Tuesday 6 October 2015

AKU DAN 1B3K BAB 25

BAB 25

"Hari ni tak da bunga?"  Kak Razia menyoal.  Aku angkat kotak cokelat Patchi dan tunjukkan kepada Kak Razia.  Mencerlung mata Kak Razia memandang kotak cokelat yang di atasnya terlekat sekeping kad kecil dengan kata-kata ‘thank you for being so sweet to me last night’.  Sweet apanya, aku sekadar temankan dia ke majlis makan malam saja.  Kalau aku tahu aku akan berjumpa Rasydan Miang dan Bos 1B3K di majlis malam tadi, sumpah aku tak akan ikut Roy.

"Wow!  Cokelat mahal tu Fina.  Eeee nak lah sikit."

"Kejap lagi ya kak.  Lepas dia masuk bilik."

Aku perlahankan suara supaya Bos 1B3K dan Datin yang sedang berbincang dalam bilik Datin tidak mendengar.  Kak Razia mengangguk sambil mengangkat ibu jari.  Pagi tadi Bos 1B3K masuk pejabat dengan muka cemberut dan dia buat perangai seperti hari Sabtu lepas.   Sepatah perkataan pun tidak diucapkan kepada aku dan sapaan dan soalan aku langsung tidak diendahkan.  Aku tidak faham kenapa dia mesti marah dengan aku, sedangkan sepatutnya aku yang berhak marah terhadapnya.  Ikut sedap mulut saja dia kata aku hipokrit dan gatal.

Aku sambung kerja.  Kak Razia panggil aku dengan suara perlahan.  Aku panggung kepala.  "Perasan tak Encik Rifqi dan Datin dah lama tak bertekak?"

"Ya lah kak."  Baguslah dia orang tidak bertekak.  Telinga aku dapat berehat daripada mendengar suara tinggi Bos 1B3K.  Dan aku juga tidak perlu mendengar keluh kesah Datin.

"Dah dua minggu tak ada gossip dengan pelakon tu, kan?"  Kak Razia bertanya.  Aku mengangguk.  Kerja aku semakin senang apabila tidak ada gossip di media cetak dan elektronik.  Kalau ada, jawabnya kena periksa sebanyak mungkin suratkhabar, majalah dan internet.

Telefon bimbit aku berbunyi.  Nama yang tertera di skrin aku tenung lama sambil berfikir hendak jawab atau tidak.  Akhirnya aku tekan butang hijau.  Salamnya aku jawab.

“Sayang, dah makan cokelat?”  Alamak, Roy dah mula panggil aku sayang.  Parah ni, aku takut dia sudah pasang angan-angan akan memiliki aku.

“Belum.”

"Nanti makan ya."  Macam memujuk pulak nada suara Roy. 

"Roy, kenapa kau buat semua ni?"

"Sebab aku sayang kau."

"Roy janganlah macam ni.  Aku tak nak kau belanja mahal-mahal..."

"Bunga dan cokelat saja, langsung tak mahal.  Kalau kau tak suka bunga atau cokelat yang aku bagi, bagi tau aku.  Aku boleh tukar dengan bunga dan cokelat yang menepati citarasa kau."

Aku lepaskan keluhan kecil.  Aku rasa Roy yang sedang bercakap dengan aku sekarang lain benar bunyinya dengan Roy senior aku di universiti dulu. Yang dulu lebih merendah diri, sedikit naif dan lebih ikhlas.

"Dinner with me tonight, Fina."  Suara dia bukan bernada mempelawa tapi bernada menyuruh.  Aku tidak selesa dengan lelaki yang suka menyuruh.

"Err... Roy, kan kita baru jumpa semalam?" 

“Semalam ramai orang, tak sempat borak dengan kau.  Lagi pun kau tak berapa sihat semalam.  Jomlah, dinner dengan aku.  I want to take you to a special place, only the two of us.”  Kali ini suara Roy bernada memujuk pula. 

“Maaf Roy, malam ni aku memang tak boleh.”  Sebenarnya bukan tidak boleh tapi aku tidak mahu.  Aku rasa tidak elok kalau terlalu kerap berjumpa dengan Roy. 

  “Then we shall have lunch together."

“Roy, aku kerjalah.  Aku bukan bos besar macam kau boleh keluar masuk pejabat sesuka hati.”

"Aku datang office kau.  We’ll go somewhere nearby.  I'll pick you up at 1.  See you later, love."  Dia putuskan talian.  Aku termangu.  Memang terasa Roy yang ini sangat lain.

