Monday 13 April 2015

AKU DAN 1B3K BAB 8

Assalammualaikum.  Jemput baca dan komen ya.  Terima kasih.



BAB 8

Aku suruh Bos 1B3K duduk di pangkin berdekatan dengan badminton court sementara aku mengajar taekwando.  Inilah yang aku buat setiap hari Sabtu, melainkan kalau aku ada hal.  Harapan aku satu hari nanti ialah dapat belikan setiap anak-anak ini sepasang uniform taekwando.  Aku juga berharap dapat melatih mereka sehingga mahir.  Kalau mereka hendak belajar di tempat lain, yurannya mahal. 

Sambil membetulkan posisi dan pergerakan mereka, aku kerling bos.  Dia sedang pandang badminton court tapi aku rasa fikiran dia melayang ke tempat lain.  Padan muka dia.  Hendak sangat ikut aku berdating.  Tentu dia ingat bila aku kata berdating, aku akan keluar dengan lelaki. 

Aku terus mengajar dan kali kedua aku menoleh ke pangkin, bos sudah tiada di situ.  Ke mana dia pergi?  Agaknya dia sudah bosan jadi dia angkat kaki dulu.  Agaknya dia kecewa sebab tidak dapat ganggu aku ‘berdating.’  Hahaha, aku suka!

Biasanya aku mengajar mereka selama satu jam setengah.  Tapi hari ini disebabkan aku sampai lambat, pengajaran terpaksa dipendekkan.  Pengajaran harus dihabiskan sebelum waktu Asar kerana di sini mereka dididik untuk solat berjemaah.  Aku duduk bersila di atas lantai, berdepan dengan adik-adikku.  Tiba-tiba sepasang kaki berbalut seluar bermuda sampai di sisi aku. 

“Siapa nak coklat?”  Bos bertanya sambil menunjukkan dua beg plastik yang penuh berisi dengan bar coklat Kit Kat.  Adik-adikku datang meluru ke depan.  Bos bagi setiap seorang satu bar Kit Kat.  Berselera mereka makan.  Aku nampak bos macam terharu tengok mereka makan coklat.  Aku sudah biasa.  Aku faham bagi anak-anak ini makanan yang biasa-biasa bagi orang lain adalah sesuatu yang istimewa bagi mereka.

“Terima kasih Uncle.  Sedap.  Am jarang dapat makan coklat sesedap ni.”  Kali ini aku yang terharu.  Setakat coklat Kit Kat, bukannya Ferrero Rocher atau coklat mahal yang lain.  Tapi bagi Amri coklat yang sedang dimamahnya sekarang adalah yang terbaik.  Aku berpaling ke arah bos.  Dia sedang menyuapkan coklat ke dalam mulut Sakinah. 

“Bos.”

Bos pusing kepala dan pandang aku. 

“Terima kasih belikan dia orang coklat.”

Bos paling semula ke arah Sakinah dan suap lagi coklat.

 “Jadi inilah date kau?”

“Ya.  Setiap minggu kalau tak ada urusan lain saya akan datang sini.  Malam pula saya pergi ke date yang lagi satu.  Hari Ahad saya rehat, luangkan masa dengan mama.  Esok nak tengok badminton dengan mama.  Final Piala Thomas, Malaysia lawan Jepun.  Ini kali pertama Jepun masuk final.  Saya harap Malaysia menang.”

Aku bangun dan suruh adik-adikku masuk mandi kerana sebentar lagi akan masuk waktu Asar.  Mereka beredar ke arah bangunan setingkat yang menempatkan satu bilik anak perempuan, satu bilik anak lelaki, dua bilik air, dapur dan ruang makan.  Ruang makan yang lapang tanpa sebarang perabut ini juga digunakan sebagai ruang solat dan tempat belajar.

“Bos, saya nak bersihkan diri.  Lepas tu solat dengan dia orang.”

Bos mengangguk saja.  Tidak cakap pun dia hendak ikut solat sekali.  Hmm, suka hati dialah.  Takkan yang itu pun aku kena uruskan.

