Wednesday 6 May 2015

AKU DAN 1B3K BAB 11

Assalam,  mohon ampun sebab lambat upload bab 11.
Ayah masuk hospital, jadi Isma Adeliya sibuk sikit uruskan hal ayah.
Sambil jaga ayah, Isma taip kisah Fina dan Irsyad.  Alhamdulillah ayah dah balik rumah semalam.
Jemput baca ya, dan sila komen.
Terima kasih.

BAB 11

Aku masuk seperti disuruh dan duduk di sofa.  Terasa janggal duduk di ruang tamu yang besar dan mewah seorang diri.  Ruang tamu banglo mama pun tak sebesar ruang tamu rumah Datin.  Sunyinya rumah ini.  Macam mana orang boleh tinggal dalam rumah besar yang sunyi sepi? 

            Telefon bimbit aku berbunyi.  Cepat-cepat aku keluarkan dari saku seluar.  Nama Nafiz terpampang di skrin, buat aku tersenyum.  Jarang Nafiz telefon aku.  Sukanya dapat dengar suara jantan dia memberi salam.  Aku jawab salam sambil tersenyum.

            “Maaf ganggu awak.”  Seperti biasa Nafiz sangat bersopan santun dan berhemah.  Di mana hendak cari lelaki budiman yang penuh sopan dan lembut tutur katanya seperti Nafiz dalam zaman sekarang ni?

            “Eh tak ganggu pun.”

            “Boleh kita jumpa lusa?  Ada benda nak bincang sikit dengan awak?” 

Nafiz hendak jumpa aku?  Kecil tapak tangan, stadium Bukit Jalil aku tadahkan.  Bukan selalu Nafiz ajak keluar.  Selalunya kami hanya jumpa di Rumah Umi Sarah dan di Rumah An-nur, kemudian ketika bagi orang gelandangan makan.

            “Lusa?  InsyaAllah boleh.  Nak jumpa di mana?”

            “Rumah Umi Sarah boleh?”

            “Boleh.  Lepas kerja saya terus pergi.”

            “InsyaAllah, kita jumpa lusa.  Terima kasih.  Assalammualaikum.”

            Aku jawab salam dan matikan panggilan.  Tanpa sedar senyuman tersimpul di bibir.  Seronok dapat cakap dengan Nafiz walaupun sekejap.  Lebih seronok bila dia ajak jumpa.  Lusa nanti boleh solat berjemaah dengan Nafiz di Rumah Umi Sarah.  Biasanya kalau Nafiz datang sana, dia akan imamkan solat.  Dapatlah dengar suara jantan dia baca surah dengan sedap.

            Suara orang berdehem membuatkan aku berpaling.  Dia merenung aku dengan tajam, sambil menolak kerusi roda yang diduduki oleh Dato’ Ibrahim.  Eh, semalam Dato’ elok boleh berjalan, kenapa hari ni berkerusi roda?  Aku bangun mendekati mereka dan bertanya khabar Dato’.

            “Saya macam inilah.  Kadang-kadang okey, kadang-kadang tidak.  Sejak dari pagi tadi kaki terasa kebas.”  Dato’ Ibrahim menjawab perlahan-lahan.  Pertuturannya lebih jelas daripada semalam.  Kasihan aku tengok dia.  Terkenang abah di kampung.  Syukur Alhamdulillah, Allah bagi rezeki kesihatan kepada abah.  Setakat ini belum lagi abah sakit teruk.  Setakat demam, pening dan selsema saja.

            “Fina picit kaki Dato’ ya?”

            Dato’ Ibrahim mengangguk.  Aku duduk di atas lantai yang beralas permaidani mahal, mungkin dari Turki.  Aku picit kaki kanan sambil baca Bismillah dan Al Fatihah.  Emak yang ajar kalau picit badan orang, baca surah Al Fatihah dan doakan semoga orang yang dipicit hilang kesakitannya.  Aku tidak sentuh kulit kaki Dato’ sebab dia pakai seluar panjang.  Tangan berkalih ke kaki kiri dan aku ulang Bismillah dan Al Fatihah.  Tiba-tiba terasa ada tangan atas kepala aku.  Bila aku dongak Dato’ Ibrahim sedang usap kepala aku sambil tersenyum.  Aku senyum balik.  Teringatkan abah semula.  Nanti bila balik kampung aku hendak picitkan kaki abah sebab rasanya sudah lama aku tidak picit abah. 

