Wednesday 2 September 2015

AKU DAN 1B3K BAB 22


Selepas puas berehat dari pagi ke tengahari, selepas Zohor aku pergi ke Rumah Umi Sarah.  Selain daripada perasaan rindu terhadap adik-adik di situ, aku juga berharap dapat berjumpa dengan Nafiz di sana.   Ketika aku sampai adik-adik sedang berehat.  Ada yang menonton tv, ada yang membaca buku dan ada juga yang sedang bermain.  Hanya halaman di hadapan rumah yang boleh mereka gunakan untuk bermain kerana pembinaan sedang dijalankan di laman belakang.  Belum pun aku turun dari motorsikalku, Lokman berlari mendapatkanku.  Kami bersalaman dan bertanya khabar.

"Lamanya Kak Fina tak datang. Kak Fina ada bawa cokelat?"  

"Ada.  Tapi kejap lagi ya. Kak Fina nak masuk jumpa Umi dulu.  Lepas tu Kak Fina bagi cokelat kat Lokman.  Boleh?"  Lokman mengangguk sambil tersenyum.  Senyumannya manis dan ikhlas.  Aku tinggalkan Lokman dan masuk ke rumah.  Umi tersenyum gembira menyambut kedatanganku.

"Lama Fina tak datang," ujar Umi ketika kami berpelukan.

"Maaf Umi, Fina sibuk dengan urusan perkahwinan kawan baik Fina."

"Yang kahwin dengan kawan Nafiz tu?"  

"Ya."  Aku menjawab sambil terdetik dalam hati bagaimana Umi boleh tahu.  Apakah Nafiz yang bercerita?  Mungkin juga tapi agak pelik kerana setahu aku Nafiz agak pendiam dan bukan jenis yang rajin bercerita.

"Nafiz pun sibuk sekarang ni, sudah jarang dia datang ke sini."  Kata Umi Sarah sambil menggamit aku ke belakang.  Aik, di Rumah An Nur dia jarang ada, di sini pun tidak.  Hmm, apa yang diusahakan oleh Nafiz sampai dia jadi sibuk?  Semalam pun masa di majlis persandingan Naani, dia datang sekejap saja.  Aku hanya sempat bertanya khabar.  Baru hendak berbual lebih lama, Roy datang mencelah.  Sudahnya aku berbual dengan kawan lama di universiti.  

Seperti biasa walau sesibuk mana pun dia, Umi Sarah tetap menjamu tetamunya dengan hidangan ringkas.  Air teh 'o' dan kuih karipap yang digoreng oleh Makcik Leha untuk minum petang dihidangkan kepadaku.

"Belum siap lagi kerja-kerja di belakang tu Fina, tak dapatlah kamu ngajar taekwando."

"Tak apa Umi, Fina boleh ajar English hari ni."

Aku habiskan minuman.  Umi Sarah menyuruh Makcik Piah memanggil anak-anak jagaan mereka masuk untuk minum petang.  Usai minum petang, kami bersama-sama duduk di ruang makan/solat/belajar.  Aku suruh mereka keluarkan buku latihan dan menyuruh mereka membuat latihan.  Sambil itu aku melayan pertanyaan mereka.  Aku berjanji akan memberi cokelat kepada mereka sebaik saja mereka menyiapkan latihan.

Mereka belajar dengan tekun.  Mungkin kerana Abi Yusuf dan Umi Sarah selalu menekankan kepada mereka dengan kelulusan yang baik mereka akan dapat meningkatkan taraf hidup mereka.    Ada yang rajin bertanya, ada juga yang berat mulut.  Aku cuba sedaya upaya untuk membantu mereka dan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk cuba bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Tiba-tiba Lokman menjerit sambil memandang pintu.  "Uncle Rifqi!  Yeaaay Uncle Rifqi datang!"

Tidak mungkin mata aku menipu.  Di jenang pintu Bos 1B3K berdiri sambil memegang tangan Johan dan Syasya.  Lokman dan anak-anak yang lain berdiri dan terus meluru ke arah Bos 1B3K.  Mereka bersalam dengannya dan bertanya khabar dengan mesra.  Bos memperkenalkan kedua-dua anak saudaranya kepada anak-anak asuhan Umi Sarah.  Kalau tadi aku yakin mata aku tidak menipu, kali ini aku juga pasti telinga aku tidak salah dengar.  Dengan suara lembut Bos 1B3K berkata kepada Johan dan Syasya anak-anak yatim di Rumah Umi Sarah adalah kawan-kawannya maka Johan dan Syasya harus juga menganggap mereka sebagai kawan dan menghormati mereka.  Kemudian dia menyuruh Johan memberi cokelat dan biskut yang dibawa kepada anak-anak asuhan Umi Sarah.

