Sunday 23 August 2015

AKU DAN 1B3K BAB 21

BAB 21

Hari Sabtu yang penting kerana tengahari ini aku akan jadi pengapit Thia.  Aku merancang hendak tidur awal malam tadi supaya wajah nampak segar dan badan tidak lesu.  Tapi malangnya payah benar untuk aku melelapkan mata kerana asyik teringatkan peristiwa yang terjadi sepanjang hari.  Aku rasa seronok bila teringat aku berjaya mengelak dari menyuapkan lozenge ke mulut bos.  Sudahnya bos suap sendiri sebiji lozenge ke dalam mulutnya dan selepas itu mood bos yang ceria sepanjang hari bertukar jadi kurang ceria. 

Kemudian aku teringat pula leteran Along malam kelmarin ketika aku hendak balik ke KL bersama dengan Bos 1B3K.  Bila aku cantumkan setiap peristiwa, baru aku sedar ada betulnya apa yang Along katakan malam itu.  Perbuatan Bos 1B3K meminta aku menyuap lozenge ke mulutnya adalah contoh perkara tidak elok yang Along mahu elakkan dari terjadi.  Astaghfirullahal adzim, aku bersalah memarahi dan merajuk dengan Along.  Nantilah, aku akan hubungi Along untuk minta maaf.

Dek rasa mengantuk yang masih bersisa, aku sambung tidur selepas Subuh.  Ingatkan boleh sambung tidur sejam dua lagi tapi seawal pukul 7 pagi telefon bimbit aku berbunyi.  Nama Datin Nuridah terpampang di skrin.  Datin minta aku pergi ke majlis persandingan Naani dengannya.  Aku rasa sebelum ini sudah beritahu Datin aku terpaksa pergi awal kerana Thia mahu aku bersiap di rumah Naani.  Kata Thia kalau dibiarkan aku bersiap sendiri jawabnya hanya bibir aku saja yang berwarna.  Thia memang agak berlebih dalam hal penampilan dirinya, pengapit, flower girl dan sesiapa yang punya tugas penting untuk majlis pernikahan dan persandingannya, baik majlis di pihak dia mahupun di pihak Naani.  Pakaian mesti seragam, wajah mesti disolek, untuk yang tidak berhijab rambut juga perlu didandan. 

Aku terangkan kepada Datin.  Namun Datin tetap meminta aku cuba usahakan agar dapat pergi bersama dia.  Kata Datin, Dato' yang meminta aku pergi bersama mereka dan jika aku tidak datang, dia enggan pergi ke majlis Naani.  Ish mengada-ngada betullah Dato' Ibrahim ni. 

Tapi walaupun hati mengeluh, aku cuba usahakan.  Aku telefon Thia dan dia syorkan aku datang ke rumahnya, bersiap, pergi ke rumah Datin Nuridah dan datang ke majlis persandingan bersama datin dan dato'.  Asalkan aku sampai sebelum pukul satu dan sudah siap disolek, Thia tidak kisah.  Aku telefon Datin dan maklumkan kepadanya saranan Thia.  Datin ada idea lain pula.  Katanya mengapa tidak aku bersiap di rumah Datin saja?  Datin sanggup menanggung kos perjalanan mak andam ke rumahnya dan Datin juga akan telefon Naani untuk memaklumkan hal ini.

Makanya tepat pukul sepuluh pagi aku sampai di rumah Dato' Ibrahim.  Datin menyambut kedatangan dengan wajah ceria.  Digenggam kuat tangan aku sambil dia berkali-kaki mengucapkan terima kasih.  Tindakan Datin mencuit hatiku.  Jika tadi aku asalnya rimas dengan permintaan Datin, kini aku merasa lega, seolah-olah aku telah melakukan satu tindakan yang betul.  Datin juga memohon maaf kerana terpaksa menyusahkan aku.

Sedang kami berbual, Kak Iqa datang sambil memegang lengan Dato' Ibrahim.  Aku bersalaman dan berpelukan dengan Kak Iqa sambil bertanya khabar.  Kata Kak Iqa anak-anaknya sudah rindukan tok mummy dan tok daddy mereka, sebab itulah dia mengambil penerbangan pada petang Khamis untuk pulang ke KL.  Kak Iqa menegur aku sudah kurus dan bertanya adakah aku kurus kerana dibuli oleh adiknya. 

