Tuesday 4 August 2015

AKU DAN 1B3K BAB 19

BAB 19

Dia sampai ketika aku sedang menghidang juadah.  Di badannya tersarung t-shirt yang aku yakin milik Along dan seluar slack yang dipakai pagi tadi.  Abah dengan ramah menjemputnya duduk.  Dia pandang aku ketika melabuhkan punggungnya.  Mata kami bertemu pandang.  Aku tidak suka renungannya kerana sebaik saja mata aku bertatapan dengan matanya, jantung aku mula main gendang.  Agaknya aku lebih selesa dengan renungan tajam penuh kerek yang selalu dia beri di pejabat.

            “Along tak makan sekali ke mak?”  Aku tanyakan emak sambil menuangkan air ke dalam gelas.  Emak pula mencedok nasi ke dalam pinggan.
           
            “Dia makan di rumah dia ler, Kak Long kamu masak.”  Emak menerangkan.  Eloklah Along dan Kak Long tidak makan malam bersama kami.  Kalau Along ada, aku rasa tak selesa.  Macam mana nak selesa, mata Along tu macam ikut saja pergerakan aku.  Aku rasa Along masih tidak puas hati dengan aku.  Aku rasa bos pun tak selesa kalau Along ada.

            Abah menadah tangan untuk membaca doa makan.  Aku tunduk memandang tapak tanganku yang sudah aku tadah ke langit.  Tapi sebaik saja doa dibaca, aku mengangkat kepala.  Eh, pandai pun si 1B3K ni baca doa makan.  Ingatkan selepas berkelana di Eropah, sudah lupa doa-doa lazim.  Bukan salah aku beranggapan begitu, kan Datin pernah bercerita yang Bos 1B3K sudah tidak solat dan sangat sosial kehidupannya ketika menetap di Eropah? 

Bos 1B3K makan dengan berselera dan seperti tidak kekok dengan masakan kampung.  Memang sedap pun masakan emak.  Ikan kembong dimasak asam rebus, kacang botol digoreng dengan udang kering, ulam raja dan sambal belacan.  Menunya ringkas tapi setiap juadah yang emak sediakan dimasak dengan kasih sayang, maka kelazatannya terasa. 

Abah dengan ramah dan mesra melayan Bos 1B3K.  Emak sekali sekala mencelah.  Bos pula sambung sifat lain macam dari siang tadi.  Sifat mesra rakyat.  Elok dia berbual dengan abah dan emak.  Dengan aku dia cuma kerling saja.  Ada juga masa dia pandang aku dia tengah tersenyum.  Bukan senyum dengan aku tapi tersenyum mendengar celoteh abah.  Walaupun senyuman bos tu mesra dengan mata aku, jantung aku pulak tak berkenan.  Berdegum degam jantung aku bila mata melekat pada senyuman bos yang mahal tu.  Mahal sebab jarang nampak.

Memang amalan keluarga kami makan malam sebelum Maghrib.  Solat Maghrib berjemaah di rumah berimamkan abah atau Along.  Tapi sejak Along berkahwin dia lebih kerap berjemaah dengan Kak Long di rumahnya.  Solat Isya’ kadang-kadang emak jadi imam, kadang-kadang aku sebab Abah dan Along berjemaah di surau.  Ketika aku keluar dari bilik siap bertelekung, Bos 1B3K sudah berdiri di belakang abah.  Ini mesti sebab dia segan dengan abah dan emak.  Kalau tidak, aku yakin dia tidak solat.  Macam masa dia ikut aku ke Rumah Umi Sarah dulu, orang bersolat dia lesap entah ke mana.

Habis bersolat aku bersiap untuk balik.  Pakaian pejabat yang aku gunakan tadi aku masukkan dalam beg untuk dibawa pulang.  Aku dengar suara Along di ruang tamu, agaknya berbual dengan abah.  Bila aku keluar dari bilik, emak dan Kak Long pun ada bersama.  Along memandang aku, terus berdiri, datang kepadaku dan menarik aku ke sudut hujung ruang tamu, tempat kami bersolat tadi.

“Kamu nak balik malam ni?”  Along bertanya dengan suara yang diperlahankan.  Muka Along tegang.  Apa hal Along ni? 

“Ya lah.  Esok orang kerja.”

“Nak balik malam-malam dengan bos kamu?  Tau tak tak elok berdua-duaan di waktu malam dalam kereta dengan lelaki yang bukan muhrim?”  Soalan Along sudah buat hati aku panas.  Aku tahu apa yang Along katakan itu ada betulnya, tapi apa pilihan yang aku ada? 

“Habis tu, Along nak hantar orang balik ke?  Along boleh tak jangan fikir yang bukan-bukan?  Itu bos oranglah, bukan boyfriend orang.  Orang hormat dia sebagai bos, dia pun hormat orang sebagai pekerja.  Orang tau jaga dirilah.  Along lupa ke adik Along ni ada tali pinggang hitam taekwando?  Kalau bos orang nak buat benda tak baik kat orang, orang belasah dia.”

Suara aku sudah naik sikit.  Along ni masih belum hilang sifat over protectivenya walaupun aku sudah tiga tahun bekerja.  Dia lupa agaknya sedangkan ketika di Australia pun aku boleh jaga diri, inikan pula di tempat sendiri.  Tapi Along tetap Along, mana boleh dia cepat berpuas hati dengan jawapan aku.

“Wah pandainya menjawab!  Memang kamu hormat dia, dia hormat kamu.  Tapi setan tak reti hormat sesiapa tau.  Okey, kamu boleh belasah dia kalau dia buat benda tak baik kat kamu.  Tapi macam mana kamu tau yang kamu tak mulakan apa-apa yang tak baik pada dia?  Macam mana Along tau kamu tu jaga batasan?  Tadi pun masa siang benderang kamu peluk dia, inikan pula dalam malam yang gelap.”

Kali ini Along pula hilang sabar.  Suara Along pun naik tinggi.  Aku kehilangan kata-kata, sekadar mampu merenung Along dengan mata yang mula terasa panas.  Separuh hatiku bagaikan tidak percaya Along tergamak berkata begitu kepadaku.  Sampai hati Along fikir yang bukan-bukan tentang aku.  Kalau orang lain tidak percayakan aku, aku boleh terima.  Tapi bila Along yang buat begitu, hati aku hancur. 

“Abang.”  Kak Long yang sedang memegang tangan Nabil Imran menegur dengan lembut sambil menghampiri kami.  Aku berpaling ke arahnya.  Di belakangnya emak, abah dan Bos 1B3K memandang kami.  Bos 1B3K!  Bila masa dia ada kat sini?  Ya Allah, malunya aku!  Tentu dia dengar perbalahan aku dan Along. 

“Tadi masa kamu singgah di rumah, kamu fikir dulu tak?”  Along merendahkan suaranya, tapi rasanya sudah terlambat.  Kak Long mengusap belakang dada Along dan menyuruh Along bersabar.

“Orang fikirlah!  Orang ingat nak singgah dalam dua jam saja.  Mana orang tau bos nak mandi kat sungai tu.  Mana orang tau abah ajak bos makan kat sini.  Along, orang dah besarlah!  Jangan kongkong orang, boleh tak?” 

Aku juga cuba merendahkan suara, walaupun sukar dalam keadaan hati aku sedang menggelegak.  Kalaulah dia bukan Along, mesti sudah kena ketuk.  Tapi hakikatnya aku hanya boleh menjegilkan mata dan mengerutkan dahi sambil bercakap dengan mulut separuh terbuka supaya suara aku tidak keluar dengan kuat.

“Lain kali kalau keluar dengan bos, atau kawan pejabat yang lelaki terus balik.  Jangan singgah mana-mana.”  Along masih belum puas hati.  Aku pula hati sudah semakin panas.

“Lain kali orang tak nak balik sini lagi.  Along cakap macam ni, orang kecik hati tau.  Jahat sangat ke orang ni sampai Along boleh fikir yang bukan-bukan?” 

Along tidak menjawab dengan mulut, tapi renungan mata dia aku faham.

“Kak Long, tengoklah Along ni!”  Aku terpaksa gunakan talian hayat.  Kak Long saja yang boleh kawal Along.