            Bila aku berdiri usai memicit kaki Dato’ Ibrahim, mata aku terpandang wajah Datin yang sedang merenung aku.  Datin senyum dan kemudian bertanya kenapa aku ada di rumahnya. Bila aku beritahu Bos 1B3K yang suruh datang, dia geleng kepala dan kemudian dia jeling ke arah Bos 1B3K.  Si kerek tu buat muka selamba saja, macam tidak rasa bersalah langsung.  Dia tolak kerusi roda ayahnya ke meja makan.

            “Maaf ya Fina, si Rifqi ni menyusahkan Fina saja.”  Kata Datin sambil menggamit aku ke meja makan.  Aku senyum saja.  Takut kalau aku jawab ‘tak apa’ atau ‘it’s ok Datin’, esok-esok si kerek ni suruh lagi datang ke rumah dia.  Aku duduk dan tidak lama kemudian kami mula makan.

            Ya Allah, inilah sesi makan malam yang paling membosankan.  Mereka ni makan dengan senyap.  Memanglah elok jangan bercakap sambil makan, tapi dalam keluarga aku kami bersembang sikit-sikit sambil makan.  Bukankah waktu makan bersama keluarga adalah waktu untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga?  Bagi orang yang peramah @ becok @ kecoh macam aku, rasa kekok sangat bila tidak berbual sambil makan.  Jadi apa lagi, kalau mereka tidak mahu berbual, biar aku yang mulakan perbualan.

            “Kak Iqa dah balik ke Datin?”

            “Sudah.  Lepas Maghrib semalam mereka sekeluarga balik Alor Setar.”

            “Dah lama Fina tak pergi Alor Setar.”

            “Kami pun dah lama tak balik sana.  Rifqi ni sejak balik Malaysia mana pernah balik Alor Setar.  Rafiqa selalu turun KL sebab anak-anak dia rindu dengan tok daddy dan tok mummy.  Lagi satu depa suka Pak Su depa dah balik Malaysia.”

            Oh, Pak Su gelaran yang anak-anak saudaranya panggil si bengkeng ni.  Kalau aku, elok panggil dia pak suwey atau pak suram.  Baru sesuai.  Aku jeling Bos 1B3K.  Dia sedang tunduk pandang nasi.  Entah kenapa mata aku terus melekat di wajah dia.  Dia angkat kepala, suap nasi dalam mulut.  Bibir dia bergerak-gerak mengunyah.  Mata dia… alamak bila aku angkat mata, mata aku bertembung dengan mata dia.  Cis!  Malunya.  Cepat-cepat aku habiskan nasi dalam pinggan. 

“Kalau kau nak solat, boleh solat di bilik tetamu.  Lepas tu kita balik office, tunggu sampai aku siap sign semua dokumen.”  Katanya bila aku kembali ke meja makan selepas membasuh tangan.

“Qi, kenapa buat macam tu, tak baik.  Bukan salah Fina pun.  Kalau Qi tak masuk lambat tadi kan dah siap sign semuanya.”  Datin menegur perbuatan anak bongsunya dengan lembut.

That’s the price for being rude to me.”

“Kan Fina dah minta maaf?  We agreed you shall finish signing all the documents today and Fina shall apology to you.”  Suara Datin sudah naik sikit, menandakan dia tidak puas hati dengan perbuatan Bos 1B3K.

“Bila masa kau minta maaf?”  Kali ini dia berpaling dari ibunya dan memandang aku dengan renungan tajam sambil mencekak pinggang.  Terserlah kebidangan dadanya bila dia berdiri begitu.  Aku kalihkan mata dari wajahnya dan memandang Datin.

“Sebenarnya tadi masa saya hantar kopi, saya nak minta maaf.  Tapi tak jadi sebab… sebab saya takut Encik Rifqi marah saya lagi.”  Aku tuturkan dengan suara sedih, meminta simpati dari Datin.

“Ha tengok Qi, semua staff takut dengan Qi.  Rifqi dulu tak macam ni tau!  Apa nak jadi ni Qi?  Mummy dah tua, daddy dah sakit, tak boleh ke Qi tolong mummy dan daddy?”

Alamak, Datin betul-betul marah.  Kasihan pula aku tengok Bos 1B3K kena marah depan-depan aku dan Dato’.  Yang Bos 1B3K pula diam saja, tidak menjawab.    Dia masih tenung aku sambil mencekak pinggang.  Inilah masa yang sesuai untuk aku bertindak.