Belum sempat aku menjawab Datin menyampuk mengatakan aku bukan mudah dibuli kerana aku tidak takut melawan Rifqi.  Dato' Ibrahim berdehem, mengisyaratkan dia tidak mahu ketinggalan dalam perbualan kami.  Aku tundukkan sedikit kepala kepada Dato' dan bertanya khabarnya.  Dengan wajah ceria Dato' mengatakan dia sihat dan gembira dapat bertemu denganku.  Dia juga bertanya kenapa aku sudah lama tidak datang ke rumahnya.  Aku terkedu dengan soalan itu.  Sejak bila pula aku mesti selalu datang ke rumah majikan? 

"Rifqi bagi Fina banyak kerja?  Nanti saya cakap dengan dia kurangkan kerja Fina supaya Fina boleh datang sini temankan saya."  Kata Dato' Ibrahim. Aku yang becok terus jadi pendiam, sekadar tersenyum kepada Dato'.  Aku perasan pertuturan Dato’ Ibrahim sudah semakin baik dan lebih mudah difahami.

Datin menyuruh bibik membawa aku ke bilik untuk bersiap. Bilik yang sama yang pernah aku gunakan untuk tumpang bersolat.  Sementara menunggu kedatangan mak andam kesayangan Thia, aku pergi ke hujung bilik.  Langsir mewah yang melindungi tingkap aku selak.  Aku lihat ke bawah.  Rupa-rupanya tingkap bilik tetamu ini menghadap kolam mandi. Bunyi riuh rendah dari kolam mandi datangnya dari seorang lelaki dewasa dan dua orang kanak-kanak yang asyik menyimbah air sesama mereka.  Bos 1B3K kelihatan seronok melayani anak-anak Kak Iqa.  Sukakan budak-budak rupanya.  Ingatkan dengan anak saudara pun bengkeng. 

Bos 1B3K berdiri dan mendukung Syasya keluar dari kolam mandi.  Dia hanya memakai seluar pendek separas lutut.  Keluar dari kolam dia turunkan Syasya.  Bibik datang mengambil Syasya.  Bos 1B3K berdiri sambil mencekak pinggang.  Aku rasa itu memang cara berdiri kegemarannya sebab di pejabat selalu dia berdiri sambil mencekak pinggang.  Badannya yang basah nampak berkilat disimbahi cahaya matahari.  Titisan air yang jatuh dari bahunya, meluncur laju di atas dadanya dan hilang entah ke mana.  Eh, betullah dia ada six pack!  Rambut dia yang selalunya terpacak, leper dibasahi air.  Kalau sebelum ni aku kata dia kacak, sekarang aku kata dia seksi.  Tapi sayang, lelaki kacak dan seksi yang seorang ni juga kerek, kurang ajar dan bengkeng.

Pintu bilik diketuk.  Bila aku buka, seorang wanita pertengahan usia 30, memberi salam sebelum memperkenalkan dirinya.  Aku mempersilakan Kak Shima masuk.  Selepas membersihkan diri, aku mula disolek oleh Kak Shima.  Mak ai, lecehnya bersolek.  Untuk mata saja aku rasa hampir 15 minit masa dihabiskan.  Lepas itu pemerah pipi, gincu dan entah apa-apa lagi.  Ini baru jadi pengapit, kalau jadi pengantin agaknya lebih rumit.  Kata Kak Shima ketika ini Thia juga sedang disolek oleh bos Kak Shima.  Selepas bersolek dan mengenakan kebaya berwarna hijau lumut, Kak Shima memakaikan aku tudung.  Ini satu lagi azab, entah berapa lapis kain diletakkan di atas kepalaku.  Lilit sana, pin sini.  Tak boleh kah kalau aku pakai tudung syria saja, kan senang dan ringkas?

Aku melihat diriku di cermin. Lainnya rupa aku!  Mekap yang ditempek di mukaku tidak tebal dan kelihatan agak natural.  Cuma mungkin kerana aku tidak pernah bersolek maka aku merasa janggal.  Kebaya yang melekat di tubuhku tidak ketat, kerana itu syarat yang aku berikan kepada Thia ketika dia menyatakan mahu menaja sepasang kebaya untukku.  Kain potongan ikan duyung membuatkan aku kelihatan lebih tinggi dan langsing.  Inilah kali pertama kebaya melekat di tubuhku dan aku teruja untuk mengetahui reaksi Thia dan rakan-rakan universiti yang akan hadir di   majlis persandingan nanti.  Aku jeling bayangan tubuhku di cermin sekali lagi.  Aku nampak wajah dia, memandang aku dengan penuh minat.  Matanya tidak berkelip dan bila aku senyum, dia balas dengan senyuman yang mampu menggugurkan jantungku.  Hmmm, kacaknya Nafiz.