 Selepas bersolat aku panggil semua adik-adikku.  Mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan lalu dengan segera mereka duduk dalam dua bulatan.  Satu bulatan perempuan dan satu lagi lelaki.  Ada lima belas orang anak yatim yang tinggal di sini.  Yang menyertai aktiviti ini hanyalah yang sudah bersekolah dari tahun satu hingga tahun enam.  Mereka keluarkan buku latihan Bahasa Inggeris dan buat latihan seperti yang aku suruh. 

Inilah aktiviti yang susah sikit sebab mereka sangat lemah dalam Bahasa Inggeris.  Kadang-kadang aku mati akal bagaimana hendak menerangkan agar mereka faham.  Tapi aku tidak pernah putus asa.  Aku rasa bahagia bila dapat membantu mereka, biarpun dengan sekecil-kecil bantuan.  Bos 1B3K  tidak kelihatan.  Entah ke manalah perginya.  Pandai-pandailah dia bawa diri.  Kalau dia bosan, nasiblah.  Siapa suruh ikut aku berdating

Tepat pukul enam setengah aku suruh mereka tutup buku.  Siapa yang tidak siap latihan aku suruh sambung kemudian.  Yang sudah siap aku suruh kumpulkan buku setempat supaya aku boleh semak.  Hanya tiga orang yang dapat siapkan latihan.  Aku berharap dan selalu mendoakan adik-adikku berjaya dalam pelajaran agar mereka dapat hidup senang nanti.

 “Dah boleh balik?” Bos bertanya.  Bila masa dia masuk aku pun tidak tahu. 

“Kenapa, bos dah bosan ke?  Sorrylah kalau dating session saya ni membosankan.  Saya tak suruh bos ikut kan?”

Soalan aku tidak berjawab.  Dia hanya pandang aku.  Makcik Piah dan Makcik Leha datang sambil menatang dulang.  Dua adik perempuan juga datang membawa dulang.  Umi Sarah bentangkan tikar dan susun dulang-dulang atas tikar.

“Apa tu?”  Bos berbisik.  Ish dia ni, suka-suka saja datang dekat dan bisik di telinga aku.  Aku jauhkan sikit tubuh dari dia.

“Makan malam.  Kat sini dia orang makan dalam talam.” 

Dahi bos berkerut.   Aku tinggalkan dia dan tuangkan air dalam gelas ketika adik-adikku makan.  Aku hulurkan kepada bos dan suruh dia berikan kepada mereka.  Dia tidak membantah. Terbongkok-bongkok bos menghulurkan gelas kepada adik-adikku.  Rasa seronok pula kerana berjaya menyuruh bos buat kerja.  Kalau di pejabat belum tentu boleh.

Habis mengagihkan minuman aku ajak bos ke dapur.  Di situ ada meja makan.  Di atasnya sudah tersiap satu dulang kecil mengandungi nasi dan lauk untuk Abi Yusuf dan bos, dan satu lagi dulang besar untuk Umi Sarah, Makcik Piah, Makcik Leha dan aku.  Selepas Abi bacakan doa kami mula makan.  Aku tengok bos macam kekok saja makan satu talam dengan Abi.  Agaknya ini kali pertama dia makan dalam talam.  Aku sudah biasa kerana sudah dua tahun menjadi sukarelawan di sini. 

Usai makan adik-adikku bersama-sama membersihkan tempat makan.  Nasi dan lauk yang tumpah dikutip.  Tikar diangkat dan tikar yang lain pula dihamparkan.  Kemudian ada yang membentangkan sejadah, ada yang ke bilik air mengambil wuduk.  Aku turut bersiap untuk bersolat.  Bos, macam petang tadi.  Buat muka selamba badak dan lesap entah ke mana ketika kami semua solat Maghrib dengan diimamkan oleh Abi Yusuf.

Tiba masa untuk aku beredar.  Adik-adikku datang dan bersalam denganku.  Mereka turut bersalam dengan Bos 1B3K.  Lokman yang kuat makan dengan mesra rakyat meminta bos datang lagi dan bawa coklat yang sedap-sedap.  Bos jawab dia akan datang lagi kalau aku ajak.  Rasa-rasanya aku tidak akan ajak.  Segan pada semua di sini sebab bos tidak bersolat. Kalau ada adik yang bertanya kenapa Uncle Rifqi tidak solat, apa aku hendak jawab?

