Thursday 2 April 2015

AKU DAN 1B3K BAB 6

Assalam.  Jemput baca Bab 6.  Semoga terhibur.


BAB 6

Ketika aku parkir motorsikal Maxsym 400i berwarna kelabu, kereta Mini Cooper S Coupe Bos 1B3K sudah terparkir.  Kegilaan apakah yang melanda dia ni, tiba-tiba rajin bekerja?  Selama ini tiap-tiap hari datang lambat, tiba-tiba di hari Sabtu yang sepatutnya hari rehat dia datang pukul sembilan pagi. 

            Dia kata mesti datang dalam masa setengah jam.  Aku sudah terlewat sepuluh minit.  Mana tak lewat, lepas dia telefon tadi aku naik atas dan tukar pakaian.  Asalnya aku sudah pakai jeans dan t shirt lengan panjang.  Memang sesuailah untuk kerja-kerja mengeluarkan barang-barang Naani dan Thia dari kotak.  Dan sesuai juga untuk dipakai petang dan malam ini.  Bila Bos kata dia ada mesyuarat, terpaksalah aku tukar kepada pakaian yang lebih sesuai kerana jeans dan t shirt asal terlalu kasual. 

Tukar baju bermakna kenalah menggosok dulu sebab pakaian pejabat yang sudah digosok cukup-cukup untuk lima hari.  Hendak minta Mak Mah tolong gosokkan, tidak tergamak sebab dia bukan pembantu rumah aku.  Sebagai orang yang menumpang di rumah mama, aku rasa tidak wajar menggunakan khidmat Mak Mah seolah-olah aku ini anak mama sedangkan aku hanya adik kepada menantu mama.

Selepas tukar baju aku call Naani.  Bagi tahu dia aku mungkin tidak dapat datang ke rumah baru dia.  Kalau si bengkeng benarkan aku balik cepat, aku akan terus pergi ke rumah Naani.  Naani pun hairan kenapa dia suruh aku datang ke pejabat.  Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pintu bilik dia tertutup ketika aku sampai.  Aku letak helmet di atas kabinet fail, tarik nafas dalam-dalam dan pergi ketuk pintu bilik dia.  Dengar dia suruh masuk baru aku buka pintu.  Dia sedang duduk atas sofa sambil membaca.  Dia pakai t shirt berkolar dan seluar bermuda.  Tak berkenan aku tengok seluar bermuda dia yang ternaik sikit bila dia duduk.  Kalau dia berdiri aku rasa seluar tu paras lutut dia saja.

“Pukul berapa sekarang?”  Dia tanya dengan suara garang selepas aku beri salam. 

“Maaf bos, saya terpaksa uruskan hal rumah sebelum datang.”

“Kenapa?  Kau kena masak untuk anak-anak dulu?”

“Saya belum kahwin.”

“Aku dah agak dah.  Muka macam kau ni mana ada orang nak.  Aku tengok pun menyampah.”

Kurang asam, dia kutuk muka aku!  Setahu aku belum pernah orang kata aku tidak lawa.  Orang puji aku cantik adalah.  Cuma ramai yang kata walaupun aku cantik, aku tidak pandai bergaya.  Tiap-tiap hari pakai seluar dan blaus saja.  Tudung pula tidak pernah lain daripada tudung Syria.  Tapi itulah yang paling selesa dan sesuai.  Tak kenalah pakai kebaya bagai kalau naik skuter.  Kalau aku pakai tudung yang ada awning atau shawl yang kena lilit bagai, susah nak pakai helmet.

Aku jeling si bengkeng.  Dia buat muka selamba.  Puas hati agaknya dapat kutuk aku.  Tapi aku tidak puas hati kalau tidak balas.

“Saya tau saya tak cantik, tapi bos tak payahlah kutuk.  Orang kata kalau Allah nak balikkan, benda yang kita benci boleh bertukar jadi benda yang kita suka.  Kalau hati bos bertukar, setakat suka kat saya okey lagi.  Tapi kalau ditakdirkan bos jatuh cinta dengan saya macam mana?  Sanggup ke tarik balik kata-kata bos tadi?”