“Bos, saya minta maaf.  Sebagai tanda saya ikhlas minta maaf, saya dah bawakkan semua dokumen tu.  Bos boleh sign di rumah saja, tak payah pergi ke office semula.”  Aku ucapkan tanpa memandang dia.  Sebaliknya aku keluarkan secekak dokumen dari dalam beg silang yang aku bawa.  Dia tak tahu, selepas dia keluar pejabat cepat-cepat aku masuk ke biliknya dan masukkan semua dokumen yang belum ditandatangani dalam beg silang.

That’s nice of you Fina, bagus.  Hah Qi, sign saja semua dokumen tu.  Fina boleh balik.  Esok Rifqi akan bawa semua dokumen tu pejabat semula.”  Datin berkata.  Ada nada keterujaan dalam suaranya.  Eeeee seronoknya, aku rasa hendak melompat tinggi-tinggi, kalau boleh sampai langit. 

Tangan Bos 1B3K yang di pinggang jatuh.  Dokumen yang aku hulurkan diambil.  Mata dia mencerlung memandang aku.  Rasa macam hendak tunjuk dua jari dalam isyarat ‘peace’ kepada dia dan cakap ‘dengar tu, mak bos kata saya nice,’  tapi kalau aku buat tentu dia lagi sakit hati.  Aku angkat kaki, tinggalkan banglo mewah Dato’ Ibrahim. 




Bila aku sampai pejabat pada pukul 8.15 pagi, Bos 1B3K sudah sampai dan sudah mula bekerja.  Dokumen-dokumen semalam sudah siap ditandatangani bukan saja oleh Bos 1B3K, malahan oleh Datin juga.  Agaknya mereka ni tidur lambat malam tadi.  Lebih kurang pukul sebelas setengah pagi, Bos 1B3K dan Datin berbalah lagi. 

“Tiga jam saja kita rasa aman.”  Kata Kak Razia.  Memang betul pun.  Aku hanya mampu menggelengkan kepala.  Kenapalah dia tidak boleh bercakap dengan elok kepada emak sendiri.

Bos 1B3K keluar dari bilik Datin.  Masuk ke bilik dia dan hempas pintu bilik dengan kuat.  Aku dan Kak Razia saling berpandangan. 

“Kurang asam!  Dia tak tau ke kita ni naik pekak dengar dia hempas pintu.”  Rungut Kak Razia.  Ketika itu jugalah interkom berbunyi.  Di hujung talian Datin menyuruh aku masuk ke biliknya.  Datin minta aku pujuk Bos 1B3K supaya pergi ke Kuala Selangor.  Kata Datin dia bermati-matian tidak mahu pergi melawat resort di Kuala Selangor yang sudah 80% siap. 

Bila aku tanya kenapa, kata Datin dia tidak pasti.  Kata Datin dia sudah mati akal bagaimana hendak memujuk Bos 1B3K supaya mengikut Datin, Encik Suleyman dan Encik Razali melawat tapak pembinaan resort di Kuala Selangor esok.  Yang lain sudah bersetuju untuk pergi.  Hanya Bos 1B3K saja yang enggan.  Masalahnya kenapa aku yang disuruh pujuk si bengkeng tu?  Dan macam mana aku nak pujuk dia?  Ish pening aku memikirkannya. 

Pukul 12.30 Datin balik.  Kak Raziah pukul 12 tadi sudah keluar lunch.  Sekarang sudah pukul satu.  Yang Bos 1B3K pula langsung tidak keluar dari biliknya selepas berbalah dengan Datin.

Aku berdiri.  Laporan yang Bahagian Jualan hantar semasa Bos 1B3K sedang berbalah dengan Datin aku bawa masuk ke dalam biliknya.  Aku mara ke mejanya dan letakkan laporan itu di sebelah lengan kanan dia.  Aku sudah fikir pasal permintaan Datin dan keputusan aku ialah go straight to the point.

 “Bos, saya nak cakap sikit.  Saya tak tau apa masalah bos.  Yang saya tau bos ni menyusahkan hidup bos sendiri.  Asyik bertekak saja dengan Datin.  Tak penat ke bergaduh?  Bergaduh dengan emak sendiri pulak tu.  Bos tak takut jadi anak derhaka ke?  Bos ingat bila kita dah besar panjang, kita boleh lawan mak bapak kita sesuka hati ke?”  Aku tuturkan dengan nada lembut.