"Nah guna ni.  Cluth ni bawa, handbag tak payah."  Suara Kak Shima mematikan lamunanku.  Wajah Nafiz menghilang.  Aku terkedu melihat sepasang kasut dan sebuah clutch yang sedondon warnanya dengan kebayaku.

"Untung hang dapat best friend macam Thia, kasut dan clutch ni pun dia sponsor."  Kata Kak Shima sambil mengemas barang-barang solekan dan memasukkannya ke dalam beg. 

"Dah cepat!  Kak nak pi balik rumah Thia.  Bos dah mesej tu kata dia tak cukup tangan." 

"Kak Shima, saya pergi dengan Datin.  Kak Shima tak payah tunggu saya."  Kataku sambil memasukkan telefon bimbit, dompet kecil dan sepeket tisu ke dalam clutch.  Masih ada ruang jadi aku masukkan juga sebatang pelembap bibir.

"Oh, pi dengan family datin.  Anak dia yang handsome giler tu pi sekali kah?"

Aku mengangguk.

"Dah kahwin kah dia tu?"  Ish busy body juga Kak Shima ni.

"Belum."

"Baguih lah lagu tu.  Hang ada chancelah."  Amboi Kak Shima ni, bukan setakat tangannya ligat mengemas, mulutnya juga ligat berceloteh.

"Chance apa kak?"

"Chance ngorat dia lah.  Mak pak dia suka hang, apa lagi masuk jarumlah."  Kak Shima senyum.  Ish, apa kes pula aku nak mengorat si bengkeng tu. Tak naklah!  Kalau Nafiz aku nak.



Kata orang, bila sekumpulan orang yang sedang berbual tiba-tiba senyap, maknanya ada malaikat lalu.  Entah ya entah tidak.  Tapi itulah yang terjadi ketika aku sampai di ruang tamu.  Datin dan Dato’ sudah bersiap.  Datin memakai jubah berwarna hijau, Dato’ pula baju melayu yang sedondon warnanya dengan jubah datin.  Bos 1B3K pula mengenakan baju batik berlengan panjang.  Warna hijau juga.  Mereka semua, termasuk Kak Iqa yang sedang rancak berbual tiba-tiba senyap.  Aku jadi gugup bila semua mata memandang ke arah aku. 

            “Fina!  Ya Allah cantiknya Fina!”  Akhirnya Kak Iqa bersuara.

Datin Nuridah bangun dan datang kepadaku.  Lengan aku ditarik lembut sebelum dia berkata “ha, kan cantik macam ni.  Fina ni memang dah cantik, tapi tak pernah bersolek.  Dah disolek begini, lagilah cantik.”

            Aku terkedu.  Hanya mampu tersenyum sambil membimbit stilleto dan clutch.  Mujurlah mukaku sudah ditempek dengan bedak dan pemerah pipi, kalau tidak tentu mereka nampak betapa merahnya muka aku sekarang kerana segan bila Datin dan Kak Iqa tidak habis-habis memuji. 

            “Cantik kan bang?”  Soal Datin Nuridah sambil mendekati suaminya.  Dato’ Ibrahim mengangguk sambil tersenyum.  Lebarnya senyuman dia.  Aku mengalih mata, pandangan aku tersangkut pada wajah Bos 1B3K.  Mak ai, tajamnya mata dia.  Menikam jauh sampai tembus mata aku.  Aku ada buat salah ke?  Patutnya aku sudah tolong keluarga dia, bagilah wajah yang manis sikit.  Takkan masih bengang sebab aku tak mahu suapkan lozenge semalam?

Bos 1B3K terus keluar diikuti oleh Datin sambil memimpin Dato’ Ibrahim.  Aku mengekori di belakang mereka dan masuk ke dalam kereta, duduk di sebelah Datin Nuridah.  Bos 1B3K memandu.  Satu perkara yang aku kagum dengan keluarga ini, mereka tidak menggunakan pemandu pada hujung minggu.   Bila aku keluar dari kereta, baru aku perasan kami berempat seolah-olah satu keluarga, lebih-lebih lagi dengan pakaian kami yang semuanya berwarna hijau. 

