Thursday 28 May 2015

AKU DAN 1B3K BAB 13

Assalam.  Mohon maaf lambat sangat sambung bab baru.  Mungkin ramai yang dah tahu Abah saya pulang ke rahmatullah pada 17 Mei 2015.  Selepas tu Isma sibuk uruskan hal-hal berkaitan arwah abah dan temankan mama.  Sampai sekarang pun masih bergilir-gilir dengan adik beradik yang lain untuk tidur di rumah mama.

Dalam kesibukan dan kesedihan, alhamdulillah dapat juga disiapkan bab ini.

Selamat membaca, semoga terhibur dan beri komen ya.

Terima kasih.


BAB 13


Sedap betul bacaan dan lenggok suara Nafiz ketika dia membaca surah masa solat tadi.  Sebutan dia jelas, tajwidnya betul dan aku rasa macam sedang solat berimamkan orang Arab.  Untunglah siapa dapat Nafiz sebagai suami.  Kacak, sopan, alim, pandai mengaji.  Hmm, memang itulah kriteria lelaki idaman aku.

Selepas bersolat kami duduk di ruang tamu.  Umi Sarah datang menatang sebiji dulang berisi sepiring biskut Marie, seteko teh ‘o’ dan empat biji cawan tanpa piringnya.  Aku tuangkan teh dan Umi Sarah hulurkan cawan kepada Abi Yusuf, Nafiz dan satu cawan teh ‘o’ untuk dirinya sendiri.

 “Abi panggil Nafiz dan Fina sebab kamu berdua dah lama tolong Abi dan Umi di sini.  Sukarelawan yang lain tu datang dan pergi tapi kamu berdua sudah dua tahun masih setia membantu kami di sini.”  Abi Yusuf bersuara.

Aku dan Nafiz diam, sama-sama menunggu apa yang Abi Yusuf akan cakapkan lagi.  Aku pandang Nafiz, dia sedang merenung Abi Yusuf.  Hmmm, kacaknya Nafiz.  Rambut dia masih basah sikit-sikit akibat dari berwudhu’.  Kening dia lebat.  Janggut halus di bawah dagu dia membuatkan dia kelihatan oh… so sweet.

“Baru-baru ni ada orang datang, dia tanya Rumah ni berdaftar tak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Abi beritahu akaun sudah dibuka, submission kepada Jabatan Kesihatan, Bomba dan Majlis Perbandaran juga sudah buat tapi belum diluluskan.  Orang itu kata dia sanggup tolong.  Dia kata lagi, kalau sudah berdaftar senang sikit nak minta bantuan kewangan dari JKM.”

“Jadi orang tu nak tolong apa?”  Soal Nafiz.

“Dia akan tolong follow-up dengan tiga agensi tu.  Katanya dia kenal orang yang boleh tolong.  Bukan itu saja, orang itu juga nak derma sejumlah wang yang banyak.”

 “Berapa banyak Abi?”  Aku pula bertanya.

“Dia tak nak bagi cash tapi dia cadangkan bina sebuah bangunan baru dan dia akan tanggung kos pembinaan.  Dia cadangkan buat bangunan dua tingkat.  Bawah dewan serbaguna, atas bilik tidur anak-anak, bilik mandi dan tandas.”

Dagu aku jatuh!  Siapalah yang pemurah sangat, sanggup membiayai kos pembinaan yang aku rasa tentu tinggi?

Subhanallah, baiknya orang tu.  Semoga Allah bagi ganjaran kepada dia.  Siapa orang tu Abi?” Nafiz berkata.

            Abi Yusuf menggelengkan kepalanya.  “Abi tak boleh bagi tau.  Dia minta rahsiakan identitinya.”

            “Dia pernah datang sini ke?”  Aku pula menyoal.

“Pernah.  Selepas tengok keadaan anak-anak yang berhimpit solat, makan dan buat homework di ruang belakang tu, dia rasa simpati.  Itu yang buat dia nak menyumbang.”

