Tuesday 24 March 2015

AKU DAN 1B3K BAB 4

Assalam semua.  Alhamdulillah Bab 4 siap semalam.

Selamat membaca.



BAB 4

Terdengar-dengar di telinga aku dia minta jangan pakai tudung bila datang kerja esok.  Tadi aku nak tanya kenapa tapi tidak sempat sebab telefon dia berbunyi.  Dia orang Islam, tidak mungkin dia tidak tahu menutup aurat itu wajib bagi semua perempuan Islam yang sudah baligh.  Eh, tapi ramai perempuan Islam yang tahu kewajipan menutup aurat masih berani melanggar perintah Allah.  Ada juga yang sekadar bertudung tapi tidak betul-betul menutup aurat seperti yang dituntut oleh agama.  Itu lagi parah!

Arahan pelik bos 1B3K tadi buat aku rasa takut.  Macam mana kalau lepas ni ada lagi arahan-arahan yang sangat-sangat tidak boleh aku laksanakan?  Bab buka tudung ni memanglah aku tidak akan ikut.  Dia pun tidak boleh paksa aku.  Aku rela dipecat daripada melanggar suruhan Allah.  Tapi kalau ada arahan yang mana dia boleh memaksa aku melakukannya macam mana?  Ish, si bengkeng ni menakutkanlah.

Peliklah, kenapa Datin hendak sangat aku jadi PA anak bongsu dia sedangkan Naani cuti sebulan saja.  Kak Razia pembantu Naani tentu boleh uruskan aktiviti Datin dan Bos 1B3K sebab dia berpengalaman.  Naani lagi pelik.  Orang lain cuti kahwin paling lama pun dua minggu.  Dia sampai sebulan!

Cukuplah berfikir.  Aku nyahkan bos 1B3K dari fikiran aku.  Aku buka skype.  Seperti yang dijanjikan, malam ini aku nak bersembang dengan Kak Long.  Seronoknya dapat tengok wajah manis kakak ipar terbaik dalam dunia.  Dia dukung Nabil.  Bulat mata si kecil tu.  Agaknya terkejut tengok muka Mak Usu dia di skrin.  Kak Long cerita pasal Nabil yang sudah semakin lasak.  Kata Kak Long Nabil selalu sakat Zety.  Itu ikut perangai ayah dialah tu, yang sampai sekarang belum bertaubat dari menyakat aku.

            Lama juga berbual dengan Kak Long.  Sembang pasal resipi kek terbaru yang Kak Long buat.  Kek lapis cokelat horlick katanya.  Kak Long janji bila aku balik kampung nanti dia akan buatkan kek itu.  Kemudian kami sembang pula pasal jubah.  Kak Long ajak pakai jubah untuk raya tahun ini.  Aku ajak Kak Long datang KL kalau nak beli jubah.  Akhir sekali kami bersembang pasal bercuti.  Kata Kak Long dia teringin hendak pergi bercuti ke luar negara tapi Along sentiasa sibuk.  Aku ceritakan kepada Kak Long impian aku hendak bercuti di New Zealand dengan caravan.  Kak Long suka dan dia kata kalau boleh dia hendak ikut sekali.  Tapi kenalah kami kumpul duit dulu. 



Sudah pukul sepuluh setengah pagi tapi batang hidung dia belum nampak.  Kata Naani macam itulah tiap-tiap hari.  Paling cepat pun dia masuk jam sepuluh pagi.  Itu pun sebab ada mesyuarat pengurusan yang dipengerusikan oleh Datin.  Jadi kata Naani lagi jangan memandai aturkan temujanji atau mesyuarat di awal pagi. 

Aku pula baru habis merangka jadual aktiviti untuk bos 1B3K untuk minggu depan.  Aku semak semula.  Semua mesyuarat yang Naani sudah aturkan sudah aku masukkan.  Kata Datin biarkan penuh dengan aktiviti supaya si bengkeng tu tidak ada masa untuk berpoya-poya.  Tapi masalahnya, apa aktiviti yang boleh aku aturkan di sebelah malam?  Kalau siang, memang hampir penuh pun. 

Bunyi derapan kaki di atas lantai berjubin yang setiap hari digilap sampai berkilat membuatkan aku mengangkat kepala.  Bos 1B3K sedang berjalan ke arah sini.  Pintu kaca ditolak dan dia terus berjalan.  Matanya melekat pada mata aku.  Renungan tajamnya membuatkan dada aku mainkan semula lagu Gangnam Style.  Aku bagi salam bila dia sampai depan aku.  Dia berhenti sekejap, angguk kepala dan terus masuk ke biliknya.

