Friday 14 August 2015

AKU DAN 1B3K BAB 20

Assalam.

Sekejap saja sudah sampai penghujung Syawal, kan?

Jemput baca kisah seterusnya di antara Fina dan Rifqi.  Maaf ya lambat, I is busy u ols :)



BAB 20

Malam tadi terasa sangat panjang. Apa tidaknya, sebaik saja abah balik dari surau, emak panggil aku.  Masa tu aku sudah tergolek atas katil, melayan perasaan bengang terhadap Along.  Apabila aku keluar dari bilik, emak suruh hantar kopi kepada abah.  Aku rasa pelik sebab masa aku hantar kopi tv tidak dihidupkan.  Kalau abah tidak tengok tv dia akan minum kopi di dapur saja sebab meja makan di dapur adalah tempat kegemaran abah.

Rupa-rupanya abah hendak bercakap dengan aku.  Abah tanya kenapa selama ini dirahsiakan daripada pengetahuan abah dan emak yang aku menjadi pembantu peribadi sementara kepada Bos 1B3K.  Sebenarnya aku tidak berniat merahsiakan, cuma belum berkesempatan bercerita tentang hal itu kepada keluargaku.

Selepas itu emak pula bersuara.  Emak menegur perbuatan aku memeluk Bos 1B3K.  Kata emak jangan sekali-kali diulangi perbuatan itu, hatta bergurau begitu dengan Along pun sudah tidak sesuai lagi.  Emak juga kata perbuatan aku meninggalkan bos tidur dalam kereta juga tidak elok.  Alah emak ni, itulah sebenarnya peluang aku membalas balik perbuatan bos membuli aku di pejabat. 

Aku terima teguran dan nasihat emak dan abah dengan hati terbuka.  Aku sedar kesilapan yang telah aku lakukan.  Cara mereka bercakap dengan lembut dan berhemah sangat menyentuh hatiku, berbeza dengan cara Along tadi.  Aku suarakan rasa tidak puas hati terhadap Along.  Kata abah dia sudah menegur Along ketika mereka pergi ke surau tadi.

Selepas itu abah puji Bos 1B3K.  Abah kata dia nampak baik, sopan, merendah diri dan menghormati orang yang lebih tua.  Kalau Bos 1B3K ada depan aku masa abah memujinya, sudah tentu aku tepuk tangan kuat-kuat.  Pandainya dia berlakon.  Kalaulah abah tahu perangai sebenar dia yang bengkeng, kerek dan kurang ajar, tentu abah tidak puji dia.  Tapi tidaklah aku ceritakan perangai sebenar Bos 1B3K kepada orang tuaku.  Aku rasa mereka tidak akan percaya dan kalau mereka percaya nanti mereka risau pula.

Ketika aku bercadang hendak masuk ke bilik, emak bertanya tentang Nafiz.

"Kawan kamu si Nafiz tu apa khabor?  Hari tu singgahnya kejap benor.  Ajak makan pun dia kata tak dan.  Mak suka budak tu."

Apa aku nak jawab?  Aku pun sukakan dia.  Malah lebih daripada suka sebenarnya.  Dia lelaki idaman yang aku ingini sebagai suami.  Aku kagum dengan Nafiz.  Lelaki pendiam yang budiman, alim, baik, sopan, kacak.  Tapi belum tentu Nafiz meminati aku.  Sudah dua minggu tidak berjumpa dengannya.  Tiada panggilan darinya dan semalam bila aku pergi ke Rumah An Nur untuk berjumpa dengannya, dia tiada di situ.

"Mak, janganlah berharap apa-apa.  Orang dengan Nafiz kawan saja.  Kawan biasa."

Emak sentuh tangan aku dan berkata "mak rasa, Fina yang berharap.  Mak tau Fina minat dengan dia, kan?"  Alamak, emak sudah perangkap aku dengan soalan cepu emas.  Renungan emak buat aku serba salah, mengaku atau menidakkan.

“Jodoh tu rahsia Allah.  Siapa yang dia tentukan untuk kamu, pastinya itulah yang terbaik.  Tapi kamu kena berusaha juga.  Lelaki yang baik macam Nafiz tu ramai yang minat.  Kalau kamu tak berusaha memenangi hati dia, mana boleh dapat dia.”

“Macam mana kita nak buat orang suka kat kita?”  Aku pandang emak.  Emak senyum.