Dalam hati aku mula tertanya-tanya siapalah dermawan yang baik hati tu.  Orang kaya agaknya, sebab tu dia mampu tanggung kos pembinaan.  Tapi tidak kisahlah kaya ke tidak, yang penting dia mahu menyumbang dan dia pilih Rumah Anak Yatim Umi Sarah.  Rumah ini sangat istimewa bagi aku kerana di sinilah permulaannya aku melibatkan diri dalam kerja-kerja amal.  Semuanya bermula apabila Thia meminta aku menggantikan dirinya yang demam untuk membantu Nafiz mengecat rumah ini.  Dan di sinilah juga aku bertemu dengan Nafiz.  Lelaki budiman yang baik… alim… berwawasan… lemah lembut bicaranya… pandai mengaji… hensem.

“Fina!”  Aku tersedar dari lamunan bila suara Umi Sarah memanggil aku dengan agak kuat menyapa telinga.  Tiga pasang mata sedang memandang ke arah aku rupa-rupanya. 

 “Dah sampai ke mana anak dara ni?”  Soal Umi Sarah dengan nada bergurau.  Alamak, asal aku teringatkan Nafiz mesti terleka.  Hari tu terlanggar dinding kaca lobi, malam ni tak dengar Umi Sarah panggil.  Ish, aku ni dah jatuh cinta kepada Nafiz ke?

Sorry umi, Fina terleka memikirkan siapa yang orang baik hati tu.”  Terpaksa aku cipta alasan palsu.

“Tak payah fikirlah Fina.  Doakan saja orang itu dirahmati Allah dan diberi ganjaran atas kebaikannya.  Abi yakin dia bagi sumbangan dengan ikhlas, tanpa mengharapkan bantuan.”  Betul kata Abi Yusuf, aku mengangguk.

“Abi tanya tadi, kalau Abi terima sumbangan orang tu, Fina tak boleh mengajar taekwando buat sementara waktu.  Tak apa ke Fina?”

“Eh tak apa Abi, Fina boleh buat aktiviti lain untuk adik-adik.  Lagi pun dua minggu akan datang Fina sibuk.  Nak tolong di majlis kahwin kawan dan nak balik kampung.”

“Alhamdulillah.  InsyaAllah dalam masa terdekat ni kontraktor dia boleh mulakan kerja.  Abi jangka akan ambil masa 7, 8 minggu untuk siap semuanya.  Kebetulan tak lama lagi cuti sekolah, anak-anak ada yang akan balik kampung.  Razak dan Rahman pun akan cuti semester tak lama lagi, bolehlah mereka tolong apa yang patut.”

Pemasaan yang sangat bagus.  Razak dan Rahman adalah anak kembar Abi dan Umi.  Razak belajar di UITM Segamat, Rahman di UITM Arau.  Bolehlah mereka menolong ibu bapa mereka mengemas sekitar kawasan Rumah ini.  Aku pun boleh pergi majlis nikah dan persandingan Naani dan Thia dan balik kampung dengan senang hati.  Adik-adik di sini biasanya akan bising kalau aku lama tidak jenguk mereka.

Usai berbincang aku meminta diri untuk pulang.  Esok kena kerja dan perlu mengadap si 1B3K lagi.  Teringat gelagatnya semalam, aku jadi gerun.  Ada ke patut dia follow aku masuk butik pakaian dalam wanita?  Apa motif dia?  Nak takutkan aku agaknya.  Okey Fina, buang rasa gerun tu jauh-jauh.  Kalau kau takut, dia menang.  Kau tentu tak nak kalah dengan dia kan?
           
            “Saya tak dapat hadir majlis nikah Thia.  Ada kenduri di kampung, di sebelah ayah saya.”  Kata-kata Nafiz mengusir ingatan terhadap perbuatan si bengkeng @ kerek semalam.  Nafiz mengiringi aku berjalan ke arah skuterku.  “Esok saya balik kampung.”

“Sabtu ni tak pergi Masjid India?”

Nafiz menggeleng sebelum berkata “Ahad baru saya balik KL.  Kalau awak nak join bagi orang gelandangan makan, boleh pergi terus ke Masjid India.  Kalau nak pergi dari Rumah An Nur pun boleh, nanti saya bagi tau Abang Latif.”