"Amboi....kemain lagi 'Roy janganlah macam ni.  Aku tak nak kau belanja mahal-mahal'.  Ya lah tu tak nak yang mahal-mahal.  Karang sampai licin cokelat tu kau jilat."  Kak Razia mengusik aku, siap mengajuk gaya aku bercakap dengan Roy tadi.  Aku jeling Kak Razia.

"Orang nak bagi yang mahal, terima saja Fina.  Esok dah jadi laki, jangan kata sejambak bunga, sehelai daun pun belum tentu dapat."  Becok terlebih Kak Razia pagi ni.  Aku angkat kening.

"Handsome tak kawan kau tu Fina?"

"Handsome kak.  Tapi saya ni tak kisah pasal rupa kak.  Yang penting akhlak dan imannya."

"Hah, betul tu.  Yang penting akhlak, iman dan akak nak tambah satu lagi...poket.  Macam akak ni dah terlambat nak cari yang poket tebal.  Tapi kau tu 'open tender' lagi."  Kak Razia ketawa kecil dan sambung menaip.
           
"Open tender?"  Hampir bercantum kening aku.  Kak Razia ni ada-ada saja.

"Kau tu kan single and available, sapa-sapa pun boleh ngorat.  Hah, kira open tenderlah.  Ni budak Roy ni, kerja apa?"

"Dia baru setahun jadi partner sebuah firma perunding untuk perkhidmatan perakaunan, audit dalam dan pengurusan risiko.  Sebelum ni dia kerja dengan agensi kerajaan sampai kontrak tajaan dia habis." 

            “Oh.”  Itu saja yang keluar dari mulut Kak Razia.  Kalau dia nampak Roy, aku yakin ‘oh’ nya akan jadi lebih panjang.  Kami sambung kerja masing-masing.  Aku angkat muka semula bila Kak Razia panggil aku.

            “Apa jadi dengan rancangan kau nak buat Encik Rifqi suka dengan perempuan bertudung?”

            Aku angkat bahu.  Sebenarnya aku sudah tidak berminat hendak meneruskan rancangan kerana aku tidak tahu apa hendak dibuat supaya Bos 1B3K suka perempuan bertudung.  Lagi pun nasihat emak masa singgah di kampung minggu lepas masih aku ingati dengan jelas.  Kalau ikut nasihat emak, aku sebenarnya tidak perlu buat apa-apa.  Jadi baik saja sudah cukup.  Tapi dari pesanan Whatsapp dari Bos 1B3K semalam, aku tahu dia tidak anggap aku baik.  Maknanya kebaikan aku belum berjaya mengubah persepsi negatifnya terhadap perempuan bertudung.  Lantaklah.  Selepas minggu depan berakhir aku sudah tidak perlu layan kerenah bengkeng, kerek dan kurang ajar dia.

            Loceng pintu kaca berbunyi, diikuti dengan bau harum manis menerpa rongga hidungku.  Aku kerling ke kanan.  Azira sedang berjalan ke arah kami dengan wajah sugul.  Aku beri salam dan senyum.  Dia jawab salam tetapi tidak senyum.  Berbeza sungguh air mukanya dengan ketika aku bertembung dengannya di luar bilik air Hotel Royale Chulan semalam.

            “Rifqi ada?”  Soalnya.  Amboi, gelaran encik sudah tidak dipakai.  Semalam pun dia panggil Rifqi saja.  Maknanya mereka sudah semakin rapat sekarang.

            “Dia dalam bilik Datin.”  Kak Razia yang laju menjawab.

            “Lama lagi ke?”  Azira menyoal sambil memanjangkan lehernya, cuba mengintai ke dalam bilik Daitn.  Memanglah tak nampak, Datin dan Bos 1B3K duduk di meja bulat.  Kena berdiri di jenang pintu baru boleh nampak. 

            “Tak pasti.”  Kali ini aku yang jawab.

            “Interior designer untuk resort di Kuala Selangor, dah lantik ke?”  Soalan ini aku sudah agak akan keluar dari bibir Azira.  Aku geleng lagi.

            “Lamanya!”  Suara Azira sudah naik satu oktaf.  Aku dan Kak Razia berpandangan.  Apa hal minah ni?

            “Mestilah lama nak buat keputusan Cik Azira, jumlah yang nak dibelanjakan besar.  Lagi pun Encik Rifqi memang teliti bila buat keputusan.  Dia akan kaji dari berbagai aspek, bukan setakat harga saja.  Lepas tu kena bentangkan di mesyuarat Lembaga Pengarah sebab jumlah melebihi lima ratus ribu mesti diluluskan oleh lembaga pengarah.”  Hah, ambik kau, dengan panjang lebar Kak Razia bagi penerangan.