            Umi dan Abi menghantar aku dan bos ke kereta.  Berkali-kali mereka mengucapkan terima kasih kerana datang.  Kepada bos juga mereka ucapkan terima kasih kerana sudi datang dan belikan coklat dan biskut untuk adik-adikku.  Rupa-rupanya bos turut belikan biskut Oreo untuk mereka makan.  Baik hati juga Bos 1B3K ni.

            “Bos masih nak ikut saya pergi second date?”  Aku tanya bila dia mula memandu.  Aku harap dia jawab tidak.  Malaslah nak bawa.  Segan dengan Nafiz.

            “Second date kau dengan anak apa pulak?  Yang tadi anak yatim, yang lepas ni anak tiri ke?”

            Kurang ajar punya mulut.  Ada ke patut bos cakap macam tu.  Hmm, orang kalau dah ada sifat kerek macam itulah.  Perasan hebat dan pandang rendah pada orang lain.  Baru aku nak jawab kata-kata bos, telefon aku berbunyi.  Di hujung talian Nafiz memberi salam.  Selepas aku jawab salam dia tanya pukul berapa aku akan sampai. 

            “Ya saya on the way.  Dengan bos saya.”  Aku jawab soalan Nafiz yang bertanyakan aku ada di mana sekarang.

            “Awak belum makan?  Saya pun.  Kita makan sama-sama ek.”   Aku berkata begitu bila Nafiz bertanya sama ada dia perlu menunggu aku untuk makan malam.  Selepas itu aku matikan talian.  Simpan balik telefon sambil tersenyum.  Hatiku tersentuh bila Nafiz sudi menunggu aku.  

            “Bukan kau dah makan ke tadi?”  Bos soal.  Maknanya dia dengar perbualan aku dengan Nafiz. 

            “Tadi tu makan dengan first date.  Lepas ni saya makan dengan second date saya pula.” 

            Selepas aku jawab macam tu kami sama-sama diam hinggalah kami sampai ke Rumah An-Nur.  Aku beri salam kepada Pak Long dan Pak Mail yang sedang bermain dam haji berdekatan pintu masuk.  Kemudian aku sapa Mak Som dan Aunty Cheng yang sedang bersembang sambil terus menuju ke belakang.  Bos 1B3K mengikut aku tanpa suara.

Nafiz sedang memasukkan satu kotak besar ke dalam van.  Aku beri salam.  Nafiz paling ke arah aku, senyum dan jawab salam aku.  Kemudian dia pandang ke arah belakang aku.  Aku kenalkan Bos 1B3K kepada Nafiz. Mereka bersalaman dan bertanya khabar.  Nafiz beritahu Bos 1B3K kotak yang baru dimasukkan itu mengandungi makanan yang sudah dibungkus dan akan diagihkan kepada orang-orang gelandangan di sekitar kawasan Masjid India. 

Aku harap sangat bila bos dengar perkataan orang gelandangan dan Masjid India, dia akan batalkan hasrat untuk mengikuti aku.  Tapi dia mendengar dengan penuh minat penerangan Nafiz dan dari riak wajahnya aku tahu dia hendak ikut.  Hmm, kalau dia ikut tidak dapatlah aku naik van dengan Nafiz.

Di luar jangkaan aku bos menerima pelawaan Nafiz untuk naik van buruk milik Rumah An-Nur.  Bos siap tolong tutupkan pintu belakang.  Kemudian masuk melalui pintu penumpang belah depan.  Terpaksalah aku masuk ikut pintu tepi van.  Sepanjang perjalanan ke Masjid India Nafiz dengan ramah melayan setiap pertanyaan bos.  Aku sekadar menjadi pendengar.  Cukuplah sebab aku memang suka dengar suara Nafiz.  Suara dia macho.

“Fina, tadi kata belum makan.  Awak nak pergi makan dulu?”  Tiba-tiba Nafiz tanya dan dia pandang aku melalui cermin belakang.  Aku geleng kepala.  “Saya tak lapar.  Kita makan dekat site nantilah.” 

Nafiz mengangguk.  Kalaulah hanya aku dan dia dalam van ini tentu sekali aku terima pelawaan dia untuk pergi makan bersama.  Bukan senang hendak dapat pelawaan daripada Nafiz.  Tapi Bos 1B3K ada.  Tidak mahulah makan dengan dia sekali. 