Oleh kerana adik-adikku teruja mendapat cokelat dan biskut mahal daripada Bos 1B3K, aku memutuskan untuk menamatkan sesi Bahasa Inggeris dan membiarkan mereka menikmati cokelat dan biskut yang bukan selalu dapat mereka rasai.  Hati tersentuh melihat mereka makan dengan penuh berselera.  Dan ketika aku menoleh ke arah Bos 1B3K, sedikit rasa kagum terhadapnya menyelinap dalam hatiku.  Apa yang aku lihat dan apa yang aku dengar menyentuh hatiku hinggakan aku terpempan.  
  
Si comel Sakinah, menarik seluar bos.  Bos mencangkung di hadapan Sakinah, menarik lembut si comel ke dalam rangkulan dan terus mendokong si comel.  Dia mengambil sekeping cokelat dan sebungkus kecil biskut sebelum keluar sambil mendokong Sakinah.  Bila aku keluar beberapa minit kemudian Bos 1B3K sedang duduk di laman sambil menyuap cokelat ke mulut Sakinah.

"Bos," aku menegur sambil melabuhkan punggung di sebelah Sakinah.  

"Ini kali kedua aku datang ke sini selepas ikut kau dulu."

Aik, aku belum tanya dia sudah bagi jawapan.  Eh, dia ni boleh baca fikiran orang ke?  Nahas aku kalau dia boleh baca fikiran aku.  Mesti dia tahu sudah berbakul kutukan aku terhadapnya.

“Bos, semalam…. saya tak sangka saya dah menyusahkan bos sekeluarga.  Saya minta maaf.  Lain kali bos bagi tau sajalah nak balik, saya okey.  Kawan-kawan saya ramai, dia orang boleh hantar saya balik.  Lagi satu, kalau bos marah cakap sajalah.  Saya rimas bila bos diam macam semalam.  Bos buat saya tertanya-tanya.”

Dia paling wajahnya ke arahku.  Tidak ada lagi wajah monyok yang aku lihat semalam.  Wajah dia tenang dan entah kenapa, aku rasa berdebar bila memandang wajahnya.  Aku kalih pandangan ke depan.

"Kenapa kau buat kerja ni semua?  Kan banyak kerja lain yang lebih menyeronokkan?"  Aku tahu dia maksudkan kenapa aku menghabiskan masa di rumah anak yatim.   Itu pula yang dia tanya, tak cakap pun dia terima permohonan maaf aku atau tidak.  Aku anggap dia dah maafkan aku.  Senang cerita.

"Saya suka kat sini.  Seronok bila dapat ajar adik-adik."

Dia angkat kening, suap sepotong cokelat dalam mulut Sakinah dan toleh ke arahku.  "Ya ke seronok mengajar?  Atau ada seseorang yang menggembirakan kat sini?"

"Ada, tapi bukan seorang.  Ramai.  Gelagat adik-adik di sini semua menggembirakan hati saya."

"Yang menggembirakan hati ramai, tapi yang mencuri hati dia seorang saja kan?  Buah hati tak datang ke hari ni?  Semalam tak sempat berdating, kau sibuk dengan kawan-kawan universiti, kesian dia."

Aku pandang bos dengan ekor mata.  Aku tahu bos maksudkan Nafiz.  Tak sangka bos prihatin tentang hubungan aku dengan Nafiz.  Betullah, Nafiz sudah curi hati aku.  Tapi hati dia belum tentu sudah berjaya aku takluki.  Sehingga kini, belum ada tanda-tanda persahabatan kami akan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.  Nampak gaya aku kena mulakan dulu.  Harapkan Nafiz, mungkin aku akan kahwin dengannya masa kami berumur lima puluhan.

"Apa maksud buah hati?"  Saja aku tanyakan begitu untuk tukar topik. 

"Takkan kau tak tau?"

"Kalau definisi saya sendiri, buah hati ialah orang yang saya sayangi. Boleh jadi ibu bapa saya, adik beradik saya, kawan-kawan rapat dan sesiapa saja yang saya sayangi.  Bos punya definition macam mana pulak?"