            “Bila board meeting?”  Eh dia ni, banyak soal pulak.  Aku pandang Kak Razia, dia buat muka yang mengisyaratkan ‘jangan bagi tahu’.

            “Tak tahu.”   Jawapan dua patah perkataan yang aku bagi rupa-rupanya tidak digemari oleh Azira.  Riak wajahnya berubah. 

            “Apa korang ni?  Semua benda tak tau.  Korang ni bekerja ke makan gaji buta?”  Suara dia naik lagi satu oktaf.  Aku sudah bengang.  Kak Razia pun sama.

            “Cik Azira, kalau tak tahu apa-apa, jangan sedap mulut tuduh kita orang makan gaji buta.  Gaji kami bukan Cik Azira yang bayar, jadi jangan nak tengking-tengking.  Cik Azira tunggu sajalah.  Kalau ada rezeki Cik Azira dapatlah projek Kuala Selangor tu.  Yang tak sabar sangat tu kenapa?”  Seorang Safinatun Najah memang tidak rela dirinya dimarahi kalau dia tidak buat salah.  Jadi aku jawab begitu.  Kak Razia angkat kening dua kali kat aku.

            Azira pandang aku dengan riak tidak puas hati dan sakit hati terpamer di wajahnya.  Ada aku kisah?  Kalau dia nak report dekat Bos 1B3K pun aku tak heran.  Dia berpaling dan meninggalkan kami sambil jalan menghentak.  Eh eh, macam budak kecil! 

            “Kau memang sesuai jadi PA, Fina.”  Kata Kak Razia sebaik saja kelibat Razia menghilang dari pandangan kami.  “Mulut pedas kau tu berguna untuk halang orang yang tak sepatutnya dari mendekati bos.  Akak rasa kan, nak bagi tau Datin biar kau stay saja kat sini.  Azwan tu letak kat department lain.  Akak pun seronok dengan kau, hilang stress kerja bila dengar celoteh kau.  Kalau dengan Azwan, kerja saja, langsung tak bercakap.” 

            Amboi sedapnya mulut Kak Razia, nak suruh aku terus kerja di Pejabat CEO.  Tak kuasa aku menghadap si bengkeng @ kerek.  Loceng pintu kaca berbunyi lagi.  Aku berpaling ke kanan, Kak Razia ke kiri.  Dengan pantas Kak Razia mencapai ganggang interkom pintu. 

            “Roy!” 

            Aku menjerit sambil terus bangun.  Aku terlupa pintu pejabat Datin terbuka luas.  Harap-harap Datin dan Bos tidak mendengar jeritan kecilku.  Senyuman manis tergaris di bibir Roy sambil dia berjalan mendekati mejaku.

            “What…?”

            Soalan aku tergantung di situ.  Roy letak beg plastik yang mengandungi kotak makanan di atas meja aku dan sebuah lagi plastik berisi dua cawan kopi.

            “You are okey with O’Brien sandwich, right?”

            “Roy, apa semua ni?”

            “Lunchlah.  Aku tapau siap-siap supaya kita dapat cukup masa untuk makan dan berborak.  Kat office kau tentu ada pantry kan?  Jom kita makan dalam pantri.”

            “Roy!  Waktu lunch aku pukul satu.  Sekarang baru pukul dua belas dua puluh.”

            “No worry sweetie, I’ll sit there and wait.  Whenever you are ready, we’ll have lunch together.”  Jawab Roy sambil menunjuk ke arah lounge tetamu di sebelah pintu kaca.  Belum sempat aku berkata apa-apa lagi dia berlalu dan dengan selamba melabuhkan punggungnya di atas sofa.

            Kak Razia berdehem.  Aku kalih pandang ke arah dia.  “Amboi, tak kenalkan kita dengan pakwe cun dia.”

            “Hmm, itulah Roy.”  Aku bercakap dengan mood yang sudah ke laut.  Aku tak suka Roy main terjah saja pejabat aku.  Nanti apa pula yang Datin dan Bos 1B3K fikirkan.

            “Wah, abang sado rupanya Roy tu.  Dahlah handsome, caring pulak.  Akak dulu tak pernah Abang Li datang office bawakkan lunch.”

            Aku diam.  Kalau dilayan nanti Kak Razia over.  Sekarang pun nampak macam dia terlebih teruja. 

            “Fina pergilah makan, akak cover.”  Kali ini aku angkat muka dan pandang Kak Razia.  “Pergilah.  Akak keluar pukul satu.”

            “Menyusahkan akak saja.”