“Tak apa.  Saya boleh pergi sendiri.  Saya pun tak pasti lagi boleh pergi ke tidak.”  Sebenarnya aku boleh pergi sebab Majlis Persandingan Thia dan Naani dibuat pada hari Jumaat, pukul 8 malam.  Mereka akan bernikah pada pagi Jumaat.  Tapi bila Nafiz kata dia tak pergi, aku pun rasa macam tidak mahu pergi menolong mengagihkan makanan untuk orang gelandangan.

Aku capai helmet dan hidupkan enjin motor.  Nafiz menunggu sehingga aku berlalu sebelum dia masuk ke dalam keretanya.  Gentleman sangat!




Biasanya aku sampai ke pejabat sepuluh atau lima belas minit sebelum jam 8.30 pagi.  Tapi pagi ini lambat sikit kerana hujan.  Udara terasa dingin disirami hujan pagi yang aku yakini penuh dengan rahmat.  Tapi hati aku pantas bertukar panas sebaik saja aku sampai di pejabat.

            “Kenapa lambat?”

            Baru pukul 8.40, maknanya aku lambat sepuluh minit.  Kalau ikut peraturan sumber manusia, lewat sepuluh minit masih boleh dimaafkan.  Tapi Bos 1B3K marah seolah-olah aku sudah membuat satu kesalahan besar.  Kot ya pun nak marah aku datang lambat, tunggulah aku letak barang-barang dulu.  Macam mana hati aku tidak panas?

            “Maaf bos, hujan lebat sangat pagi ni.  Saya tunggu hujan reda baru boleh keluar rumah.  Kalau saya redah juga hujan tadi, basah kuyuplah saya.  Awal bos datang pagi ni.”  Aku cakap dengan selamba sebab memang aku selamba orangnya.

            “Ni syarikat bapak aku, suka hati akulah nak masuk pukul berapa.”  Dia berkata dengan garang sebelum masuk ke dalam biliknya.  Pintu dibiarkan terbuka. 

            Aku tekan suis komputer.  Niat di hati hendak memeriksa jadual Datin dan Bos 1B3K untuk hari ini.  Selepas itu aku akan buka kotak emel untuk memeriksa emel.  Niat aku terbantut apabila Bos 1B3K menjerit memanggil aku.  Aku segera menuju ke biliknya dan baru saja aku sampai di jenang pintu dia melaung.

“Tolong belikan nasi lemak sedap macam yang kau pernah belikan dulu.  Dua bungkus.  Satu lauk paru goreng, yang satu lagi rendang daging.  Teh tarik dua.  Siapkan pinggan, sudu-garpu dan teh tu kau bubuh dalam mug.”

Ish, dia ingat aku ni pelayan restoran ke?  Apalah teruk sangat kerja PA ni, sampai sarapan bos pun aku kena uruskan?  Naani dulu kena macam ni juga kah, atau si 1B3K ni sengaja nak membuli aku?

Dengan hati yang membara aku kembali ke meja.  Nombor telefon Restoran Ketumbar aku dail dan selepas membuat pesanan aku menelefon ke pantri pula.  Aku pesan kepada Kak Biah apa yang dikehendaki oleh bos.  Sebaik saja aku meletakkan telefon, Bos 1B3K melaungkan namaku lagi.

Ketika aku melangkah menghampiri mejanya, dia sedang berdiri dan mencapai tiga helai tali leher dari tiang penyangkut yang terletak di tepi dinding.

“Yang mana sesuai dengan baju aku?”  Katanya sambil mengacukan ketiga-tiga tali leher ke badannya.

Aduh, tadi kena uruskan sarapan dia.  Sekarang kena pilihkan tali leher pula.  Biasanya dia pakai siap-siap dari rumah.  Agaknya hendak cepat pagi ini sampai tidak sempat pakai tali leher.

“Yang itu?”  Aku tunjuk ke arah tali leher yang kanan sekali.

“Yang ini?”  Soalnya sambil menyuakan tali leher yang kiri sekali.

“Bukan.  Yang ini.”    Aku rapat kepadanya dan menunding jariku ke arah tali leher yang aku maksudkan. Suara aku sudah naik sedikit.  Hati aku geram sangat sebab pagi-pagi sudah kena sembur dengan dia, lepas tu kena pesankan sarapan dia dan sekarang kena pilihkan tali leher dia pula.

“Oh yang ini.  Kau pandai ikat tali leher?”  Katanya sambil menyangkut semula dua helai tali leher yang tidak diperlukan.  Soalannya tidak aku jawab. 

“Nah.”  Ujar Bos 1B3K sepatah sambil menghulurkan tali leher yang aku pilih kepadaku.  “Tolong ikatkan.”

Arahannya membuatkan aku pegun.  Takkan dia tidak tahu ikat tali lehernya sendiri?

“Tak reti ke?”  Dia bertanya dengan suara yang sedikit garang dan dahi yang sudah berkerut.

Bukan aku tak retilah.  Tapi aku tak sudi.  Apa kes pula aku kena ikatkan tali leher kau?  Ada tangan ikatlah sendiri.  Semua ayat itu hanya berbunyi dalam hati aku.  Aku capai juga tali leher yang dihulurkan dan dengan langkah yang terasa sangat berat aku menghampiri Bos 1B3K. 

Seumur hidup aku belum pernah aku memakaikan mana-mana lelaki tali leher.  Seumur hidup aku juga belum pernah aku berdiri serapat ini di hadapan mana-mana lelaki.  Haruman yang dipakai oleh Bos 1B3K menerpa masuk ke rongga hidungku.  Sedap baunya, sesuai dengan tubuhnya yang sedikit kurus tapi segak.  Dada aku berdentam dentum seolah-olah lagu Gangnam Style dimainkan dalam dada aku. 

Tali leher itu aku sangkut di tengkuknya.  Walaupun aku masih ingat cara mengikat tali leher, tangan aku tiba-tiba kaku.  Aku tidak tahu sama ada ia hanya sekadar perasaan, tapi aku merasakan mata Bos 1B3K menerawang di seluruh wajahku.  Pipi aku membahang.  Akhirnya aku angkat mataku dan pandanganku terus bertaut dengan pandangannya.  Mata dia biasa-biasa saja, anak mata dia hitam macam mata orang Melayu.  Renungan matanya jauh ke dalam, seolah-olah dia tenggelam dalam mata aku. Tiba-tiba dia seperti tersedar lalu mengalih pandangannya. 

“Kau tak tahu ikat tali leher kan?  Tapi sengaja nak berdiri rapat-rapat dengan aku?  Perempuan pakai tudung ni bukan boleh percaya.  Nampak baik tapi… gatal.” 

Amboi mulut!  Memang nak kena dia ni.  Aku tajamkan renunganku.  Tadi bagai ada lagu Gangnam Style dalam dada aku.  Sekarang sudah tidak ada lagu lagi, yang ada guruh yang sedang meletup kuat.  Kalau diikutkan hati hendak saja aku cekik leher dia dengan tali leher.  Tapi aku kan seorang pekerja bertudung yang profesional. 

Maka dengan suara yang dilembutkan aku berkata, “maafkan saya bos, saya bukan tak tahu tapi tak hingin buat.  Kalau saya perlu pakaikan tali leher untuk seorang lelaki, lelaki itu mestilah abah saya, along saya atau suami saya.  Dan kalau saya nak menggatal, saya akan pilih lelaki yang lebih baik dari bos.” 

Wajah dia berubah.  Aku lepaskan tali leher, naikkan kening dan berpusing.  Ketika itu juga satu suara dengan lembut memberi salam dan bau harum manis yang sudah aku kenali menyergah rongga hidungku.  Azira dengan tersenyum simpul berjalan ke arah kami dengan lenggok menggoda.  Bos 1B3K dengan mesra menegur Azira sambil tersenyum.  Aku juga hadiahkan senyuman kepada Azira walaupun dengan hati yang sedang terbakar amat payah untuk bibirku melakar senyuman.

“Fina.”  Bos 1B3K memanggil dengan lembut ketika aku berjalan keluar dari biliknya.  Aku yakin kalau Azira tidak ada tentu dia melaung memanggil aku.

I am having breakfast with Azira.  Bila nasi lemak sampai nanti, terus hantar ke dalam.  I don’t want to be disturbed.”


Me too.  Bisik hatiku.  Kenapalah si 1B3K ini harus mengganggu hidup aku?  Ini semua Naani punya pasal!

No comments:

Post a Comment