Wednesday 6 November 2013

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 6

Assalam and hai kawan2.

Selamat membaca sambungan kisah JGBH.  Jemput komen sekali ya.  Komen anda sangat2 diperlukan untuk saya improve penulisan saya.

Terima kasih daun keladi.


BAB 6


“Tak boleh laju lagi Abang Di?


“Nak laju macam mana Qi, jalan tengah sesak ni?”


Irsyad Rifqi mengeluh.  Jam di pergelangan tangan diintai.  Sepatutnya pukul 5.45 petang tadi dia sudah meninggalkan pejabatnya, namun dek kesibukan dia terbabas sehingga pukul 6.  Sekarang sudah pukul 6.30.  Dengan keadaan jalan raya yang sesak sekarang, jangan-jangan pukul 7 baru dia sampai ke Restoran Al Rawsha.


“Lain macam sesaknya hari ini.  Mungkin ada accident atau kereta rosak.”


Ayat Rafidi itu sedikit pun tidak membantu melegakan Irsyad Rifqi yang sedang gundah gulana.  Dia resah kerana pada pertemuan pertama kelmarin dia terlewat 20 minit.  Hari ini mungkin dia bakal terlewat 1 jam.  Harap-harap Samirah tidak marah. Tadi dia sudah menghantar pesanan bahawa dia akan lewat.  Sangkaannya dia boleh sampai ke Restoran dalam masa setengah jam ternyata meleset. 


Sampai sahaja di hadapan Restoran sepuluh minit kemudian, Irsyad Rifqi berlari masuk ke dalam.  Matanya melilau mencari wajah Samirah sambil berdoa gadis itu masih berada di dalam restoran.  Huh, leganya hati bila dia nampak di satu sudut seorang gadis bertudung kelabu sedang duduk dengan wajah muram.


**********


Samirah menguap lagi.  Rasanya sudah lebih daripada 10 kali dia menguap.  Hatinya dari sejuk menjadi suam, dari suam menjadi panas, dari panas sudah menjadi apa entah.  Tidak dapat digambarkan perasaanya.  Kalau bab mengeluh pula, sudah berbakul-bakul keluhan yang keluar.


Terlintas juga di fikiran kenapa harus dituruti permintaan Irsyad Rifqi untuk berjumpa petang ini juga?  Macamlah esok-esok tidak boleh jumpa.  Tapi entahlah… di kala hati sedang lara, panggilan telefon dari Irsyad Rifqi berjaya mengalihkan fikirannya dari memikirkan soal Mama.  Biar pun sekejap kerana dia yakin pulang ke rumah nanti dia pasti akan teringatkan Mama semula, sekurang-kurangnya mindanya dapat direhatkan sebentar dari kedukaan.


Hai mamat ni, nama saja orang korporat tetapi tidak reti menepati waktu, keluh Samirah di dalam hati. Hari tu lambat 20 minit, hari ni…


Samirah mengintai jam tangannya.  Hah!  Sudah jam 6.40!  Maknanya Irsyad Rifqi sudah lewat 40 minit dari waktu yang dijanjikan.  Angkat kaki sajalah, buang masa menunggu orang yang tidak tahu menepati masa.  Eh tapi tadi dia ada menghantar pesanan ringkas memberitahu dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.  Samirah bermonolog di dalam hati. 


Beg tangan yang diletakkan di atas kerusi di sebelah ditarik dan talinya disangkutkan di atas bahu.  Hatinya sudah ditetapkan.  40 minit ialah tempoh menunggu maksimanya.  Dia tidak mahu menunggu lebih lama.  Samirah berdiri.  Dan sebaik sahaja dia berpaling, Irsyad Rifqi sedang berjalan laju ke arahnya.


I am sorry.  I am very, very sorry,  melantun keluar permohonan maaf dari bibir Irsyad Rifqi sebaik sahaja dia berdiri lima kaki dari tempat Samirah berdiri.  Ada riak kesalan di wajahnya.  Elok benarlah tu kerana di wajah Samirah pula terpamer riak kebosanan dan kebengangan.