            “Asalkan akak dapat sikit encik patchi tu, akak tak kisah.”

            Aku senyum.  Aku pasti akan merindui keselambaan Kak Razia bila aku balik ke Bahagian Akaun nanti.




Sandwic O'Brien yang enak terasa tawar dan amat payah menuruni kerongkongku.  Kopi Starbuck yang manis dan sedap aromanya juga terasa payau.  Semuanya kerana aku menikmati makan tengahari bersama Roy dalam pantri.  Aku rasa bersalah sangat-sangat kerana pantri ini untuk kakitangan dan semestinya kakitangan di tingkat teratas Wisma Duta adalah CEO, Naib CEO, aku, Kak Razia, Kak Biah dan Abang Di saja.  Aku difahamkan juga hanya Dato, Datin dan Bos 1B3K yang boleh membawa tetamu makan di pantri ekslusif ini.

Roy makan dengan berselera sambil bercerita tentang pelanggan yang ditemuinya sebelum dia datang berjumpa aku.  Aku hanya mendengar cerita Roy dan mendengar degup jantungku.  Punyalah kuat debaran dalam dada ini dan rasa tidak sedap hati yang menjelma sejak Roy muncul tadi terasa semakin kuat bila melihat dia dengan santai mengunyah sandwic.

"Macam mana kau boleh naik?"

"Aku kata pejabat CEO order sandwic."  Roy sengeh sebelum menggigit sandwic.  Terpamer riak bangga di wajahnya kerana berjaya naik ke tingkat sepuluh Wisma Duta.  Aku semakin tidak sedap hati.  Wajah comel Putri, gadis penyambut tetamu di lobi terbayang.  Tidak sanggup aku membayangkan Putri yang manis diherdik oleh si bengkeng.

"Kenapa tak makan?  Tak sedap ke?"  Roy bertanya.

"Sedap."  Aku jawab sebelum menggigit sandwic.  Demi Roy yang bersusah payah membelikan aku makanan.  Yang mahal pulak tu. Hai lah Roy, serba salah aku dibuatnya.

"Stay still," kata Roy sambil menyua tangan.   Pipi aku terasa membahang bila ibu jari Roy menyentuh tepi bibirku.

"Comot!"  Kata Roy.  Kemudian dia mengenyit mata.  "Tapi comel.  Si comot yang comel inilah yang aku rindukan sejak enam tahun lepas.  Empat tahun lepas aku ada di airport masa kau balik.  Aku nak tegur tapi bila nampak Along kau yang garang tu, aku hanya tengok kau dari jauh."

Orang becok macam aku boleh jadi pendiam bila dengar Roy berkata begitu.  Roy yang helpful, Roy yang bookworm, Roy the best student, Roy yang lebih banyak tersenyum dari bersuara kini adalah seorang jejaka tampan yang petah.  Mesti ramai gadis yang meminati Roy versi sekarang, tapi kenapa aku yang dirayu?

"Seriously Roy, takkan kau tak ada girlfriend?"

"Kalau kau setuju jadi girlfriend aku, adalah."

Aku tundukkan wajah, tak sampai hati merenung mata Roy yang bersinar dengan harapan.  Aku gigit sandwic.  Bila dikunyah, terasa payah sungguh, bagaikan aku mengunyah getah. 

"Fina."  Aku angkat muka.  Dengan pantas jari Roy singgah lagi di pinggir bibir dan kali ini dia lebih berani.  Ibu jarinya bergerak dari hujung bibir dan mengelus bibirku. Pipi aku membahang semula.  Aduh, kenapa tidak aku halang jarinya dari menyentuh bibirku?  Mata kami bertaut pandang dan jantung aku seperti sedang menari irama rancak.

"Kenapa comot sangat ni sayang?"  Jarinya masih dibibir.  Suaranya lembut dan perlahan.  "Kau macam nervous je.  Rilekslah, kita bukan buat apa, makan saja.  Lagi pun ini kan pantri, memang tempat makan."


Aku rasa Roy macam ambil kesempatan dari kegugupan aku dan sengaja membiarkan jarinya berlama di bibirku. Aku tolak tangan Roy, toleh ke kanan dan di saat mataku menangkap tubuhnya yang berdiri mencekak pinggang di jenang pintu pantri yang sengaja aku biarkan terbuka, muka aku hilang darah.  Dia merenung tajam dengan pandangan penuh amarah.  Entah sejak bila dia berdiri di situ, aku tidak perasan.  Yang aku tahu sekarang jantung aku sudah bersedia untuk membuat aksi sky diving dari tingkat sepuluh Wisma Duta.

1 comment: