Monday 16 June 2014

SAAT KAU LAFAZKAN TEASER 2

Assalam semua.  Maaflah lama tak mengupdate.  Isma sibuk membuat semakan terakhir manuskrip Saat Kau Lafazkan.  Alhamdulillah, penerbit kata bulan Julai ni SKL akan diterbitkan.  Harap2 u ols semua dapat bagi sokongan kepada karya sulung Isma.

Masih ingat SKL tak?  Kisah Naim yang berusaha mendapatkan cinta dari Izureen.  SKL sangat bermakna bagi Isma kerana inilah manuskrip penuh pertama yang berjaya Isma siapkan.  Dekat setahun Isma usahakan.  Isma harap cerita SKL disukai dan pembaca mendapat manfaat dari SKL.

Harap u ols juga enjoy teaser di bawah.


SAAT KAU LAFAZKAN TEASER 2 - IZUREEN

“Abang nak pergi mana?”  Aku bertanya, kerana baru aku perasan dia sudah bersiap, bagaikan hendak keluar.

“Abang nak pergi bandar, ada beberapa cek yang nak dimasukkan dalam akaun.  Jom pergi sekali.”

“Tak boleh.  Reen dah janji nak tolong mak buat kuih lopes untuk minum petang nanti.  Reen tak pernah buat kuIh lopes sebelum ni.  Nanti dah pandai, Reen boleh buatkan untuk Abang.”

“Baru beberapa hari Zureen balik sini, dah macam-macam Zureen belajar.  Tak lama lagi gemuklah Abang.”
           
“Biarlah Abang gemuk.  Nanti kalau Abang dah gemuk, Ratna tak datang kacau Abang.”

Bibir Naim tersungging di sebelah kiri.  Tangannya naik dan pantas dia mencubit pipiku dengan lembut.  “Tak habis lagi kisah Ratna?  Malam tadi tak mengaku cemburu, sekarang kenapa sebut lagi nama dia?  Nak kena macam malam tadi lagi ke?”

Adoi, terkena batang hidungku!  Kononnya nak menduga dia, sengaja aku bangkitkan isu Ratna.  Tapi pandai pula Naim mengusik aku dengan insiden malam tadi.  Teringatkan asmara indah kami malam tadi, aku merasa segan.  Pipiku membahang, pastinya mukaku sudah merah sekarang.  Cepat-cepat aku sembamkan pipiku ke dadanya, agar Naim tidak dapat melihat mukaku merah menahan malu.  Terdengar ketawa kecil meletus dari bibir Naim.

“Zureen.”  Dia memanggil lembut.  Aku mengangkat muka sedikit, namun tidak mahu memandang matanya, takut diusik lagi.

“Petang ni ramai orang datang.  Ada penyewa chalet yang akan check-in.  Bila Zureen keluar, jangan lupa tutup aurat ya.”  Oh itu rupanya yang ingin Naim katakan.  Aku mendongak, menangkap pandangan matanya dan menganggukkan kepala. 

“Zureen, Nabi SAW pernah bersabda, seorang wanita itu, jika dia menyempurnakan solat lima waktunya, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya, serta mentaati suaminya nescaya dia akan masuk ke syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.  Abang nak kita sama-sama masuk syurga.”

Tersentuh hatiku dengan nasihatnya.  Wajah kacak yang nampak tenang itu aku tatap.  Aku mengangguk, kemudian melekapkan pipiku ke dadanya semula.  Terasa tenang dan bahagia dalam dakapannya. 

“Abang pergi dulu.”  Katanya.  Kami sama-sama keluar dari bilik.  Aku menghantar Naim ke muka pintu, menyalami dan mencium tangannya sebelum dia hilang dari pandangan.




Sementara menunggu waktu membuat kuih lopes, aku pergi ke pejabat.  Aku mahu kemaskan meja kerja yang ditinggalkan begitu sahaja semalam kerana Naim beria-ia mahu membawa aku ke tempat perkelahan.  Elida akan datang lewat sedikit setelah selesai urusan pemeriksaan doktor.  Kertas-kertas yang diletakkan di atas fail aku teliti satu persatu dan aku masukkan ke dalam plastik penyimpan dokumen.  Fail itu pula aku letakkan di atas rak tempat Naim biasa menyimpan fail-failnya.

