Saturday 16 May 2015

AKU DAN 1B3K BAB 12

Assalam.  Maaf ya lambat upload.

Jemput baca ya.

p/s:  Bos bengkeng dah jadi nakal :)



Malam tadi, lebih kurang pukul 10.30 malam tiba-tiba Bos 1B3K telefon aku.  Apalah dia ni, masa aku tergolek-golek atas katil dia telefon. Siang-siang tak nak telefon.  Sebaik saja aku jawab panggilan, aku beri salam walaupun sudah tahu dia tidak akan balas salam.  Lantaklah kau bos.  Aku beri salam dapat pahala.  Dia tidak jawab salam dengan sengaja nanti dapat dosa.

“Esok pagi datang rumah.  Kau mesti sampai sebelum pukul lapan empat puluh lima.”
 
“Kenapa saya…”

La!  Belum sempat aku habiskan soalan dia sudah putuskan talian.  @%$&#& betul si bengkeng ni.  Itulah siang tadi tak menyempat sangat nak balik, adalah benda yang dia tak sempat beritahu.  Sudahnya pagi ini aku lebih kurang jam lapan setengah pagi aku sudah tercongok depan rumah Datin Nuridah.  Abang Di sedang mengelap kereta BMW X5 warna perak yang sememangnya sudah berkilat.  Datin Nuridah mengerutkan dahi bila nampak aku.

“Rifqi suruh datang?”

“Ya Datin.”

She’s following us to Sri Selangor.”  Bos 1B3K menyampuk.  Dia kelihatan segak pagi ni dengan kemeja lengan pendek warna kulit manggis.  Tapi wajah segaknya tu tetap nampak kelat.  Apalah bos ni, pagi-pagi sudah cemberut.

Datin Nuridah menggelengkan kepala sebelum menyuruh aku masuk dalam kereta.  Wajah Datin tidak berapa ceria.  Bos 1B3K duduk depan dan Datin duduk belakang di sebelah aku.  Semua orang senyap sepanjang perjalanan.  Sudah dekat sepuluh minit, aku sudah tidak tahan duduk diam tak bercakap.

“Kat mana Datin beli jubah yang cantik-cantik?”  Aku bertanya kepada Datin untuk mulakan perbualan.  Tak seronoklah duduk dalam satu kereta tapi tak bercakap.

“Cantik ke jubah saya ni?”

Aku mengangguk.  Datin Nuridah pandang bawah, matanya melirik ke atas jubah yang melekat di tubuhnya.  Memang jubah yang dia pakai sekarang cantik sangat.  Datin setiap hari pakai jubah ke pejabat.  Walaupun usianya sudah melepasi enam puluh tahun, dia nampak anggun dan muda dari usia sebenarnya.

“Saya beli di Butik Busana Zahra Iman di Kota Damansara.  Kamu nak tukar style ke?  Dah tak mau pakai seluar lagi?”

“Eh bukan macam tu.  Kak Long saya nak datang KL.  Dia nak cari jubah.  Di Kuala Kangsar payah nak dapat yang kena dengan selera Kak Long.  Saya dah janji bila Kak Long datang KL nanti, saya akan temankan dia pergi beli jubah.  Bolehlah saya rekomenkan Butik Busana Zahra Iman kepada Kak Long.”

“Bila kamu nak pergi nanti, bagi taulah saya.  Mungkin saya boleh pergi sekali.  Saya pun dah lama tak beli baju.”

“InsyaAllah.”  Aku senyum.  Datin Nuridah senyum balik.  Lega tengok dia sudah tersenyum dan tidak nampak tegang macam tadi.  Tapi seganlah nak pergi beli jubah dengan Datin.  Dia banyak duit, mesti beli yang harga ratus-ratus.  Aku mampu setakat yang puluh-puluh saja.  Nak beli untuk emak pulak tu, ish malunya kalau Datin tahu.

Aku sambung berborak dengan Datin.  Macam-macam yang kami bualkan.  Bila kereta melintasi gerai yang menjual karipap gergasi, kami cerita pasal karipap.  Bila lalu depan Cendol Bakar yang terkenal di kawasan Ijok, kami cerita pula pasal cendol.  Sedar-sedar kami sudah pun sampai ke pintu masuk Resort Sri Selangor.

Encik Rafiq, Pengurus Resort Sri Selangor sudah sedia menanti kami.  Katanya Encik Suleyman dan Encik Razali sudah sampai.  Cuma Ms Tan yang belum sampai.  Bos lama aku tu memang ada masalah dengan pengurusan masa.  Selalu dia masuk lambat sebab kena uruskan hal anak-anak dia.  Seorang perlu dihantar ke taska dan yang seorang lagi ke sekolah.

