Saturday 21 March 2015

AKU DAN 1B3K BAB 3

BAB 3

Aku sedang membaca untuk kali yang ketiga, senarai skop kerja yang Datin Nuridah berikan petang semalam ketika telefon berbunyi.  Naani di hujung talian memberitahu Datin Nuridah mahu berjumpa aku dalam masa setengah jam dari sekarang.  Sebaik saja aku meletakkan ganggang telefon, aku bergerak ke surau.  Solat Zuhur dulu dan selepas itu aku maklumkan kepada Ms Tan Siew Lan Datin Nuridah hendak berjumpa dengan aku.  Ms Tan siap ucapkan “good luck” sambil tersenyum.

            Senyuman Ms Tan membuahkan debaran dalam hati.  Selain daripada Ms Tan, Naani dan beberapa orang kakitangan di Bahagian Sumber Manusia, tiada yang tahu tentang pertukaran kerja aku yang akan berkuatkuasa esok.  Dan semua yang sudah tahu mengucapkan perkara yang sama.  Sebabnya?  Sebab mereka semua tahu bukan senang bekerja dengan bos 1B3K. 

Kata Ms Tan yang sudah lima tahun bekerja di Duta Holidays, dulu dia baik.  Kata Kak Asmah, Penolong Pengurus di Bahagian Sumber Manusia, dulu semua pekerja sayangkan dia.  Walaupun dia tegas dengan pekerja, dia juga prihatin tentang kebajikan pekerja, tidak sombong dan boleh dibawa berbincang.  Tapi sekarang semua pekerja takutkan dia, kecuali Naani.  Kata Naani bos 1B3K tidak berani marah dia sebab dia melapur terus kepada Datin Nuridah.

“PA?  Buat apa pakai PA?  Kan Razia ada, dia boleh uruskan mummy dan Qi sekali.” 

Aku dengar suara bos 1B3K bertanya kepada Datin ketika aku sampai.  Pintu bilik Datin terbuka luas.  Naani pula tidak kelihatan.  Disebabkan aku terawal lima minit, aku tunggu di luar dan duduk di atas kerusi tetamu yang bersetentang dengan meja Naani. Aku pasang telinga, ingin tahu apa jawapan Datin Nuridah. 

“Kan Qi akan banyak buat kerja luar?  PA yang mummy pilih akan uruskan segala hal kerja-kerja pejabat. Dia yang akan aturkan jadual Qi, mesyuarat dan majlis yang Qi kena hadiri.  Dia akan pastikan apa-apa dokumen yang Qi perlu tandatangan dia akan semak dulu.   Juga akan uruskan hal-hal personal yang perlukan penglibatan Qi, macam bawa daddy pergi buat terapi, check-up, kenduri dan lain-lain.  Ini sementara, untuk sebulan saja.  Selepas Azwan balik dari bercuti, it will be back to normal.”

Mummy, Qi tak perlukan PA.  Teruk sangat ke Qi ni?  Baik mummy upah saja bodyguard supaya mummy boleh kawal Qi 24 jam sehari.”

“Yes, she will also act as your bodyguard, if she has to.”
           
Hah?  Eh mana ada dalam skop kerja aku juga perlu jadi pengawal peribadi.  Tiga kali aku baca, memang aku yakin tidak tercatat langsung Tak boleh jadi ni, kena bincang semula dengan Datin.

            “Merepek!  Qi tak perlukan semua ni mummy.  Lagi pun bukan senang-senang kita ambil orang bekerja.  Kita tak tau orang tu boleh dipercayai ke tidak, boleh buat kerja atau tidak.  Tak payahlah mummy.  Cari saja temporary clerk untuk gantikan Azwan.”  Bos 1B3K bercakap dengan tegas.  Aku lagi suka kalau dia tidak setuju. 

            “Mummy dah interview.  Kita ambil orang dalam.”

            “Siapa?”

            “Fina.  Budak Accounts Department yang kerja bawah Ms Tan tu.”

            Jeda.  Keheningan yang membuatkan dada aku berdegup laju.  Macam mana agaknya reaksi bos 1B3K bila dia dengar nama aku?  Dia kenalkah aku?

            “Qi tak tau yang mana satu.  Kenapa mummy pilih budak  tu?  Bagus ke dia tu?  Boleh ke dia kerja dengan Qi?  Jangan nanti kena tengking sikit meleleh airmata.  Lepas sehari tak tahan.”

            Amboi si kerek ni, ikut sedap mulut dia saja.  Kalau tidak kenal aku, jangan buat andaian.  Safinatun Najah binti Yaakob bukan sebarang pekerja ya. 

            “Hoi.”  Bahu aku ditepuk.  Naani tersengeh.  “Kau buat apa duduk sini, kenapa tak masuk terus?”

            “Boleh masuk ke?  Belum cukup setengah jam.”

            Naani tidak jawab soalan aku.  Sebaliknya dia berjalan ke arah bilik Datin Nuridah.  Pintu bilik yang terbuka diketuknya sebelum dia memberitahu Datin bahawa aku sudah sampai.  Aku dengar Datin kata lima minit dan suruh Naani tutup pintu bilik.    Alamak, tak dapatlah dengar perbualan mereka lagi.  Sambil tersengeh Naani duduk di sebelah aku.