“Awak nak pergi mana?”  Irsyad Rifqi bertanya.


Soalan itu dijawab oleh Samirah dengan renungan tajam, wajah masam dan bibir yang sedikit dicebikkan.


“Balik… tidur.  Takkan nak menunggu kat sini sampai malam?”


Samirah


Please don’t be angry, ada hal di pejabat dan by the time I could leave, it was already 6.  Office saya sebenarnya tak jauh dari sini, kalau tak sesak dalam masa 10 minit dah boleh sampai sini, tapi hari ni jam teruk.”


Irsyad Rifqi sedar dia sudah membuat kesalahan besar jadi tanpa diminta laju saja dia memberi penjelasan tentang kelewatannya.  Samirah tetap mendiamkan diri.  Renungannya masih tajam, wajahnya masih masam tetapi cebikan bibirnya sudah hilang. 


Irsyad Rifqi mara dua kaki ke hadapan. 


“Maafkan saya.  Saya janji lepas ni saya tak akan lambat lagi.”


“Awak fikir… lepas ni… saya nak jumpa awak lagi?” akhirnya Samirah bersuara, melontarkan soalan yang hampir-hampir sama dengan soalan yang ditanyakan oleh Irsyad Rifqi kelmarin, ketika dia berkeras mahu menghantar Samirah pulang.


Irsyad Rifqi menggelengkan kepalanya.  Dia tidak yakin Samirah akan mahu keluar dengannya lagi.  Tapi untuk hari ini, dia mahu dimaafkan agar pertemuan kedua ini akan membuatkan dia merindui Samirah.


“Apa boleh buat… kalau lepas ni awak tak mau jumpa saya lagi, terpaksalah saya terima keputusan awak.  Tapi sekarang ni… tolong maafkan saya.  Please Samira.”


Sekali lagi dia memohon maaf, kali ini dengan suara yang bernada sayu.  Renungan tajam Samirah sudah kendur, tapi muram di wajah belum pergi.


Well… if this is our last date, then please… forgive me.  Kalau lepas ni awak tak mau jumpa saya lagi, saya dah tak ada peluang untuk minta maaf.”


Akhirnya ayat itu berjaya menghilangkan kemuraman di wajah Samirah.  Perlahan-lahan kepalanya dianggukan dan dia berkata “your apology is accepted.”


**********


Seperti kelmarin, hari ini Samirah diberi kejutan yang sama.  Restoran Al Rawsha yang menghidangkan makanan Arab bukanlah destinasi makan mereka.  Sebaliknya mereka menaiki kereta Irsyad Rifqi yang menunggu di luar restoran.  Sepanjang perjalanan mereka tidak bercakap sepatah pun.  Yang kedengaran hanyalah suara Irsyad Rifqi memberi arahan kepada Rafidi.


Tidak sampai sepuluh minit kemudian BMW X5 berwarna perak itu berhenti di hadapan sebuah warung mamak.  Irsyad Rifqi segera keluar dan berlari anak ke sebelah kereta dan membukakan pintu untuk Samirah.  Samirah terkedu.  Pertama kerana tindakan Irsyad Rifqi membukakan pintu untuknya adalah sesuatu yang di luar jangkaannya.  Inilah kali pertama seorang lelaki membukakan pintu kereta untuknya.  Kedua kerana dia tidak menyangka seorang ahli korporat berpangkat besar seperti Irsyad Rifqi tidak kisah makan di warung mamak sebegitu.


“Jom” Irsyad Rifqi mempelawa.  Samirah masih terpacak di sisi kereta.


You will get to eat the best tandoori in town here,” katanya.  Samirah memandang Irsyad Rifqi dengan rasa kagum sebelum menghayun kakinya ke arah warung.


 “Bos, ada baik?”


Dengan ramah si pelayan menegur.  Irsyad Rifqi mengangkat tangan ke arah si pelayan sambil tersenyum.  Semua orang panggil dia bos, memang dia betul-betul bos agaknya, fikir Samirah.


“Wah… ada adik manis aaaah?  Mari-mari saya tunjuk meja.”


Dengan pantas si pelayan melangkah ke hadapan.  Irsyad Rifqi tidak mengikut sebaliknya berpaling ke arah Samirah dan menyuakan tangannya ke hadapan.  Si pelayan membawa mereka ke sebuah meja yang agak terkedalam letaknya.  Samirah dan Irsyad Rifqi mengambil tempat duduk masing-masing. 


“Biasakah bos?” tanya si pelayan.


“Untuk saya biasa.”


“Awak nak makan apa?”


Soal Irsyad Rifqi sambil matanya memandang tepat ke wajah Samirah yang masih muram. Samirah pula memandang tepat ke arah si pelayan.  Sweet, even when she’s angry, katanya dalam hati. 


“Nan ada?” tanya Samirah.  Irsyad Rifqi tersenyum, teringat perbualan di dalam kapal terbang.  Dari cheese nan, garlic nan, butter nan, almond nan semuanya kata Samirah ingin dimakan bila sampai KL nanti.


“Ada.  Semua jenis nan ada.  Adik mau apa nan?”


Si pelayan ramah menjawab.


“Tosei ada?”


“Ada.  Semua jenis tosei ada.  Adik mau apa tosei?”


“Capati ada?”


“Itu pun adaaa.”


“Roti ca…?”


“Roti canai pun ada.  Sekarang apa mau makan… nan ka, tosei ka, capati ka, roti canai ka?”


Si pelayan sudah mula rimas.  Samirah merendahkan wajahnya.  Kepalanya ligat berfikir yang mana hendak dipesan.  Tadi sudah terbayangkan nasi mandy, rupa-rupanya ke warung mamak dia dibawa.


Irsyad Rifqi memandang Samirah dengan penuh minat.  Seperti si pelayan, dia juga ternanti-nanti jawapan dari Samirah.  Dia meneka Samirah akan memesan nan, tandoori dan teh tarik, berdasarkan perbualan mereka di dalam kapal terbang.


“Errmm… toseilah.  Tosei rava.  Limau ais kurang manis satu.”


Irsyad Rifqi tersenyum.  Unpredictable, bisiknya dalam hati.  An unpredictable girl can be challenging to manage, bisiknya lagi.


Samirah memandang Irsyad Rifqi sekilas.  Dia perasan senyuman yang tergaris di bibir Irsyad Rifqi.  Apahal mamat ni, suka sangat senyum-senyum bila pandang aku, hatinya bertanya.


“Tak apakan kita makan di sini?”  soalan Irsyad Rifqi memecahkan kebisuan di antara mereka.


Samirah memandang Irsyad Rifqi dengan matanya dijegilkan.  Aku dah duduk, dah order makanan, baru dia tanya ok tak makan di sini!  Sengal! Katanya di dalam hati.


“Ooop… sorry.  It’s too late to ask that now, right?”


“Tau pun.”


I think she’s still angry.  Kena cari topik yang menarik untuk dibualkan.  Selain daripada suka makan, apa lagi yang dia suka,  hati Irsyad Rifqi berbicara sambil memandang Samirah yang juga sedang merenung tepat ke arahnya.  Mata mereka bertembung.  Ada debaran dalam dada Irsyad Rifqi.  Samirah pula tidak rasa apa-apa, kemarahannya masih bersisa.


“Cantik tudung awak.  Sesuai dengan warna kulit awak.”


“Terima kasih.”


Jeda.