Dia bagi aku senyuman sinis.  Itulah senyuman paling sinis yang pernah aku lihat.  Lepas tu dia kata “selagi otak aku waras, aku takkan jatuh cintalah dengan kau.  Aku tak suka perempuan pakai tudung.  Perempuan pakai tudung ni, nampak saja baik tapi sebenarnya jahat.  Hipokrit.” 

Menyirap darah aku bila dia kutuk orang perempuan yang pakai tudung.  Patutlah hari tu suruh aku datang kerja jangan pakai tudung.  Oh, tak suka perempuan yang pakai tudung ya?  Baik, aku akan buat dia suka perempuan yang pakai tudung.  Macam mana aku nak buat, nanti aku fikirlah. 

“Buatkan aku kopi.  Aku belum sarapan lagi.” 

“Kopi tak ada bos.  Kak Biah tak kerja hari ni.”  Dia ingat aku tea lady ke?

“Kalau dia tak ada kau buatlah.” 

 “Saya tak pandai buat kopi.  Kalau bos nak jugak saya boleh buatkan, tapi jangan salahkan saya kalau kopi tu rasa kicap.”

 Bos 1B3K berdiri.  Dia masukkan kedua-dua tangan dalam kocek dan pandang aku dengan mata yang tajam.  Tak takut pun.  Tapi aku malas nak balas renungan dia jadi aku rendahkan pandangan.  Terpandang lutut dia.  Betullah seluar bermuda dia labuhnya tepat-tepat atas lutut.  Dia ni jahil betullah.  Tak tahu ke batas aurat untuk orang lelaki?

Rasa tidak selesa pula bila dia renung aku lama-lama macam tu.  Aku berpaling, hendak keluar dari bilik dia.  Dia pun tidak menegah.  Sampai di meja kerja aku, aku keluarkan tiga fail nipis yang sudah berisi dengan sebutharga yang aku semak semalam.  Ketika hendak hantar fail itu ke dalam, tiba-tiba aku rasa kasihan bila mengenangkan dia belum sarapan.  Macam mana hendak kerja kalau perut kosong?

Aku angkat ganggang telefon.  Nombor Restoran Ketumbar di seberang jalan yang sudah melekat dalam ingatan aku dail.  Aku pesan sebungkus air kopi dan sepinggan nasi lemak.  Kata Ani pekerja restoran yang sudah biasa dengan aku, ada lauk rendang paru dan sambal sotong.  Aku pilih rendang paru.  Selepas itu aku masuk dan hulurkan fail kepada Bos 1B3K. 

“Kenapa bos tukar meeting ke hari ni?” 

“Sebab aku dah suruh batalkan meeting pada hari Isnin, kau tak nak.”

“Tapi bos hari ini semua orang tak kerja.  Takkan bos seorang jumpa dengan wakil syarikat tu?  Dia orang pun tak kerja hari ni.  Bos menyusahkan dia orang tau, suruh dia orang datang hari cuti.”

Aku luahkan rasa tidak puas hati.  Sebenarnya aku tidak peduli pun bila dia nak bermesyuarat.  Kalau dia suka hari Ahad pun aku boleh aturkan mesyuarat pada hari Ahad.  Tapi aku geram sebab kena datang kerja hari ini.  Kalau bagi tau awal-awal tak apa juga.  Harap-harap aku kena kerja sekejap saja. 

Firstly, aku tak ada masalah jumpa wakil syarikat hiasan dalaman seorang diri.  Ini syarikat aku, suka hati akulah.  Secondly, mereka tu pemberi perkhidmatan, kita bayar mereka.  Kalau mereka nak bisnes dengan kita, mereka kena ikut cakap kita.  Kalau datang berbincang masa hari cuti pun tak sanggup, jangan harap aku nak bagi bisnes.”

Okey, aku setuju dengan alasan dia.  Walaupun hati aku sakit sebab kena kerja hari Sabtu.  Bukannya aku tidak biasa bekerja pada hari Sabtu.  Masa kerja dengan mama dulu pun selalu juga aku ikut mama ke pejabat pada hari Sabtu. 

 “Saya bukan berkira pasal kerja bos, tapi sebenarnya hari ni saya sudah ada program.”  Aku terangkan kerana tidak mahu dia anggap aku pemalas dan berkira soal kerja.

Bos 1B3K senyum. Sepatutnya aku suka sebab sejak dua hari lepas boleh bilang dengan jari berapa kali dia senyum.   Pada kebanyakan masa muka dia muram.  Ada masanya muka dia bengis.  Tapi hati aku sakit tengok senyuman dia sebab dia buat senyuman mengejek.  Aku keluar dari bilik dia.  Hidupkan komputer.  Sementara menunggu Cik Priya Kumar daripada Syarikat Anjung Décor sampai, aku hendak buat kerja sikit. 

Baru hendak tekan papan kekunci, Lan pekerja Restoran Ketumbar sampai.  Aku bayar harga makanan dan pergi ke pantri.  Kopi aku tuangkan dalam mug.  Aku ambil juga sebiji pinggan, sudu dan garpu. 

“Saya belikan bos sarapan.”  Kataku sambil membawa beg plastik berisi bekas polisterina, pinggan, sudu-garpu dan mug yang penuh kopi.  Aku letakkan di atas meja bulat yang terletak di tengah bilik dia.  Aku terus keluar.  Malas nak tengok muka dia.  Rasa sakit hati sebab dia sudah ganggu program aku hari ni masih belum hilang.

Lima minit sebelum pukul sepuluh Cik Priya Kumar sampai.   Aku masuk ke bilik Bos 1B3K untuk beritahu.  Dia suruh aku masuk sekali dalam mesyuarat.  Masa hendak keluar aku bawa sekali pinggan, bekas polisterina, mug dan sudu-garpu.  Licin semuanya!  Laparlah tu.  

Masa mesyuarat, aku tengok Bos 1B3K ni tersengeh-sengeh pandang Priya.  Memang Priya tu cantik.  Kening dia lebat, hidung dia mancung, rambut dia panjang dan hitam pekat.  Aku suka cara dia bagi penerangan.  Jelas dan terperinci.  Dia jelaskan satu persatu bahan-bahan yang digunakan untuk perabot yang syarikat dia bekalkan.  Dia juga boleh terangkan justifikasi penggunaan bahan, saiz dan tempat letak.  Contohnya kenapa gunakan kerusi fabrik dan bukan kulit, kenapa cermin digantung di sebelah pintu dan kenapa pilih terendak lampu yang lonjong.  Aku puas hati dengan penerangan Priya.  Tinggal lagi harga yang dia bagi itu aku tidak pasti adakah berpatutan.  Kalau diikutkan di antara ketiga-tiga sebutharga, harga dia yang paling tinggi.

Dekat sejam juga mesyuarat kami dengan Priya.  Bos senyum meleret kepada Priya.  Belum pernah aku tengok dia senyum macam itu.  Ketika bersalam dengan Priya aku tengok dia macam berat hendak lepaskan tangan.  Gatalnya!

Wakil syarikat Kelap Kelip Hias muda orangnya.  Aku rasa kalau tidak baya-baya aku, mungkin muda setahun atau dua tahun daripada aku.  Cantik juga.  Nama pun sedap, Ili Natasya.  Tapi bila dia buka mulut, hancus.  Boleh nampak keyakinan diri dia kurang dan banyak benda yang dia tidak dapat terangkan dengan memuaskan. Mungkin kerana dia kurang pengalaman.