“Budak-budak di Rumah Umi okey?”  Nafiz tanya lagi.

“Dia orang okey.  Dia orang tanya kenapa awak tak datang sekali tadi.  Saya bagi tau awak sibuk.  Ayah awak dah sihat?”

“Sudah okey sikit.”  Jawab Nafiz dan selepas itu kami tidak berbual lagi.  Aku rasa kekok hendak berbual dengan Nafiz dengan kehadiran bos.  Kacau daun betullah bos ni. 

Bila kami sampai di Masjid India, beberapa sukarelawan sudah menunggu.  Aku menegur mereka dan bertanya khabar. Ada di antara mereka yang aku sudah kenal, ada yang baru jumpa malam ini. Aku tidak kenalkan bos kepada mereka.  Tidak perlulah mereka tahu siapa lelaki berambut pacak yang datang dengan aku.

Bersama-sama dengan sukarelawan yang lain, kami keluarkan kotak berisi bungkusan makanan dari van.  Kami susun di atas meja lipat yang sudah dibuka.  Orang-orang gelandangan yang berada di sekitar kawasan mula menghampiri kami.  Aku pergi ke bahagian minuman.  Nafiz baru habis meletakkan dua tong air di atas meja.  Aku capai cawan plastik, penuhkan dengan air sirap dan hulurkan kepada Nafiz.  Dia susun gelas berisi air atas meja sebelah untuk diambil oleh orang gelandangan.

“Baik bos awak tu,” kata Nafiz.  Aku rasa hendak muntah.  Baik apa macam tu.  Tapi tidaklah aku cerita pasal perangai bos kepada Nafiz.

“Minggu depan awak pergi tak majlis nikah Thia?”  Aku harap Nafiz jawab ya.  Nafiz dan Thia dulu satu sekolah, dari tingkatan tiga hingga tingkatan lima.  Thia yang kenalkan Nafiz kepada aku.  Sudah dua tahun kami kenal dan sejak itu aku selalu ikut Nafiz buat kerja amal di Rumah Anak Yatim Umi Sarah dan Rumah Warga Emas An Nur.  Yang bagi makan orang gelandangan ni, baru tiga kali aku ikut, termasuk kali ini.

“Belum tau lagi.  Kalau perlu jaga ayah, saya akan pergi minggu satu lagi, di rumah Azwan.”

Tidak kisahlah Nafiz pergi belah Thia atau belah Naani, sebab aku akan berada di dua-dua majlis itu nanti.  Kalau Nafiz pergi ke dua-dua majlis lagi bagus, dapat jumpa dia dua kali.  Kami teruskan bekerja.  Nafiz ni jenis pendiam jadi kalau aku tidak bertanya atau bercerita dia pun senyaplah. 

Satu plastik gelas sudah habis.  Maknanya kami sudah isi air sirap dalam 25 biji gelas.  Aku tunduk untuk ambil bungkusan gelas yang baru dari dalam kotak yang diletakkan di bawah meja.  Aku koyakkan plastik, keluarkan sebiji gelas, isi dengan air sirap dan hulurkan ke kanan.

“So yang ini betul-betul datinglah?”

Errrk, bila masa si bengkeng ni gantikan Nafiz?  Aku pandang muka dia dan kemudian pandang keliling.  Tak nampak Nafiz pun.  Mana dia pergi?

“Tak sangka ya, ada juga orang minat dengan perempuan sewel dan tak lawa di sebelah aku ni.”

Bos 1B3K ni bukan setakat kurang asam, tapi kurang garam, gula, MSG dan apa-apa yang boleh menambah perisa kepada keperibadian dia.  Aku pandang dia dengan rasa bengang yang penuh dalam hati.  Dia sendengkan tubuh dia dekat dengan tubuh aku.  Lepas itu dia bisik dekat aku “buat kerja amal konon.  Sebenarnya gatal nak bercinta.  Hipokrit.”


Aku angkat kaki dari situ.  Tapi sebelum tu aku sempat jeling muka bos.  Muka dia basah.  Kena siram dengan air sirap.

No comments:

Post a Comment