“Jadilah diri sendiri.  Buat orang suka kita dengan kebaikan, kejujuran dan keikhlasan.”  Jawab emak.  “Tunjukkan akhlak yang baik.  Kan Rasulullah memenangi hati musuh-musuh Islam dengan akhlaknya?”  Emak menyambung.

Semudah itu saja?  Aku fikir emak akan bagi petua atau tips untuk membuatkan orang suka aku.  Kalau emak bagi, bolehlah aku gunakan untuk membuatkan Bos 1B3K sukakan aku.  Bila dia suka aku, aku sudah berjaya membuatkan dia suka perempuan bertudung.  Aku juga boleh gunakan petua atau tips dari emak untuk buat Nafiz sukakan aku.  Tapi aku rasa Nafiz memang sudah sukakan aku.  Cuma tahap suka itu harus dipertingkatkan, dari suka menjadi minat.  Bila kami sama-sama saling meminati, bolehlah persahabatan kami dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kamu sibuk nak orang sukakan kamu.  Pernah tak terfikir Allah sukakan kamu ke tidak?  Usahakanlah supaya Allah sukakan kamu.  Bila Allah sayang kita, Allah akan permudahkan urusan kita.  Kalau ada juga urusan yang sulit, itu bermakna Allah uji kita.  Allah uji kita sebab Allah sayang kita.”  Emak menyambung nasihatnya.

Aku sengeh kepada emak.  Terasa macam kena sebijik.  Betullah cakap emak tu.  Baru aku teringat, sudah lama aku tidak bangun solat di sepertiga malam.  Haish Fina!




Pagi ini pun terasa sangat panjang.  Aku rimas menunggu tanpa mengetahui bila Abang Di akan tiba.  Hendak ditelefon dia, takut pula kalau-kalau dia sedang menghantar Dato’ pergi rawatan fisioterapi.  Atau mungkin juga menghantar Datin ke pejabat.  Pesanan ringkas yang ku hantar kepada Kak Razia pula tidak berjawab.  Agaknya dia sedang sibuk melayan kerenah Bos 1B3K. 

Usai bermain dengan Zetty, aku pergi ke tepi sungai.  Hammock yang bergoyang lembut dibuai angin aku duduki.  Air sungai yang mengalir deras tanpa lesu, angin yang berhembus lembut, dedaunan yang gugur dari pokok menjadi penemanku.  Petang nanti tempat ini akan riuh rendah dengan kedatangan penginap yang menyewa rumah inap dan chalet untuk riadah hujung minggu.  Esok dan lusa akan jadi lebih meriah.  Seronoknya kalau aku dapat berada di kampung untuk sehari dua lagi.  Tapi esok aku kena jadi pengapit Thia, jadi aku mesti balik KL hari ini juga.

Along lalu di hadapan aku.  Aku jeling saja Along.  Hati masih terguris dengan tuduhan dan tegurannya semalam.  Apa pun penjelasan yang diberikan oleh Along, aku tetap tidak boleh terima cara Along menegur dan memarahi aku depan Bos 1B3K.  Along berpatah balik.  Dia menegurku.  Aku tarik muka dan berpaling ke arah bukit.

“Adik Along ni, bila merajuk lagi manis.”  Aku juihkan bibir.

“Along minta maaf.  Along sayang kamu, Along tak mau sesuatu yang tak elok terjadi kepada kamu.  Biar kita cegah sesuatu sebelum terjadi sebab bila dah terjadi, kita dah tak boleh pusingkan masa.”

Aku tahu apa yang Along cakap itu betul, tapi hati aku masih terluka.  “Along marah orang cukuplah.  Yang Along pergi sound bos orang tu buat apa?  Orang malu tau dengan perbuatan Along.”

“Along tak sound dia, Along cakap elok-elok.”

“Along cakap apa kat dia?”

“Mula-mula Along minta maaf atas perbuatan kamu terpeluk dia.  Lepaih tu Along cakap, kamu tu udah gatei nak berlaki.  Kalau dia berkenan dengan kamu masuklah meminang.  Abah udah berkenan benor dengan bos kamu tu.”

Eh tiba-tiba Along keluarkan loghat Perak!  Along ni sengal tahap gaban! 

“Along!  Ya Allah, apa Along merepek ni?  Buat malu oranglah.  Macam mana orang nak kerja dengan dia lagi?”

Along gelak.  Berdekah-dekah dia ketawa.  Aku sakit hati.  Dari cara Along ketawa aku tahu aku sudah kena tipu dengan Along.  Aku bangun, sua tangan dan cubit lengan Along sekuat hati.  Along mengadoi kesakitan.  Padan muka!  Main-mainkan aku lagi.  Sambil menyeringai  Along tinggalkan aku dan berjalan ke arah pejabatnya.