            “Cepatlah kau kaya macam ni, gaji naik double.  Pandai kau negotiate dengan Datin ya?”

            “Hello, jangan cemburu ya.  Aku buat ni sebab nak tolong kau.  Dengan risiko kena tengking, herdik dengan si kerek tu, berbaloilah aku dapat naik gaji.”

            Naani angkat kening.  Matanya dibulatkan.  Dengkilah tu.  Dia tidak tahu betapa  gementarnya aku hendak mengadap si 1B3K tu.  Walaupun Datin Nuridah sudah menegaskan yang aku melapur terus kepadanya dan bos 1B3K tidak boleh pecat aku, aku masih takut. Tiba-tiba aku terbayang setiap hari dimarahi oleh dia, disuruh buat kerja yang tidak sepatutnya aku buat, ditengking di hadapan orang ramai.  Macam mana kalau itu yang terjadi? 

            “Shark fin!”  Jeritan Naani membawa aku kembali ke alam nyata.  “Datin suruh masuk sekarang.” 

            Aku bangun.  Dengan lafaz Bismillah aku menghayun langkah ke bilik Datin Nuridah.  Dan sebaik saja tombol pintu aku pulas, jantungku mula berdegup rancak.  Tidak tahulah sama ada ia sekadar perasaan aku saja atau memang betul terjadi.  Aku rasakan mata bos 1B3K memandang aku dengan tajam dan ada kebencian dalam pandangannya. 

Datin Nuridah menunding jari ke arah kerusi kosong di sebelah bos 1B3K.  Sebaik saja aku melabuhkan punggung di atas kerusi, bos 1B3K memusingkan wajahnya.  Aku dapat merasakan pandangannya merayap ke seluruh wajahku.  Aku beranikan diri untuk memandang dia.  Mata kami bertembung tapi sekejap saja.  Aku tidak sanggup membalas renungan tajamnya.

“Bermula esok, Fina akan jadi pembantu peribadi Rifqi.  Selain daripada menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kerja-kerja di pejabat, saya mau Fina juga atur dan pantau semua mesyuarat dan majlis-majlis yang perlu dihadiri oleh Rifqi.  Razia akan bantu Fina untuk kerja-kerja di pejabat.”  Dengan tegas Datin Nuridah memberi arahan.  Sekejap dia memandang ke arah bos 1B3K, sekejap ke arah aku. 

Bilik pejabat Datin Nuridah yang bepenghawa dingin terasa panas.  Bintik-bintik peluh terbit di dahi aku.  Aku tundukkan wajah,tenung buku nota yang ada dalam pegangan.  Debaran dalam dada masih belum surut.  Aku yakin ada kebencian dalam cara bos 1B3K merenung aku.  Bertenang Fina, jangan tunjukkan kegugupan kau di depan dia.  Hati aku berbisik lalu aku mengangkat semula wajah.  Bos 1B3K sudah memandang semula ke arah Datin Nuridah.

“Kamu dah baca job scope yang saya bagi?”

“Sudah Datin.” 

“Ada apa-apa yang kamu tak faham, atau nak tanya?”

“Tak ada Datin.  Saya faham semuanya.”  Aku pandang wajah Datin Nuridah.  Rasa simpati menular lagi dalam hati bila menatap wajahnya yang nampak letih.  Sebenarnya aku nak tanya pasal kerja bodyguard yang Datin sebut kepada bakal bos aku tadi tapi entah kenapa tidak terkeluar pula soalan tentang itu.

“Qi, ada apa-apa nak tanya?”

Bos 1B3K memandang sekali lagi ke arah aku.  Kali ini aku tenung matanya lebih lama daripada tadi.  Aku cuba senyum tapi aku rasa otot-otot muka aku keras.  Dia pula masih macam tadi, renungannya tajam.  Boleh tembus otak aku kalau dia terus-terusan merenung aku macam tu.

Dia menarik nafas dalam-dalam, bangun dan berkata “no mummy.  Qi nak sambung kerja.”  Dia terus berjalan ke arah pintu dan sebaik saja dia keluar pintu dihempas dengan kuat.  Berubah muka Datin Nuridah bila mendengar bunyi pintu dihempas.  Aku pun turut terkejut.

“Jangan takut Fina.  Rifqi tu sebenarnya baik.  Cuma dia masih berdendam.  Saya fikir kalau kita sibukkan dia dengan macam-macam aktiviti, mungkin boleh kurangkan dia dari berfikir tentang kisah yang dah lepas.  Saya yakin Fina boleh tolong saya.”

Aku mengangguk.  Aku janji kepada diriku tidak akan takut kepada bos 1B3K.  Dia tu manusia, aku pun manusia.  Kalau betul kata mereka yang dia dulunya seorang bos yang baik, tentu dia boleh jadi baik semula.  Melainkan kalau hati dia memang kering.  Kalau tengok gaya dia marah orang dan cara dia melawan Datin, memang nampak macam hati dia kering.  Tapi kering ke, basah ke, aku hanya akan tahu esok bila aku mula bekerja dengan dia, di pejabat dia. 