“Dah datang?” Soal Naani yang baru keluar dari bilik Datin Nuridah.

“Baru sampai.”

“Datin nak jumpa dia.  Tapi sebelum tu kau masuk dulu.  Datin nak tengok jadual aktiviti Encik Rifqi.”

Aku capai kertas jadual aktiviti, buku nota dan terus bangun.  Baru hendak berjalan ke bilik Datin, bos 1B3K keluar dari biliknya.

“Kopi aku mana?”  Dengan garang dia bertanya.

Eh, Naani kata dia tak minum kopi! 

“Lain kali sebelum aku masuk pastikan kopi aku dah tersedia.  Satu mug kopi panas mesti ada.  Faham?”

Aku mengangguk sebelum cepat-cepat mengerling ke arah Naani.  Mangkuklah dia ni, sengaja nak kenakan aku kot.  Aku tekan nombor pantri dan sebaik saja Kak Biah menjawab aku minta dia hantar satu mug kopi panas ke bilik bos 1B3K.

“Kau kata dia tak minum kopi!”  Aku jerit ke arah Naani sambil mendekatinya.

“Mana aku tau?  Sebelum ni dia tak pernah minta!”

Aku mendengus dan menjeling Naani sebelum mengetuk pintu bilik Datin.  Datin sedang duduk di atas sofa ketika aku masuk.  Dia menggamit aku agar duduk di sebelahnya.  Terasa kekok pula duduk di situ.  Rasanya aku tidak layak duduk di tempat yang dikhaskan untuk tetamu.  Tapi aku duduk juga dan sebaik saja duduk aku hulurkan kertas kepada Datin.

“Aktiviti syarikat saya ikut apa yang Naani, eh Azwan dah aturkan.  Saya cuma tambah sikit aktiviti lain, seperti bawa Dato’ pergi check-up, makan malam dengan Dato’ dan Datin, bawa Dato’ bersiar-siar di hujung minggu.  Tak taulah betul ke apa yang saya buat ni.”  Aku terangkan kepada Datin. 

Datin Nuridah mengangguk.  Matanya masih menyorot patah-patah perkataan yang dicetak di atas kertas A4.

“Kenapa tak ada aktiviti lain selain daripada makan dengan saya dan Dato’?” 

“Maaf Datin, saya tak tau apa nak dimasukkan.  Lagi pun tak guna saya susun aktiviti untuk Encik Rifqi kalau dia tak ikut.”

“Dia akan ikut.  Saya akan pastikan dia ikut jadual yang Fina buat.  Tak mengapalah.  Cukup dulu buat masa ni.  Perlahan-lahan kita ubah dia.  Dia anak yang baik sebenarnya.”

Kita?  Alamak, perkataan ‘kita’ yang Datin sebut buat aku takut.

“Dulu dia tak macam tu.  Dulu dialah orang yang pertama sampai pejabat dan orang yang terakhir balik.  Saya ingat bila Dato’ sakit dia akan insaf.  Tapi dia nampaknya macam balik sini dengan hati yang terpaksa.”  Kata Datin Nuridah lagi.

Suara Datin Nuridah perlahan.  Matanya merenung kosong, jauh ke dinding biliknya.  Aku rasa simpati sangat-sangat terhadapnya.  Tentu dia sedih dengan keadaan anak kesayangan yang satu masa dulu adalah harapan keluarga untuk meneruskan legasi perniagaan yang Dato’ Ibrahim mulakan. 

“Datin, maaf Fina nak tanya sikit.  Semalam Fina dengar Datin sebut perkataan ‘bodyguard’.  Boleh Datin terangkan part tu?”  Aku harus tanyakan soalan itu, biar jelas apa yang aku kena buat.

“Apa yang saya maksudkan bukanlah kerja-kerja pengawal peribadi dalam erti kata yang sebenar.  Sejak Rifqi balik, ramai perempuan dari golongan terkenal, macam artis, model dan anak-anak orang ternama yang cuba mendampingi dia.  Sejak kebelakangan ni makin kerap cerita pasal dia keluar di newspaper dan internet.  Ini tak elok untuk reputasi syarikat dan menjejaskan nama baik keluarga kami. Jadi saya nak minta Fina perhatikan siapa perempuan yang rapat dengan dia dan maklumkan kepada saya.  Setiap hari kena semak suratkhabar dan internet, mana tau kalau-kalau ada gossip yang melibatkan dia.”