Pakar motivasi kata kalau nak kurangkan kemarahan, baring.  Jadi kalau tadi aku duduk, sekarang aku baring di atas hammock.  Wajah Bos 1B3K menerpa di minda sebaik saja aku berbaring.  Peristiwa semalam menjengah ingatanku.   Rasa hendak tergelak pula bila teringat aku geletek pinggang dia.  Ingat senang ke nak dapat peluang geletek bos? 

Bos baik sangat semalam, tapi sayangnya semua itu lakonan.  Kalaulah Datin nampak betapa sopannya bos bila bercakap dengan kakitangan di Ipoh dan dengan Along dan orang tuaku, tentu Datin gembira.  Bukan setakat sopan, malahan mesra juga.  Aku sendiri sangat terkejut bila melihat dia sangat mesra dengan kakitangan di Ipoh dan dengan abah.  Tapi dengan Along dia tidak berapa mesra, mungkin dia takut dengan Along.   

Angin yang membuai nyaman membawa ingatan aku kepada Nafiz.  Wajah tenang Nafiz, yang aku gelarkan ‘wajah lelaki yang tidak tinggal solat’ sangat mendamaikan mindaku.  Sudah dua tahun berkawan, belum pernah sekali pun hati terguris dengan perbuatan atau kata-kata Nafiz.  Kami tidak pernah berdating.  Setiap pertemuan adalah kerana aku mengikuti kerja amal yang dia usahakan.  Namun di akhir setiap pertemuan dia sentiasa menyenangkan.  Dia membuatkan aku tertunggu-tunggu pertemuan seterusnya.  Cuma sekarang hati sudah mula terasa. 

Tidak mengapalah.  Mungkin dia sibuk.  Atau mungkin ayahnya yang sakit memerlukan perhatiannya.  Esok aku akan jumpa dia di majlis persandingan Naani.  Agak-agaknya Nafiz suka tak tengok aku pakai kebaya?  Selama ni dia hanya tengok aku pakai t-shirt dengan jeans.  Mudah-mudahan esok bila dia pandang aku dia terkedu sekejap.  Lepas itu mata dia turun, naik, turun, naik dan mata dia melekat di wajah aku.  Kemudian dia senyum.  Aku akan balas senyuman dia dengan senyuman termanis yang mampu aku ukirkan.

Aku dengar ada orang panggil aku.  Aku juga rasa ada benda jatuh atas muka aku.  Aku raba muka sambil buka mata.  Ya Allah, rupa-rupanya aku ralit mengangankan Nafiz sampai terlelap.  Daun yang jatuh atas hidung aku ambil dan buang ke tanah.  Aku menggeliat sikit.  Punyalah sedap tidur tadi, apatah lagi bila tidur bermimpikan Nafiz.

Aku mengalih pandang ke kiri, ke arah wakaf yang paling dekat dengan hammock.  Mataku pantas menangkap susuk tubuh dia.  Bos!  Bila masa dia sampai?  Kenapa dia ada di sini?  Dia datang dengan Abang Di ke?  Bukankah Dato’ ada temujanji dengan fisio hari ini?  Aku kerling jam tangan.  Sudah pukul 12.30 tengahari, maknanya dekat satu jam juga aku terlelap.

Aku bingkas bangun dan akibat dari hendak turun dan terus berdiri di atas tanah dengan cepat, aku jatuh tergolek.  Mujurlah hammock itu tidak tinggi, jika tidak mesti sakit bahuku kerana bila aku jatuh, bahuku yang terlebih dahulu mencium tanah.  Aku berdiri dan memandang ke arah wakaf.  Bos 1B3K dan Along tersenyum lebar memandang aku.  Aduh, malunya.  Minggu lepas bos nampak aku terlanggar dinding, hari ini dia nampak aku jatuh pula.

Aku rasa hendak benamkan muka dalam tanah tapi keselambaan Safinatun Najah pantas menghilangkan rasa malu.  Dengan selamba aku berjalan ke arah wakaf.  Aku tegur Bos 1B3K dan jeling Along.  Jangan ingat bila aku terlelap tadi, hati aku sudah sejuk.  Walau pun tidak semarah semalam, rasa bengang terhadap Along masih bersisa.

“Dah lama bos sampai?”  Aku bertanya sambil membetulkan tudung aku yang jadi herot semasa aku tertidur tadi.