Bos 1B3K ni memang jahat.  Mentang-mentanglah budak itu kurang pengalaman, dia buli cukup-cukup.  Macam-macam soalan yang tidak berkaitan dia tanya.  Aku tengok budak itu tergagap-gagap menjawab.  Bila budak itu kata dia tidak pasti dan perlu bertanya dulu dengan ketuanya, bos marah pula.  Kesian aku tengok budak tu, berpeluh dalam bilik bos yang kuat penghawa dinginnya.

Setengah jam kemudian wakil syarikat Nyatoh Interior sampai.  Aku terkedu tengok dia.  Subhanallah, cantiknya dia.  Wajah dia sangat manis.  Mekap dia tipis dan nampak natural.  Rambut dia panjang mencecah bahu dan beralun di hujung.  Cara dia berpakaian nampak profesional.  Skirt potongan A paras lutut dipadankan dengan blaus putih berlengan panjang dan ada ropol di bahagian dada.    Aku tabik kepada orang yang sanggup berdandan lawa-lawa pada hari Sabtu yang bagi aku adalah hari bersantai.

Masa dia salam dengan aku tangan dia terasa sangat lembut.  Dia hulurkan kad nama.  Nama dia Azira Mohd Amin.  Patutlah, dia Pengarah Urusan.  Sesuailah gaya dan penampilan dia dengan jawatannya.   

            Kalau aku terkedu, tidak tahu apa perkataan yang sesuai untuk aku gambarkan reaksi bos bila melihat Azira.  Mata bos tidak berkelip ketika Azira melangkah masuk ke dalam bilik pejabat bos dengan gaya persis seorang model sedang buat catwalk.  Belum pun Azira hulurkan tangan, bos sudah hulur tangan dia dulu.  Bos ni, tak tau ke haram bersalaman dengan bukan mahram?

            Azira bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa tersenyum.  Bos pun sentiasa tersenyum.  Punyalah lebar senyuman bos sampai macam nak terkoyak mulut dia.  Lepas tu bila Azira bercakap bos asyik pandang muka dia.  Dia tunjuk risalah pun bos tetap pandang wajah dia.  Aku pula yang rimas dengan gelagat bos.

            Sudah satu jam tapi belum nampak tanda yang mesyuarat dengan Azira akan berakhir sekejap lagi.  Bos tidak banyak tanya.  Dia banyak mengiyakan saja.  Berbanding dengan Azira, aku lebih suka cara Priya tadi.  Lebih profesional dan tertumpu kepada hal hiasan dalaman.  Azira ni banyak menyimpang ke lain.  Sedang cerita pasal fabrik sofa boleh pula dia tanya bos suka atau tidak tengok wayang.  Apa kena mengena fabrik sofa dengan wayang?

Bila bos jawab ya dia tanya pula pernah atau tidak terlelap ketika menonton wayang?  Bos jawab tidak pernah.  Dia kata pula kerusi di panggung wayang tidak selesa, sebab itu bos tidak pernah terlelap ketika menonton filem.  Ya ke?  Aku rasa kalau filem yang ditonton itu membosankan, aku boleh tertidur.  Tidak kiralah kerusinya selesa atau tidak.  Rupa-rupanya dia hendak beritahu fabrik yang dia bekalkan sangat tinggi kualitinya sehingga dapat memberi keselesaan kepada tetamu resort dan boleh membuatkan tetamu terlena sambil menonton tv!


Lepas tu cerita pasal gula-gula getah pula.  Aku sudah tidak beri perhatian jadi aku tidak tangkap apa kaitan hiasan dalaman dengan gula-gula getah.  Fikiran aku menerawang sehingga teringatkan Along.  Aku yakin Along tidak macam Azira bila berurusan dengan klien.  Disebabkan sudah terlalu bosan aku minta diri untuk keluar dengan alasan hendak ke bilik air.  Sudah pukul satu lima belas minit.  Nampak gayanya memang tidak dapat pergi tolong Naani dan Thia.

No comments:

Post a Comment