            Dia panggung kepala.  Muka dia ketat.  Muka ketat memang pakej sekali dengan perangai yang kerek.  Jadi walaupun Bos 1B3K kacak, kekacakan dia hilang bila muka dia ketat.

            “Datin suruh bos pergi Kuala Selangor saja.  Bukan suruh pergi Papua New Guinea ke, Zimbabwe ke.  Pergi sajalah.”

Dia masih diam.  Bagus, aku nak sambung bercakap lagi.  Orang becok macam aku mana reti bercakap sikit-sikit. 

            “Kadang-kadang kita perlu korbankan perasaan kita untuk buat orang lain gembira.  Bila orang yang kita sayangi gembira, kita pun akan rasa gembira melainkan deria gembira kita sudah rosak.  Saya tak pasti apa masalah yang bos hadapi sampaikan bos fobia dengan Kuala Selangor tu.  Tapi tolongah bos, dengarlah cakap Datin.  Orang yang dengar cakap ibu bapa hidupnya insyaAllah diberkati.” 

            Dia tetap diam.  Pelik.  Semalam kami bergaduh bagai nak rak bila aku tegur dia.  Hari ini dia diam saja.  Aku anggap saja dia bagi peluang untuk aku bercakap.

            “Bos bertuah tau masih ada ibu bapa.  Saya tengok Dato’ dan Datin sangat sayangkan bos.  Kalau emak bapak jauh macam saya ni, tak teruk lagi.  Seminggu sekali boleh balik kampung.  Tapi kalau tak ada mak bapak, macam adik-adik saya di Rumah Umi Sarah tu, lagi teruk.  Pernah tak bos terfikir betapa beruntungnya kita dibandingkan dengan adik-adik tu?  Mereka tu kalau diberi sesaat pun, cukuplah asalkan dapat jumpa balik dengan mak bapak mereka yang dah tak ada.”

            Aku rasa pening aku akan naik taraf menjadi migrain sekejap lagi.  Sebabnya Bos 1B3K tetap membatu dan membisu.  Pelik sungguh.  Bukankah dia tidak suka aku berleter, macam sebelum-sebelum ini? 
           
“Bos, …”

            “Cukup!  Aku tak nak dengar apa-apa lagi.  Dah banyak kau bercakap.  Keluar sekarang.”

            Akhirnya keluar juga suara Bos 1B3K dan akhirnya dia paling ke arah aku.  Mukanya kelat dan ketat.  Matanya memandang aku dengan tajam.  Tidak penat ke dia ni asyik marah dan emosional saja? 

            “Datin suruh saya pujuk Bos. Tolonglah Bos, pergilah tengok projek Kuala Selangor tu.”  Aku lembutkan lagi suara dan bercakap dalam nada merayu.

            “Apa masalahnya kalau aku tak pergi?  Apa dalam syarikat ni aku sorang saja yang boleh buat kerja ke?  Apa gunanya ketua jabatan dalam syarikat ni, kalau benda senang pun aku kena buat sendiri?”

Terus terang cakap walaupun aku tidak suka berlawan cakap dengan dia, aku rasa lega bila Bos 1B3K tidak lagi berdiam diri.  Sebabnya bila dia lawan balik, itu bermakna dia mendengar dan beri perhatian kepada apa yang aku cakap.

            “Datin nak Bos pergi sebab Bos yang kena buat kelulusan, vendor mana akan diberi kontrak interior designing resort tu.”

            “Aku dah buat keputusan.  Aku akan bagi kepada syarikat Azira.”

            Azira?  Ya Azira!  Itu adalah umpan yang bagus.

            “Kalau bos pergi Kuala Selangor, saya akan minta Cik Azira datang sekali.  Kan lebih baik kalau dia dapat tengok dengan mata kepala sendiri, daripada berdasarkan gambar-gambar yang Encik Rafiq bagi.  Mungkin selepas tengok dia boleh buat keputusan yang lebih tepat. Mana tau dia boleh kurangkan harga.”

            Bos 1B3K diam.  Aku rasa dia sedang memikirkan cadangan aku.  Tapi lama pulak dia diam.  Deputy CEO apa ni, nak buat keputusan yang senang pun kena fikir lama-lama?  Tiba-tiba dia berdiri.  Dia buka kot dan sangkut di atas kerusi.  Kemudian dia capai telefon bimbit dan masukkan dalam poket. 

            “Bagi tau Abang Di, ambil aku dan Datin di rumah esok.  Kami pergi Kuala Selangor dari rumah.  Hantar emel kepada yang lain, suruh mereka sampai sana sebelum pukul sepuluh.  And make sure I see Azira there.”