“Lebih kurang setengah jam.”  Dia menjawab.  Matanya hanya melintas di wajah aku sebelum dia memandang Along dan kemudian dia terbatuk beberapa kali.

“Kata nak hantar Abang Di?  Kan bos kena temankan Dato’ pergi fisio?”

“Kak Long sampai malam tadi jadi dia bawa daddy pergi fisio.  Abang Di masih cuti. Demam anaknya makin teruk, malam tadi anaknya masuk wad.”  Bos 1B3K menerangkan.  Kak Long yang disebut merujuk kepada Kak Iqa, anak sulung Dato’ Ibrahim. 

“Saya boleh balik naik bas.  Kalau bos bagi tau pagi tadi, mungkin saya dah nak sampai KL sekarang.” 

No point mentioning.  I am already here.  Keselamatan dan keselesaan kakitangan adalah keutamaan aku.  Nanti lepas aku solat Jumaat kita balik.”  Bos menjawab dengan tegas sebelum terbatuk lagi.   

Wah, dia sebut solat Jumaat.  Ini betul-betul hendak solat, atau cover line depan Along?  Ketika berfikir begitu aku terpandang Along.  Along pun sedang memandang aku.  Elok sangatlah, aku jeling Along.  Sudah berapa kali Along kena jelling hari ini, aku pun tidak tahu.  Yang aku tahu terasa kekok pula hendak bercakap dengan bos bila Along ada bersama.

Terdengar bunyi suara orang berbual, aku berpaling.  Emak, Kak Long dan… siapa perempuan itu ya?  Aku amati wanita berseluar hijau lumut yang dipadankan dengan blaus putih.  Oh, Azira!  Patutlah bos tidak kisah menempuh empat jam perjalanan, ada buah hati yang menemani.  Keselamatan dan keselesaan kakitangan konon!  Pandai betul bos, sambil menyelam minum air.  Dulu dia kata aku hipokrit kerana bagi orang gelandangan makan sebab hendak berdating dengan Nafiz.  Dia lagi besar punya hipokrit!

Betul-betul selepas dia balik dari menunaikan solat Jumaat, kami berangkat pulang ke KL.  Bos 1B3K memandu, di sebelahnya Azira dan di belakang Azira, aku.  Azira bercerita dengan ramah dan mesra tapi Bos 1B3K diam saja.  Sekali sekala dia terbatuk.  Azira pula asyik ketawa saja sambil bercerita.  Aku yang mendengar tidak mampu tersenyum langsung.  Sebabnya aku tidak jumpa apa yang lucu dalam cerita Azira.

            “Batuk you macam makin teruklah.  Nanti sampai KL, I temankan you pergi klinik.”  Prihatin juga Azira ni.  Walaupun dia sibuk bercerita dia perasan batuk bos makin kerap.

            “No need.  I ada lozenge.”  Bos menjawab dan kemudian memalingkan wajahnya ke ruang tengah di antara kerusi depan.  Aku panjangkan leher dan Fisherman’s Friend yang aku belikan semalam elok terletak di tepi gear.  Aku nampak Azira mencapai peket Fisherman’s Friend.  Dia buka dan suakan sebiji lozenge ke arah bos.

You sudi tak kalau I suapkan?” Dengan manja Azira bertanya.  Ini mesti kes nak mengorat bos ni.  Agaknya dia bukan sekadar hendak jadi interior designer untuk Resort Sri Selangor, dia hendak jadi ‘interior designer’ untuk hati bos sekali. 

Thanks, I’ll take it later.”  Bos menolak.  Hmm, aku sangka bos akan terima pelawaan Azira sebab semalam bos minta aku suapkan lozenge.  Rupa-rupanya aku silap.  Agaknya semalam dia nak buli aku.  Atau dia nak cabar keberanian aku sebab masa dia minta aku pakaikan tali leher, aku tak sanggup buat.  Entah kerana malu atau apa, Azira suap lozenge yang dipegang ke dalam mulutnya sendiri. 

“Tak sedap.  Pahit.”  Katanya tidak berapa lama kemudian.  Eh, semalam bos kata manis.  Aku sendiri sebenarnya tidak tahu bagaimana rasanya Fisherman’s Friend perisa blackcurrent.  Aku pilih yang itu sebab peketnya yang paling cantik.

“Dalam setiap kepahitan, tentu ada sikit kemanisan.” 