Alamak!  Apa kerja aku sebenarnya ni?  Pembantu peribadi merangkap pengawal peribadi  merangkap spy ke?  Lepas ni entah apa lagilah Datin minta daripada aku.  Masalahnya bila tengok wajah sayu Datin, aku tak sampai hati nak berkata tidak kepadanya. 

“Tolong buat dua salinan jadual aktiviti ni dan suruh Rifqi masuk jumpa saya.”

Aku buat dua salinan seperti yang Datin minta.  Kemudian aku ketuk bilik bos 1B3K.  Selepas ketuk beberapa kali aku buka pintu.  Patutlah dia tak jawab, sedang bergayut rupa-rupanya.  Dari gaya dia bercakap dan mimik mukanya, aku syak dia sedang bercakap dengan perempuan dan bukan urusan perniagaan.  Dia habiskan perbualan bila aku berdiri tegak depan dia.

“Kau tak reti ketuk pintu ke sebelum masuk?” 

“Saya dah ketuk, rasanya dekat tujuh kali.  Tapi bos senyap saja… saya masuklah.  Mana tau kot-kot bos tertidur ke, pengsan ke?”

Dia renung aku dengan pandangan tak puas hati.  Aku buat selamba.  Tadi Datin pesan lagi sekali jangan takut dengan Irsyad Rifqi.  Jadi aku beranikan diri.  Lagipun kalau setakat pandang aku macam itu, memang aku belum takut.

“Datin nak jumpa bos sekarang.”

Dia bangun.  Tanpa sebarang kata lagi dia berjalan ke arah pintu yang sengaja aku biarkan terbuka.  Tiba-tiba dia berhenti dan berpaling.

“Aku tak suka pintu ni dibiarkan terbuka.  Ramai sangat orang yang busy body dalam office ni.”

“Okey.”  Aku jawab.  Bukan susah sangat, lain kali aku pastikan pintu bilik dia sentiasa tertutup. 

Come here,” dia panggil sambil jari telunjuknya menggamit aku.  Alamak, kenapa ni?  Dada aku tiba-tiba berdebar, tapi sikit saja.  Belum sampai serancak lagu Gangnam Style.  Aku mara mendekati bos 1B3K yang berdiri lebih kurang enam langkah dari aku.

“Bukan ke semalam aku cakap jangan pakai tudung datang kerja?”  Bos 1B3K menyoal bila aku berhenti lebih kurang dua kaki dari tempat dia berdiri.

Aku mengangguk.  Dia diam tapi muka dia seperti mahukan penjelasan.  “Menutup aurat wajib ke atas saya dan cara saya menutup aurat ialah dengan memakai tudung.  Boleh bos datang kerja esok tak pakai baju?”

Bos 1B3K pandang aku lama sebelum dia tersenyum.  Tak kacak pun wajah dia bila dia senyum sebab dia senyum mengejek.

“Kalau aku tak pakai baju esok, kau sanggup ke?”

Hish melampaunya dia ni, hukum Allah dia buat main-main saja.  Takkanlah baru setahun lebih berkelana di Eropah sudah lupa jati diri sebagai orang Islam?

“Tak.  Saya tak sanggup buka tudung saya.  Bos tak ada hak nak suruh saya buka tudung.  Saya tak akan buat.”  Aku jawab dengan suara yang tegas dan aku buat muka serius.  Jangan dia ingat dia boleh suka-suka bagi arahan mengarut. 

Bos 1B3K mara setapak.  Tangannya mencekak pinggang.  “Aku bukan tanya pasal bukak tudung.  Aku tanya sanggup tak?  Sanggup tengok aku kerja tak pakai baju?  Jangan nanti kau tak boleh kerja, terliur tengok body aku.  Aku ada six pack and I am hot.”

Hot?  Ha ah memang panas pun pipi aku sekarang.  Mana tidaknya, selamba saja dia cakap macam tu.  Mata dia pula tepat menikam ke dalam mata aku, tembus sampai ke otak.  Senyuman mengejek masih tergaris di bibir dia.  Ish tak malu mengaku dia tu hotHot tak hot, kalau perangai tu bengkeng dan kerek, tak ada maknanya.
                       
Aku yang terkedu hanya mampu berdiri tegak.  Dengan selamba dia berjalan keluar dari biliknya.  Aduhai, ingat kan nak bagi dia terkedu dengan jawapan aku, rupa-rupanya aku yang terkedu dengan kata-kata dia.  Tak apa, ada ubi ada batas.


No comments:

Post a Comment