Dia tunduk memandang tanah.  Sakinah yang duduk di antara kami masih leka mengunyah cokelat.  "Dulu... aku kata 'jangan ganggu buah hati aku'.  Rupa-rupanya aku yang salah.  Aku tak jaga buah hati aku.  Kalau aku jaga elok-elok, tentu buah hati aku tak pilih dia."

Perlahan, dengan nada sayu Bos 1B3K bersuara.  Wajahnya tenang tapi matanya menikam tajam ke tanah, bagaikan jauh tenggelam di dasar bumi.  Aku tahu apa yang diucapkan ada kaitan dengan kisah cintanya yang kecundang.  Tapi aku malas hendak bertanya lebih lanjut.  Buat apa aku tahu, bukannya aku boleh kembalikan kekasih dia yang sudah jadi isteri orang.  Jadi kami sama-sama diam.  Tapi aku tak boleh diam lama-lama.  Rimas.

"Ala bos, apa susah.  Carilah kekasih baru.  Kalau macam bos ni sekali petik sepuluh datang.  Sekarang pun bos bukannya tak ada kawan.  Tu pelakon seksi tu, kan dia minat kat bos?  Cik Azira pun minat kat bos.  Pilih saja salah satu.  Kalau dua-dua tu tak okey, bos cari yang lain.  Kalau payah sangat, bos mintalah orang tua bos carikan."

Bos 1B3K angkat wajahnya dan berpaling ke arahku.  "Aku bukan nak kekasih.  Aku nak isteri.  Isteri yang boleh terima aku seadanya dan boleh terima keluarga aku.  Cari kekasih senang, tapi cari isteri tu payah.  Perempuan sekarang… nampak kereta mewah, duit, ramailah yang nak.  Perempuan sekarang nak suami yang serba sempurna.  Yang sweet, beriman, pandai mengaji, kerja bagus, gaji besar, kaya, handsome.  Tapi tak sedar… diri sendiri tak bagus."

Wah dengan panjang lebar dia bercakap.  Tadi suaranya perlahan dan lemah.  Sekarang bukan main bersemangat lagi.  Nada suara dan perkataan yang dia gunakan, macam perli aku saja.  Aku pun apa lagi, bersemangatlah nak menjawab.

"Apa salahnya kalau perempuan nak yang terbaik untuk dirinya?  Bagi saya selagi boleh memilih, saya akan pilih.  Seorang suami adalah pemimpin rumahtangga, imam kepada saya dan anak-anak. Dia juga pelindung, penasihat, pendidik dan pencari rezeki.  Saya memang nak lelaki yang budiman, baik, sopan, rajin, tak tinggal solat, pandai mengaji, ada pekerjaan dan pendapatan yang baik.  Dia mesti hormat orang tua dan adik beradik saya, sukakan budak, tak cerewet soal makan sebab saya tak pandai masak, romantik dan suka manjakan saya.  Bagi saya lelaki alim biasanya romantik."

Dia pandang aku dengan dahi yang berkerut.  Matanya tidak berkelip. "Are you sure?"

"Yes."

"How do you know?"

Alamak, takkan nak kata itu andaian aku saja?  Aku memang tak ada statistik atau apa-apa fakta untuk menyokong kepercayaanku itu.  Mana boleh kalah dengan Bos 1B3K, nanti dia makin kerek dengan aku.  "Rasulullah kan romantik, lelaki alim kalau ikut cara Rasulullah melayan isteri-isterinya tentu romantik juga."

Dia tidak menjawab lagi.  Pandangannya jatuh ke wajah Sakinah.  Dia keluarkan sapu tangan dan kesat bibir Sakinah yang comot kena cokelat.

"Define romantic."  Katanya tanpa memandang aku.  Hah, dah datang dah sifat kerek dan kurang ajarnya. Di petang Ahad, di laman Rumah Anak Yatim Umi Sarah dia bercakap dengan gaya memberi arahan seolah-olah kami berada di pejabat atau dalam waktu pejabat sekarang.  Ketika itu juga Tuhan menghantar pertolongan kepadaku.  Kereta MyVi berwarna merah memasuki perkarangan rumah, berhenti di sebelah kereta Bos 1B3K dan jejaka idamanku keluar.  Aku berdiri dan sebelum menapak ke arah Nafiz, aku berkata "my definition of romantic is here."