Hai, terima kasih saja.  Kalau gadis lain bila dipuji pakaiannya, terus keluar segala cerita tentang pakaian.  Di mana dibeli, jenamanya, bila dibeli, berapa harga dan macam-macam lagilah.  Sama ada dia tidak berminat bercerita tentang pakaiannya… atau dia tidak berminat bercakap dengan aku.  Fikir Irsyad Rifqi.


Cantik ke?  Tudung bawal biasa je.  Issh… mana tosei ni.  Tak sabar aku nak makan.  Dah lama tak makan tosei rava.  Fikir Samirah.


Hmmm, kena cari topik berborak.  Takkan aku pandang dia, dia pandang aku.  Dah lah dia tak mau senyum bila pandang aku.   Fikir Irsyad Rifqi.


Hmmm, sedapnya bau.  Sup kambing kot.  Sup kambing pun dah lama aku tak makan.  Fikir Samirah, sambil pandangannya melirik ke arah semangkuk sup yang baru diletakkan oleh pelayan di atas meja sebelah.


“Tandoori siap, cheese nan siap.”


Si pelayan yang peramah tadi meletakkan pinggan berisi cheese nan dan tandoori di hadapan Irsyad Rifqi dan pantas menghilang.  Aroma cheese nan segera masuk ke rongga hidung Samirah.  Perutnya yang sudah mula berkeroncong semakin lapar bila melihat nan dan tandoori di hadapan.


“Adik manis… tosei rava siap.”


Sekeping tosei rava di atas dulang besi diletakkan di hadapan Samirah, siap dengan kari, dhal dan chutney.  Samirah menelan liur.  Bulat matanya memandang tosei rava itu.  Gelagat Samirah mencuit hati Irsyad Rifqi lantas membuahkan senyuman di bibirnya.


Tangan diangkat untuk membaca doa makan.  Dan selepas itu dengan berselera dan segera Samirah menyerang tosei rava di hadapannya.  Habis licin dimakan, sementelah dia memang sangat lapar kerana tidak makan tengahari tadi.


“Nak?  Rasalah.  The best in town.”


Irsyad Rifqi mempelawa sambil piring berisi tandoori ayam ditolak sedikit ke arah Samirah.


Samirah mengangkat mukanya, senyum dan ayam tandoori dicubit sebelum disuapkan ke mulut.


“Hmmm, sedap,” kata Samirah sambil mulutnya masih mengunyah.


Irsyad Rifqi ketawa kecil.  Sudah lama dia tidak keluar makan dengan gadis yang selamba seperti Samirah. 


“Makanlah lagi.”


“Dah kenyang.”


“Awaklah satu-satunya gadis yang sudi keluar makan di gerai mamak ini dengan saya.”


“Oh,” itu sahaja yang terbit dari mulut Samirah.  Dia tidak tahu apa lagi yang hendak dikata.


“Nak cuba teh tarik?  Orderlah.”


“Lain kalilah.  Saya dah kenyang.”


Irsyad Rifqi tersenyum.  Dia kata lain kali, maknanya ada peluang nak jumpa dia lagi, fikir Irsyad Rifqi.  Samirah pula memandang Irsyad Rifqi dengan kehairanan.  Apahal dia ni asyik tersenyum saja?  Tapi bila dia senyum… wow boleh gugur jantung aku, fikir Samirah.


“Selalu ke awak datang sini?”


“Tak.  Kalau ada geng baru saya datang.”


“Tak sangka… orang kaya macam awak tak kisah makan di tempat macam ni.”  Dengan selamba Samirah berkata.  Dia berkata apa yang ada dalam fikirannya.


“Kenapa awak fikir orang kaya tak makan di tempat macam ni?”


Well, biasanya… orang banyak duit macam awak… tentulah suka makan di restoran yang eksklusif.”


“Saya makan di tempat yang makanannya sedap dan bersih.  Tak semestinya restoran mewah dan eksklusif.”


Saya pun, kata Samirah tetapi hanya di dalam hati.  Limau aisnya dihirup sampai habis.  Jam di tangan dikerling.  MasyaAllah, Maghrib sudah lama masuk.