Aku minta maaf kepada Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah kerana tidak dapat menemani mereka sehingga ke meja VIP.  Aku segera bergegas ke bilik pengantin yang terletak di tingkat atas rumah orang tua Naani.  Ketika aku melintas sebuah meja yang sudah diduduki oleh beberapa orang tetamu, lenganku ditarik orang.  Aku berpaling.  Seorang jejaka berkumis nipis memandangku sambil tersenyum.  Manis senyumannya.  Wajah kacak berkulit sawo matang itu seperti pernah aku lihat sebelum ini.

            “Safinatun Gajah!  Wow, is that you?”  Dia memandang aku dengan mata yang dibesarkan.  Ketika aku belajar dulu, ada seorang manusia saja yang memanggil aku Safinatun Gajah.  Tapi kenapa mamat yang berdiri depan aku sambil memegang lengan aku kelihatan lain sangat? 

            “Roy?”  Dia mengangguk.  Senyumannya semakin lebar. 

            “Ya Allah!  Roy!  Lamanya tak jumpa!  Apasal kau lain sangat ni?”

            Lelaki bernama Rosman Zainal Abidin, tapi lebih mesra dipanggil Roy adalah senior aku semasa di universiti, kawan sekuliah Naani.  Dulu dia kurus, berambut panjang mencecah bahu.  Sekarang dia sudah lain.  Tampan, sangat-sangat tampan.  Kalau dibandingkan dengan Bos 1B3K dan Nafiz, dialah yang paling tampan.  Badannya pun, boleh tahan.  Tidak lagi kurus keding macam dulu.

            “Kau pun lain.  My, you are so gorgeous.  Macam kau yang nak kahwin.  Ni nak pergi mana ni?  Marilah duduk dengan aku.”  Roy mempelawa.  Tangannya masih melekat di lenganku. 

            “Tak boleh Roy.  Aku kena pergi jumpa Thia dulu.  Lepas siap kerja aku, kita sembang ya.”

            “Ala, takkan sekejap pun tak boleh?  Kau datang seorang ke?”  Roy ni memang pakar memujuk dan menyoal secara serentak.

            “Nantilah kita sembang.  Aku datang seoranglah, nak datang dengan siapa lagi?”  Aku tarik lengan aku.

            “Suami?”

Soalan Roy itu buat aku tersenyum.  “Belum kahwinlah.”

 “Aku pun belum.  Girlfriend pun tak ada.”  Roy tersengeh. 

“Tak tanya pun.”  Aku jawab dengan niat bergurau tapi muka aku tidak menunjukkan seperti aku bergurau.  Agaknya dari riak wajah aku Roy faham aku betul-betul kena jumpa Thia. 

            “Janji tau, nanti kita sembang.”  Dia berkata dan lepaskan tangan aku.

            “Of course.  Kau tu jangan balik dulu pulak.  Tunggu aku ya.”

            Aku berlalu sebelum melihat Roy mengangguk.  Cepat-cepat aku masuk ke rumah banglo milik keluarga Naani dan naik ke tingkat atas.  Sebaik saja pintu bilik diketuk, Thia muncul di sebalik pintu.  Dia melepaskan nafas kelegaan sebaik saja melihat aku sebelum membuntangkan matanya.

            “Oh my!  Aku dah kata, kau ni kalau dah mekap mesti cantik.  Miss Malaysia pun kalah!  Abang, mari sini tengok Fina!”

            Naani muncul di sebelah Thia.  Dia kelihatan kacak dalam persalinan baju melayu berwarna biru muda, sedondon dengan baju kebaya moden yang membaluti tubuh Thia.

            “Cantik.  Kalau cantik macam ni pun Nafiz tak jatuh cinta dengan kau, memang sah dia bodoh.”  Ish Naani! Mulut tak ada insurans.  Suka-suka saja kata lelaki idaman aku bodoh.  Nafiz bukan bodoh, dia malu.  Aku tahu dia suka aku, tapi malu nak mengaku.

