Sunday 26 April 2015

AKU DAN 1B3K BAB 10

Assalam, jemput baca Bab 10.  Semoga terhibur.  Bagi komen ya.


Pintu bilik Datin sentiasa terbuka, sedangkan pintu bilik Bos 1B3K pula sentiasa tertutup.  Bilik mereka sebelah menyebelah.  Di luar bilik Datin ada meja kerja Naani dan di belakang Naani tempat Razia, pentadbir pejabat yang membantu Naani.  Sekarang Razia kena bantu aku.  Tiba-tiba terlintas di fikiran kenapa Datin suruh aku duduk di luar bilik Bos 1B3K dan bukan di tempat Naani?  Belum sempat berfikir lama, Datin sudah panggil aku masuk ke biliknya.

“Macam mana mesyuarat dengan wakil syarikat interior tu?”  Datin menyoal sebaik saja aku duduk di hadapannya. 

Aku ceritakan apa yang terjadi pada hari Sabtu.  Tapi tentulah aku tidak ceritakan perihal Bos 1B3K yang menggatal dengan Cik Priya dan Cik Azira.  Aku hanya melaporkan apa yang setiap wakil bentangkan dan bincangkan bersama Bos 1B3K.

“Sepatutnya Suleyman masuk mesyuarat tu dan selepas jumpa dengan mereka dia kena buat kertas cadangan untuk kelulusan saya dan Rifqi.  Dia sepatutnya senaraikan kelebihan dan kekurangan ketiga-tiga syarikat dan justifikasi kenapa dia cadangkan syarikat yang dipilih.  Rifqi ni, bukan dia tak tau prosedur.  Kenapa dia buat macam itu?”  Datin mengomel.  Aku tadah telinga saja.  Agaknya inilah yang Naani katakan, emak dan anak ada konfik dia jadi mangsa. 

“Jumlah yang kita nak belanjakan ni besar, kita tak boleh terburu-buru pilih vendor dan kita kena buat ikut prosedur yang betul.  Sebab itu saya nak bawa mereka ke Kuala Selangor dan tengok resort supaya mereka dapat beri anggaran harga yang paling hampir tepat.”

Datin mengetuk-ngetuk pen di mejanya.  Dia kelihatan seperti sedang berfikir. 

 “Hai, kenapalah Rifqi ni suka buat ikut kepala dia sendiri.  Kalau ikut rancangan asal pun mesyuarat tu sepatutnya pukul sebelas pagi ni kan?”

 “Ya, tapi saya dah maklumkan kepada Encik Suleyman, Ms Tan dan Encik Razali mesyuarat dibatalkan.”

Datin menyandarkan tubuhnya di kerusi.  Kemudian dia menggosok dahinya beberapa kali.  “Rifqi belum masuk?”

“Belum.”

Datin melepaskan keluhan.  “Apalah saya nak buat dengan Rifqi?  Dulu dia sayangkan syarikat ni.  Sekarang dia ada tapi macam tak ada.  Semua urusan dia buat tak endah.  Tengoklah ni, dah pukul sepuluh belum masuk lagi.  Dulu pukul lapan dia sudah mula kerja.”

            Aku diam saja.  Hendak bersuara tidak tahu apa yang patut aku katakan. 

            “Malam tadi dia tak balik.  Entah ke manalah dia pergi, dengan siapa dia keluar?”

Aku rasa ayat Datin itu pelik.  Bunyinya macam Bos 1B3K tidak ada kawan.

            “Saya harap dia tak minum.  Dahlah tak mau solat sekarang ni.  Dulu Rifqi anak yang patuh.  Sekarang…”  Ayat Datin putus di situ.  Aku rasa sangat-sangat kasihan kepadanya.  Kalaulah aku boleh tolong, aku tidak teragak-agak untuk berikan bantuan.  Tiba-tiba aku teringatkan emak di kampung.

            “Datin, doalah banyak-banyak.  Doa seorang ibu yang kesedihan pasti didengari oleh Allah.  Datin pilihlah waktu mustajab untuk berdoa.”

Datin Nuridah toleh kepala ke arah aku.  Dia pandang aku lama.  Entah apalah yang bermain di fikirannya.  Datin tegakkan badannya.  Diari di meja sisinya dicapai.   