            Dia terus keluar dari bilik tanpa memandang aku.  Aku tidak kisah pun.  Lagi suka kalau dia tidak pandang sebab muka ketatnya itu buat aku rasa menyampah.  Mesti dia tidak pernah dengar senyuman itu satu sedekah, sebab itu dia kedekut senyuman.  Aku keluar dari bilik dia sambil tersenyum.  Gembira sangat-sangat.  Berjaya juga aku laksanakan tugas yang Datin suruh.  Tapi cepat-cepat aku ingatkan diri jangan terlalu yakin.  Mana tahu tiba-tiba si kerek tu tukar fikiran.

            “Amboi, happy semacam tu kenapa?  Si bengkeng tu ajak kahwin ke?”  Apalah Kak Razia ni merepek.  Terus mati senyuman aku. 

            “Kak, kalau dia ajak kahwin takkanlah saya senyum.  Perempuan gila saja yang sanggup kahwin dengan orang macam dia.”

            “Mana kau tau?  Kau pernah gila ke?”

            “Ish Kak Razia ni.  Saya happy ni kak, sebab dia setuju pergi Kuala Selangor esok.  Saya umpan dia dengan Cik Azira yang jelita dan menggoda tu.  Yang saya cerita dengan akak dia datang hari Sabtu pakai cantik-cantik, cakap dengan bos lemah lembut, manja-manja.  Saya tengok bos macam dah terpikat dengan dia.”

            “Hah, bagus-bagus.  Pandai pun kau.  Eloklah kalau Encik Rifqi tu berkawan dengan perempuan yang elok-elok.  Kesian Datin dan Dato’ kalau dapat menantu artis yang tak berapa elok perangainya.”

            “Bukan semua artis perangainya tak elok kak.”

            “Memanglah.  Tapi yang selalu keluar paper dan blog dengan Encik Rifqi tu nampak sangat tak elok perangainya.  Kalau kau jadi mak mentua, kau nak dapat menantu yang pakai tak senonoh, suka bersosial, merokok dan minum?”

            Aku geleng kepala.  Lepas tu capai dompet.  Giliran aku pula keluar makan tengahari.  Sambil berjalan aku teringat kata-kata Kak Razia.  Cepat-cepat aku berdoa supaya jodoh aku nanti lelaki yang baik-baik.  Yang macam Nafiz.  Bukan yang macam Bos 1B3K.

            Ish, tak payah risaulah Fina pasal jodoh.  Jodoh tu Allah yang tentukan.  Bukan ke orang kata lelaki yang baik ialah untuk perempuan yang baik.  Aku rasa aku memang boleh masuk dalam kategori perempuan yang baik.  Aku tutup aurat.  Tidak tinggal solat, melainkan ketika ABC.  Walaupun tidak baca Quran setiap malam, aku usahakan baca Surah Al Kahfi setiap malam Jumaat.  Kalau tidak sempat Al Kahfi, aku baca Surah Yasin.  Hormat orang tua.  Baik dengan kawan-kawan.  Buat kerja amal.  Tak cukup baik lagi ke?

            InsyaAllah, jodoh aku nanti lelaki yang baik.  Kalau dapat baik macam Nafiz tu…alahai bestnya.  Terbayang di mata solat berjemaah dengan dia.  Lepas tu mengaji sama-sama.  Dia betulkan bacaan aku yang salah sambil tersenyum.  Aku senyum balik kat dia sebelum sambung bacaan.

            Dum!

            Aduh, sakitnya kepala aku.  Ya Allah, macam mana aku boleh tidak perasan dinding kaca ni, sedangkan setiap hari aku jalan di lobi ni?  Itulah… berangan lagi pasal Nafiz, kan dah terlanggar dinding kaca.  Kenapalah Dato’ Ibrahim mesti guna dinding kaca untuk Wisma Duta ni? 

            Aku pandang kiri dan kanan.  Lega sebab tidak ada orang nampak.  Mungkin pengawal berbangsa Nepal di lobi nampak tapi tidak kisahlah kalau dia orang nampak.  Pandang depan semula sambil gosok dahi.


            Errk… bila masa pula si bengkeng ni ada di lobi?  Dia berdiri betul-betul depan tangga selepas pintu kaca.  Dia pandang aku.  Dia tidak senyum.  Tapi dia ketawa.  Seronok betul dia dan Abang Di gelakkan aku!

No comments:

Post a Comment