Encik Rafiq bawa kami ke bilik mesyuarat yang terletak dalam bangunan pejabat yang sudah siap sepenuhnya.  Aku boleh nampak bangunan resort yang dari luar kelihatan sudah siap 90 peratus. 

“Ambil minit.”  Dua patah perkataan saja.  Tapi gaya dia bercakap kerek habis.  Aku hendak buat apa lagi, angguk kepala sajalah.  Mujurlah ada buku nota di rumah malam tadi, sempat aku sumbatkan dalam beg tangan.

Ketika kami baru selesai mengambil tempat duduk, Ms Tan pun tiba.  Dia duduk di sebelah Encik Suleyman, Pengurus Besar Bahagian Perolehan.  Di sebelah Encik Suleyman ada kerusi kosong dan di sebelah kerusi itu ialah Bos 1B3K.  Di seberang meja, betul-betul bertentangan dengan dia, siapa lagi kalau bukan aku.  Datin Nuridah duduk di sebelah aku.  Encik Rafiq sudah bersedia untuk memberi taklimat di hujung meja.

Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi.  Alamak, lupa nak tukar ke mod senyap.  Aku buka mesej.  ‘Mana Azira?’  Siapa lagi yang hantar kalau bukan Bos 1B3K.  Aku tukar telefon ke mod senyap dan masukkan dalam beg tangan.  Buat tidak tahu saja dengan mesej yang Bos 1B3K hantar. 

Ketika Encik Rafiq sampai di slide ketiga, pintu bilik mesyuarat diketuk.  Bau haruman wanita yang manis semerbak menerpa hidungku sebaik saja pintu ditolak.  Dengan tersenyum simpul Cik Azira masuk.  Sambil meminta maaf kerana terlewat, dia terus berjalan dan kemudian mengambil tempat di sebelah Bos 1B3K.  Bos 1B3K memandang ke arah Cik Azira sambil tersenyum.  Mereka berjabat tangan sebelum Bos 1B3K memperkenalkan Cik Azira kepada kami semua.  Selepas tu Bos 1B3K mengarahkan Encik Rafiq meneruskan pembentangan. 

Empat puluh minit kemudian sesi taklimat dengan Encik Rafiq selesai.  Kami dibawa melawat tapak resort Sri Selangor untuk melihat keseluruhan kawasan.  Encik Rafiq jalan depan sekali, diikuti oleh Bos 1B3K yang berjalan beriringan dengan Cik Azira. Datin berjalan di belakang mereka.  Aku di sebelah Datin.  Aku teruja dapat pakai helmet dan but keselamatan.  Terasa macam Phua Chu Kang!
           
            Encik Rafiq memulakan penerangan di bahagian lobi.  Kemudian kami dibawa ke kafe, dapur, dewan seminar, dewan bankuet dan bilik tetamu.  Ada dua jenis bilik tetamu iaitu superior dan deluxe.  Di setiap kesempatan Cik Azira pasti mencelah.  Ada saja penerangan mengenai hiasan dalaman yang dicadangkan oleh Cik Azira.  Bos 1B3K nampak suka sangat dengan celoteh Cik Azira.  Yang lain-lain, termasuk Datin reaksi mereka biasa-biasa saja.  Kecuali Encik Suleyman.  Sikit-sikit dia sokong Cik Azira.  Aku rasa Encik Suleyman pun sudah terpesona dengan kecantikan dan keanggunan Cik Azira.

Sepatutnya kami boleh habis meninjau seluruh resort dalam masa empat puluh ke empat puluh lima minit.  Tetapi disebabkan Cik Azira banyak cakap, sedar-sedar sudah satu jam masa dihabiskan.  Ms Tan perlu menghadiri mesyuarat lain di pejabat, jadi dia terus minta diri.  Encik Razali juga minta diri kerana dia ada penerbangan petang ini ke Penang.  Kami yang tinggal diajak makan tengahari oleh Datin, termasuklah Cik Azira.

Kami makan tengahari di sebuah restoran Cina Muslim.  Sambil makan Cik Azira ralit berbual dengan Bos 1B3K.  Macam kami yang lain tidak wujud walhal kami duduk semeja.  Aku tengok Datin sering memerhatikan Bos 1B3K dan Cik Azira. Encik Suleyman sekali sekala mencelah dalam perbualan Bos 1B3K dan Cik Azira.  Sudahnya aku berbual dengan Encik Rafiq.  Sambil berbual aku terdengar Cik Azira mengajak Bos 1B3K naik ke Bukit Melawati. 