“Irsyad… ada surau tak dekat-dekat sini?  Saya nak solat Maghrib.”


Irsyad Rifqi terpempan.  Inilah kali pertama gadis yang keluar dengannya mahu bersolat.  Yang lain-lain, dulu-dulu, tidak pernah.  Lebih teruk lagi, walaupun dia selalu datang ke sini untuk makan, dia tidak pernah ambil kisah di mana letaknya surau atau masjid terdekat.


“Sekejap ya, saya pergi bayar.”


Irsyad Rifqi cepat-cepat bangun.  Di kaunter dia bukan setakat membayar, tetapi bertanyakan tentang kedudukan surau terdekat daripada si penjaga kaunter.  Kemudian telefon dikeluarkan dan dia segera memanggil Rafidi.


Lima minit kemudian Rafidi sampai dan menghantar Irsyad Rifqi dan Samirah ke surau berdekatan.  Irsyad Rifqi turut keluar dari kereta dan melangkah memasuki surau.  Bertahun-tahun dia makan di gerai mamak itu, inilah kali pertama dia ke surau ini yang hanya lima minit perjalanan dari gerai. 


“Saya nak balik,” kata Samirah sebaik sahaja sampai semula ke kereta yang diparkir di hadapan surau.


Balik?  Baru pukul lapan, bisik Irsyad Rifqi di dalam hati.


“Papa benarkan saya keluar dengan syarat saya mesti balik sebelum pukul sembilan.”


Kolotnya bapa dia, bisik hari Irsyad Rifqi lagi.


“OK, jom.  Saya hantar awak balik.”


Samirah pantas berfikir, alasan apa yang hendak diberikan untuk menolak pelawaan Irsyad Rifqi.


“Irsyad, awak tahukan… kita baru kenal… saya tak biasalah orang lelaki hantar saya balik.”


Irsyad Rifqi memandang Samirah dengan riak kurang senang di wajahnya.  Tak biasa keluar malam dengan lelaki, tak biasa orang lelaki hantar balik… lepas ni entah berapa banyak lagi tak biasa yang akan keluar, fikirnya.  Tapi sikapnya menyenangkan hati, senyumannya mendamaikan dan tutur katanya menghiburkan.


Wajah Samirah direnungnya dalam-dalam.  Dalam kesamaran malam yang hanya diterangi oleh lampu jalan dan lampu di atas pagar surau, kecantikan Samirah terserlah.  Wajah putih bersih yang tidak disolek langsung adalah satu kelainan kerana lazimnya Irsyad Rifqi ditemani gadis-gadis yang suka bersolek tebal.  Bersolat di surau malam ini juga adalah kelainan kerana lazimnya apabila dia keluar dengan perempuan, bersolat tidak pernah masuk dalam agendanya.  Makan di gerai mamak dengan seorang gadis juga adalah satu kelainan kerana gadis-gadis yang pernah keluar dengannya sebelum ini hanya mahu makan di restoran dan kelab ekslusif.


Kelainan-kelainan inilah yang menyebabkan Irsyad Rifqi ingin mengenali Samirah dengan lebih lanjut, walaupun terselit juga rasa hairan terhadap gadis yang agak pelik ini.  Terdetik juga  di sudut hatinya apakah Samirah sengaja mereka berbagai alasan untuk menguji dirinya.


“Saya belum puas berbual dengan awak, awak dah nak balik.  Kalau saya hantar awak, kita boleh berborak dalam kereta.”


Samirah pula merenung Irsyad Rifqi dalam-dalam.  Terbit pula rasa kasihan melihat wajah Irsyad Rifqi yang bersungguh-sungguh mengharapkan.


“Sekejap ya,”  kata Samirah dan dia berlalu menjarakkan dirinya dari Irsyad Rifqi.  Telefon dikeluarkan dan dia menghubungi seseorang.  Tidak sampai lima minit dia datang semula kepada Irsyad Rifqi.