Sebaik berpaling dari rak, mataku menangkap buku nota itu.  Elok terletak di hujung meja.  Rasanya semalam buku itu tiada di atas meja.  Aku ambil buku itu dan bercadang meletakkannya di atas rak di sebelah fail.  Namun tangan gatal pula menyelak helaian buku itu.  Tiba di helaian di mana ada lukisan wajahku, aku tersenyum.  Aku selak pula helaian-helaian berikutnya, tiba di helaian di mana namaku ditulis dengan besar, aku tersenyum lagi. 

Selang beberapa mukasurat kemudian, ada coretan tangan Naim.  Besar dan jelas tulisannya.  Satu baris kata-kata yang menarik minatku. ‘I may not be in her heart, but she’s forever in mine.’

Akukah yang dimaksudkan dalam kata-kata itu?  Selain daripada memanggil aku sayang, Naim tidak pernah melafazkan apa-apa tentang perasaannya terhadapku.  Apakah panggilan sayang itu melambangkan perasaannya?  Apakah layanannya terhadapku juga melambangkan perasaannya? Dia melayan aku dengan baik.  Dan kebaikan dan kesabarannyalah yang melembutkan hatiku untuk menerimanya.

Sedang aku leka memikirkan tentang sebaris ayat itu dan apa sebenarnya perasaan Naim terhadapku, sekeping kertas jatuh dari buku nota itu.  Aku membongkok untuk mengambil kertas itu.  Nampak seperti sekeping cek.  Bukankah kata Naim dia ke bandar untuk memasukkan beberapa cek ke dalam akaun?  Mungkin cek ini tertinggal. 

Aku mengutip cek itu.  Nama Naim tertera di atasnya.  Cek berjumlah RM50,000.  Mataku menerawang ke seluruh permukaan cek.  Darahku berderau sebaik sahaja mataku menangkap nama pemilik cek yang dicetak di sudut bawah sebelah kiri cek itu.

WIRDA MOKTHAR.  Aku amati pula tandatangan di atas cek.  Ya, itu tandatangan Mama.  Aku pandang semula ke arah angka yang ditulis.  Betul, RM50,000.  Bukan RM500 atau RM5,000.  Untuk apa bayaran ini?  Otakku mula ligat berfikir, mencari alasan yang paling munasabah untuk mewajarkan tindakan Mama memberi wang sebanyak ini kepada Naim.

Tiba-tiba ada perasaan sayu yang menyelinap dalam kamar hatiku.  Sampai hati Mama!  Patutlah Naim bersetuju mengahwini aku.  Soalan yang bermain di sudut hati dan sekali-sekala menyuntik keraguan kini sudah terjawab.  Aku cuba mencantumkan setiap rentetan peristiwa yang telah berlaku dari saat Mama meminta aku jangan mengganggu Muaz agar perkahwinannya dengan Naurah dapat diteruskan. 

Beralih pula kepada peristiwa Naim membawa aku pulang ke rumahnya.  Pandai dia berlakon, menasihati aku agar bersabar dan bertenang.  Mungkin ketika itu dia dan Mama sudah membuat perancangan.  Teringat ketika aku meraung apabila Mama memberitahu aku akan dikahwinkan dengan Naim, dia kelihatan tenang dan selamba.  Tiada langsung tanda seolah-olah dia juga merasa terpaksa dengan perkahwinan ini.  Patutlah, dengan wang sebanyak RM50,000 siapa yang akan menolak?  Mungkin ada habuan lain yang Mama berikan, bukan setakat wang sebanyak RM50,000 ini saja. 

Perasaan sebak kini semakin menguat.  Aku selitkan cek itu di celah buku nota.  Airmata tiba-tiba bagai tidak boleh ditahan.  Laju saja menitis dari tubir mata lantas meluncur di atas pipiku.  Kenapa baru sekarang semua ini terbongkar?  Ketika di sudut hati ini sudah tertanam rasa sayang, ketika rindu kepadanya sering mengintai kamar hatiku, dan ketika setiap sentuhannya membuahkan kebahagiaan… aku rupa-rupanya sudah tertipu.


Mama kejam!  Naim lebih kejam!  Mempermainkan perasaan aku.  Naim…  Muaz… sama.  Kedua-duanya tidak ikhlas!

No comments:

Post a Comment