Setengah jam kemudian, aku berdiri di sisi pelamin, mengapit Thia dan Naani yang disandingkan untuk kali kedua.  Dari tempat aku berdiri, aku boleh lihat ramai kawan-kawan lelaki yang rapat dengan Naani sedang menjamu selera sambil berbual.  Ada Roy, Daus, Fikri dan Jason.  Aku juga nampak Dato’ Ibrahim, Datin Nuridah dan Bos 1B3K duduk di meja VIP.  Mata aku meliar mencari Nafiz.  Agaknya dia belum sampai sebab kelibat dia langsung tidak kelihatan.

            Ketika acara tepung tawar, Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah turut dijemput naik ke pelamin.  Dengan bersusah payah Dato’ Ibrahim melangkah ke pelamin, Sebelah tangannya memegang tongkat, sebelah lagi dipimpin oleh Bos 1B3K.  Apabila Dato’ sudah mendekati pelamin barulah dia melepaskan tangan ayahnya.  Bos 1B3K menunggu kedua orang tuanya menyelesaikan upacara merenjis.

            Dato’ masih sempat memberikan senyuman kepadaku sebaik saja dia selesai menepung tawar pengantin.  Aku balas senyuman Dato’.  Timbul rasa belas melihat dia bergerak perlahan-lahan dan pada masa yang sama aku merasa lega kerana menunaikan permintaannya untuk datang ke majlis ini bersama mereka sekeluarga.

            Tiba-tiba pengacara majlis menjemput Bos 1B3K untuk melakukan upacara menepung tawar.  Ini mesti perubahan di saat akhir kerana dari apa yang Naani maklumkan kepada aku, hanya Dato’ dan Datin akan dijemput.  Dia mara ke pelamin, melakukan upacara menepung tawar dan merenjis.  Kemudian dia bersalam dengan Naani dan sebelum dia beredar dari kawasan pelamin, dia berdiri tegak dan merenung aku untuk beberapa saat.  Ni apa kes pulak tenung-tenung aku masa di atas pelamin?  Semua orang boleh nampaklah.  Tiba-tiba dia rapatkan tubuhnya kepadaku dan sebut “Sweet.”  Selepas itu dia berpaling meninggalkan pelamin. 

            Apa yang sweet?  Soalan itu terlintas di fikiranku.  Namun belum sempat aku memikirkannya dengan lebih lanjut, aku terpandang wajah dia.  Nafiz baru sampai.  Segaknya dia.  Muka dia bersih dan tenang.  Jantungku yang dipalu oleh Bos 1B3K menjadi tenang tatkala mataku menyapa wajah Nafiz.  Kalaulah aku tidak perlu jadi pengapit Thia, tentu sudah boleh duduk di sebelah Nafiz sekarang. 

            Aku senyum.  Nafiz balas senyumanku sambil menundukkan kepalanya sedikit.  Kemudian dia mengalih pandangan ke arah Naani dan Thia.  Tidak mengapalah dia tidak tenung aku lama-lama.  Lelaki alim kan tak betah pandang perempuan lama-lama.  Gembiranya hati bila dapat melihat Nafiz.  Baru aku sedar aku sebenarnya rindukan Nafiz.  Cepatlah habis majlis bersanding ni, boleh aku pergi duduk di sebelah Nafiz.

            Setelah habis semua ahli keluarga kedua belah pihak menepung tawar pengantin, kami turun dari pelamin.  Naani dan Thia dibawa ke meja utama yang dihias cantik untuk majlis makan beradab.  Leganya hatiku kerana tugas aku sudah selesai.  Aku menuju ke meja di mana Nafiz sedang makan. 

“Boleh saya duduk sini?”

Nafiz senyum, angguk dan suap nasi ke mulutnya.  Aku tarik kerusi kosong di sebelum Nafiz.

“Lama tak jumpa awak.” 

Nafiz tidak menjawab.  Mulutnya sibuk mengunyah.

“Malam ni pergi Masjid India?”  Soalanku dijawab dengan anggukan.  Baru aku hendak melabuhkan punggung, namaku dipanggil.

            “Aku dah reserve satu tempat untuk kau.”  Roy bercakap sambil tersenyum.  Manis sangat senyuman Roy.  Terus terang cakap hati aku cair melihat kekacakan Roy sekarang.  Aku jadi serba salah, hendak duduk sebelah Nafiz atau ikut Roy.  Aku pandang Nafiz.

“Pergilah duduk dengan kawan awak.  Kalau awak datang Masjid India malam ni, kita boleh sembang.”   Kata-kata Nafiz membuat aku rasa terharu.  Lelaki budiman ini sangat memahami.  Alangkah bertuahnya aku kalau dapat memiliki Nafiz sebagai suami.  Tentu dia akan jadi suami yang memahami dan bertolak ansur.