“Abang, tak baik cakap macam tu dengan Fina.  Nasihat dia elok-elok, tak boleh ke?”  Kak Long memujuk dengan lembut.  Along berpaling ke arah Kak Long.  Emak menghampiri Kak Long dan mengambil Nabil darinya.

“Abang nak Reen ingatkan kesalahan lama abang?”  Bagus!  Elok benar Kak Long tanya soalan itu.  Nafas Along turun naik.  Dia pandang aku, pandang Kak Long dan kemudian pandang ke arah Bos 1B3K.  Bos 1B3K datang menghampiri kami.  Abah ikut dan bila sampai di sisi Along, abah tepuk bahu Along dan minta Along bertenang.

“Pak Akob, Mak Jah, Encik Naim… saya minta maaf.  Ini semua bukan salah Fina.”

“Ini bukan salah kamu juga.”  Abah cepat-cepat menyampuk sambil memegang bahu Bos 1B3K.

“Sebagai bos Fina, saya akan selesaikan masalah ni.  Fina, kau tidur sini.  Esok aku hantar Abang Di ambil kau.”

Aku terpempan. 

“Kau belum ambil cuti untuk gantikan hari sabtu yang aku suruh kau kerja.  Jadi esok kira kau cutilah.”

Aku masih terkedu ketika Bos 1B3K bersalam dengan abah dan Along.  Aku dengar Along minta maaf dan menerangkan kepadanya dia hanya menjalankan tanggungjawab untuk memastikan kehormatan adiknya terjaga.  Bos 1B3K mengangguk dan sambil tersenyum berkata dia faham dan menghormati pendirian Along.   Ketika Bos 1B3K melangkah keluar, aku tersedar aku berhutang sesuatu dengannya.

“Bos!”  Aku melaung dan segera menuruni anak tangga.  Aku berlari anak ke keretanya.  Dia berpaling. 

“Saya nak minta maaf sebab singgah sini.  Saya tak sangka jadi macam ni.  Saya nak minta maaf juga sebab Along cakap macam tu.  Jangan ambil hati dengan Along saya ya?” 

Aku kerling ke arah Along yang sedang menghidupkan enjin motorsikalnya.  Bila aku pandang semula ke arah bos, wajah dia nampak tenang.  Aku harap wajah tenangnya itu bermakna dia tidak marah dengan aku dan tidak terasa dengan kata-kata Along. 

“Kalau bos batuk, makan Fisherman’s Friend tu.  Jangan makan ubat batuk yang Encik Adnan bagi, kuat sangat ubat tu.  Nanti bos mengantuk.  Kalau bos mengantuk berhenti kat RnR, tidur sekejap.  Berhenti di tempat yang terang.  Lock kereta tau, kalau berhenti.”

Bos senyum. 

“Tadi saya dah check dengan Kak Razia.  Dia kata Encik Suleyman belum hantar lagi kertas cadangan mengenai interior designer Resort Sri Selangor.  Esok saya akan call dia untuk follow-up.”

Senyuman bos semakin lebar.  “Dan satu lagi saya nak ingatkan, bos belum beli hadiah untuk Naani, eh Azwan.  Lusa bos, dato’ dan datin kena sampai majlis dia sebelum bersanding.  Dia akan bersanding pukul satu.  Dia kata dah reservekan tempat duduk untuk bos sekeluarga di meja VIP.  Dato’ dan Datin kena merenjis pengantin.”

Bos mendengar dengan penuh minat.  Sungguh berlainan dengan situasi di pejabat.  Kalau di pejabat dia mendengar macam acuh tak acuh saja.  Bila aku bercakap dia pandang ke lain.  Sekarang mata dia tunak di wajah aku dan satu lagi senyuman dia manis.  So unusual!  Memang betullah aku sudah biasa dengan renungan tajam, muka kerek, dan sikap kurang ajar dia yang selalu buat tak endah bila aku bercakap dengannya.  Jadi bila dia renung dan senyum begitu kepada aku, jantung aku berdegum degam lagi, seolah-olah aku baru habis berlari kerana dikejar anjing. 