Bunga-bunga yang cantik dan harum baunya sedang mengembang dalam hati aku ketika aku berjalan mendekati Nafiz.  Hari ini aku akan gunakan peluang yang ada untuk berbual-hual dengan dia, nak qada' semalam di mana aku hanya dapat memerhati dia dari pelamin.  Aku beri salam.  Dia jawab salamku sambil berpaling.  Senyuman nipis tergaris di bibirnya.  Alahai, seksinya bibir.

"Dah lama kat sini?"

"Dah dekat satu jam."  Aku jawab soalan Nafiz dengan suara lembut.  Lelaki alim macam Nafiz mesti tidak berkenan dengan gadis yang riuh rendah, kan?

"Tak penat ke, semalam satu hari di majlis Thia?"  Soalan itu membuktikan dia prihatin.

"Tak."  Jawapan tidak perlu panjang-panjang sebab lelaki macam Nafiz mesti kurang suka dengan gadis becok, kan?

Nafiz buka pintu penumpang belakang dan keluarkan sebuah kotak.

"Apa tu?"

"Barang-barang dapur.  Milo, teh, gula, susu, biskut untuk anak-anak di sini."  Nafiz jawab sambil meletakkan kotak itu di atas tanah.

"Awak beli?"  Aku bertanya dengan diiringi perasaan kagum.

"Ada orang sedekah."  Dia tutup pintu dan berjalan ke pintu penumpang yang sebelah sana.  Sebuah kotak yang lebih besar dikeluarkan.

"Alhamdulillah.  Baiknya orang tu.  Siapa dia?"

"Tak tau."  Nafiz pergi pula ke belakang kereta.  Aku ikut sama.  Tiga peket beras yang setiap satu beratnya 20 kilogram memenuhi bonet belakang.

"Apa yang saya boleh bantu?"

"Tak payahlah.  Barang-barang ni berat.  Saya akan bawak sikit-sikit masuk ke dalam."

Nafiz sudah selesai memunggah keluar beras.  Dahinya disirami peluh.  Kalaulah boleh, aku ingin mengesat peluh di dahinya.  Tapi lelaki baik macam Nafiz tentu tidak suka perempuan yang daring, kan?  Mesti ada cara aku boleh tunjukkan kebaikan dan cakna aku kepadanya. 

Hah, sapu tangan Bos!  Tadi lepas bos kesat bibir Sakinah, aku ambil sapu tangan itu untuk kesat jari Sakinah yang sememeh kena cokelat.  Lepas tu aku lupa nak bagi balik kepada bos.  Agaknya sebab teruja sangat nampak Nafiz.

"Awak."  Nafiz berpaling.  "Peluh awak tu...nah.  Laplah.  Tapi guna belah sini ya.  Sini dah kena cokelat."  Aku tunjukkan bahagian yang bersih dan sambil tersenyum dengan wajah ala-ala sesuci embun pagi, aku suakan sapu tangan itu kepada Nafiz.  Dia ambil dan sambil tersenyum dia mengesat peluhnya.  Dia pulangkan sapu tangan sambil ucapkan terima kasih.  Ah, gembiranya aku.  Banyak kali Nafiz senyum kepadaku hari ini.

Satu suara memberi salam.  Kacau daun betullah bos berambut pacak ni.  Elok-elok duduk atas bangku tu tadi, datang sini buat apa?   Dia serahkan Sakinah kepadaku dan bertanya khabar dengan Nafiz.  Kemudian dia tawarkan bantuan untuk bawa barang-barang masuk ke dalam rumah.  Nafiz angkat kotak yang paling besar.  Bos pula angkat ketiga-tiga peket beras, letak di atas bahu sebelah kiri dan berjalan di belakang Nafiz.  Selepas beberapa langkah, dia berpatah balik ke arahku.

"Lain kali kalau kau nak tunjuk caring kat buah hati, guna barang sendiri ya."  Dia tarik sapu tangan dari genggaman aku dan berlalu.  Eleh, setakat sapu tangan pun berkira! 

"Awak dah makan?"  Aku tanya dengan lembut sebaik saja aku sampai di sisi Nafiz yang sedang meletakkan kotak yang dibawa di atas lantai dengan berhati-hati.  Nafiz menjawab sepatah dengan berkata "ya". 

Aku hendak berbual lagi tapi kehadiran Bos 1B3K dengan 3 peket beras di atas bahunya membantutkan niatku.  Sempat Si 1B3K menjeling aku sebelum dia meletakkan beras di atas lantai, di sebelah kotak barang yang diletakkan oleh Nafiz.  Apa hal jeling-jeling pulak?