Aku terus mengikuti Roy ke mejanya.  Di meja tersebut ada ramai kawan seuniversiti.  Aku makan sambil berbual dengan mereka.  Seronok berbual dengan kawan lama, aku terlupakan Nafiz.

            “Fina.”  Suara yang aku kenali itu mematikan tawaku.  “We are leaving now.”  Suaranya bernada tegas.  Wajahnya ketat.  Aku berpaling semula ke arah Roy dan kawan-kawan dan meminta diri untuk beredar.

            “Janganlah balik dulu.  Awal lagi ni.  Nanti aku hantar kau balik.”  Roy pantas bersuara ketika aku berdiri.  Kawan-kawan yang lain juga turut meminta aku agar jangan pulang dulu.  Aku rasa serba salah.  Rasa belum puas berbual dengan mereka tapi renungan tajam dari Bos 1B3K membuatkan aku terpaksa mengikuti arahannya.

            Selepas bersalaman dengan Thia, aku berjalan ke arah kereta Bos 1B3K.  Dia sudah menunggu di luar khemah.  Bila dia nampak aku menghampirinya, dia berjalan ke arah kereta.  Tapi kenapa dia pergi ke arah lain?  Bukankah kereta diletakkan di tepi padang, kenapa bos pergi ke arah surau?  Di mana Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah?

“Kereta siapa ni bos?”  Aku diselubungi rasa hairan bila Bos 1B3K berdiri di sisi kereta dan menekan alat kawalan jauh sebuah Proton Iswara.  Tanpa menjawab soalan aku dia masuk dalam kereta dan menghidupkan enjin.  Aku tiada pilihan, melainkan masuk juga dengan persoalan yang tidak berjawab.

            “Dato’ dengan Datin mana?”

            Tiada jawapan.  Tak mungkin bos tak dengar kerana suara aku cukup jelas dan tidak ada bunyi dari radio kereta yang boleh menenggelamkan suaraku.  Aku suakan sikit tubuh ke depan untuk mengintai wajah bos.  Hmm, masih cemberut.  Apa masalah dia ni?

            Perjalanan selama empat puluh minit terasa seperti tiga jam yang menyiksakan sebab Bos 1B3K langsung tidak mahu bercakap.  Aku tanya sekali lagi kereta siapa yang kami naiki sekarang, dia senyap.  Sambil belek bunga telur aku berkata bunga telur itu cantik dan nampak mewah.  Dia buat tak tahu juga.  Aku komen nasi minyak di majlis Naani tadi sangat sedap, pun dia diam saja.  Sudahnya aku pun diam.  Dalam diam aku terlena.

            “Cik Fina.  Cik Fina, bangun.  Dah sampai.”  Suara lelaki memanggil dengan perlahan menyedarkan aku dari lena.  Abang Di berdiri di sisi pintu kereta yang sudah terbuka.  Aku memandang sekeliling. 

            “Encik Rifqi dah masuk dulu.  Saya nak balik.”  Abang Di memberitahu tanpa aku bertanya. 

            “Ni kereta Abang Di?”  Aku menyoal sambil keluar dari kereta.

            “Ya.  Tadi Cik Fina ralit bersembang dengan kawan-kawan.  Dato’ nak balik.   Dia dah lama tak pergi majlis.  Agaknya dengan orang ramai, bising, panas pulak tu, Dato’ sakit kepala.  Jadi Encik Rifqi suruh saya hantar Dato’ dan Datin.  Dia nak tunggu Cik Fina.  Tak sangka pulak dia tak kisah bawak kereta buruk saya ni.  Segan saya, kereta bersepah.”  Abang Di bercerita sambil berjalan ke arah tempat pemandu.

“Saya balik dulu ya.”  Katanya sambil membuka pintu hadapan.  Aku mengangguk dan kemudian mengucapkan terima kasih kepada Abang Di.  Bila aku berpaling, wajah cemberut Bos 1B3K yang sedang berdiri di hadapan pintu pantas menyapa mataku.  Dia merenung tajam sambil berdiri mencekak pinggang.


Belum sempat aku melangkah ke arahnya, dia masuk.  Aku langsung tak nampak dia selepas itu.  

No comments:

Post a Comment