            “Beritahu Suleyman, Tan dan Razali saya nak jumpa mereka dalam masa setengah jam dari sekarang.  Buat salinan sebutharga yang kita dah dapat.  Kalau Rifqi dah masuk suruh dia jumpa saya.” 

Aku mengangguk dan bersedia untuk bangun.

 “Nanti sekejap.  Saya nak minta maaf pasal semalam.  Rifqi dah menyusahkan Fina, menggangu hari libur kamu.  Sebagai ganti, kamu ambillah off satu hari, bila-bila yang kamu suka.” 

Aku mengangguk.  Sebenarnya aku tidak kisah pun kalau tidak diberi cuti gantian untuk semalam.  Sebabnya aku tetap dapat tengok final Piala Thomas, walaupun tidak sampai habis.  Tapi aku dapat keseronokan yang lain pula.  Dapat menemankan Dato’ Ibrahim mengambil angin di taman mini rumah Datin.

“Terima kasih sebab datang rumah saya semalam.  Dato’ suka Fina.”

Leganya hati bila dengar ucapan terima kasih Datin.  Sebenarnya semalam ada masa-masanya aku tidak faham apa yang Dato’ Ibrahim cakap kerana pertuturannya belum pulih 100%.  Jadi untuk mengelakkan dia bertanya, aku bercerita.  Aku ceritakan tentang zaman belajar di Australia.  Rupa-rupanya Dato’ Ibrahim pun akauntan dan belajar di Australia dulu. 



Pukul dua petang baru dia masuk.  Masuk dengan muka selamba, tanpa ada rasa bersalah langsung.  Elok saja dia melangkah, maknanya kaki dia tidak cedera.  Dia masuk terus ke biliknya tanpa memandang aku langsung.  Tak kisah pun dia tak pandang aku.  Tapi bila banyak perkara yang perlu dibereskan jadi tertangguh, aku kisah.

Dokumen yang perlu diluluskan sudah dua belas inci tingginya.  Datin tidak akan tandatangan dokumen-dokumen ni selagi Bos 1B3K belum tandatangan.  Aku sudah rimas melihat Kak Razia menjawab panggilan telefon daripada setiausaha dan kakitangan jabatan lain yang bertanyakan bilakah dokumen mereka akan ditandatangani.  Aku masuk ke bilik Bos 1B3K. 

            “Bos, tolong sign semua dokumen tu.  Dah ramai yang telefon hari ni bertanya bila bos akan sign dokumen mereka.”

            “Nanti aku sign.”

            “Tak boleh nanti.  Bos kena sign hari ni juga.  Ini dah tertangguh sejak hari Khamis lepas.  Dia orang dah tanya bila bos nak bagi approval.  Lagi satu, Datin nak jumpa bos.  Datin marah sebab bos masuk lambat hari ni.  Setahu saya bos tak ada apa-apa appointment pagi ni.  Kenapa bos tak masuk pagi tadi?”

            Dengan dahi yang dikerutkan dan renungan tajam, Bos 1B3K pandang aku.  “Hei, ini syarikat aku, suka hati akulah bila aku nak sign document, pukul berapa aku nak masuk.  Kau buat kerja kau, jangan sibuk hal aku.”  Suara dia sudah tinggi.  Muka dia cemberut.

“Dah tau syarikat bos, kenapa tak buat kerja elok-elok?  Kenapa tak jaga syarikat ni dengan baik?  Bos tak takut ke bisnes syarikat ni terjejas disebabkan sikap tak ambil peduli bos ni?  Datin suruh bos balik untuk tolong dia uruskan syarikat, bukannya balik untuk berpoya-poya.  Bos tak kesian ke dengan emak bos?”

Aku main redah saja dengan soalan-soalan tu sebab aku sudah bengang sangat-sangat dengan dia. 

Bos 1B3K bangun.  Dengan wajah bengis dan dadanya berombak dia menengking aku “shut up!  Jangan campur urusan peribadi aku.  Dan ingat sikit aku ni bos engkau.  Kalau kau tak sedar diri… berlagak macam syarikat ni bapak kau yang punya… tunggulah.  Aku akan buat kau susah.”