“Papa lanjutkan waktu keluar saya selama setengah jam… tapi awak tetap tak boleh hantar saya balik.”


Irsyad Rifqi tersenyum.  Good enough, bisik hatinya.  Pintu kereta dibuka untuk Samirah.


**********


“Perbualan kita semasa dalam penerbangan was the most exciting conversation I ever had with a girl.”


Kata Irsyad Rifqi.  Wajah Samirah yang berdiri di sebelah direnung.  Samirah pula menundukkan wajahnya melihat kaki sendiri sambil bersandar di kereta.  Rafidi entah ke mana, meninggalkan bosnya untuk berbual dengan gadis bertudung kelabu yang cantik manis.  Rafidi pun turut merasa hairan kenapa mereka hanya berdiri di hadapan stesen minyak untuk berbual-bual. 


“Awak membuatkan saya ingin mengenali awak dengan lebih mendalam.”


Samirah masih tunduk.


“Samira.”


Wajahnya dipalingkan dan matanya segera menangkap wajah tampan Irsyad Rifqi.


“Boleh saya jadi kawan awak?”


Tiada jawapan, hanya renungan mata yang tidak dapat difahami oleh Irsyad Rifqi.  Renungan itu memberi satu debaran dalam dadanya.  Debaran yang tidak pernah dicetuskan oleh mana-mana gadis sebelum ini.


“Kawan macam mana?” akhirnya Samirah bersuara.


“Kawan… macam…”


Macam mana ya, Irsyad menggaru kepalanya.  Bagi tau sajalah aku nak dia jadi girlfriend aku.  Tapi belum pernah aku terus nak jadikan seorang gadis girlfriend, Irsyad Rifqi berfikir.  Ada yang dah dua tiga kali keluar pun aku tak teringin jadikan girlfriend, bisik hatinya lagi.


“Awak nak kita berkawan… atau kita couple?”


Irsyad Rifqi terkedu.  Beraninya dia bertanya soalan itu.  Sungguh berterus terang, tiada ada selindung-selindung langsung.


“Saya baru habis belajar.  Fokus saya sekarang ialah mencari kerja.  Saya tak minat bercinta.  Kalau sekadar berkawan, tak ada masalah.”


Samirah menyuarakan apa yang tersimpan dalam hati.  Memang dia tidak mahu bercinta.  Meminati seseorang pun dia tidak mahu.  Keutamaannya sekarang ialah berjumpa dengan Mama dan mendengar sendiri dari mulut Mama kenapa Mama mahukan perceraian.  Dan dia juga mahu memujuk Mama agar kembali ke pangkuan keluarga.  Dia takut usaha ini terganggu sekiranya dia sibuk bercinta.


Sebuah kereta MyVi berhenti di hadapan mereka. 


“Irsyad, itu Abang saya, Aidid.”


Samirah menunjuk ke arah jejaka di dalam kereta.  Irsyad Rifqi mengangkat tangan ke arah Aidid dan dibalas oleh Aidid dengan lambaian tangan juga.


“Terima kasih kerana belanja saya makan.”


Pandangan Samirah direndahkan.  Mata Irsyad Rifqi menerawang ke seluruh wajah manis di sebelahnya.


“Sama-sama.  Kita boleh jumpa lagi kan?”


Samirah mengangkat mukanya, wajah Irsyad Rifqi ditenung.  Kepalanya dianggukkan.  Salam diberi sebelum dia berlalu masuk ke dalam kereta MyVi.


Irsyad Rifqi memandang ke arah kereta MyVi sehingga kereta itu hilang dari pandangannya.  Jam di tangan dikerling.  Baru pukul 9.00 malam.  Masih terlalu awal untuk pulang ke rumah di malam Sabtu.  Tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar. 


This is my shortest date on a Friday night, desis hatinya.

No comments:

Post a Comment