“Hmm, sedaplah ayat you tu.  Tak sangka orang business macam you ni pandai bermadah.  You know what, I love to read words of wisdom.”  Entah kenapa ayat Azira buat aku rasa hendak muntah.  Nampak sangat dia hendak membodek dan menggoda bos.  Aku tidak kisah sebenarnya tapi bila aksinya terlebih, aku rasa terpanggil untuk mencelah. 

“Arwah opah saya pun pandai bermadah, Cik Azira.  Dulu opah selalu bagi kami kata-kata yang menarik dan suruh kami cari dan selami maksud kata-katanya.”

Azira berpaling ke arahku sambil tersenyum.  Aku rasa tahap kemanisan senyumannya kurang daripada senyuman yang dia berikan kepada Bos 1B3K. 

“Oh ya ke?  May be you boleh share dengan I your opah’s favourite quote.”  Senyuman plastik Azira dan gaya mengada-ngadanya buat aku rasa jelik.

“Carilah kemanisan dalam setiap kemasinan,” aku belasah saja ayat tu.  Dahi Azira berkerut sebelum dia memalingkan semula bahunya ke arah depan.  Aku sandarkan semula tubuh ke belakang.  Ketika aku mengangkat muka, mataku bertembung dengan mata bos melalui cermin.  Senyuman terukir di hujung bibir bos. 


Bos 1B3K memandu dengan laju.  Mungkin dia mahu cepat sampai KL.  Orang banyak duit macam bos tentu tidak kisah kalau kena saman kerana memandu melebihi had laju yang dibenarkan.  Dek kebosanan yang melampau, perjalanan ini terasa panjang dan lama, walaupun dengan pemanduan ala-ala F1 Bos 1B3K.  Aku cuba melelapkan mata namun tidak berjaya.  Sudahnya terpaksalah aku menadah telinga dengan cerita bosan Azira.

Lebih kurang tiga jam kemudian Bos memasuki kawasan rehat dan rawat Jejantas Sungai Buloh.  Aku ingat dia berhenti kerana hendak ke tandas atau mengisi minyak, atau minum.  Rupa-rupanya dia menurunkan Azira di situ. Bukan main manja dan menggoda gaya Azira ketika mengucapkan selamat tinggal kepada bos. 

“Kau boleh solat Asar di sini,” kata bos kepadaku sebaik saja Azira berlalu pergi.   

Solat?  Bagus juga dia ingat yang aku belum solat Asar.  Eh, tapi takkan aku saja pergi bersolat?  Dia tak nak solat ke?  Tetapi, semalam dan hari ini elok saja dia bersolat. Berlakon saja kot depan abah dan emak.  Hmm, lantaklah.  Aku tolak pintu kereta, keluar dan terus berlalu ke arah surau. 

Usai menunaikan solat Asar, aku dapati Bos 1B3K sudah pun menanti di sisi keretanya.  Dia hulurkan kunci kereta kepadaku.  Matanya merenung tajam, seperti yang biasa dia buat di pejabat. Aku faham arahannya jadi aku terus masuk melalui tempat duduk pemandu, hidupkan enjin dan gerakkan kereta.

What do you think about Azira?”  Tiba-tiba bos tanya.  Aku paling tidak suka soalan yang membuatkan aku terpaksa bercakap pasal seseorang. 

            “Saya tak kenal dia.  Jadi saya tak boleh komen pasal perangai dia.  Tapi kalau dari luaran, no doubt she’s pretty.  Sesuailah dengan bos.”

            “You mean to say I’m good looking?”  Aku kerling bos bila dia tanya soalan tu.  Bos sendengkan tubuhnya ke arahku sambil tersenyum sinis.  Orang kerek memang perasan!

            “Kau rasa dia syok kat aku?”  Ish bos ni, aku tak sukalah soalan-soalan macam ni.  Kena ada strategi nak jawab soalan bos tu.  Aku diam dulu untuk berfikir, sambil tumpukan perhatian kepada jalan di depan.

            “Bos suka dia tak?”

            “Yes.”  Pantas bos menjawab.  Patutlah penting bagi bos untuk mengetahui sama ada Azira syok dekat bos atau tidak.  “To a certain extent.”  Ayat sambungan itu buat aku keliru.  Tapi aku tidak berminat dengan hal peribadi bos jadi aku diamkan saja.

            “I like your family.”  Eh, ni apa kes tukar topik ke keluarga aku pulak?

            “Nampak keluarga kau penuh dengan kasih sayang… tak macam keluarga aku.”  Kali ini aku berpaling.  Senyuman sinis di bibir Bos 1B3K sudah tiada.  Dia memandang jauh ke hadapan. 