“Qi!”  Bos 1B3K memandang belakang aku.  Aku pun menoleh juga.  Datin sedang berdiri di jenang pintu dengan wajah yang kelam.  Datin datang menghampiri kami dan berdiri di sebelah aku.

Mummy, I don’t want her in my office!  Dia ni kurang ajar, bercakap dengan Qi macam dia bos besar di sini.  Apa kuasa yang mummy bagi dekat dia?”  Bos 1B3K bercakap dengan suara yang tinggi kepada Datin.

“Duduk Qi!”  Datin pula menengking bos.  Bos akur dengan suruhan emaknya.

“Fina, tolong keluar dan tutup pintu.”  Aku buat seperti yang Datin arahkan.  Pertama kali sejak aku bekerja di sini Datin bercakap dengan nada garang kepadaku.

Entah apalah yang mereka dua beranak bincangkan selepas aku keluar.  Mereka bercakap dengan suara yang perlahan.  Terkejut juga kerana Bos 1B3K biasanya bukan peduli yang di depannya itu emaknya, agak-agak rasa hendak jerit, dia jerit saja.

“Fina, beraninya awak.”  Kak Razia bersuara bila aku kembali ke meja kerjaku.

“Terpaksa Kak.  Fina tak tahan dengan perangai dia.  Akak tau tak hari Sabtu lepas Fina kena kerja?  Sampai petang pulak tu.”

“Ya ke?  Kesian kamu.”

“Lepas tu Kak, hari Ahad dia suruh saya datang rumah Datin.  Katanya ada kerja dia nak bereskan.  Terkocoh-kocoh saya pergi, rupa-rupanya dia sengaja nak sabotaj plan saya nak tengok final Thomas Cup.”  Semakin bersemangat aku bercerita dan Kak Razia nampaknya semakin seronok mendengar.

“Ya ke?  Kesian Fina.  Habis tu, tak dapatlah kamu tengok Thomas Cup?”

“Dapat.  Fina minta izin Datin untuk tengok di rumah dia.  Kebetulan Dato’ pun nak tengok jadi Datin minta Fina temankan Dato’.  Anak sulung Datin, suami dan anak-anak dia pun tengok sekali.  Meriah.”

Aku senyum.  Sudah dua kali Bos 1B3K cuba kacau aku, dan dua kali juga dia kalah.  Aku akan pastikan dalam masa sebulan ini dia tidak dapat kacau aku.  Jangan ingat aku perempuan dan aku kakitangan bawahan, dia boleh buli aku. 

Pintu bilik Bos 1B3K terbuka.  Datin keluar dan mengarahkan aku masuk ke biliknya.  Bila aku masuk Datin suruh tutup pintu.  Aku akur juga walaupun rasa pelik sebab setahu aku Datin suka pintu biliknya dibiarkan terbuka.

“Apa yang berlaku tadi, sampai kamu dan Rifqi sama-sama meninggikan suara?”  Aku ceritakan apa yang berlaku kepada Datin.  Wajah Datin tenang saja ketika aku bercerita. 

“Rifqi kata kamu biadap.  Betul?”

“Maafkan saya Datin, mungkin tadi saya terlebih emosi sampai tak sedar saya tinggikan suara kepada Encik Rifqi.”

“Fina, walaupun saya benarkan Fina lawan cakap Rifqi itu tak bermakna Fina boleh cakap sesuka hati.  Saya izinkan Fina lawan dia kalau dia melampau, bukannya sentiasa saja melawan cakap dia.”

‘Tapi Datin dia memang melampau.  Masuk lambat lepas tu tak nak sign dokumen yang dah bertimbun-timbun.  Satu hari Kak Razia jadi telefonis jawab panggilan pasal dokumen yang dia masih belum sign.’ Alangkah bagusnya kalau aku boleh jawab macam tu.  Alkisah sebenarnya aku diam saja. 

“Rifqi janji akan sign semua dokumen sampai habis petang ni juga.  Macam mana kamu nak jaga dia kalau baru tiga hari kerja dengan dia asyik bergaduh saja.  Cuba buat macam Azwan, jangan melawan.” 

