad hulur sebuah beg plastik.  Aku keluarkan sebuah buku tebal dari beg plastik itu.

"Quran?"

"Ya.  Itu lautan ilmu.  Buku yang seharusnya menjadi panduan semua orang."

"Tapi saya belum Islam, bolehkah saya baca Quran?"

"Kenapa tidak boleh?  Bacalah, dan belajarlah darinya.  Pakcik belikan yang ada terjemahan.  Baca terjemahannya dulu."

Aku pegang buku tebal itu.  Dulu, ramai kawan-kawan Melayu bawa Quran ke sekolah tapi tiada seorang pun yang mempelawa aku membacanya.  Maka aku menganggap buku suci ini eksklusif untuk orang Muslim saja.

"Ni, budak perempuan yang kamu suka tu, pakcik nak kamu jumpa bapaknya."

"Untuk apa Pak Mad?"

Soalanku dibiar tidak berjawab.  Lidi ditangan Pak Mad kini mencucuk sepotong tahu bakar.  Pak Mad angkat kepala, pandang aku dan senyum.



Tidak pernah aku rasa berdebar sebegini, walhal ini bukan kali pertama aku berjumpa dengan ayah Ain Jamaliah.  Berbagai persoalan melanda benakku, terutamanya tentang penerimaan Pakcik Ramli tapi pesanan dan nasihat Pak Mad berjaya mengatasi hasutan jahat yang cuba menggagalkan usahaku.

Aku beri salam dan hulurkan tangan untuk berjabat.  Pakcik Ramli memandang aku dengan riak tidak percaya di wajahnya.  Mungkin kerana sebelum ini aku tidak pernah bersalam dengannya, apatah lagi memberi salam.  Akhirnya hanya tanganku disambut, salamku tidak dijawab.

“Pakcik sihat?”  Aku memulakan perbualan.

“Alhamdulillah.  Andy nak jumpa Ain ke?  Dia tak da, dah balik rumah.”

“Eh tak, saya nak jumpa pakcik.  Sebenarnya… saya nak minta pertolongan pakcik.”  Apabila mendengar kata-kataku, Pakcik Ramli menjemput aku duduk.  Dia turut melabuhkan punggungnya atas kerusi di sebelah kananku.  Pada waktu petang begini ramai pekerja ladangnya yang sudah pulang.  Aku sengaja datang pada waktu ini kerana Ain juga sudah pulang.

“Apa halnya Andy, ada masalah besar ke?”

Aku menarik nafas dalam-dalam, meyakinkan diriku sekali lagi ini adalah pasti.  Sekali aku melakukannya, tidak boleh berpatah balik.  Dan aku mahu melakukannya dengan betul dan ikhlas.

“Saya nak masuk Islam.” Aku ucapkan dengan lancar, dengan jelas dan dengan sangat yakin. 

Allahu akbar!  Betul ke ni Andy?”  Terbeliak mata Pakcik Ramli.

“Betul lor.  Sudah dua bulan saya belajar pasal Islam.  Betul-betul belajar punya, dengan seorang lelaki.  Saya jumpa dia kat Pantai Merdeka.  Dia bekas tentera, selalu petang-petang kayuh basikal tepi pantai tu.  Boleh kan, pakcik tolong Islamkan saya?”

Janganlah dia tolak permintaan aku.  Tiga hari lepas ketika Pak Mad meminta aku menemui Pakcik Ramli, aku kehairanan.  Namun setelah diterangkan aku mengerti kenapa Pak Mad mahu aku memilih Pakcik Ramli sebagai orang yang membawa aku ke pejabat agama untuk melafazkan syahadah.  Pak Mad akan terus mengajar aku, namun pada masa yang sama dia juga mahu aku mendapatkan bimbingan ustaz.

“Ya Allah, Andy… perkara baik macam ni, mana boleh pakcik tak tolong.  Kamu betul-betul ni?  Bab agama ni jangan buat main-main nak.  Agama Islam ni agama suci.  Kalau nak masuk, masuk betul-betul.  Jadi orang Islam betul-betul.  Jangan tukar agama saja tapi lepas tu tak amalkan.”

“Demi Allah pakcik, saya tak main-main.  Saya dah jatuh cinta dengan Islam.  Saya perlukan pakcik… tolong saya, bimbing saya.”

Mataku terasa panas.  Sungguh hebat kuasaMu Tuhan, baru melafazkan niat memeluk agamaMu sudah memberikan satu kelegaan perasaan yang tak mampu aku zahirkan dengan kata-kata.

Alhamdulillah.  Demi Allah, Pakcik akan tolong kamu setakat yang pakcik mampu.”  Pakcik Ramli menggenggam tanganku.  Kuat genggamannya, bagaikan menyuntik satu semangat ke dalam diriku.  Semangat untuk memulakan hidup baru.  Hidup beragama.  Bukan lagi hidup seperti dulu. 

“Tapi saya nak minta pakcik rahsiakan hal ni.  Dari semua orang, termasuk keluarga pakcik.  Biarlah selepas mengucap syahadah nanti perlahan-lahan saya umumkan sendiri kepada keluarga dan kawan-kawan.”

Pakcik Ramli mengangguk-angguk dan menepuk lembut tanganku.  Matanya juga berkaca.



Air laut beralun-alun ketika bot yang kami naiki membelah lautan dengan laju.  Langit membiru dengan cantik sekali, dihiasi tompokan awan putih.  Di kejauhan aku nampak pulau yang menjadi destinasi kami.  Pakcik Ahmad dan Ustaz Karim rancak bersembang. 

            Alhamdulillah, aku sudah bergelar saudara baru sejak dua minggu yang lalu.  Hari ini Pakcik Ahmad membawa aku ke Seminar Kesempurnaan Solat di sebuah pulau di utara Semenanjung.  Rezeki seorang saudara baru, Ustaz Karim memberiku diskaun 30% manakala Pakcik Ahmad pula menaja yuranku. 

            “Jauh termenung tu Andy.  Ingatkan siapa?”

            “Dia.”

            “Jangan tenggelam dalam lautan cinta kepada seorang gadis, sebelum kamu menyelami lautan cinta Illahi.  Carilah Tuhan, pasti kamu akan dapat cinta manusia.”  Pak Mad menasihati.  Aku hadiahkan senyuman kepadanya, menandakan aku menghargai nasihatnya.

            “Dia yang saya maksudkan ialah Dia yang telah menggerakkan hati saya untuk menegur Pak Mad tiga bulan yang lepas.  Saya bersyukur sangat-sangat kerana Dia memilih saya, dan hasilnya saya rasa tenang sekarang.  Dulu saya ada duit, ramai kawan tapi jiwa rasa kosong.  Sekarang tak lagi.”

            Pakcik Ahmad tepuk bahuku.

            “Alhamdulillah.”


            Alhamdulillah, bisik hatiku.  Lautan, langit, bumi, segala-galanya adalah guruku.  Guru untuk aku mengenali sifatMu ya Rabb.  Akan terus aku selami lautan kasihMu Allah Ya Rabbul Izzati.