            “Abah dan emak kau nampak mesra and still in love with each other.  Kalau aku ada isteri nanti, aku pun nak macam tu.  Abang kau, initially was fierce but after having a good long conversation with him today, I like him.”

            Apakah yang dibualkan oleh Along dan Bos 1B3K?  Hatiku tertanya-tanya tapi lebih baik aku tanya Along daripada aku tanya Bos.

            “Kau tak pernah cakap pun Along kau tu interior designer and owns a honeymoon resort in Dungun.”

            Macam mana saya nak cakap, kita tak pernah ada masa untuk berbual.  Di pejabat bos asyik marah saja dan hanya bercakap hal kerja.  Bos tak mesra dengan kakitangan.  Pandang saya pun jarang-jarang.  Bila pandang pula, mata bos tajam macam singa nak terkam mangsa.  Lagi pun saya ni PA sementara saja.  Habis sebulan saya akan balik ke Bahagian Akaun.  Bos tak akan nampak muka saya lagi.  Jadi tidak ada sebab untuk kita lebih mengenali.  Aku cadang hendak jawab begitu, tapi entah kenapa jawapan itu hanya berbunyi dalam hati.

            “Kau masih merajuk dengan Along kau?”

            Alahai, kenapalah si 1B3K ni menyibuk?  Lagi satu, banyak pula mulut dia.  Tadi masa dengan Azira dia diam saja.  Sekarang sudah terbalik.  Dia bercakap, aku yang diam.

            “Dia buat begitu sebab dia sayang kau.  Melindungi orang yang disayangi adalah satu kewajipan, lebih-lebih lagi bagi seorang abang. Kalau aku ada adik, aku pun akan buat macam tu.  Aku nampak Along kau seorang abang yang sangat bertanggungjawab dan menyayangi keluarganya.  Kau patut bersyukur mempunyai seorang abang macam dia.  Kalau kau dapat abang macam abang aku…”

            Ayatnya putus di situ.  Dia batuk dan kemudian diam.  Aku pun diam.  Malas nak ambil tahu hal keluarga dia.  Kalau dah perangai tu tak elok, macam mana nak ada hubungan yang baik dengan ahli keluarga.  Dengan emak sendiri pun berani meninggikan suara, apatah lagi dengan adik beradik.  

            Bos capai peket Fisherman’s Friend yang terletak di tepi gear.  Dia suakan peket itu kepadaku.  Kebetulan kami sudah sampai di Jalan Duta dan terpaksa berhenti kerana lampu isyarat sudah merah.

            “Tolong suapkan.”  Dengan selamba dia meminta.  Aku renung bos dengan dahi yang berkerut.

            “Tolonglah.  Aku dah bersusah-susah datang ambil kau, takkan tolong suapkan sebiji lozenge pun tak boleh?”  Katanya, diikuti dengan batuk yang lebih kuat. 

            “Bos, kan saya sedang memandu?”  Aku cuba mengelak dengan alasan itu.  Dada aku sudah berdegum degam muncul semula.  Peliklah dia ni, tadi Cik Azira hendak suapkan dia tak mahu.  Sekarang mengada-ngada pula minta aku suapkan lozenge itu.

            “Kita kan tengah berhenti sekarang?  Susah sangat ke nak suapkan lozenge tu?  Tentu tak sesusah kau peluk dan geletek aku kan?”

            Dah dia ungkit pasal kes terpeluk dan tergeletek dia semalam.  Aku malas nak memanjangkan cerita jadi aku ambil Fisherman’s Friend dari tangan dia, buka peketnya dan suakan sebiji lozenge ke arahnya dengan tangan kananku.

            “Dekat sikit bos.” Pintaku sambil menyendengkan tubuhku ke arahnya.  Bos senyum dan dekatkan wajahnya ke arahku.

            “Sikit lagi.”  Bos rendahkan wajahnya mendekati jariku.  Degupan jantungku semakin kuat.  Aku dapat rasakan matanya sedang menerawangi wajahku.  Bertenanglah Fina, hatiku berbisik. 

Bibir bos dan jariku sudah semakin rapat.  Aku angkat mata.  Pandangan kami bercantum.  Aku tarik tanganku dan lozenge yang berada di antara ibu jari dan jari telunjuk aku suapkan ke dalam mulutku.

“Okey, lampu dah hijau.”  Aku letakkan bungkusan Fisherman’s Friend di tepi gear, pegang stering kejap-kejap dan sambung memandu. 

No comments:

Post a Comment