            Setengah jam selepas aku balik semula ke tempat aku di Bahagian Akaun, telefon aku berbunyi. Ini mesti Naani, tentu dia sibuk hendak tahu apa yang Datin dan bos 1B3K cakap.  Aku kerling jam tangan.  Sudah pukul lima lima puluh petang.  Tinggal aku seorang saja di pejabat ketika ini.

            “Datang pejabat aku sekarang.”  Suara garau yang memberi arahan dengan keras itu bukan suara Naani.  Aku jawab “okey” dan terus letak telefon.  Alamak, masa aku nak baliklah dia telefon.  Aku cepat-cepat capai buku nota dan pen dan terus naik ke tingkat 20.  Jantung aku sudah bernada irama lagu Gangnam Style.

            Bilik dia terbuka luas ketika aku sampai tapi sebagai tanda hormat aku ketuk pintu bilik yang terbuka.  Biasanya memang macam itulah aku buat kepada Ms Tan, Datin dan bos-bos lain.

            “Kau buta ke?  Dah nampak pintu tu terbuka, masuk sajalah.” Bos 1B3K bercakap dengan wajah yang langsung tidak mesra alam sambil berdiri mencekak pinggang di belakang mejanya. 
           
Close the door.”  Dia mengarah.  Aku turuti arahannya.

            “Duduk situ,” katanya lagi sambil menunding jari ke arah sofa kulit di sebelah kanannya.  Tak ada masalah, aku lagi suka kalau duduk jauh daripada dia.

            “Aku nak berterus terang dengan kau.  Aku tak suka idea mummy… tapi aku dah malas nak berbalah dengan mummy so aku ikutkan saja.  Aku nak tau kenapa kau setuju untuk kerja sebagai PA aku?”

            Bos 1B3K duduk selepas ajukan soalan itu kepada aku.  Dari riak wajah dia aku dapat rasakan aku mesti beri satu jawapan yang betul-betul hebat sehingga dia tidak boleh cabar jawapan aku. 

            “Sebab Datin tu CEO syarikat ni.  Mana-mana pekerja pun akan turut arahan Datin.  Siapalah saya untuk melawan arahan Datin.”  Aku bagi jawapan ini dulu walaupun sebenarnya sudah ada jawapan lain dalam kepala.

            “Bukan semua arahan harus diikuti dengan membuta tuli.  Kalau Datin suruh kau terjun lombong, kau nak terjun?”

            Alahai, cerita pasal terjun lombong.  Bungee jumping pun aku pernah buat, setakat terjun lombong, itu perkara kecil.  Tapi sebenarnya aku belum pernah terjun lombong. 

            “Bergantung kepada keadaan.  Kalau saya perlu terjun lombong untuk selamatkan seseorang, saya akan buat.  Kalau ganjaran yang menanti berbaloi, saya akan buat juga asalkan tak melanggar agama.” 

            Bos 1B3K senyum.  Aku rasa sinis sangat senyuman dia.

            “So besarlah ganjaran yang Datin janjikan?”

            Okey, masa yang sesuai sudah tiba.  Aku nak keluarkan jawapan yang power, harap-harap dia terkedu.

            “Besar bagi saya, tapi bagi orang kaya macam bos mungkin tak besar langsung.  Sebesar mana pun ganjaran yang Datin bagi, itu bukan alasan utama.  Saya sekadar mengikut arahan Datin.  Bila saya pandang wajah sayu Datin, saya teringat emak saya di kampung.  Macam manalah perasaan emak saya kalau saya ingkar arahannya.  Tentu emak kecil hati kalau saya melawan cakap emak.” 

            Muka dia berubah.  Tadi nampak berlagak sangat rupa dia.  Sekarang muka tegang dia sudah kendur.  Rasakan kau.  Dia diam.  Matanya sudah berkalih dari memandang aku ke arah pintu.  Lama dia tenung pintu itu, sebelum dia mengeluh. 

            “Dengar sini baik-baik,” akhirnya dia bersuara dan memandang aku semula.  “Jadi pembantu peribadi aku tak bermakna kau boleh campur tangan dalam hal-hal peribadi dan hal-hal keluarga aku.  Kau uruskan hal-hal kerja saja.  Jangan sibuk pasal aku dan mummy.  Kalau kau campur tangan dalam hal peribadi aku, aku akan pastikan kau tak tahan kerja dengan aku.  I can make your life miserableUnderstand?

            Tegas nada suara dia.  Aku mengangguk.  Memang aku pun tidak berminat dengan hal peribadi dia.  Aku cuma akan uruskan hal-hal yang berkaitan dengan urusan syarikat sementara Naani bercuti. 
           
“Satu lagi, esok datang kerja jangan pakai tudung.  Aku tak suka perempuan yang pakai tudung.”
           

Hah?  Dia ni main-main ke?  Tapi muka dia serius.

No comments:

Post a Comment