“Esok tak payahlah hantar Abang Di.  Dato’ kena buat fisioterapi pukul 10.  Saya boleh balik sendiri naik bas.  Tak pun, saya suruh Along hantar.” 

Senyuman Bos 1B3K hilang.  Wajah kacaknya bertukar menjadi kelat.  Dia pandang aku dengan renungan tajam yang biasa aku lihat di pejabat.  Lama dia renung aku tanpa berkata apa-apa. 

“Kau jangan nak mengada-ngada balik naik bas.  Tunggu saja di sini.”   Akhirnya dia bersuara.  Nada suaranya seperti yang aku biasa dengar di pejabat, tegas memberi arahan.  Aku mengangguk.  Ada perasaan aneh yang menyelinap dalam hati.  Bila kereta dia berlalu meninggalkan perkarangan rumahku, aku tahu apa makna perasaan itu.

Maknanya aku sudah boleh terima sikap bengkeng, kerek dan kurang ajar bos sementara aku, walaupun baru dua minggu bekerja dengannya.  Dan satu lagi makna ialah sikap mesra, baik dan sopan, serta renungan matanya yang nyaman dan senyuman manisnya hanyalah lakonan semata-mata.  Dia tetap bengkeng, kerek, kurang ajar dan kacak.  Sayang… muka kacak tak sealiran dengan perangai.

Usai solat Isya’ berjemaah dengan emak, aku naik bukit di belakang rumah untuk pergi berjumpa Kak Long.  Petang tadi tidak puas bercerita dengan Kak Long kerana dapat berbual sekejap saja.  Hati yang masih panas dengan kerenah Along perlu disejukkan dan selain daripada emak, Kak Long juga tempat mengadu yang baik.  Kak Long hidangkan aku mini pavlova.  Aku memang hantu pavlova, apa lagi 2 biji aku makan. 

“Sebenarnya Kak Long kenal Irsyad Rifqi.”  Sepantas kilat leher aku menegak bila dengar Kak Long kata begitu.

“Tapi kenal-kenal gitu saja, bukanlah rapat dan tau serba-serbi tentang dia.  Masa Kak Long sekolah dulu, mama berkawan dengan emak dia.  Adalah jumpa sekali sekala bila dia ikut emak datang rumah Kak Long atau Kak Long ikut mama pergi rumah Datin.” 

“Along tau ke?”

“Tau.  Kak Long dah cerita tadi masa kami makan malam.  Along tak cakap apa-apa pun, cuma bising pasal apa yang dia nampak kat tepi sungai.”

“Ala Along ni, kan orang dah kata orang tak sengaja!  Mati-mati orang ingat bos tu along.”

“Dulu… kisah Along dan Kak Long pun bermula dengan kes terpeluk.”  Kak Long cakap dengan lembut dan kemudian bibirnya menggaris sekuntum senyuman yang sangat manis.  Tapi nada suara dan senyuman Kak Long buat tekak aku rasa tersekat.  Aku masih ingat peristiwa yang sudah hampir tiga tahun berlalu kerana aku nampak apa yang terjadi.  Along menolong Kak Long turun dari batu besar di tepi sungai dan sebaik saja Kak Long berjaya diturunkan, batu yang licin menyebabkan Kak Long hampir tergelincir dan akhirnya terpeluk Along.  Itulah permulaan kisah mereka yang berakhir dengan kisah cinta yang manis.

“Sebenarnya Kak Long nak cakap apa?”  Aku tanya Kak Long.  Dahi sudah berkerut dan kening sudah tinggi.  Entah kenapa aku rasa Kak Long seperti mahu menyampaikan sesuatu.

“Tak ada apa-apa.”  Kak Long bangun, bawa piring pavlova yang sudah licin dan menuju ke sinki dengan senyuman meleret.  Eeee, senyuman Kak Long sudah macam serupa dengan gaya senyuman mengejek Along. 


Aku terus berfikir, cuba mencantum peristiwa petang tadi, kisah Kak Long dan Along serta kata-kata Kak Long sekejap tadi.  Ish, merepeklah Kak Long ni.  Takkanlah aku jatuh cinta dengan dia.  Mustahil.  Sangat-sangat mustahil dia jatuh cinta dengan aku.

No comments:

Post a Comment