            Inilah pertama kali aku dengar ada nada marah dalam suara Datin.  Aku mengangguk.  Hendak kata apa lagi.  Aku sendiri yang setuju jadi pembantu peribadi si kerek tu, terima sajalah.  Tak apalah Fina, sebulan saja.  Aku pujuk diri aku. 

Aku keluar dari bilik Datin dan ketika berjalan keluar, aku teringat azam aku nak buat dia suka perempuan yang pakai tudung.  Nampak gayanya dengan perbalahan kami tadi, dia akan semakin tidak suka dengan perempuan bertudung.  Sekarang pun dia sudah generalisekan perempuan pakai tudung macam-macam, selepas bertekak dengan aku sebentar tadi tentu dia akan fikir yang lebih teruk tentang perempuan berhijab.

Aku tarik nafas dalam-dalam sambil melabuhkan punggung di atas kerusi.  Aku sedar ketika kemarahan sedang memuncak, sebaik-baiknya aku bersabar.  Memarahi Bos 1B3K tadi tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menimbulkan masalah lain pula.  Tak apalah, aku ni kakitangan bawahan saja.  Biarlah aku mengalah.  Mengalah bukan bererti aku kalah. 

Aku telefon pantry dan minta Kak Biah buatkan satu mug kopi.  Kopi itu kemudiannya aku bawa masuk ke bilik Bos 1B3K.  Macam biasa ketuk dulu sebelum buka pintu.  Hati terasa lega bila mata aku menangkap dia sedang meneliti sekeping baucer bayaran.  Beberapa baucer sudah diletakkan di sebelah kanan, bermakna dia sudah mula menandatangani dokumen.  Tapi masih ada banyak lagi yang perlu ditandatangani.  Alamak, pukul berapa nak habis ni?

“Nak apa?”  Bos 1B3K bertanya dengan suara yang mendatar.  Agaknya dia sudah tidak marah.

“Saja nak tengok bos.”  Aku pun tidak tahu kenapa itu yang terkeluar dari mulut.  Sebenarnya aku hendak minta maaf tapi lain pula yang keluar. 

Aku mara ke mejanya dan letakkan mug berisi kopi panas di hadapannya.  Dia tunduk memandang kertas dan kemudian menurunkan tandatangannya di atas cadangan menderma ke persatuan pengusaha hotel yang disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat.

“Maaf bos, saya nak tanya banyak lagi ke?”

Bos 1B3K panggung kepala dan pandang tepat ke mata aku.

 “Yang ini semua belum sign.  Aku akan siapkan malam ini.  Kau tak boleh balik selagi aku belum habis sign semua ni.”

 Biar betul!  Yang dia sudah semak dan tandatangan tidak sampai satu inci.  Berapa lama aku kena tunggu?  Sabar Fina, sabar.  Tunjuk kat dia perempuan pakai tudung boleh bersikap professional, tak marah-marah sampai tinggikan suara.  Be professional okey.  Hati aku mengingatkan.

            “Saya nak ingatkan bos, pukul tujuh nanti makan malam dengan Dato’ dan Datin.”

            Dia tidak menjawab.  Matanya masih memandang dokumen sambil tangannya sibuk menulis.  Entah apa yang dia komen.  Jawabnya Bahagian Promosi kena buat semula kertas cadangan sebab aku tengok banyak yang dia conteng.  Kemudian dia ambil dokumen berikutnya.  Aku angkat kaki, keluar dari bilik dia.  Baru jalan lima langkah dia panggil nama aku.

            “Pukul enam ikut aku balik.  Lepas makan kita datang sini semula.  Kau kena duduk di pejabat sampai aku habis sign semua dokumen ni.  Kau yang kata tadi mesti sign semua hari ni kan?”


            Habis saja bercakap dia tunduk semula.  Aku sudah angin.  Kenapa pula aku kena ikut dia balik makan?  Ini mesti kes nak mengenakan aku lagi.  Tak apa, kita tunggu dah lihat.  Kalau dia berani kenakan aku macam semalam dan kelmarin, siaplah dia.  Dia tak tau, Datin dan Dato’ sukakan aku.

No comments:

Post a Comment