Aku cepat-cepat keluar untuk menyaingi Nafiz yang keluar untuk mengambil kotak kedua.  "Awak sibuk kebelakangan ni?"

"Ya. Ada orang belajar mengaji dengan saya."

"Setiap malam?"

"Ya."

"Dulu awak kata tak ajar mengaji setiap malam?"  Aku bertanya begitu sebab sebelum ini aku pernah meminta untuk belajar mengaji dengan Nafiz tapi dia enggan kerana dia sudah ada pelajar pada setiap hari Rabu dan Jumaat.

"Ini pelajar lain.  Yang belajar setiap Rabu dan Jumaat tu dah berhenti.  Yang ini bayarannya lumayan.  Bolehlah saya kumpul duit untuk kahwin."

"Kahwin?"  Secara spontan terkeluar soalan itu dalam suara beroktaf tinggi.  Nafiz berhenti melangkah dan memandang ke wajahku.  Dadaku mula berdebar dan hati mula tertanya-tanya.

"Kenapa Fina?"  Nafiz bertanya.  Hatiku tersentuh dengan cara dia bertanya.  Sangat budiman dan terserlah sifat mengambil berat dalam suaranya.  Cara dia memandang pula, hmm... aku boleh larut dalam renungan lembut matanya. 

"Terkejutlah, awak tiba-tiba sebut pasal kahwin.  Dah...dah ermm... dah ada calon ke?"

"Belum. Tapi apa salahnya saya menabung dari sekarang, kan?"  Nafiz senyum.  Aduhai, boleh gugur jantung aku bila melihat dia senyum.  Aku jawab soalannya dengan anggukan sambil bibirku juga mengukir senyuman.  Maunya tidak senyum, lelaki idamanku ini sangat berwawasan.  Eloklah dia kumpul duit, nanti boleh meminang aku.

"Awak jangan risau, abah saya tak akan letak hantaran yang tinggi."  Alamak, macam mana boleh terkeluar ayat itu?  Cepat-cepat aku tutup mulut dengan telapak tangan kanan.  Nasib baik Nafiz sedang membongkok untuk mengambil kotak kedua yang tadi diletakkan di atas tanah berdekatan dengan kereta Myvinya.

"Awak cakap apa tadi?"  Tanya Nafiz bila dia menegakkan tubuhnya.

“Aaar,  eeer,  sa… saya tanya awak nak calon isteri yang macam mana?”  Fuh, berpeluh-peluh aku dibuatnya. 

“Saya terima siapa saja jodoh yang Allah tentukan untuk saya.”  Katanya dan dia melangkah semula ke rumah.

Oh my!  Dengar tak jawapan dia?  Aduhai, sweetnya jawapan.  Kelassss sangat jawapan dia.  Jawapan orang beriman.  Orang macam inilah yang layak jadi suami aku.  Patutlah emak suka Nafiz.  Aku doakan Nafiz cepat-cepat kumpul duit dan lepas itu masuk meminang aku.

Aku masuk ke dalam rumah Umi Sarah.  Tiada orang di ruang tamu.  Di dapur Mak Leha dan Mak Piah sedang menyimpan barang-barang yang dibawa oleh Nafiz.  Sambil bekerja mereka berbual, menyatakan kesyukuran mereka kerana ada orang yang sudi menyumbang barang-barang makanan.  Aku berlalu terus ke belakang dan keluar ikut belakang.  Aku nampak Abi Yusuf, Nafiz dan Bos 1B3K sedang berbual sambil memerhatikan bangunan dua tingkat yang sedang dibina. 

Terdetik dalam hatiku siapakah yang berhati mulia menanggung kos pembinaan bangunan baru Rumah Anak Yatim Umi Sarah.  Aku doakan semoga si penderma diberkati Allah.  Bila siap nanti tingkat bawah akan menempatkan dewan makan, dewan solat dan bilik belajar manakala di tingkat atas akan ditempatkan dorm lelaki dan dorm perempuan beserta bilik mandi dan tandas.  Bangunan lama akan dirobohkan dan di situ akan dibina gelanggang badminton yang boleh aku gunakan untuk mengajar taekwando.

Telefon bimbit aku berbunyi.  Ada pesanan whatsapp masuk. 

+ Dinner dengan aku malam ni?


Makan malam dengan dia?  Tak naklah.  Aku nak ikut Nafiz bagi orang gelandangan makan.  Sudah lama sangat tidak luangkan masa dengan Nafiz.   

No comments:

Post a Comment