Telefon bimbitku berbunyi lagi menandakan ada pesanan whatsapp.  Aku keluarkan telefon daripada saku.  ‘Aku tak nak pergi Bukit Melawati.  Do something.’  Berkerut dahi aku selepas baca mesej itu.

“Kenapa?”  Soal Encik Rafiq.

“Tak ada apa-apa.  Ada orang salah hantar mesej kat telefon saya.”

“Apa katanya?” 

Ish, busy body juga Encik Rafiq ni.  Aku pun cepat-cepat fikir.  Mata melilau ke depan.  Tepat jatuh ke wajah Bos 1B3K yang sedang merenung aku. 

“Dia kata tudung saya hari ni cantik dan sayalah gadis bertudung paling jelita yang pernah dia jumpa.”

Encik Rafiq ketawa.  Apa yang kelakar entah.  Lepas itu dia kata “saya setuju dengan orang itu” dan kenyit matanya.  Eh Encik Rafiq ni, hendak mengorat aku ke?  Aku buat cool dan senyum kepada Encik Rafiq.  Kemudian aku pandang si bengkeng.  Dia merenung aku dengan tajam.  Aku faham maksud renungan itu.  Hailah, kena fikir satu muslihat pula.

“Awak dah kahwin?”  Soalan Encik Rafiq ni betul-betul mengganggu.  Terbantut sekejap otak aku.

“Belum.”  Aku jawab sepatah, kerling Bos 1B3K yang masih pandang aku dan kemudian pandang Encik Rafiq.

“Saya pun.”  Dengan selamba Encik Rafiq jawab.  Dia senyum kat aku.  Ish Encik Rafiq ni, aku tak tanya pun dia dah kahwin ke belum.  Aku pun tidak berminat hendak tahu.  Yang bermain dalam minda aku sekarang ialah macam mana hendak diselesaikan masalah Bos 1B3K yang tidak mahu pergi ke Bukit Melawati?

Telefon bimbit aku berbunyi lagi.  Mesej yang sama daripada manusia yang sama.  Bila aku angkat kepala dan berpaling kepadanya, dia beri renungan yang sama.  Dada aku sudah berdegup laju.  Aku toleh ke arah Encik Rafiq.   Alamak!  Dia masih memandang aku dan bibirnya masih memberikan senyuman gatal yang sama.  Aduhai, kenapalah Duta Holidays ni penuh dengan manusia yang kureng?


“Jomlah Encik Rifqi, kita naik sekejap saja.  Scenery kat atas tu cantik tau.  Datin pun ikut sekali ya.  Kita naik kereta saya.”  Cik Azira mempelawa sekali lagi ketika kami berdiri di hadapan restoran selepas makan.  Encik Rafiq sudah balik semula ke resort Sri Selangor.  Encik Suleyman sedang berjalan ke arah keretanya untuk pulang ke pejabat. 

 Bos 1B3K pandang aku lagi sambil berdehem.  Fahamlah.  Bagilah aku fikir lagi.  Pandai-pandailah lengahkan masa.

 “Saya dah pernah naik bukit tu.  Rifqi pergilah dengan Azira.  Saya balik pejabat dengan Fina.  Nanti Azira boleh hantar Rifqi balik ke pejabat kan?”  Datin bersuara sambil matanya silih berganti memandang Azira dan Bos 1B3K.

Meleret senyuman di bibir Cik Azira sebelum dia menjawab, “boleh sangat-sangat Datin.”

            Bos 1B3K masih merenung aku dengan pandangan bermakna.  Agaknya sebab inilah dia mahu aku ikut ke Kuala Selangor.  Boleh dipergunakan aku kalau terdesak.  *@^%$*# lah bos aku ni!

“Aduh!”

“Kenapa Fina?”  Datin bertanya.  Aku pegang kepala dengan tangan kanan dan pegang perut dengan tangan kiri.  Aku bongkokkan tubuh.

“Aduh sakitnya.”  Aku kerutkan dahi dan buat muka kecut macam asam boi.  Tangan di dahi aku turunkan ke perut.  Selepas itu aku buat macam hendak muntah.

“Eh Fina, apahal kamu ni?” 

“Sa…sakit Da…”  Sengaja aku putuskan ayat dan buat seperti hendak muntah sekali lagi.  Tubuh masih aku bongkokkan.

“Masuk angin ke ni?  Ya Allah.  Qi, bawa Fina masuk kereta.  Kita bawa dia pergi klinik.”  Datin bagi arahan.  Tidak sampai tiga kali kelip mata aku rasa ada tangan sasa paut bahu aku.  Tiba-tiba aku rasa tubuh aku melayang.  Biar betul!  Bos 1B3K dukung aku!  Ish dia ni, kot ya nak bawa aku kereta, tak payahlah berdukung bagai.  Dengan segera dia bawa aku ke kereta yang memang sudah menunggu depan restoran.  Abang Di bukakan pintu belakang. 

            “Eh bos!  Apa ni?  Suka-suka dukung saya apahal?”  Aku cakap sambil mengetap gigi, takut Abang Di boleh dengar.  Bos 1B3K renung tepat ke mata aku.  Jantung aku berdegup laju, macam baru lepas lari marathon. Dia rendahkan aku dan masukkan aku ke dalam kereta.

“Alang-alang nak berlakon, we better make it look real.  Muka tu jangan ubah, buat berkerut-kerut macam sakit sangat.” 

Ewah bos ni, dia ingat dia Mamat Khalid ke?  Suka-suka bagi arahan lakonan kat aku.  Aku ketap bibir dan jegilkan mata ke arah dia.

“Kau kan sakit perut, apasal mata terbeliak macam nampak hantu?”  Bos 1B3K cakap dengan perlahan.  Masa itu juga Abang Di yang berdiri di belakang Bos 1B3K rendahkan kepala dan mengintai aku.  Terpaksalah aku berlakon semula. 

Good.”  Sepatah saja katanya dan dia terus tutup pintu.  Abang Di masuk dalam kereta dan hidupkan enjin.  Aku terpaksa sambung buat muka berkerut.  Bos 1B3K berjalan semula ke depan restoran, bercakap sekejap dengan Cik Azira dan datang semula ke kereta.  Aku nampak Cik Azira cuba memaniskan muka sebelum bersalam dengan Datin.  Siap cium tangan Datin.  Bagus, pandai dia ambil hati orang tua.

“Fina macam mana, boleh tahan ke?”  Soal Datin sebaik saja dia duduk dalam kereta.  Aku mengangguk sambil pegang perut.  Real sungguh lakonan aku sampai nampak Datin macam kasihan sangat dengan aku.

“Rafidi, kita terus pergi Klinik Dr Fateh.”  Datin Nuridah memberi arahan.  Abang Di memandu tanpa sebarang soalan.  Klinik Dr Fateh ialah klinik panel syarikat terletak di seberang bangunan Wisma Duta, sebaris dengan Restoran Ketumbar. 

“Fina memang ada gastrik ke?”  Datin bertanya.  Aku mengangguk.  Dengan keadaan jalan raya yang sibuk di waktu tengahari, maknanya aku terpaksa berlakon menahan sakit dalam masa satu setengah jam lagi.  Aku pejamkan mata.  Tangan masih di perut dan muka masih macam asam boi.  Perlahan-lahan aku palingkan muka ke arah tingkap. 

“Macam mana Qi, puas hati dengan perkembangan Sri Selangor?”  Datin Nuridah bertanya. 

Bos 1B3K menjawab, “yes, all seems to be in order and according to schedule.”

“Kenapa Qi tak panggil interior designing yang lain datang sekali tadi?”

Bos 1B3K tidak menjawab.  Kan bagus kalau dia jawab, aku hendak tahu juga.

To be fair to all potential vendors, kita sepatutnya ajak semua sekali datang melawat supaya mereka sama-sama boleh bagi quotation dan proposal yang accurate and comparative.  Kemudian Suleyman kena bagi recommendation, with complete justification on the selected vendor.”

“Okey.  Qi akan suruh Suleyman bawa vendor yang lagi dua tu melawat Sri Selangor dalam masa terdekat.”

Mummy nampak macam ada special arrangement untuk Azira.  Mummy nak semua potential vendors dilayan dengan adil.  Pastikan mereka dibawa melawat tapak dan diberi penerangan yang sama macam diberikan kepada Azira tadi.  Kita buat keputusan berdasarkan proposal mereka, bukan berdasarkan siapa cantik, siapa menggoda.  Kalau tiga-tiga vendors tak boleh bagi satisfactory proposals and prices, cari vendor lain.  Don’t rush into decision making.  Ini urusan bisnes Qi, bukan urusan perasaan and the amount involved is big.”

            Suara Datin tinggi sedikit, seolah-olah dia tidak suka dengan kehadiran dan perhatian yang diberikan kepada Azira. Alangkah bagusnya kalau aku dapat melihat wajah Bos 1B3K sekarang.  Lebih bagus lagi kalau aku boleh tunjuk ibu jari tegak sambil tersenyum sinis kepadanya. 

            “Sri Selangor tu kan projek kesayangan Qi, buatlah elok-elok.  Kalau Qi dapat siapkan sampai habis, Qi akan rasa puas sebab akhirnya berjaya membina sebuah resort mengikut acuan yang Qi inginkan.  Yang dah ada tu semua ikut cara daddy.  Mummy yakin Qi boleh buat kalau Qi fokus.  Kurang-kurangkan aktiviti clubbing dan yang lain-lain tu.”  Datin masih berleter.  Bos 1B3K diam saja.  Aku rasa dia mesti malu kena leter depan Abang Di dan aku.  Padan muka!

Dek kepakaran Abang Di yang memandu ala-ala pemandu F1 di lebuhraya LATAR, dalam masa satu jam kami sudah masuk KL.  Masa itu aku rasa hendak sendawa, jadi aku lepaskan saja.  Biar nampak real yang perut aku banyak angin.   Kuat pula bunyi sendawa aku.  Aku perasan Bos 1B3K dan Datin berpaling memandang aku.

“Banyak angin Fina.”  Datin menegur.  Alamak, malunya.  Teringat dulu masa kecil-kecil Kak Ida kata anak dara kalau sendawa dan kentut kena sorok-sorok.  Jangan sampai didengar anak teruna, nanti jatuh saham.  Tapi kalau anak teruna macam Bos 1BK yang dengar aku sikit pun tidak kisah. 

Abang Di berhentikan kereta depan pintu masuk klinik.  Aku baru hendak buka pintu kereta ketika Datin bersuara “Qi temankan Fina pergi klinik.”

Dengan wajah terkejut aku berpaling ke arah Datin dan berkata, “tak mengapalah Datin.  Saya boleh pergi sendiri.  Saya okey Datin, sakit perut saja.  Kaki boleh jalan.”  Aku cuba meyakinkan Datin.  Tak hendaklah pergi dengan Bos 1B3K.  Lagi pun aku bukannya sakit.  Aku sudah merancang hendak lepak di kedai buku.  Cukup tiga puluh minit aku jalan kaki saja ke pejabat.  Alamak, datin sudah bikin rosak rancangan aku.

“Okey apa macam tu?  Buatnya kamu jatuh ke, pengsan ke?  With Azwan on leave, I can’t afford not to have you in the office.”  Datin terus pandang ke arah Bos 1B3K.  “Go now Rifqi.  Jaga Fina ni.  Tapi jangan sampai nak dukung-dukung macam tadi.  Ingat sikit awak tu dah balik KL, bukan di London lagi.”

Dengan hati yang berat aku tolak pintu kereta.  Aku keluar kereta dengan tubuh yang sedikit membongkok.  Bos 1B3K hulurkan tangan untuk pegang lengan aku.  Aku biarkan saja tapi sebaik saja kereta Datin berlalu aku siku badan dia.

“Dah tak payah pegang-pegang.  Mak bos dah pergi.  Penat saya berlakon dari tadi semata-mata nak selamatkan bos.  Cakap sajalah dengan Azira tu bos tak nak naik bukit tu.  Apasal saya kena tolong pulak?”

Bos 1B3K pandang aku.  Lama dia tenung muka aku.  Aku jeling dia.  Dia buat senyuman mengejek.  Sakitnya hati bila memandang senyuman tu.  Aku tahu selain daripada hendak melepaskan diri, dia juga sengaja membuli aku.  Tak apa, aku akan tahan selagi mana aku boleh bertahan. 

“Nak pergi mana tu?”  Dia bertanya sambil mengekori aku.  Aku terus berjalan tanpa mempedulikan soalannya sambil berfikir bagaimana hendak lari daripada Bos 1B3K.  Kebetulan aku sudah sampai di hadapan Butik Ann Lily.  Takkan dia hendak masuk kedai macam ini, jadi aku cepat-cepat masuk dan menyorok di belakang patung yang dipakaikan dengan sehelai gaun tidur.  Aku nampak dia berjalan terus.  Lega! 

Aku belek sehelai baju tidur bertali halus yang diperbuat dari fabrik linen.  Cantik, tapi tidak ada sebab untuk aku membelinya maka aku sangkutkan semula di tempat penggantungan.  Aku beralih pula ke arah beraneka jenis baju dalam yang digantung.  Aku belek dua tiga helai baju dalam yang dijual sekali dengan seluar dalam.  Ketika aku sedang meneliti sehelai baju dalam berenda berwarna ungu, satu suara singgah di pendengaranku.

“Yang itu tak sesuai dengan kau.  Makcik-makcik saja yang pakai bra macam tu.”


Kurang asam!  Bila masa dia masuk?  Bukan kah tadi dia berjalan terus ke arah Restoran Ketumbar?  

No comments:

Post a Comment